Sunday, October 9, 2016

ISU TERKINI TENTANG ‘ILAH’ DALAM SYAHADAH DAN PERMASALAHANNYA



 BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM
ALHAMDULILLAHI RABBIL ‘ALAMIN, WABIHI NASTA’IN, WASSOLAATU WASSALAAMU ‘ALA ASYRAFIL AMBIA IWAL MURSALIN WA’ALAA ALIHI  WASSOHBIHI AJMA’IN.

Sembah sujud diaturkan kepada  ALLAH SWT. Yang Maha Agung, lagi Maha Mulia , yang kepadaNya , semuanya bergantung, - namun, DiriNya bebas dari segala pergantungan! Dialah Penguasa  semesta alam, Yang Menghidupkan Nurani para Kekasihnya, dengan percikan arak CintaNya! Yang berkesempatan  meneguknya akan merasakan manis, jernih dan murninya Iman! Dan mereka yang tersentuh CahayaNya akan bersemayam dalam ketenteraman, keheningan dan kebahagiaan; merasa cukup dengan keberadaan Ilahi, dan melestari hidup mereka  dalam ketaatan dan Musyahadah diri.
Mereka bersaksi atas Kebesaran dan KeagunganNya, yang terpelihara dan termanifestasi disetiap bingkai Ciptaannya!
Dia ALLAH SWT. Yang Mengeluarkan Para KekasihNya dari cengkaman ruang dan nafsu. Dia menjadikan mereka  khazanah penyimpanan Ilmulghaibi. Nah! Akal akan menyerah lelah; lidah akan terhenti dari hamburan kata bicara – Tidak berdaya menyifati – mentelahan lagi, menyatakan keEsaanNya!!!

AMMA BA’DU.
ADUHAI PARA SAHABAT DAN SELURUH IKHWANUL MUSLIMINA WAL MU’MININ:

1.MUQADDIMAH
Tidak dapat tidak, isu trending yang menerpa kepemerhatian penulis, barangkali juga kepada anda para pembaca, disaat ini adalah tentang penggunaan dan pemahaman lafaz ‘ILAH’didalam Syahadah, pemakaian yang amat berleluasa, semestinya menuntut kefahaman yang tuntas dan jitu bagi khalayak, agar halayak tidak tersasar kelembah kebingungan, kekalutan malah kepinggir kesesatan, wana’uzubillah!
Bagi tokoh Ilmuan, tanggung-jawab pencerahan amatlah di-alu-alukan. Namun, beretorik adalah lebih mudah daripada mengangkat wadah ini ketahap dimana percambahan pemikiran berserta kefahaman dapat dilangsung dan dialirkan kepada umat sejagad, kaedah yang menghasilkan selautan manfaat!
Kendati, penulis terpanggil untuk menghapuskan kabus kekaburan dan kejahilan yang menutupi minda akal fikir dan mata hati halayak. Jika dibiarkan tanpa perincian, pastilah Rahmat Tuhan tidak akan kesampaian!

2.MAKNA LAFAZ ‘ILAH’ SECARA ISTILAH
Dalam bahasa Arab, perkataan ‘Ilah’ bermaksud Tuhan. Dalam bahasa-bahasa tradisi Ibrani, Hebrew, Yunani dsbnya, sebutan lafaz [tuhan] ini berbeza seperti  IIah,Elah, Eloh, Elohim, HA-Shem, Eli, Yah-Weh, Halelujah, Aulah  dan lain-lain, menurut telo lidah pembicara amnya. Evolusi kemanusiaan yang panjang dan penuh liku-liku kepercayaan bersumberkan mitos, tahyul dan khurafat, telah memberi kesan amat drastik, dan terus merubah maksud asal perkataan tersebut, dari makna istilah kemakna loghat. Kini lafaz ‘Ilah’ lebih merujuk kepada ‘selain Tuhan,’ atau ‘tuhan yang lain’,yakni sesuatu atau apa sahaja yang memiliki kuasa dan pengaruh yang berupaya mendominasi  pemikiran, sesembahan, hayalan dan pegangan daya dan akal fikir manusia berkait penganutan maupun kehidupan! Pada dasarnya objek-objek dimaksudkan berbentuk dan bersifat duniawi semata berbanding ukhrawi. Misalannya seperti objek-objek sesembahan kaum kuffar, figura-figura seperti Firaun, Namrud; terkini pula, jabatan, pangkat, harta, wanita, malah Ego diri, dsbnya!

3.APAKAH BAHAYANYA KEKELIRUAN MAKSUD LAFAZ ‘ILAH’ TERHADAP PARA MUSLIM?
Oleh kerana perkataan ‘Ilah’ tersebut adalah integral, tersemat dan terkait rapat dengan Kalimah Syahadah, pastilah risiko dan impak kekeliruan dan salah-guna pemakaian dan amalannya menjadi begitu serius dan kritis sekali terhadap ‘Akidah dan iktiqad pegangan keIslaman dan keImanan seluruh para Muslim! Salah pengertian tentang Syahadah akan mengantar seorang Muslim kelembah kesesatan; tidak akan pernah berupaya berhubung dan wusul [menyambung] dengan Tuhan! Rasulullah saw. bersabda, bermaksud:
‘Aku tidak membawa sesuatupun yang lebih penting daripada Syahadah. Jika Syahadah diterima secara sungguh-sungguh akan menghasilkan ‘KEPASRAHAN’ [ISLAM], dan yang berkenaan telah menjadi seorang Muslim.’
Sila rujuk QS 47:19, bermaksud: ‘Ketahuilah, Tiada Tuhan [Ilah] melainkan Allah!’ Kalimah ini bila disambung dengan Kalimah ‘Muhammadur Rasulullah,’ menjadi  Dua Kalimah Syahadah, yakni  dua Kalimah sentral dan integral dalam penganutan Agama Islam!
Syahadah terdiri dari dua pernyataan  atau dua kesaksian [Asy-Asyahadatain, dua Syahadah]. Dalam konteks ini,  dicatat bahawa kata kerja Syahida [muncul istilah Syahada] memiliki dua erti penting  [dalam Bahasa Arab], yakitu, kata kerja ini berkait dengan  tindakan  fahaman dan penyaksian. Juga pernyataan  seseorang telah menyaksikan dan memastikan, juga memberi kesaksian, dan mempertaruhkan  hidup demi kebenaran yang telah diyakini! Kalimat Syahid [Syuhada] pula dalam bahasa Arab bererti gugur.
Hanya bahasa Arab  sahaja secara ritual memiliki kekuatan kata yang efektif dan sacramental. Pada hakikatnya, keadaan keselamatan serta keberuntungan  seseorang sepenuhnya bergantung kepada pembenaran [TAHQIQ] SEPENUHNYA terhadap Syahadah! Noktah!

