Saturday, April 6, 2013

MAKNA ISTILAH



'HARAM SAWAH DIBAJAK KALAU BATANG CANGKING BERBUNGA' - ANTARA MAKNA LOGHAT DAN MAKNA ISTILAH, PENCETUS JURANG TIDAK SEFAHAMAN ATAU PERMUSUHAN ANTARA ULAMA TAREKAT-TASAWWUF DAN ULAMA FIQH [FEKAH/FUQAHA/PENTADBIR]'

BISMILLAAHIR RAHMAANIRRAHIIM
Wabihi nastai’n, bismillaahi, wa billaahi, wa minallaahi, wa ilallaahi, walhamdulillaahi, wa laa ilaaha illallaah, wallaahu akbar, wa laa hawla wa laa quwwata illa billaah.
Alhamdulillaah wassolaatu wassalaamu ‘alaa Rasulillaah, wa ‘alaa aalihi wa ashabihi wa baarik wasallim.
Aduhai Sahabat!

1. MUKADDIMAH
Barangkali, semua orang faham akan makna loghat tajuk diatas. Adapun makna ayat tersebut pada istilah:
Haram sawah dibajak [si-isteri di pergauli], jika wanita itu sedang kedatangan Haid. Warna darah Haid adalah merah seperti bunga batang cangking, yang kebiasaannya, tumbuh di pematang sawah!

2. SUATU ANALOGI
Alkisah, sebuah riwayat, terdapat seorang pemuda melamar seorang anak gadis, anak seorang Sufi. Ahli Sufi lantas bertanya: ' Apakah kamu ingin menikahi anakku yang buta matanya; pekak telinganya; bisu lidahnya, dan lumpuh kedua-dua belah tangan dan kakinya?'
Setelah mendengar persoalan tersebut, pemuda tersebut dengan perasaan hampa dan kecewa terus beredar dari situ, dan lantas membatalkan keinginannya untuk memiliki anak gadis si-Sufi itu.
Tidak lama kemudian, datang pula seorang pemuda lain, kebetulan, seorang Ahli Sufi, melamar anak gadis tadi. Lantas, ayah si-gadis, dengan spontan, mengaju persoalan yang serupa. Tetapi, Ahli Sufi yang melamar sememang arif dan telah maklum akan maksud persoalan dan penjelasan ayah si-gadis, lalu tanpa dolak-dalik terus menyetujui dan menerimanya!
Ahli Sufi yang melamar itu sedia maklum bahawa mata sigadis itu buta kerana tidak pernah melihat perkara yang haram; telinganya pekak kerana tidak pernah mendengar yang haram; lidahnya kelu/bisu kerana tidak pernah berkata yang haram; dan begitu juga, tangan dan kakinya lumpuh kerana tidak pernah menyentuh atau berjalan kepada yang haram! Demikian perbedaan antara makna loghat dan makna istilah! Fahamkan benar-benar!

3. SUATU PERBEDAAN DAN KEKELIRUAN
Begitu pula, didalam bidang TarekatTasawwuf yang amat asing kepada khalayak yang bukan ahli atau bukan penggiat, terdapat jurang perbezaan yang amat meluas, dari segi penyampaian ilmunya melalui methodologi penggunaan tamsilan, nuansa mutasyabihat, perbendaharaan kata, hikmah, bayan, mantiq atau teks , yang mengandungi makna loghat atau makna istilah. Cukuplah kepada penggiat TarekatTasawwuf sendiri dan ahlinya pun, sering terdapat kekeliruan, kekhilafan dan salah faham; apatah lagi kepada khalayak awam, atau pengkaji yang cuba-cuba mendekati bidang ini! Bukanlah kerana penggunaan pendekatan terhadap ilmu ini, dengan format eksklusif [tak lazim], segala terma, penamaan, kifiat, isyarat, istilah, taarif amal, hal, maqam, intipati dsbnya, didalam bidang ilmu TarekatTasawwuf, dengan sebutan, bunyi dan pemakaian atau pengamalan yang amat asing; tidaklah, sekali lagi, tidaklah membuatkan ilmu ini mustahil untuk diterokai, diceburi, dipelajari, difahami dan dihayati; sebagaimana juga ilmu-ilmu lain yang berbentuk ilmiah atau akademik! Malah, sebab terpenting sekali, adalah mempelajari serta mengamali ilmu TarekatTasawwuf, WAJIB hukumnya, bagi manusia yang mengakui diri mereka beragama Islam! Jangan harap penulis akan berhujjah dan berpolemik mengenainya diruang ini. Sila rujuk sahaja diruang yang lain!
Hanya kerana atas dasar kekeliruan, kejahilan, malah sifat iri dan kebencian yang turut melebarkan lagi jurang perbezaan diantara pendirian dan fahaman ulama Syariat berserta khalayak pengikutnya; dan para penggiat atau pengamal TarekatTasawwuf. Bagi memburukkan lagi keadaan, pihak yang jahil dan keliru tentang kebenaran dan ketulenan ilmu TarekatTasawwuf ini akan terus sahaja, tanpa usul periksa, dan keinginan untuk memahaminya, menyerang, menyanggah, membatal dan mengharamkan pengamalan ilmu ini!
Dewasa ini, sering juga terdapat laman-laman blog/sesawang, giat mempengaruhi dan meracuni minda khalayak, turut berkomplot dengan syaitan-syaitan kasar yang banyak berkeliaran, mencari mangsa agar beriring bersama terjun keNeraka diakhirat nanti. Yakinlah, jika kail panjang sejengkal, jangan lautan ingin diduga!
Gagasan komplot dan konspirasi para penentang TarekatTasawwuf ini adalah melakarkan suatu wajah mala-petaka bagi umat Muhammad, terutama umat mutakhir kini, yang kemaruk dunia, kufur, hamba nafsu, melampaui batas, cenderong melakukan maksiat terhadap Tuhan, jahil-murakap terhadap ilmu akhirat, tidak cenderong kepada permohonan taubat serta pengampunan Tuhan, dsbnya. Nah, bagi khalayak yang memilih untuk menentang, menolak, membatal dan mengharamkan penyebaran dan kelangsungan ilmu TarekatTasawwuf, janganlah kalian mendabik dada dan berbangga, kerana, percayalah, Wallah, kalian akan menemui juga kebenarannya, waima, dihujung usia kalian, ataupun , dihari Akhirat nanti! Bisa bersabar!
Senario begini hanya menjurus kepada suatu kemungkinan besar dan amat serius kepada khalayak dan masyarakat madani kini, yakni, mereka akan terus lalai dan melupakan Tuhan; malah akan lebih jauh dari Tuhan! Aneh sekali, meskipun, ketika pihak berwajib sering melancarkan program serba-ragam yang bersifat keagamaan kepada masyarakat, namun ianya tidak lebih dari bersifat kosmetik, dan tidak meninggalkan impak atau kesan dan kesedaran hakiki kepada anggota masyarakat amnya, terhadap hidup beragama sebenarnya. Apakah para Pendakwah tidak mempamirkan ketokohan?!Hakikat kebenaran ini jelas dimanifestasikan oleh sambutan, stail, cara dan gaya hidup anggota masyarakat yang semakin tersasar, berterusan cenderong kepada berseronok tanpa batas, dan terdedah kepada berfikiran bebas dengan mendakap ideologi liberalisme, pluralisme dan berbagai lagi fahaman dan tindakan bobrok ala-Toghut! Sila lihat Q.S.59:19, bermaksud:
‘ Dan janganlah keadaan kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah membuatnya lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.’
Apabila sekumpulan masyarakat itu bertindak bertentangan dengan Syariat Allah, tunggulah; kerana sebenarnya, mereka melupakan Allah, yakni, kederhakaan semata-mata! Dan masyarakat yang derhaka tidak sekali-kali akan meraih berkat, rahmat, kasih sayang dan perlindungan dari Allah; malah akan mengundang laknat serta kebinasaan dari Allah! Sehingga Allah menyatakan: ‘Inna ‘alaika la’nati ila yaumiddiin!’ Dan lagi, ‘ Aulaa laka fa aulaa. Thumma aulaa laka fa aulaa!’Q.S.75:34.

4. RISIKO, BAHAYA DAN BAHANA KERANA TIDAK WUJUD PERSEFAHAMAN
Sejarah dunia Islam banyak melakar, merakam dan menyaksikan pertembungan dua polar pemikiran atau fahaman diantara,apa yang dipanggil sebagai Islam tradisi/arusperdana [mainstream Islam], yakni, Syariat Islam yang terpakai oleh umum, dalam hal urustadbir muamalah, munakahat dsbnya; dan sisi atau suatu bentuk dimensi Islam yang lebih bersifat kerohanian, dinamakan sebagai TarekatusSufiyyah [Tasawwuf/Islam mistik]. Hakikatnya, perbedaan ini adalah seperti dua sisi dari sekeping wang syiling! Fahamkan paradoks ini benar-benar! Apakah anda tidak melihat hubungan simbiosis antara keduanya?
Oleh sebab terdapat kesamaran tentang kefahaman dan kedudukan kedua-dua dimensi tersebut maka timbul atau wujudlah jurang berbezaan dan kekeliruan dalam pemahaman, penerimaan, seterusnya, pendirian masing-masing antara kedua-dua pihak tersebut. Sebagai bukti, telah banyak kejadian pertelingkahan dan permusuhan berlaku diantara pendokong Syariat dan pendokong TarekatTasawuf yang sering  menyebabkan penganiayaan dan kezaliman terhadap para penggiat/pengamal TarekatTasawwuf/mistik; hanya kerana satu pihak tidak memahami maksud atau makna istilah, prinsip, sesuatu keadaan atau takrif amal dan deretan terma-terma teknikal yang diguna-pakai dalam ilmu TarekatTasawwuf ini. Bagi yang kurang cerdik dan kurang daya fikir keintektualan, ia merupakan suatu cabaran getir!
Antara tokoh-tokoh Sufi yang masyur, yang telah menjadi mangsa kezaliman, tipu muslihat dan ‘collateral damage’ dari jurang perbezaan, ketidak-fahaman dan ketidak-adilan pemerentah dan pihak-pihak berkepentingan dalam kerajaan Islam zaman dahulu adalah seperti berikut:

1.SYAIKH HUSAYN MANSUR AL-HALLAJ
Beliau telah dihukum bunuh oleh Kerajaan Abbasiah pada tahun 309/922,semasa pemerintahan Khalifah al-Muqtadir. Walaupun hukuman keatas beliau lebih merupakan natijah dari fitnah, pakatan dan komplot politik dan dendam permusuhan, hasil dari konspirasi Hamid, Wazir Khalifah, dan Abu Umar, Qadi, ketika itu, pertuduhan terhadap al-Hallaj adalah juga terbit dari beberapa ujaran/ucapan ‘syatahat’ [ekspresi mistik] dan keadaan dirinya, yang mencetuskan kontroversi, pada khalayak dan pada para jurist yang membicarakan beliau. Hukuman yang dijatuhkan tidak berdasarkan ijma’ para jurist atau ulama, tetapi dipengaruhi oleh tipu muslihat dan konflik perebutan kuasa dimahkamah pengadilan!


2.AYN AL-QUDAT
Beliau yang hidup [525/1131]dua abad selepas Al-Hallaj, juga melalui dan mengalami nasib yang serupa dengan Al-Hallaj. Beliau adalah murid kepada Syaikh Ahmad al-Ghazali, saudara kepada Imam al-Ghazali, dan ketika hukuman mati keatas beliau dijatuhkan, beliau baru berusia 33 tahun! Kepintaran dan karya-karya penulisan beliau yang amat berpengaruh telah mengancam dirinya sendiri kerana tercetusnya dendam permusuhan dalam kucar-kacir perebutan kuasa dibawah pemerintahan Sultan Mahmud dari dinasti Saljuk. Kes dendam yang membawa hukuman mati ini direka-cipta oleh seorang pegawai tinggi kerajaan yang gila kuasa dan dahagakan darah siapa sahaja yang menhalang pencapaian cita-cita besarnya, bernama Abu al-Qasim Darguzini, berketurunan kelas bawahan [‘peasant’].

3.ABU AL-HUSAYN AL-NURI
Beliau, seorang Sufi Farsi, dizaman Khalifah al-Mu’tamid dan al-Mu’tadid, adalah juga guru kepada al-Hallaj. Beliau adalah antara para Sufi termasyur dizamannya diBaghdad [wafat 295/907], merupakan sahabat baik kepada Sari al-Saqati, Junayd dan Kharraz. Beliau menghadapi pertuduhan sebagai seorang Zindiq, dari seorang bernama Ghulam Khalil [275/888], telah dibicarakan; namun, hukuman mati keatasnya telah dibatalkan pada saat-saat akhir perbicaraannya. Disini, berbanding dengan kedua-dua kes diatas, ujaran, ucapan, kata-kata hikmat dan perbuatannyanya telah menyelamatkan nyawanya, dan dua orang sahabatnya yang dibicarakan bersamanya!

4.SYAIKH SIDI JENAR
Beliau adalah antara deretan Wali Songo, Ulama Nusantara termasyur. Pendirian tegas dan ujaran-ujarannya yang mengancam dan tidak disenangi pemerintah Majapahit, dan para anggota Wali Songo, telah mengundang hukuman mati dikenakan keatas beliau. Seperti juga kes-kes sebelum ini, terdapat suatu konflik dan pengkomplotan politik yang mendasari setiap hukuman!

5.HAMZAH FANSURI
Beliau, seorang tokoh Ulama Sufi tersohor, juga dari Nusantara, melalui susur-galur kepayahan dalam membawa dan mengangkat Agama Islam kepersada kemuliaan dan ketinggian melalui karya-karya penulisan bernasnya. Fitnah dan konspirasi politik jugalah yang membawa kepada kematiannya!
Sebuah kes lain yang amat menarik perhatian ialah, suatu ketika, kerajaan Islam Abbasiah, dibawah pemerintahan Khalifah al-Maa’mun, telah mendakap ideologi Muktazilah sebagai fahaman nasional bagi negara dibawah jajahannya, sedangkan ideologi Muktazilah jelas tidak sinonim dengan sistem dan fahaman Islam sebenarnya, menurut mazhab al-Sunnah wal Jemaah. Kemelut kekeliruan ini terbit dari kekhilafan dalam penafsiran dan pemahaman Alquran dizaman tersebut, yang dilaksanakan secara loghat dan tidak menurut acuan hikmah dan makna istilah!       

5. RESOLUSI PENYELESAIAN
Bagi mengelak dari kemurkaan Tuhan, masyarakat haruslah dididik semula dan dibimbing dengan gaya dan cara hidup persis dizaman Rasulullah, para Sahabat dan Salafus-Soleh, yakni, dengan kemurnian dan kesucian hidup bertarekatTasawwuf. Ini boleh direalisasikan dengan membenteras jurang perbezaan, kekusutan, segala kekeliruan dan ketidak-fahaman tentang gagasan hidup bertasawwuf ini. Setiap perkara itu seharusnya dicermati dan diletakkan ditempat yang sewajarnya! Apa yang seharusnya berlaku ialah, kejahilan perlu dibenteras dengan ilmu. Suatu pihak yang tidak faham akan sesuatu bidang ilmu haruslah menyerahkan dan merujuk kepada Ahlinya. Andai langkah bijak ini dilaksanakan, tanpa syak wasangka, pastilah segala persoalan akan mencapai penyelesaian jitu.

6. SUATU PERSOALAN
Besar kemungkinan juga, anda sendiri tidak atau belum terdedah kepada istilah-istilah ‘asing’ dan fahaman yang terdapat didalam pengajian ilmu TarekatTasawwuf. Namun, ini bukanlah bermakna anda memiliki sebab untuk tidak menerimanya! Majoriti manusia boleh sahaja mengiktiraf atau menerima serba-ragam ilmu, seperti quantum fiziks, roket sains dsbnya, begitu asing, yang mereka tidak akan pernah berupaya memahaminya, walau melalui sepuluh kali lipat kehidupan semula; meskipun, tetap boleh dan sanggup menerimanya! Justru, apa ada pada ilmu TarekatTasawwuf yang boleh menghalang pemahaman dan penerimaan umat?! Jawapannya amat mudah: Kebodohan/kejahilan, prejudis/prasangka dan tiada hidayah Allah!Noktah!!!
Sebagai contoh, saya, disebut dan digelar orang sebagai DR.[Doktor Rohani].Saya percaya bahawa anda pasti telah mengetahui makna loghat perkataan Doktor. Namun, barangkali anda tidak mengetahui makna istilah gelaran DR.[Doktor Rohani], [Tabib][Kehormatan], yang dianugerahkan kepada saya oleh Guru Mursyid saya, dan lazimnya diterima-pakai didalam fraterniti dan khalayak pengamal TarekatTasawwuf. Andainya, anda kurang arif tentang makna istilah[takrif] perkataan Doktor Rohani [DR] tersebut; anda dipersilakan merujuk kepada sebuah kitab bertajuk ‘Al Ta’rifaat.’ Kitab ini memberikan takrif Doktor Rohani, [DR] [tabib] yaitu, ‘Guru atau Syaikh Mursyid yang mengenali dan mengetahui kesempurnaan hati, jiwa dan sifat batin manusia, serta segala penyakit hati dan bahayanya kepada manusia; walhal, Syaikh tersebut berkeupayaan pula menunjuki, merawat dan mengubati hati dan jiwa yang berpenyakit!’ Fahamkan! Sila teliti Q.S.2:10, bermaksud:
‘ Didalam hati manusia ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka siksaan [azab] yang pedih, disebabkan mereka berdusta.’
Para ArifBillah dan Ulama yang mendapat petunjuk, sudah pasti bersifat berbaik-sangka, malah, bersetuju dengan saya disebabkan fakta-fakta kebenaran berada dipihak saya!
Jika anda ingin mencuba membunuh mati gerakan dan gagasan TarekatTasawwuf dan para Ahlinya,[Ahli Sufi], anda dipersilakan menyeru dan memanggil konco-konco anda yang berpengaruh lagi mulia, terdiri dari pertubuhan-pertubuhan besar dan kuat, bagi mendapatkan dokongan dan sokongan untuk kerja-kerja pembenterasan ini. Sila anjurkan majlis pembentangan atau kongress atau mengarang kertas-kerja, buku/rencana penyanggahan dan pembatalan Gagasan TarekatTasawwuf ini.
Sehingga kini, belum lagi saya temui suatu penulisan penentangan, yang cukup ampuh, tuntas dan benar dalam hujjahan-hujjahannya bagi membatalkan gagasan TarekatTasawwuf. Sehingga kini pun belum lagi saya menemui, walaupun, sekadar takrifan maksud, makna istilah dan segala persoalan-persoalan berkaitan, yang menyelubungi ilmu TarekatTasawwuf, yang tepat lagi benar, selain hujjahan picisan, fitnah, pembohongan dan pendustaan semata-mata! Benarlah, Allah berfirman, bermaksud:
‘ Wahai manusia! Telah datang kebenaran [Al-Haq] dari Tuhanmu.’ Dan lagi, bermaksud:
‘ Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu.’
Lihat lagi firman Allah, Q.S.3:60 , bermaksud:
‘ Kebenaran itu datang dari Tuhanmu, maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.’
‘ Dan katakanlah: ‘ Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu, maka, barangsiapa yang ingin beriman hendaklah ia beriman; dan barangsiapa yang ingin kafir, biarlah ia kafir.’ Q.S.18:28.   
‘ Sesungguhnya, inilah keyakinan yang sebenar.’Q.S.56:95.
Dari kelemahan dan kegagalan pihak penentang ini, tidak lain melainkan memberi erti bahawa, pihak penentang sering mendakwa dan berkata sesuatu tanpa berpaksikan kepada ilmu. Dengan lain-lain perkataan mereka ini memiliki lidah gatal dan mulut celupar, ingin memperkatakan sesuatu tanpa ilmu; malah ingin berhujjah atas kejahilan diri! Sebaliknya, amat berlainan dengan Ahli Sufi; andai mereka menemui kebuntuan dan tidak ketahuan akan sesuatu perkara atau bidang ilmu, mereka akan hanya bertawaqquf [ berdiam diri], lantas menantikan sahaja pertolongan Allah!
Apakah pihak penentang ini berkulit tebal kerana tidak tersinggung oleh kecaman Allah menerusi Q.S.17:26, bermaksud;
‘ Janganlah kamu turut [campur tangan/campur mulut] tentang apa-apa [perkara] yang tidak kamu ketahui.’     
Perhatikan lagi Q.S.61:2-3, bermaksud:
‘ Hai orang-orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa-apa [sesuatu] yang tiada kamu kerjakan [perbuat]? Sungguh dibenci [dikutuk] Allah, bahawa kamu memperkatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan [perbuat]!’

