Saturday, July 18, 2009

ILMU HAQ

ILMU HAQ

PANAS! PANAS! PANAS!

Salam pertemuan kembali kepada Sahabat-sahabat budiman.

Jika anda teruja dengan katakunci diatas, memang seharusnya! Kerana kata-kata tersebut boleh memberi kiasan dan kesan seperti berikut:

1] Suatu pendedahan terhadap suatu ilmu yang sering dianggap 'TABOO', diberi penghuraian/penjelasan ilmiah dalam bahasa yang mudah difaham oleh khalayak, walau pun yang
tidak berpendidikan formal, dengan menggunakan teknik dan olahan penyampaian yang menarik dan mengujakan! [Rude awakening to the secrets of Secrets]

2] Suatu pendedahan yang menyangkal/menempelak pendirian pihak Berwajib dan sekutu-sekutunya terdiri dari 'Ulama-ulama' bersarjana dan Individu-individu berpengaruh atau yang beranggapan status 'Ulama' mereka telah mendapat accreditasi dari Allah; namun mereka adalah terdiri dari barisan anti-TARIKAT TASAWWUF.

3] Sesuatu yang bersifat TABOO dan CONTROVERSI lazimnya akan menarik dan memukau perhatian manusia. Demikianlah dengan ilmu Tarikat/Tasawwuf ini yang amat panas dan rancak dibincang oleh pelbagai lapisan masyarakat dewasa ini, tak kira dari kalangan mereka yang berilmu atau pun yang jahil, melalui pelbagai media elektronik[internet] dan cetak, sehingga tiada pertemuan noktah terakhir.Pihak yang membenar dan menyangkal masing-masing punyai alasan sendiri walau pun terdapat alasan-alasan mereka yang mungkin tidak berpijak diatas kebenaran dan kenyataan!

4] Penulis dapat merasakan bahang kepanasan bayangan dari sentuhan api Neraka akibat
dari ketidak-jujuran, ketidak-ikhlasan dan ketidak-adilan kita dalam melaksanakan tanggung
jawab kita yang berfungsi antara lain sebagai pemerintah, pembuat Fatwa, pentadbir Agama,
pendakwah/dai’, individu dan lain-lain. Seharusnya, kita semua mengamalkan sikap amar
ma’ruf nahi mungkar, berjuang Fi Sabilillah dan terlebih afdhal, berjihaddunNafs, menegakkan
Hak kebenaran Agama, dan bukannya menyembunyikan kebenaran, melemahkan dan
meruntuhkan Agama; terlebih buruk ialah menghalang kebenaran itu dari sampai kepengetahuan
dan kefahaman khalayak rakyat jelata!

Bagi penulis, yang terlebih kritis adalah keperluan pendedahan dan pendirian pihak berwajib dalam menangani isu ini, kerana ia melibatkan anutan kepercayaan dan keimanan umat Islam seluruhnya diNegara ini.Pihak berwajib haruslah bersifat jujur dan ikhlas pada diri sendiri dalam membuat keputusan dan tidak bertindak dibawah pengaruh dan kepentingan mana-mana pihak;justeru, berani pula bertanggungjawab sepenuhnya didepan MahaHakim Rabbul Jalil dihari Kebangkitan nanti!

Tidaklah dapat dibayangkan tragedi, onar dan malapetaka yang akan ditanggung oleh seluruh umat Islam diNegara ini andainya kepercaaan dan amalan mereka dipaksi dan dipaksakan keatas mereka oleh FATWA yang khilaf dan seleweng! Na'uzubillah!

2] NAS ATAU SUMBER INTISARI AGAMA ISLAM SEBENAR

Sila perhatikan Hadith Rasulullah berikut, riwayat Muslim, daripada ‘Umar, bermaksud;

‘ Sahabat bersabda: Sedang kami semua duduk disisi Rasulullah S.A.W. tiba-tiba melihat kami
seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, yang mana tidak kelihatan
bekas perjalanannya, dan tidak kenal akannya oleh seseorang dari kami, hatta, duduk ianya
disisi Rasulullah S.A.W., maka dipertemu ia akan dua lututnya dengan dua lutut Junjungan
kita yang maha mulia dan meletak ia akan dua tapak tangannya keatas ribanya Rasulullah
S.A.W. dan berkata ia:
‘ Hai Muhammad! Hendaklah engkau khabarkan kepada aku Rukun Islam?’

Maka sabda junjungan kita S.A.W :

‘ Rukun Islam itu bahawa engkau berikrar dan beri’ktikad, bahawasanya tiada Tuhan melainkan
Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Dan engkau dirikan sembahyang
lima waktu, dan engkau beri zakat, dan engkau puasa dibulan Ramadhan, dan engkau mengerjakan
Haji jika kuasa.

’ Berkata lelaki tadi: ‘ Benarlah engkau.’

Sahabat-sahabat bersabda: ‘Hairanlah kami kerananya, ia bertanya ia juga mengatakan benar!

Setelah itu bertanya lagi ianya [lelaki]:

‘ Khabarkanlah Rukun Iman?’

Ujarnya S.A.W:

‘ Bahawa engkau percaya dengan Allah, dan malaikatNya, dan segala kitabNya,
dan segala RasulNya, dan hari qiamat, dan percaya engkau dengan takdir – baik dan jahat.’

Katanya: ‘ Benarlah engkau, ya Muhammad!’

Katanya: ‘ Hendaklah engkau khabar apa erti IHSAN?’

Sabda Junjungan S.A.W:

‘ Bahawa engkau sembah akan Allah Ta’ala seolah-olahnya engkau melihat akan Dia, maka jika
tiada engkau melihat akanNya, maka sesungguhnya Dia Allah melihat akan dikau.’

Kemudian pergilah lelaki itu, maka para sahabat masih tinggal menantikan hasil perbincangan itu.

Berkata sahabat: Diamlah kami sebentar, kemudian bersabda
Rasulullah S.A.W:

‘ Hai ‘Umar! Adakah mengetahui kalian siapa tamu/lelaki yang bertanya itu?’

Jawab Saidina ‘Umar:

‘ Allah dan RasulNya yang mengetahui.’

