Thursday, March 1, 2012
MANAKAH DIA
DIMANAKAH ‘DIA’?
BISMILLAAHIRRAHMAANIRRAHIM
ALAHAI SAHABAT!
1.DIMANA
Ramai orang yang mengaku berbangsa Melayu – namun manatah sifat-sifat keilmuan, kesantunan, kemuliaan dan ketinggian budi pekerti bangsa dan keMelayuannya?
Ramai orang yang mengaku mempercayai Tuhan - namun, mana orang yang benar-benar merasa berTuhan?
Ramai orang yang mengaku Islam dan beriman - namun, mana orang yang benar-benar merasakan Islam dan manisnya Iman?
Ramai orang yang mengaku berTauhid -namun, mana orang yang benar-benar mencapai Maqom Muwahid?
Ramai orang yang tahu menyebut-nyebut nama Tuhan namun, mana orang yang benar-benar tahu dan mengenal yang empunya nama, yakni -
Mengenal ALLAH dengan Tahkik, kerana Rasulullah menyatakan seperti berikut: 'AWWALUDDIN MARIFATULAH', bermaksud:
'Awal Agama mengenal Allah.' Dan lagi;
'LATASIHUL IBADATI ILLA BILMARIFATIL MA'ABUD', bermaksud:
'Tidak sah sekelian ibadat tanpa mengenal yang disembah'
Ramai manusia yang mengira-ngira malam dan waktu Alqadar, berharap tinggi menggunung setiap bulan Ramadan saban tahun, namun, mana orang yang telah berjaya memperolehinya?
Ramai orang, saban bulan Haji, sibuk bersaing, dan bermegah melakukan sembelihan Qurban disamping khalayak yang melapah [bercita membawa pulang] bahagian sembelihan, namun, manakah Qurban yang telah menepati matlamatnya?
Ramai orang yang menziarahi Baitullah - namun, mana orang yang menemui Hakikat Baitullah didalamnya?
Terlalu ramai, berebut-rebut dan berbondong manusia menunaikan fardhu Haji dan Umrah setiap tahun, namun mana orang yang telah mendapat mabrurnya ibadah itu?
Ramai orang yang telah masuk keMaqom Nabi Ibrahim - namun, mana orang yang merasa aman, damai dan selamat selepas berbuat demikian?
Sila rujuk Q.S. 3/97, bermaksud:
‘ Didalam rumah [Ka’abah] itu terdapat maqom [spiritual] Ibrahim, dan orang yang memasukinya pasti aman.’
Ramai orang yang kemasjid bagi mendapat chop tanda 'hitam-lebam' didahi - namun, mana orang yang telah mendapat tanda NurHidayah dalam diri?
Ramai orang yang sekadar 'berdiri bersolat' - namun, mana orang yang benar-benar 'mendirikan solat?'
Ramai orang yang hanya sekadar membaca doa / munajat - namun, mana orang yang benar-benar berdoa dan bermunajat?
Ramai orang yang berjemaah dengan si-Abu, Si-Ali dan si-Qassim - namun, mana orang yang benar-benar berjemaah dengan Hakikat sekelian Maqom dan Jawarih sekujur tubuhnya? Malah dengan sekelian Musyaikh dan Rijal Ghaib? Bahkan!
Mana dia orang yang menTajallikan Tuhan Jagad Raya dalam setiap tindak-tanduk dan seluruh Keberadaannya! Justeru, bagi merobek dan merongkai kearah jalan itu, sila takwilkan nas-nas berikut:
Sila rujuk Q.S.5:35, bermaksud:
‘ Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah [JALAN] untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah [berjuanglah] dijalanNya, agar kamu beruntung.’
Sila rujuk Q.S. 29/69, bermaksud:
'Dan orang-orang yang berjihad untuk [mencari keredhaan] Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka JALAN Kami. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik [Ihsan].'
Dan lagi, sila rujuk Q.S. 47/7, bermaksud;
‘ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong [Agama] Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu.’
Dari Saidina Ali ibnu Talib, Karamallahu wajha, dalam sebuah hadits Rasulullah; bermaksud:
‘ Ya Rasulullah, apakah jalan sehampir-hampir untuk mencapai Allah S.W.T.? Bersabda Baginda: ‘Dawamu zikri /Tetap zikirullah kepada Allah.’
Perhatikan firman Allah, bermaksud:
‘ Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun berbaring.’ Yakni, orang-orang yang berzikir berkekalan dan berpanjangan, dalam apa jua keadaan.
Dan firmanNya lagi: Q.S. 29/45, bermaksud:
‘ Zikirullah itu adalah amalan teramat besar keutamaannya.’
Sila rujuk pula Q.S. 4/122: ‘ Waman asdaqu minallah qiila.’ Bermaksud:
‘ Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?’
2.RUMUSAN DAN KESIMPULAN
Berdasarkan penjelasan, huraian dan hujjah-hujjah diatas ,maka beberapa kesimpulan dapat dibuat seperti berikut:
1] Manusia wajib mengenali dan sekaligus mendekati Tuhan dengan mendalami Ilmu SyariatNya; pelaksanaan ilmu ini hanya dalam bentuk zahir atau jawarih [tubuh badannya].
2] Manusia wajib mencari dan menemui Hakikat [intipati] dari pelaksanaan dan penghayatan Ilmu Syariatnya; misalnya, mencapai tahap khusyuk dalam solatnya; jika tidak akan terjadilah keadaan ibadah asal buat sahaja; seperti tubuh tanpa nyawa, Islam tinggal nama, dan Agama tinggal kulit sahaja!
3] Wasilah atau Jalan yang memperhubungkan Syariat dengan Hakikat, itulah lazimnya yang disebut ilmu TareqatTasawwuf. Pelaksanaan Ilmu ini adalah dalam bentuk amalan Qalbi dan Rohani.
4] Walhasil dari integrasi dan penyatuan antara Ilmu Syariat, Ilmu TareqatTasawwuf dan Ilmu Hakikat, sewajarnya menatijahkan Ilmu Marifat; yakni Ilmu mengenal Allah secara Tahkik, tanpa syak, tanpa zan, tanpa waham. Inilah bentuk dan rupa Ilmu yang disandang para Rasul, Nabi dan Wali, seperti lumrah dihayati oleh para Sahabat Nabi, Tabi’in, Tabi’it Tabi’in dan para Salafussoleh sehingga 300 tahun setelah peninggalan Rasulullah S.A.W. Diperakui dan dijamin Rasulullah sendiri bahawa tempoh tersebut adalah tempoh umat unggul dan terbaik. Noktah!
