Tuesday, May 19, 2015

JIHAD ISTILAH DAN LOGHAT



MAKNA JIHAD PADA ISTILAH DAN LOGHAT
BISMILAAHIR RAHMAANIR RAHIIM
ALHAMDULILLAH WAHDAHU . WABIHI NASTA'IN, WASSOLAATU WASALAAMU'ALA SAYYIDINA MUHAMMADIN MUSTAFA SAYYIDIL MURSALIN, WA'ALA AALIHI WASSOHBIHI WAMAN TABA'AHU WAWAALAH.
ADUHAI SAHABAT DAN IKHWANUL MUSLIMIN!

1.MUQADDIMAH
Bermula, segala puji dan sanjung tertuju kepada Tuhan;Yang mentadbir segala urusan alam dunia, dan akhirat, dengan kehangatan dan kelembutan kasih sayangNya, Yang menghujani kehidupan manusia dengan kelembutan Inayah dan PerlindunganNya. Maka, amat beruntunglah mereka yang mampu meraih curahan hujan RahmatNya!

2.REALITI KEHIDUPAN
Pada akhir-akhir ini, betapa deria penglihatan dan pendengaran kita sering-kali, bahkan bertubi-tubi ditusuk oleh imej kejadian atau fenomena ‘terorisme Islam’ atau ‘Jihad’. Lambakan imej-imej terorisme ini, atas nama Agama Islam, melanda kebanyakan negara-negara Islam diAsia Barat/Timur Tengah, seperti Syria, Libya, Iraq, Afghanistan, Mesir, Tunisia, Lubnan dan yang terkini ialah negara Yaman! Seolah-olah terdapat tangan-tangan dan kuasa ghaib beragenda, memporak-peranda dan mengancam kestabilan kebanyakan negara-negara Islam diwilayah-wilayah tersebut, memberikan isyarat bahawa suatu krisis geo-strategik, geo-politik kenegaraan, keagamaan dan kemanusiaan berskala mega sedang dipercaturkan, yang akan merubah bukan sahaja geo-politik, bahkan peralihan kuasa diwilayah-wilayah tersebut! Menurut penyelidikan dan risikan, wabak terorisme dicetus oleh sebuah kumpulan fanatik yang bernama I.S. [Daulah Islamiah] ; pimpinan seorang yang bernama Abu Bakar al-Baghdadi; berteras dan bergagasan antara-bangsa dan kian menular kedunia sebelah timur; dan ancaman ini didapati kian meningkat, hari demi hari!
Pada akhirnya, dunia akan menyaksikan betapa mudahnya negara-negara Islam diperkotak-katik, dicerobohi, kerajaannya ditumbangkan, pegangan aqidah umatnya dipengaruhi, diracuni dan diselewengkan, bagi menurut telunjuk kuasa besar kuffar dan anti-Islam yang mengerakkan dan berhasrat mendominasi dunia melalui proksi, dan menyuntik fahaman sekular, liberalisme, pluralisme, radikalisme dan anti-God anutan mereka itu!
Betapakah fenomena, dan gelombang kedurjanaan, keganasan, kezaliman dan pemusnah kesucian aqidah dan Agama Islam ini mampu disekat, dibendung dan dihalang kemunculan, ketibaan dan penularannya, bahkan, kenegara kita sendiri? Jawapannya ada pada setiap diri yang mengakui berAgama Islam, berIman dan terpenting sekali, yakni berIlmu!

3. FAHAMAN JIHAD
Bertolak dari kekontangan atau kedangkalan ilmu agama, lemah dan rapuhnya aqidah Tauhid dan sempitnya minda pemikiran dikalangan umat Melayu, maka terdapatlah simpati, sokongan dan seruan bagi mengangkat senjata untuk ‘berjihad’ dan berjuang sebaris dengan kumpulan militan I.S. ini, di wilayah negara-negara timur tengah. Seruan kumpulan militan, demi ‘Jihad’ ini, telah mendapat sambutan luar biasa, yang agak membimbangkan diseluruhan negara-negara dirantau sebelah sini, kerana sudah terdapat sejumlah warga-warga mereka yang telah berjaya meloloskan diri dari sekatan yang dikenakan oleh negara-negara terlibat, hanya kerana warga-warga tersebut ingin ‘berjihad’ dengan menagih ideologi sesat dan songsang, serta perolehan-perolehan lain yang ditawarkan!’
Tiada siapa yang tahu kearah mana dan dimana sempadan pergolakan dan perjuangan kumpulan ‘I.S’ ini, namun, setiap negara serantau haruslah menghalang kemaraan dan ketibaan mereka mencecah sempadan dunia sebelah sini. Kumpulan militan [Jihad]I.S., ini bertopengkan Islam, namun menonjolkan imej-imej keganasan seperti pembunuhan dengan memenggal leher dan membakar hidup-hidup mangsa-mangsa mereka, jihad seks, dsbnya, hanya melambangkan keganasan, kezaliman dan kemusnahan kepada seluruh kemanusiaan! Tidak ada langsung cerminan rahmat, keselamatan, kedamaian, keadilan dan kesempurnaan sebagai ciri-ciri Keislaman yang diredhai Allah SWT. bahkan yang ditagih seluruh umat manusia!

