Monday, October 6, 2014

KEMELUT TARIKAT



KEMELUT ISU TARIKATUSUFIYYAH [TARIKAT/TASAWWUF] -TENTANGAN DAN HUJAHAN

BISMILLAA HIRRAHMAA NIRRAHIM.

ALAHAI SAHABAT!

Alhamdulillaah wassolatu wassalamu 'ala Saiyydina Muhammadin Syamsil Huda, wa 'ala alihi wa ashabihi Nujuumil ihtidaa. Bermula segala puji bagi Allah SWT., Rahmat sejahtera atas Muhammad, Matahari Petunjuk, dan atas Keluarga dan para Sahabat, Bintang-Bintang Petunjuk!

Segala Keagungan, Kemuliaan dan Kesucian adalah milik Allah, Sang Maha Pencipta, semata-mata. Justru, tiada henti-henti lisan para kekasihNya melafaz syukur , membisik dan membingkis syahdu rindu, sambil merangkul kurnia rahmatNya. Begitulah juga seluruh jagad raya, gunung-ganang, pepohon, dedaunan dan ombak, seluruhnya menyata dan menyucikan indah NamaNya!

Betapa. Dialah pemilik segala! Utama, Dia Pemilik Cahaya yang memercikkan cahaya Marifah kepada para kekasihNya. Dia, Penggenggam rahsia semesta raya, Pembuka jalur hijab, Penabur benih rahsia didalam hati dan wadah mereka, yang tiadakan pernah meluput NamaNya.
‘Allah itu Wali [Pelindung] bagi orang-orang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya [Iman].’QS. 2:257.

Melalui Cintakasih dan KedermawananNya, Tuhan mengurniakan IhsanNya kepada insan, sebagai pemangku rahsia semesta dan penyimpan khazanah hikmah. Demikian, KhalifahNya mampu menerima dan memahami kalam firmanNya yang suci, sebagai penuntun sebaik-baik ciptaan. Dari lara dan bongkah tanah dan lumpur, manusia pilihan mampu menggapai kembali kemuliaan yang semula adalah menjadi haknya. 

Mereka-mereka yang beruntung ini, sebagai gudang rahsia dan amanat Ilahi, demikian diutus Tuhan, sehingga mata-mata yang buta, telinga-telinga yang tuli, hati-hati yang mati dan tercela, tak mampu memandang dan tak kuasa memaham. Kendati, utusan Tuhan ini adalah penyuluh, penyelamat dan penambat hati-hati luruh dan luluh kepada Tuhan mereka, lewat jalur tata-cara yang tak mudah dilakar tinta!   
‘Ana ‘indal munkasarati quluubuhum min ajali’ bermaksud:
‘Akulah pada orang-orang yang pecah-luluh hati mereka itu dari kerana Aku.’ Hadits Qudsi.

AMMA BA'DU

1. MUKADDIMAH

Dalam naskhah kali ini penulis, tanpa lelah, bosan dan jemu-jemu, tuntas mengupas lagi, membuat analisis lagi, bagi merungkai kemelut dan berragam permasalahan, termasuk pelbagai tuduhan dan tohmahan, masih berkeliaran dan membelenggu, yang sengaja diada-adakan dan dilontarkan terhadap ajaran ilmu TarikatTasawwuf yang, demi Allah, masih wujud subur, segar dan bugar, ditengah-tengah ummah manusia, dahulu, kini dan selamanya; [walau karihal musyrikuuna wal kaafiruun!]; ibarat sinar benderang cahaya Sang Mentari, yang tidak akan pernah ada biji mata manapun, yang mampu menolak dan menafikan benderang kemilau cahayanya! Kerana cahayaNya adalah Petunjuk, Rahmat, Cinta-Kasih dan kehidupan. Tanpanya, hanyalah suatu kematian yang pasti! Subhaanallaah!

Tema demikian walaupun telah sering penulis sentuh atau hujahkan dalam naskhah-naskhah sebelum ini, namun ia kerap dan masih menuntut pencerahan dan hujahan terusan dan berkekalan; kerana minda-massa, sifatnya, ragu, gelisah dan memerlukan nutrisi penawar dan kepuasan berterusan! Semoga umat, dengan demikian beroleh istiqamah!