Ibn Mas’ud, r.a telah meriwayat dan menerangkan keistimewaan para sahabat seperti berikut:
‘ Barangsiapa yang ingin mengikuti contoh teladan, maka dia hendaklah mencontohi para Sahabat. Sesungguhnya, mereka adalah orang-orang yang paling bersih hati, paling dalam ilmu, paling tidak mementingkan diri, paling betul perjalanan, dan paling mulia akhlak [tingkah laku]. Mereka adalah gulungan yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi sahabat=sahabat RasulNya, dan menegakkan AgamaNya. Kamu perlu tahu bahawa mereka adalah sebaik-baik umat, dan ikutilah jejak mereka. Sesungguhnya, mereka berada diatas petunjuk yang lurus!’ Rujuk:Maalim al-Intilaaqah al-Kubra.
Maka apakah kita merasa hairan apabila telah pupus tokoh-tokoh insan seperti itu, apabila zaman kegemilangan Islam itu telah lama berlalu, dan kini hanya menjadi kesan sejarah! Kini, umat hanya mengenang-ngenang kembali sambil menggigit jari, tercari-cari formula yang disangkakan telah lama hilang sambil mempersoalkan dimanakah khilafnya! Meskipun demikian, yang pasti, gemilang dan cemerlangnya umat terdahulu bukanlah disebabkan oleh betapa dalamnya penguasaan ilmu Fekah [Fiqh] mereka; bukan, bukan ,bukan dan sekali lagi bukan; seperti lambakan pakar-pakar ilmuan [ baca: ustaz-ustaz], dalam bidang Fekah; yang memenuhi setiap ruang masjid, madrasah, saluran media letronik dan cetak, dewasa ini, yang terusan menambah jumudkan lagi minda khalayak dengan dendangan taranum dan nasyid mereka [show-off]; dengan selingan jualan produk, lawak jenaka, persaingan keahlian facebook teramai, ‘ilmu’ kitaran semula, tentang bab-bab Muamalah zahir, fardhu kifayah dan isu-isu terlalu remeh dan elementary; yang sebenarnya layak dititipkan kepada kanak-kanak hingusan diperingkat sekolah rendah sahaja!
Sungguh memang telah terlalu sarat bidang fekah diterokai diNegara ini, apa lagi dengan puluhan ribu pelajar dihantar keluar negara saban tahun, dan sekembalinya mereka, kebanyakannya, sebagai ustaz-ustaz Fekah; bertanggungjawab mendidik umat bagaimana cara hidup berAgama sebenarnya?! Namun, sudahkah kita melihat pembuktian modal insan yang kita bina itu adakah menurut acuan yang dirintis Rasulullah, dan menghasilkan umat tinggi Ilmu dan berakhlak mulia, sebaik dan setanding umat dizaman Rasulullah dan 300 tahun selepas pemergian baginda? Tidak ada hadiah bagi jawapan yang betul!
Masihkah anda ingin mencari formula [Permata] yang disangkakan telah hilang itu?
Sila rujuk sebuah Hadits Rasulullah, bermaksud:
‘ Pada malam aku diisra’kan, aku diberi 3 jenis Ilmu – Ilmu yang harus aku sampaikan; Ilmu yang wajib aku sampaikan; dan Ilmu yang aku diberi pilihan antara menyampaikan dan tidaknya.’ Dan lagi:
‘ Ada dua jenis ilmu, yakni, Ilmu al-Qalb [ilmu Qalbu] dan Ilmu al-Lisani[ Ilmu lisan/lahir]. Ilmu Qalbu merupakan Ilmu yang manfaat, sedangkan Ilmu lisan merupakan hujjah Allah yang diberikan kepada manusia. [Rawahul Khatib, Abd Bara dan Dailami.] Dan sila rujuk lagi:
‘ Sungguh diantara ilmu itu ada yang seperti MUTIARA terpendam, tiada seorang pun yang mengetahuinya, kecuali Ulama Allah [ArifBillah]. Apabila mereka mengucapkan tentang Ilmu tersebut, maka tiada yang mengingkarinya, kecuali orang-orang yang lalai terhadap Allah; dan Ilmu Hidhir yang ditampakkan kepada Musa adalah merupakan jenis Ilmu tersebut.’
‘ Mereka [para Sahabat, Tabi’in, Tabi’it Tabi’in] sama mengambil Ilmu dari Rasulullah yang bagaikan menghirup air laut serta meneguk Ilmu beliau itu yang laksana hujan.’ Dari Imam Busyairi.
Pentakwilan keatas mafhum/maksud hadits-hadits diatas mampu menjuruskan kepada perongkaian keatas permasalahan yang telah melanda umat mutakhir ini! Kemudian mencari pula kaedah mengatasinya!
Nah! Kembalikanlah PERMATA/MUTIARA yang disangkakan telah hilang itu!
Fahamkan benar-benar persoalan ini!
TABAROKALLAHU RABBIL ‘ALAMIN.
WABILLAHI TAUFIQ WAL HIDAYAH
MADRASATUL BAITUL ADAM, SHAH ALAM, 26.02.2012.
AWWALUDIN
AWWALUDDIN MARIFATULLAH - AWAL AGAMA ITU MARIFAT [MENGENAL] AKAN ALLAH
BISMILLAAHIRRAHMAANIRRAHIIM
ADUHAI SAHABAT!
Hadits diatas mewarnai kaedah pendekatan dan penghayatan Agama Islam. Ia menjadi dasar, teras, pokok, Hakikat ibadah dan pengabdian. Hanya dengan Marifatullah sebagai natijah dan kemuncak, manusia itu berupaya mengenali sebenar dirinya, mengenali kewujudannya disamping kewujudan segala ciptaan Tuhan, sekaligus, mengenali Tuhannya! Marifah akan perbedaan antara Qadim dan Muhaddath itulah teras kewujudan dan kehidupan!
Atas jalan Syariat dan Tareqat manusia hanya bisa tahu bahawa Tuhan itu wujud [tahu bertuhan]. Namun, atas jalan Hakikat dan Marifat, manusia bisa dapat merasai kewujudan Tuhan [merasa berTuhan].
Maka berkata Arifbillah: 'Mal lam yazuq walam ya'rif.' Bermaksud:
' Barangsiapa tidak merasa maka tidak akan mengetahui.'