Bersabda Rasulullah S.A.W:

‘ Itulah Jibril datang ianya kepada kamu buat mengajar kesimpulan dari pokok-pokok Agama kamu.’
[ Riwayat Muslim, daripada Saidina ‘Umar]

Didalam kitab ‘Thabaqatus Syafiiyatul Kubra’ Ulama besar Tajuddin Assubky menyatakan:

‘Hadith ini sangat agung, menjadi pokok daripada pokok-pokok Agama. Bahawa Hadith inilah
berkisar kepada Agama Islam sebenarnya seperti sabda Rasulullah, “ Inilah tadi Malaikat Jibril a.s.
yang datang mengajarkan tentang pokok-pokok yang terpenting dalam soal Agama.’




Dari Hadith tersebut menjadi jelas maksud intisari Syariat Agama Islam pada hakikatnya
boleh dirumuskan kepada tiga pokok atau tiga serangkai,seperti berikut.

1] Ilmu Fiqh [Ilmu Hukum-hakam Islam] di isyaratkan/dimaksudkan ‘ISLAM’
2] Ilmu Tawhid [Ilmu Usuluddin] di isyaratkan/dimaksudkan ‘IMAN’
3] Ilmu Tarikat/Tasawwuf di isyaratkan/dimaksudkan ‘IHSAN’

Dalam hubungan ini Imam a-Junaid, Imam besar Sufi berkata:

‘ Mazhab kita ini [Ilmu Tasawwuf] adalah terikat oleh al-Quran dan Sunnah. Barangsiapa yang belum/tidak belajar al-Quran dan Hadiths serta tidak pula pernah duduk didepan para Ulama
[menjadi murid], orang tersebut tidak boleh diikuti didalam kegiatannya dalam ini Tarikat.’

Amatlah jelas bahawa paksi dan petunjuk dari al-Quran dan Hadiths adalah menjadi dasar
pegangan untuk dijadikan dalil terhadap ilmu Tarikat/Tasawwuf termasuk sebagai Ilmu Syariat.
Tegasnya, Tasawwuf adalah serangkaian dari Ilmu Syariat dan Ilmu Syariat pula WAJIB diketahui
bagi setiap Muslim Mukallaf.

Dalam hubungan ini juga Imam Malik merumuskan fahaman ini:

‘ Barangsiapa berFiqih/berTawhid sahaja tanpa berTasawwuf, nescaya menjadi Fasiq
[tidak bermoral],dan barangsiapa bertasawwuf sahaja tanpa berFiqih/berTawhid, nescaya
ia menjadi golongan Zindiq [penyeleweng Agama]. Dan barangsiapa melakukan kedua-duanya nescaya ia menjadi golongan Islam yang Hakiki/tulen.’

Justeru, I’tibar yang dapat kita ambil dari keterangan diatas tersebut bahawa, barangsiapa
diantara orang-orang Islam yang tidak berTasawwuf dalam melaksanakan Aqidah dan Syariah
dalam Agamanya, maka, hukumnya adalah FASIQ.

3] WASPADA


Ada kalanya, Tasawwuf boleh membawa seseorang menjadi sesat, dan musyrik apabila seseorang
berTasawwuf tanpa berTawhid dan berSyariat.
Tegasnya, Tawhid menerbitkan Iman, Syariat pula menerbitkan taat. Dengan Tawhid kita dapat
mengetahui bahawa Tuhan itu ada. Dengan Syariat pula kita dapat menuruti peraturan-peraturan
dan hukum-hakam dalam ibadah kita.
Dan terlebih penting, dengan Tasawwuflah, kita dapat merasa dan mengenal sebenar Tuhan untuk mempersembahkan amal ibadah kita!

Seperti FirmanNya, bermaksud:

‘ Dan tidak Aku jadikan Jinn dan Manusia melainkan supaya mereka mengenal/menyembah AKU.’
Az-Zariat, 56.

4] HAKIKAT TASAWWUF

Dengan TarikatTasawwuf sahaja seseorang itu dapat mengenal Tuhan, bukan sekadar mengetahui
bahawa Tuhan itu wujud, malah dapat benar-benar merasakan kewujudanNya!

Terlebih penting, Tasawwuf adalah merupakan dasar pokok kekuatan batin [rohani], pemupuk Iman,
pembersih jiwa, penjernih dan peyubur amal soleh hanya semata-mata menuntut keredhaan Allah,
memperkasa jihad dan daya juang yang tinggi dalam mujahadah jiwa dan sebagai kunci bagi
mengenal Tuhan. Apabila pembinaan modal insan dengan tatacara hidup berpaksikan kepada dasar-dasar tersebut, Agama Islam kita pastinya berupaya membangunkan kerajaan dan kemajuan Negara, bahkan dunia, untuk kesejahteraan dan kemakmuran Umat Manusia didunia dan akhirat.
[Baldatun toyyibatun warobbun ghafur].


5] DARI MANAKAH SUMBER AJARAN TASAWWUF?

Terlalu banyak dan kerap sekali persoalan, pertikaian dan penyangkalan dari umat Islam, malah
dari pihak-pihak Berwajib sendiri disetiap zaman yang telah amat keliru dengan isu pengamalan dan sumber ilmu TarikatTasawwuf ini, dan telah sekian banyaknya penjelasan melalui nukilan-nukilan kitab dan pelbagai media cetak; namun masih belum menemui noktah muktamad!

Antara persoalan sinis dan mengejek berbunyi seperti berikut:

1] Apakah Ilmu Tasawwuf itu telah berada dizaman Nabi?
2] Kenapa mesti ada Ilmu Tasawwuf ini, bukankah ia bid’ah?
3] Tak perlu lagi Ilmu Tasawwuf kerana ia telah lama mati dan terkubur.
4] Ilmu Tasawwuf ini berasal dari campuran agama Hindu, Buddha dan Neo-Plato.
5] Apakah tak cukup al-Quran dan Hadith?
6] Cukuplah Islam, tak perlu dikecai-kecaikan Agama Islam ini!
7] Zaman moden ini tak mainlah ilmu Mistiq-mistiq nanti mistake!
8] Ilmu selain dari al-Quran dan Hadith adalah bid’ah, khurafat dan sesat!

Sebetulnya, nama Tasawwuf memang belum wujud dizaman Nabi; demikian pula halnya dengan ilmu-ilmu lain seperti Ilmu Fiqh, Ilmu Kalam, Ilmu Alam, Ilmu Hadith, Ilmu Tafsir, Ilmu Syaghaf, Balaghah, Nahu, Mantiq dan lain-lain. Begitu pula dengan ilmu kimia, ilmu fizik dan roket sains, tapi begitu mudah
dewasa ini semua manusia menerimanya, baik yang cerdik mahu pun yang bodoh! Tapi Tasawwuf tak
mungkin, ia terlalu pelik, menggerunkan, menghantu! [‘Over my dead body, please!’] ujar mereka!