4. TUJUAN KEHIDUPAN, ALAM SEMESTA DAN MANUSIA DICIPTA TUHAN
Marilah kita refleksi sebentar keadaan Bapa dan Ibu kita, Adam a.s. dan Siti Hawa diSyurga, ketika mereka ditegur oleh Allah SWT.,lantaran telah melakukan satu kekhilafan yang mengundang murka Tuhan.
Firman Allah SWT. dalam QS.7:22-25, bermaksud:
‘Tuhan menyeru mereka:’’Bukankah Aku telah melarang kamu dari pohon itu dan Aku telah mengatakan bahawa sesungguhnya, Syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua.’ 
‘Keduanya berkata,’Ya Tuhan kami! Kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi Rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang merugi.’
‘Dia berfirman: ‘Turunlah kamu! Kamu akan bermusuh-musuhan satu sama lain. Bumi adalah tempat kediaman dan kesenanganmu, sampai waktu yang akan ditentukan.’
‘[Allah] berfirman: ‘Disana kamu hidup, disana kamu mati, dan dari sana [pula] kamu akan dibangkitkan.’   
Maka dari saat itu bertitik-tolak, dan bermulalah perjalanan dan kehidupan manusia sebagai menepati ‘Blue-Print’ yang tertera diLauh-Mahfudz Tuhan!
Allah SWT. berfirman dalam QS.67:1-2, bermaksud:
‘Maha Suci Allah Yang ditanganNya-lah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.’
‘Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, sesiapa diantara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun.’ Ayat inilah sebagai kunci dan intipati pertaruhan manusia diatas bumi ini. Fahamkan benar-benar!
Perjalanan kehidupan manusia dibumi ini adalah umpama perjalanan kembali ke-keadaan bahagia, seperti awal penciptaannya disisi Allah SWT. Mereka yang gagal kembali ke-keadaan ini disebut sebagai manusia yang tersasar dan tersesat. Kesesatan ini menyebabkan kesusahan dan penderitaan. Bagi mempastikan manusia dimuka bumi ini memiliki kemampuan dan selamat kembali semula keTuhannya, yakni bermodalkan fitrah diri manusia sendiri, Tuhan mengutuskan bimbingan RisalahNya, melalui Nabi dan Rasul, satu persatu disetiap zaman.
Rahmat dan Kasih Sayang Allah SWT. sebagai Pencipta manusia, menggariskan panduan hidup, sebagai landasan menjalani kehidupan, dengan bekalan berupa Kitabullah; dan yang mutakhir adalah Alquran-ul Karim, yang berinti-patikan ajaran-ajaran yang tepat, ampuh dan bersesuaian dengan fitrah manusia!
Rahmat dan Kasih Sayang Allah SWT. jua, kepada manusia menyebabkanNya tidak membiarkan manusia begitu sahaja tanpa meninggalkan contoh atau Ikon terunggul, sebagai ikutan dan landasan yang realistik dan praktikal. Maka, pada zaman mutakhir ini, Allah SWT. mengutuskan seorang manusia secara langsung bagi mengapplikasikan panduan hidup melalui ‘Hamba’ pilihanNya, Khatamun Anbia, Muhammad saw., sebagai Nabi dan Rasul akhir zaman. Segala perilaku, akhlak dan ucapannya menjadi Sunnah, selain Alquran; menjadi panduan hidup setiap Muslim dan warisan kepada seluruh umat manusia, dan juga sebagai Rahmat bagi seluruh alam!
Ternyata Agama Islam yang diredhai Allah SWT. ini, adalah agama yang membawa kedamaian dan keselamatan kepada umat manusia, penuh hikmah dengan semua keadaan, fitrah, natural dan semula jadi. Bertepatan dengan akar-kata ‘Islam’ adalah ‘Aslama’, yang bermaksud ketundukan, kepasrahan dan ketaatan. Dan paling menarik sekali, Allah memberikan predikat Keislaman itu, bukan hanya kepada manusia, bahkan kepada seluruh ciptaanNya! Sila rujuk QS.3:83, bermaksud:
‘Patutkah mereka mencari yang lain dari Agama Allah? Pada hal, kepada Allah tunduk taat sekelian makhluk yang ada dilangit dan dibumi. Samada dengan sukarela atau pun terpaksa. KepadaNyalah mereka akan dikembalikan.’
Nah! Sifat ‘Keislaman’ pada seluruh jagad raya ini diterjemahkan sebagai kepatuhan seluruh ciptaan Allah SWT. terhadap Maha Penciptanya. Ini bermaksud bahawa tidak akan pernah ada satu partikel sekecil zarrah sekalipun yang sanggup memprotes atau menolak titah Tuhan. Seluruh semesta raya patuh, tunduk, sujud, dan pasrah tanpa syarat kepada Sang Maha Penguasa alam ini, yakni Allah SWT.! Inilah pengertian Islam sebenar, yakni, pasrah, tunduk, patuh dan ikhlas kepada takdir dan ketentuan Tuhan Maha Pencipta semesta alam. Sekeliannya ikhlas berkerja 100 peratus tanpa syarat, demi Tuhan. Terpenting, setiap makhluk ciptaan dalam alam ini menuruti tujuan dan matlamat yang amat jelas sekali, selari dengan iradah Tuhan!       