Justeru, barangsiapa yang tidak dapat merasa berTuhan, sebenarnya, TIDAK BERTUHAN!
Fahamkan benar-benar!
ANALOGI PERBANDINGAN
Ayam tidak akan masuk kedalam reban andai didalam reban ada musang; lembu dan kambing tidak akan masuk kedalam kandang, jika didalam kandang terdapat harimau.
Justeru, khusyuk berserta ingatan Zikir kepada Allah tidak akan menyapa dan bertandang, jauh sekali mendominasi Hati [Qalbi], jika terdapat serba ragam BERHALA sedia berpengkalan didalam hati dan disisi!
Allah berfirman Q.S.51/51: ' Wala taj'aluu ma'allahi ilaaha aakhar.' Bermaksud:
' Dan janganlah kamu mengadakan tuhan yang lain selain Allah.'
Dan lagi firman Allah, Q.S.18/110, berbunyi: ‘ La yusyrik bi’ibadati rabbihi ahada.’ Bermaksud:
‘ Jangan kamu mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhan.’
Dan lagi firman Allah, Q.S. 33/4, bermaksud:
' Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya.' Mana mungkin sekaligus, memiliki dua cinta dalam satu Hati!
Maka, pengEsaan dan Penunggalan Allah didalam diri itu menjuruskan manusia itu menjadi Muwahid sebenarnya. Namun kemampuan begini, pertama sekali, adalah berteraskan kepada Ilmu dan Amal; yakni, Ilmu Tauhid Marifatullah, bersertakan Kifiat dan kaedah-kaedah pengamalannya, yang bukan boleh sekadar menimbanya dari ceramah, tazkirah Ustaz-ustaz atau dari lambakan buku-buku teks ditoko-toko buku dan perpustakaan! Harus diingat bahawa, sebarang ilmu yang dimiliki, andai tidak menjadi amali, akan akhirnya menyingkir pergi! Ibarat, cakap tak serupa bikinlah!
Maka bangkitlah aduhai umat Muhammad bagi merialisasikan Aqidah Tauhid sebenarnya - bukan sekadar aqidah retorik seperti yang rancak dilaungkan sesetengah pihak, kononnya bimbang akan terpesongnya aqidah khalayak umumnya, malah aqidah mereka sendiri belum tentu dan pasti kebenarannya! Jangan menjadi Si-buta memimpin khalayak yang sama buta. Atau menjadi Si-buta yang ingin melihat gajah!
Ketahuilah, jika anda tidak dan belum pernah melayari maqom Muraqabah, AhdiatuDzat, Dzatti syarfi walboht, Musyahadah, Fanafillah dan Baqabillah didalam bidang Tareqat Tasawwuf, maka anda tidak akan pernah memahami, malah mencium apa dan bagaimana hakikat sebenarnya mengEsa dan menTauhidkan Dzat Allah itu, melainkan anda akan terus berkokok dan berretorik dengan menanam tebu ditepi bibir. Kebanyakan adalah ibarat ayam berkokok setinggi langit, namun ekornya bergelimang tahi! Lihat sahaja, jaguh-jaguh seperti Ustaz-ustaz dan politikus, bertitle kehormat Datuk dan TanSri, konon, memperjuangkan Islam, wawasan dan nasib bangsa; akhirnya kecundang kerana terjerumus kedalam kancah kerakusan hawa nafsu haiwaniah sendiri, yang tidak mengenal hukum-Hakam, mentelah pula Tuhan! Hampeh!
Kerana, tidaklah cukup sekadar mengaku sudah Islam dan beriman. Itu permainan budak-budak! Tidak juga memadai dengan sekadar mengetahui penjenisan Tauhid seperti Rubbubiyah, Ulluhiyah, Asma wa-sifat dsbnya; malah ,jauh sekali dengan kaedah menghafal Sifat 20, mengaji Quran dan sebagainya! Ayuh! Jika berhajat, silakan mara kebarisan hadapan dan berjuang dimedan laga para-para Mujahid dan Mujaddid! Fahamkan benar permasalahan ini!
Carilah kesempatan belajar dan memahami Aqa’idul Iman sebenarnya dari seorang Guru yang mahir lagi berpengalaman dalam bidang TareqatTasawwuf; dan janganlah belajar dari ustaz-ustaz Fekah yang hanya akan menambahkan kekalutan permasalahan anda! Fahamkan firman Allah Q.S. 21:7i:
‘ Fas alu ahlazzikri in kuntum la ta’lamun.’ Bermaksud:
‘ Bertanyalah kepada Ahli Zikir [orang berilmu] andai kamu tidak mengetahui.’
Berkata tokoh tersohor, seorang Faqih bermazhab as-Syafi’e, al-Imam al-Ghazali Hujjatul-Islam, tentang pentingnya seorang salik [pencari] mengambil Ilmu dari seorang Syaikh:
‘ Dengan demikian itu murid berhajat kepada Syaikh dan Guru Mursyid yang menjadi ikutannya, tidak boleh tidak; untuk membimbingnya kejalan yang lurus, kerana jalan untuk Agama samar-samar, manakala, jalan untuk syaitan itu adalah banyak. Barangsiapa yang tidak mempunyai Syaikh bagi membimbingnya, maka syaitanlah yang akan membimbingnya.’
Andai anda mampu menyahut saranan dan seruan ini, hatta, mampu menjadi Ahli TareqatTasawwf, anda akan tergolong dalam golongan mereka yang beruntung, kerana anda telah akur dengan perintah Allah yang menggesa agar anda menjadi Ahli Rabbaniyyin; dan senantiasa bersama dengan para-para Sodiqqin, [orang-orang yang benar]!
Cabarlah dan dugalah diri anda sendiri dengan mencari kelainan dalam diri; yakni, tidak hanya sibuk dengan bidang Fekah atau Wahabbiyah. Bangkitlah, jangan menjadi manusia biasa, jadilah manusia luar biasa dan lampaui monotoni sehari-hari untuk menjadi seorang Pencari; ya, Pencari Tuhan! Anda tidak sekali-kali akan pernah menemui batu permata, kerana anda hanya sibuk mencari dan mengumpul batu-bata! Jangan merasa puas hati sekadar belajar bidang Syariat dan Hukum-hakam Tuhan. Cuba dapatkan Sang Pemilik Syariat dan hukum-hakam itu! Dapatkanlah jalan/Wasilah bagi sampai bertemu dan mendapat keredhaanNya, seperti firmanNya, bermaksud:
‘ Maka, barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka , hendaklah ia mengerjakan amal soleh; dan janganlah ia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya,’
Akhir kalam, sila perhatikan Q.S. 18/103 & 104, bermaksud:
‘ Katakanlah [Muhammad], ‘ Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?’ ‘ Yaitulah, orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya.’ Fahamkan benar!
