Sunday, November 16, 2014

PERIHAL SOLAT KHSYUK



BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM

ADUHAI SAHABAT!

Alhamdulillahi wassolaatu wassalamu ‘ala Nabiyyikal Karim, wa Rasuulikal ‘Azim, Sayyidinaa Muhammadin Mustafa, khataman Nabiyyina, wa ‘ala alihi wa ashaabihi ajmain. Allahumma solli wasollim ‘ala Saiyidina Muhammadinil basyiiril mubasyiri lil khasyi’in.
Bermula, sembah sujud diatur terhadap Yang MahaAgung lagi MahaMulia. MahaSuci Tuhan Yang Maha Penakluk dan MahaPerkasa, tetapi Dia juga adalah MahaPengampun dan MahaPenutup dosa. Yang menyinsingkan pagi dan menggilirkan malam untuk istirihat dan beramal para ‘AmilinNya. Dialah Allah dan tiada Tuhan selain Dia. Setiap sel, atom dan molekul tak terbilang, langit, bumi, haiwan dan tumbuhan, melagukan pujian hanya untukNya. Dialah yang menjadikan kejernihan hati sebagai sarana untuk mengenalNya agar memperoleh khusyuk, semaunya. Namun, bagi si-pemilik hati yang keruh, akan condong kearah selainNya, maupun dalam lapang dan senang, ataupun dalam kesusahan! 
AMMA BA’D:

1.MUKADDIMAH
Tunduk, patuh dan taat melaksanaan segala perintah Allah Tabaraka wa Taala, yakni menegakkan suruhan, menjauhi laranganNya dan berIhsan [berakhlak mulia], adalah esensi keUbudiyyahan sebagai sarana memperoleh Taqarrub, dan menjadikan seseorang sebagai Muqarrab, yakni terdekatnya kedudukan disisi Allah Azza waJalla.
Kendati, Solat adalah tiang seri amalan kepatuhan seorang hamba terhadap Tuhannya, menuntut piawaian kesempurnaan maksimal dalam pelaksanaannya. Memahami hanya rukun-rukunnya dan persyaratan sah dan batalnya, sebagai perisian solat bersifat zahir [lahiriah], adalah jelas tidak mencukupi. Justru, ini menuntut para pelakunya memahami pula perisian bersifat dalaman, kebatinan, hakikat serta hikmah KHUSYUK dalam melaksana dan mendirikan solat tersebut.

2.HIKMAH KHUSYUK DALAM SOLAT
Para pendakwah [da'i/murabbi/ustaz] seringkali memberitahu khalayak akan kepentingan mendirikan solat dalam kehidupan seorang Muslim, hukum meninggalkan solat dsbnya, namun amat jarang sekali menekankan tentang perihal pentingnya menghadhirkan faktor khusyuk dalam mendirikan solat tersebut. Penulis, disini terpanggil dan mengajak pembaca mengamati sepenuh hati dan jiwa, mengikuti hujahan berikut tentang persoalan cepu-emas ini. Apakah faktor khusyuk benar-benar wajib didalam mendirikan solat dan adakah kaedah benar bagi merealisasikannya? Adakah persoalan khusyuk termasuk Sunnah, dan adakah terdapat contoh-contoh dari Rasulullah saw., para Sahabat dan amalan Salafus-Solehin yang berkaitan, dan dapat pula di contohi umat terkemudian?

PERSOALAN. Apakah persoalan khusyuk itu termasuk dalam salah satu rukun-rukun dan syarat-syarat solat, dan yang terlebih penting, apakah tanpa faktor khusyuk itu menyebabkan solat itu tertolak atau menjadi batal?
Sebelum kita cuba mencari agar menemui jawabannya, terlebih dahulu marilah kita mengulang-kaji dan merujuk kembali kepada perihal rukun-rukun dan prasyarat sah-batalnya solat.

3.RUKUN-RUKUN SOLAT
1.Niat didalam hati.
2.Berdiri betul.
3.Melafaz Takbiratul Ikram.
4.Membaca surah Al-Fatihah dalam setiap rakaat.
5.Rukuk serta Toma’ninah didalamnya.
6.I’ktidal serta Toma’ninah didalamnya.
7.Dua kali sujud serta Toma’ninah didalamnya.
8.Duduk antara dua sujud serta Toma’ninah didalamnya.
9.Duduk Tahyat akhir lalu membaca Tasyahud.
10. Membaca dua Kalimah Syahadah.
11.MembacaSelawat keatas Junjungan Nabi Muhammad saw.
12.Memberi salam yang pertama.
13.Mentertibkan diantara semua rukun-rukun solat.

