Sunday, October 4, 2015

PETANDA TUNTAS AKHIR ZAMAN [YAUMIL-QIYAMAH] DENGAN DOKONGAN DALIL-DALIL DAN AYAT-AYAT TUHAN - BAHAGIAN 11.




ADUHAI SAHABAT DAN IKHWAN!
BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM
ALHAMDULILLAH. WABIHI NASTA'IN BILLAAHI TAALA. WASSOLAATU WASSALAMU 'ALA SAYYIDINA MUHAMMADIN FINNABIYYINAA, WASOLLI WASALLIM 'ALA JAMII'IL ANBIYAAI, WALMURSALIINA, WA'ALAL MALAAIKATIL MUQARRABIINA, WASYUHADAAI, WASSOLIHIINA, WA AHLIL TO'ATIKA, YAA ARHAMAR RAAHIMIIN.

Bermula seluruh puji dan puja hanya bagi Tuhan yang sentiasa memelihara orang-orang yang menggalas kejujuran dan keimanan, disaat dunia maya ini dipenuhi oleh para pendusta dan petualang. Dia yang melindungi mereka yang berhati cerdik lagi budiman dari orang-orang yang jahil murakap dan penentang kebenaran. Dia yang menyempitkan dada-dada para pendusta sehingga mereka terlena terperosok dan tenggelam dalam kubang derita nestapa. Dia yang mengangkat darjat para ulama cendiakawan dan Wali-WaliNya, dengan kepakan sayap para malaikat, bagi menggapai tujuan luhur yang mereka dambakan. Dia yang menganugerahkan cahaya kelembutanNya kepada mereka sehingga luluh segala kehinaan jiwa yang dulu menggusar diri. Dia yang menyemarakkan kelembutan yang terhidu oleh hanya mereka yang mampu menghidu. Dia yang mengukir keagunganNya dalam relung hati kaum Arifin hingga terongkai dan terangkai makna keindahan. Dia yang meliputkan cahayaNya, menghiasi mereka dengan kesucian dan kemuliaan. Dia yang menumbuhkan kebahagian abadi yang akan terus bersemayam hingga tiba saat pertemuan diakhir nanti; ditaman bahagia keredhaan, keriangan dan hiburan sejati, disisi Yang Maha Pengasih. Maka disitulah letak keberuntungan orang-orang yang menyucikan diri dan mereka merasa amat puas dalam larutan nirwana kesempurnaan sejati!
AMMA BA'DU.

1.MUQADDIMAH
Rasulullah bersabda,’Alqabru immaa hufratun min hufarinnaari auraudhatun min riyaadhil jannati.’
Bermaksud: ‘Kubur itu adakala suatu lubang dari lubang-lubang neraka, atau suatu taman dari taman-taman syurga.’
Ingatilah KIAMAT DIRI yakni, KEMATIAN dan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi selepas itu! Tidak seorang pun yang dapat melepaskan diri daripadanya. Kematian merupakan penentuan segalanya. Segala sesuatu akan menjadi jelas akibat darinya. Kubur boleh menjadi sebuah taman Syurga; dan boleh pula menjadi lubang api neraka. Jika mati itu 'Husnul Khatimah', yakni baik, maka apa yang akan menyusulinya adalah kenikmatan yang tiada terhingga bandingannya dari Tuhan Allah Jalla waAzza. Andai sebaliknya, yakni mati 'Suul Khatimah', mati jahat dan kecundang; maka, rentetan sesudahnya itu adalah semata-mata kengerian dan kesengsaraan yang jauh lebih dahsyat dan tiada taranya!
Wallaahi, andainya kita mengetahui dan bisa mengamati kesudahan yang akan menyusul kematian diri kita, pastilah kita tidak akan alpa, banyak tertawa penuh leka, menjadi hamba kepada dunia dan segala isinya, malah kita seharusnya dibanjiri deruan tangis keinsafan, apakah AMANAT Allah SWT. dan ‘Amanatul balagh’ telah kita galas sesempurna mungkin - lalu memperoleh MARDHOTILLAH [Redha Allah]. Seperti firmanNya yang bermaksud:
 'Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Nya. Itulah kemenangan yang agung.'QS. 5:119.
'Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya.' QS.5:54.
'Petunjuk dan Rahmat adalah untuk orang-orang yang TAKUT kepada Tuhannya!' QS.7:154.