WABILLAHIT TAUFIQ WAL HIDAYAH.
WASALLAM.
MADRASATUL BAITUL ADAM, SHAH ALAM, MALAYSIA.18/02/2012.
Friday, November 25, 2011
ILMU TASAWWUF DAN HUKUM MENUNTUTNYA DALAM ISLAM
PENGENALAN
Ilmu Tasawwuf itu adalah salah satu dari tiga Bahagian POKOK dari Asas Ajaran Agama Islam yang diturunkan Allah swt. kepada Sang Rasul KekasihNya Muhammad Saw. untuk seluruh umat manusia dalam Jagad Raya ini.[Seperti terdapat pada Hadith sohih/tersohor]. Pegangan ini pula dipersetujui oleh Jumhurul Ulama [silam dan moden].
Ketiga-tiga Pokok Ajaran Agama tersebut adalah seperti berikut:
1. Ilmu Fiqh [Fekah/Syariat/Islam];
2. Ilmu Usuluddin [Tawhid/Iman];
3. Ilmu Tasawwuf [Ihsan]
Andainya ketiga-tiga ilmu tersebut tidak dituntut dan dikuasai oleh orang yang bergelar Islam, pastinya dakwaan mereka sebagai orang Islam dan beriman, adalah terbatal dengan sendirinya, yakni, Batal Islamnya dan Sah Kafirnya!
Ibarat berlayar tidak sampai kepulau impian; berenang tidak sampai ketepian; mendaki tidak sampai kekemuncak; turun tidak sampai kelembah; berjalan tidak mencapai matlamat; dan akhirnya, bergelandangan!
[Just forget the ‘cliché’ [‘kita ni adalah Khalifah dimuka bumi’ stuff,] okay?]
DEFINASI
Ilmu Tasawwuf adalah ilmu yang berkisar pada HATI manusia yang lebih bersifat Kerohanian dan Kerobbaniyan; bersalut penuh misteri dan Rahsia, dan yang hanya akan terongkai, dengan izin Allah, satu demi satu seiring perjalanan suluk atau pencarian manusia itu dalam usaha pendekatan, pengenalan dan persembahan dirinya kepada Allah SWT. menerusi suatu medium yang lumrah dipanggil sebagai TAREKAT! Ya, ilmu Tasawwuf hanya boleh diperolehi, sekali lagi, hanya boleh diperolehi hasil keberkesanannya melalui jalan berTAREKAT! NOKTAH! TITIK! PERIOD!
Kesan ilmu Tasawwuf ini adalah kepada penyucian dan pemurnian terhadap tahap keIslaman, keImanan dan keTawhidan seorang penganut itu dalam anutan Agamanya; yakni suatu prasyarat penting lagi kritis dalam menentukan piawaian dan nilai tertinggi ibadahnya yang menjadi tuntutan Allah SWT.
Sememang ada berapa ramai manusia [‘ulama moden’] yang hanya licik berteori dengan TarekatTasawwuf, bahkan sewenangnya, apabila menyampaikan tazkirah mereka kepada halayak masyarakat, tanpa segan-silu, memetik-meminjam kalimah-kalimah hikmat dari Tokoh-Tokoh pengasas dan pegamal Tasawwuf tersohor zaman silam [baca: Tokoh Sufi]; contoh; Imam Hassan al-Basri, Syaikh Abdul Qodir al-Jailani, Syaikh Junaid al-Baghdadi dan ramai lagi; guna bagi memperkokoh atau mempromosi teori mereka dalam hal-hal keagamaan! [Wa caya lu la!]
Walhal, dalam setiap keadaan, ‘ulama moden’ [baca: anti-Tasawwuf] ini sendiri tidak pernah mencium Tasawwuf, mentelah pula mengamalkannya! Memalukan! Rasulullah menggelar mereka sebagai ‘ulama’ Dajjal, ‘ulama’ Fasiq dan juga Munafiq! Kerana cakap tak serupa bikin, telunjuk lurus kelingking berkait, menggunting dalam lipatan, menohek kawan seiring, musuh dalam selimut, dan sebagainya!
HUKUM
Belajar dan menuntut ilmu Tasawwuf adalah wajib dan fardhu ‘ain atas setiap mukallaf; beramal dan berpegang dengannya cara bersungguh-sungguh, ikhlas serta istiqamah dengannya; sehingga terhasil darinya anjakan dalam diri seseorang itu, dari sifat-sifat MAZMUMAH [tercela] kepada sifat-sifat MAHMUDAH [terpuji]. Anjakan dan pembentukan akhlak baru keatas diri seseorang itu adalah amat kritis dan amat membantu terhadap penjurusan fokus atau pengamatan, dari personaliti diri kepada Personaliti Tuhan! [‘Barangsiapa mengenal dirinya, mengenal ia akan Tuhannya.’]
Beralihnya konsentrasi dari diri kepada Tuhan berkemuncak kepada mengAgung dan memBesarkan Allah SWT. dimana dan dalam apa jua keadaan manusia itu berada!
Khususnya, apabila dalam melaksanakan ibadah, ibadahnya bertukar menjadi khusyuk dan sejahtera dari segala yang membatalkan pahalanya! Kenallah ia siapa Tuhan dan siapa Hamba! Noktah!
Sepotong Hadith Qudsy, berbunyi:
‘Al Insan ainul Haqqi’ bermaksud:
‘Insan itu adalah penyata bagi Allah.’
Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
SIFAT TERPUJI
Setiap Muslim pada asasnya seharusnya berpakaian dengan sifat-sifat terpuji; yakni menyifati Akhlak Rasulullah Saw, sebagai Ikon umat Islam sejagad!
Sifat-sifat Mahmudah/terpuji pada Syara’ adalah seperti berikut:
1. Kuat berzikir;
2. Taatkan Allah;
3. Mendahului saudaranya daripada diri sendiri dalam kebajikan;
4. Qana’ah yakni, memadai yang sedikit yang lazim daripada dunia;
5. Mengetahui ilmu Tawhid #;
6. Tawakkal;
7. Menerima Qadar baik dan jahat dan musibah, datangnya dari Allah;
8. Memilih yang terlebih baik daripada tiap-tiap perkerjaan;
9. Mensyukuri nikmat Allah;
10. Memikir dan Tafakkur kepada segala ke’ajaiban Qudrat Allah SWT, seperti kejadian langit dan bumi, malam dan siang, dan lain-lain ciptaan Allah; dll.