Rukun-rukun solat itu terbahagi pula kepada tiga bahagi, yakni, Rukun Qalbi, Rukun Qauli dan Rukun Fi’li. Perkara-perkara sunnat didalam solat pula terbahagi kepada dua, yakni, Sunnat Ab’adh dan Sunnat Haiah. Sila rujuk rinciannya didalam kitab Fiqh [Fekah].

4.SYARAT-SYARAT SAHNYA SOLAT
1.Masuk waktu.
2.Lima kali sehari semalam dengan jumlah 17 rakaat.
3.Suci tubuh badan dari dua hadats, kecil dan besar.
4.Bersih tubuh badan, pakaian dan tempat dari segala sesuatu yang najis.
5.Menutup ‘aurat.
6.Menghadap Qiblat dengan dada dan wajah.

5.PERKARA-PERKARA MEMBATALKAN SOLAT
1.Perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ pasti membatalkan solat.
2.Kejatuhan najis dan tidak segera dibuang.
3.Terbukanya ‘aurat dan tidak segera ditutup kembali.
4.Berkata-kata dengan sengaja.
5.Makan dengan sengaja.
6. Tiga kali pergerakan anggota tubuh secara berturut-turut.
7. Memukul dengan keras.
8.Melompat dengan keras.
9.Ketawa yang keras.
10.Berubah niatnya.
11.Menambah rukun Fi’liyah dengan sengaja.
12.Meninggalkan salah satu dari rukun-rukun solat atau salah satu syarat dari syarat-syarat sahnya solat.

6. RUMUSAN ZAHIR SOLAT
Nah, setelah kita rinci cermat seluruh perkara-perkara melibatkan sifat atau bentuk pelaksanaan solat secara zahir atau lahiriah [ritual dan fisikal], jelaslah bahawa elemen atau FAKTOR KHUSYUK TIDAK TERMASUK didalam perkara-perkara syarat dan rukun dalam solat; maka, tanpa elemen khusyuk tersebut, tidaklah menyebabkan solat menjadi batal!?
TETAPI, TUNGGU! Jikalau demikian, kenapakah begitu keras ditekankan dan begitu sangat dianjurkan supaya dihadhirkan khusyuk didalam solat itu?
Bagi pencerahan dan penjelasan yang lebih ampuh, mari kita rujuk, kupas dan membuat beberapa huraian keatas nas-nas Agama yang mempunyai kaitan dengan perkara yang dibincang, agar bisa menonjolkan kemantapan intipati khusyuk didalam solat. Antara nas-nas dan dalil-dalil penulis bongkar, adalah seperti berikut:   

1.Rasulullah bersabda: ‘Sollu kama raaitumuuni ussalli,’ bermaksud:
‘Dirikanlah solatmu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.’
Seperti juga sabda-sabda baginda yang lain dan taburan ayat-ayat wahyu Allah SWT. didalam Alquran, umum mengetahui bahawa ayat-ayat tersebut sering mengandungi pelbagai makna dan maksud yang tersirat, dan menuntut kepada pentadabburan yang lebih teliti, terutama dalam penemuan ayat-ayat bersifat ‘mutasyabbihat,’ [abstrak].
Justru, Hadits diatas menyarankan agar penglihatan kita janganlah terhenti dibatas perlakuan lahiriah solat Rasulullah, tanpa meneliti keadaan dalaman, perisian, hakikat solat serta darjah kekhusyukan didalam perlakuan solat baginda. Kerana kita dianjurkan, sebagai pemutus, melihat kepada yang zahir mahupun yang batin; dan melihat pula harus dengan kedua mata zahir dan mata hati. Pembuktian akan penulis kemukakan kemudian nanti.

2.Rujuk pula QS. 20:14: ‘Wa aqimissolaata lizikri,’ bermaksud: ‘Dirikanlah solat itu untuk berdzikir atau mengingat kepadaKu.’ 
Ayat diatas adalah merupakan perintah dan bila diteliti dari sifat muhkam ayat dan dari sisi lahiriah perintah tersebut, ia mengandungi suatu kewajiban untuk dilaksanakan. Perkataan lawan bagi dzikir dan ingat adalah lalai atau ghaflah. Dengan demikian, barangsiapa yang lalai didalam solatnya,  bagaimanakah ia akan bisa mendirikan solatnya dengan baik? Dan permasalahan lagi besar ialah, bagaimana ia dapat berdzikir atau ingat kepada Allah SWT. sedangkan ia sedang lalai dalam solatnya itu? Misalannya, ketika didalam solatlah seseorang bisa mengarang kitab; menyiapkan bajet bulanan;, menyiapkan makanan didapur; menjelajahi dunia dan kembali semula; merindui buah hatinya; mengingat sambil memilih samaada ingin makan daging, dan keli salai masak lemak cili api, ataupun cukup dengan nasi Arab beryani kambing, dsbnya!
Ayat diatas tuntas menekankan bahawa solat itu adalah dzikir dan disisi lain, dzikir adalah solat! Sila bertanya kepada Ahlinya.