2.ISYARAT KETIBAAN YAUMIL QYAMAH DARI HADITS DAN PENAFSIRANNYA ATAS KEMATIAN DIRI
Seperti penulis janjikan didalam Bhg 1 risalah sebelum ini, dimana isyarat-isyarat dan metafora kemunculan Yaumil Qiyamah akan mendapat pencerahan selayaknya untuk tatapan pembaca. Penulis ingin menekankan bahawa kita tidak akan membahaskan permasalahan Kiamat Kubra [kiamat besar] akhir zaman itu; sebaliknya kita akan banyak menganalisis kejadian Kiamat Syugra [kiamat kecil/khusus], yang terjadi kepada masing-masing diri manusia; kerana manusia adalah wujud yang paling sempurna berbanding wujud segenap isinya alam ini, bahkan wujudnya semesta alam!
Ditegaskan sekali lagi bahawasanya Kiamat Shugra [kecil] itu memiliki tanda-tanda dan isyarat yang juga merupakan metafora Kiamat Kubra [kiamat besar], dan juga sebaliknya; yang mana penjelasannya adalah seperti berikut:
  1. Para budak wanita melahirkan anak majikan mereka. Anda akan melihat ramai orang bertelanjang kaki [berkaki ayam] mempertahankan apa yang mereka kehendaki. Terdapat ramai orang berlumba-lumba membangunkan gedung-gedung mewah.
Demikian terdapat tanda dan isyarat terjadinya kiamat kecil [khusus], yang menimpa diri manusia itu kelihatan apabila tampaknya sifat Rububiyah al-Haq pada hakikat dirinya. Hakikat atau essensi manusia [insan] itu adalah ibarat budak wanita, sedang kelahiran adalah metafora penampakan perintah Tuhan terpendam dari batin kepada lahir manusia; kerana anak semulajadi penciptaannya didalam perut/rahim, sedangkan dalam proses kelahiran tampak pula wujud sesuatu bersifat zahiriyah.
Demikian halnya dengan kewujudan keberadaan al-Haq dalam diri insan, tanpa reinkarnasi maupun Hulul [panteisme]. Keberadaan al-Haq dalam diri insan itu berdimensi batin atau kerohanian. Ini agak sulit dan terlalu asing untuk difahami oleh khalayak. Namun, hakikatnya, andai Dia tampak melalui ketentuanNya, dan insan tersebut mampu pula memarifahi keberadaan al-Haq dalam essensi diri hamba tersebut, maka terlanskaplah suatu cetusan sepertimana difirman oleh al-Haq didalam Hadits Qudsi,yang bermaksud: ‘Aku adalah pendengarannya yang ia mendengar, Aku adalah tangannya yang ia bentangkan, Aku adalah kakinya dengannya ia berjalan.’ Wujudnya Sifat-Sifat Rabbaniyyin itu benar-benar mendominasi setiap af’aal perilaku hamba tersebut disetiap pergerakannya, essensi [Dzat]nya ibarat budak wanita; bekas-bekas ketuhananNya ibarat majikan; tajalli [penampakan]Nya ibarat kelahiran; sedangkan Tajarrud [ pengasingan/zuhud] ibarat orang yang melepaskan sandal; adapun Tajarrud manusia kepada selain sifat-sifatNya, ibarat orang yang telanjang kaki [berkaki ayam], sementara konsistensi atau ketekunan manusia mentafakkuri cahaya dan petunjuk Tuhan azaliyah, ibarat orang yang mempertahankan apa yang ia kehendakki.
Demikianlah gambaran Sang Majzub dalam pentajjalianNya, sedangkan mengekalkan marifah Ilahiyah [ketuhanan] adalah ibarat orang yang berlumba-lumba membangunkan gedung-gedung mewah. Realiti zahirnya mengisyaratkan tanda-tanda kiamat besar bersifat universal, sedangkan realiti batinnya mengisyaratkan tanda-tanda kiamat kecil yang terjadi kepada setiap individu manusia, anak Adam.        
  1. Munculnya Ya’juj dan Ma’juj dimuka bumi ini, dan menjadi penguasanya. Para pengikutnya memakan segala hasil bumi, meminum air samudera. Kemudian Tuhan al-Haq mengirimkan badai amat dahsyat dalam satu malam, lalu semuanya tewas. Setelah itu, bumi menjadi subur dan dipenuhi tanaman yang menghasilkan buah-buahan sangat lebat dan baik. Justeru, semua manusia melafazkan banyak pujian dan kesyukuran terhadap Tuhan al-Jabbar.
Demikianlah halnya dengan kiamat kecil yang kelihatan pada diri manusia seperti: hadhirnya kebangkitan nafsu berserta gejolak bisikan-bisikan jahat yang merosak dan bermudharat; geliat nafsu itu mendominasi seluruh bumi hatinya; melahap-ranap isi buah nurani kalbunya; mengikis rahsia samudera rahsianya; sehingga diri manusia itu menjadi nihil kontang dari pemahaman nila-nilai Ketuhanan dan rahsia batin dirinya; dan nilai-nilai Ketuhanan tidak berbekas sama-sekali dihatinya. Lantas ia memahami terjahan kemabukannya dan menyorot kepada kebangkitan hati nuraninya. Akhirnya, tiba pertolongan Ketuhanan berserta tiupan lembut kasih kepemurahan Nya.
FirmanNya menyatakan QS.5:56, bermaksud: ‘Maka sesungguhnya pengikut Allah itulah yang pasti menang.’ Dan ‘Sesungguhnya, pengikut Allah itulah yang pasti beruntung.’QS.58:22. Petunjuk Tuhan al-Haq lantas terpatri didalam diri hamba yang dikehendakiNya tersebut. Malah, Dia Berkuasa memilih siapa sahaja yang dikehendakiNya. Pada fasa diri yang demikian, bisikan-bisikan nafsu dan bisikan-bisikan jahat syaitan tidak mampu mengganggu-gugat lagi dalam diri hamba tersebut, lalu hadhir pula MalaikatNya menyampaikan ilmu-ilmu Ketuhanan, siraman-siraman rohani dan kesempurnaan budi pekerti. Realiti inilah bagai metafora banyaknya tanaman yang berbuah lebat. Kemuncaknya, hamba tersebut menggapai Maqom kedekatan [Qurb] dengan Tuhan al-Haq, dan bisa menikmati Musyahadah al-Haq yang dimetaforakan sebagai buah yang baik lantas banyak munajatkan pujian bagi Tuhan al-Jabbar. Metafora yang dibincang berkait rapat dengan kiamat besar mahupun kiamat kecil yang khusus akan menimpa setiap diri manusia!
  1. Isyarat seterusnya, menandakan munculnya binatang-binatang melata dari perut bumi. FirmanNya bermaksud: ‘Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka.’ Sesungguhnya, manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.’ QS.27:82.
Apabila kalam telah menulis dan perkataan telah dirangkai, yakni, sampainya perintah Ketuhanan yang menyuruh alam kembali kepadaNya, menandakan saat itulah akhir penghidupan didunia serta bermulanya lembaran kehidupan akhirat pasti. Kami [Allah] keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan berkata dan mengingatkan manusia akan hakikat apa yang telah Kami janjikan kepada mereka tentang Hari Kiamat [Hari Kebangkitan]; tentang wujudnya syurga dan neraka, lantaran ketidak-percayaan dan defisit kayakinan majoriti manusia terhadap perkhabaran-perkhabaran yang Kami wartakan!
Justeru, dengan cetusan insiden ini dapat manusia mengerti akan kekuasaan Kami dan dapat pula meraih keinsafan dan kembali kepada Tuhan al-Haq. Demikian pula halnya metafora ini berkait dengan kematian diri, dimana tampak kepada diri manusia itu akan roh kedamaianNya dihadrat kesucian, terbang menuju bumi kebaikan dalam diri kemanusiaan; menerjah-lenyapkan sifat-sifat jelek, buruk, rendah lagi hina atau mazmumah, dari dalam diri manusia itu. Melalui fasa ini, manusia itu mampu menggapai Kasyaf Kabir; Roh Qudus berkhabar secara rinci, dalam dimensi keghaiban, sehingga tampak pada hamba itu, jelas akan hakikat rahsia yang terpendam; melonjakkannya dari maqom as-Siddiq kemaqom al-Qurb [kedekatan] disinggahsana al-Haq.
Nikmat ini berupa wajah kurniaan al-Haq; memberikan benteng keimanan, penghalang terkikisnya nilai-nilai ketuhanan dalam diri hamba bagi pencapaian spiritual/kerohaniannya. Kerena pada hakikatnya, seorang hamba itu tidak akan mampu sampai ketahap marifah dan kemuliaan diri sehingga ia melewati fasa penyingkapan Ilahi atau fasa Mukasyafah [Jazabah dan Wujdan]! Merasai dan melewati fasa Mukasyafah dan Musyahadah itu adalah buktinya Haqqul-Yaqin. Fasa-fasa ini meneguhkan keyakinan hakiki akan realiti Ketuhanan, seperti mana sesudah keluarnya roh dari bumi tabiat dan melalui proses penyucian dari anasir-anasir penghalang. Fahamkan benar-benar. Atau tanyakan kepada Ahlinya!
  1. Isyarat seterusnya pula, munculnya Dajjal. Ia memiliki syurga disebelah kirinya dan neraka  disebelah kanannya; tertulis diantara kedua matanya Kafir dan Allah. Ia berkuasa melapar dan menghauskan manusia, hatta, manusia tidak mampu mendapatkan makanan dan minuman kecuali mendapatkannya daripada Dajjal tersebut. Setiap yang percaya dan tunduk kepadanya akan diberikan makanan dan minumam, dan Dajjal akan menghumbankan mereka yang ingkar kedalam neraka [dunia]nya. Disaat muncul Dajjal, kebanyakan manusia hanya memakan rerumputan dan dedaunan, sehingga tibanya pertolongan Tuhan.
Sementara itu, Dajjal bermaharaja-lela, melebarkan wilayah penguasaannya kepenjuru belahan bumi; kecuali wilayah Makkah dan Madinah. Kedua-dua wilayah ini merupakan taman hijau; tidak pula mampu ditembusi Dajjal. Kemudian, Dajjal menuju kearah Baitul Maqdis [Palestina], dan terhenti diRamallah. Sehingga Tuhan al-Haq menurunkan Nabi Isa a.s. disalah satu kubah diwilayah tersebut. Apabila Nabi Isa a.s. melihat Dajjal, ia terus mengejarnya lantas membunuhnya, dengan sebilah kapak yang dibawanya bersama.
Metafora kemunculan Dajjal bermaksud bersemaraknya geliat nafsu ‘Dajjal’ didalam diri manusia tertampak pada perilaku-perilaku busuk dalam zahir pertingkahan sifat dan sikapnya. Nafsu ‘Dajjal’ itu disebut sebagai ‘asy-Syaitaan al insu’ [syaitan bertopeng manusia], menyalur bisikan-bisikan jahat, tipu-daya, kemurtadan dsbnya. Juga disebut sebagai nafsu ‘al-Amarah bi al-Suu’’ [nafsu menyeru kepada kejahatan]. Pada penggiat Sufi, nafsu itu sinonim dengan sifat Dajjal; perilaku syahwat adalah ibarat syurga yang terletak disebelah kiri Dajjal, kerana syurga ini merupakan taman-taman ahli Syaqawat [pendosa/sengsara]. Sedangkan perintang ibadah itu adalah ibarat neraka, yang berada disebelah kanan Dajjal; sinonim dengan taman-taman ahli Sa’adah [nikmat/bahagia].
Adapun gelojak nafsu, tindak kezaliman, hijab tebal antara hamba dengan Tuhan adalah ibarat tulisan didahi Dajjal, hakikatnya adalah kekufuran terhadap alHaq, sinonim dengan padamnya api cahaya alHaq terhadap diri hamba tersebut. Sedangkan rasa kelaparan dan dahaga dalam era cengkaman Dajjal adalah ibarat penafian manusia akan warta-warta ketuhanan menyebabkan ia tunduk terpengaruh dan kemarukkan nikmat-nikmat tunai duniawi. Dalam kelam kehidupan begitu, cahaya Ilahiyah tidak akan pernah menyapa dan bertamu dalam jiwa-jiwa manusia tersebut seperti dilambangkan sebagai orang yang dinafikan makanan dan minuman. Pengertian kesufian tentang makanan dan minuman adalah ibarat santapan sinar kerohanian menyirami jiwa-jiwa manusia. Nah, betapa amat sulit kehidupan dalam cengkaman Dajjal, zaman manusia menghadapi cabaran dan ujian serba payah; sehingga Rasulullah saw. bersabda:
‘Akan datang kepada segenap manusia suatu zaman, dimana orang yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Agamanya, bagaikan orang yang memegang bara api.’