4.PENYELAMAT NABI ADAM A.S.
Telosori kisah Bapa Pertama manusia. Setelah menanggung beban kesalahan dan keinsafan beratus tahun lamanya, akhirnya, hanya dengan keberkatan dan kebesaran Kalimah Syahadah inilah yang berupaya menghapuskan kesalahan atau kekhilafan Nabi Adam.a.s. Ia dilambangkan dengan pelanggaran perintah melarang memakan buah larangan – yang memandang objek sebagai realitas  sebanding  dengan Tuhan.   
Kandungan utama Kalimah Syahadah  merupakan pengakuan bahawa seseorang hanya memandang  satu-satunya yang MUTLAK[‘absolute’], yakni semata-mata Allah SWT. sebagai yang nyata! Sementara Syahadah yang kedua menetapkan keberadaan Nabi Muhammad saw. ; juga menetapkan hubungan manifestasi  Allah atau penciptaanNya sebagai sebuah risalah atau wahyu dari Allah SWT., melalui Nabi Muhammad saw.
Jika kalimah ‘Muhammadur Rasulullah’, maknanya ‘straight forward’ serta jelas maksudnya; tetapi tidak dengan Kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH.  Maka disini umat Islam harus beri sepenuh perhatian! Kerana hanya pemaknaan, pemahaman dan pemaksudan yang betul, benar lagi tahkik dan tuntas sahaja yang akan menjamin kesohihan dan pengesahan akidah berserta amalan; dan terpenting sekali adalah, SYAHADAH memelihara dan menjamin keselamatan diri Muslimin didunia dan akhirat!
Walaupun ditegaskan sebuah ucapan Syahadah adalah cukup untuk menjamin keselamatan seseorang , namun natijah dari pengucapan mencetus keadaan magis dan amat unik. Untuk itu, Syahadah harus diungkapkan terus menerus sehingga isyarat realisasi menembus kepusat wujud diri seseorang, dengan konsentrasi  yang jazam, tanpa sezarah syak dan waham, terhadap Haq dan kebenaran , sehingga mencapai transformasi substansi diri menjadikannya serasi dengan kebenaran [‘Truth’].
 Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
Sila terus ikuti huraian serta pemisalan, contoh-contoh berserta dalil-dalil yang mengiringi.

5.KALIMAH SYAHADAH ADALAH KALIMAH TAUHID, JUGA DINAMAKAN KALIMAH NAFI ISBAT. BAGAIMANAKAH DENGAN  PEMAHAMAN SERTA PEMAKAIANNYA OLEH  UMAT ISLAM SEJAGAD?!
Kaimah Syahadah ini dikenali dengan pelbagai sebutan. Antaranya, ia disebut sebagai Kalimah Tauhid, Kalimah Toyyibah, Kalimah Ikhlas, Kalimah Nafi Isbat, Kalimatul Haq, dsbnya.
Kalimah Tauhid menjurus kepada Pemurnian Penunggalan dan peng-Esa-an Dzat Allah SWT.
Kalimah Toyyibah mengisyaratkan kebagusan serta manfaat diperoleh darinya.
Kalimah Ikhlas mentahkikkan kesucian serta kemurnian terhadap Ma’bud, Mahbub, Maksud, Matlub dan Maujud [ALLAH SWT.]
Kalimatul Haq mensabitkan Hak serta Kebenaran tanpa sezarah kebatilan.
Kalimah Nafi dan Isbat mengesahkan Tauhidul Dzat semata kepada Allah SWT.

6.PERMASALAHAN BESAR
Menurut fahaman sebahagian umat Islam, Tuhan terbahagi kepada dua jenis. Pertama ialah Tuhan yang Haq atau yang sebenarnya, yakni, Dzat Allah Wajibal Wujud, yang bersifat dengan segala sifat-sifat Kesempurnaan dan  MahaSuci dari segala sifat kekurangan. Kedua adalah tuhan yang batil [batal, palsu], yakni,’tuhan yang lain’ daripada Allah, seperti berhala, tokpekong, Firaun, Namrud, sesembahan dll.   
Kalimah Syahadah ini mengandungi Kalimah Nafi, [menafi/menyangkal/menolak], yakni, LAA ILAAHA; dan Kalimah Isbat [membenarkan/menetapkan]], yakni, ILLALLAH. Apabila disambung memberikan makna: TIADA TUHAN [ILAH] MELAINKAN ALLAH.
Persoalan kritis ialah ketika kita melafazkan Kalimah Nafi yakni, LAA ILAAHA, [TIADA ILAH/TUHAN], Tuhan yang mana harus dinafikan? Dan ketika menyebut Kalimah Isbat, yakni, ILLALLAH, apa pula yang diIsbatkan [dibenarkan] ?
Bagi majoriti atau kebanyakan umat Islam, termasuk juga tokoh-tokoh Agamawan, apabila mereka melafazkan Kalimah Nafi, mereka akan menafikan [menidakkan/meniadakan] ‘tuhan lain’ selain Allah, seumpama berhala, Tokpekong dan sesembahan yang lain!  
Namun, bagi fahaman Ahli TarikatusSufiyyah, yang telah sampai kemaqomnya, bukanlah berfahaman seperti yang tersebut diatas tadi. Menurut faham Ahli Sufiyyah ini, Nafi dan Isbat itu tidak boleh diceraikan. Dengan demikian, bila mereka melafazkan Kalimah Nafi, mereka menafikan Tuhan sebenarnya;  dan mengIsbatkan pula Dzat Allah pada Kalimah Isbat seterusnya!! Noktah!
Ada pun yang dikatakan zikir Nafi Isbat, yaitulah membaca  Kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH, yakni, LAA ILAAHA Kalimah Nafi, dan ILLALLAH Kalimah Isbat. Menurut ahli Lughah, Nahu, Mantiq, Bayan dan Ma’ani, yang melihat susunan Kalimah itu dari segi ilmu tersebut, lafaz ILAH  itu dinamakan KULLI, dan lafaz JALALAH itu dinamakan JAZAK; sebahagian ahli Nahu yang lain menyatakan lafaz ILAH itu dinamakan NUKRAH; dan lafaz JALALAH itu dinamakan MARIFAT!
Dengan demikian, mereka itu diwaktu membaca Kalimah LAA ILAAHA, dinafikannya [ditidakkan/ditiadakannya] ‘tuhan yang lain’ seumpama berhala, tokpekong, sesembahan yang lain, dsbnya. Kemudian setelah sampai  ucapannya kepada ILLALLAH, maka diIsbatkannya DZAT ALLAH. Begitulah fahaman mereka itu diwaktu membaca atau melafazkan Kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH! 
Penulis TIDAKlah ingin menuduh, menyalahkan fahaman diatas,waima mengkafirkan fahaman tersebut!
Bahkan penulis mendoakan semoga golongan diatas  mendapat pengabulan dari Allah SWT., hendaknya!
Nah! Bagaimana pula fahaman Ahli Sufiyyah sebegitu jauh menafikan Tuhan yang sebenarnya; jom lihat paparan Nas dan dalil-dalil berkaitan seterusnya!

