Monday, September 29, 2014

BERSOLAT TETAPI MENJADI MUNAFIQ



BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM
ALHAMDULILLAH WASSOLATU WASSALAAMU 'ALA SAIDIL MURSALIN SAIDINA MUHAMMADIN MUSTAFA WAHATAMUN 'AMBIA WA ALIHI WAASHABIHI WABARIK WASALLIM.

Aduhai Sahabat.

AMMA BA'DU
Segala pujian hanya menjurus kepada Yang MahaTinggi, MahaMulia dan MahaSempurna. Yang memadukan setiap zarah dan molekul hingga membentuk semesta yang berwujud. Kendati diantara ciptaanNya mendapat paduan sempurna, sedang yang lain sebaliknya. Namun, MahaHikmah Tuhan Allah, menebarkan Hikmah keadilan sejak azali. Waima insan yang cukup kerdil, mampu meraih darjat keluhuran dan ketinggian yakni, kemampuan memperoleh pengertian Cahaya HidayahNya dalam ilmu dan ibadah dalam AgamaNya. Natijahnya, manusia mampu mematahkan segala kekangan dan kelemahan bagi mencapai darjat kemuliaan dan kemenangan!

1. MUKADDIMAH
Sungguh telah terlalu banyak perbincangan dan syarahan tentang Solat samaada didalam kitab-kitab dan buku-buku, malah paling rancak di riuhkan didalam dunia maya masakini! Ini suatu perkembangan yang sihat dan menggalakkan. Kerana umat wajib mengambil maklum akan kritis dan pentingnya ilmu pengetahuan tentang Hikmah solat bagi penyempurnaan ibadah teras; dan Ulama pula menyedari akan vakum serta kehausan jiwa-jiwa pencari ilmu agama tersebut. Justru, terhidanglah lambakan ragam santapan rohani dan jiwa, melingkari naskhah solat yang didambakan setiap umat!
Tetapi sejauh mana keberkesanan hidangan yang telah dipersembahkan, tidaklah penulis berhasrat untuk memberi tanda-aras. Pepatah inggeris mengatakan, 'water will find its own level,' maka, apa saja hidangan seterusnya pastilah akan memberi penambah-baikan, dan bukan sebaliknya! Insyaallah.
Kendati, umat harus lebih berwaspada menyaring, dan mentela'ah maklumat-maklumat yang dipersembahkan, dan jangan semberono mengamalkan dapatan-dapatan tanpa rujukan dan titipan Guru yang muktabar dalam ilmunya; agar tidak tersasar!

2. SOLAT TERSASAR
Hayati pantun berikut:
Anak Si-udang gantung; Cucu Si-udang galah; Mana tempat bergantung; Rujuklah Firman Allah.
'Yahdii ilalhaqqi wa ilaa toriiqim mustaqiim QS.46:30. Bermaksud:
'Kitab Alquran membimbing kepada kebenaran dan kepada Toriq yang lurus.' QS. 46:30.

'Afalaa yatadabbaruunal Quran?’ QS. 4:82. Bermaksud:
'Tidakkah mereka mentadabbur [ mendalami/menghayati] Al-Quran.'
'Dan Dia menentukan RahmatNya kepada siapa yang Dia kehendaki . Dan Dia memiliki kurnia yang besar.' QS. 3:74.
'Petunjuk dan Rahmat untuk orang-orang yang takut kepada Tuhannya.' QS. 7:154.
Sambungan pantun seterusnya: 
Layang-layang terbang melayang; Jatuh sebuah kedalam telaga; Beribu tahun kita bersembahyang; Masuk juga kedalam Neraka!'
Buah bacang buah betik; Mari dipotong oleh Pak Dollah; Apakah sembahyang menjadi munafiq; Silalah tadabbur Firman Allah!
' Innal munaafiqiina yuhaadi 'unallah, wa huwa haa di'uhum, wa izaa qaamuu ilassolaati, qaamuu kusaalaa yuraauu nannasa, wala yazkuruu nallaha illaa qoliila.' QS. 4:142 dan 145.
'Innal munaafiqiina fiddarkil asfali minannari. Walan tajida lahum nasiira.'
Bermaksud:
'Sesungguhnya orang-orang munafiq itu hendak menipu Allah [dengan menampakkan keimanan], tetapi Allahlah yang menipu mereka [tak menyeksa didunia]. Apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka lakukan dengan malas. Mereka bermaksud riya' [ingin dipuji/mempamir/megah] dihadapan manusia. Dan mereka TIDAK MENGINGAT ALLAH, KECUALI SEDIKIT SEKALI.'
'Sungguh orang-orang munafiq itu, [ditempatkan] pada tingkatan yang paling bawah dari Neraka. Dan kamu tidak mendapat seorang penolong pun bagi mereka.'
Rasulullah bersabda:
‘Tilka solatul munaafiq, tilka solatul munaafiq, tilka solatul munaafiq… Bermaksud:
‘Itulah sembahyang orang munafiq. Itulah sembahyang orang munafiq. Itulah sembahyang orang munafiq. Dia duduk sambil menantikan matahari sampai masuk kedua tanduk syaitan, berdiri dan tunduk empat kali; tidak mengingati Allah dalam sembahyangnya melainkan sedikit.’
'Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir diNeraka Jahanam.' QS. 4:140.