5. ISLAM vs ISLAMIK
Cuba amati perbedaan antara Islam natural [aslama / keislaman] pada seluruh makhluuqat, berbanding keislaman pada diri [jiwa] manusia itu sendiri. Manusia itu dianugerahi Allah SWT. dengan kemampuan kebebasan, [freewill / free choice] dalam menentukan gaya dan gelagat hidupnya. Islam dalam erti-kata kepercayaan atau beriman kepada Agama adalah satu bentuk pilihan dan perjuangan [JIHAD] manusia, demi menjunjung dan mentaati titah perintah Ilahi. Maka, dalam drama atau realiti kosmik ini, terdapat suatu keunikan pada status atau kedudukan manusia itu sendiri. Kendati, manusia mampu memilih untuk menjadi ‘Hamba’ yang kepatuhannya melebihi kelebihan para malaikat Muqarrabin, yang paling setia kepada Tuhan, ataupun nekad menjadi angkuh seperti Syaitan/Iblis, lalu memerangi Tuhan yang menciptakannya! Terserah! Fahamkan benar-benar!
Betapa tidak! Manusia mampu merosakkan ekosistem alam, memporak-perandakan kehidupan didunia dsbnya. Sedangkan Iblis tidak bisa berbuat demikian! Manusia dianugerahi AllahSWT. memiliki satu-satunya ‘neokorteks’ yakni, lapisan kulit otak yang cerdas dan mampu mencerup mistri kejadian alam. Dengan demikian manusia mampu menakluki angkasa raya dan menyelami alam quantum sub-atom yang maha halus lagi sulit, yang tidak terjangkau deria mata! WOW!!!
Namun, Allah menegaskan dan mengingatkan dalam QS.17:44, bermaksud:
‘Bertasbihlah tujuh petala langit dan bumi serta sekelian yang ada didalamnya. Tiada suatupun melainkan bertasbih memujiNya. Tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Allah Maha Penyabar lagi Maha Pengampun.’
Betapalah keberuntungan manusia yang mampu kembali menuruti fitrah asalnya! Dengan mengikuti ajaran dan bimbingan agamanya, yakni Islam. Ajaran asal dan usul pertama melalui Bapa manusia [Adam a.s.] yang diciptakan. Dasar dan mesej risalah Islam ini tidak akan pernah ditukar ganti sejak azali. Justru Allah SWT. berfirman dalam QS.22:78, bermaksud:
‘Dia sudah memilih kamu. Dia tidak menjadikan atas kamu menanggung susah payah dalam perkara Agama, Agama Bapa kamu Ibrahim. Dia [Allah SWT.] menamakan kamu orang Islam, semenjak dahulu…’
‘Oleh itu hadapkanlah dirimu kearah Agama yang jauh dari kesesatan. Fitrah Allah yang menciptakan manusia bagi menerimanya. Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu. Itulah Agama yang betul/benar lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.’ QS.30:30.

6. PENGERTIAN SEBENAR-BENAR DALAM AGAMA ISLAM
Allah SWT. berfirman, QS.22:78, ‘Wajaahidu fillaahi haqqa jihaadihii huwajtabaakum,’ bermaksud:
‘BerJIHADlah kamu pada jalan Allah dengan JIHAD yang sebenar-benar JIHAD! Kerana Allah telah memilih kamu.’
Nada dan intensiti seruan Allah sebegini juga terdapat pada ayat-ayat berupa perintahNya, pada ayat-ayat berikut:
Firman Allah SWT, bermaksud:
‘Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa!’
Dan lagi firman Allah SWT. QS. 39:67, bermaksud:
‘Dan mereka tidak mengAgungkan Allah dengan sebenar-benarnya.’
Amat jelas bahawa ayat-ayat diatas menuntut manusia, tanpa kompromi, melaksanakan perintahNya berteraskan ilmu dan kefahaman’ sebenar-benarnya’, berteraskan fundamental asas, serta upaya seoptimal mungkin! Nah! Dan bukan sekadar telahan, agakan, angan-angan, omongan, bobrokan atau setakat melepaskan tanggung-jawab sahaja!
Perhatian! Konsep Taqwa sebenar-benar dan pengAgungan Allah sebenar-benar akan kita bincang dalam rencana yang lain, Insyaallah.