Namun demikian, bagi pihak pendiri, penggiat dan pejuang gagasan TarikatuSufiyyah, mereka tidak sekali-kali merasa berkecil hati, jauh sekali terbungkam dan berputus asa dengan hentaman, desakan dan asakan pihak lawan, yang memilih untuk tidak menerima TarikatTasawwuf sebagai bahagian integral Agama Islam, demi alasan-alasan reka-cipta mereka sendiri; walaupun telah wujud pembuktian ampuh berserta nas, dalil dan burhan. Kerana, hakikatnya, persembahan ilmu TarikatTasawwuf itu bersusun, bersusur-galur, bernasab, bersanad, bersilsilah dan bermuara keRasulullah saw., Jibril dan Allah Azza wajalla jua.
Sekali lagi dipihak penggiat, pembela dan pejuang barisan TarikatuSufiyyah, diharapkan hendaklah terus bersabar, beristiqamah dan berlapang dada, diatas premis: Ibarat padi yang sifatnya berkulit berantah, andai tidak bertubi-tubi diasak, dibidas dan ditumbuk, masakan bisa beroleh beras yang putih, jernih, wangi, bersih dan enak dimakan! Nah! Sayugia itulah natijah dan Hakikat Ilmu TarikatTasawwuf! Fahamkan benar-benar! 

2. ISU-ISU DAN FAKTOR-FAKTOR TENTANGAN

Kebanyakan isu-isu dan faktor sanggahan terhadap ilmu dan ajaran TarikatTasawwuf tidak didukung dan disandarkan kepada nas sahih, melainkan bersifat su’uzzhan, prasangka, prejudis, dan ‘malafide’; antaranya adalah seperti berikut:

2.1 TIADA ILMU [KEPAKARAN] DAN KEAHLIAN

Lazimnya, bantahan dan tentangan terhadap ilmu TarikatTasawwuf ini terbit dari kalangan mereka yang diluar lingkungan seperti, ahli Fekah [Fiqh, Faqih, Fuqaha,’ustaz moden’], akademik, jahiliyah, dsbnya. Faktor dan titik kebersamaan mereka ialah kejahilan dan tiada keahlian [Maaf: Fools seldom differ]. Adalah sesuatu yang mustahil, bahkan bahlul bagi seseorang memberi komentar tentang sesuatu yang bukan termasuk bidang keahliannya atau pun tidak memiliki ilmu pengetahuan yang benar lagi sahih! Ibarat pesakit kronik [tenat], walaupun ia sedar akan keperlukan rawatan dari seorang pakar perubatan [Doktor], namun, memilih untuk terlebih dahulu, mempersoalkan kelayakan; kaedah, teknik rawatan dan ubatan preskripsi yang akan diterimanya; sedangkan itulah satu-satunya, yang bakal menjadi penyelamat nyawanya!

2.2 JUMUD MINDA, SEMPIT DADA, IRI HATI DAN PRASANGKA

Para pemerotes mendapati ajaran ilmu dan amalan TarikatTasawwuf itu terlalu pelik dari segi pemahaman sempit dan jumudnya minda mereka untuk menerima sebarang kelainan, diluar kotak pemikiran dan amalan. Bahkan semua bidang ilmu pun, yang diluar batas pengetahuan dan penguasaan kita seperti kedoktoran, quantum fisiks, kajian astronomi, bimasakti dan galaksi, roket sains, dsbnya, sesungguhnya adalah wilayah kebodohan bagi yang bukan ahlinya! Ini suatu fakta yang bisa diterima oleh semua orang. Namun, tidak sekali-kali dengan bidang ilmuTarikatTasawwuf; tokoh-tokoh pes[t]simis dan hero Agama ini [baca: ‘ustaz-ustaz moden’], akan terus-terusan berkokok, cuba mencungkil dan mencari-cari andai terdapat sebarang keaiban atau kelemahan, lalu mencipta ragam fitnah, dan cuba membatalkan nya. Jika kail panjang sejengkal, betapa lautan ingin diduga! Misalnya, dalam suatu ceramah, seorang ustaz ‘tersohor’ telah ditanya samaada Tarikat wujud didalam agama. Jika benar, bolehkah Tarikat Naqsyabandiyah diterima? Ujar ustaz ‘cerdik’ ini: ‘Kalau Tarikat-Tarikat dahulu yang diamal para Sufi dahulu memang wujud, benar dan boleh diamalkan. Tetapi dizaman sekarang, tidak dengan Tarikat Naqsyabandiyah. Ia diharamkan.’
Andai saja ustaz ‘cerdik’ ini melakukan sedikit penyelidikan dan pembetulan fakta, bahawa Tarikat Naqsyabandiyah bukan lahir semalam! Ia adalah Tarikat usul dan pertama-tama lahir dari Rasulullah saw. dan paling awal diamal oleh empat Sahabat dan para Sufi; keasliannya tetap dipelihara; kemudian baru lah lahir berragamTarikat-Tarikat yang lain! Dewasa ini, dari ijma’ para Syaikh Tarikatusufiyyah, terdapat hanya 41 buah Tarikat muktabar , diseluruh dunia. Noktah.