3.Perhatikan lagi firman Allah SWT: ‘Walaa takum minal ghaafiliin.’ Bermaksud: ‘Janganlah kamu termasuk dalam golongan orang-orang yang lalai.’
Perintah ayat ini menunjukkan larangan keras agar didalam apa keadaan sekalipun, kita tidak menjadi lalai kepada Allah SWT. Betapa pula, lebih-lebih lagi ketika didalam solat! Maka, digaris-bawahi, sewaktu mendirikan solat, adalah wajib, sekali lagi, adalah wajib, kita sama-sekali tidak lalai dan terus-menerus ingat kepada Allah SWT. bermakna, supaya INGAT KEPADA ALLAH BERKEKALAN DAN BERKEPANJANGAN [DawamuDzikri, 24/7/365]; seperti maksud ayat berikut:.
‘Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat[mu], hendaklah kamu berdzikir dan ingat kepada Allah, samaada dalam keadaan berdiri , duduk, mahupun berbaring.’ QS.4:103.      

4. Perhatikan firman Allah dalam QS.23:1-2, bermaksud:
‘Sesungguhnya, berBAHAGIAlah [BERUNTUNG] orang-orang beriman [Mu’min], yakni mereka yang dapat memperoleh khusyuk dalam solat mereka.’

Jelas sekali solat khusyuk bukan lagi merupakan mitos, bahkan benar-benar wujud dan kita diperintah oleh Tuhan Allah SWT. bagi mendapatkannya. Ayat ini mengisyaratkan, andai kita tidak berhasil mendapatkan khusyuk didalam solat, bererti kita telah cuai, dan menempa keSENGSARAan serta  keRUGIan, sebagai kebalikan maksud ayat tersebut. Fahamkan benar-benar!

5. Rasulullah bersabda: ‘Laa yanzurullahu ila solaati laa yuhdhirur rajulu fiiha qalbahu ma’a badanihi.’
Bermaksud: ‘Allah tidak akan melihat dengan pandangan keredhaan kepada sesuatu solat yang pelakunya tidak mengHADHIRkan HATInya berserta dengan tubuh badannya.’
Bermakna, Allah SWT. hanya akan redha menerima solat yang dinilai dengan hadhirnya kekhusyukan didalamnya. Bukan sebaliknya!

6. Diriwayatkan, suatu ketika Rasulullah melihat seseorang sedang bersolat sambil mengusap-usap janggutnya. Lalu baginda bersabda: ‘Lau khasya’a qalbu haazal khasya’at jawarihu.’
Bermaksud: ‘Andaikata hati orang ini khusyuk, pastilah anggota tubuh badannya khusyuk pula, yakni diam dan tenang.’
Nah, tidakkah ini merupakan amaran keras terhadap perbuatan tersebut, ditujukan pula kepada khalayak yang tidak khusyuk sewaktu mendirikan solat mereka!

7. Sewaktu Rasulullah ditanya Malaikat Jibril tentang pengertian IHSAN didalam agama Islam, baginda bersabda:
‘An ta’budallaha kaannaka taraahu, fain lam takun taraahu, fainnahu yaraaka.’ Bermaksud:
‘Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, dan jika engkau tidak dapat berbuat seolah-olah melihatNya, maka sesungguhnya, Allah itu melihatmu.’
Hadits ini bermaksud, sewaktu kita mendirikan solat, seharusnya kita menghadhirkan kekhusyukan, sehingga seolah-olah bisa melihat Allah. Andai tidak dapat berbuat demikian, wajiblah kita sedar dan ingat selalu bahawa Allah senantiasa mengawasi dan melihat segala amalan perlakuan dan gerak hati setiap manusia! Fahamkan benar-benar!
Nah, demikianlah sekadar pembentangan nas-nas berkaitan dan hujahan-hujahan yang menjurus kepada penekanan perihal pentingnya kehadhiran KHUSYUK didalam mendirikan solat. Teramat jelas sudah bahawa sekalipun faktor atau elemen KHUSYUK tidak termasuk didalam syarat dan rukun solat, namun perintah Allah SWT. bagi melaksanakan KHUSYUK didalam solat itu memang benar-benar ditekankan,dan seharusnya, setiap orang [Islam dan Mu’min] yang bersolat hendaklah patuh dan tidak mensia-siakan perintah ini! Noktah.