7.PENJELASAN TENTANG NAFI ISBAT
PERHATIAN! Andai kita menafikan ‘tuhan yang lain,’ nescaya menjadikan kita bertuhan kepada ‘yang lain.’ Dan jika dinafikan Tuhan yang sebenarnya, nescaya menjadikan kita bertuhan kepada Tuhan yang sebenarnya!

Berkata Ahli Tauhid,
‘FAIN KAA NAN NAFII  ILAAHU GHAIRU, FA ISBAATU ILAAHU GHAIRU; FAIN KAA NAN NAFII ILAAHU MUSTAHAQQA, FA ISBAATU ILAAHU MUSTAHAQQA’, bermaksud:
‘Jika adalah yang dinafikan ‘tuhan yang lain’, nescaya akan mengisbatkan ‘tuhan yang lain’. Maka jika adalah yang dinafikan Tuhan sebenarnya, nescaya  mengisbatkan Tuhan sebenarnya.’

8.MISALAN DAN HURAIAN HIPOTHETIKAL
Marilah kita cuba Nafikan ‘tuhan yang lain,’ yakni ditambah makna lafaz ILAH [ILAAHA] dengan, atau kita Nafikan sifat-sifat , yakni, ‘tuhan yang lain’ itu pastinya bersifat antara lain, mati, lemah, jahil, tergagah, pekak, buta, bisu, dsbnya.
LAA                   ILAAHA                   ILLA            ALLAH.
Tiada          tuhan yang lain          hanya          ALLAH.
Tiada          tuhan yang mati         hanya         ALLAH.
Tiada          tuhan yang lemah      hanya         ALLAH.
Tiada          tuhan yang jahil          hanya        ALLAH.
Tiada          tuhan yang tergagah  hanya        ALLAH.
Tiada          tuhan yang pekak       hanya        ALLAH
Tiada          tuhan yang buta          hanya        ALLAH
Tiada          tuhan yang bisu           hanya        ALLAH.
Jelas dari hipothesis diatas, jika/bila kita Nafikan ‘tuhan yang lain,’ dan meNafikan sifat-sifat ‘tuhan yang lain,’ maka kita jatuh bertuhan ‘kepada yang lain!’ 
Seterusnya, mari kita cuba pula Nafikan Tuhan sebenarnya atau pun kita cuba Nafikan Sifat-Sifat Allah yang sebenarnya, yakni Tuhan yang sebenarnya pastinya bersifat Hidup, Berkata-kata, Melihat, Mendengar, Berilmu , Berkehendak, Berkuasa , dsbnya.
LAA                   ILAAHA                          ILLA              ALLAH.
Tiada             Tuhan sebenarnya       hanya             ALLAH.
Tiada            Tuhan yang Hidup         hanya             ALLAH.
Tiada      Tuhan yang Berkata-kata   hanya             ALLAH.
Tiada      Tuhan yang Melihat            hanya             ALLAH.
Tiada     Tuhan yang Mendengar      hanya              ALLAH.
Tiada     Tuhan yang Berilmu            hanya             ALLAH.
Tiada   Tuhan yang Berkehendak    hanya             ALLAH.
Tiada    Tuhan yang Berkuasa          hanya             ALLAH.
Dari pemerhatian diatas, jelas sekali, disebabkan kita meNafikan Tuhan yang sebenarnya, ataupun kita menafikan  Sifat-Sifat Allah yang sebenarnya, maka kita jatuh BerTuhan kepada  Tuhan yang sebenarnya, yakni, ALLAH SWT.!

9.SEJARAH DZIKIR NAFI ISBAT.
Sebelum alam syahadah [alam kasar] ini di jadikan Allah SWT. yang terlebih dahulu dijadikan Allah SWT. ialah NUR MUHAMMAD, dan dari NUR MUHAMMAD itu terpancarlah segala Arwah/segala makhluk. Nah, marilah kita perhatikan keadaan alam Arwah , khususnya keadaan diwaktu Allah SWT. mengkhitab kepada sekelian ROH dialam Arwah, dengan firmanNya:
‘ALASTU BI RABBIKUM, QOLUU BALAA SYAHIDNA.’ Bermaksud:
‘BUKANKAH AKU INI TUHAN KAMU,’ menjawab sekelian ROH, ‘ BAHKAN, ENGKAULAH TUHAN KAMI.’
Seolah-olah, dialam ROH itu, diri Rohani kita telah menyaksi/melihat kepada ALLAH SWT. Maka bermula dari alam Arwah lagi sehingga sampai jatuh keRahim ibu, kita semua telah mengaku bahawa Tiada yang Tuhan hanya ALLAH sahaja, semata-mata! Nah ! Perjanjian ketika kita dialam Roh itu menjadi suatu AMANAT kepada kita semua! Maka barangsiapa yang mungkir terhadap AMANAT itu akan dihukum! Kerana penjawaban kita dialam Roh itu ialah ‘BALAA’ perkataan yang sinonim maksud ertinya dengan Kalimah ALLAH atau LAA ILAAHA ILLA ALLAH.
SOALAN CEPU EMAS: Adakah tuhan ‘yang lain’ dipandang/dilihat oleh segala Arwah  sewaktu sekelian Arwah itu berhadapan dengan DZAT ALLAH  ‘AZZA WAJALLA! Jawapannya: PASTILAH TIDAK!!! HANYA ALLAH SEMATA-MATA!  NOKTAH!
Seterusnya, sekelian Arwah tersebut diperhubungkan dengan tubuh jasmani/kasar , yakni ALLAH SWT. menjadikan mereka semua manusia. Jelasnya, tubuh manusia yang kasar itu tersusun dari  darah, daging, tulang belulang, dan alam anasir yang empat, yakni,  api, air, angin dan tanah. Kemudian manusia diberi pula bernyawa. Maka nyawa itu disebut sebagai tubuh manusia yang batin.
Sekelian Arwah itu telah menerima pelajaran dari ALLAH SWT. sewaktu ALLAH SWT. mengkhitab mereka bahawa mereka akan berTuhan kepada ALLAH SWT. sahaja! Sesungguhnya , sekelian Arwah itu tidak pernah mengenal atau mengetahui  ‘tuhan yang lain’! Fahamkan benar-benar!