#Barangsiapa yang tidak belajar dan mengetahui ilmu Tawhid; contoh, Aqaidul Iman, Rukun Syahadat dan Nafi Isbat; maka jadilah ia sesat jalannya kepada Allah dan menjadi sia-sia segala amal ibadah dan perkerjaannya. Kerana, jika seseorang tidak pandai berTawhid, maka secara otomatis ia akan jatuh Syirik; sedangkan dosa Syirik adalah tidak terampun oleh Allah!
Fahami benar-benar masaalah ini!
SIFAT-SIFAT DALAM TASAWWUF
SIFAT-SIFAT MAHMUDAH
1. Taubat daripada segala dosa;
2. Takut akan Allah SWT;
3. Zuhud, ertinya, benci akan dunia dan berpaling daripadanya;
4. Sabar;
5. Syukur;
6. Ikhlas;
7. Tawakkal;
8. Kasih akan Allah SWT;
9. Redha dengan Qadho/Qadar Allah SWT;
10. Mengingat akan mati; dan lain-lain.
SIFAT-SIFAT MAZMUMAH
1. Sangat loba atas makanan;
2. Sangat loba atas berkata-kata;
3. Amarah;
4. Dengki;
5. Kedekut dan amat cintakan harta/wang ringgit;
6. Kasih akan kemegahan;
7. Kasih akan dunia;
8. Membesarkan diri/takbur;
9. ‘Ujub;
10. Riya’; dan lain-lain.
Demikianlah ijmalnya antara sifat-sifat yang menghiasi dan yang menghambat setiap makhluk bernama Manusia; dan hambatan-hambatan ini wajib sekali dibenteras keakar-umbi; jika manusia itu berhasrat untuk mengembalikan dirinya kefitrah asalnya, sebagai prasyarat bagi menemui Tuhannya, diakhir perjalanannya! Insyaallah!
Methodologinya tiada lain melainkan berTarekatTasawwuf! Noktah!
‘Dan Allah telah mengatakan yang sebenar-benarnya; dan Dia menunjukkan jalan yang benar.’
AMIN YA RABBAL ALAMIN!
WABILLAHIT TAUFIK WAL HIDAYAH.
TAK KENAL MAKA TAK CINTA
Aduhai Sahabat!
1. PENGENALAN
Kita amat memahami tentang perspektif HABLUM MINANNAS dalam soal kemasyarakatan, sehingga keperingkat keNegaraan. Betapa ertinya perhubungan yang menuntut kepada pengenalan; yakni kenal-mengenali, penuh kesefahaman, antara satu dengan lain. Maka lahirlah slogan 1 MALAYSIA. RAKYAT DIDAHULUKAN. PENYAMPAIAN DIUTAMAKAN! Dalam skala lebih besar, tamaddun umat manusia bertunjang kepada keteguhan aspek pengenalan antara Negara seantero dunia, bagi menjamin kemaslahatan dan survival species yang bergelar MANUSIA!
Betapa pula perspektif HABLUM MINALLAH dalam soal pengertian ‘Ubudiah’ antara hamba dan Tuhan, yang terlebih-lebih lagi menuntut kepada peri pentingnya bertaut-teguhnya ‘Ma’arifah’ antara kedua-dua pihak ini! Cubalah fikir dan renungkan!
2. MUSTAHIL
ADALAH MUSTAHIL menuntut kepada Allah tanpa lebih dahulu mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL bermaksud kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL percaya kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL yakin kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL taqwa/takut kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL menyembah kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL menyerah kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL malu kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL kasih kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH TIDAK MASUK AKAL Cinta kepada Allah tanpa terlebih dahulu mengenaliNya!
SEBAB: TAK KENAL MAKA TAK CINTA!
3. KENAL
Harus digaris-bawahi bahawa titik-tolak asal-usul penciptaan adalah diatas dasar Kenal dan Cinta/Kasih.
Allah berFirman didalam Hadith Qudsy, bermaksud:
‘Aku adalah perbendaharaan tersembunyi; dan Aku kasih untuk dikenal, maka Aku ciptakan MakhlukKu, agar mereka dapat mengenaliKu.’
Jika bukanlah kerana faktor diatas, yang bernama makhluk atau manusia ini tidak akan pernah tercipta! Renung dan fahamilah permasalahan ini benar-benar!
Sila perhatikan Q.S. 76:1, yang bermaksud:
‘Bukankah pernah datang kepada manusia suatu waktu dari masa, yang ketika itu ia belum merupakan sesuatu yang dapat disebut. Setelah itu Kami ciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur, yang kami hendak mengujinya.’
Lihat pula Q.S. 7:172, bermaksud:
‘ Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Maka menjawab segala arwah, ‘Bahkan, Engkaulah Tuhan kami, dan kami menyaksikan!’
Nah, apakah anda telah sedar sekarang tentang kedudukan/status anda, hanya sebagai hamba disisi Tuhan Allah!
Lantas Allah berFirman, Q.S. 51:56, bermaksud:
‘ Tidak Aku ciptakan Jinn dan manusia melainkan untuk menyembah Aku.’
Maka terjalinlah dan termaterilah suatu kontrak; yakni siapa Tuhan dan siapa hamba; siapa yang menyembah dan siapa yang disembah! Noktah!
Jika anda mengaku berTuhan kepada Allah, mengapa anda masih berTuhan kepada yang lain? [Baca: Taksub kepada sesembahan yang lain, i,e. 3 ta: harta, tahta, wanita, dll.]
Setelah anda bersyahadat kepada Allah, kenapa anda tidak berTawhid kepadaNya? Atau memurnikan Tawhid anda terhadapNya? Kenapa anda tidak menunggaliNya, mengungguliNya, memBesarkanNya dan mengAgungkanNya? Bilakah pendustaan ini bisa dihentikan?
Pastinya, memang teramat sukar mencari jawapannya; namun renung dan fikirkanlah!