7. BAHAYA LALAI [TIDAK KHUSYUK] DALAM SOLAT
Dua bahaya yang disentuh oleh Alquranul Karim adalah seperti berikut:
1.QS.107:4-5, bermaksud:
‘Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, [yaitu] orang-orang yang lalai dalam solat mereka.’
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah SWT. menempelak keras orang-orang bersolat, tetapi tidak khushuk/lalai sewaktu melaksanakanya. Maka berpantunlah orang-orang tua:
‘Layang-layang terbang melayang; jatuh pula kedalam telaga; beribu tahun bersembahyang; masuk juga kedalam neraka.’
2.QS.4:142 & 145, bermaksud:
‘Sesungghnya, orang-orang munafiq itu hendak menipu Allah [dengan menzahirkan keimanan], tetapi Allah-lah yang menipu mereka [tak menyeksa didunia]. Apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka lakukan dengan malas. Mereka bermaksud riya’ [ingin dipuji/mempamir diri/megah] dihadapan manusia. Dan mereka TIDAK MENGINGAT ALLAH, KECUALI SEDIKIT SEKALI.’ Sesungguhnya, orang-orang munafiq itu, [ditempatkan] pada tingkatanyang paling bawah dari Neraka. Dan kamu tidak mendapat seorang penolong pun bagi mereka.’
Hanya kerana sedikit mengingat Allah [tak khusyuk/lalai] didalam solat, sudah diselar dan digelar Allah SWT. sebagai munafiq. Betapa pula jika lalai dan lupa terus? Untuk lebih pencerahan, sila rujuk risalah penulis didalam Blog, berjodol ‘SOLAT MUNAFIQ.’

8. ANCAMAN LUPA KEPADA ALLAH
Allah berfirman dalam QS.59:19, bermaksud:
‘Dan janganlah keadaan kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah membuatkan kamu lupa kepada diri kamu sendiri.’ Keadaan bagaimana lagi yang bisa menyerembabkan manusia ketahap terrendah dari ini, seperti firmanNya: ‘Thumma radadnaahu asfala saafiliin.’
‘Kemudian, Kami jerembabkan dia ketempat serendah-rendahnya [neraka].’ Dan lagi firmanNya, bermaksud: ‘Demi masa, sesungguhnya, manusia itu benar-benar dalam kerugian.’

9. HUKUM MENDIRIKAN SOLAT DAN KHUSYUK
Kebanyakan manusia walaupun bersolat tetapi tidak mengetahui pengertian ucapan didalam solat mereka. Kejahilan ini terlebih lagi terhadap Tuhan, melengahkan perintahNya, dan menuruti hawa nafsu syaitan merupakan suatu ‘kemabukan’ dan kebodohan [walau tak minum arak]. Allah SWT. berfirman, QS.An-Nisa:43, bermaksud:

‘Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu hampiri solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, se hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu ucapkan.’
Khusyuk menunaikan solat merupakan suatu rahsia. Kedudukan solat adalah ibarat kepala kepada tubuh dan tanpa solat, betapa, manusia hanyalah bertubuh tanpa kepala!
Berkata Al-Imam Ghazali: Janganlah engkau sujud dan rukuk kecuali hatimu dalam keadaan tunduk dan merendah diri pula selaras dengan sikap zahirmu. Janganlah kamu mengata ‘Allahu Akbar’ sedang kamu menganggap ada perkara lain yang lebih besar dari Allah SWT. Janganlah kamu mengata ‘Alhamdulillah’, kecuali hatimu turut bersyukur keatas segala nikmatNya. Janganlah kamu mengata ‘Arrahmaanirrahim..’ kecuali hatimu dipenuhi kasih sayang terhadap seluruh makhlukNya. Janganlah kamu mengata ‘Maalikiyaumiddin,’ kecuali hatimu telah benar-benar takut akan terbentangnyaHari kiamat didepanmu. Namun, khusyukmu, akan dinatijahkan Allah SWT. indah dimatamu, nikmat dihatimu dan bahagia dijiwamu!
Allah berfirman dalam QS.4:103, bermaksud:
‘Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu adalah FARDHU [WAJIB], yang ditentukan waktunya keatas orang-orang beriman.’
Lagi firman Allah dalam QS.2:238, bermaksud:
‘Peliharalah segala solatmu, terutama solat WUSTO. Berdirilah untuk Allah dalam solatmu dengan KHUSYUK.’
Lagi firman Allah dalam QS.23:9, bermaksud:
‘Dan orang-orang yang memelihara solatnya.’ [Yuhafizun].Dan lagi:
‘Mereka itu berkekalan didalam solat.’ [Daimusolat]. Dan lagi:
‘Sungguh-sungguh berbahagia [beruntung] orang-orang Mu’min, yaitu mereka yang dapat mengerjakan kekhusyukan didalam solat mereka.’