Antara lain, terdapat juga perasaan iri hati, kerana didalam disiplin ilmu, ‘berBaiat’ dan bersanad, amalan dan ajaran TarikatTasawwuf, semua yang berada didalam lingkungan, baik Guru Mursyid mahupun para pengikut dan ahlinya, sangat menerapkan disiplin akhlak yang tinggi lagi mulia, menjulang amanah dan kemuliaan serta jihad ilmu, mera'ikan keakraban ukhuwah Islamiyah dengan penuh kesetiaan dan kasih sayang, memantapkan hormat dan khidmat lingkungan, dan amat jitu semangat dan ketekunan penuntutan. Semua ciri-ciri tersebut berbunyi agak asing bagi yang diluar lingkungan! Justru, hairankah jika ramai menolak dan menganggap ajaran ilmu TarikatTasawwuf sebagai karut, mengada-ngada [bid’ah] dan mustahil? Sila rujuk QS: 48:10. Dan fahamkan!

Seterusnya, pihak anti-TarkatuSufiyyah juga merasa iri hati, dan bimbang kalau-kalau mereka tidak mendapat tempat didalam Syurga Allah kelak, kerana Syurga hanya akan dipenuhi oleh para Sufi dan ahli-ahli TarikatTasawwuf sahaja. Mereka menyangka bahawa Syurga Allah itu terlalu kecil untuk semua! Syurga yang dicipta Allah itu tidaklah sempit, malah cukup untuk sekelian jemaah, Sufi ataupun bukan! Jemaah Sufi tidak akan pernah bersikap iri hati, hasad dan dengki terhadap khalayak Jemaah yang lain. Sebaliknya, mereka sering saja bermunajat dan mendoakan kemaslahatan, agar mendapat redha dan ampunan Tuhan bagi seluruh Ummah!    

2.3 SIFAT TIADA DISIPLIN AMAL DAN MALAS BERAMAL

Kebanyakan manusia memilih untuk berada didalam zon selesa. Mereka mudah berpuas hati dengan sistem kepercayaan yang mereka warisi tanpa ingin mencabar kesahihan dan kedalaman ilmu dan kepercayaan mereka. Terutama dalam bidang agama, adalah teramat perlu dan mustahak bagi setiap orang yang mengaku dan berpegang kepada Kalimah Syahadah [Kalimatul Haq], untuk mendalami pemahaman dan mengemaskini pengertian anutannya dengan tahkik dan jitu. Tidak ada opsyen dan kompromi dalam hal ini. Fahamkan benar-benar!  

Ujar mereka, ‘Islam itu mudah, Tuhan pula bersifat Pengasih dan Penyayang; justru, kenapa perlu bersusah payah beramal dan berdzikir. Lupakan sahajalah nak belajar TarikatTasawwuf. Itu sudah pergi jauh sangat. Cukuplah dengan solat lima waktu dan dzikir lazim 33 kali; amalkan serba sedikit wirid/aurad Mathurat, itu sudah layak nak masuk syurga!’ Betapa bebal dan dangkalnya hujahan tersebut?! Disisi yang lain mereka amat kemarukkan serba-serbi dalam bilangan yang banyak dalam hal memburu harta, tahta, wanita dll, namun, untuk ilmu dan amal, memadailah dengan yang seminima mungkin! Aneh tetapi benar! Nah! Ketuklah pintu hati anda, tanya dan buktikan bahawa anda bukan dari spesimen demikian! Atau jadilah spesimen dinasaur yang telah lama pupus!   