10. EVOLUSI ZAMAN KE ZAMAN.
Demikian zaman beredar, sejak zaman Nabi Adam a.s., manusia hanya berTuhan kepada ALLAH SWT. semata-mata, sehingga sampai kezaman Nabi Nuh a.s., manusia masih berTuhan kepada ALLAH SWT. zahir dan batin! Namun di zaman Nabi Nuh a.s., Iblis mulai membuat percaturan menyesatkan umat manusia. Iblis menganjurkan agar umat Nabi Nuh a.s. membuat gambar atau mengukir patung-patung bagi mengingati arwah-arwah famili kesayangan yang telah pergi dahulu dari mereka, sebagai alat kenangan dibelakang hari. Tetapi, disebabkan betapa halusnya tipudaya Iblis tersebut sehingga tercetus didalam fahaman umat ketika itu bahawa akhirnya, patung-patung tersebut wajar menjadi sesembahan, lalu disembah! Maka terjadilah dua pihak bagi umat Nabi Nuh a.s., yang satu tetap menyembah ALLAH SWT. Tuhan sebenarnya; dan yang lain menyembah ‘tuhan yang lain’, yakni berhala-berhala, buatan mereka sendiri!      
Tentu sahaja Nabi Nuh a.s. berdaya upaya menyedarkan umatnya yang telah sesat, setelah ALLAH SWT. menurunkan Kalimah Tauhid LAA ILAAHA ILLA ALLAH, agar mereka kembali berTuhan kepada ALLAH SWT.
Namun demikian, ada pula diantara mereka yang masih terwaham didalam hati mereka tentang adanya tuhan ‘yang lain’daripada ALLAH SWT., maka tatkala mereka membaca Kalimah LAA ILAAHA ILLA ALLAH, mereka maknakan Tiada ‘tuhan yang lain’ hanya ALLAH, yakni mereka meNafikan ‘tuhan-tuhan yang lain.’
Dan bagi manusia-manusia yang tidak pernah berTuhan kepada yang lain daripada ALLAH, dan tidak pernah melihat kepada tuhan-tuhan yang lain seumpama berhala, tokpekong, sesembahan lain, dsbnya, maka diwaktu mereka membaca LAA ILAAHA ILLA ALLAH, mereka maknakannya TIADA TUHAN SEBENARNYA HANYA ALLAH!
Zaman terus beredar. Sehingga sampai kezaman Nabi Ibrahim a.s.tidak sedikit umat yang menyembah ‘tuhan-tuhan yang lain’ seperti raja, berhala kayu dan batu dsbnya, disebabkan pengaruh kuasa raja Namrud ketika itu.
Namun, dengan kebijaksanaan Nabi Ibrahim a.s., membawa Kalimah LAA LAAHA ILLA ALLAH, dapat juga beliau mengembalikan tauhid mereka kepada menyembah ALLAH;  walaupun terdapat puak-puak yang masih terwaham didalam hati mereka bahawa ‘berhala-berhala’ tersebut adalah tuhan pula!
Maka bagi manusia yang terwaham didalam hati mereka bahawa ada ‘tuhan-tuhan yang lain,’ maka diwaktu mengata LAA ILAAHA ILLA ALLAH, dimaknakan nya Tiada ‘tuhan yang lain’ hanya ALLAH. Tetapi manusia yang jiwa dan tauhidnya masih suci murni, yang tidak melihat, mahupun mengetahui , ada ‘tuhan yang lain’ selain ALLAH, maka diwaktu mereka membaca/mengata LAA ILAAHA ILLA ALLAH,  dimaknakannya TIADA TUHAN SEBENARNYA HANYA ALLAH!
Demikianlah dua fahaman ini terus saja mengalir kezaman Nabi Musa a.s.; kezaman Nabi Isa a.s., hatta , hinggalah sampai kezaman Muhammad Rasulullah saw.  Dizaman Rasulullah saw., terdapat sebanyak 360 berhala-berhala ditempatkan disekeliling Kaaba Baitullah!
Dalam senario hitam pekat penyembahan berhala-berhala disekeliling Kaaba, bukan suatu kerja yang mudah bagi Rasulullah saw. membasmi kesesatan dengan membawa dan menyebarkan agama Islam kepada kaum Musyrikin Makkah.  Maka bagi mereka yang baharu memeluk Islam,  kendati masih terwaham dan ragu-ragu didalam hati mereka tentang tuhan-tuhan berhala mereka; maka ketika mereka menyebut Kalimah LAA ILAAHA ILLA ALLAH, dimaksudkan tiada tuhan ‘yang lain’ hanya ALLAH. Namun bagi manusia berjiwa suci murni, diwaktu mereka melafazkan Kalimah LAA ILAAHA ILLA ALLAH, dimakna/dimaksudkan mereka bahawa TIADA TUHAN SEBENARNYA HANYA ALLAH!
Demikianlah, sehingga kezaman terakhir kini DUA FAHAMAN ini terus sahaja tumbuh dan berkembang. Mentelah pula dalam keadaan dunia sekarang yang penuh pancaroba dan cabaran; terlalu banyak ‘BERHALA-BERHALA’ yang mendominasi minda dan dada umat sejagad kini! MASYAALLAH!