3. PENCERAHAN
Ayat-ayat diatas bukan ditujukan kepada orang-orang kafir tetapi kepada orang-orang Muslim [Islam] sendiri. Padahnya apabila kita mengaku orang Islam tetapi laku ibadah solat kita tidak menepati piawaian ciri-ciri solat yang digariskan Allah SWT. dan Rasulullah saw.
Perhatikan, betapa begitu mudahnya seseorang itu tergelincir menjadi munafiq, apabila seseorang itu, walau betapa 'alim, wara' dan gigihnya melaksanakan perintah bersolat, namun andai tidak mencapai maqam 'khusyu' dalam solat, maka sebenarnya ia sedang menuju kebinasaan! Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
Hendaknya anda termasuk dalam kategori pemikir yang kreatif dan serius. Tidak hanya mementingkan kuantiti mengatasi kualiti,seperti lazim dipraktik khalayak. Gigih melakukan pelbagai solat sunnat, seperti Tahajjud, Hajat, Dhuha dsbnya, hanya bertujuan pribadi, seperti mengharapkan habuan dunia semata-mata [menjadi kaya, naik pangkat, cari jodoh,dsb]. Tidakkah Tuhan itu lebih mengetahui dari kita sendiri tentang apa yang lebih baik bagi kita tanpa kita memaksakan keatasNya? Tidakkah ‘blueprint’setiap diri telah lama tersedia di Loh Mahfudz Tuhan?! Sebaliknya, bukankah lebih kritis kita memikirkan bagaimana mencapai tahap ‘KHUSYU’ dalam solat kita? Apakah bahayanya andai bersolat tanpa khusyu’? Maaf.Tiada hadiah bagi jawapan yang betul!
Terdapat empat [4] ciri-ciri kemunafiqkan didalam ayat tersebut , seperti berikut:
1.Menipu Allah SWT.
2.Bersifat malas hendak bersolat;
3.Bersifat riya', megah dan menunjuk-nunjuk apabila bersolat;
4.Tidak BERDZIKIR atau mengingat Allah didalam bersolat melainkan sedikit sekali.

4. SOLAT ITU DZIKIR
Apakah sebenarnya tujuan Tuhan memerintahkan manusia Muslim agar bersolat? Sila rujuk:
'Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan [yang Hak] selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat [dzikir] kepadaKu.’ QS.20:14.
Tuntas, esensi dalam bersolat adalah DZIKIR. Muktamad! Tanpa dzikir, solat tidak dinamakan solat! Betapa penting lagi kritis elemen dzikir ini sehingga sedikit-sedikit dzikir sudah dilabel Tuhan dan Rasulullah saw. sebagai munafiq, apa lagi jika langsung tiada dzikir didalam solat! Pantas rupa-rupanya kebanyakkan kita, selama ini sepanjang usia kita, hanya berdiri bersolat dan bukannya ‘mendirikan solat’!
Maka Tuhan menggariskan hukuman bagi mereka yang lalai, tidak khusyu’ dan tidak dzikir sewaktu bersolat; dan juga hukuman bagi yang tiada langsung melaksanakan solat , dalam firman berikut:
‘Maka celakalah orang-orang yang bersolat; [yaitu] orang-orang yang lalai [tidak dzikir, khusyu’] dalam solatnya.’ QS.107:4-5.
‘Apa yang menyebabkan kamu masuk kedalam [neraka] Saqar?’ Mereka menjawab, ‘Dahulu kami tidak termasuk orang-orang yang melaksanakan solat.’ QS. 74:42-43.