10. HUKUMAN KERANA TIDAK MENDIRIKAN SOLAT
Allah SWT. mengancam orang-orang yang tidak mendirikan solat melalui QS.74:42-43 , bermaksud:
‘Apa yang menyebabkan kamu masuk kedalam [Neraka] Saqar?’ Mereka menjawab: ‘Dahulu, kami tidak termasuk didalam golongan mereka yang melaksanakan solat.’
Sabda Rasulullah: ‘Fauqu ma bainanaa wabainal musyrikiinas solatu, faman tarakahaa faqad kafara.’ Bermaksud: ‘Perbezaan antara kita [orang-orang Islam] dengan orang-orang musyrik ialah solat. Maka barangsiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia menjadi KAFIR.’

Lagi Rasulullah bersabda: ‘Man tarakas solata muta’ammidan faqad kafara.’ Bermaksud:
‘Barangsiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, sesungguhnya ia telah menjadi KAFIR.’ Tidak perlukan lagi pencerahan! Noktah.
Dan sila teliti firman Allah dalam QS.4:140, bermaksud:
‘Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir diNeraka Jahanam.’
11. CONTOH KEADAAN TOKOH-TOKOH SILAM YANG MENCAPAI KHUSYUK DALAM SOLAT MEREKA
Antara tokoh-tokoh silam yang mendapat kyusyuk didalam solat mereka termasuklah Nabi dan Rasul, para Sahabat Rasul, dan para Salafus-solihin, seperti berikut:

1.Saidatina ‘Aisyah r’anha meriwayatkan:’ Rasulullah saw. seringkali berbual dengan kami, tetapi apakala masuk waktu solat, baginda saw. itu seolah-olah tidak lagi mengenali kami dan kami pun seolah-olah tidak pula mengenali baginda, kerana bersedia mengAgungkan Allah SWT. dan segera mungkin mendirikan solat.’ Dan sewaktu baginda mendirikan solat, terdengar didalam diri baginda suara seperti air mendidih didalam ketel!
Rasulullah bersabda: ‘Dalam solat terletak kegembiraanku.’ Kerana solat adalah sumber kebahagian bagi orang-orang yang istiqamah. Ketika dalam bersolat Rasulullah merentetkan kembali saat-saat malam Mi’raj, ketika baginda dibawa mendekat kepada Allah SWT. dan ketika jiwanya terlepas dari rantaian wujud fenomenal, dan kekuatan alamiahnya terhapus; hanya maqam kedekatan tinggi ini sahaja yang sering dirindui Rasulullah saw. Baginda sering mengatakan keadaan baginda, merasakan kerinduan kepada maqam yang tinggi itu: ‘Wahai Bilal, senangkan kami dengan azan.’ Baginya, setiap kali solat merupakan Mi’raj dan kedekatan baru kepada Tuhan!

2.NabiAllah Ibrahim, diriwayatkan, apabila mendirikan solat, maka kedengaran degupan jantungnya sehingga dua mil. Debaran dan khusyuk kedengaran dari jarak yang jauh sekali.

3.Saidina Abu Bakar ra., bila mendirikan solat, sering membaca Alquran dengan suara luluh dan melirih. Rasulullah bertanya kepadanya, kenapa jadi begitu, maka jawab beliau: ‘Dia yang ku ajak bicara, pasti mendengar.’ Abu Bakar sering mengungkapkan kontemplasi [perenungan], bahawa dia berkata: ’Tempat tinggalku ini fana, kehidupanku didalam, hanya sekadar pinjaman, nafas-nafasku terbilang dan ketenteraman hatiku nyata.’