4. BAGAIMANA MENGENALI ALLAH
Setelah Rasulullah dinobatkan Allah sebagai Nabi dan Rasul pilihan, baginda mengawali keRasulannya dengan menyatakan:
‘ Awaluddin ma’rifatullah’ yang bermaksud:
‘ Awal Agama itu adalah ma’rifatkan [mengenali] Allah’
Maksud dan pengertian dari hadith ini menyatakan secara tuntas bahawa setiap perlakuan berbentuk ibadah sewajarnya didasari oleh Ma’rifat kepada Allah bagi memperoleh sahnya ibadah tersebut untuk diterima oleh Allah!
Tegasnya, ‘Ma’rifat dahulu sebelum ibadah’; dan bukannya ibadah dahulu sebelum Ma’rifat! Fahamkan benar-benar hakikat ini!
Buktinya, Rasulullah menghabiskan tempoh lebih dari 10 tahun di Makkah, sebelum Hijrah, untuk mengajar dan mentarbiahkan kaum Muslimin ketika itu dengan apa yang dikenali sebagai Ilmu Tawhid Ma’rifatullah. Bermakna, setiap Muslim ketika itu, dipastikan oleh Rasulullah, telah benar-benar, terlebih dahulu, mahir dan tahkik dalam Ilmu Tawhid Ma’rifatullah, sebagai prasyarat dalam persediaan mujahadah, menerima, melaksana, menjalani dan menghayati ibadah-ibadah yang diperintah Allah, yang datang kemudiannya, yakni pasca hijrah, seperti, Ibadah Solat, Puasa, Zakat, Haji dan lain-lain.
Demikianlah sebenar-benar Sunnah Rasulullah; kaedah yang ditunjuki baginda cara bagaimana menjalani, menghayati dan menghidupkan Agama Islam, tersusun, teratur dan tertib dan tiada yang lain daripadanya! Noktah!
Apakah menghairankan, apabila Rasulullah menegaskan suatu hikmah bahawa umat baginda yang terbaik hanya menjangkau 300 tahun selepas pemergian baginda?
5. SISTEM PENDIDIKAN AGAMA DINEGARA-NEGARA ISLAM
Umumnya, sistem arus perdana dalam mendidik Agama kepada halayak umat diNegara Islam, sejak sekian lama, adalah songsang, dan tidak menuruti Sunnah Rasulullah yang telah baginda ajarkan; yakni, diNegara Islam amnya, kita semua diajar bersyariat terlebih dahulu, kemudian, harap-harap, suatu ketika, suatu hari, dapatlah mencapai M’arifah! Agak pelik, aneh dan mustahil, kerana majoriti halayak tidak akan pernah mencapai Ma’rifah jika mereka hanya bersyariat sahaja sepanjang hayat mereka!
Lantas Rasulullah bersabda: ‘Awaluddin Ma’rifatullah’ namun, Ulama-ulama diNegara Islam berbicara, dengan nuansa: ‘Awaluddin Syari’atullah!’ Catch my drift? Fahamkan benar-benar!
Sebagai contoh, kita dididik mendirikan Solat tanpa penghayatan intipati batin Solat. Akhirnya kebanyakan kita hanya tinggal berdiri berSolat, dan bukannya menDirikan Solat, sekali lagi, bukannya menDirikan Solat! Baru padan kerana Solat begini tidakkan pernah mencapai tahap ‘khusyuk’.Dan akan menjerumus keNeraka – rujuk Surah alMaun.
Kita juga diajar menunaikan Haji Ka’baitullah, tanpa diajar intipati dan rahsia-rahsia batin Haji; contoh, dalam soaljawab diTV, Ustaz-ustaz tidak mampu mengupas rahsia hakikat yang berselerak disebalik perlaksanaan rukun-rukun Haji, apabila ditanya para Jemaah. Sebaliknya, disarankan akur sahaja menurut Sunnah tanpa banyak Tanya [program Tanyalah Ustaz?] seperti, apakah hikmah disebalik Tawaf; kenapa 7 kali; rahsia hakikat Wuquf, bagaiman Rasul melakukannya; namun kita dianjur sentiasa berdoa dan mengharapkan Haji Mabrur! Mana mungkin? Sungguh lucu, sia-sia dan mengaibkan, bila kita melakukan ibadah tanpa kesempurnaan persyaratan zahir batinnya! Adalah terlebih mudah mendapat yang Mardud daripada yang Mabrur! Fahamkan betul-betul permasalahan ini!
Akhirnya, apa yang kita saksikan adalah betapa ramainya manusia berbondong bersolat, merasa puas hati, bermegah dan merasa selamat dengan solatnya. Begitu pula dengan mereka yang mampu, berbondong dan bersaing antara mereka, pergi menunaikan Umrah dan Haji, nun, jauh disana; dan berbangga dengan ukuran keacapkalian[kekerapan] mereka melakukan ibadah-ibadah tersebut! Lantas mereka berprasangka, merasakan betapa selamat, betapa lebih Islamik, betapa tinggi dan mulianya mereka disisi Tuhan, hasil dari kerja-kerja ibadah yang telah mereka lakukan! Dimanatah penghujungnya prasangka dan perbuatan sia-sia ini?
Kerana buktinya kita sentiasa disajikan dengan kejadian kecerobohan, keruntuhan nilai moral /akhlak dan perbuatan maksiat yang kerap berlaku dikalangan mereka, tokoh-tokoh ‘wara’ dan ‘berilmu’ dan juga yang bergelar ‘Tuan Haji’!
Kenapakah ilmu dan ibadat-ibadat mereka tidak menjamin kekebalan mereka dari terjerumus kelembah kemaksiatan?
6. AGAMA HANYA SEBAGAI LAMBANG
Kebanyakan manusia tidak mengambil berat tentang soal Agama, terutama apabila mereka beranggapan bahawa Agama itu lebih bersifat sebagai penghalang kepada kebebasan dan kemajuan dalam menjalani kehidupan mereka. Ini adalah suatu fakta yang tidak boleh dinafikan. Cubalah renungkan, berapa ramai manusia yang sedia mengaku adanya Tuhan; namun, berapa ramaikah pula yang dapat sebenarnya merasakan berTuhan? Dan terusan awas mengawasi diri. Anda boleh memberi jawapan sendiri. [Because there’s no prize or trophy for the right answers!]
Justeru, adakah menghairankan jika pejabat-pejabat kita, rumah-rumah kita, didendang lagu-lagu nasyid dan ayat suci 24/7/365, samaada kita dirumah atau bercuti luar negeri; malah dalam kenderaan kita, kita hiasi dengan lambing-lambang Agama seperti ayat-ayat suci dan kalimah-kalimah hikmat [seperti: ‘Allah melihat apa yang anda lakukan.’] yang kononnya, sebagai pelindung atau cerminan ketinggian pribadi kita, namun tidak mempan menangkis godaan-godaan hawa nafsu, syahwat, syaitan iblis dan terakhir ini, nafsu serakah dan haloba memecah amanah dan rasuah, terutama dikalangan penjawat-penjawat awam tertinggi! OMG! These mindsets simply suck!!!