Soalnya, apakah kita masih belum sampai atau masih jauh dari kenyataan-kenyataan perit dan getir zaman tersebut seperti dinyatakan diatas? Ataupun kata bijak-pandai [koruptor]zaman ini, I.M.Deliberately/Done Bluffing! Dalam kekucar-kaciran keadaan kehidupan ketika itu, kerana manusia hilang punca, arah dan kiblat Agamanya, tenggelam pula dalam serba rencam kemaksiatan terhadap Allah SWT., hanya mereka yang beristiqamah dengan ritual Ibadah, Mujahadah, Riyadhah, TazkiyatunNafs, Inabah [taubat dan kembali] kepada Allah, tidak berTaqlid-buta dalam kelangsungan Agamanya; sungguh, mereka-mereka inilah sejati dan hakikatnya, penggenggam bara api dalam hidup mereka! Sedangkan mereka yang bertuhankan hawa nafsu tabiat dan syahwat, serta merasa nyaman dan selamat dalam tindak kemaksiatan, kekufuran dan kezaliman dengan mencengkam kuat tampok kekuasaan bagi melebarkan lagi oppressi kezaliman, terhadap diri dan manusia marhaen amnya! Fikir dan sadarkan!
Sebenarnya, inilah wajah hakiki Dajjal, para pembodek, serta pengikut-pengikutnya! Perilaku mereka-mereka ini menghalalkan cara asalkan dapat memperoleh segala kepentingan pragmatis duniawi mereka! Dari kaca-mata Ahli Hakikat, juak-juak sembrono dan tersesat ini adalah ibarat arak dan tuak haram yang ditogokkan kedalam rongga-rongga para pengikutnya, sehingga para-para pemabuk ini terperosok kedalam perilaku kelalaian, kepongahan, melayari halusinasi, delusi angan-angan utopis tak bertepi, dan tindakan-tindakan bodoh yang lainnya! Semakin banyak meneguk arak, semakin dalam pula khayal utopia mereka, dan semakin kuat watak-watak Dajjal itu membekas didalam diri-diri mereka!
Kendati, dalam pandangan Ahli Marifat, mereka-mereka yang nihil keyakian dan telah berputus asa ini, pada hakikatnya, adalah manusia-manusia yang tidak akan pernah memperoleh al-Falah [keberuntungan]. Adapun jenis manusia yang mudah terpedaya dengan kemegahan hidup, meyakini telah menemukan kenikmatan hakiki dalam gelimang kemewahan hidup, ditampok kemuliaan dan kekuasaan, adalah telah terperangkap kedalam imaginasi, delusi utopis, dianugerahi kenikmatan yang serba menipu! Tuntasnya, mereka-mereka ini adalah ibarat orang-orang yang memasuki syurga Dajjal; namun pada akhirnya, alHaq akan membalikkan syurga [akhirat] mereka dengan neraka, diakhirat kelak! Sungguh, bagi kelompok ini, ini adalah kerugian bukan kepalang. Kerana syurga dunia mereka tidak lebih dari suatu ‘fatamorgana’, sedang diakhirat kelak, pintu syurga mereka sebenar akan ditutup rapat. Dan mereka akan dikembalikan keseburuk-buruk tempat kembali. Seperti firman Allah SWT. QS. 95:5, bermaksud: ‘Kemudian Kami akan kembalikan mereka ketempat yang serendah-rendahnya [neraka].’
KETAHUILAH, bagi menghindarkan diri dari terpedaya dan terjerumus kedalam situasi buruk lagi hina seperti diatas, jalan yang paling ‘Aslah’ adalah dengan mengistiqamahkan kehidupan bernaungkan cahaya Syariat Tuhan yang mulia, melandaskan hakikat dengan mentradisikan Taubat, Inabat, Mujahadah, Riyadhah dan Tazkiyatun-Nafs, yakni memerangi hawa nafsu dalam diri! Tidak ada jalan lain! Tuntas! Titik! Noktah! Period! Fahamkan benar-benar!
Metafora mereka yang memakan rerumputan dan dedaunan ibarat terperosok kedalam neraka Dajjal. Adapun metafora berleluasanya Dajjal kepenjuru bumi selain Makkah dan Madinah adalah ibarat dominasi hawa nafsu tak terkendali didalam diri manusia. Hal tersebut, didalam lanskap Tasawwuf, mengisyaratkan pencapaian maqom-maqom spiritual, kecuali dua Maqom yang sukar digapai seseorang. Yakni, pertama: Maqom ‘Ahdiatuz-Dzat.’ Keadaan dimana karam atau sirnanya diri seorang Saalik kedalam Hadrah Ketuhanan secara dzat, dengannya melenyapkan perasaan [kemanusiaan] Saalik, tuntas jiwanya Fana dalam keBaqaan alHaq [Ekstasi Mistis]. Kedua: Maqom Muhammad, disebut sebagai ‘as-Syahwah al-Tsaniah’ [kebangkitan kedua]. Kedua-dua Maqom ini dibentengi oleh ‘Ghaib-al Azal’ [keghaiban azali], dan sukar disentuh nafsu; diibaratkan Makkah dan Madinah yang sulit dimasukki Dajjal!
Namun perginya Dajjal kearah Baitul Maqdis dan terhenti diRamallah, adalah ibarat perilaku Kasfy Kerohanian si-Saalik yang kurang menepati nilai hakikat sebenarnya, disebabkan ketidak-cerdasan si-Saalik memaknakan isyarat-isyarat yang diterimanya. Ramallah hanyalah suatu ‘simbol’ sebuah tempat diyakini tempat berkhirnya tujuan, seperti sangkaan Dajjal, itulah Baitul Maqdis! Demikianlah juga dengan banyak penggiat Sufi yang menyangka telah sampai dan menggapai Maqom Marifatullah, sedangkan pada hakikatnya masih belum! Nah, pada saat itulah alHaq menurunkan Roh Isa a.s. bersenjatakan kapak kematian! Isa [Rohullah], seperti firmanNya, ‘apabila datangnya kebenaran akan sirnalah kebatilan.’ Rohullah itulah lantas menyingkir tembok-tembok hijab dalam diri si-Saalik, yang zahirnya diibaratkan dengan kapak kematian, menumpas segala ragam watak kezaliman Dajjalisme, Dalam nuansa spiritualnya; adalah ibarat penyingkiran hijab-hijab diri para Saalik bagi pencapaian Maqom Wusul mereka. Demikianlah isyarat-isyarat Kiamat Makro dan Mikro kosmos beriringan, yang sebenarnya boleh kelihatan didalam diri-diri manusia khususnya!           
  1. Munculnya Imam Mahdi a.s. Usianya sekitar empat puluhan. Hari-hari dilalui manusia bersamanya adalah penuh panorama kehijauan; malam-malamnya dipenuhi cahaya gemilang dan keindahan; buminya pula dipenuhi tanaman yang subur, berbuah lebat, penuh berkat. Manusia disaat itu hidup aman sejahtera, damai sentosa dan amat gigih dan giat beribadah kepada Tuhan ar-Rahmaan. Durasi tampok kekuasan Sang Imam Mahdi itu berlangsung  selama empat puluh tahun. Kala itu, segenap manusia dimuka bumi ini hidup dalam kemakmuran, damai sejahtera, dan tiada yang hidup miskin sengsara!
Dilihat secara nuansa mikro, pada kurun munculnya Imam Mahdi itu, pada hakikatnya, manusia telah menggapai ‘Maqom Muhammad,’’ Insaan Kamil,’ juru selamat atau manusia sempurna. Adapun malamnya penuh putih lagi indah, hari-harinya penuh panorama kehijauan itu bermaksud, ibarat pencapaian maqom mistik kerohanian [‘zuk dan wujdan’], sedangkan, lebat buah dan sepi bencana, ibarat limpahan kurnia dan banjirnya karomah yang diperolehi para penggiat hakikat, dan damai sejahtera ibarat masuknya para ahli Marifah kemaqom Tajarrud terus kedimensi ‘Lahut,’ yang disebut sebagai ‘Maqom Ibrahim,’ seperti firmanNya,QS.3:97, bermaksud:
‘Barangsiapa memasukinya menjadi amanlah dia.’ Yakni, aman dari azab siksa Allah yang keras lagi pedih, pada syariatnya, dan aman sejatera serta selamat dari makar [tipuan] ar-Rahmaan, tidak lain selain istiqamah atas ibadah dan ubudiyyah kepada Tuhan alHaq dan ar-Rahmaan!
Pada kesempatan ini, yakni pada Bulan Haji ini, penulis sukacita memberikan lebih pencerahan kepada isu atau konsep ‘Maqom Ibrahim’ yang sewenang disebut khalayak, terutama yang telah keMakkah menunaikan ibadah Haji. Seperti disentuh firman diatas, ‘Barangsiapa memasukinya menjadi amanlah dia.’ Persoalannya, betapa ramai manusia yang telah keMakkah dan memasukinya; kenapa ramai yang menemui tragedi dan kecelakaan kepada diri-diri mereka, secara fisikal, ketika disana, maupun setelah kembali kenegeri asal mareka; dan juga kecelakaan bersifat emosi dan kerohanian [spiritual], yakni, kembali bermaksiat dan lemah iman mereka!! Maka dimanatah letak keMABRURAN haji yang seringkali disebut-sebut para jemaahnya?
JUSTERU KETAHUILAH, Maqom Ibrahim itu terbahagi dua jenis: ‘Maqom Badaniyah’ [diMakkah],dan ‘Maqom Rohaniyah’ [Persahabatan dengan Tuhan].
Bagi mencari Maqom Badaniyahnya, seseorang harus menafikan semua hawa nafsu dan kesenangan; dan memakai pakaian Ihram; mencegah berburu yang dihalalkan; mengendali sepenuhnya kesemua indera; hadir diArafat dan dari sana menuju Muzdalifah dan Masy’ar al-Haram; dan mengambil batu-batu dan berTawaf diKaabah; mengunjungi Mina serta bermalam tiga hari, dan melontar batu [Jamrah]; memotong rambut; dan melaksanakan Qurban, dan memakai semula pakaian-pakaian biasa.
Bagi mencari Maqom Rohaniyah Ibrahim pula, seseorang haruslah menafikan pergaulan sesamanya, dan mengucapkan ‘Selamat Tinggal’ kepada ragam kesenangan dan tidak berfikir lain melainkan tentang Tuhan, [kerana pandangannya terhadap dunia fenomenal adalah terlarang]!   
Kemudian ia harus singgah diArafatnya Marifat; dan dari sana pergi keMuzdalifahnya persahabatan, dan dari sini menyuruh hatinya untuk berTawaf Kaabahnya penyucian Ilahi [Tanzih]; dan melempar batu-batu hawa nafsu dan pemikiran kotor diMina keimanan; dan mengorbankan jiwa rendahnya dialtar Mujahadah; dan sampai kemaqom Persahabatan [khullat].
Memasuki Maqom Badaniyah bererti aman dari musuh-musuh dan pedang-pedang mereka; manakala, memasuki Maqom Rohaniyah [spiritual], bererti aman dari keterpisahan dari Tuhan dan akibat-akibatnya! Sila rujuk semula QS, 3/97. Fahamkan benar-benar atau tanyakan kepada Ahlinya! Insyaallah, dilain kesempatan dan Risalah, penulis akan memberi pencerahan rinci tentang pengertian Hakikat Haji [Mabrur], yang sebenarnya, dan juga Ibadah-Ibadah lain teras Agama!
  1. Terbitnya sang Mentari dari tempat terbenamnya, yakni diarah Barat. Ibarat kembali Roh keMarkas pertamanya dan isyarat kembalinya urusan dunia keakhirat. Dengan ini juga bererti tertutupnya pintu taubat serapat-rapatnya, dan segala permohonan ampunan dan maaf manusia kepada Tuhan, disaat itu, tertolak dan tidak lagi dikabulkan Tuhan al-Ghafuur.
Dilihat kepada nuansa kiamat kecil ini yang kelihatan pada diri manusia, terbitnya mentari dari arah barat, ibarat Kasyf batin [intuisi spiritual], terbukanya rahsia-rahsia batin, selama ini terhijab dari diri, sehingga bisa mengetahui hakikat ke-Dia-an dan ke-Aku-an alHaq dengan segala rahsia Sifat-SifatNya, sedangkan pintu taubat ditutup dan tertolaknya permohonan ampun, adalah ibarat ragam keragu-raguan dalam diri manusia sendiri disaat berdepan dengan Kebenaran pasti dan tuntas dari Allah SWT. Fahamkan benar-benar!  
Demikianlah diantara petanda-petanda tuntas yang dizahirkan oleh Allah SWT.mengisyaratkan saat-saat berlakunya pengakhiran dunia, bahkan segala isi dan makhluk yang mendiami dan menghayatinya. Kendati, petanda-petanda tersebut berupa nuansa dan metafora, yang pada hakikatnya terpakai dan terkait juga dengan Kiamat Syugra atau kematian setiap diri manusia! Fahamkan benar-benar!
Sebuah hadits berbunyi: ‘laa taquumu sa’atu hattaa laa yuqal fil ardhi laa ilaaha illallaah, Allah, Allah.’
Bermaksud; ‘Tidak berdiri qiyamat hingga tiada dikata orang-orang dibumi akan kalimah laa ilaaha illallaah, Allah, Allah.’