4.Saidina ‘Ali AbiTalib kwj., tatkala masuk sahaja waktu solat, maka gementarlah tubuh badannya dan merah-padamlah wajahnya. Apabila ditanya kenapa keadaan demikian, beliau menjawab: ’Bukankah sudah tiba saatnya, Amanat Allah yang aku turut bertanggung-jawab, memikulnya. Yakni, Amanat yang pernah ditawarkan oleh Allah SWT. kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi semua itu enggan memikulnya.’ Sila rujuk QS.33:72.

5.Saidina ‘Ali bin Husain bin ‘Ali bin AbiTalib r’anhum, apabila berwudhuk, maka tampak pucat seluruh wajah dan tubuhnya, dan ketika ditanya: ‘Mengapa engkau berkeadaan demikian,’ beliau menjawab: ‘Adakah kamu tahu, dihadapan siapakah aku ini hendak menghadapkan tubuhku?’

6. Abdullah ibnu Zubair bin Al-Awwam, mendirikan solat, ibarat patung, sehingga burung pipit hinggap dipunggungnya!

7. Muslim bin Yasar, ketika bersolat tidak berpaling walaupun sudut masjid telah runtuh, sedang semua jemaah telah lari menyelamatkan diri, namun ia tidak berganjak dari tempat solatnya!

8.Diriwayatkan bahawa As-Sufi Husain bin Mansur AlHallaj, terbiasa meletakkan pada dirinya kewajiban melakukan empat ratus rakaat solat, siang dan malam. Ketika ditanya kenapa bersusah payah dalam darjat tinggi yang dicapainya, beliau jawab: ‘Susah dan senang menunjukkan perasaan-perasaanmu, tetapi orang yang telah sirna sifat-sifatnya, tidaklah merasakan pengaruh kesenangan maupun kesusahan. Berhati-hatilah kamu jangan sampai kamu mengatakan kelalaian sebagai kematangan dan menginginkan dunia sebagai mencari Tuhan! ’

9.Syaikh Dzun-Nun AlMisri, pernah suatu ketika memulai mengangkat dan mengucapkan takbir, dia berseru ‘Allahu Akbar’, dan jatuh pingsan seperti tidak bernyawa!  

10. Syaikh Sahl Tustari, walaupun telah lumpuh semasa usia tuanya, namun tubuhnya kembali pulih ketika waktu solat tiba; dan setelah menyelesaikan solatnya, ia lumpuh semula!

11. Abul Khayr Aqtha, mengidap suatu penyakit gangrina, yang, para doktor menyatakan kakinya harus dipotong. Murid-muridnya mengesyorkan agar kakinya dipotong ketika ia bersolat, kerana diwaktu itu beliau tidak sedar. Ketika beliau sudah menyelesaikan solatnya, beliau mendapati kakinya telah dipotong!

12.Sa’id Tanukhi, senantiasa tampak jelas ketika melakukan solat, air-matanya bercucuran tanpa henti dikedua pipi dan janggutnya!

13.Hatim Al-Asyam pernah ditanya perihal solatnya, dia berkata: ‘Disebalik persediaan yang amat rapi, bermula dengan wudhuk sempurna, aku tidak terus melakukan solat, malah duduk sebentar sehingglah seluruh jasadku tenang dan hatiku ku pusatkan kesatu pemikiran. Kemudian barulah aku mendirikan solat, seolah-olah sirat [jembatan] diakhirat dibawah kakiku; syurga dikananku dan neraka dikiriku; Malaikal-maut Izrail as. berada dibelakangku; dan ku yakinkan bahawa itulah solat terakhir bagiku. Dalam mendirikan solat itu aku berada diantara harapan dan ketakutan. Seterusnya, aku berTakbir dengan penuh kenyataan, dengan bacaan perlahan dan hati-hati; aku rukuk dengan sebaik-baik merendah diri, bersujud dengan penuh khusyuk dan duduk tawarruk bertasyahud dan memberi salam dengan penuh ikhlas. Tetapi, aku tidak tahu, apakah solatku diterima atau tidak oleh Tuhan Allah SWT!’

12. KAEDAH MENCAPAI KHUSYUK DIDALAM SOLAT
Semoga dari paparan diatas, pembaca boleh merenungkan baik-baik akan kepentingan khusyuk dan bagaimana tokoh-tokoh berkenaan dapat memperoleh keadaan demikian, berbanding keadaan diri kita!