Ini adalah catatan sejarah sebagai fakta. Namun, setelah tamaddun dan kemajuan umat manusia tumbuh berkembang, menjurus kemajuan mencakupi pelbagai bidang kehidupan, pastinya melalui perkembangan Ilmu dengan pelbagai pula cabang-cabangnya, maka terciptalah berbagai-bagai nama dan ilmu, tanpa dipersoalkan lagi. Tamaddun manusia akan kian berkembang terus sejajar dengan keperluan penghidupan, dengan penemuan kaedah baru dan saintifik, demi kemaslahatan hidup manusia didunia.

Firman Allah, bermaksud:

‘ Ketahuilah, jika sekiranya lautan menjadi tinta untuk dituliskan Kalimat-kalimat Tuhan, sungguh
habislah ia sebelum habis ditulis Kalimat-kalimat Tuhan, meski pun didatangkan tambahan sebanyak itu lagi.’ Al-Kahfi:109.

Ironinya, yang tidak berkembang malah terus terbungkam mati adalah keperluan berAgama dan berTuhan! Hanya orang-orang yang jumud pemikiran, otak membeku,buta, pekak, bisu, ngok dan
jahil murakab yang tidak akan pernah mendapat hidayah untuk memahami dan menerima hakikat
perkembangan/evolusi Ilmu Agama mereka yang bernama TarikatTasawwuf!

Professor Dr.Hamka dalam bukunya menyatakan bahawa Tasawwuf Islam itu telah timbul sejak
timbulnya Agama Islam itu sendiri. Ia tumbuh didalam jiwa pendiri Islam itu sendiri, iaitu, Nabi Muhammad S.A.W. dan disauk air/hikmahnya dari al-Quran sendiri.
Bahawa Tasawwuf itu adalah satu pusaka yang terpenting yang mempengaruhi perasaan jiwa dan pemikiran Kaum Muslimin. Tasawwuf membersihkan jiwa dari pengaruh alam benda[materi] supaya
dia mudah menuju kepada Allah.

Basyir al-Haris berkata: ‘Orang-orang Sufi ialah yang telah bersih hati jiwanya semata-mata untuk Allah.’


Abu Muhammad al-Jurairi berkata: ‘ Tasawwuf ialah masuk kedalam budi mulia menurut contoh dari
Rasulullah dan keluar daripada budi yang rendah.’

Syaikhul Islam Zakaria al-Ansary berkata: ‘ Tasawwuf ialah Ilmu yang menerangkan hal-hal tentang
mensucibersihkan jiwa, tentang cara memperbaiki akhlak dan tentang cara pembinaan kesejahteraan zahir batin bagi mencapai kebahagiaan yang abadi.’

Justeru, berTasawwuf bererti mensucikan diri zahir batin dalam satu pendidikan ethika[budi pekerti]
dengan menempuhi kaedah atau jalannya[ bernama Tarikat] atas dasar didikan berupa amalan bertingkat-tingkat hingga mencapai matlamatnya.

Seperti kata al-Ghazali: ‘ Menempuh jalan/Tarikat ini memerlukan tanjakan-tanjakan batin. Hal ini
memerlukan pengosongan batin manusia, kemudian mengisinya pula dengan pelbagai Zikir kepada Allah. Penanjakan-penanjakan itu harus dimulai dari satu tingkat kesatu tingkat sehingga mencapai tingkatan yang lebih tinggi, jauh dari ukuran kata-kata.

Bahawa mendekati Tuhan dan merasa adanya[wujud] Tuhan dan Makrifatkan Tuhan, hanya
dapat diperolehi dengan menempoh satu jalan, yaitulah jalan yang ditempoh oleh kaum Sufi.
Bahawa aku yakin benar-benar kaum Sufiyah itulah yang benar-benar telah menempoh jalan yang dicontohi oleh Nabi yang dikehendaki oleh Allah.’

6] PRIBADI SAIDINA MUHAMMAD RASULULLAH SAW.

Selain dari petikan Hadith diawal risalah ini yang memberi tahu kita bahawa pengertian IHSAN
itu adalah juga sinonim dengan Ilmu Tasawwuf, kita juga boleh meneliti rentetan perjalanan hidup, pendekatan dan pendirian pribadi Rasulullah terhadap banyak perkara dalam perjuangan dan penyebaran dakwah Islamiah.

Hidup berTasawwuf/kerohanian adalah seperti hidup yang dilakukan oleh Rasulullah baik sebelum
Baginda menjadi Nabi/Rasul mahu pun sesudah baginda menjadi Nabi/Rasul.Demikian pula dengan kehidupan para Sahabat-sahabat, Tabiin-tabiin dan seterusnya sampailah kezaman kita kini.
Disamping al-Quran menjadi pokok, Sunnah/Hadith merupakan penjelasan penting, dan Tasawwuf
pula menjadi Roh dan urat nadi kepada pelaksanaan ajaran-ajaran Ilmu Islam tersebut.

Diriwayatkan, pada suatu hari datanglah Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad S.A.W. menyampaikan
Salam Tuhan dan bertanya.

‘ Manakah yang engkau suka ya Muhammad, menjadi seorang Nabi yang kaya raya seperti Nabi
Sulaiman atau menjadi Nabi yang miskin seperti Nabi Ayub? Lalu Baginda menjawab,
l‘ Aku lebih suka kenyang sehari dan lapar sehari. Jika kenyang aku bersyukur pada Tuhan.
Jika lapar aku bersabar atas cubaan Tuhanku.’

Kehidupan yang demikianlah Baginda anjurkan kepada umatnya. Baginda bersabda,
‘ Zuhudlah terhadap dunia, supaya Tuhan mencintaimu. Dan zuhudlah terhadap apa yang ditangan manusia agar manusia pun mencintaimu.’

Begitulah sederhananya kehidupan Rasulullah sebagai seorang Sufi sesudah menjadi Nabi dan
Rasul. Baginda telah lebih awalnya melatih dirinya menyendiri berkhalwat diGua Hira, mengasah
dan mengasuh jiwanya, bertekun, berjihad, bertafakkur, berfikir, berzikir, bermunajat, memperhatikan alam berserta susunannya, memperhatikan segalanya dengan mata hatinya, menjadikan pandangan zahir batinnya suci bersih, membentuk kepribadian luarbiasa dan sempurna.