3. FIRASAT AHLULLAH DAN AHLI DZIKIR
Insyallah, disebabkan orang-orang yang sudah merasai nikmat Dzikrullah didunia ini, maka dianggapnya dunia ini sesuatu yang busuk, tidak ingin bertahan lama mencium bau yang busuk itu. Ahli TarekatSufiyyah [Sufi] tidak pernah bertahan supaya hidup lama didunia ini, tetapi hanya menyerah kepada Allah, terserah sahaja padaNya, apakah ia segera dimatikan atau-kah dipanjangkan usianya dalam Dzikrullah! Malaikat-maut sungguh tidak berdaya menghadapi orang yang membaca Kalimah Allah, Allah, Allah.. Dalam keSufian, tanpa disertai Faqr ilallah [kefakiran dalam spiritual], maka tidak akan terjadi Dzikrullah! Kerana mengingat Allah itu, [Dzikrullah] merupakan sikap, amalan atau disiplin utama didalam methodologi orang-orang Sufi [Tarikat-Kesufian]. Nah! Fahamkan benar-benar permasalahan ini!  

4.RAHSIA KESUFIAN
‘What pleasure can sweet viands give! For me sweet kisses of love. Though preceded by trial’s hard things; Sweet were the words of that charming cupbearer. Drink deep of this Love-cup, and speak not  of it to those who are ignorant of its hidden pleasures!’ Sila bertanya kepada ‘Alimbillah maksud rangkaian diatas!

5. KEPERLUAN BERTAUBAT SEBELUM TIBA HARI KIAMAT
Aduhai Ikhwan!
Janganlah kamu tinggalkan Taubat; kerana menyangka maut itu lambat. Janganlah kamu tidak tahu; Maut itu paling hampir denganmu. Datangnya sekilas pandang; Hadhirnya tanpa diundang. Lihatlah firman Allah; yang punya penuh Hikmah:
‘Dan datanglah Sakaratul-maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya.’ QS.al-Qaf:19.
‘Sungguh kamu dahulu lalai tentang [peristiwa ini], maka Kami singkapkan tutupan [yang menutupi] matamu, sehingga penglihatanmu pada hari ini sangat tajam.’QS.50:22.
‘Hari yang menjadikan anak beruban.’ QS.73:17.
‘Hari ketika tidak ada lagi jual beli, tidak ada lagi persahabatan, dan tidak ada lagi Syufaa’t. Orang-orang kafir itulah orang-orang zalim.’
‘Barangsiapa dihisab secara terperinci, pasti ia akan diazab.’ HR Imam Ahmad dari Ai’syah.
‘[Ingatlah] pada hari [ketika] Kami bertanya kepada jahannam, ‘Apakah kamu sudah penuh?’ ‘ Masih adakah tambahan?’
Penghuni Neraka menuju kerak-kerak yang dangkal dan kecelakaan yang berturut-turut serta pelbagai seksa dan hukuman.
‘Sesungguhnya Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.’ Yaitulah tempat amat buruk pemandangan dan daerah yang paling menjelekkan!

6.KEADAAN [KONDISI] ORANG-ORANG YANG BAHAGIA BERBANDING ORANG-ORANG YANG CELAKA
‘Allah Berkehendak membenarkan yang benar dengan ayat-ayatNya dan memusnahkan orang-orang kafir sampai keakar-akarnya. Agar Allah memperkuat yang Haq [Islam] dan menghilangkan yang batil [Syirik], walaupun orang-orang berdosa [Musyrik] itu tidak meyakini!’ QS.8:7-8.
Rujuk semula ayat keramat QS.61:9, bermaksud:
‘Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa Petunjuk dan Agama yang Benar, untuk memenangkannya [penakluk] diatas segala agama, meskipun orang-orang musyrik membencinya.’
‘Sungguh, orang-orang kafir dan mati dalam keadaan kafir, mereka itu mendapat laknat Allah, para Malaikat dan seluruh manusia. Mereka kekal didalamnya [laknat], tidak akan diringankan azabnya, dan mereka tidak akan diberi penangguhan. Dan Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa, tidak ada Tuhan selain Dia Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.’ QS. 2:161.
‘Sesungguhnya, mereka memandang besar tentang diri mereka, dan mereka benar-benar amat melampaui batas.’QS.25:21.
‘Pada hari mereka melihat Malaikat, dihari itu tidak ada khabar gembira bagi orang-orang yang berdosa dan mereka berkata: ‘Hijran Mahjuuran.’QS25:22.
‘Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu [bagaikan] debu  berterbangan!’QS.25:23.
‘HIJRAN MAHJUURAN’ – Bermaksud, mereka tidak melihat Malaikat dihari yang baik bagi mereka; bahkan, pada hari mereka melihat Malakat pada waktu itu, tidak ada khabar gembira untuk mereka. Hal ini persis mmbenarkan tentang waktu KEMATIAN, ketika Malaikat mengancam mereka dengan api Neraka dan Kemurkaan Allah al-Jabbar!
Malaikat-Maut berkata kepada orang kafir, disaat akan keluar Rohnya: ‘Keluarlah! Wahai jiwa yang busuk, pada jasad yang busuk! Keluarlah menuju air-air racun, angin yang amat panas, air panas yang mendidih; dan dalam naungan asap yang hitam!
Roh itu enggan keluar, lalu Malaikat memukul, sebagaimana Allah berfirman, QS. Anfal:50, bermaksud:
‘ Kalau kamu melihat ketika para Malaikat mencabut jiwa orang-orang kafir, seraya memukul muka dan belakang mereka.’ Berkata Malaikat kepada mereka: ‘ HARAM! Diharamkan bagi kalian kebahagian pada hari ini.’ ‘Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan..’
Ini terjadi pada Hari Pembalasan, dimana Allah SWT. menghisab hamba-hambaNya atas dasar apa yang mereka amalkan berupa kebaikan maupun keburukan. Lantas Dia Mengkhabarkan bahawa tidak ada hasil yang diraih oleh kaum Musyrikin/Kuffar, dari amal-amal yang mereka sangka dapat menyelamatkan, hal kerana tidak adanya Syarat Syar’i, baik keikhlasan dalam beramal maupun menuruti Syari’atullah, lalu: ‘Waqadimna’, Kami pertegas atau Kami datangkan kepadanya. ‘Faj’alnaahu habaa an manthuura,’ lalu Kami jadikan amal itu [bagaikan] debu yang berterbangan.
Sesungguhnya, alhabaa adalah debu-debu apabila angin bertiup, seperti QS.Ibrahim;18, bermaksud:
‘Orang-orang kafir kepada RABBnya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu/debu ditiup angin dengan keras [pada hari angin bertiup kencang]. Mereka tidak dapat meraih manfaat sama sekali dari apa yang mereka usahakan [didunia]. Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.’