7. KEPERLUAN DAN GESAAN JIHAD SEBENAR-BENAR DALAM ISLAM
JIHAD bererti perjuangan, penentangan, penaklukan, dan tahan-uji, dalam konteks seruan kebenaran pada jalan dan Sunnah Allah SWT.
Allah SWT. berfirman dalam QS.9:16, bermaksud:
‘Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan [begitu] sahaja, pada hal Allah belum mengetahui orang-orang yang berJIHAD diantara kamu dan tidak mengambil teman yang setia, selain Allah, RasulNya dan orang-orang beriman.’
Dan lagi firman Allah dalam QS.29:2-3, bermaksud:
‘Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: ‘Kami telah beriman’, dan mereka tidak diuji? Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.’
Lagi firman Allah SWT. dalam QS. 9:41, bermaksud:
‘Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun berat, dan berJIHADlah kamu dengan harta dan dirimu dijalan Allah. Yang demikian adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.’ 
Ayat-ayat diatas menggaris-bawahi tentang penerimaan Allah terhadap orang-orang Islam yang beriman  bahawa essensi dan fundamental setelah mengaku Islam dan mengaku beriman, adalah mendakap kesediaan berJIHAD dalam keadaan apa sekali pun; dan keperluan mereka kepada berJIHAD pada jalan Allah dan menghadapi dan menerima serba ragam ujian-ujian dari Allah SWT.! Proses ini akan menentukan status dan nilai sebenar tentang diri seseorang itu. Tambah nilai atau susut nilai, dipersilakan! Jika padi tidak ditumbuk manakan dapat berasnya! Jika tidak dipecahkan ruyung, mana mungkin mendapatkan sagunya! Dan umpama manusia yang telah memiliki attribut emas sepuluh [24 ‘karat’], tidaklah perlu dibakar bagi mengetahui ketulenannya; melainkan mereka yang penuh berkarat, akan dituntut pembakaran, bagi memperoleh sebarang sisa-sisa ‘keemasan,’ jika masih ada!
Fahamkan benar-benar! 

8. KELEBIHAN DAN FADHILAT JIHAD DALAM ISLAM
Sila perhatikan QS.9:111, bermaksud;
‘Sesungguhnya, Allah membeli dari orang-orang beriman [Mukmin], baik diri maupun harta mereka, dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berperang [berJIHAD] dijalan Allah, sedangkan mereka membunuh atau terbunuh, [sebagai] janji yang benar dari Allah didalam Taurat, Injil dan Alquran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka, bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.’
Sila lihat firman Allah, QS. 4:95-96, bermaksud:
‘Tidaklah sama antara orang beriman yang duduk [yang tidak turut berperang], tanpa mempunyai uzur [halangan], dengan orang yang berJIHAD dijalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan darjat orang-orang yang berJIHAD dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk [tanpa turut berperang tanpa halangan]. Kepada masing-masing, Allah menjanjikan [pahala] yang baik [syurga], dan Allah melebihkan orang-orang yang berJIHAD atas orang yang duduk, dengan pahala yang besar.’
‘[yaitu] beberapa darjat daripadaNya, serta ampunan dan rahmat. Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.’   
Lagi firman Allah SWT. dalam QS.29:69, bermaksud:
‘Dan orang-orang yang berJIHAD [untuk mecari keredhaan Kami], Kami akan tunjukkan kepada mereka Jalan-Jalan Kami. Sungguh, Allah berserta dengan orang-orang yang berbuat baik.’ 

9. PERINTAH DAN KERAHAN BERJIHAD         
Sila rujuk QS.61:10-13, bermaksud:
‘Wahai orang-orang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?’
‘[yaitu] kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berJIHAD dijalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.’
‘Nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkan kamu kedalam Jannah yang mengalir dibawahnya sungai-sungai dan [memasukkan kamu] ketempat tinggal yang baik didalam Jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.’
’Dan ada lagi kurniaan yang lain yang kamu sukai [yaitu] pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat [waktunya]. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.’

Sila rujuk QS.9:41, bermaksud:
‘Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau merasa berat, dan berJIHADlah dengan harta dan dirimu [jiwa] dijalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.’
Dan lagi lihat QS.3:92, bermaksud:
‘Kamu sekali-kali tidak akan sampai kepada kebaktian [yang sempurna] sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.’
Dan lagi lihat QS.66:9, bermaksud:
‘Wahai Nabi! Perangilah orang-orang Kafir dan orang-orang Munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.’ 
Dan lagi lihat QS.2:190-193, bermaksud:
‘Dan perangilah [JIHAD]dijalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, [tetapi] janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.’
‘Kemudian jika mereka berhenti [dari memusuhi kamu], maka sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’
‘Dan perangilah [JIHAD] mereka itu, sehingga tidak ada lagi fitnah, dan [sehingga] ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti [dari memusuhi kamu], maka tidak ada permusuhan [lagi], kecualI terhadap orang-orang yang zalim.’
Dan lagi lihat QS.25:52, bermaksud:
‘Maka janganlah kamu taati [ikuti] orang-orang Kafir, berJIHADlah terhadap mereka dengannya [Alquran], dan dengan semangat JIHAD [perjuangan] yang besar.’