Kehidupan kerohanian yang tinggi sebeginilah yang diteladani oleh para Sahabat, Abu Bakar,
Omar, Osman, Ali dan dan Tabiin seterusnya.
Kehidupan yang ditegakkan diatas kemurnian jiwa dan kesucian hati amat memperkasa Iman,
keyakinan dan kekuatan dalaman[batin].

Dengan keberkatan hidup kerohanian begini mendapat dokongan Allah dalam menegakkan suatu
Negara bagi menjunjung tinggi Agama Allah, sehingga jatuhnya kekuasaan musuh-musuh dibawah
tapak kaki mereka, hancur leburnya singgahsana Kaisar Roma, robohnya mahligai Kisra Parsi,
dan berpindahnya kunci kekayaan Barat dan Timur, dengan harta kekayaan melimpah bertimbun,
ketangan umat Islam, dibawah teraju Rasulullah S.A.W.sebagai Rasul, pendiri Negara, Kepala Perang,
dan Ahli Siasah, yang mana sendi-sendi kekuatan itu berpaksi kepada hidup kerohanian sebagai
pemacu kekuatan batin [dalaman].

Namun, bukanlah itu matlamat sebenarnya, melainkan ia adalah sebagai kaedah meneruskan
perjuangan lebih besar kejalan Allah.

Ditengah-tengah kilau kemilau kuasa dan kekayaan melimpah-ruah, tidak sedikit pun Rasulullah dan
para Sahabat sebagai pemerintah terpedaya dengan godaan dan keserakahan hawa nafsu dan
hambatan dunia yang menyongsong kemenangan dan kegemilangan pencapaian dan penguasaan
mereka. Tidak seperti dizaman-zaman yang kita sendiri maklumi bahkan diwaktu ini, dan pada generasi
kita ini, walau cemerlang sekali dalam penguasaan ilmu dan materi, namun kerdil dan muflis [bankrap]
dalam pengendalian pribadi!

Dalam hubungan ini Rasulullah pernah menyatakan dalam sebuah Hadithnya yang bermaksud:

‘ Sebaik-baik manusia adalah 100 tahun pada masaku, kemudian zaman mereka yang mengiringi mereka; kemudian bertebaranlah kedustaan. Maka janganlah kamu bersandar akan perkataan mereka dan perbuatan mereka itu.’

Dari bayangan Hadith tersebut hanya 300 tahun sepeninggalan Rasulullah, umat Islam telah mulai
menderita penularan perbagai penyakit, tanpa dibendung akan mengakibatkan kehancuran,
fizikal, moral dan spiritual.

7] PERINGATAN DAN TEGURAN

Rasulullah juga pernah ditegur dan diperingatkan oleh Allah, antara petunjuk dan FirmanNya, bermaksud:

‘ Dan bersabarlah kamu bersama-sama orang-orang yang menyeru Tuhannya dipagi dan senja
hari dengan mengharap keredhaanNya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka
[kerana] mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah mengikuti orang-orang
yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan
adalah keadaannya itu melewati batas.’ Al-Kahfi:28.

Dan FirmanNya lagi , bermaksud:

‘ Maka berpalinglah, hai Muhammad dari orang-orang yang berpaling dari peringatan Kami, dan tidak mengingini kecuali kehidupan duniawi.’ An-Najm:29.

Dan firmannya lagi, bermaksud:

‘ Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.’ al-Ankabuut:64.

Dan FirmanNya lagi, bermaksud:

‘ Dan berilah perumpamaan kepada mereka [manusia], kehidupan dunia ini adalah sebagai air hujan yang kami turunkan dari langit, maka menjadi suburlah kerananya tumbuh-tumbuhan dimuka bumi, kemudian, tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah maha Kuasa atas segala sesuatu.’ Al-Kahfi; 45.

‘ Hidup dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.’ Al-Kahfi: 46.

Dan firmanNya lagi, bermaksud:

‘ Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang
melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning, kemudian menjadi hancur. Dan diakhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain, hanyalah kesenangan yang menipu/memperdaya.’ Al-Haddid:20.


Dan lagi Firmannya, bermaksud:

‘ Sesungguhnya, harta dan anak-anakmu hanyalah fitnah/ujian [bagimu], dan disisi Allah-lah pahala yang besar.’ at-Taghaabun:15 dan al- Anfaal:28.

Dan lagi FirmanNya lagi, bermaksud:

‘ Hai orang-orang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu menghalangi/melalaikan
kamu dari berzikir/mengingati Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah
orang-orang yang merugi.’ al-Munaafiquun:9.

Dan lagi firmannya, bermaksud:

‘ Kaum Kerabat dan anak-anakmu sekali-kali tiada bermanfaat bagimu pada hari kiamat.
Dia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.’
Al- Mumtahanah:3.

Dan FirmanNya lagi, bermaksud:

‘ Dihari harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan
hati yang salim [suci bersih].’ asy-Syu’araa:88-89.

Dan lagi FirmanNya, bermaksud:

‘ Berimanlah kepada Allah dan RasulNya, dan berjihadlah dijalan Allah dengan harta dan jiwamu.
Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.’ ash-Syaff:11.

Dan lagi FirmanNya, bermaksud:

‘Tahukah kamu akan akhirat yang tiada boleh diri seseorang menggantikan diri orang lain, dan tiada diterima pertolongan daripadanya dan tiada diambil sesuatu buat menggantikannya, sedang mereka tiada mendapat pertolongan.’ Al-Baqarah:48.

Dan lagi FirmanNya, bermaksud:

‘ Dan takutlah akan Hari Kiamat. Diwaktu itu tidak dapat ayah mempertahankan anaknya dan tidak pula anak mempertahankan ayahnya sedikit pun. Sesungguhnya perjanjian Allah sebenarnya. Sebab itu janganlah kamu terpedaya oleh hidup didunia dan jangan pula oleh Syaitan yang penipu.’ Al-Luqman:33.


Dan FirmanNya lagi, bermaksud:

‘ Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka
lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang Fasiq.’ al-Hasyr:19.

Dan lagi Firmannya, bermaksud:

‘ Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main
sahaja dan bahawa kamu tidak dikembalikan kepada Kami.’ Al- Mu’minun:115.

Dan FirmanNya lagi, bermaksud:

‘ Kembalilah kamu kepada Tuhanmu serta tunduklah kepadaNya sebelum tiba siksa kepadamu,
kemudian daripada itu kamu tidak mendapat pertolongan lagi.’ Az-Zumar:54.