7.PENGHUNI SYURGA
‘Penghuni-penghuni Syurga pada hari itu paling baik tempat tinggalnya dan paling indah istirahatnya.’QS.25:24.
‘Tidak sama penghuni-penghuni Neraka dengan penghuni-penghuni Syurga. Penghuni-penghuni Syurga itulah orang-orang yang beruntung.’
Demikian penghuni-penghuni Syurga memperoleh DARJAT yang tinggi, menuju naungan yang aman ditempat menenangkan, indah pemandangan lagi harum semerbak baunya.
‘Mereka kekal didalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.’ QS.Furqan:76.
Sedang penghuni-penghuni Neraka menuju kerak-kerak yang dangkal; kecelakaan yang berturut-turut, serta pelbagai siksa dan hukuman.    
‘Sesungguhnya, Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. QS.Furqan:66. Yaitulah tempat amat buruk pemandangan dan daerah paling jelek!

8.AMARAN DAN ANCAMAN
Aduhai Sahabat dan Ikhwan! SEDARILAH, TAKUTILAH DAN BERSEDIALAH menghadapi Hari itu!
‘Hari yang menjadikan anak beruban!’ QS.73:17.
‘Hari, ketika tidak ada lagi jual-beli; tidak ada lagi persahabatan; dan tidak ada lagi SYAFA’AT. Orang-orang kafir itulah orang yang zalim.’QS.2:254.

9.PENUTUP
Seseorang yang bernaluri cenderong kearah kebaikan diri, menghiasi diri dengan akhlak keindahan; menjadi seorang hamba yang tulus melaksana segala perintah Ilahi; mengagungkan hak-hakNYA; menghargai sesama; maka sayugianya dan sebenarnya, orang ini telah mendapat tarikan RABBANI. Saat itu ia telah menjadi seorang ‘pewaris’ sempurna. Maka terhimpun didalam dirinya berragam keutamaan dan kemuliaan! Kesemua ini terhasil dari kekuatan dan iltizam yang telah ditanam didalam diri, berserta dokongan Tuhan sejak zaman terdahulu, dan limpahan pengawasan dari cintakasih sayangNya!
Seseorang yang memiliki ‘keSOLEHan’ tidak hanya yang rajin beribadah dan ber’hablum-minallah’ malahani ia memiliki kepekaan kasih sayang dan menebarkan terhadap sesama manusia; serta menegakkan keadilan dan memberi perlindungan kepada yang memerlukan. Ia adalah pelita yang menerangi ummah, membangun rasa persaudaraan, mewujud keadilan dan menciptakan dinamik perubahan dan paradigma kearah yang lebih baik dan utama dalam kehidupan!
Orang yang selamat [al-naaji] di akhirat adalah mereka yang terlindung dari siksa dan kebinasaan. Sedang orang yang berhasil [al-faaiz] adalah mereka yang diri berserta keluarganya berhasil memperoleh keselamatan serta kurnia darjat. Paling utama adalah mereka yang menebar cahaya rahmat kebaikan diseluruh penjuru alam!
Hamba yang hidup dalam kesolehan menjadi pewaris cahaya Sang Kekasih. Adapun cahaya baginda tidak lain melainkan bersumber dari Hadharat Yang Maha Menerangi, kerana Tuhan a-Haq adalah pemberi cahaya langit dan bumi! Rujuk QS.al-Nur:35.
Ibarat halnya timbul nyata, kaca yang menampung pelita; menyebar cahaya keseluruh semesta; kaca membuat cahaya pelita gemerlap kelihatan disaksi mata yang memandang. Nur-ala-Nur; inilah isyarat rasa gemersik cinta [dhawq] santapan para pencinta Ilahi. Inilah penampakan pentajallian keindahan Ilahi pada diri-diri para kekasihNya, yang tenggelam karam dalam samudera CintaNya! Suatu keadaan yang tak mampu dicerna fikir khayalan, bahkan tuk dirangkai dengan bicara kata. Hanya kenikmatan hakiki dipersembahkan tuk para KekasihNya, hanya dapat dirasa tanpa mampu diperjelaskan. Berkata Imam al-Ghazali Rahimahumullah: ‘Bagaimanakah seorang yang impoten mampu menjelaskan hanya hubungan intim?’
Semoga Tuhan Allah Azza wa Jalla menyinari kami dengan cahayaNya; mendekatkan kami dengan para penggenggam cahayaNya, dan menjadikan kami sebagai cahaya! Ya Tuhan, kami memohon kepadaMu, menuju redhaMu, mengharap ampun MaghfirahMu, menghadapkan diri kepada Latiff kelembutanMu. Kami pohon SyafaatMu, dengan keberkahan para KekasihMu. Akhirnya, limpahkan Selawat dan Salam cinta kepada Sang kekasih terunggul, keluarga dan para Sahabat termulia, selama pintu RahmatMu masih terbuka, sebanyak yang ada didalam Ilmu-mu. Selawat yang senantiasa tercurah terlimpah sekekal Kerajaan-Mu! Subhaanallah wabihamdihi; Subhaanallah hil’Azim!
ALHAMDULILLAH
AMIN YA RABBAL ‘AALAMIN.     
WABILLAH HITTAUFIQ
TABARAKALLAHI RABBAL ‘AALAMIN.
       
BLOG MADRASATUL BAITUL ADAM [MBA], SELANGOR. SEPTEMBER/OKTOBER,2015. DZULHIJJAH 1436.    

Thursday, June 11, 2015

PETANDA TUNTAS AKHIR ZAMAN [YAUMIL–QIYAMAH] DENGAN DOKONGAN DALIL-DALIL DAN AYAT-AYAT TUHAN – BAHAGIAN 1.



ADUHAI SAHABAT DAN IKHWAN!
BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM

ALHAMDULILLAH. Wassolatu wassalamu 'ala Nabiyikal Karim, wa Rasulikal ‘azim, Saiyidina Muhammadin Mustafa, khataman nabiyina, wa’ala alihi wa ashabihi ajmain. Asyhadu al Laa ilaaha illallaah, wa asyhadu anna Muhammdan 'abduhu wa Rasuuluh.
' Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa Petunjuk dan Agama yang benar, untuk memenangkan [menakluk] atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membencinya.' QS. 61:9.
'Allah memilih orang-orang yang Dia kehendaki kepada Agama Tauhid dan memberi Petunjuk kepada [Agama] Nya, bagi orang-orang yang kembali [kepadaNya].'QS, 42:13.
Bermula segala puji dan puja hanyalah milik Allah, Pemilik semesta alam.
Maha Suci Allah, Dzat yang menyendiri, dengan sifat Keperkasaan dan Penguasaan, mendominasi segala penguasaan dan keabadian. Dia Tundukkan ciptaan dan seluruh makhlukNya, dengan kebinasaan yang telah tertulis atas diri mereka, kemudian menjadikan kematian [kiamat] sebagai pembebasan bagi orang-orang yang berTaqwa dan kesempatan memperoleh hak pertemuan denganNya.
Allah SWT. menjadikan kuburan sebagai penjara dan tempat tahanan yg sempit bagi orang-orang yang celaka, sehingga datang pengadilan dan penentuan dariNya. BagiNyalah penganugerahan nikmat dengan kenikmatan yang nyata, dan bagiNyalah juga pembalasan dendam yang keras lagi sengit!
Amma ba'du.