11.ARGUMEN MENOLAK MAKNA ‘TUHAN YANG LAIN’ DIDALAM KALIMAH SYAHADAH.
11.1 ‘TUHAN YANG LAIN’ TIDAK MILIKI SEBARANG UPAYA.
Sila perhatikan bagaimana, ALLAH SWT. memberi satu perbandingan didalam firmanNya QS.22:73,  bermaksud:
‘Sesungguhnya segala apa yang kamu puja/seru/sembah selain daripada ALLAH itu tidaklah sanggup mencipta seekor lalat [langau]. Walaupun mereka berkumpul bersama-sama untuk itu; dan jika langau itu merampas  sesuatu daripada mereka, tidaklah sanggup mereka merebutnya kembali dari langau itu. Sama lemahnya yang menyembah dan yang disembah! [Lemah yang menuntut, lemah yang dituntut!]’
11.2 MAKNA ‘TUHAN YANG LAIN’ MERUBAH MAKNA/MAKSUD AYAT ALQURAN.
Apakah makna LAA ILAAHA ILLA ALLAH?
Makna LAA – Tiada; makna ILAAHA [ILAH] – Tuhan; makna ILLA – hanya; makna ALLAH –ALLAH.
Maka makna Kalimah Syahadah itu secara tuntas ialah TIADA TUHAN HANYA ALLAH!
Nah! Kenapa pula adanya pihak dan puak memandai-mandai menukar/menambah ayat Alquran menurut citarasa dan nafsu melulu tanpa hikmah?!
Adakah sebarang isyarat dari Alquran  maupun Hadits Rasulullah saw. bahawa setiap perkataan ILAAHA [ILAH] didalam Alquran dimaknakan dengan ‘TUHAN YANG LAIN’?  
CONTOH: Cubalah anda maknakan ‘tuhan yang lain’ kepada ayat berikut:
‘WA ILAAHUKUM ILAAHU WAAHIDUU’ – makna sebenar – ‘BERMULA TUHAN KAMU ITU TUHAN YANG ESA.’AlBaqarah163.
Setelah dimaknakan dengan ‘tuhan yang lain’, makna ayat ini berubah menjadi:’ BERMULA TUHAN KAMU YANG LAIN ITU ESA.’
CONTOH KEDUA: Firman QS.45:23, bermaksud:
‘Pernahkah kamu melihati hai Muhammad akan kaum yang menjadikan kehendak hawa-nafsunya sebagai  tuhannya?’
Setelah dimaknakan ILAH ‘kepada tuhan yang lain’, ayat ini memberikan makna: ‘Pernahkah kamu melihat hai Muhammad akan kaum yang menjadikan kehendak hawa-nafsunya sebagai tuhan yang lain.’
Jelas sekali, perkataan ILAH terdapat didalam Alquran, seandainya dimaknakan dengan ‘tuhan yang lain’ akan merubah maksud ayat-ayat tersebut, dan jelas kesalahannya menurut contoh diberikan!
AWAS! Justeru, tiap-tiap Kalimah ILAH didalam Alquran hendaklah dimaknakan dengan Tuhan semata-mata! 
11.3 NAFI DAN ISBAT TIDAK BOLEH DICERAIKAN.
Rasulullah saw. bersabda:
‘WA AMMA QAULU LAA ILAAHA ILLALLAH MURAKKABU BINNAFII WAL ISBAATI  KAANNAHUN NAFII ‘AINUL ISBAATI WAL ISBAATU ‘AINUN NAFII LAA FARAQAHU BAINAHUMA.’ Bermaksud:
‘Ada pun kata LAA ILAAHA ILLALLAH itu bersusun didalamnya Nafi dan Isbat, dan seolah-olahnya Nafi  diri Isbat , dan Isbat diri Nafi. Tiada bercerai antara keduanya. ‘ Jika diceraikan maka akan binasalah Islamnya!
Berkata pula Ahli Tauhid:
‘FAIN KAANAN NAFI ILAAHA GHAIRU FA ISBAATI ILAAHA GHAIRU, FAIN KAANAN NAFII ILAAHA MUSTAHAQQA  FA ISBAATU ILAAHA MUSTAHAQQA.’ Bermaksud:
‘Maka jika adalah yang diNafikan’ tuhan yang lain’, maka nescaya mengIsbatkan ‘tuhan yang lain.’ Maka jika adalah yang di Nafikan Tuhan yang sebenarnya, maka nescaya mengIsbatkan Tuhan yang sebenarnya!’ Fahamkan benar-benar!
Bukankah Kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH itu Kalimah Haq,[Kalimatul Haq] yakni Kalimah Hakikat?  Namun, hanya bagi mendekatkan faham , boleh ALLAH SWT. itu diperlawankan , umpamanya, ALLAH SWT. itu Ada maka lawannya Tiada. Dia Hidup dan lawannya Mati dsbnya.
Kesimpulannya, 20 Sifat ALLAH SWT. yang wajib kita semua ketahui itu, dan 20 Sifat Mustahil sebagai lawannya itu , hanya diperlawankan pada kata-kata, dan bukannya pada Hakikat! Fahamkan benar-benar!
11.4 MENJADI KAFIR, SYIRIK ATAU FASIQ BILA BERI’KTIKAD KEPADA TUHAN YANG LAIN.
PERHATIAN! Suatu keadaan yang amat kritis, merbahaya dan membimbangkan,yang bisa saja terjadi ialah diwaktu kita mengucap atau mengata/menyebut LAA ILAH..kita pula mengingat atau terpandang kepada ‘tuhan yang lain’ umpama berhala, tokpekong, sesembahan lain, dsbnya; seandainya kita putus nyawa/mati diwaktu kita sedang menyebut/mengata dan mengingat LAA ILAH..tersebut, atau mati dalam Kalimah Nafi,  yakni belum sampai keKalimah Isbat,  lantas matinya kita disaat berhadap kepada ‘yang lain’. Maka, mati didalam keadaan ini disebut sebagai Mati Fasiq [lalai], dan tentulah keneraka terlebih dahulu, Na’uzubillah!
Manakala matinya seseorang ketika dalam keadaan meNafikan Tuhan sebenarnya, maka matinya adalah didalam Islam. Kerana Nafi dan Isbat tidak bercerai,  kerana Nafi adalah diri Isbat dan Isbat adalah diri Nafi.
Lebih jauh sila perhatikan ujaran  Syaikh Abul Abbas Al-Morsi r.a., bermaksud:
‘Jika terdinding aku dari Tuhanku satu kerdipan mata juapun, nescaya  tidak aku bilangkan diriku sebagai manusia.’
Dan berkata pula Saidina Omar ibnu Farid Qaddasallah, maksudnya:
‘Jikalau terlintas didalam hatiku suatu kehendak bagiku pada yang lain, daripadaMu [ALLAH], atau khawatirku, jikalau dengan lupa sekalipun, aku hukum akan diriku MURTAD.’ Ertinya keluar dari Islam!
Berkata pula Syaikh Dzun-Nun al-Misri : 
‘MAN NAZARO ILAL GHAIRI FA HUA ‘ABDUL GHAIRI WA MAN NAZARO ILALLAH ‘ASYAA  WA MAN NAZARO  ILAL GHAIRI TOSYA.’ Bermaksud:
‘Barangsiapa yang memandang kepada ‘yang lain,’ maka dia bertuhan kepada ‘yang lain.’ Barangsiapa yang memandang kepada ALLAH, hiduplah dia; dan siapa yang memandang kepada ‘yang lain,’ binasalah dia!’
Hadits Rasulullah:
‘HUBBUKASH SYAI A YU’MII WA YUSIMMU.’, bermaksud:
‘Kecintaan kepada sesuatu, menyebabkan kamu buta dan tuli.’
‘MAN AHABBA SYAIUN FA HUWA ‘ABDU.’ Bermaksud:
‘Barangsiapa kasih akan sesuatu , menjadi hamba kepada sesuatu.’ Maka, jika kasih kepada ALLAH SWT., menjadi hamba kepada ALLAH SWT!
11.5 ALLAH TAALA PADA HAKIKATNYA TIDAK KONTRA DENGAN TUHAN YANG LAIN.     
Andai kita meNafikan ‘tuhan yang lain,’ maka pada hakikatnya,  kita telah memperlawankan Tuhan yang sebenarnya dengan ‘tuhan yang lain.’ Menurut faham Ahli Sufiyyah, ALLAH SWT. tiada berlawan pada hakikat. Hanya ALLAH SWT. boleh diperlawankan  pada kata-kata sahaja , bagi tujuan mendekatkan faham sahaja!
11.6 AMANAT SEGALA ROH SEWAKTU BERADA DIALAM ARWAH.
Diwaktu ALLAH SWT. mengajari segala ROH dialam Arwah, ketika mengkhitab ALLAH SWT. akan segala ROH dengan firmanNya: ‘ALASTUU BIROBBIKUM, QOLUU BALAA SYAHIDNA.’
Tatkala segala ROH membuat pengakuan berTuhan hanya kepada ALLAH SWT.,adakah ‘tuhan yang lain’ dipandang oleh segala ROH, ketika berhadap-hadapan dengan DZAT ALLAH WAJIBAL WUJUD?
Pasti tidak! Nah! Hanya DZAT ALLAH WAJIBAL WUJUD semata-mata!!!
11.7 SIAPAKAH PEMILIK KALIMAH SYAHADAH?
Siapakah yang empunya Kalam/perkataan Kalimah Syahadah tersebut?
Pastinya kalam ALLAH SWT. didalam QS.MUHAMMAD:19:
‘FA’LAM ANNAHU LAA ILAAHA ILLALLAH.’ Bermaksud:
‘KETAHUILAH BAHAWASANYA TIADA TUHAN HANYA ALLAH.’
Apakah diwaktu kita mengatakan/mengucap/menyebut TIADA TUHAN.., apakah diwaktu itu kita tidak mengaku bertuhan lagi? Pada hakikatnya, walaupun kita mengata/mengucap TIADA TUHAN..,bererti kita tetap masih bertuhan juga kepada ALLAH SWT! Ini adalah kerana sebelum kita mengucapkan lafaz Kalimah tersebut, walhal, ALLAH SWT. telah pun kita benarkan wujudNya, yakni, kita telah terlebih dahulu  ketahui dan yakin akan Wujud atau Adanya ALLAH SWT., seperti maksud ayat diatas tadi. Kalam /Perkataan ALLAH SWT. tidak berpermulaan dan tidak berkesudahan, yakni , berkekalan dan berkepanjangan ALLAH SWT.  mengatakan LAA ILAAHA ILLALLAH!
Sebenar-benar dan sebaik-baiknya, sebelum kita mengucapkan lafaz Kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH,  seolah-olah kita mendengar dengan TAHKIK bahawa ALLAH SWT. berfirman/berkalam:
‘LAA ILAAHA ILLA ANAA’maksudnya: TIADA TUHAN HANYA AKU!’
Justeru kita menjawab, TIADA TUHAN HANYA ENGKAU! Seolah-olah kita mengkhitab  dengan ALLAH SWT.
Justeru, APAKAH SEBABNYA DIWAKTU KITA BERHADAPAN DENGAN ALLAH SWT.,MASIH SAJA KITA MENGINGATI ‘TUHAN YANG LAIN’?!
Walhal ALLAH SWT. telah naik saksi bahawa hanya DIA yang Tuhan, sepertI firmanNya:
‘SYAHIDALLAHU ANNAHU LAA ILAAHA ILLA HUA.’ Maksudnya:
‘TELAH MENYAKSIKAN ALLAH SWT. BAHAWA TIADA TUHAN HANYA DIA [ALLAH]!’
Apakah wajar ALLAH SWT. akan menyaksikan ada pula ‘tuhan yang lain’?
Dan secara tuntas, penulis jujur bertanya, TIDAKKAH ANDA SEKELIAN  MERASA MALU KEPADA ALLAH SWT. YAKNI, DIWAKTU ANDA BERHADAP-HADAPAN  DENGAN ALLAH SWT.,PADAHAL HATI ANDA MEMANDANG PULA KEPADA ‘TUHAN YANG LAIN’???!
Dengan mengaku adanya ‘tuhan yang lain,’ kemudian ‘tuhan yang lain’ ini dinafikan, inilah yang dikatakan SYIRIK,- menurut faham AHLI SUFIYYAH.  