Rumusannya, dalil-dalil diatas, malah masih banyak lagi ayat-ayat al-Quran, antara yang menjadi
sintisis dan mendasari prinsip-prinsip hidup kerohanian [TarikatTasawwuf], teguh memperkasa
keimanan dan kepribadian Rasulullah serta para Sahabat sekeliannya.

8] BAGAIMANA TASAWWUF DIGARAB

Betapakah sifat/pribadi kaum Muslim dan muslimat dalam pelbagai aspek kehidupan dizaman Rasulullah.
Kehidupan yang diberkati dan diredhai Allah yang amat dirindui dimasa kini. Itulah Agama Islam sebenarnya.Catatan sejarah juga menyatakan tidak ada Sahabat Nabi yang tidak patuh kepada Agama.
Semua mereka adalah berilmu, wara’, abid, ‘ubudiah, bahkan semuanya cinta [rabitah] kepada Allah dan RasulNya, malah melebihi cinta daripada diri mereka sendiri, keluarga, pangkat dan harta. Pemikiran
mereka terus menjurus kepada menuntut keredhaan Allah dalam setiap gerak dan diam mereka.
Tegasnya, kehidupan seharian dizaman Rasulullah sehingga kezaman Khulafaurrasyidin tidak akan
pernah terpisah dari hidup kerohanian yang telah mempelopori ciri-ciri dan sifat hidup berTasawwuf, sehinggalah kesaat ini!
Mana mungkin ciri-ciri dan sifat-sifat Mahmudah tersebut, yang juga menjadi idaman pemakaian kaum Sufi sehingga kini akan dapat dan begitu mudah dipraktikkan sejujur dan ikhlasnya! Seperti:


1.] Taubat dari segala dosa-dosa
2.] Takut dan taat akan Allah Ta’ala
3.] Kasihkan Allah Ta’ala
4.] Kuat berzikir
5.] Mendahulukan saudaranya dari diri sendiri dalam kebajikan
6.] Zuhud akan dunia [berpaling daripadanya].
7.] Sabar
8.] Syukur
9.] Ikhlas
10.] Tawakkal
11.] Qanaah
12.] Istiqamah
13.] Mahabbah
14.] Ubudiah
15.] Redha akan Qadho’ Allah Ta’ala
16.] Memikir dan Tafakkur kepada segala Qudrat Allah seperti langit/bumi dan lain-lain
Kejadian Allah Ta’ala
17.] Pemurah/sedeqah
18.] Mengingatkan mati.
19.] dan lain-lain sifat terpuji/ketinggian akhlak.


Dari rangkaian sifat-sifat tersebut Pengasas-pengasas Ilmu TarikatTasawwuf telah menggaris-besarkan
kedalam kaedah pendidikan dan etika Ilmu Tasawwuf, untuk ditempuh dengan sebaik dan sesempurna
mungkin.
Justeru, sasaran ajaran Tasawwuf ialah akhlak dan budi pekerti yang baik, berdasarkan kasih dan
cinta kepada Allah. Untuk berhasil, segala kekotoran zahirbatin harus dibenteras terlebih dahulu.
Oleh itu, ajaran Tasawwuf amat mengutamakan kaedah, adab dan nilai dalam ibadah dan dalam
konteks hubungan dengan sesama manusia, lebih-lebih lagi denganAllah SWT.

9] PERINTIS TASAWWUF ABAD KE ABAD

Menurut catatan sejarah, Sahabat Rasulullah, bernama Huzaifa al-Yamani lah, diantara Sahabat
Sahabat yang memfilsafatkan ibadah dan menjadikan ibadah secara satu ‘Tarikat’ yang khusus
Beliaulah yang pertama kali menyampaikan Ilmu-ilmu yang kemudian dikenali sebagai Tasawwuf.
Beliau jugalah yang membuka jalan dan theori-theori Tasawwuf. Kemudian dituruti pula oleh Imam al-Hassan al-Basri, Ibrahim Adam, Malik Dinar, Muhammad al-Wasiik dan lain-lain.


Terbukti hidup cara kerohanian yang sedemikian telah dilanjutkan pula oleh para Sahabat-sahabat yang utama dan pengikutnya dari Tabiin dan Tabiin-Tabiin. Hidup yang ditegakkan diatas kemurnian jiwa dan kesucian hati sebagai sendi kekuatan batin. Namun, hidup sedemikian, berdasarkan Hadith Rasulullah tersebut, ibarat kata pepatah, ‘Akhirat dijunjung dan dunia dikelek’; dan ‘To be with this world but not of the world’ hanya dapat bertahan selama 300 tahun selepas pemergian Rasulullah S.A.W.

Seterusnya perjuangan dan perkembangan Agama Islam dan jajahannya dikemudikan tiga dinasti terbesar, yakni,dinasti Muawiyyah, Abassiyah dan Usmaniyah. Menurut catatan sejarah, terdapat
hanya segelintir pemimpin[khalifah] dizaman-zaman tersebut yang berpribadi unggul dan tersohor,
seperti Khalifah Omar Abdul Aziz yang mendapat hidayah Allah dan menuruti jejak perjuangan dan
kehidupan Rasulullah.

Selebihnya menjadi bahan sejarah dimana pencapaian kecemerlangan Dunia Islam di nodai oleh
wabak dalaman yang menular dalam setiap diri insan yang lemah keyakinan, goyah keImanan dan
tewas kepada tsunami hawa nafsu, godaan dunia dan materi. Maka, pribadi yang tak terkekang dan
tak terkendali ini turut tersungkur, menghancur leburkan bersama Empayar Tamaddun Islam yang
ketika dahulu tiada saingannya!

Dalam hal ini, Rasulullah pernah mengingatkan umatnya, dalam Sabdanya, bermaksud:

‘ Yang sangat aku takuti diantara ketakutan-ketakutan terhadap umatku ialah ‘lemah keyakinan’ dan kelemahan keyakinan itu disebabkan dua hal, kerana melihat orang-orang yang lupa kepada Agamanya atau bergaul dengan orang-orang yang cenderong kepada kemungkaran.’

10] BARISAN TOKOH BESAR DAN PENGASAS ILMU TARIKATTASAWWUF MASA SILAM

Mereka adalah terdiri dari Tokoh-tokoh Ulama tersohor, mempunyai ilmu yang amat luas dan
mendalam dalam bidang-bidang al-Quran, Tafsir, Tawhid, Fiqh, Hadiths, Aqaid, Adab, Ilmu Bahasa
dan lain-lain. Namun dalam kedudukan terakhir, mereka lebih dikenali dan tersohor dalam bidang
TarikatTasawwuf.