Nah! Justru, hendaknya semua orang-orang Islam bergegas mendapatkan formula ‘DZIKIR’ dalam solat, agar rukun teras dalam agama Islam ini lantas disempurnakan, agar terhindar dari selaran dan kutukan Allah SWT. Waiyazubillah!
Hendaknya kita mencapai sasaran solat seperti disebut Allah SWT. didalam firmanNya, QS. 23:1-2.
‘Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,[yaitu] orang-orang yang khusyu’ dalam solatnya.’
Hakikatnya, hal ini tidaklah semudah yang disangkakan. Namun, penulis tidaklah berhasrat membuat pembentangan diruang lingkup yang terhad ini, kerana perkara ini lebih bersifat interaktif bagi memperoleh natijah yang rinci dan sempurna.

5. ASAL USUL PENGERTIAN MUNAFIQ – ISTILAH NIFAQ
Al-Jarjani, dalam al-Ta’rifat, Qahirah, menyatakan, nifaq itu bererti melahirkan iman dengan lidah dan menyembunyikan kufur didalam hati.
Ibnu Mansur, dalam Lisan al-Arab, Dar al-Fikr, Qahirah, pula berkata: ‘Satu bahagian masuk Islam dan satu bahagian lagi keluar Islam atau merahsiakan kufur tetapi melahirkan iman.’
Pengertian ‘munafiq’ pada istilah Syar’I ialah menzahirkan sesuatu yang lain daripada apa yang ada didalam hati serta merahsiakannya. Sekiranya perkara yang dirahsiakan itu mendustakan ciri-ciri dan usul Iman, maka ini adalah darjat munafiq tulin dan kafir; pastinya, menuntut hukum dan azab yang lebih berat diakhirat kelak, kerana muslihat serta penipuan kepada orang-orang Islam dan Mu’min. Rujuk semula QS.4:145.  
Jika perkara yang dirahsiakan itu tidak berupa kekafiran terhadap Allah SWT., RasulNya dan kitabNya, maka ini hanyalah merupakan maksiat kepada Allah SWT, dan termasuk antara cabang-cabang ‘Nifaq’.
KEMUNCULAN MUNAFIQ
Golongan munafiq ini lahir diMadinah sebagai respons terhadap penghijrahan Rasulullah saw. dan para Muhajirin dari Makkah. Golongan ini tidak senang, bimbang dan merasa takut dengan kehadhiran, kuasa dan kekuatan Rasulullah dan kaum muslimin. Pemimpin golongan ini diMadinah bernama Abdullah bin Ubay. Terdapat beberapa peristiwa bagaimana golongan munafiq ini menimbulkan onar dan permasalahan dalam perjuangan kaum Muslimin. Antaranya, semasa tercetus Perang Uhud, Abdullah bin Ubay telah pergi berperang bersama Rasulullah saw. tetapi baru separuh jalan Abdullah bin Ubay, bersama 300 orang tentera telah berpatah balik keMadinah, dan enggan berperang! Peristiwa al-Ifqi, yakni fitnah terhadap Saidatina Siti Aisyah, adalah juga dicetuskan oleh golongan munafiq tersebut.   

6. PERKARA-PERKARA LAIN YANG MEMBENIH DAN MENCETUSKAN SIFAT-SIFAT MUNAFIQ
Terdapat banyak lagi perkara-perkara atau keadaan-keadaan yang boleh menggelincirkan seseorang itu sehingga termasuk kedalam golongan munafiq. Antaranya adalah seperti berikut:

6.1.PENYAKIT HATI
Penyakit hati yang merupakan sifat-sifat Mazmumah yang berragam [PHD], menjurus kepada munafiq. Sifat-sifat ini amat bersemarak didalam diri setiap manusia, ibarat api didalam sekam, yang tanpa kendalian akan akhirnya membakar diri!
‘Didalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit itu, dan bagi mereka azab yang pedih disebabkan mereka berdusta.’ QS.2:10.

6.2.BERBUAT KEROSAKAN DIATAS MUKA BUMI
‘Apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu berbuat kerosakan dimuka bumi ini, maka jawab mereka:’ hanyasanya kami berbuat kebaikan.’ Ketahuilah, sesungguhnya mereka itu benar-benar berbuat kerosakan tetapi mereka tidak menyedari.’ ‘QS.2:11-12.

6.3.TUDUHAN BODOH KEPADA ORANG-ORANG BERIMAN
‘Apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu seperti manusia lain beriman, mereka berkata: ‘Masakan kami akan beriman seperti orang-orang bodoh itu beriman?’ Ketahuilah, sesungguhnya mereka itulah yang sebenar-benarnya bodoh, tetapi mereka tidak mengetahuinya.’ QS.2:13. 