2.4 MATI HATI, MATI JIWA DAN TIADA PETUNJUK

Orang yang mati hati dan jiwa akan menjadi kufur; yang lalai dan alpa menjadi musyrik; yang ragu menjadi munafiq. Yang bermaksiat menjadi fasiq. Yang hidup hanyalah orang yang berMarifah [ahli Tarikatusufiyyah], kerana hidupnya hati mereka melalui Marifahkan Tuhan Allah Azza wajalla; dan dengan matinya kebodohan, yakni berpalingnya hati mereka dari selain Tuhan!
Melalui Taufiq dan Hidayah [petunjuk], Allah memilih sesiapa yang akan bakal menerima kurnia dan anugerahNya.
‘Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu pada hal itu baik bagimu.’ QS.2:216.
‘Dan tiadalah kehendak kamu melainkan kehendak Allah jua.’ QS. 76:30.

2.5 BUTA MATA VS BUTA HATI

Sila perhatikan firman Allah, QS.17:72, bermaksud:
‘Barangsiapa yang buta didunia ini, ia akan lebih buta [pula] diakhirat, bahkan lebih sesat lagi.’
Perhatikan pula QS. 22:46, bermaksud:
‘Kerana sesungguhnya, bukanlah mata itu yang buta tetapi yang buta ialah hati yang didalam dada.’
Beruntunglah manusia yang memanfaatkan kurniaan indera yang lima, seoptimal mungkin. Kurniaan penglihatan adalah bagi manusia agar tidak sekali-kali berpaling; bahkan, melihat ayat-ayat, dan bukti-bukti wujudnya Tuhan, lalu mera’i dan membesarkanNya, lantas bertabaruk, bertadharuk, bertawadhuk dan berubudiyah kepadaNya!

‘Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.’ QS.20:124.
Alquran, secara jelas dan nyata, tanpa lelah, menyebut perkataan ‘Tarikat’ itu berulang kali didalamnya, kenapa ramai masih terkaburi? Lantas berulang kali pula Allah SWT. menghamburkan pertanyaan demi pertanyaan, seperti: LAA YA’QILUUN, LAA YATAFAQQARUUN, LAA YA’LAMUUN, LAA YUBSIRUUN, LAA YATADABBARUUN dll! Laa, faham ataupun buat-buat tak faham!  
‘Bumi ini dipenuhi pertandaan bagi orang-orang yang yakin. Juga didalam dirimu sendiri, kenapakah tiada kamu lihat/perhatikan?’ QS.20:21.

‘Sesungguhnya, orang-orang yang tidak mengharapkan [tidak percaya akan] pertemuan denganKami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan [penghidupan] itu, dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat [Kam], mereka itu tempatnya diNeraka kerana apa yang telah mereka lakukan.’QS.10:7-8. 

Sungguh, segala jawapan ada didalam lubuk hati dan nurani, yakni lubuk Qudrah Iradah ilahi! Ubahlah paragdigma diri! Bermula dari saat ini!    

3. PENCERAHAN LANJUT

Ulama Fekah [Fiqh,Syariat] sering lupa bahawa, pengamal atau ahli TarikatTasawwuf bermula dari bawah, dengan ilmu Fekah dan Syariat, seperti mereka juga. Hanya, apabila mereka telah mendalami dan menguasai ilmu Fiqh/Syariat tersebut, dalam suatu jangka masa, baharulah mereka beranjak dan mendalami pula ilmu Hakikat dalam bidang TarikatTasawwuf, kerana ilmu ini juga termasuk dalam rangkaian 3 ilmu teras dan pokok, yakni [Usuluddin/Tauhid, Fekah dan Tasawwuf/Ihsan] yang wajib bagi setiap orang Islam. Nah! Kok masih mahu manyangkal? Dengan demikian, ahli TarikatTasawwf sebenarnya memiliki lebih ilmu dari saudara-saudara mereka yang lain, yang hanya sibuk berfiqih bersyariat, sampai tua, seumur hidup! Pohonlah Hidayah ayyuhal Muslimin!