11.8 MENGAKUI ‘TUHAN YANG LAIN’[MENYENGUTUKAN] MENJURUS KEPADA SYIRIK.
Seandainya kita diwaktu mengucap/membaca  LAA ILAH, maka kita Nafikan ‘tuhan yang lain’seumpama berhala, tokpekong, Firaun, Namrud, sesembahan lain, dsbnya, maka kita menjadi musyrik, kerana kita telah mensyarikatkan [mempersekutukan] Tuhan yang Wajibal Wujud dengan ‘tuhan-tuhan yang lain’ tersebut!
PENCERAHAN:
Kita semua sebagai umat Islam seluruhnya, tidak pernah mengakui bahawa berhala, tokpekong, Firaun, Namrud, sesembahan lain, dsbnya, sebagai tuhan! Hanya yang mengakui objek-objek tersebut sebagai tuhan adalah para Kuffar [kafir]. Soalnya, kenapa pula kita membawa tuhan-tuhan orang-orang kafir itu kedalam Hakikat kita, ibadah kita, diwaktu membaca LAA ILAH..Kerana, menurut kaedah Ahli-Ahli USUL, mengIsbatkan barang yang Nafi, akan menjadi Isbat!
Awalnya kita semua mengakui bahawa objek-objek sesembahan para kuffar itu tidak dan bukan Tuhan. Habistu, kita tidakkan atau nafikan pula tidaknya itu, jadi ia menjadi Isbat. Seterusnya, kita akhirkan pula dengan lafaz ILLALLAH,  yaitu diIsbatkan  Tuhan yang Haq. Ini menjerumuskan kita kelembah musyrik, yakni, atas perbuatan mensyarikatkan/mempersekukan Tuhan DZAT ALLAH WAJIBAL WUJUD dengan  ‘tuhan-tuhan yang lain.’
 Walhal kita amat maklum tentang Tuhan ALLAH SWT. yang berSifat WAHDANIYAH, seperti difirmankanNya: ‘QUL HUWALLAHU AHAD.’
Jom kita ambil contoh yang paling sempoi [mudah], bagi mendekatkan faham. Misalnya, kita berkata: ‘Kita tidak, tidak makan.’  Sebenarnya, yang kita nafi/tidakkan, ialah ‘tidak makan.’ Jadinya, kita mengisbatkan makan. Bermakna sebenarnya kita makan!
 Namun, bagi Ahli Sufiyyah, mereka tidak pernah, sekali lagi, mereka tidak akan pernah menafikan ‘tuhan yang lain’, [sememang tidak pernah ada ‘tuhan lain’, hakikatnya], hanya  sewaktu mereka itu mengata/mengucap LAA ILAH.., yang mereka nafikan Tuhan, dan sewaktu membaca/mengata ILLALLAH, yang mereka Isbatkan ialah ALLAH DZAT WAJIBAL WUJUD!
Kerana sebenarnya, sewaktu kita akan membaca/mengucap Kalimah Nafi LAA ILAH..tentulah kita telah terlebih dahulu mengIsbatkan DZAT ALLAH WAJBAL WUJUD. Maka nyatalah NAFI itu diri ISBAT dan ISBAT itu diri NAFI; tidak beleh diceraikan! NOKTAH! Fahamkan sebenar-benar permasalahan ini!