6.4.BERDUSTA, TAKUT DAN MEMBENCI ORANG MUSLIM
‘Dari mereka [orang-orang munafiq] bersumpah dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya mereka termasuk golonganmu, padahal mereka bukan dari golonganmu. Akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat takut kepadamu. Jika mereka beroleh tempat perlindungan atau gua-gua atau lubang-lubang [dalam tanah], nescaya mereka akan pergi [lari] dengan secepat-cepatnya.’ QS.9:56-57.
Antara sifat-sifat munafiq termasuk juga berdusta dan bersumpah palsu. Ini dinyatakan oleh Rasulullah saw. dalam sebuah haditsnya, bermaksud:
‘Tanda orang munafiq itu tiga [3] perkara: Apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat.’

6.5.MENYURUH BERBUAT MUNGKAR DAN MENCEGAH KEBAIKAN
‘Orang-orang munafiq lelaki dan munafiq perempuan, satu dengan yang lain adalah [sama], mereka menyuruh [berbuat] mungkar dan mencegah berbuat yang makruf; dan mereka menggenggam tangan [bakhil bin kedekut]. Mereka lupa akan Allah, kerana itu Allah lupakan mereka pula. Sesungguhnya orang-orang munafiq itu adalah orang-orang yang fasiq.’ QS.9:67.

6.6.MEMBUAT BENCANA DIKALANGAN KAUM MUSLIMIN
‘ Sekiranya [mereka berangkat bersamamu], tidaklah mereka menambah [kekuatanmu] selain dari membuat kekacauan. Dan tentu mereka akan bergegas maju kedepan, dicelah-celah barisanmu, untuk menerbitkan kekacauan diantara kamu ; sedangkan diantara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan [perkataan] mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.’QS.9:47.

6.7.MENGHASUT MUSLIM JANGAN BERJIHAD
‘Orang-orang yang ditinggalkan [tidak ikut berperang], merasa gembira dengan duduk-duduk diam sepeninggallan Rasulullah. Mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka dijalan Allah dan mereka berkata, ‘Janganlah kamu berangkat [pergi berperang] dalam panas terik ini.’ Katakanlah [Muhammad], ‘Api neraka Jahanam lebih panas,’ jika mereka mengetahui.’ QS.9:81.

6.8.BERPURA BAIK TETAPI PEROSAK
‘Setengah manusia ada yang engkau kagum mendengar perbicaraannya [yang lemah lembut]],tentang kehidupan dunia; dan dia mempersaksikan kepada Allah apa yang ada didalam hatinya, sedangkan dia sebesar-besar musuh engkau. Dan apabila dia berpaling [dari engkau], dia berusaha untuk berbuat kerosakan dibumi , serta merosak tanam-tanaman dan ternakan, sedang Allah tidak menyukai kerosakan.’ QS.2:204-205.

6.9.BERSUBAHAT DENGAN PARA KUFFAR
‘Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq itu bahawa mereka akan mendapat siksa yang pedih [yaitu], orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman [pemimpin] mereka dengan meninggalkan orang-orang Mu’min. Apakah mereka mencari kekuatan disisi orang-orang kafir itu? Ketahuilah bahawa segala kekuatan itu milik Allah. Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan [ketentuan] bagimu didalam Kitab [Alquran] bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan [oleh para kuffar] , maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka memasuki perbicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya, [jika kamu berbuat demikian], kamu tentulah serupa dengan mereka. Sesungguhnya, Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir didalam neraka Jahannam.’ QS.4:138-140

6.10.BERHAKIMKAN TOGHUT
‘Tidakkah engkau [Muhammad] memperhatikan orang-orang yang mengakui diri mereka telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu? Mereka hendak berhakim kepada Toghut, walhal mereka telah diperintahkan mengingkari Toghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka [dengan] penyesatan sejauh-jauhnya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Marilah [patuh] kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum-hukum Rasul,’ nescaya engkau [Muhammad] melihat orang-orang munafiq menghalangi [manusia] dengan kerasnya dari mendekati mu.’ QS.4:60-61.

6.11.PEMBOHONGAN DAN MUNGKIR JANJI
‘Dan diantara mereka ada yang telah berikrar kepada Allah:’ Sesungguhnya, jika Allah memberikan sebahagian KurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh.’ Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaanNya, mereka menjadi kikir [bakhil/kedekut] dengan kurniaan itu, lalu berpaling; dan mereka memanglah orang-orang yang selalu menentang [kebenaran]. Maka Allah mencetuskan kemunafiqan pada hati mereka sampai kepada waktu mereka menemui Allah; kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepadaNya, [juga] kerana mereka selalu berdusta.’ QS.9:75-77.