Suatu perbandingan. Makhluk Allah seperti cacing dan ulat-ulat melata yang hidup didalam tanah tidak dikurniakan dengan mata dan telinga seperti manusia dan makhluk-makhluk lain. Begitu juga dengan makhluk seperti kelawar, keluang dll, yang tidak dibekalkan penglihatan oleh Tuhan. Bukanlah Tuhan itu kekurangan stok mata dan telinga atau Dia bersifat kikir! Tetapi, Maha cerdik dan Berhikmahnya Allah, anggota-anggota tersebut tidak diperlukan didalam alam kehidupan makhluk-makhluk tersebut!

Maka dalam pemaknaan yang serupa, Allah tidak pula mengurniakan indera rohani, seperti anggota-anggota telinga rohani, mata hati dan nurani kepada spesimen manusia [homo sapien[, yang rutin kehidupan mereka hanya bersifat duniawi semata-mata! Kecuali, biiznillah, jika mereka berjaya meraih Hidayah Allah dan ber-inabah kepada Allah. Fahamkan benar-benar!

4.KESIMPULAN

Penulis amat hairan sekali apabila para Qurra dan Hufaz, yang ghalib dan intim dengan naskhah Alquran berbanding dengan orang-orang kebanyakan, tetapi tidak memiliki pemahaman yang cukup ampuh tentang hikmah, maksud dan pengertian sebenar, kandungan Alquran. Ya. Ramai yang amat mahir bertaranum, melagukan bentuk Alquran dengan benar, mahrajal huruf dan tajwid yang tepat, tetapi tidak atau kurang mahir tentang takwilan, mentadabburkan makna dan maksudnya. Seolah-olah kemahiran qiraat membaca dan hafazan Alquran itu adalah jauh lebih penting dari merasakan sentuhan lazat dari ‘ROH’ Alquran dalam pembacaan, memahamkan dan mengaplikasikan ragam perintah dan anjurannya, bagi tujuan menyampaikan amanat Tuhan serta mentarbiahkan umat amnya. Buktinya, antara lain, tokoh-tokoh Hafiz/Hufaz inilah juga yang menafikan wujudnya saranan ajaran Ilmu Tarikat didalam Alquranul Karim, sebagai sebahagian ilmu [integral] dalam Agama Islam. Maka tidak hairan apabila Rasulullah saw. melabelkan kebanyakan para qurra sebagai munafiq! Masyaallah!

5. ALQURAN UNIVERSAL –PERENTAS ZAMAN

Alquran adalah sebuah keajaiban yang menakjubkan. ‘Alif Lam Ra. Inilah ayat-ayat Alquran yang mengandungi Hikmah. QS,100:1.

‘Inilah ayat-ayat Kitab yang mengandungi Hikmah, menjadi petunjuk dan Rahmat bagi orang-orang berbuat kebaikan.’ QS 31:5.

Dan lagi, ‘Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar para Ulul-al-alBab mendapat pelajaran.’ QS38:29.

Hakikatnya, ia telah wujud dizaman Musa, Isa dan para Rasul yang lain. Ya. Bicara Allah sudah wujud sekian lama; hanya tidak dalam bahasa Arab. Ia berbicara kepada setiap telinga. Ajaibnya , tidak semestinya bicara Allah itu melalui lidah atau lisan Jibril dan manusia sahaja. Kerana Tuhan bisa saja berbicara dalam bentuk lain menerusi alam semesta, langit dan bumi, gunung , pokok, haiwan dll. Cuma perbezaannya samaada bicaraNya itu dari sisi ‘Makaanun Qoriib’ atau ‘Makaanun Ba’iid.’ Yakni, panggilan dari tempat dekat atau jauh! Rujuk QS.41:44.

‘Allah telah mengunci…’ Andainya ini yang terjadi, maka esensinya adalah keterputusan dan terkikisnya Kedekatan dengan Allahul-Haq. Ini merupakan sebuah kerugian yang teragung yang menimpa seorang hamba! Kerugian apakah lagi yang lebih besar berbanding kerugian hilangnya kebahagiaan seorang hamba dari memperoleh kedekatan dengan Allahul-Haq.

Nah! Penulis dengan sukacita ingin memaklumkan tempat-tempat didalam Alquran, dimana perkataan Tarikat itu berulang kali disebutkan oleh Allah SWT. Terdapat sembilan [9] ayat didalam lima [5] buah Surah yang menyebut demikian, yakni, 2 ayat dari Surah An-Nisa; 3 ayat dari Surah At-Toha; 2 ayat dari Surah Al-Jinn; 1 ayat dari Surah Al-Ahqaf; dan, 1 ayat lagi dari Surah Al-Mukminin. Silalah rujuk!