7. PENUTUP
Andainya benar anda/kalian telah tersinggung oleh ayat-ayat tersebut; semoga Allah akan mengampuni dosa anda/kalian. Sesungguhnya, Syurga yang diciptakan Allah itu tidaklah sempit; bahkan, cukup bagi para jemaah Sufi, apatah lagi bagi anda dan jemaah anda; dan cukup juga untuk ribuan, malah, jutaan umat manusia yang lain!
Saya, serta jemaah TarekatusSufiyyah, tidak akan pernah bersikap iri hati, hasad dan dengki terhadap anda dan khalayak jemaah anda. Malahan, Jemaah TarekatusSufiyyah sering sahaja dan senantiasa mendoa, bermunajat, memohonkam ampun kepada Allah atas dosa-dosa anda sekelian, itu pun seandainya Anda mempunyai dosa!
Antara doa/munajat tersebut berbunyi seperti berikut:
‘ Allahum maghfirli ummati Muhammad, Allahum marham ummati Muhammad, Allahumma ajbur ummati Muhammad, Allahumma ansur ummati Muhammad, Allahumma aslih ummati Muhammad, Sallallahu ‘alahi wasallam!
Demikian, keprihatinan jemaah TarekatusSufiyyah, yang senantiasa berdoa, bersikap Husnuz-dzan, menumpah, melebarkan dan mempererat silaturRahim kasih sayang, dalam bermuamalah sesama insan, dahulu, kini dan sehingga akhir nanti! InsyaAllah!
Pesan Rasulullah dalam sabdanya: ‘ Addinuu husnul khuluq,’ bermaksud:
‘ Agama Islam itu adalah budi pekerti yang baik.’ Dan lagi:
‘ Akmalul mu’miniina imaana ahsanuhum akhlaqa.’Bermaksud:
‘ Orang mukmin yang paling sempurna imannya itu ialah yang paling baik budi pekertinya [akhlaknya].
Dan lagi, bermaksud: ‘ Tidak suatupun yang berat timbangannya daripada budi pekerti yang baik.’
Marilah kita contohi budi pekerti Rasulullah, kerana bagindalah yang memiliki budi pekerti yang terbaik sekali!  Seperti sabdanya, bermaksud:
‘ Aku diutus Allah untuk menyempurnakan budi pekerti yang utama.’ Dan firman Allah,Q.S.68:4, bermaksud:
‘ Sesungguhnya, engkau, ya Muhammad! Aku jadikan mempunyai sebaik-baik budi pekerti [akhlak].’
Apapun yang terjadi, pada hakikatnya, setiap sangkaan baik, setiap usaha baik kearah perongkaian permasalahan dan penghapusan kekeliruan dalam mendekati dan mengenal-pasti isu-isu kritikal sebenarnya, dan yang menyelubungi wilayah TarekatTasawwuf, adalah selangkah kearah menemukan noktah penyelesaian mutakhir, terhadap kemelut perbezaan antara dua jurusan tradisi Islam ini! Semoga Allah Swt. merahmati dan meredhai! INSYAALLAH!    
   
ALHAMDULILLAH     
WA BILAHIT TAUFIQ
TABARAKALLAHI RABBUL ALAMIN.

29.03.2013. BLOG TN. MADRASATUL BAITUL ADAM, SHAH ALAM, SEANGOR, MALAYSIA.
            

Tuesday, March 26, 2013

CALON



ANTARA KEBAIKAN DAN KEJAHATAN, PAHALA DAN DOSA, SYURGA DAN NERAKA
BISMILLAAHIRRAHMAANIRRAHIIM,
ALHAMDULILLAH, INNAKA ANTALLAHU LAAILAAHAILLA ANTA.
ALLAHUMMA SOLLI'ALA MUHAMMADIN 'ABDIKA WA RASULIKA WA 'ALA ALIHI WAAZWAJIHI WA ZURRIYYATIHI.

Malu bertanya sesat jalan. Malu berdayung hanyut serantau. Belum duduk sudah berlunjur. Sesat dihujung jalan, kembalilah kepangkal jalan. AWWALUDDIN MA’RIFATULLAH. Awal dan pangkal Agama ialah mengenal Allah!

ADUHAI SAHABAT,
Ketahuilah bahawa setiap manusia itu dicipta Allah dengan penuh keprihatinan. Ini adalah bertitik tolak dari Sifat-Sifat keMaha Pengasih Penyayang dan Mahabbah CintaNya terhadap makhluk yang bernama manusia. Sebab manusia itu adalah satu-satunya ciptaan Allah yang berperanan sebagai wadah untuk  dipertaruhkan Rahsia DiriNya, yang melalui manusia atau insan itulah Dzat Allah Taala itu, dengan tahkik, dapat dikenal. Namun, tidak melalui makhluk-makhluk ciptaanNya yang lain! Andai tidak demikian, siapakah yang akan berupaya mengenal Nya? Dan mengakuiNya sebagai Tuhan!
Sebuah Hadits Qudsy menyebut:
'Bermula, Insan itu [segala Ariffin yang Kamilin] adalah rahsiaKu dan Aku rahsianya.'
Yakni, Aku itu pandangannya, pendengarannya, penglihatannya, dan wujudnya dengan Aku, daripada Aku dan kepada Aku. Maka tiada yang lain sertanya!
Dalam hubungan yang sama, sememang telah wujud suatu akur-janji, dari manusia selaku hambaNya, yang mengikat dan menuntut sebuah kepatuhan dan ketaat-setiaan dalam memikul dan menyandang tugasan pertanggung-jawapan terhadap Khaliqnya, Allah Swt. Yakni, tugasan melibatkan kema’rifahan dan keKhalifahan ketika menjalani kehidupan [usia] didunia. Itulah yang disebut sebagai AMANAT dari Al-Khaliq kepada KhalaqNya!
Sila lihat Firman Allah, Q.S.33:72, bermaksud:
' Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi, dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak dapat melaksanakannya [berat], lalu dipikullah amanat itu oleh manusia.’
FirmanNya lagi,Q.S.95:4, bermaksud:
' Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.'

FirmanNya lagi, Q.S.64:3, bermaksud:
‘ Dia membentuk rupamu dan dibaguskannya rupamu itu.’
Namun, dalam puncak kesempurnaan penciptaanNya, Allah berhikmah dalam Q.S.91:7-10, bermaksud:
' Demi jiwa serta penyempurnaan [ciptaan]nya, maka Dia Mengilhamkan kepadanya [jalan] kejahatan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya[ jiwa itu]; dan sungguh merugi orang yang mengotorinya.'     
Yang demikian, Allah berfirman lagi Q.S. 51 :21, bermaksud:
' Juga dalam dirimu sendiri, mengapa tiada kamu perhatikan?'
Jelas, manusia yang bistari itu adalah mereka yang cenderong melakukan muhasabah dan sering mentafakkuri sifat-sifat dirinya, mengenali serba-ragam dan jenis Nafs-nya, dan merawatnya, bagi memperoleh Hikmah dan Hidayah, serta menemui ‘Pentajjalian,’ dan JALAN kembali menuju ke- Allah Swt.
Jangan sekali-kali anda berpendirian bahawa solat lima waktu yang dilakukan saban waktu sudah lebih dari mencukupi sebagai tanda kepatuhan kepada Tuhan. Walhal, rahsia khusyuk dalam solat tidak pernah pun anda pelajari, alami dan kecapi. Selebihnya, solat anda adalah sekadar membayar hutang tanggung-jawab sahaja kepada Allah, [ibarat melepas batuk ditangga]! Carilah Hakikat [rahsia] Solat! Kerana ketaatan dan kepatuhan sebenarnya kepada Tuhan, haruslah didahului dengan mengenali atau mema’rifahiNya terlebih dahulu! Fahamkan benar-benar!
Soal mengenali Allah tidak boleh dengan hanya dugaan, telahan dan angan-angan, melainkan dengan Ilmu Pasti. Sila lihat Q.S.22:8-9, bermaksud:
‘ Dan diantara manusia ada yang berbantahan tentang Allah tanpa ilmu, tanpa petunjuk, dan tanpa kitab [wahyu] yang memberi penerangan.’
‘ sambil memalingkan lambung/badannya [dengan congkak] untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah. Dia mendapat kehinaan didunia, dan pada Hari Kiamat, Kami berikan kepadanya rasa azab Neraka yang membakar.’  
‘ Tanyakan [tentang Allah] kepada orang yang lebih mengetahui [Muhammad]’ Q.S.25:59.
Fahamkan benar-benar permasalahan ini!