6.12.MENCELA ORANG-ORANG MU’MIN
‘Orang-orang munafiq itu ialah orang-orang yang mencela orang-orang Mu’min yang memberi sedekah  dengan sukarela, dan mencela orang-orang yang tidak memperoleh [untuk disedekahkan] selain sekadar kesanggupannya; maka orang-orang munafiq itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu. Dan untuk mereka azab yang pedih.’ QS:9:79.

6.13.MENCIPTA BENCANA TERHADAP KAUM MU’MIN
‘Dan [diantara orang-orang munafiq itu] ada orang-orang yang mendirikan mesjid untuk menimbulkan bencana [kepada orang-orang Mu’min] dan kerana kekafirannya, dan untuk memecah-belahkan antara orang-orang Mu’min, serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Pasti mereka sesungguhnya bersumpah: ‘Kami tidak menghendaki selain kebaikan.’ Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta [dalam sumpahnya]. Janganlah kamu bersembahyang didalam mesjid itu buat selama-lamanya. Sesungguhnya mesjid yang didirikan atas dasar Taqwa [Mesjid Quba’] sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang didalamnya. Didalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.’ QS.9:107-108.

7. PEMBALASAN ALLAH SWT.
Allah SWT. telah mengutuk dan menjanjikan balasan azab yang pedih terhadap kaum munafiq, yang dahulu, maupun yang sekarang. Sila rujuk firmanNya seperti berikut:
1.’Sesunguhnya Allah akan menghimpun semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir didalam neraka semuanya.’QS.4:140.
2.’Allah menjanjikan [mengancam] orang-orang munafiq lelaki dan perempuan dan orang-orang kafir, dengan neraka Jahannam; mereka kekal didalamnya. Cukuplah [neraka] itu bagi mereka. Allah Melaknat mereka, dan bagi mereka azab yang kekal.’ QS.9:68. 
3.’Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan [jenazah] seseorang yang mati diantara mereka , [orang-orang munafiq], dan janganlah kamu berdiri [mendoakan] diatas kuburnya. Sesungguhnya, mereka telah kafir kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati dalam keadaan fasiq.’QS.9:84.

8. TERAKHIR, PESANAN KRITIS BAGI SEMUA MUSLIMIN
Seharusnya setiap kita memahami, mengawasi dan memelihara Iman/Aqidah dan lakuan segala ibadah berserta Hikmah-Hikmahnya, sekali-gus menjadikan diri kita sebagai orang-orang yang benar-benar berTaqwa kepada Allah SWT. Tidak ada kata dua atau kompromi dalam permasalahan ini!
Kerana diakhir zaman mutakhir kini, kala berdepan asakan cabaran hidup, adalah teramat mudah bagi umat Muhammad menukar [‘iktikad] silih berganti antara Iman dan kufur atau munafiq, hanya dalam satu hari! Nah! Perhatikan pula, betapa ramai manusia yang sanggup menukar agama demi kepentingan duniawi, seperti, memburu harTa, tahTa, waniTa, dsbnya.
Rasulullah bersaba, bermaksud:
‘Segeralah kamu dengan amalan-amalan soleh ; fitnah akan berlaku seperti sepotong malam yang kelam; pagi seorang lelaki [dan perempuan] itu menjadi Mu’min, dan petangnya menjadi kafir; petangnya menjadi Mu’min, dan paginya menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan mata-benda dari dunia.’HR.Muslim.
Kegelinciran aqidah amatlah sukar dikesan dan disadari kerana apabila ia berlaku tiada isyarat yang menyertainya. Hanya saja, apabila ia terjadi, kelihatan tanda-tanda seperti bengkak dan lebam dimuka dan dahi, patah tangan atau kaki, tubuh berbau, dsbnya, maka mudahlah kita menghindarinya!
Namun, dengan mengetahui dan memahami akar dan punca-punca kegelinciran Iman dan Aqidah serta menjauhi sifat-sifat kafir dan munafiq, dapatlah kita [insyaallah] menghindar diri dari kebinasaan total dan kekal, didunia maupun diakhirat. Amin Ya Rabbal ‘alamin!
Perhatikan dan cerapkan lantunan firman-firman Allah, seperti berikut:
‘Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah.’ QS.57:16.
‘Barangsiapa yang kafir setelah beriman maka sungguh, hapuslah amalannya, dan diakhirat, dia termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.’QS.5:5.
‘Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu adalah sebaik-baik makhluk.’ QS.98:7.

ALHAMDULILLAH.
LAA HAULA WALAA QUWWATA ILLAA BILLAH.
WABILLAHIT TAUFIQ. TABARAKALLAHU RABBAL ‘ALAMIN.
       
BLOG TN, BAITUL ADAM, MALAYSIA.27 SEPTEMBER, 2014.