Apakah dan siapakah yang dapat melindungi dan menyelamatkan kita dari gejala-gejala tersebut?!
7. KAEDAH METODOLOGI MENGENAL ALLAH DENGAN TAHKIK
Apabila kita berhadapan dengan manusia yang mempamirkan salah-laku, ‘anti-establishment,’ berkecenderongan melakukan segala macam jenayah, tidak patuh dan tunduk kepada segala macam perundangan; hakikatnya, manusia jenis ini adalah manusia yang ‘berpenyakit’; tidak lain dan tidak bukan; yakni, penyakit ‘ROHANI’ atau ‘sakit jiwa’! Pada hakikatnya, salah-laku dan penyakit jiwa ini hanyalah isyarat, tanda dan ‘symptom’ kepada permasalahan yang lebih besar, yang menjadi sebab-musabab atau penyebab tercetusnya sumbang tabiat/perilaku manusia tersebut. Oleh yang demikian, cara/kaedah sebenar merawat atau mengatasi keadaan kemelut ini, bukanlah, sekali lagi, bukanlah dengan menyerang dan membasmi ‘symtom’ tersebut, tetapi dengan mengenal-pasti dan merawat penyebab sebenar yang menjadi pencetusnya.
Ketahuilah bahawa permasalahan besar sebagai faktor pencetus ini adalah ‘TIDAK KENAL ALLAH!’
Tegasnya, hanya dengan kenal Allah [Ma’rifat Allah], manusia itu mampu patuh dan tunduk tawaddhuk kepada segala perintah dan hukum-hakam Allah, setelah itu tunduk dan patuh pula kepada segala hukum perundangan sesebuah Negara!
Perhatikan Hadith Rasulullah, bermaksud:
‘ Dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging. Apabila ia baik, sejahteralah seluruh jasadnya; dan apabila ia rosak, binasalah jasadnya. Ketahuilah seketul daging itu bernama ‘Hati.’
Lihat pula Firman Allah, Q.S.51:21, bermaksud:
‘Juga dalam diri mu sendiri kenapa tidak kamu perhatikan?’
Lagi Firman Allah, Q.S.17:14, bermaksud:
‘ Bacalah kitab kamu; cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghitung atas dirimu!’
Kenyataan pendedahan perlakuan tidak bermoral dikalangan umat Islam membuktikan wujudnya kekontangan Iman dan taqwa dalam diri umat Islam sendiri yang tidak dapat mengupayakan kawalan dan kendalian diri pabila berdepan dengan godaan serba-ragam!
Tiada siapa yang terkecuali dari keadaan ini, melainkan manusia-manusia yang dipelihara Allah! Kerana mereka-mereka ArifBillah ini telah mengenali Tuhan Allah dengan tahkik dan sebenar!
Bagaimana kaedah atau teknik bagi mengenal Allah itu? Pastinya, ia tidaklah seperti apa yang dilakukan dan digembar-gembur oleh ‘Ulama-Ulama’ mutakhir! Sehingga umat menjadi lebih keliru, tenggelam punca, terumbang-ambing, malah, sesat pedoman!
Mengenal Allah itu tidak seperti mengenal sesuatu objek atau manusia!
Mengenal Allah itu bukanlah dengan serba ragam hafalan, seperti menghafal al-Quran atau Sifat Dua Puluh,dsb.
8. BACAAN DAN HAFALAN AL-QURAN
Al-Quran adalah Kalam Allah. Ia merupakan suatu mukjizat terbesar yang tidak pernah dimiliki oleh sesiapa pun sebelumnya. Namun, ia telah dianugerah-miliki oleh Sang Kekasih, Penghulu umat, Muhammad Rasulullah! Betapa mulia dan bertuahnya umat Muhammad mutakhir ini!
Namun, al-Quran yang sarat dengan inti-pati, seribu makna dan HIKMAH itu tidak akan mampu diterjemah, ditafsir, terlebih lagi diTakwil sebenarnya! Tidak akan pernah ada MUFASSIRIN yang boleh dan sanggup berlaku adil terhadap pengertian al-Quran sebenarnya!
Kerana itu janganlah kita telah merasa puas dan selamat apabila telah mampu sekadar membaca, mengalun merdu lagu/tajwidnya, malah menghafal seluruh ayat dan surahnya!
Perbuatan seperti ini boleh memperdaya, dan tidak mampu membawa kita lebih hampir kepada Allah; mentelah pula untuk kenal kepadaNya!
Kerana, yang amat dituntut ialah memahami isi intipati, Hakikat, Hikmah dan maksud al-Quran, agar dapat dijadikan petunjuk dan pedoman hidup dunia akhirat!
Kerana itu, Allah telah berFirman, Q.S. 3:7, bermaksud:
‘ Tidak ada yang mengetahui TAKWILnya melainkan Allah.’
Kenyataannya, [bersumber Loh-Mahfudz], al-Quran itu bisu, tidak berhuruf dan tidak bersuara! Kerana itu, Allah SWT. menobatkan Muhammad Rasulullah, yang mana menerusi lidah dan kedua bibir mulia baginda, al-Quran bisa berbicara sepenuhnya dan sebenarnya!
Firman Allah,Q.S.21:107, bermaksud:
‘ Tidak Aku utuskan engkau [Muhammad] melainkan sebagai Rahmat bagi seluruh alam.’
Kenyataannya, Muhammad Rasulullah telah lebih seribu tahun wafat, dan seolah-olah tanpa kehadirannya, telah terhenti pula pengurniaan Rahmat bagi seluruh alam ini! ?
Justeru, sebagai kesimpulan, dan pada hakikatnya, umat amat memerlukan ‘Muhammad’ bagi setiap zaman agar, al-Quran boleh terus berbicara dan Roh Islam tetap dan terus terpelihara! Agar Umat kembali celik dari mem’buta’!
Fahami benar-benar maksud dan permasalahan ini!
9. SIFAT DUA PULUH
Kita semua telah diajar untuk mengetahui Sifat 20 dimiliki Allah SWT. Apakah Allah hanya memiliki dua puluh sifat sahaja, dan terlebih penting menekankan Sifat Ma’aniNya; dan kaedah ajarannya hanyalah melalui cara hafalan sahaja?