Berkata Al-Imam Ibnu Abbas ra.: ‘Dua rakaat yang sederhana dengan mantapnya fokus pemikiran, yakni khusyuk, adalah lebih baik dari solat semalaman suntuk, sedang hati berterusan lalai terhadap Allah SWT.’
Harus diingat, khusyuk bukan hanya sewaktu mendirikan solat sahaja, BAHKAN, sebelumnya mengerjakan solat, sudah dimulai membuat diri supaya dalam keadaan khusyuk. Maka muncullah kata-kata seperti, ‘solat sebelum solat, solat didalam solat dan solat sesudah solat.’ Harap fahamkan benar-benar atau bertanyakan kepada Ahlinya!
Persoalannya, apakah hambatan-hambatan yang menghalang diri seseorang manusia itu dari mencapai khusyuk? Asas yang utama adalah kerana tidak ‘mengenal diri’nya sendiri, mentelah pula ‘mengenal Tuhan,’[Tauhid/Marifat], yang menjadi objek sembahannya!
Setelah mengenal hakikat dirinya yang bersifat materi dan penuh bernafsu rendah, serta mendapati pula penawarnya; barulah berdepan dengan kemurnian Tauhid Marifatullah, sebagai pegangannya; tegak, sujud dan bersimpuh malu, lalu berubudiyah kepadaNya. Tunduk, merendah, tawaddhuk dan bertadharruk, bukan dari paksaan dari sisi manapun, tetapi oleh kerana adanya keinsafan, kesedaran dan kesejahteraan Rohaniah [Marifah], natijah dan cetusan tumbuhnya pemikiran yang sihat dan pengabdian yang tulus ikhlas terhadap Tuhan Allah SWT.
Jiwa rendah [Amaratun bissu’] mencegah manusia dari ketaatan, manakala, semakin ia ditundukkan, semakin jadi lebih mudah melaksanakan ibadah; dan bilamana dilenyapkan sepenuhnya, ibadah menjadi makanan dan minuman, mirip hal itu [ibadah], seperti makanan dan minuman para Malaikat!
Justru, disinilah letaknya makna dan pengertian keKHUSYUKAN yang sebenar-benarnya, yakni, ketenangan hati dan bersih dari segala ragam dan bentuk noda dan kotoran Batiniah; kemudian, dengan penuh ta’zim keikhlasan, dihadapkan kehaderat Allah SWT. Manakala hati sudah khusyuk, seluruh anggota tubuh badan akan khusyuk pula, kerana keseluruhan anggota jawaruhnya, pada hakikatnya,  dikemudikan oleh pemikiran yang sudah didominasi dan dikonsentrasi untuk menyembah Allah Azza waJalla, Dzat Yang MahaEsa, MahaTunggal dan MahaDekat. Maka disaat itu, seolah-olah tampaklah keMahaAgungan Allah Taala itu dihadapan mata-hatinya!
Inilah pengertian dan maksud bahawa ketika bersolat itu hendaklah seolah-olah engkau melihat Allah; andai tidak, hendaklah engkau selalu ingat bahawa Allah SWT. senantiasa melihat diri dan hati engkau! Noktah.      

13. PENUTUP 
Khusyuk didalam solat adalah faktor utama bagi dapat diterimaNya solat itu, dan dengan penerimaan solat tadi, maka berbahagialah dan beruntunglah manusia yang memilikinya. Rujuk semula QS. Al-Mu’minun,1-2. Kebahagian ini bukanlah bersifat sementara, bahkan akan kekal selama-lamanya dan tidak ternilai pula harganya!