10. KATEGORI DAN PENJENISAN JIHAD – JIHAD PADA ISTILAH ATAU PADA LOGHAT
Dari kupasan dan pencerahan yang telah kita lakukan diatas, jelaslah bahawa perkataan JIHAD itu merangkumi pelbagai pengertian dan maksud, secara istilah [khusus] maupun secara loghat [am], seperti berikut:
  1. JIHAD DIRI DAN AGAMA
  2. JIHAD HARTA
  3. JIHAD NIAGA
  4. JIHAD EKONOMI
  5. JIHAD BANGSA
  6. JIHAD NEGARA
  7. JIHAD ILMU
  8. JIHADUN-NAFS DAN JIWA
  9. JIHAD IMAN DAN TAQWA
  10. JIHAD MASA DAN USIA
Penjenisan JIHAD 1-6 diatas adalah merupakan perjuangan yang bersifat zahiriah semata, dan disebut sebagai JIHAD SYUGRA [KECIL] atau JIHAD pada LOGHAT. Sedangkan kategori 7-10 adalah merupakan  perjuangan yang bersifat batiniah [Rohaniah/Spiritual], dan disebut sebagai JIHAD AKBAR [BESAR] atau JIHAD pada ISTILAH.

11.MUJAHADAT AL-NAFS ATAU JIHADUN NAFS ADALAH JIHAD AKBAR DAN JIHAD PADA ISTILAH DAN PALING TERUTAMA
Dalam hubungan ini, Rasulullah saw. telah bersabda, sebaik sahaja Baginda dan Mujahid atau pejuang-pejuang Islam, dalam perjalanan pulang, setelah mencapai kemenangan dalam satu peperangan menentang kaum Musyrikin Makkah, berbunyi dan bermaksud:
‘Raja’anaa minal jihaadil asghari ilal jihaadil akbar.’ HR Baihaqi.
‘Kita telah kembali dari Perang Kecil / al-Jihad al-Asghar menuju Perang Besar / al-Jihad al-Akbar.’ Yakni, perjuangan atau peperangan melawan dan menakluki hawa dan nafsu dalam diri sendiri.
Lebih tepat lagi, ini disebut sebagai Mujahadat al-Nafs, atau Jihadun-Nafs. Rasul saw. telah menetapkan bahawa perang Jihad melawan jiwa rendah dalam diri sendiri itu adalah lebih luhur dan lebih unggul dari perang suci menentang kaum Kuffar, kerana menguasai diri sendiri itu adalah lebih pedih dan sukar dilaksanakan! Bahkan peratusan insiden kegagalan adalah lebih tinggi! Maka Allah SWT mengingatkan.
Allah SWT. berfirman dalam QS.38:26, bermaksud:
‘Janganlah kamu menurutkan hawa-nafsu, nanti ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.’
‘ Sudahkah engkau [Muhammad], melihat orang-orang yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai Tuhan. Apakah engkau akan menjadi pelindung mereka? QS.25:43.
Dan lagi firman Allah SWT. dalam QS.12:53, bermaksud:
‘Sesungguhnya, nafsu Amarah [nafsu rendah] itu sangat cenderung terhadap melakukan kejahatan.’
Sahl al-Tustari asSufi menjelaskan:
‘Menekan, menentang dan menakluki hawa-nafsu dan jiwa rendah dalam diri itu adalah kepala dari segala tindak-tanduk ibadah, dan adalah juga mahkota dari semua tindak-tanduk Mujahadah. Malah, dengan demikian sahaja, manusia bisa dapat menemukan jalan menuju Tuhan.
Kerana, tunduk kepada jiwa rendah akan menyebabkan kebinasaan kepada diri. Sebaliknya, penguasaan atas jiwa rendah akan melahirkan keselamatan dan kemenangan. ‘
Sebagai perbandingan, para Malaikat, fitrahnya, terus menerus beribadah kerana mereka itu adalah makhluk Rohaniah, tanpa jiwa rendah [Nafs]. Nafs mencegah dan menegah manusia dari melakukan ketaatan, dan andai semakin ditundukkan, maka semakin jadi lebih mudah melaksanakan ibadah. Bilamana, Nafs [jiwa rendah]mampu dan berjaya dilenyapkan sepenuhnya, ibadah akan menjadi makanan dan minuman manusia, persis hal dan perkara ibadah menjadi makanan dan minuman para Malaikat. Fahamkan benar-benar!
‘Dan barangsiapa berJIHAD, sesungguhnya, JIHADnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kaya dari seluruh alam [tidak perlukan sesuatu.]. QS.29:6. 
‘Dan orang-orang yang berJIHAD untuk [mencari keredhaan] Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.’QS.29:69.