2. KATEGORI MANUSIA

Manusia itu boleh dibahagikan kepada 4 jenis:
i] MANUSIA TAK TAHU DIA TAK TAHU

Manusia jenis ini amat jahil akan dirinya, terlebih lagi akan kewujudannya dan Tuhannya. Justru, amat jahil dan menolak Syariat Allah. Namun dia menyangka, merasa serba tahu, serba cukup, merasa selesa, puas dan selamat. Jenis ini terdapat majoriti dikalangan orang-orang berpelajaran tinggi, berintelek, profesional, berjawatan dan berdarjat. Bercita-cita tinggi, bernafsu besar dan bersikap sembrono, membujur lalu, melintang patah!  
Response/tindakan: Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya!

ii] MANUSIA TAK TAHU DIA TAHU
Manusia jenis ini memiliki sedikit latar belakang dan kesedaran Agama, menyedari Syariat Allah, namun berdolak-dalik dengannya. Lantas, ditenggelamkan oleh arus penggodaan dunia serba ragam. Bercita tinggi dan bernafsu besar, hidup dengan berpura-pura kerana ingin kelihatan baik dan mendapat pujian bagi meraih keuntungan dan kepentingan diri, mengejar pangkat, darjat dan gelaran.
Response/tindakan: Kejutkan dari tidur dan kelalaiannya!

iii] MANUSIA TAHU DIA TAK TAHU
Manusia jenis ini memiliki kewarasan pemikiran, sedar akan kelemahan, kedaifan dan kekurangan dirinya.Lantaran itu, mereka sering mencari peluang dan kesempatan bagi membuat anjakan dan  memperoleh petunjuk yang akan menjurus kepada penemuan hakikat dan kebenaran Agama sebenarnya, melalui SyariatNya. Mereka bersifat proaktif dan lebih terbuka dan bersedia menerima   input-input yang boleh menambah atau memperbaiki keilmuan dalam diri sendiri.
Response/tindakan: Berikan pengajaran, bimbingan dan titipan!

iv] MANUSIA TAHU DIA TAHU
Manusia jenis ini adalah golongan bijaksana, cendekiawan, pendita, ariffbillah dan Ulama.
Response/tindakan: Sebagai tokoh ilmuan, mereka berfungsi menyampaikan ilmu dan pengajaran. Justru, jadikan dia teman anda!
Dari penjenisan kategori manusia tersebut, anda seharusnya sudah berupaya melihat kedalam diri dan jiwa anda, dan tidak lagi berteka-teki tentang siapa diri anda sebenarnya! Tidak perlu lagi anda melakunkan karakter Dr.Jekyll & Mr Hyde; tidak perlu lagi anda memakai topeng seribu wajah; tidak perlu lagi anda memijak semut pun tak mati; kerana semua itu hanya akhirnya untuk menipu diri anda sendiri! Percayalah! Antara kebenaran dan kepalsuan diri anda hanya dipisahkan oleh antara jarak hitam dan putih dimata anda. Fikirkanlah!
Seorang hamba telah memiliki hak untuk dihumban keNeraka sejak kali pertama ia melakukan dosa kepada Tuhannya setelah mengetahui bahawa perbuatannya tersebut mengundang dosa. Setelah itu terpulanglah kepada kehendaknya sendiri, samaada ingin meneruskan perbuatan dosa itu diatas ketidak-peduliannya atau berhenti seraya bertaubat. Sebenarnya, seseorang itu memiliki kesedaran, yang boleh menimbulkan rasa/perasaan takut terhadap Neraka. Rasa takut ini berada diatas dua tahap: Pertama: Apa pun, ia berprasangka bahawa Tuhan Maha Penyayang tidak akan memasukkannya keNeraka; Kedua: Ia berprasangka akan masuk Neraka tetapi menganggap tidak akan kekal didalamnya. Hakikat rasa takut sebenarnya adalah, takut masuk Neraka walau se-sa’at [penjara api dan bukan penjara dunia], apatah lagi tinggal kekal didalamnya!
Menurut Ibn Abbas, ‘ Tingkatan terrendah dari Neraka tersebut memiliki tujuh tingkatan lagi, sesuai dengan amal manusia. Begitu pula ketujuh tingkatan tersebut dibahagi lagi kepada beberapa tingkatan lebih rendah bersesuaian dengan dosa-dosa yang mereka telah lakukan. Begitu juga, tiada beda dengan Syurga yang terdiri dari tingkatan-tingkatan utama sesuai dengan yang harus mereka terima. 

3. KEBENARAN
Bagi anda yang masih ‘blur’ dan mamai, seolah-olah baru bangun dari lena yang panjang, betapa pun menghayalkan, seronok dan indahnya kehidupan [‘mimpi’] anda itu, diperkasakan darjat dan kuasa; diperhamba wang-ringgit dan harta; didodoi kemuncak nikmat ‘bidadari’ dunia; disuatu ketika, semua itu pasti akan berakhir! Rasulullah bersabda, bermaksud:
‘ Segala manusia itu adalah dalam keadaan ‘tidur.’ Pabila ‘mati’ ia, barulah ia terjaga.’
Oleh yang demikian, pastikanlah ‘tidur’ anda itu adalah tidur yang beringat, penuh hikmah, penuh redha, berilmu, berfirasat dan bijak menghitung bila akan berakhirnya sesebuah mimpi anda itu! Jangan sampai anda dikejut dan disentap terjahan keras dari satu lagi kebenaran pasti! Sila teliti Q.S.50:19, Q.S.39:30 dan Q.S. 42:53, bermaksud:
‘ Dan datanglah Sakaratul-maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya!’
‘ Sesungguhnya engkau akan mati, dan mereka semua akan mati pula.’ Dan itulah jalan dan HakikatNya!
‘ {Yaitulah] jalan Allah yang milikNyalah apa yang ada dilangit dan apa yang ada dibumi. Ingatlah, segala urusan kembali kepada Allah.’     
Nah! Kebenaran yang mana lagi yang anda masih sangsi, musykil atau hendak persoalkan!?
‘Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah.’ Q.S. 4:122.

4. PERBANDINGAN
Tidaklah boleh disangkal bahawa makhluk Allah yang bernama manusia [al-khalaq/Insan] itu berada diposisi teristimewa disisi Allah berbanding dengan sekelian makhlukNya yang lain, dilangit, dibumi dan diantara keduanya sekalipun, seperti Syaitan, Djinn dan termasuklah juga para MalaikatNya! Ini jelas terbukti dari firman-firmanNya; diantaranya yang dimuatkan puji sanjung terhadap makhluk manusia ini.

Sila perhatikan Q.S. 17:70, bermaksud:
‘ Dan sungguh Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan Kami angkut mereka didaratan dan dilautan, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik; dan kami lebihkan mereka diatas banyak makhluk yang kami Ciptakan, dengan kelebihan yang sempurna.’ Syabas, kepada makluk bernama manusia!
Dan lihat lagi Q.S.95:4, bermaksud:
‘ Sungguh, Kami telah Mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baik rupa.’
Dan lihat lagi Q.S.35:11, bermaksud:
‘ Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari air mani; kemudian Dia menjadikan kamu berpasang-pasangan. Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan, melainkan dengan sepengetahuanNya. Dan tidak dipanjangkan usia seseorang dan tidak pula dikurangi usianya, melainkan [sudah ditetapkan] dalam Kitab [LohMahfudz]. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.’ 
Begitulah hakikat penciptaan manusia oleh Allah Swt., bukan secara rambang atau secara sembrono atau hentam kromo tetapi mempunyai pelbagai prasyarat, rencana, rahsia dan Hikmah dari Allah! Sehinggakan, manusia yang menepatinya, ma’rifahkan Allah, asal-usulnya, rahsia dan missi sebenar-benarnya, akan mendominasi posisi ketinggian dan kemuliaan berbanding, hatta,  para Malaikat yang tidak pernah berbuat dosa sekalipun! Manusia tersebut dinobatkan sebagai KHALIFAH dimuka bumi ini! Namun demikian, apakah anda memiliki persediaan diri pribadi, luar dalam, zahir dan batin, bagi meraih pemerhatian Allah Swt., sebagai ‘proxy’Nya dalam mengarifi dan memakmurkan kemanusiaan Ummah dan seluruh penciptaanNya dalam semesta raya ini!!!  
Bagi para skeptik, Allah melandaskan didalam firmanNya, Q.S. 23:115, bermaksud:
‘ Maka, apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami Menciptakan kamu secara main-main sahaja, [tanpa maksud] dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?’
Dan lagi, Q.S.52:35-37, bermaksud:
‘ Apakah mereka tercipta tanpa asal-usul atau pencipta, atau merekakah yang mencipta diri mereka sendiri!’
‘ Ataukah mereka telah menciptkan langit dan bumi? Sebenarnya, mereka tidak meyakini!’
‘ Atau apakah manusia akan mendapat segala yang dicitakannya? [Tidak] Maka milik Allah-lah kehidupan akhirat dan kehidupan dunia!’
Dan lagi, Q.S. 16:70, bermaksud:
‘ Allah-lah yang Mencipta kamu dan Dia-lah yang Mencabut nyawamu disaat kematian.’