12. TIGA JENIS I’KTIQAD’
Berkata Ahli Sufiyyah:
Bagi golongan manusia awam [MUBTADI], diwaktu mengata LAA ILAH.., ‘dinafikan tuhan yang lain,’ daripada ALLAH SWT.
Bagi golongan kedua [MUTAWASIT], tidaklah mereka itu meNafikan ‘tuhan yang lain’ daripada ALLAH SWT., malahan, mereka itu tetap saja ISTIQAMAH dalam Kalimah Isbat, yakni mereka itu tetap saja berkekalan dalam ISBAT, yakni menyebut kalimah ALLAH..ALLAH..ALLAH..!
Dan bagi golongan ketiga [MUNTAHI], yakni mereka  yang telah melihat kepada ALLAH SWT., dengan penglihatan Iman dan Yakin, yang mereka nafikan ialah Tuhan [ILAH],  dan yang diIsbatkan DZAT WAJIBAL WUJUD! Yakni, tidak bercerai NAFI dan ISBAT!
Berkata seorang Syaikh al-Sufiyyah Abdul Qadir:
‘TAUBATUN NAASI MINAZZUNUUBI WA TAUBATI MIN QAULI  LAA ILAAHA ILLALLAH.’ Bermaksud:
‘Taubat manusia daripada dosanya, dan taubat aku dari mengata LAA ILAAHA ILLALLAH.’ Yakni Ahli Sufiyyah tiada mereka melihat [mengetahui] ‘tuhan yang lain’ daripada ALLAH SWT! Hanya penglihatan kepadaNya semata-mata, dengan penglihatan Iman dan Yakin! Titik!

13.NATIJAH SYAHADAH
Syahadah pertama menenggelamkan manusia  kedalam samudera tanpa batas, Yang Mengagumkan, mencengangkan, dan Yang Abadi! Sedangkan Syahadah yang kedua, yakni, Muhammadan Rasulullah; Muhammad sebagai Nabi, wahyu, dan ciptaan, ibarat sebuah bahtera dari Allah SWT.; sehingga semuanya wujud  melaluinya, - yang menyelamatkan manusia tercebur kedalaman yang ‘absolute’, yang tidak bertepi, tidak berhujung dan tidak mengenal batas apa jua! Masyaallah – LAA HAWLA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH!    