1] Imam Syaikh al-Hassan al-Basri
2] Sufyan ats-Tsauri
3] Ibrahim Adam
4] Dzun nun al-Misyri
5] Abu Yazid al-Busthami
6] Abul Qasim al-Junaid Baghdadi
7] Imam al-Ghazali
8] Syaikh Abdul Qadir al-Jailani
9] Syaikh Bahauddin an-Naqsyabandy
10] Jalaluddin ar-Rumi
11] Dan ribuan atau jutaan yang lain lagi.

Perlu diulang-sebut bahawa ke4 Imam-imam mazhab juga dicatat dalam sejarah sebagai pengamal
Ilmu TarikatTasawwuf, namun tersohor sebagai Ulama Fuqaha/Fiqh.

Apakah adil jika kita membandingkan Ulama-ulama tersebut dengan Ulama-ulama dalam era generasi
moden kini? Apakah kita berlaku adil kepada ulama silam apabila antara kita, menuduh dan memfitnah yang mereka telah menyeleweng dan membid’ah kesucian Agama Islam? Apakah mereka telah tersalah percaturan dalam mempelopori TarikatTasawwuf sebagai urat saraf, nadi dan kerohanian Agama Islam hanya kerana mencontohi Rasulullah; mencintai Allah dan RasulNya melebihi dari diri sendiri dan apa pun jua yang terdapat didalam jagad-raya ini! Apakah catatan sejarah hidup dan dakwah mereka tidak cukup menyentuh dan menyerlahkan Kebenaran dari Kepalsuan? Apakah pribadi dan pendirian mereka tentang Agama tidak mengilhamkan Tawfik dan Hidayah dari Allah untuk membuka minda dan mata-hati kita dan umat terkemudian, bahawa mencintai dan mendampingi Allah itu adalah SEGALASEGALANYA?
Apakah sebenar-benarnya mereka, dan bukan kita yang telah sesat dan menyesatkan?
Biarlah secara jujurnya saudara-saudara pembaca mengadilinya sendiri!

11] STATUS KEDUDUKAN TARIKATTASAWWUF DIKALANGAN ULAMA ZAMAN MODEN
KENAPA ADA PAKATAN MEMBENCI/MEMBATALTARIKATTASAWWUF?

Bertitik tolak dari perincian dan penjelasan diatas, apakah menghairankan lagi bila jumhurul
Ulama sejak dahulu kala lagi sepakat menegaskan bahawa Ilmu TarikatTasawwuf adalah sebahagian
dari Ilmu pokok dalam Agama Islam; dan diwajibkan menuntutnya!
Namun, hakikatnya apa yang berlaku dewasa ini adalah sebaliknya!

Sanggahan, kecaman dan pembatalan Ilmu TarikatTasawwuf oleh aliran Ulama moden
[bersarjana] bersama khalayak dewasa ini, bertolak dari sebab-sebab berikut:

1] Buta sejarah, buta mata-hati dan tidak mendapat Hidayah Allah. Membantah sesuatu fahaman
sebelum benar-benar mengerti hakikat kefahaman itu hanya merupakan bantahan serampangan
sahaja.Pastinya, Allah telah berfirman yang Dia memberi Hidayah kepada sesiapa yang
dikehendaki sahaja.Dan Rasulullah juga bersabda bahawa barangsiapa yang dikehendaki
Allah untuk kebaikan, Allah akan membuka dadanya untuk fahaman Agama.
Orang yang berorientasikan kepercayaannya hanya kepada qudrat diri/indera zahirnya sahaja,
sambil mengingkari selain daripada itu, mereka sesungguhnya telah menyia-nyiakan indera batin
sendiri. Mereka sebenarnya telah menyangkal dan mengabaikan daya dan anugerah Allah
SWT kepada mereka. Akibatnya, mereka menjadi sekelompok orang ‘BUTA’ walau mata
mereka celik, tetapi hanya mampu berjalan apabila memakai tongkat atau pun dituntun
oleh penuntunnya. Justeru, janganlah hairan jika banyak Hakikat Kebenaran yang tidak
akan pernah sampai kepada mereka! Hanya kaum Muktazilah yang patuh menjadi budak
kepada keupayaan indera zahir mereka!

Allah telah berfirman, bermaksud: ‘ Barangsiapa yang BUTA didunia ini akan buta juga di
Akhirat nanti, malah, bertambah sesat lagi.’
Firman Allah, bermaksud:
‘ Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang orang yang sesat
dari jalanNya dan Dia lebih mengetahui tentang orang-orang yang mendapat PETUNJUK.’
Al-An’aam:117.

Masih terngiang-ngiangkan kisah sekumpulan orang buta yang [tanpa petunjuk] ingin
mengenali seekor Gajah? Ya, aneh dan amat melucukan!



2] Jahil dan Dangkal ilmu. Maka Allah melarang melalui FirmanNya yang bermaksud: ‘Janganlah
kamu termasuk dalam kaum yang jahil.’

Sabda Rasulullah, bermaksud:
‘ Akan terjadi nanti diakhir zaman hamba-hamba Allah yang jahil; dan pembaca-pembaca
Quran yang Fasiq.’

Apa yang penting bukanlah memiliki sarjana berjela-jela atau dapat jolokan Ulama,
tetapi adakah beroleh berkat, Hidayah dan pimpinan dari Allah!

Diriwayatkan, dua ekor unta, masing-masing membawa seguni garam dan seguni kapas.
Kerana hari terlalu panas, unta yang membawa beban garam telah mengajak kawannya yang
membawa beban kapas terjun kedalam sebuah sungai dengan tujuan menyejukkan badan.
Namun, Si-Tolol yang membawa kapas dengan semberono, kerana jahilnya, menuruti, lalu
tenggelam bersama bebannya. Walhal, Si-Cerdik terselamat dari maut dan dari beban yang
telah larut didalam air. Cubalah fikirkan!

3] Hasad, Dengki dan Iri Hati. Sangkaan mereka bahawa Syurga Allah itu kecil dan sempit;
dan hanya akan dipenuhi oleh Ahli-ahli TarikatTasawwuf sahaja!
Dan lagi, iri hati melihat Guru-guru TarikatTasawwuf mendapat penghormatan dari ramai murid.
Bersabda Rasulullah bahawa kita hendaklah sentiasa bersangka baik kerana hasad dengki
itu lebih segera memhapuskan amalan seperti api memakan kayu kering.