Bagi golongan yang masih merasa ragu tentang hakikat penciptaan dan hakikat kebangkitan semula dihari Kebangkitan, Allah berfirman [berperumpamaan] dalam Q.S.22:5-7, bermaksud:
‘ Wahai manusia! Jika kamu meragukan [hari] kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu , dan Kami tetapkan dalam rahim menurut kehendak Kami, sampai waktu yang sudah ditentukan. Kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian [dengan beransur-ansur], kamu sampai keusia dewasa, dan diantara kamu, ada yang diwafatkan, dan [ada pula] diantara kamu yang dikembalikan sampai usia sangat tua [pikun], sehingga dia tidak mengetahui lagi sesuatu yang telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air [hujan] diatasnya, hiduplah bumi itu dan menjadi subur dan menumbuhkan berbagai jenis pasangan tetumbuhan yang indah.’
‘ Yang demikian itu kerana sungguh, Allah, Dia-lah yang Hak, dan sungguh, Dia-lah yang menghidupkan segala yang telah mati, dan sungguh, Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.’
‘ dan sungguh [Hari] kiamat itu pasti datang, tidak ada keraguan padanya, dan sungguh Allah akan membangkitkan siapapun yang didalam kubur.’

5. KONTRAK PERJANJIAN
Wajib anda mengetahui bahawa tersisip disebalik semua rencana ini adalah suatu kontrak perjanjian yang telah dimeterai bersama di-alam Arwah, diantara Allah Swt. dengan sekelian makhluk manusia, yang masih belum memiliki bentuk jasmaniah, ketika itu. Kontrak itu, sebagaimana juga kontrak didunia yang anda faham, adalah bersifat ‘binding’[mengikat], justru, wajib pula manusia memenuhi segala syarat dan keperluannya [T & C]!  Sila teliti Q.S. 7:172-174, bermaksud:
‘ Dan ingatlah, ketika Tuhanmu Mengeluarkan dari ‘sulbi’, anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah Mengambil kesaksian terhadap Roh mereka [seraya Berfirman], ‘ Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab, ‘ Benar [Engkau Tuhan kami], kami bersaksi.’ [Kami lakukan yang demikian itu], agar dihari Kiamat, kamu tidak mengatakan, ‘ Sesungguhnya, ketika itu kami lengah terhadap ini.’
‘ Atau agar kamu tidak mengatakan, ‘ Sesungguhnya, nenek moyang kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedangkan kami adalah keturunan yang [datang] setelah mereka. Maka, apakah Engkau akan Membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang [dahulu] yang sesat?’
‘ Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu, agar mereka kembali [kepada Kebenaran].’
Teliti pula Q.S.23:8, Q.S.4:58 dan Q.S.16:91, bermaksud:
‘ Dan [sungguh beruntung] orang-orang yang memelihara amanat yang dipikulnya dan janjinya; dan yang memberikan persaksiannya.’
‘ Sesungguhnya, Allah Swt. memerintahkan kamu [manusia] memulangkan amanah kepada yang berhak menerimanya [Allah].’
‘ Dan tepatilah janji dengan Allah apabila kamu berjanji, dan janganlah kamu melanggar sumpah setelah diikrarkan, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu [terhadap sumpah itu]. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.’
Dengan terpatrinya kontrak tersebut, intipatinya, menjelaskan posisi masing-masing, yakni, pihak yang mana menjadi Tuhan dan pihak yang mana pula menjadi hamba!
Namun, zaman demi zaman menyaksikan evolusi kemanusiaan dipentas dunia ini, sering sahaja cenderong menyanggah dan ingin membatalkan kontrak tersebut, cuba mengambil alih kuasa Ketuhanan yang bukannya hak-milik mereka! Sewenangnya, dakwaan bodoh dibuat bagi diri mereka sendiri maupun keatas syaitan, djinn, haiwan, dan benda-benda yang tidak bernyawa, dan mendakwanya sebagai tuhan! Contoh paling klasik adalah Fir’aun, Nimrud, Musyrikin Makkah, dll.

6. HIKMAH PENCIPTAAN.
Sedar atau pun tidak, manusia itu, bukan dicipta dengan anasir yang serupa seperti Malaikat. Jika Malaikat dicipta dari cahaya, dan hanya manifestasikan kepatuhan total, semata-mata kepada Allah Swt., tetapi tidak demikian dengan penciptaan manusia, yang diadun dengan 4 anasir, yakni, api, air, angin dan tanah; manusia juga disadur dengan akal, hati [roh] dan juga hawa nafsu. Jika Malaikat tidak akan pernah ada kecenderongan untuk melanggar perintah atau bermaksiat kepada Allah, yakni jenis makhluk yang tidak berbuat dosa; namun, tentang manusia, Allah berfirman, Q.S.91:7-10, bermaksud:
‘ Demi jiwa serta penyempurnaan [ciptaan]nya; maka, Dia mengilhamkan kepadanya [jalan] ‘kejahatan’ dan ‘ketaqwaannya’. Sungguh beruntung orang yang ‘menyucikan’ [jiwa itu]; dan sungguh merugi orang yang ‘mengotorinya.’
Maka, disinilah tersisipnya rahsia dan hikmah didalam penciptaan manusia oleh Allah Swt. berbanding dengan para Malaikat, yang langsung tidak dilanda sebarang ujian. Tersibak sebuah lagi hikmah didalam firman Allah, Q.S. 67:1-2, bermaksud:     
 ‘ Yang Menciptakan mati dan hidup, ‘untuk menguji kamu,’ siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha pengampun.’
Justru, Allah berfirman didalam Q.S.30:30, bermaksud:
‘ Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Agama [Islam]; [sesuai] fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut [fitrah] itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. [Itulah] Agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui!’ 

7. CIRI-CIRI CALON SYURGA.
Alquran itu penuh sarat dengan ayat-ayat bersifat seruan dan anjuran agar manusia itu menepati tujuan asal-usul ia dicipta Tuhan. Kerana, hanya bagi mereka yang redha dan ikhlas menyahut seruan tersebut yang akan dianugerahkan kemenangan dan keberuntungan! Allah Swt. lantas berjanji, seperti firmanNya Q.S.24:55, Q.S.59:18, Q.S.21:49, Q.S.11:23 dan Q.S.3:114, bermaksud:
‘ Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman diantaramu, dan mengerjakan yang baik-baik, bahawa Allah mengangkat mereka menjadi Khalifah dimuka bumi, sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi Khalifah; dan Allah akan menetapkan Agama mereka [Islam] yang diredhaiNya untuk mereka, dan akan menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku dan tiada menyekutukan Daku dengan suatu jua pun. Barangsiapa yang kafir sesudah itu, mereka itulah orang-orang fasiq.’
‘ Mereka beriman dan terbuka [tunduk] hati mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi Petunjuk bagi orang-orang beriman kepada jalan yang benar [lurus].’
‘ Bertaqwalah kepada Allah; biar setiap diri melihat apa persediaan menghadapi hari mendatang.’
‘ Yakni, orang-orang yang takut akan Tuhannya dalam hati mereka, dan takut akan Hari Kebangkitan.’
‘ Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan dan merendahkan diri kepada Tuhan, mereka itu penghuni Syurga; mereka kekal didalamnya.’
‘ Mereka beriman kepada Allah dan hari Akhirat; menyuruh berbuat yang maaruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan bersegera [mengerjakan] berbagai kebajikan. Mereka adalah termasuk orang-orang yang soleh.’
Sila teliti pula Q.S.50:32, bermaksud:
‘ Nikmat yang dijanjikan Allah kepada setiap orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah Swt. dan memelihara [Syariat dan segala peraturan-peraturanNya].’
Amat perlu difahami bahawa semua peraturan, perintah dan larang, yang disyariatkan Allah Swt. keatas hamba-hambaNya didalam Kitab AlquranNya; dan semua kewajipan yang digaris-tentukan oleh Rasulullah, yakni menerusi Hadits/Sunnahnya, adalah bersifat mengikat, bagi orang-orang yang matang pemikirannya. Segala peraturan dan kewajipan itu tidak boleh, sekali lagi, tidak boleh ditinggalkan atau diabaikan dengan apa cara sekalipun; hatta bagi orang-orang beriman, orang-orang Siddiqin, orang-orang Suci, atau orang-orang Marifat sekalipun; walaupun orang itu telah mencapai barisan paling jauh, menggapai tingkat/darjat/maqom paling tinggi, tempat paling mulia, taraf paling agung! Tiada yang dapat pengecualian, dari Hukum-hakam keagamaan Allah Swt. yakni, mendapat izin untuk melakukan hal-hal yang dilarang oleh Allah, atau mengharamkan hal-hal yang dihalalkan oleh Allah, atau menghalalkan hal-hal yang telah diharamkan oleh Allah Swt.; atau lalai/lupa dalam melaksanakan semua kewajipan keAgamaan, tanpa alasan yang sah/soheh yang diakui oleh hukum-hakam Agama!
Apa yang seharusnya berlaku adalah, semakin berilmu, semakin bersih/suci hati dan jiwa seseorang, semakin mendalam iman/keyakinan, semakin tinggi taraf/maqomnya, semakin mulia tempat/posisinya disisi Tuhan; demikian lagi, usahanya harus semakin keras/gigih, disertai keikhlasan, ketaqwaan dan komitmen yang lebih besar dan tinggi kepada Tuhan! Sandaran dan pegangannya haruslah diatas Ilmu dan ‘Jihad.’ Berlandaskan dengan Ilmu, seorang itu berupaya menyebar dan menyampaikan Risalah Tuhan, persis, seperti Rasulullah dan Para Sahabat; walhal dengan ‘Jihad’ pula, seorang itu berupaya menegak dan membela Agama Allah, persis hunusan-hunusan pedang mereka, menegakkan yang haq dan menghapus kebatilan; menumpas kefasiqan dan kekufuran! Fahamkan benar-benar permasalahan ini!