12.MUHASABAH [INTROSPEKSI DIRI] vs MUJAHADAH [JIHADUN NAFS]
Apabila seorang hamba itu telah dikurniakan Hidayah oleh Allah SWT. ia dapat melihat betapa dirinya telah tergadai keneraka Allah SWT., lantaran atas pelbagai maksiat dosa serta kelalaian terhadap Allah SWT. yang mengeruhi hidup dalam penitian usianya. Kaedah ini disebut sebagai Muhasabah [introspeksi diri], yakni menimbang dan mengaudit dirinya sendiri. Sayugia ia bertekad memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT. Seraya ia berazam menghukum dirinya dengan menentang arus keselesaan, bermalas-malasan serta kejahilan, lalu mengangkat dirinya kepesada disiplin ilmu, amalan ibadah kebaikan dan keagamaan. Ia sedia mendidik diri dan jiwanya dengan usaha keras, keyakinan, dan ketekunan bagi mencapai marifat diri dan Ketuhanan. Demikianlah perlakuan manusia pilihan Allah SWT. dalam melaksanakan pengabdiannya.
Muhasabah, menurut bahasa berasal dari perkataan haasaba, yuhaasibu, hisaaban wamuhaasabatan, yang bererti, menghitung-hitung. Pada istilah, ia bermaksud penyucian diri dan berhati-hati, baik dalam melaksanakan perintah Allah SWT. maupun dalam menghindari laranganNya. Justeru, Muhasabah adalah tergolong dalam salah satu wasilah dan cara/kaedah mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sila perhatikan QS.2:284, bermaksud:
‘Dan jika kamu melahirkan apa yang ada didalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu.’
Dan lagi QS.59:18, bermaksud:
‘Wahai orang-orang beriman! BerTaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok [akhirat]; dan berTaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.’
Saidina Umar ibnu Khattab ra. berkata: ‘Hisablah dirimu sebelum dihisab oleh Allah, dan timbanglah diri dan perbuatan kalian sebelum ditimbang oleh Allah.’
Yakni, menghitung diri dan melakukan introspeksi terhadap semua ucapan dan perbuatan lahir maupun batin yang telah dilakukan.      
Seharusnya, bukan bermimpi, seorang hamba Allah itu memberikan disiplin persyaratan-persyaratan terhadap dirinya sendiri dalam melaksanakan keadilan dan kebenaran, bermula pada pagi harinya, disepanjang usianya, dengan kaedah ‘tausiah [menasihati diri sendiri]; demikian pula pada waktu petang harinya, menuntut dirinya dan menghisabnya, atas segala perilaku gerak diamnya, sebagaimana yang wajib dilakukan oleh peniaga terhadap perniagaan dan dagangannya, pada setiap hari, bulan dan akhir tahunnya! Demikianlah besarnya harapan memperoleh keuntungan dari urusan dan pelaburannya; dan amat takut sekali jika mengalami kerugian, sehingga perjalanan waktu menjadi begitu pantas dan suntuk bagi melakukan urusan yang lainnya. Nah! Lalu bagaimana seorang yang sihat akal, terlebih-lebih lagi enggan membuka buku akaun diri; menghitung dan menghisab dirinya atas takdir dan nasib yang akan menimpa dan menentukan – apakah ia akan menemui bahagia atau pun celaka diakhir hidupnya untuk selama-lamanya! Sehingga Allah SWT. berfirman, bermaksud: ‘Bacalah kitab kamu dalam diri kamu, dan cukuplah dirimu pada hari ini sebagai saksi.’       
Dikhabarkan, Umar ibnu Khattab ra. ketika hari menjelang malam, lantas beliau memukul-mukul kedua tapak kakinya, dengan sebatang kayu, lalu berkata: ‘Apa saja yang telah engkau perbuat pada hari ini?
Maimun bin Mahran berkata: ‘Tidaklah seorang itu termasuk dalam golongan hamba yang berTaqwa, melainkan ia menghisab [mengintrospeksi] dirinya lebih serius daripada seorang pedagang meng hitung-hitung akan hasil untung rugi dagangannya, seperti kaedah pedagang selalu menghitung-hitung hasil untung rugi setelah selesai berdagang.’
Berkenaan firman Allah yang berbunyi, ‘Wala uqsim binafsi lawwamah,’Al-Hasan telah berkata: ‘Seseorang tidak sampai kepada keimanan kecuali jika ia selalu menyesali dirinya sendiri; apa yang kau kehendaki dengan pembicaraanku ini? Apa yang aku kehendaki dengan makananku ini? Dan apa yang ku kehendaki dengan seteguk air ini? Sedangkan sipemaksiat terus menerus melakukan maksiat, tiada satu langkah pun yang ia sesali!’
Seorang Sahabat, Abdur-rahman bin Amr al-Auzai ra. berkata: ’Tiada detik dan saat dalam hidup ini melainkan akan disodorkan keadaannya didepan setiap hamba kelak dihari akhirat, hari demi hari dan detik demi detik. Satu detik sahaja yang berlalu tanpa ada Dzikrullah didalamnya, nescaya dirinya terputus-putus dalam kerugian. Lalu bagaimana apabila sekian detik, sekian waktu, dan sekian hari yang berulang-ulang kosong dari Dzikrullah itu?’  
Berkata Malik bin Dinar ra.: ‘Saya mendengar al-Hajjaj berkhutbah: ‘ Allah SWT. menyayangi seseorang yang menghisab dirinya, sebelum ia menghisab orang lain. Allah SWT. menyayangi seseorang yang mewaspadai perbuatanya sehingga ia melihat apa yang ia kehendaki dengan perbuatannya itu. Allah SWT. menyayangi seseorang yang melihat takarannya dan timbangannya.’ Beliau berkata-kata sehingga membuatkan ia sendiri menangis.
Justeru, sayugianya bagi seseorang yang sihat akal, hendaknya pada akhir malam menjelang tidur, mencari waktu dan kesempatan untuk bersemadi diri, berintrospeksi dan mentafakkurkan diri dihadapan Ilahi!     
Berkata Imam asSyafii rahimahumullah: ‘Manusia sentiasa berada dalam kerugian kerana kelalaian,’ lalu beliau membacakan QS. al-Ashr. Beliau membahagikan malam kepada tiga bahagian, yakni sepertiga pertama untuk menulis, yang kedua untuk solat dan yang terakhir untuk tidur.
Saidina Umar r.a, pernah menghukum dirinya ketika beliau tertinggal solat berjemaah, dengan bersedekah sebidang tanah berharga 200,000 dirham.
Ibnu Umar ra., apabila tertinggal sekali sahaja solat berjemaah, maka beliau bingkas bangun satu malam penuh, bahkan mengakhirkan solat subuh hingga dua bintang [tanda fajar sadiq] terbit, lalu beliau memerdekakan dua orang hamba sahaya.
Ibnu Abi Rabiah pernah tidak melakukan solat dua rakaat fajar [Qabliah subuh], maka beliau memerdekakan seorang hamba.
Sebahagian para sahabat ada yang berpuasa setahun, atau haji dengan berjalan kaki, atau bersedekah dsbnya, dengan sepenuh hati untuk mengikat dan menghukum diri bagi meyakinkan keselamatan atas diri mereka.   
Isteri Masruq berkata, ‘Tidak pernah aku melihat Masruq, suamiku [seperti Rasulullah saw.] melainkan bengkak kedua betisnya kerana lama melakukan solat. Demi Allah, setiap kali aku duduk dibelakangnya, pastilah aku menangis kerana merasa kasihan terhadapnya!’
Aswad bin Yazid, kerana gigih beribadah dan berpuasa dimusim panas sehingga jasadnya menjadi kuning dan pucat.
Syilah bin Asyim al-Adawi melakukan solat panjang sehingga kembali merangkak ketempat pembaringannya.
Tamim al-Dary diberitakan pernah tidur satu malam tanpa melaksanakan solat tahajjud, lalu bangun malam beribadah selama satu tahun, untuk menghukum dirinya atas kepongahan dan kelalainnya.
Ikrimah Maulana bin Abbas ra. Membahagikan malam kepada tiga bahagian, sepertiga untuk tidur, sepertiga untuk mentelaah ilmu [Alquran dan hadith], dan sepertiga lagi untuk solat.