4] Bertaklid/ menurut aliran majoriti manusia
Manusia itu adalah musuh kepada apa yang tidak diketahuinya! Bertaklid atau menjadi
Pak Turut adalah jalan terselamat, fikir mereka!

Firman Allah dalam Surah al-Waqi’ah:7-14, bermaksud:
‘ Dan kamu menjadi 3 golongan. Yaitu golongan kanan. Alangkah mulianya golongan
kanan itu. Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang
yang terawal beriman [wassabiquu nassabiquun]. Mereka itulah orang yang didekatkan
[kepada Allah]. Berada dalam syurga-syurga kenikmatan. Segolongan besar dari orang
orang terdahulu. Dan SEGOLONGAN KECIL dari ORANG-ORANG KEMUDIAN.’

Jelasnya, didalam system Demokrasi, sememangnya pihak majoritilah yang berhak
memperoleh kemenangan. Tetapi, Allah memutuskan bahawa para-para Sodiqin
[orang-orang yang benar] itulah yang berhak untuk menang, bukan majoriti, dan jumlah
mereka amatlah sedikit, menjelang akhir zaman ini, seperti dinyatakan oleh Firman diatas.

Dan Firman Allah lagi, bermaksud:
‘ Dan jika kamu menuruti KEBANYAKAN manusia diatas muka bumi ini, nescaya
mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti
persangkaan mereka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta terhadap Allah.’ Noktah!

5] Bersikap Ulama Dajjal/Imperialis dan Komunis.
Mengenali dan memahami Islam merupakan suatu tindakan amat mulia bagi setiap individu
Muslim, dimana Agama yang agung ini semestinya dipelajari, difahami dan dikenali secara
mendalam, tanpa sebarang penyelewengan, agar selamat sejahtera didunia dan akhirat!
Namun, apa yang ditakuti dan diramalkan oleh Rasulullah 14 abad dahulu akan terjadi, telah
pun terjadi!

Hadith Rasulullah, bermaksud:

‘ Aku terlebih takut atas kamu daripada Dajjal akan seorang lain daripada Dajjal.’ Maka sembah
Sahabat, ‘ Siapa mereka itu ya Rasulullah? Mereka itulah Ulama yang jahat!.’

Lagi Hadith Rasulullah, bermaksud:

‘Nanti bakal akan datang diakhir zaman atas umatku perempuan-perempuan menjadi Qiblat
mereka, dan mata wang bakal menjadi Agama mereka itu. Ulama-ulama mereka itu jahil,
walhal perkataan-perkataan Ulama-ulama itu seperti perkataan Nabi-Nabi, namun,
tingkah laku mereka itu adalah seperti FIR’AUN!’

Firman Allah, Surah ash-Syaff; 7-8 bermaksud:

‘ Dan siapakah lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah
sedang dia diajak kepada Agama Islam? Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada
orang-orang zalim.
Mereka ingin memadamkan cahaya [Agama] Allah dengan mulut [ucapan-ucapan] mereka
dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meski pun orang-orang kafir membenci.’


Firman Allah, Surah maryam;75, bermaksud;

‘ Katakanlah: Barangsiapa yang berada didalam kesesatan, maka biarlah Tuhan yang
Maha Pemurah memperpanjangkan tempoh baginya, sehingga apabila mereka telah melihat
apa yang diancam kepada mereka, baik seksa maupun kiamat, maka mereka akan mengetahui
siapa yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penolong-penolongnya.’

6] Hati Berpenyakit/Berkarat/Terkunci Rapat.

Mereka yang anti-TarikatTasawwuf itu sebenarnya tidak diberi Hidayah oleh Allah untuk
memahami dan menerima Ilmu tersebut malah menolak dan mentohmahkannya.

Lihat Firman Allah, bermaksud:

‘ Didalam hati mereka berpenyakit, maka ditambah lagi dengan penyakit oleh Allah.’


Hadith Rasulullah bermaksud:

‘ Barangsiapa dikehendaki oleh Allah, maka dilapangkan dada/hatinya oleh Allah pada
Agama.’

Dan Firman Allah, Surah Yunus:100, bermaksud:

‘ Tidaklah ada bagi seseorang untuk beriman kecuali atas izin Allah.’

Dan lagi, Firman Allah, bermaksud;

‘ Aku beri petunjuk/hidayah kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan Aku sesatkan pula
sesiapa yang aku kehendaki.’

Dan lagi Firman Allah, bermaksud;

‘ Terangkanlah kepadaKu tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya.
maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?’





12] SENARAI TOKOH TERSOHOR PENDOKONG ILMU TARIKAT/TASAWWUF TEMPATAN

Disenaraikan berikut Tokoh tersohor Pendokong Ilmu dan pengamalan TarikatTasawwuf diNegara ini,
yang masih hidup mahupun yang sudah kembali keRahmatullah:

1] Tokku Paloh dari Trengganu. Almarhum adalah Guru Mursyid an-Naqsyabandiyyah, Guru kepada
bekas Wira Bangsa,yaitu, Tok Bahaman, Mat kilau, Tok Janggut, Abd Rahman Limbong
dan lain-lain. Tidak ketinggalan Sultan Zainal Abidin [111], Sultan Trengganu menjadi murid
nya, diabad ke19 masehi.
2] Syaikh Ahmad Syaikh Mohd Sa’id al-Linggi, Ulama besar Negri Sembilan. Menjawat jawatan
Mufti Kerajaan Negri Sembilan sekitar 1960an, Pendokong Tarikat Ahmadiah.
3] Syaikhul Islam negeri Kedah, Wan Sulaiman wan Sidiq, dari an-Naqsyabandiyyah.
4] Syaikh Wan Abdul Aziz Hj. Wan Besar, Ulama negeri Kedah adalah tokoh disegani,
Dari an-Naqsyabandiyyah. Menjawat jawatan Qadi besar sekitar 1970an.
5] Haji Daud Hj Omar, seorang ulama disegani dari Kelantan, berjawatan Ahli Majlis Fatwa
Kerajaan Negeri Kelantan, Mursyid Tarikat Ahmadiah Kelantan.
6] Syaikh Murtadha Syeikh Ahmad, bekas Mufti Negri Sembilan yang baru bersara tahun 2009.
Beliau pendokong Tarikat Ahmadiah.
7] Datuk Dr. Mahmud Saedon bin Awang Othman, bekas Professor Universiti Islam Antara
Bangsa. Menjawat jawatan Rektor Universiti Brunei Darussalam. Beliau Mursyid Tarikat
Ahmadiah. [Meninggal dunia di Brunei pada 24 Jun 2002.
8] Jahid Sidiq, bekas pensyarah kanan Pengajian Islam, Universiti Malaya,K.Lumpur, adalah
Seorang Mursyid an-Naqsyabandiyyah yang masih aktif.
9] Haji Mustafa al-Jaishi, seorang penulis Ilmu Tasawwuf, khususnya buku Mengenal Diri
Dan Wali Allah, terbitan Pustaka Aman Press, buku yang telah diulang cetak berpuluh
Kali.
10] Allahyarham Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah, seorang penulis/periwayat aktif tentang
Tokoh Ulama Nusantara dan sejarah perkembangan Islam dirantau ini.
11] Dan masih ramai lagi yang lain-lain.