14.PERSEDIAAN KETIKA DIAMBANG PINTU GERBANG MAUT  [SAKARATUL-MAUT].
PERHATIAN DAN AWAS! 
Adalah wajib bagi kita umat Islam Muslimin/Muslimat dan Mukminin/Mukminat berusaha  agar mendapat keselamatan dan kemenangan terutama sekali disaat berdepan dengan waktu SAKARAT  [NAZAK, HUJUNG NYAWA].
Kerana, diwaktu SAKARAT, kita tidak disuruh/diperintah mengerjakan Rukun Islam, seperti Solat, Zakat, Puasa, naik Haji dsbnya!Hendak bangun berwudhuk pun tidak berdaya, apalagi gerak aksi amal yang lain!  Ini dikeranakan oleh panca indera kita yang telah dicabut dan berpulang semula kepada yang empunya ,yaitu ALLAH SWT. Lebih tepat, kita tiada lagi berdaya dan  kita sedang melalui proses kematian; mata telah buta, telinga telah pekak, dan lidah telah bisu! Hanya hayat/nyawa dan ilmu/kehendak/angan-angan yang masih tersisa!
Manakala, 101 macam ujian dan gangguan Syaitan Iblis menerpa silih berganti; yang amat sulit mengatasinya!
Namun Rasulullah saw.  mengajari kita agar ketika itu, kita membaca LAA ILAAHA ILLA ALLAH, dengan lidah maupun dengan hati, seperti sabdanya yang bermaksud: ‘Barangsiapa pada akhir kalamnya mengingat/menyebut LAA ILAAHA ILLA ALLAH, dengan ikhlas, akan masuk syurga.’ 
Dalam keadaan huru-hara, hara-biru SAKARAT, ‘Its easier said than done’, seandainya kita masih belum mempelajari  Ilmu Kalimah Syahadah, Ilmu Nafi isbat, dan ilmu Hakikat Tauhid sebenarnya, seperti  perintah ALLAH SWT, didalam firmanNya QS.47:19, yang telah kita bincang panjang lebar diawal rencana ini!
Malahan, Rasulullah juga menyarankan demikian, didalam sabdanya:
‘Muutuu qabla antamuutu. Waman araada ayyanzuru ilaa mayyita yamsyi  ‘alaa wajhil ardhi, wal yanzuru ilaa abii bakrin.’ Bermaksud:
‘Belajar mati kamu sebelum kamu mati. Dan barangsiapa hendak melihat mayat berjalan dianya  diatas muka bumi , maka hendaklah melihat kepada Abu Bakar!’
Hendaknya, kita mencontohi Saiyyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a., yang telah mencapai S.O.P. dan Q.A. yang disaran dan dijamin syurga oleh Rasulullah saw. Bagaimana? Sila bertanya kepada Ahlinya!
Nah! Jika seandainya diakhir nafas kita, kita tidak membaca/menyebut/mengingat LAA ILAAHA ILLA ALLAH, bererti kita telah lalai atau lupa kepada ALLAH SWT.; bererti mati kita serupalah dan samalah seperti matinya kaum KUFFAR, ATHEISTS dan KOMUNIS, - tidak berTuhan dan MATI KAFIR – LALU HAPUS SEGALA AMALNYA!!! KEKAL SELAMA-LAMANYA DIDALAM NERAKA! Wa’iyazubillah! 

15. SYA’IR/PUISI MARIFAT.
LAA ILAAHA ILLA ALLAH jangan engkau lalaikan;
Siang dan malam jangan engkau sunyikan;
Selama hidupmu engkau pakaikan;
ALLAH dan Rasul jua yang menyampaikan.
    LAA ILAAHA ILLA ALLAH itu kata yang teguh;
    Memadam cahaya sekelian rusuh;
    Jinn dan Syaitan sekelian musuh;
    Hendak menyesat bersungguh-sungguh.
LAA ILAAHA ILLA ALLAH kesudahan kata;
Tauhid Marifat semata-mata;
Hapuslah kehendak sekelian perkara;
Hamba dan Tuhan dimana beda?
   
    LAA ILAAHA ILLA ALLAH tempat mengintai;
    Medan Qadim tempat berdamai;
    Wujud ALLAH refleksi  berbagai;
    Siang dan malam jangan bercerai.
LAA ILAAHA ILLA ALLAH itu tempat Musyahadah;
Menyatakan Tauhid jangan berubah;
Sempurnakan Toriq Iman yang mudah;
Pertemuan Tuhan teramatlah susah.
    Bergerak nadi siang dan malam;
    LAA ILAAHA ILLA ALLAH selalu-selalu;
    Nafas habis nyawa pun padam;
    Kepada ALLAH kita tuju.
Mencari harta siang dan malam;
Untuk bekal anak menantu;
Nafas usai mata pun pejam;
Apakah pula bisa membantu?
    Hitunglah Tasbih siang dan malam;
    Dzikir pula selalu-selalu;
    SeKhatam LAA ILAAHA ILLA ALLAH simpan didalam;
    Itulah yang bisa membantu!
    HUU..ALLAH..HUU.  

16. PENUTUP.
Semoga ALLAH SWT. memuliakan kita dengan piala cinta keredaanNya,  yang berisi arak cinta, hanya kepadaNya! Ya Tuhan! Dengan keAgunganMu, sucikan diri kami dari sebarang kekhuatiran atau keraguan dan ilusi menyesatkan. Siramilah kami dengan percikan Hidayah, Ilmu  dan Hikmah.  Hidupkan kami dalam kemuliaan; matikan kami dalam kemuliaan; dan bangkitkan kami  bersama para kekasihMu yang mulia!
Wahai Yang Maha Pengasih dari segala pengasih!  Wahai Yang Maha Mengetahui dan yang Maha Mendengar segala keluhan, rengekan dan hasrat jiwa-jiwa terpendam! Kami pohonkan dariMu keberkahan Sang Kekasih, Pemimpin para perindu dan para penyelam samudera Cinta Ilahi. Kehaderat baginda dan keluarga, selawat dan salam senantiasa tercurah  tanpa henti; selama para penagih dan perindu Cinta Ilahi masih hanyut dan karam dalam luapan berahi CintaMu! Selama beburung masih saja melagukan asyik dan rindu, mengabarkan rindu disegenap ufuk dan penjuru semesta jagad raya! 
HANYA SATU YANG KELIHATAN DIMATA HATI ‘ALLAH’!
HANYA SATU SUARA YANG KEDENGARAN ‘ALLAH’!
‘RABBANAA MAA KHALAQTAA HAAZAA BAATILAA!’
‘YA TUHANKU! TIDAKLAH ENGKAU JADIKAN  SEGALANYA INI DENGAN SIA-SIA.’  

ALHAMDULILLAH. WABILLAHIT TAUFIK.
TABAARAKALLAHU RABBIL ‘AALAMIN!

BLOG MADRASATUL BAITUL ADAM [MBA] SELANGOR. 16 SEPTEMBER 2016.TARIKH MALAYSIA MERDEKA DARI PENJAJAHAN FISIKAL. MERDEKALAH DARI PENJAJAHAN KEKUFURAN, KEMUSYRIKAN DAN KESESATAN! BARAKALLAH!