Dengan kaedah ini, apakah kita telah benar-benar dapat kenal kepada Allah SWT. dan lantas menjadi ArifBillah?
Anda boleh mencari jawapan sendiri!
Setelah benar-benar memahami dan menghayati kesemua Sifat-Sifat Allah, barulah kita akan faham bahawa sebenarnya tidak ada Duality, Trinity, Multiplicity dan sebagainya, kerana itu adalah suatu perdayaan dan ciptaan manusia sahaja!
Semak Q.S. 112:1-4, bermaksud;
‘ Katakanlah [Muhammad], ‘Dia-lah Allah Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia.’
Justeru, bingkas dan bangunlah bagi mendapatkan kaedah sebenarnya untuk mengenali Allah S.W.T. secara tahkik dan Haqqul Yaqin!
Jangan hanya bingkas dan bergegas untuk menghadiri MLM dan ingin menjadi OKB!
Ketahui dan sedarlah, dunia ini hanya khayalan dan bersifat binasa sedangkan akhirat itu pasti dan kekal abadi! [Only you can make a difference!]
10. MA’RIFATULLLAH
Bagaimanakah methodology mengenal Tuhan?
Andai kita menyebut duit,duit,duit, bolehkah kita menjadi kaya?
Andai kita menyebut nasi.nasi,nasi, bolehkah kita menjadi kenyang?
Justeru, andai kita menyebut-nyebut nama Tuhan, bolehkah kita dikatakan telah mengenalNya, dengan sebenar-benarnya?
Kaedah sebenar bagi mengenal Allah S.W.T. hanyalah dengan Ilmu Tawhid Ma’rifatullah, menerusi pendekatan jalan TarekatTasawwuf.
Demi Allah, jiwaku didalam gengamanNya, tiada yang lain! Noktah!
Rujuk Firman Allah, Q.S. 72:16, bermaksud:
‘ Jika mereka tetap diatas jalan Tarekat, Kami akan kurniakan air hikmah yang melimpah ruah.’
Berkata pula ArifBillah, maksudnya:
‘ Barangsiapa ma’rifat akan dirinya, ma’rifat pula ia kepada Tuhannya.’
Kenyataannya, mengenali Allah harus melalui proses TAKHALLI, TAHALLI dan penTAJALLIan, penuh sarat ,melalui NamaNya, Afa’alNya, SifatNya dan DzatNya!
Sila bertanya kepada Ahlinya!
11. PENUTUP
Setelah manusia mengenal Allah S.W.T. dengan tahkik, mantap dan sewajarnya, pastinya, ini adalah menurut acuan fitrahnya manusia diciptakan Allah; yakni, sebagai Khalifah Allah dimuka bumi, sekali lagi, hanya selepas manusia kenal [Ma’rifat] kepada Allah S.W.T.
Seperti FirmanNya Q.S. 2:30, bermaksud:
‘ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah dimuka bumi.’
Dengan proses transformasi diri berstatus Khalifah Allah [Aulia Allah], ArifBillah [Insan Kamil] dan Kekasih Allah, barulah manusia itu mencapai segala sifat-sifat kesempurnaan diri, dan mencapai kemuncak penciptaan! Barulah manusia itu sebenar-benarnya mampu menyembah kepada Allah; menyerah kepada Allah; takut/Taqwa kepada Allah, malu kepada Allah; dan Cintakasih kepada Allah S.W.T.;seperti mana telah kita bincang diawal risalah ini.
Pastinya manusia jenis ini telah teguh diri, kalis godaan dan kebal dari sebarang perdayaan dunia, seperti Firman Allah, Q.S.10:62-64, bermaksud:
‘ Ketahuilah, sesungguhnya Aulia-Aulia Allah itu tidak ada ketakutan atas mereka, dan mereka tidak pernah berdukacita; [yaitu] orang-orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa. Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan didunia dan diakhirat. Tidak ada perubahan bagi janji-janji Allah. Demikian itulah kemenangan yang agung.’
Seandainya golongan manusia jenis ini berjaya dicerna dan dihasilkan, cubalah bayangkan betapa mandiri dan waja-nya, bukan hanya sebagai ‘modal insan’ Negara ini khususnya; malah betapa dengan kewibawaan, kekentalan dan kesemestaan umat Muhammad sejagad, amnya!
PERINGATAN: Janganlah biarkan diri kita terjebak dalam keadaan, Hati mati; Jiwa kering; Roh gelandangan; Nyawa nak padam; dan diri Muflis didepan Tuhan!
Dan Allah telah mengatakan yang sebenar-benarnya; dan Dia menunjukkan jalan yang benar!’
WABILLA HITTAUFIQ WAL HIDAYAH
TABARAKALLAHI RABBUL ‘ALAMIN!
Faqir ilallah alhady TN. 17.04.11.
Rujukan al-Quranul Majid.
Nota kaki:
Dizaman Rasulullah tidak pernah wujud Badan Kerajaan, Badan Bukan-Kerajaan i.e. Institut Kefahaman [IKIM], Institut Integriti [IIM], dsb. berfungsi untuk mendidik, menghindar, menyekat, merawat dan membasmi salah-laku dan jenayah seperti yang kian menular ditengah masyarakat kini, hingga menjadi suatu wabak, berleluasa, yang tiada kunjung reda. Jawapannya hanyalah, suntikan ‘Ain Hikmah Ilmu Tawhid Ma’rifatullah, dimana setiap individu itu harus di’Quarantin dan diI.C.U’.kan untuk mencapai darjat kepulihan muktamad! Sehingga spesis yang bergelar Manusia [‘Insan Kamil’] ini tidak terus dilanda dan diancam dengan ke pupusan dari muka bumi Allah ini! INSYAALAH!
‘ Allah menganugerahkan al-Hikmah [Ilmu kefahaman al_Quran dan Sunnah] kepada siapa yang dikehendakiNya; Dan sesiapa yang dianugerahi al-Hikmah itu, benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak.’ Q.S.2:269.
‘ Dan [juga kerana] Allah telah menurunkan Kitab dan Hikmah kepadamu, dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui. Dan adalah kurnia Allah itu sangat besar atasmu.’ Q.S.4:113.
‘ Dan sesungguhnya, kepada Tuhanmulah kesudahan segala sesuatu.’ Q.S. 53:25.