8. PENYELAMAT
Namun, disebalik semua ini adalah langkah pertama dari seribu langkah menuju Tuhan; satu langkah yang sering diperlekeh, satu langkah yang amat sukar dilakukan oleh kebanyakan manusia; satu langkah magis dan penyelamat, yakni, langkah BERTAUBAT! Rasulullah bersabda: ‘ Barangsiapa yang menunda-nunda atau menangguh taubatnya akan mendapat dua dosa. Pertama – dosa kerana tidak bertaubat; kedua – dosa kerana melambat-lambatkan taubatnya! Lihat Q.S. 48:11, bermaksud:
‘ Barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.’
‘ Yang mengampuni dosa dan menerima taubat, lagi keras hukumanNya.’ Q.S.40:3.                
Sila lihat firman Allah, Q.S.25:70-71, bermaksud:
‘ Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh [kebajikan]; maka kejahatan mereka diganti Allah Swt. dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha penyayang.’
Lagi firman Allah, Q.S.25:71, bermaksud:
‘ Dan barangsiapa bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya!’
Dan bakal, sebagai calon, mewarisi kenikmatan serba-ragam Syurga-Syurga Allah Swt.!
Sila perhatikan Q.S. 50:31-35, bermaksud;
‘ Sedangkan Syurga didekatkan kepada orang-orang yang bertaqwa pada tempat yang tidak jauh [dari mereka].’
‘ [Kepada mereka dikatakan], ‘ Inilah nikmat yang dijanjikan kepadamu, [yaitu] kepada setiap hamba yang senantiasa bertaubat [kepada Allah] dan memelihara [semua Syariat/peraturan-peraturanNya]’
‘ [Yaitu] orang yang takut kepada Allah Yang Maha Pengasih, sekalipun tidak kelihatan [olehnya] dan dia datang [kepada Allah] dengan hati yang BERTAUBAT,’
‘ masuklah ke[dalam Syurga] dengan aman dan damai; itulah hari yang abadi.’
‘ Mereka didalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki, dan pada Kami ada tambahannya.’
‘ Bagi mereka [disediakan] Darussalam [Syurga] pada sisi Tuhannya dan Dialah Pelindung mereka disebabkan amal-amal soleh yang selalu mereka kerjakan.’ Q.S.6:127.
‘ Salam penghormatan kepada mereka [orang-orang Mukmin itu] pada hari mereka menemuiNya.’ Q.S.44:1.
‘ Didalam Syurga itu, terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan sedap [dipandang] mata dan kamu kekal didalamnya.’Q.S.43:71.
‘ Dan memperoleh [pula] didalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan [bagimu] dari Tuhan Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.’Q.S.41:31-32.
‘ Adapun jika dia [orang yang mati] termasuk orang yang didekatkan [kepada Allah], maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta Syurga kenikmatan.’ Q.S.56:88-89.
‘ Kedudukan mereka itu bertingkat-tingkat disisi Allah, dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.’ Q.S.3:163.
Ayat-ayat diatas menjelaskan tentang sifat-sifat ahli al-Walayat [orang-orang yang memperoleh perlindungan dariNya] dan ahli Cinta; disamping mengandungi pujian terhadap orang-orang yang berdarjat tinggi dan dekatnya kepadaNya. Yakni, hal itu adalah kerana mereka telah bertaubat, bertaqwa, berlindung kepadaNya, dan berkat kedekatan mereka kepadaNya!
Juga, sekaligus sebagai tamparan kepada orang-orang kafir, munafiq dan fasiq [ahli Neraka], dari ayat, ‘Wallahu basirum bima ta’malun.’ Bahawa Allah sungguh melihat perlakuan kalian, sehingga kalian tidak akan memperoleh apa yang mereka [orang-orang beriman] peroleh, kerana kalian tidak melaksanakan amal-amal soleh seperti yang mereka lakukan! Noktah!
Sekadar imbasan, Syurga Allah itu terdiri dari beberapa tingkatan utama, dimana bagi setiap pintu dari tingkatan tersebut terbagi menjadi beberapa bahagian, sesuai bahagian yang harus mereka terima. Dan tiap-tiap tingkat memiliki tempat tinggal. Berkata sebahagian ulama: ‘Demi Allah! Pada semua perkara yang ada di Syurga, baik istana, sungai, dan serba-ragam kenikmatan, tertulis nama sipemiliknya, dan amal yang telah menjadi asbab sipemilik tersebut memperolehi kurniaan nikmat itu! 

9. CIRI-CIRI CALON NERAKA.
Berikut adalah antara beberapa banyak teguran, selaran, tamparan dan ancaman Allah Swt. didalam Alquran terhadap manusia; kendatipun, kebanyakan manusia tidak akan pernah berubah, walau demi kebaikan diri mereka sendiri!
FirmanNya, Q.S.103:1-2, bermaksud:
‘ Demi masa. Sesungguhnya, manusia itu berada dalam kerugian.’
Lagi firmanNya, Q.S.95:5, bermaksud:
‘ Kemudian, Kami kembalikan dia ketempat yang serendah-rendahnya.’
Lagi firmanNya, Q.S.96:6-7, bermaksud:
‘ Sekali-kali tidak! Sungguh manusia itu benar-benar melampaui batas, apabila melihat dirinya serba cukup!’
Lihat lagi firmanNya, Q.S.100:6, bermaksud:
‘ Sungguh, manusia itu sangat engkar [tak bersyukur] kepada Tuhannya.’
Lihat lagi firmanNya, Q.S.33;72, bermaksud:
‘ Sungguh, manusia itu sangat zalim lagi sangat bodoh!’
Lihat lagi firmanNya, Q.S.14:34, bermaksud:
‘ Sungguh manusia itu sangat zalim dan sangat mengengkari [nikmat Allah].’
Lagi firmanNya, Q.S.17:11, bermaksud;
‘ Dan memang manusia bersifat tergesa-gesa!’
Lihat lagi firmanNya, Q.S.70:19-21, bermaksud:
‘ Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh; apabila dia ditimpa kesusahan, dia berkeluh-kesah; dan apabila mendapat kebaikan [harta dsb], dia menjadi kikir/kedekut.’
Alangkah saratnya cemuhan dan selaran dari Allah Yang Maha Menghukum, Maha Memaksa! Alangkah jauh perbezaannya diantara orang-orang beriman; didekatkan kesisi-Nya; mendapat redha dan kurniaan kenikmatan serba-ragam dari SyurgaNya; dengan orang-orang yang menyimpang dari jalanNya dan mendapat kebencian, kutukan dan azab hukumanNya!
Meskipun, Allah hanya memerintahkan hamba-hambaNya:
‘ Wahai orang-orang yang beriman! Rukuklah, sujudlah, sembahlah Tuhanmu; dan berbuatlah kebaikan, agar kamu beruntung.’
‘ Dan berJihadlah kamu dijalan Allah dengan Jihad yang sebenar-benarnya!’Q.S.22:77-78.
Justru, Allah menuntaskan, yakni akibat dari kegagalan, kedegilan, kebodohan, kejahilan, kezaliman, kesombongan/takbur, keengkaran/kekufuran, dan kelalaian/kepongahan berbagai ragam dan resam, oleh makhluk bernama manusia; memberi kesan amat buruk kepada diri manusia itu sendiri!
Teliti Q.S.6:16, bermaksud:
‘ Jika kamu turut kebanyakan [majoriti] manusia dimuka bumi ini, nescaya mereka itu menyesatkan kamu daripada jalan Allah Swt.; mereka tiadalah menurut selain sangkaan dan dugaan [‘conjecture / guess-work,’ telahan] mereka sahaja; dan tiadalah mereka selain dari mengira, bersangka dan mendustakan.’
Dan lagi firmanNya Q.S.39:32, bermaksud:
‘ Siapakah yang terlebih aniaya daripada orang yang membuat dusta atas Allah dan mendustakan KEBENARAN, ketika sampai kepadanya? Tiadakah dalam Neraka tempat orang-orang Kafir?’
Dan lagi Q.S. 2:9, bermaksud:
‘ Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang beriman, walhal, mereka menipu diri sendiri, sedang mereka tidak mengetahui.’
Dan lagi Q.S.37:35, dan Q.S.39:45, bermaksud:
‘ Sesungguhnya, mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka LAA ILAAHA ILLALLAH, mereka menyombong diri.’
‘ Apabila disebut sahaja Nama ALLAH, satu-satunya Nama Maha Agung, serta-merta naik benci orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat; apabila disebut nama-nama tuhan-tuhan yang lain [baca: tuhan sesembahan manusia seperti wang-ringgit, pangkat, pesta jomheboh,dan [of course] wanita], lain daripadanya, lantas mereka terus bergembira!’
Dan lagi Q.S.3:83/91, bermaksud:
‘ Maka mengapa mereka mencari agama lain selain Agama Islam, pada hal apa yang dilangit dan dibumi berserah diri kepadaNya, [baik] dengan suka-rela maupun terpaksa, dan hanya kepadaNya mereka dikembalikan. Dan barangsiapa mencari agama lain, dia tidak akan diterima, dan diakhirat dia termasuk orang-orang yang merugi.’
‘ Sungguh, orang-orang kafir dan mati dalam kekafiran, tidak akan diterima [tebusan] dari seseorang diantara mereka sekalipun [berupa] emas sepenuh bumi, sekiranya ia hendak menebus diri dengannya. Mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang pedih dan tidak memperoleh penolong.’
‘ Sesungguhnya, orang-orang kafir, sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tetap tidak akan beriman.’Q.S.2:6.
Dan lagi Q.S.12:103 : dan Q.S.23:115,
‘ Sebahagian besar manusia tidak beriman, walaupun kamu sangat mengiginkannya.’
‘ Sesungguhnya, kebanyakan manusia adalah FASIQ!’
‘ Sesungguhnya, Allah Swt. melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api yang menyala-nyala.’Q.S.33:64.