Al-Hasan ra. ditanya: ‘Mengapa keadaan para Mujtahid itu sebagai yang terbaik wajahnya?’ Beliau menjawab: ‘ Kerana mereka bersepi-sepi bersama Tuhan Yang Maha Pengasih, dan kerana itu Dia Mengurniakan pakaian cahaya dari CahayaNya.’
Kaedah Muhasabah serta Mujahadah [Jihadun Nafs] mendapat pencerahan dari dalil-dali berikut:
‘ Apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk [menerima] Agama Islam , lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya, [sama dengan orang –orang yang kesat/ membatu hatinya] untuk [berDzikir] mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.’ QS.39:22
‘Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya diwaktu pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaanNya. Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka [kerana] mengharapkan perhiasan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikuti orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaan itu melewati batas.’ QS.18:28.
‘ Lambung mereka jauh dari tempat tidur mereka; mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan merasa TAKUT dan penuh HARAP; dan mereka INFAQ sebahagian dari rezeki Kami berikan kepada mereka.’  QS.32:16.
Sebahagian Ahli Hikmat berkata: ‘Sesungguhnya, Allah SWT. memilik hamba-hamba yang Dia anugerahkan kenikmatan sehingga mereka terbuka hati dan hijab lalu berMusyahadah dan berMarifat kepadaNya. Mereka hanya taat, tawakkal, dan menyerahkan segala urusan kepadaNya. Dengan demikian, hati mereka menjadi gudang dan wadah kejernihan, keyakinan dan sumber hikmah, khazanah bagi keagungan dan kekuasaanNya. Mereka, disisi makhluk adalah antara menghadap dan berpaling. Hati dan Rohani mereka bertawaf dan berputar menjelajahi alam Malakut, merasa nikmat dalam tempuran Mujahadah, pendakian Mukasyafah, Muraqabah serta Musyahadah, kemudian kembali dengan pelbagai natijah intisari dari Latifah [Lathaif], Muqabalah dan Mukafahah sebagai Fawaid, yakni Haqqul Yaqin Ilmu dan Marifat; dan apa sahaja, yang tidak mungkin dapat dinukilkan, digambarkan, disifatkan, bahkan, difahami umum. Pada Batin Rohaniahnya, urusan mereka adalah laksana sutra yang maha indah; namun pada zahir persepsi, kelihatan mereka laksana perca yang tersia-sia! Kehadiran mereka tidak disedari atau dimanfaati, dan kehilangan mereka tidak dicari! Sungguh, ini adalah suatu Tarekat [Jalan] yang sukar dan tidak mudah dicapai melainkan dengan, disamping usaha keras [Mujahadah] mendapat pula restu keredhaan kurnia dan anugerah Allah SWT., hanya bagi hamba-hambaNya yang Dia Kehendaki.’