6. RASULULLAH SAW., PARA SAHABAT, AULIA, ULAMA DAN PEWARIS

Kita semua maklum bahawa Rasulullah saw. tidak cuma-cuma diutuskan Allah SWT. kealam maya ini, melainkan bagi menggalas ‘Amanat Tuhan,’ berserta Rahmat, sebagai ‘Insan Kamil’, yakni proksi dan penguasa Tuhan, Pemilik seluruh jagad raya ini. Allah berfirman, QS 21:107, bermaksud:
‘Wama arsalnaaka illa rahmatan lil ‘alamin.’ QS. Bermaksud:
‘Tidak Aku utuskan engkau ya Muhammad, melainkan sebagai Rahmat bagi sekelian alam.’

Apabila baginda wafat, seolah-olah Rahmat yang disandang Rasulullah saw. sebagai pembawa Rahmat telah terputus pula, seiring dengan kewafatannya. Benarkah demikian? Andai begitu, betapa, amat malang sekali bagi kita yakni, umat yang datang setelah ketiadaannya; dan hidup tanpa RahmatNya!?

Justru, Rasulullah saw.bersabda, bermaksud:
‘Para Ulama adalah pewaris-pewarisku.’

Nah! Kehadhiran para pewaris Rasulullah dalam bentuk para Sahabah, Tabi’in, Tabit-Tabi’in, para Aulia, para ulama Salafus-Soleh, sehingga para Shaykh Mursyid mutakhir, mempastikan kelangsungan Rahmat yang awalnya digalas Rasulullah saw. Justru, umat Muhammad mutakhir tidak perlu bimbang akan kurniaan Rahmat dan perlindungan Allah SWT. diatas muka bumi ini, menerusi pribadi-pribadi unggul yang Tuhan telah sediakan. Esensinya, risalah Ketuhanan yang dikhitabkan akan terus dikhabar dan disebarkan, menjangkau dunia dan keseluruh alam; sehingga kesuatu titik waktu yang ditentukan Tuhan! Rasulullah saw. bersabda:
‘Laa taquumu saa’ah hatta laa yuqal fil ardhi Laa ilaaha illallah, Allah, ALLAH.’ Bermaksud:
‘Tidak berdiri Kiamat sehingga tiada disebut orang lagi pada bumi ini akan Kalimah Laa ilaaha illallah, Allah, Allah.’

Betapa mulia dan pentingnya kesinambungan gagasan Tarikatusufiyyah mutakhir, bilamana para Mujahid, Pejuang dan Pembelanya, istiqamah melindungi dan membela amalannya dari diracuni, dilemahkan dan dibinasakan oleh dakyah para kuffar dan munafiq, yang bertopengkan Islam! Betapakah pula besarnya Hikmah Kalimah yang diperjuangkan tersebut?! Walau terdapat khalayak bodoh yang masih mempertikaikannya [membaca tahlil] sebagai ‘bid’ah.’ Fahamkan benar-benar!

7. BERUBAH DITANGAN

Sememangnya sukar dan adakalanya mustahil bagi seluruh manusia memahami, mengiktiraf, menghargai, apa lagi menjunjung tinggi akan peranan dan tanggung-jawab yang dipikul oleh para Duta Tuhan dan para Pewaris-Pewaris Nabi yang dimaksudkan. Mereka-mereka ini berjuang ditengah-tengah umat yang tidak senang menerima kehadhiran mereka, berserta Risalah yang dibingkis dan disampaikan; sehingga nyawa-nyawa mereka sebagai taruhan, turut terancam dan menjadi korban! Inilah gelutan pahit getir laluan yang dilalui oleh para pewaris ,pejuang dan kekasih Allah, kendati mereka dibekalkan perlindungan dan keistimewaan oleh Tuhan Azza wajalla. Subhaanallah!