1.MUKADDIMAH
Yaumil Qiyaamah [Hari Kiamat] adalah suatu hari paling besar, paling kritis, paling bersejarah dan paling digeruni dalam kehidupan [kewujudan] dan sejarah kemanusiaan. Namun demikian, tidak pula dapat dinafikan bahawa kebanyakan manusia memikirkan bahawa soal kiamat adalah perkara mudah, terutama sekali tentang kiamat syugra [kiamat kecil/kematian diri sendiri]; seolah-olah perkara tersebut tidak relevan, dan harus diketepikan dahulu. Aneh sekali kebanyakan orang kita lebih berminat untuk mengetahui tanda-tanda bilakah akan munculnya Yaumil Akhir [Kiamat Kubra/besar], seolah-olah mereka akan bersedia menyambut dan mera'ikan kedatangannya!?
Rasulullah saw. pernah ditanya oleh seseorang: ‘Wahai Rasulullah, bilakah Hari Kiamat akan tiba? Dijawab Rasulullah: ‘Apakah kamu telah bersedia untuk hari itu?’
Pada hakikatnya, adalah terlebih penting bagi seseorang itu mempersiapkan dirinya bagi menghadapi hari kematian dirinya, yang mungkin lebih dahulu datangnya; dengan melakukan taubat dan beramal soleh, dari hanya disibukkan oleh dunia atau hanya menumpang dagu, menunggu bilakah datangnya Hari Kiamat sebenarnya!
Demikian, kerana proses dan ritual kematian dirinya sendiri [kiamat syugra/kecil] tidaklah kurang hebat dramanya berbanding Hari Kiamat sebenarnya nanti! Fahamkan benar-benar! Perhatikan firman Allah SWT. QS.50:19, bermaksud:
‘Dan datanglah Sakaratulmaut dengan sebenar-benarnya; itulah yang kamu selalu lari daripadanya.’
Untuk lebih faham, ikuti riwayat berikut:
‘Suatu hari, Nabi Sulaiman a.s. sedang duduk mesra dan santai bersama seorang sahabat, lalu tidak sekali-kali mereka menduga kemunculan Sang Sakaratulmaut menuju kearah mereka. Nabi Sulaiman a.s., setelah mengenalinya, menyambut kehadiran Sang tetamu tersebut. Namun, sahabat yang duduk disebelah Nabi tadi merasa aneh, tidak selesa dan juga merasa gerun dari panahan pandangan mata tetamu baru itu, lalu mohon bergegas beredar dari situ.
Setelah menyatakan urusannya dinegeri jajahan Nabi Sulaiman a.s. pada hari itu, Sang Sakaratulmaut pun turut beredar dari situ.
Beberapa ketika, setelah melihat tetamu Nabi Sulaiman a.s. telah kepergian, sahabat tadi kembali semula menemui Nabi Sulaiman.a.s. lalu bertanyakan siapa gerangan tetamu tadi. Setelah diberi tahu, dan dengan nada cemas, beliau memohon mendapat perlindungan Nabi. Nabi Sulaiman a.s.bertanya: ‘Apa yang kamu inginkan?’ Jawab sahabat: ‘ Ya Rasulullah, terbangkanlah aku kemanapun jua atau keNegeri India sekalipun!’ Permohonan sahabat itu lalu diperkenankan serta merta.
Selang beberapa ketika , Sang Sakaratulmaut muncul semula disamping Nabi Sulaiman a.s., berdatang sembah, menyatakan urusannya telah pun selesai dinegeri itu. Sang Sakaratulmaut bertanya kepada Nabi Sulaiman a.s.: ‘Dimana sahabatmu tadi?’ ‘Oh, dia berada diNegeri India,’ jawab Nabi Sulaiman a.s. ‘Bukankah dia disampingmu sebentar tadi?’ Jawab Nabi Sulaiman a.s.: ‘Ya benar! Kemana pula geranganmu selepas ini?’ bertanya Nabi Sulaiman a.s.. ‘Memang, berbetulan tugas aku seterusnya diNegeri India; dan kini akan menuju kesana!’, tegas Sang Sakaratulmaut.’   
Nah! Rujuk pula firman Allah, bermaksud:
‘Katakanlah: Malaikat maut yang diserahi untuk [mencabut nyawa] mu, akan mematikan kamu. Kemudian kepada Tuhanmu, kamu akan dikembalikan.’QS.32:11. Dan lagi; 
‘Sungguh, engkau akan mati dan mereka akan mati pula.’ QS.39:30.
Seharusnya, bagi kita dan setiap manusia amnya, menjadikan kematiannya sebagai waktu ajalnya; tanah adalah tempat akhir pembaringannya; kesepian bukanlah isunya; kutu, ulat, cacing dan jengking adalah temannya; Mungkar dan Nakir adalah penunggu setianya; kuburan dan perut bumi adalah kediaman dan tempat bersemayamnya; Yaumil Qiyamah adalah momen dan saat penantiannya; Syurga atau Neraka adalah arah muaranya!

Justru, Rasul saw. bersabda: ‘Muutu qabla anta muutu,’ bermaksud: ‘Matikan diri kamu sebelum matinya kamu.’
Lantas, pemikiran, jiwa, perasaan dan kesedaran harus tertambat kepada soal kematian. Tidak mengingat melainkan mengenainya; tidak bersiap-siaga melainkan kerananya; tidak mengatur persiapan melainkan yang berkait dengannya; tidak meneliti melainkan berkenaan dengannya; tidak terkekang maupun terhambat melainkan menjurus kepadanya; tidak beranjak melainkan menujunya; tidak peduli melainkan tentangnya; tidak kuasa melainkan kerananya; dan tidak menanti, menyambut dan mera’i melainkan ketibaannya! Maka Allah SWT. berfirman dalam QS.59:18, bermaksud;
‘Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah; biar setiap diri melihat apa persediaan menghadapi hari mendatang [Hari Kiamat/Akhirat].’
Memang benar, terdapat banyak kebaikan jika kita mampu mengandaikan dan menghitung diri kita yang senantiasa dibayangi dan dalam ambang kematian; dan mengangap bahawa diri kita akan menjadi penghuni kuburan. Hanya persoalan bila-kah saat itu, belum diputuskan. Namun hendaknya, kita telah bersedia. Kerana sesungguhnya, sesuatu yang mendatangi kita itu adalah saban hari dan ketika, semakin mendekat, menghampir, sedar mahu pun tidak!
Setiap kita tidak boleh tidak, melalui garis tertulis atas takdir hidup kita. Menjelang garis penamat usia kita. Setelah agihan rezeki telah usai seluruhnya. Dan amal baik maupun buruk menjadi penentuannya. Siapa pun yang ditakdirkan ajalnya disuatu negeri, tidak akan mati dinegeri selainnya! 
Kelangsungan kehidupan manusia yang silih berganti, pasti terhenti pada suatu hari. Menjelang berakhir kehidupan manusia, dituruti hancurnya alam maya ini seluruhnya. Bayu berhenti meniup. Bintang malam terus meredup. Gelombang samudera terhenti. Tanaman tandus kering, mata air surut, tidak mengalir lagi!
Namun, kebinasaan ini bukanlah noktah dan pengakhir segala. Akan datang suatu hari tahapan permulaan kehidupan manusia dinegeri Akhirat Abadi; penuh ngeri ataupun ranggi! 

2. REALITI HARI KIAMAT DAN TANDA-TANDA HARI KIAMAT MENURUT ALQURAN DAN HADITS
Kendati pun, penulis terlebih dahulu ingin menarik perhatian pembaca kepada realiti hara-birunya keadaan disaat-saat kejadian Hari Kiamat seperti diperihal Allah SWT. didalam Alquran, dan kemudiannya, akan mengemukakan beberapa tanda-tanda dan isyarat-isyarat ampuh, berdasarkan nas-nas sohih akan saat hampirnya kemunculan berlakunya Hari Kiamat tersebut. Pembaca hanya perlu memerhatikan samaada tanda-tanda dan isyarat-isyarat tersebut telah pun mulai muncul dan kelihatan melingkari kehidupan kita dimasa dan waktu mutakhir kini!
Terdapat lumrah sekali keadaan dan peristiwa Hari Kiamat ini disentuh dan dirinci oleh Alquranul Karim sebagai mesej kritis Allah kepada umat manusia, agar bersiap-siaga menghadapi ketibaannya. Antaranya, sila rujuk QS.22:1-2, bermaksud:

‘Hai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu , sesungguhnya, kegoncangan Hari Kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat [dahsyat]. [Ingatlah] pada hari [ketika] kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya, dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal, sebenarya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya, yang menghilangkan akal mereka itu.’
‘Apabila bumi digoncang dengan goncangan yang dahsyat, dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat [yang dikandungnya]; dan manusia bertanya, ‘Apakah yang terjadi pada bumi ini?’ Pada hari itu bumi menyampaikan beritanya, kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan [yang sedemikian itu] padanya. Pada hari itu, manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok, untuk diperlihatkan kepada mereka [balasan] semua amal perbuatannya. Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat [balasan]nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat [balasan]nya. QS.99:1-8.
Dan lagi, antara lakaran-lakaran Allah SWT. tentang Yaumil Qiyamah, lihat QS. al-Qiyamah:6-15, bermaksud:
‘Ia bertanya [secara mengejek]: Bilakah Hari Kiamat itu? Maka [jawabnya Hari Kiamat itu] apabila mata terbelalak [kerana ketakutan]. Dan bulan hilang cahayanya. Dan matahari dan bulan dihimpunkan bersama. [Maka] berkatalah manusia pada hari itu. Dimanakah tempat hendak melarikan diri? Tak usahlah bertanya demikian, tidak ada lagi tempat perlindungan. Pada hari itu, hanya kepada Tuhanmu sahajalah terserah ketetapan segala perkara [tempat kembali]. Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang yang telah mereka lakukan dan apa yang mereka telah tinggalkan [dan lalaikan]. Bahkan manusia itu, anggota mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri. Walaupun mereka memberikan alasan-alasan [untuk membela diri].’
Hal yang menarik dari keterangan diatas ialah Allah SWT. telah menjawab semua pertanyaan manusia yang bersifat ragu-ragu dan tidak percaya akan datangnya sebenar-benar Hari Kiamat itu! Dan tidak ada tempat berlindung diri bagi orang-orang yang telah engkar semasa hidup didunia.
‘Kecelakaan besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan [apa yang dijanjikan Rasul-Rasul Nya].’QS. 77:15.
Bagi pencerahan lebih rinci, sila rujuk QS. alWaqiah: 1-12, sekaligus menetapkan status manusia didepan Allah SWT.
‘Apabila berlaku Hari Kiamat. Tiada siapa dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian Hari Kiamat itu merendahkan [golongan yang engkar –Kuffar]] dan meninggikan [golongan yang taat - MUKMIN]. Apabila bumi digoncangkan dengan sedahsyat-dahsyatnya. Dan gunung-gunung dihancur-leburkan sehancur-hancurnya. Lalu jadilah ia debu berterbangan. Dan kamu pula menjadi tiga golongan [berlainan keadaan]. Yaitu: golongan Kanan. Alangkah mulianya golongan Kanan. Dan golongan Kiri. Alangkah siksanya golongan Kiri itu. Dan [golongan Ketiga] orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu [masuk kesyurga]. Mereka itulah orang-orang yang didekatkan [kepada Allah]. Berada didalam Syurga kenikmatan.’
Maka pohonkanlah Rahmat, Hidayah, serta perlindungan dari Allah SWT. Barakallah!
Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan Hadits daripada Ibnu Mas’ud r.a., beliau berkata, bermaksud:
‘Seorang pendita mendatangi Rasulullah saw. dan berkata: ‘Wahai Muhammad, kami mendapati bahawa Allah menciptakan langit dengan jejariNya, dan menciptakan bumi dengan jejariNya, menciptakan pokok dengan jejariNya, menciptakan air dan embun dengan jejariNya, dan menciptakan seluruh makhluk dengan jejariNya. Kemudian Allah berkata: ‘Aku adalah Raja.’ Rasulullah saw. tertawa sehingga kelihatan deretan gigi serinya, dimana membenarkan perkataan pendita tersebut. Kemudian Rasulullah saw. membaca ayat-ayat berikut:
‘Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada Hari Kiamat; dan langit digulung dengan tangan kananNya. Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.’QS.39:67.
Hakikatnya, alam semesta yang maha luas ini, pada Hari Kiamat kelak ternyata hanyalah merupakan suatu benda kecil dalam jari-jemari Allah SWT. Yang Maha Kuat dan Maha Perkasa.
Imam Muslim pula meriwayatkan Hadits dari Ibnu Umar r.a., beliau berkata, bermaksud: ‘Suatu ketika Rasulullah saw. berkhutbah diatas mimbar dan berkata: ‘Allah mengambil seluruh langit dan seluruh bumi dengan tanganNya, dan berkata: ‘Aku adalah Allah.’ Rasulullah saw. bercerita sambil menggenggam jari-jarinya dan membukanya sambil berkata: ‘Aku adalah Raja.’ [Rasulullah saw. mengucapkan kata-kata tersebut dengan bergetar tubuh badannya] sehingga aku [perawi ibnu Umar], melihat mimbar tersebut bergetar sampai kebawah hingga aku khuatir dan berkata; ‘Apakah mimbar itu akan roboh bersama Rasulullah saw.’
‘Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah sesiapa yang dilangit dan dibumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu [keputusannya masing-masing].
Dan terang benderanglah bumi [padang mahsyar] dengan cahaya [keadilan] TuhanNya, dan diberikanlah buku [perhitungan masing-masing] dan didatangkanlah para Nabi dan saksi-saksi dan diberi keputusan diantara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dirugikan.
Dan disempurnakan bagi tiap-tiap jiwa [balasan] apa yang telah dikerjakan dan Dia lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan.’ QS. 39:67-72. Dengan demikian Allah SWT. mengingatkan dalam QS.2:281, bermaksud:
‘Dan takutlah pada hari [ketika] kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna, sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya – dan mereka tidak dizalimi [dirugikan].’
Dikhabarkan: Seorang Syaikh menyatakan, suatu waktu dia membaca ayat diatas, lalu kedengaran suara dari langit berseru: – ‘Janganlah membaca ayat tersebut dengan keras, kerana empat makhluk djin dan malaikat telah mati kerana merasa terlalu gerun dan ngeri akan kesannya.’     

3.REALITI STATUS UMAT MANUSIA [ISLAM]
Hadits Rasulullah menyebutkan: ‘Sebaik-baik manusia adalah 100 tahun pada masaku; kemudian, zaman mereka yang mengiringi mereka. Kemudian, bertebaran pendustaan. Maka janganlah kamu bersandar akan perkataan dan perbuatan mereka itu.’
Dari bayangan Hadits tersebut, dapat disimpulkan bahawa umat Islam hanya dapat bertahan selama 300 tahun selepas peninggalan Rasulullah saw. setelah kewafatannya, dimana umat Islam telah mulai menderita atas penularan kronik serba-ragam penyakit seperti penindasan, kezaliman, kedurjanaan, kekufuran, dsbnya.
Lagi Hadits Rasulullah menyebut, ‘Akan datang suatu masa pada umatku, bahawa Raja-Raja mereka adalah seperti singa, dan pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar mereka itu adalah seperti harimau, dan Qadhi-Qadhi [Hakim] mereka pula adalah seperti anjing-anjing hutan; sedangkan manusia hanyalah seperti kambing.’
Betapakah akan hidup kambing-kambing itu ditengah-tengah kelompok singa, harimau dan anjing-anjing hutan?
Tidak sahaja jiwa-jiwa Raja Islam, Penguasa, pemimpin dan para Hakimnya yang telah jatuh sakit, lesu dan layu, bahkan, jiwa-jiwa para Ulama Islam tidak terkecuali dan terhindari dari penularan penyakit-penyakit yang amat berbahaya ini!’
Saidina Ali Abu Talib kw. menceritakan sabda Rasulullah saw, bermaksud:
‘Sesungguhnya, akan datang suatu zaman atas manusia bahawa tidak akan tinggal Islam itu hanya namanya sahaja; tidak akan tinggal Alquran itu melainkan kulitnya sahaja. Masjid-masjid bertebaran tetapi tidaklah menjadi tempat pencarian ilmu dan Petunjuk. Para Ulamanya akan menjadi makhluk yang terburuk lagi terhina dibawah langit ini. Dari para Ulama mereka itu akan timbul pelbagai fitnah, dan kepada para ulama itu jua akan kembali fitnah-fitnah tersebut.’
Lagi Rasulullah saw. bersabda, bermaksud:
‘Akan keluar pada akhir zaman beberapa kaum/partai; muka mereka seperti muka manusia, tetapi hati mereka itu seperti hati Syaitan.’
‘Aku terlebih takut atas kamu daripada Dajjal akan seorang lain daripada Dajjal.’ Maka sembah para Sahabat: ‘Siapa mereka itu ya Rasulullah?’ ‘Mereka itulah Ulama yang jahat.’
‘Akan terjadi diakhir zaman hamba-hamba Allah yang jahil dan para Qari/Qurra [pembaca Quran] yang Fasiq.’
‘Nanti bakal akan datang diakhir zaman atas umatku perempuan-perempuan menjadi Qiblat mereka dan mata wang bakal menjadi Agama mereka itu. Para Ulama mereka itu jahil, walhal, perkataan-perkataan Ulama itu seperti perkataan Nabi-Nabi, namun, tingkah-laku mereka itu adalah sepert Firaun.’
Anda hanya perlu perhatikan gelagat dan gara-gara kehidupan manusia di-abad ini. Apakah kecenderongan dan kegemaran yang mendominasi waktu-waktu dan usia mereka? Keagamaan, intelektual atau kecendekiawan, kemanusiaan? Tidak sekali-kali! Manusia menjadikan kebebasan pemikiran dan hawa nafsu menunggangi syahsiah dan pribadi diri. Mereka membiarkan nilai kemodenan dan kebaratan meracuni akhlak mereka. Terlebih buruk, mereka mendakap amalan Toghut hasil globalisasi dan teknologi moden dengan segala applikasinya, cecara membabi-buta, tidak arif lagi tidak berhemah! Bergelimang dengan sosio-budaya internet setiap saat dan ketika, tidak akan membuka ruang untuk jendela kearifan keilmuan, keagamaan dan keTuhanan. Ucapkanlah selamat tinggal kepada semua ini, dan tunggu sahaja saat kebinasaan yang pasti menjelang!
Disudut pentadbiran pendaulatan Agama pula, kita dapat perhatikan ketirisan perlakuan, seperti, ketidak-acuhan, kelemahan, kedayusan dan kelayuan. Penjawat yang diamanahkan menegakkan hukum-hakam dan keadilan tidak punyai keberanian, keyakinan diri, serta rasa bertanggungjawab terhadap tugasan dan perintah Allah SWT. Walaupun penjawat dan penguasa Agama memiliki kuasa tetapi tidak kuasa dan tidak memiliki semangat juang, menjulang dan memposisikan kedudukan Agama dipersada lebih tinggi dan yang sepatutnya. Misalnya, enakmen-enakmen Syariat Islam sahaja masih banyak yang tidak digubal dan dikuatkuasakan oleh Pemerintah-Pemerintah dinegara ini! Ilmu dan Amalan Tauhid dan Tasawwuf sebenar tidak diterapkan kerana bimbangkan risiko penolakan dan penentangan! Sedangkan intipati ilmu Tahid dan Tasawwuf adalah benteng dan penawar bagi membenteras dan menakluki serba-ragam gejala negatif yang kian menular liar, dan pada akhirnya membinasakan umat. Inilah sebenar-benarnya resapan dari suntikan racun dan pengaruh ‘Dajjal’ yang dibimbangi dan telah diramalkan oleh Rasulullah saw. terjadi dizaman mutakhir kini. Dan kita masih boleh mendakwa, malah mendabik dada, bahawa negara ini sebenarnya telah menuruti, mengamalkan dan menepati amalan Ahl-Sunnah wal-Jumaah seperti dipelopori Rasulullah saw.!
Disisi usaha dan kerja-kerja pendakwahan pula oleh beberapa pertubuhan, badan dakwah, masjid/madrasah, media-cetak/elektronik dan juga lambakan ustaz-ustaz dan Habib-Habib pula, telah terlalu lumrah diperkatakan dan dibeberkan. Masjid-masjid, yang merupakan pusat pemangkin dakwah seperti Masjid Madinatul- Munawarah misalnya, mentah-mentah menolak sebarang pengaliran ilmu yang tidak cocok dengan jiwa-jiwa AJK. mereka. Mereka adalah ibarat ‘zombies’ yang hanya berurus seperti diperintahkan majikan. Kelompok-kelompok ini harus lebih objektif, fokus, berani, jujur, berfikir luar-kotak dan relevan dalam pentarbiahan mereka kepada masyarakat. Seharusnya penguasa, pejuang dan pendakwah agama tidak, sekali lagi tidak, menjadikan kemasyhuran [status selebriti], imbuhan dan ganjaran sebagai misi, maksud dan tujuan! Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
Dapatkah anda bayangkan bagaimana dilemma Rasulullah saw., dihari pertama dinobatkan sebagai Nabi dan Rasul; seorang Muslim pertama, keseorangan membawa Risalah dan Watikah Agama Islam, mendepani kaum Kuffar dan Musyrikin Makkah; malah menggauli lingkungan keluarga, kaum kerabat dan taulan baginda sendiri? Namun, ceritera perjuangan dan kemenangan Rasulullah saw. terlakar  dan tersulam dengan tinta dan benang emas; yang tidak mampu diduplikatkan oleh pewaris-pewaris dan penguasa-penguasa Agama terkemudian kini. Ia sekedar menjadi bahan sejarah dan lagenda alam semesta. Justeru, akan teruskah berleluasa pen’dajjal’an, pengkhianatan, kezaliman dan sebagainya, yang terus-terusan mengancam umat!? 
Lalu bagaimana keadaan nasib dan kehidupan rakyat jelata bila dihimpit derita siksa dari rencam kezaliman pembesar-pembesar, penguasa-penguasa negara yang zalim lagi durjana, dan terlebih buruk lagi adalah perlakuan penguasa-penguasa Agama yang gila kuasa, egois, berlagak dan mengkesampingkan kesejahteraan umat, sedangkan Islam itu sendirinya bererti dan mendefinasi kesejahteraan, namun umat sengaja dinafikan?