13] PERSOALAN KRITIS KEPADA PIHAK BERWAJIB


Senarai Tokoh-tokoh diatas tiada akan mudah atau dapat disangkal oleh mana-mana pihak,,
apalagi dengan amalan dan juga dokongan Ilmu TarikatTasawwuf yang mereka anuti. Jujur saja,
adakah kerana mereka orang-orang ternama, menjawat jawatan tinggi Negara, atau menjadi wira bangsa, atau kita tersilap baca lalu mengungguli mereka, lalu memahat dan mengangkasa
nama-nama mereka dipersada Sejarah Bangsa dan Negara? Kerana hakikatnya, sedang nama
mereka ditaburi haruman, namun, sepeninggalan, Ilmu dan amalan seperti mereka dewasa ini
dipertikai hebat, diserang dan disenarai-hitamkan!

Itulah nasib yang menimpa sebuah Ilmu Fardhu ‘ain yang bernama TASAWWUF.
Iaitulah Ilmu dan Amalan Nabi-Nabi, para Wali dan para Solihin!
Sudah berapa banyak bahan penyelidikan dikeluarkan oleh penjawat Sarjana Kerajaan dan Ulama tempatan melalui Seminar dan buku-buku diterbitkan guna mencari formula bagaimana wajah atau
Agama Islam yang sebenar-benarnya. Agama Allah yang dianuti Rasulullah! Kenapakah kita masih tercari-cari, teraba-raba, bak sibuta kehilangan tongkat, ditengah hari yang panas pekat! Apakah kita mahu mencari kambing hitam atau hanya mencari alasan? Kenapa kita tidak mahu mengambil I’ktibar, atau kita malu atau kita takut? Apakah ini jua ‘double-standard’, suatu konspirasi atau suatu hipokrisi?
Atau apa saja! Namun, segalanya kembali kepada Allah SWT, dan akan dipertanggung-jawabkan?

Seharusnya, kerja-kerja pencarian dan penyelidikan yang telah begitu lama dan bertimbun itu, menghasilkan sesuatu keajaiban, garis panduan dan Kebenaran Muktamad tanpa dolak-dalik
dan dakwa-dakwi, untuk kemaslahatan, keselamatan, kesejahteraan dan turutan Umat. Agar umat
tidak perlu membayar harga yang begitu tinggi diatas kekhilafan memilih dan memberi kuasa kepada
para Ilmuan Islam yang diberi AMANAT mentadbir UMAT.

14] PESANAN PENULIS

Duhai Sahabat!

Seandainya anda membenci, khawatir, ragu-ragu atau cemas keliru, lakukan seperti berikut:

1] Tarik nafas panjang perlahan-lahan
2] Baca Istighfar 3 kali
3] Baca al-Fatihah sekali
4] Baca Qul Hu 3 kali
6]Hadiahkan pahalanya kpd Rasulullah, pohon berkat dan Syafa’at darinya.

Terlebih bagus, pabila malam, dirikan Solat Taubat, diikuti Solat Hajat, dan solat Istikharah.
Pohon kpd Tuhan Hidayah/petunjuk agar ditunjuki Agama/jalan yang benar/lurus.
InsyaAllah berhasil!

Dipersilakan!




15] ILMU TASAWWUF / ILMU IHSAN

Ilmu Tasawwuf Ilmu Ketuhanan Ilahi
Dia lah ‘Alimul Ghaibi
Tiadakan terjangkau segala makhluk bernama Insani
Kecuali Dia menghendaki
Untuk dimiliki.

Tingginya Tasawwuf membumbung cakrawala Malakut
Malah merentasi Jabarut dan Lahut
Menerobos diri dialam Insan
Sehingga mertabat alam Ahdiah Tuhan.

Persis Tuhan, luasnya Tasawwuf hamparan infiniti
Manfa’atnya pula tiada terperi
Bagi yang punyai naluri rasa, halus nurani budi
Kaulah khusus untuk mengetahui.

Melalui Tasawwuf, Tuhan mengajar kami
Tentang erti kulit dan isi
Tentang nafas, nafsu dan nafsi
Mengenal alam ma’rifat diri
Mencetus salam pengenalan dimaqam Sirri Insani.

Dikhabarkan tentang diriku dan DiriNya
Ta’jub menghairankan keindahan Jamal dan JalalNya
Tersimpuh malu didepan kesempurnaan KamalNya.

Pabila seorang pemikir bertanya kami
Bagaimana keadaanNya, silalah beri
Tiadalah upaya kami menjelaskan
Kan rosaklah maknanya jika disiarkan
Kerana tak siapa sanggup memahami
Jika tidak ditempuhi sendiri.

Andai pertanyaan terus diajukan
Dimensi mistiq membingong akal fikiran
Akan menyingkap kedangkalan dan kebodohan
Si-Penanya kan malu tiada keruan.

Kerana yang HAK itu dibungkus misteri
Bisakah menerjah keluar dari kepompong diri?
Bisakah kedua biji mata merenung Sang Mentari?
Justeru, ingat dan fikirlah sahabat semua
Hanya TarikatTasawwuf lah selayaknya
Berupaya merongkai segala simpulan RAHSIANYA!

ALHAMDULILLAH
TABARAKALLAHI RABBUL ‘ALAMIIN!

Rujukan al-Quran dan Hadith.
Kitab-kitab karya:
Al-Ghazali
Prof.Dr Shaikh Hj.Djalaluddin
Dr.Mustara Zahri
Prof. Dr.Abu Bakar Aceh
Prof.Dr.HAMKA
Hj.Wan Mohd Shaghir Abdullah.



01/07/09.