Bermula , diTangan Allah, yang tiada menjadi ada;
Ditangan Ibrahim, korban tragedi menjadi ra’i bulan Haji;
Ditangan Yusuf, amarah menjadi Rahmah;
Ditangan Daud, besi waja berubah bentuk dan rupa;
Ditangan Musa, tongkat berubah wajah;
Ditangan Isa, buta berubah celik mata;
Ditangan Muhammad, bencana umat bertukar Rahmat;
Ditangan Wali Syaikh Mursyid, batil bertukar Haq.
Bagi Sicelik dan cerdik, Isa adalah Tajalli Kekuasaan Tuhan; Bagi yang lain Isa adalah putra Tuhan’
Bagi Sicelik dan cerdik, Muhammad adalah Tajalli Hakikat Nur Tuhan; Bagi yang lain, Muhammad adalah ‘gilaan dan mainan.’
Bagi Sicelik dan cerdik, Wali Syaikh Mursyid adalah Al-Mahdi zaman; Bagi yang lain, Wali Syaikh Mursyid adalah omong-omongan!

8. WAJAH RASUL DAN SAHABAH

Dua pribadi besar dizaman jahiliah dalam bentuk Saidina Umar ibni Khataab dan Abu Jahal, telah melihat wajah Rasulullah pada sisi yang amat berbeza; terlebih-lebih lagi sisi Rasulullah yang didakap oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq! Begitu, tidak kurang juga dengan Saidina Usman ibni Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib. Maka, bahkan siapa sahaja yang menatap wajah mulia Rasulullah saw. pasti diresapi rasukan, cinta-kasih atau sebaliknya, bergantung kepada keadaan hati dan persepsi Si-penatap! Ajaibnya, Rasulullah juga mewariskan aura persepsi dan persona kepada Sahabat dan Ulama pewaris baginda.
Rasulullah saw. bersabda, bermaksud:

‘Sahabat-Sahabatku umpama bintang-bintang, kemana dan dimana engkau temui, pasti dituntun dan dibimbing kejalan yang benar.’

Nah! Jika bintang dan bulan bisa menuntun, membimbing dan memberi petunjuk – tanpa bicara apapun - maka melihat dan menatap wajah-wajah Wali-wali Syaikh Mursyid [Ulama Pewaris] – tanpa bicara apapun – pastinya memberi natijah yang serupa, yakni merubah pribadi, hala-tuju dan arah Si-murid, insyaalah! Fahamkan benar-benar!

Nah! Betapa dapat dibayangkan perbandingan diantara keadaan pandangan serta tatapan para penuntun terhadap usataz-ustaz penceramah [‘freelancer’] yang menakluki ruang-ruang mesjid, madrasah dan pelbagai media sosial masa kini, dengan suatu kerelaan pandangan dan tatapan jiwa, penuh kasih dan khidmat seorang murid terhadap Guru Syaikh Mursyidnya, saban waktu! Maaf, juga tiada hadiah bagi jawapan yang betul!

9. PENUTUP

Akhir kalam, betapa kitaran dan edaran kurniaan Rahmat dan Nikmat Tuhan, serta keDermawanan dan Kemurahan Tuhan sentiasa mendekati dan meliputi diri kita.

Kahadhiran kurniaan ini menusuki disetiap sendi kehidupan kita, andai saja kita mampu merasakannya!
Aliran kasih sayang Tuhan melalui pernafasan keluar masuk saja sukar dinilai manusia. Apakah mampu seseorang menghitung dan mengawal pernafasannya? Walhal, disetiap tarikan nafas keluar masuk tersemat Rahsia agung, dalam simbiosis diri dan Tuhan! Tanyakan kepada Ahlinya!

Namun, Nikmat yang lebih Agung adalah keberadaan Rahmat semesta, sandangan kekasihNya yang mulia, Rasulullah saw. Keagungan baginda membikin selingan hari dan malam menjadi mulia dan indah disepanjang wujud zaman!

Wujud dan keberadaan baginda, walau hanya dibibir yang berselawat saja, sudah mampu mengusir kelam kedukaan dan gelita kegelisahan dijiwa. Betapa keluh jiwa amat merindu, kepada Sang Kekasih, ciptaan termulia yang pernah ada. Selawat dan salam menjurus kepadanya, keluarga, serta para Pewaris-Pewarisnya hingga zaman berakhir!     

ALHAMDULILLAH.
WABILLAHIT TAUFIQ TABARAKALLAHU RABBUL ‘ALAMIN.
   
BLOG TN[BTN]. MADRASATUL BAITUL ADAM[MBA]. MALAYSIA. SEPTEMBER,2014.

No comments:

Post a Comment