4.ISYARAT KETIBAAN YAUMIL QIYAMAH DARI HADITS DAN PENAFSIRANNYA ATAS KEMATIAN DIRI
Ketahuilah bahawasanya, kedua-dua kategori Kiamat, Kiamat Kubra [Makro] dan Kiamat Syugra [Mikro], yaitu, [Kiamat Besar dan Kiamat Kecil] memiliki dan menzahirkan tanda-tanda yang bersamaan, yang satu bersifat universal [kulli] dan lainnya bersifat batin atau khusus, yang pasti kenyataannya akan dilalui oleh setiap individu anak Adam diakhir hayatnya. Namun, isyarat-isyarat tersebut lebih merupakan metafora, seperti diwartakan oleh Alquran dan Sunnah Rasulullah saw. Antara penzahiran tanda-tanda atau isyarat-isyarat tersebut adalah sepert berikut:
  1. Para budak wanita melahirkan anak majikan mereka. Anda akan melihat ramai orang bertelanjang kaki [berkaki ayam] mempertahankan apa yang mereka kehendaki. Terdapat ramai orang berlumba-lumba membangunkan gedung-gedung mewah.
  2. Munculnya Ya’juj dan Ma’juj dimuka bumi ini, dan menjadi penguasanya. Para pengikutnya memakan segala hasil bumi, meminum air samudera. Kemudian Tuhan al-Haq mengirimkan badai amat dahsyat dalam satu malam, lalu semuanya tewas. Setelah itu, bumi menjadi subur dan dipenuhi tanaman yang menghasilkan buah-buahan sangat lebat dan baik. Justeru, semua manusia melafazkan banyak pujian dan kesyukuran terhadap Tuhan al-Jabbar.
  3. Munculnya binatang-binatang melata dari perut bumi. Allah berfirman, QS.27:82, bermaksud: ‘Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahawa, sesungguhnya, manusia dahulu tidak yakin kepada Ayat-Ayat Kami.’
  4. Munculnya Dajjal. Ia memiliki syurga disebelah kirinya dan neraka disebelah kanannya. Tertulis diantara kedua matanya Kafir dan Allah. Ia berkuasa melapar dan menghauskan manusia, hatta, manusia tidak mampu mendapatkan makanan dan minuman kecuali mendapatkannya daripada Dajjal tersebut. Setiap yang percaya dan tunduk kepadanya akan diberikan makanan dan minuman. Dajjal akan memasukkan orang-orang yang tidak percaya dan tunduk kepadanya kedalam neraka [dunia]nya. Disaat muncul Dajjal, kebanyakan manusia hanya memakan rerumputan dan dedaunan sehingga datangnya pertolongan Tuhan. Sementara itu, Dajjal terus melebarkan wilayah penguasaannya kepenjuru belahan bumi, kecuali wilayah Makkah dan Madinah. Kedua-dua wilayah ini yang merupakan taman hijau, tidaklah mampu ditembusi oleh Dajjal. Kemudian, Dajjal terus menuju kearah Baitul Maqdis [Palestina], dan terhenti diRamallah. Sehingga, Tuhan al-Haq menurunkan Nabi Isa a.s. disalah satu kubah diwilayah tersebut. Apabila Nabi Isa a.s. melihat Dajjal, ia terus mengejarnya lalu membunuhnya, dengan sebilah kapak yang dibawanya bersama.
  5. Muculnya Imam Mahdi a.s. Usianya sekitar empat puluhan. Hari-hari dilalui manusia bersamanya adalah penuh panorama kehijauan; malam-malamnya dipenuhi cahaya gemilang dan keindahan; buminya pula dipenuhi tanaman yang subur, berbuah lebat, penuh berkat. Manusia disaat itu hidup aman sejahtera, damai sentosa dan amat gigih dan giat beribadah kepada Tuhan ar-Rahmaan.
  6. Terbitnya sang Mentari dari tempat terbenamnya yakni, diarah Barat. Ibarat kembali Roh keMarkas pertamanya dan isyarat kembalinya urusan dunia keakhirat. Dengan ini juga bererti tertutupnya pintu taubat serapat-rapatnya, dan segala permohonan ampunan dan maaf manusia kepada Tuhan, disaat itu, tertolak dan tidak lagi dikabulkan Tuhan al-Ghafuur.   
Demikianlah diantara petanda-petanda tuntas yang dizahirkan oleh Allah SWT. mengisyaratkan saat-saat pengakhiran dunia, bahkan segala isi dan makhluk yang mendiami dan menghayatinya. Kendati, pertanda-pertanda tersebut berupa nuansa dan metafora, penulis berjanji akan, dengan segala daya dan upaya, dengan Qudrah dan Iradah Allah, membuat pencerahan keatas kejadian-kejadian tersebut, dalam risalah yang sama BHG.11. akan menyusul dibulan Ramadan Mubarak akan datang. Insya Allah Taala. Penulis juga akan mengajak para pembaca membuat tinjauan dan imbauan kealam kubur[barzakh].
5.PENUTUP
Segenap puji dan puja hanya bagi Allah, Dzat Maha Perkasa, yang dengan ‘decree’ kematian [kiamat], mengazab dan mematahkan leher-leher Firaun, Kisra, Kaisar silam, kaum Kuffar/Musyrikin, para bangsawan dan penguasa khianat dan durjana, mencantas helah atas nafsu dan hawa mereka, menghancur-leburkan angan dan cita, dan meranapkan lakuan kezaliman mereka, bahkan siapa sahaja, ketika ‘bertahta’! Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
Kecelakaanlah bagi hati yang lalai alpa, yang tidak pernah mengingat dan menjangka, kematian akan menerpa tiba. Keinginan mereka untuk hidup seribu tahun lama, dan disaat kematian memohon agar dikembalikan hidup semula didunia. Betapa tidaknya! Mereka dipindahkan dari keempukan peraduan  dan hamparan kemewahan ‘hidup istana’, ke-kengerian dan kesepian alam kuburan melata. Berpindah dari terang benderang dan keriangan ‘istana’ ke-kegelapan lahad penuh nista. Berpindah dari senda-gurau isteri-isteri, dayang-dayang dan anak-anak ke-keganasan jengking, ulat, kutu dan cacing. Dari keriuhan keakraban kerabat ke-kesunyian dan kesendirian. Dari rencam pemuas nafsu/selera ke-kegelimangan najis dan tanah kuburan; dan dari peristirehatan nyaman ke-pembaringan yang jengkil dan mengerikan!
Bagi Allah-lah segala kepujian dilangit maupun dibumi. BagiNya jua segala pujian diawal dan akhir!       
Semoga kesejahteraan, selawat dan salam khusus tercurah keatas RasulNya, pemegang kesucian dan kemurnian AgamaNya, pemilik mukjizat nyata, penakluk setiap penentang dan pemusnah segala penghalang. Selawat serta salam juga agar terlimpah keatas keluarga Ahlil Bait dan keatas para Sahabah unggul - bagi Rasul terunggul!

ALHAMDULILLAH. WABILLAHIT TAUFIQ
TABARAKALLAH RABBIL ALAMIN.
BLOG TN [BTN], MADRASATUL BAITUL ADAM [MBA], JUN, 2015.