10. SENARIO JAHANNAM.
Rentetan dari natijah pengengkaran terhadap Allah Swt. dituntaskan didalam firmanNya, Q.S.50:21-29, Bermaksud:
‘ Setiap orang akan datang bersama [Malaikat] pengiring dan [Malaikat] saksi.’
‘ Sungguh, kamu dahulu lalai tentang [peristiwa] ini, maka Kami singkapkan hijab [yang menutupi] mata kamu, sehingga penglihatanmu pada hari ini sangat tajam.’
‘ Dan [Malaikat] yang menyertainya berkata, ‘ Inilah [catatan perbuatan] yang ada padaku.’
‘ [Allah berfirman], ‘ Lemparkanlah olehmu berdua kedalam Neraka Jahannam, semua orang yang sangat engkar dan keras kepala.’
‘ yang sangat enggan melakukan kebajikan, melampaui batas, dan bersikap ragu-ragu.’
‘ yang mempersekutui Allah dengan tuhan lain, maka lemparkanlah dia kedalam azab yang keras.’
‘ [Syaitan] yang menyertainya berkata [pula]. ‘ Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tetapi dia sendiri yang berada dalam kesesatan yang jauh.’
‘ [Allah] berfirman, ‘ Janganlah kamu bertengkar dihadapanKu, dan sungguh, dahulu Aku telah memberikan ancaman kepadamu.’
‘ Keputusan-Ku tidak dapat diubah, dan Aku tidak menzalimi hamba-hamba-Ku.’   
Sila lihat Q.S.54:47-49, bermaksud:
‘ Sesungguhnya, orang-orang yang berdosa berada dalam kesesatan [didunia] dan didalam Neraka. [Ingatlah] pada hari mereka diseret keNeraka atas muka mereka. [Dikatakan kepada mereka].  ‘Rasakanlah sentuhan api Neraka. ‘ Sesungguhnya, Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.’
Mereka adalah orang-orang yang lalai, yang mengutamakan berbuat dosa, mengakhirkan taubat dan menangguhkan permohonan pengampunan dari Tuhan. Mereka juga termasuk orang-orang sesat yang akan merasakan penderitaan diNeraka bersama kelompok mereka. Orang-orang Mukmin diberi balasan atas dosanya didunia dengan pelbagai musibah, kesempitan, kedhaifan, kemiskinan, penyakit, dsb; sedangkan dosa orang kafir/munafiq dibiarkan apa adanya didunia, namun dibalas kelak pada hari kiamat!
‘ Maka apakah patut Kami menjadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang berdosa [kafir]?’ Q.S.68:35.
‘ Patutkah Kami menganggap orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan dimuka bumi? Patutkah [pula] Kami menganggap orang-orang yang bertaqwa sama dengan orang-orang yang berbuat maksiat?’
Apakah kalian berfikir bahawa mereka yang beramal soleh itu akan memperoleh balasan persis perbuatan orang-orang yang suka membuat kerosakan dibumi; atau, apakah kalian memiliki kategori sebagai orang-orang soleh dan akan memperoleh pahala/balasan sesuai dengan perbuatan/amal kalian ataupun tidak? Dalam kaitan ini, lihat Q.S.4;123, bermaksud:
‘ [Pahala dari Allah] itu bukanlah menurut angan-angan yang kosong dan tidak [pula] menurut angan-angan Ahli Kitab.’

Sebagaimana anda harus mengetahui secara yakin bahawa setiap amal soleh adalah nikmat diSyurga dan juga nikmat bagi Roh di-alam barzakh; dan kerananya, setiap anda harus memiliki amal soleh berupa pengetahuan yang tulus, sehingga akan menempa tempat diSyurga. Dan kelak diakhirat akan dibahagikan pahala untuk setiap amal baik didunia. Nah! Begitu pula setiap keburukan didunia dan kebodohan/kejahilan murakap akan menjadi kesempitan dan kesengsaraan diakhirat , serta akan menjadi tempat diNeraka![waiyazubillah]. Pastinya, nasib setiap manusia itu akhirnya menjurus kepada, baik atau buruk, pahala atau dosa, atau antara Syurga dan Neraka. Jelas, dengan demikian kedudukan diakhirat amat bergantung pada amal didunia. Fahamkan benar-benar! Maka, sila rujuk Q.S.28:77, bermaksud:
‘ Janganlah kamu melupakan bahagianmu dari [kenikmatan] duniawi.’
Pengamatan penulis: Anda jangan sampai tidak beramal didunia, kerana perbuatanmu didunia sahaja yang akan menentukan nasibmu kelak diakhirat. Terlebih penting, kesempatan untuk beramal, anda perolehi semata-mata ketika anda masih hidup didunia! Dan apa dan siapakah yang boleh membantu anda bila nyawa sudah padam?!

11. KESAL DIRI
Pada waktu-waktu yang anda lalui didunia, haruslah anda menyibukkan diri anda dengan berbagai amal soleh, sebelum waktu tersebut berlalu meninggalkan anda. Kelak akan ditampakkan kepada seseorang, masa/waktu/sa’ah, yang dilewatinya sehari semalam, dalam bentuk wadah, sehingga ia akan melihat ada dua puluh empat wadah yang tersusun rapi, didalamnya terdapat nikmat, pahala dan hadiah, yang merupakan hasil amalan dari pelbagai kebaikan yang ia lakukan didunia, pada setiap sa’ah. Semua yang ia lihat membuatkan ia bergembira, sekaligus kesal dan iri. Yakni, apabila terdapat satu-satu wadah yang ia lewati didunia tanpa diisi dengan DZIKRULLAH, ia akan mendapati wadah-wadah yang kosong kelak diakhirat, kerana tidak ada berisi pahala atau hadiah. Membuatkannya merasa sakit dan menyesal diri. Terfikir, kenapa dahulu, jika dirinya menggunakan waktu sebaik-baiknya, maka tentu ia memiliki tabung pahala, sehingga jiwanya akan merasa tenang dan penuh redha.
 Andai seorang hamba itu tidak menyesal dari sekarang sebab gagal melaksanakan amal yang mengandungi ber-ragam manfaat, fadhilah dan sunnah, maka ia akan menemui kerugian yang amat besar nanti diakhirat. Terlebih lagi kepada mereka yang melalaikan waktu dengan sengaja, tiada kepatuhan dalam menunai kewajipan, akan terus tenggelam dalam sebesar-besar kerugian! Rasulullah bersabda, bermaksud:
‘ Setiap saat yang dilalui oleh Ibn Adam yang tidak digunakan untuk berzikir kepada Allah Azza wa Jalla, adalah merupakan kerugian bagi dirinya, walaupun ia dimasukkan kedalam Syurga.’
Kerugian yang di-alami, meskipun seseorang itu memperoleh kenikmatan dan keuntungan. Hal demikian akan terus-terusan menjadi tuntutan dan penyesalan baginya, sehingga darjatnya menjadi lebih rendah dibanding dengan penghuni Syurga yang lain! Hendaknya, jangan anda memberi sebarang alasan untuk tidak mahu berzikir kepada Allah, agar nikmat diterima kelak tidak menjadi kurang. Kerdipan mata dan helaan nafas, apabila tidak diisi dengan bayangan Allah serta zikir, ibarat waktu yang berlalu, terlepas melayang dan hilang, meninggalkan anda buat selama-lamanya!  
Berkata Saidina Hasan r.a., ‘ Wahai anak Adam! Sesungguhnya kalian laksana sedang menempuh perjalanan yang panjang, Setiap kalli kalian melewati siang dan malam, maka kalian telah memutuskan satu perjalanan. Ketika perjalanan kalian tamat, kalian akan sampai kedestinasi yang dituju. Yakni, Syurga atau Neraka!    
Sebuah atsar[khabar] dari Sahabat, menyatakan bahawa ketika para penghuni Syurga telah mengambil tempat dan memperoleh kenikmatan, ternyata ada cahaya yang menerangi mereka. Cahaya tersebut menerangi tempat tinggal mereka, laksana mentari yang menyinari dunia. Mereka kemudian melihat orang-orang yang berada diatas mereka; yakni, para penghuni tempat[Syurga] tertinggi [dari mereka]. Mereka dengan taajub melihat penghuni-penghuni tersebut, laksana melihat bintang yang bersinar dihujung langit. Para penghuni diatas tersebut adalah lebih utama dari mereka, baik dalam cahaya kenikmatan maupun keelokan, laksana cahaya rembulan dibanding dengan bintang-bintang lain dilangit. Kelihatannya para penghuni tersebut berterbangan dengan tenang diudara, kemana pun mereka mahu; dan saling mengunjungi antara satu dengan lain, dan ternyata ada pula yang upaya mengunjungi Dzat Maha Agung dan Maha Mulia. Lantas mereka yang mendiami Syurga dibawah bertanya kepada penduduk Syurga diatas: ‘Wahai saudara-saudara kami! Apa sahaja yang membuat kalian berbeza dari kami; walhal kami juga dahulu bersolat seperti kalian bersolat, puasa kami pun seperti puasa kalian? Apakah sebenarnya yang membuatkan kalian lebih utama dari kami?’ Kemudian terdengar suara jawapan, ternyata seruan dari Allah Azza wa Jalla: ‘ Mereka adalah orang-orang yang lapar ketika kalian semua kenyang; tidak perpakaian ketika kalian berpakaian; menangis ketika kalian tertawa; bangun berjaga ketika kalian tidur; merasa takut ketika kalian merasa aman dan selamat. Dengan demikian, pada Hari kebangkitan ini, Kami melebihkan mereka dari kalian!’
Ini sesuai dengan firmanNya, Q.S.32:17, bermaksud:
‘ Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, yaitu [nikmat serba-ragam] yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan kepada apa yang telah mereka kerjakan.’
‘ Berbuat baiklah [kepada orang lain] sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.’Q.S.28:77.
Yakni, berbuat baiklah [Ihsan] kepada dirimu, keluargamu, saudaramu yang fakir; sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dengan memberikan nikmat, harta dan kekayaan; kerana ini akan melayakkan anda untuk memperoleh segala nikmat dari Allah diakhirat kelak.
Kemudian, Allah Swt. memberi peringatan kepada semua manusia:
‘ Sehingga, apabila datang ‘kiamat’ kepada mereka dengan tiba-tiba, mereka berkata, ‘ Alangkah besarnya penyesalan kami terhadap kelalaian kami tentang ‘kiamat’ itu.’Q.S.6:31.
Bermaksud, betapa aku amat menyesal kerana tidak memanfaatkan kesempatan hidup didunia untuk beribadah, kerananya aku tidak memperoleh suatupun diakhirat! Dikhabarkan, setiap orang yang mati tidak akan terlepas dari rasa kesal dan sedih ini. Mereka yang melakukan kerosakan, kedurhakaan dan maksiat akan menyesal kenapa didunia mereka tidak berbuat ihsan/kebaikan. Mereka yang melakukan kebaikan [soleh] pula kesal kenapa tidak berbuat lebih banyak kebaikan. Mereka yang menerima catatan amal dari sebelah kiri akan menyesal kenapa mereka tidak menerima kitab catatan amal dari sebelah kanan. Bagi yang memperoleh catatan dari sebelah kanan akan menyesal kenapa mereka tidak termasuk dalam kalangan Syuhada. Yang Syahid pula sangat berharap tergolong antara para Siddiqin, Arifin dan Muqarrabin!
Diakhirat, seorang hamba akan merasakan kesedihan teramat sangat kerana diliputi penyesalan yang tidak terhingga! Demikianlah, Hari Penyesalan yang sering diingatkan kepada orang-orang yang lalai!
Justru, bagaimana dan apakah yang akan terjadi kepada orang-orang yang mati, tanpa membawa kebaikan sedikitpun?! Sesungguhnya, Alquran terus memberi peringatan melalui utusanNya.
‘ Dan janganlah keadaan kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah; lalu Allah membuatnya lupa kepada dirinya sendiri. Mereka itulah orang-orang fasiq’ Q.S.59:19.
‘ Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, yaitu, ketika segala perkara telah diputus. Dan mereka dalam kelalaian.Q.S.19:39.
‘ Supaya dia [Muhammad] memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup [hatinya].’Q.S.36:70.
‘ Kamu hanya pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya [Hari Kebangkitan].’
‘ Sesungguhnya kamu hanya memberi peringatan kepada orang-orang yang mahu mengikuti peringatan dan yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, walaupun dia tidak melihatNya.’Q.S.36:11.
Sebagai peringatan, kita hendaknya jangan melayan harapan kosong, yakni, tertipu bertaklid, ber-praduga, prasangka yang bersifat populis, bohong dan dusta; terlalu yakin dengan pegangan yang tidak nyata kebenarannya; yakni kita melakukan dalam hidup suatu amal yang kita sangka sebagai amal yang baik lagi benar; namun ketika dihisab kelak ternyata yang diperoleh hanyalah kekhilafan, kejelekan dan kesiasiaan belaka. Seperti firmanNya, bermaksud: ‘ Amal mereka adalah seperti debu ditiup angin.’ Justru, pohonlah petunjuk dan masuklah kedalam golongan Ulu al-Albab yakni, para pemilik ilmu sebenar dan yang mempunyai darjat tinggi disisi Allah Swt. Tanyakan kepada Ahlinya!
‘ Maka segeralah [larilah] kembali kepada [mentaati] Allah. Sungguh, aku seorang pemberi peringatan yang jelas dari Allah untuk mu’ Q.S.51;50.