13. KEBERANIAN BERJIHAD.
AKHIR KALAM: KEBERANIAN ORANG AWAM: MEMERANGI PARA KUFFAR;
            KEBERANIAN ORANG SOLEHIN: MEMERANGI HAWA NAFSU;
            KEBERANIAN ORANG ARIF BILLAH: MENZUHUDKAN DUNIA DAN AKHIRAT&SELAINALLAH.      
Arifbillah berkata: ‘Mujahadah itu adalah medan laga bagi kanak-kanak; sedangkan Musyahadah itu sebenar-benarnya medan tempur bagi orang-orang dewasa!’
‘Siapakah yang lebih baik Agamanya dari orang-orang yang dengan ikhlas berserah diri kepada Allah, sedangkan dia mengerjakan amal kebaikan dan mengikuti Agama Ibrahim yang lurus?’ QS.4:125.

14. KESEDERHANAAN
Rasulullah bersabda: ‘Berzuhud didunia dapat mententeramkan hati dan tubuh, sedangkan berharap kepada dunia dapat menimbulkan dukacita dan kesedihan.’
Sikap kesederhanaan dalam hidup adalah perisai manusia menghindari terjebak kelembah ekstremisme dan kedurjanaan; disaat kedurjanaan, kebutaan, kejahilan dan kesesatan tumbuh bersemarak disana-sini. Api keganasan dan ketidak-adilan yang kian bersemarak menandakan mulai pupusnya Marifat dan pemahaman manusia atas realiti dan kebenaran dalam hidup. Malapetaka kemanusiaan yang meluas, saat kita tidak lagi berjalan diatas sirat yang lurus, serta tidak lagi mampu dan berani mempertahankan keadilan!
Maka berhati-hatilah dari pelbagai godaan yang boleh menjerumuskan kita kedalam kubang kedurjanaan, kemaksiatan dan kesesatan; yang bisa memutuskan kita dari keutamaan kurnia, perlindungan dan penjagaan Yang Maha Penjaga! Fahamkan benar-benar!
DUHAI IKHWAN!
Pohonkanlah kesejahteraan dan keselamatan serta perlindungan Tuhan dari semarak zaman fitnah yang tidak menentu. Dan jadikanlah umat yang Mujjadid, dan kental menyebar dan mempertahankan keadilan dan kebenaran, disamping memerangi kedurjanaan. Jadilah umat yang sentiasa menebar benih kasih sayang yang mengikat jalinan cinta sesama, dalam Marifat Agama dan Marifat Tuhan!
Dengan barokah, selawat dan salam tercurah kepada Sang kekasih Muhammad saw. dan Ahl- Bait yang disucikan; selama para pengusung keadilan mampu menepis badai kedurjanaan!

WABILLAH HITTAUFIQ WAL HIDAYAH.  
ALHAMDULILLAH. TABARAKALLAHU RABBUL ‘ALAMIN.
BLOG TN. MADRASATUL BAITUL ADAM [MBA], MALAYSIA.1 MEI.2015.    

Friday, May 15, 2015