Pada hakikatnya, bagi memperoleh Khusyuk didalam solat, amat memerlukan pemahaman pengertian solat dari sisi hakikat dan kerohanian; tidak sekadar bersandar pada kefahaman dan pengertian dari sudut ilmu Fiqh [Fekah] semata-mata! Maka dari gabungan kedua-dua sisi Syariat dan Hakikat itu pasti menatijahkan khusyuk dan kesempuraan solat. Sila bertanya kepada Ahlinya!
Sebagai panduan marilah kita jejakki dan selami syarat-syarat dan pendahuluan melaksanakan solat, secara tertiban, walaupun kita kurang arif sebelumnya!
1] Penyucian [hadats dan wudhuk]secara lahiriah dari najis dan kotoran; dan secara batiniah [taubat], dari hawa nafsu. 2] Pakaian lahiriah dan batiniah [taqwa],biar bersih,agar tidak dicemari sesuatu yang diharamkan. 3] Tempat bersuci diri secara lahiriah biar bebas dari kotoran dan disisi batiniah [wara’] bebas pula dari kerosakan akhlak dan dosa. 4] Menghadap kiblat, lahiriahnya berupa Baitullah dan batiniahnya berupa ‘Arasy Ilahi, bererti rahsia ‘Musyahadah.’ 5] Berdiri secara lahiriah dalam keadaan teguh dan kokoh [qudrat] dan secara batiniah didalam taman kedekatan dengan Tuhan [qurbah].6] Niat yang tulus hanya hendak mendekatkan diri kepada Allah. 7] Mengangkat dan mengucapkan ‘Allahu Akbar’ dalam maqam penghormatan dan pelenyapan [fana]; berdiri pada tempat persatuan; membaca Alquran dengan penuh hormat; menundukkan kepala [rukuk] dengan kerendahan hati; merendahan diri [sujud] dengan rasa kehinaan, mengangkat Syahadat dengan khusyuk, dan menyalami pelenyapan sifat-sifat diri! Barakallah!
Nah, anda telah pun sampai kekemuncak pengertian Khusyuk dalam mendirikan solat! Inilah pengertian istilah menemukan jalan menuju Tuhan, sejak dari awal hingga keakhir!
Apakah dengan ini anda telah lengkap dan bersedia mendapatkan Khusyuk dari solat anda? Jika anda ingin cuba memasak lauk lemak keli salai cili api, anda boleh saja melakukan dari resipi senaskhah buku, tetapi hasilnya tidak sesempurna dan asli, andai tidak dititip terus oleh yang empunya diri dan resipi [oghang Nogoghi-lah]! Fahamkan benar-benar!
Demi menggarap praktik dan kesempurnaan amalan, sila bertanya kepada Ahlinya, seperti firman Allah SWT.:
‘Fas alu ahlal dzikri in kuntum laa ta’lamun.’ Bermaksud:
‘Bertanyalah kepada Ahli dzikir, jika kamu tidak mengetahui.’

14. PERINGATAN
Allahumma solli wasallim ‘alaa Sayydinaa Muhammadinil basyiiril mubasyiri lilkhaasyi’in. Qalallahul ‘aziim. Wasta’iinul bissobri wassolaati, wainnahaa lakabiiratun illaa ‘alal khaasyi’iin. Allaziina yazkuruu nallaaha qiyaaman waqu’udan wa ‘ala junuubihim. Wayatafakkaruuna fi halqis samaawaati wal ardhi. Rabbana maa khalaqta haazaa baatilaa. Subhaanaka faqinaa ‘azaabannaar.


Penulis seringkali mengingatkan bahawa ‘Hablum minallah’ adalah suatu yang maha penting dan tiada gantiannya. Harus disedari bahawa posisi anda dihadapan Tuhan adalah bergantung kepada bagaimana anda memposisikan Tuhan didalam diri anda sendiri, tinggi, rendah atau nihil, terserah! Masyaallaah!
Semoga Tuhan memberikan sinar Cahaya SuciNya dan memudahkan kita mencerap pencerahan risalah ini. Semoga Allah juga memberikan kekuatan untuk dapat mengembangkan kemampuan rohani kita, agar lebih tercerah dan mewujudkan lebih kefahaman diri sebagai insan yang berilmu, taat, berihsan, terindah, berakhlak keelokan dan kebaikan!
Jadikan kami, ya Allah, seutuhnya melebar dan menyebarkan kemuliaan, keluhuran, kelembutan dengan keberkahan insan terindah, yakni, Sang Kekasih Muhammad Rasulullah saw. dan AhlulBaytnya, agar dapat mencontohi hakikat keindahan didalam setiap sisi kehidupan mereka. Kepada baginda, jutaan selawat dan salam, selama mana garaban keindahan semesta terbentang meluas didepan mata yang terbuka, dan disaat kokokan si-ayam jantan, yang berkokok menandai berakhirnya labuhan malam!      
ALHAMDULILLAH. FATABARAKALLAH.
SUBHAANA RABBIKA RABBIR ‘IZZATI ‘AMMAA YASIFUUN, WASALAMUN ‘ALAL MURSALIIN, WALHAMDULILLAAHI RABBIL ‘AALAMIIN.
WABILLAHIT TAUFIQ WAL HIDAYAH.
NOTA KAKI: Bagi pencerahan tentang jenis-jenis Solat dari wahyu Alquran, seperti, Solat Munafiq, Solat Yuhafizun, Solat Wusto, Solat Daim, Solat Khusyuk, Solat Mufaridun, dan pertalian antara satu dengan lainnya, dll, sila layari Blog kami. Jazakallah!

BLOG TN [BTN], MADRASATUL BAITUL ADAM [MBA], [OPTI], MALAYSIA.15.11.2014.