12. PENUTUP
Apabila tekad seorang hamba telah bulat, maka ia akan memahami bahawa seluruh usianya persis sehari; seluruh harinya hanyalah satu jam; seluruh jamnya hanyalah satu sa’at, yang sedang dilaluinya. Sa’at yang sedang dilalui ini adalah sebenarnya keadaannya; adalah hatinya. Dengan ini ia akan menempatkan keadaan dirinya sesuai dengan arahan hatinya, agar dapat mendekatkan dirinya pada Dzat Yang Maha Menggerakkan, Dzat Yang Maha Dekat, dengan melaksanakan amal-amal paling baik dan maksimal.

Tidak ada waktu sedikitpun yang tidak di-isi dengan zikir atau bersyukur atas nikmatNya; atau sabar didasarkan atas kecintaan kuat kepadaNya; atau redha diatas cubaan/ujian dariNya. Semua itu adalah menurut arahan/iradah Dzat yang Maha Mengawasi; baginya memohon kepada Dzat yang MahaDekat, menjerit serta merintih kepada Sang Kekasih. Ia tidak melihat apa pun selain melihatNya, dan hanya Dia sahaja yang menjadi tumpuannya. Kerana itu, ia telah menjadikan usianya seukuran satu hari menjadi satu jam, satu jam menjadi satu sa’ah, sa’ah menjadi satu ‘hal;’ nafas menjadi ‘muraqabah [ kedekatan spiritual], dan menjadikan ‘muraqabah’ sebagai ‘muwajahah’[perjumpaan spritual denganNya]. Dengan demikian, ia dapat menemuiNya [Musyahadah] dalam bingkai [bentuk] sesuai dengan ketentuanNya, sehingga ia senantiasa dekat denganNya! Justru, maqomnya adalah maqom ma’rifat, dan hari-harinya menjadi pendek, sebab waktunya hanya menjadi satu waktu yang diperuntukkan bagi Dzat Yang Maha Tunggal; hatinya hanya satu yang dihadapkan kepada Dzat Yang Maha Tunggal. Dan keinginannya hanya satu yang ditujukan bagi Dzat Yang Maha Menyendiri!
Kriteria Wali ‘Abdal’ ini, sangat mencontohi para Rasul; hanya saja manusia seperti ini, dari kalangan para ‘muqinin’, sukar ditemui kerana jumlahnya amat sedikit. Merekalah orang-orang yang termasuk dikalangan para Muqinin, Siddiqin dan Muqarrabin. 
Andai saja hidup anda untuk zikir dan dalam zikir, anda akan menjurus dan rindu kepadaNya. Dan andai saja anda dekat denganNya, maka anda akan cinta padaNya! Seluruh pemikiran dan zikir anda dalam kondisi ‘penyaksian’. Andai anda mempercayai tanpa ragu, dan membenarkan orang-orang yang memiliki kriteria tersebut, maka anda termasuk kalangan muqinin [orang-orang yakin]. Andai anda mengakui secara benar dan dengan yakin yang amat mendalam, anda termasuk kalangan para syahidin!
Dan barangsiapa yang ingin mengetahui tentang posisi [kedudukan/’rangking’]dirinya didepan Allah Azza wa Jalla, maka seharusnya ia melihat bagaimana posisi Allah Swt. berada didalam hatinya [dirinya]. Sungguh, Allah Swt. memposisikan seorang hamba dariNya berdasarkan kadar penempatanNya oleh hamba tersebut didalam dirinya! Fahamkan benar-benar! Noktah!
Dan seharusnya, anda mengambil pelajaran, I’ktibar dan ingatan; dan mentadabbur firman Allah, Q.S.50:30, bermaksud:
‘ [Ingatlah] pada hari [ketika] Kami bertanya kepada Jahannam, ‘Apakah kamu sudah penuh?’ Ia menjawab, ‘Masih adakah tambahan?’   
‘ Kalimat [keputusan] Tuhanmu telah tetap; Aku pasti akan memenuhi Neraka Jahannam dengan Jinn dan manusia [yang dusta] semuanya.’Q.S.11:119.
‘ Dan telah sempurnalah Kalimat-Kalimat Tuhanmu dengan benar lagi adil. Tidak ada yang dapat mengubah KalimatNya. Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.’ Q.S.6:115.
Rasulullah telah bersabda:
‘ Ilmu telah tergambar, kolam telah kering, keputusan telah ditetapkan, dan ketentuan telah disempurnakan dengan menetapkan kebahagiaan dari Allah Swt., bagi orang-orang yang taat; dan kecelakaan dari Allah Swt. bagi orang-orang yang berbuat maksiat.’
‘ Dan katakalah [Muhammad], kepada orang-orang yang tidak beriman, ‘Berbuatlah menurut kedudukanmu, kami pun benar-benar akan berbuat, dan tunggulah, sesungguhnya kami pun termasuk yang menunggu.’
‘ Dan milik Allah meliputi rahsia langit dan bumi dan kepadaNya segala urusan dikembalikan. Maka sembahlah Dia dan bertawakkal-lah kepadaNya. Dan Tuhanmu tidak akan lengah terhadap apa jua yang kamu kerjakan.’Q.S.11:121:123.  
Adalah sesuatu yang amat trajis, seandainya anda masih tidak merasakan sebarang nikmat dan keberuntungan dalam merealisasikan keberadaan Allah Azza wa Jalla, disegenap sosok kewujudan anda didalam semesta raya ini!  
Kendatipun, persilakan memilih diantara kebaikan dengan kejahatan/keburukan; diantara pahala dan dosa; dan diantara Syurga dan Neraka!

WABILLAHIT TAUFIQ WAL HIDAYAH
TABARAKAALLAHI RABBAL ALAMIN!

21.03,2013. BLOG TN BAITUL ADAM, SHAH ALAM, MALAYSIA.