DIMANAKAH ‘DIA’?
BISMILLAAHIRRAHMAANIRRAHIM
ALAHAI SAHABAT!
1.DIMANA
Ramai orang yang mengaku berbangsa Melayu – namun manatah sifat-sifat keilmuan, kesantunan, kemuliaan dan ketinggian budi pekerti bangsa dan keMelayuannya?
Ramai orang yang mengaku mempercayai Tuhan - namun, mana orang yang benar-benar merasa berTuhan?
Ramai orang yang mengaku Islam dan beriman - namun, mana orang yang benar-benar merasakan Islam dan manisnya Iman?
Ramai orang yang mengaku berTauhid -namun, mana orang yang benar-benar mencapai Maqom Muwahid?
Ramai orang yang tahu menyebut-nyebut nama Tuhan namun, mana orang yang benar-benar tahu dan mengenal yang empunya nama, yakni -
Mengenal ALLAH dengan Tahkik, kerana Rasulullah menyatakan seperti berikut: 'AWWALUDDIN MARIFATULAH', bermaksud:
'Awal Agama mengenal Allah.' Dan lagi;
'LATASIHUL IBADATI ILLA BILMARIFATIL MA'ABUD', bermaksud:
'Tidak sah sekelian ibadat tanpa mengenal yang disembah'
Ramai manusia yang mengira-ngira malam dan waktu Alqadar, berharap tinggi menggunung setiap bulan Ramadan saban tahun, namun, mana orang yang telah berjaya memperolehinya?
Ramai orang, saban bulan Haji, sibuk bersaing, dan bermegah melakukan sembelihan Qurban disamping khalayak yang melapah [bercita membawa pulang] bahagian sembelihan, namun, manakah Qurban yang telah menepati matlamatnya?
Ramai orang yang menziarahi Baitullah - namun, mana orang yang menemui Hakikat Baitullah didalamnya?
Terlalu ramai, berebut-rebut dan berbondong manusia menunaikan fardhu Haji dan Umrah setiap tahun, namun mana orang yang telah mendapat mabrurnya ibadah itu?
Ramai orang yang telah masuk keMaqom Nabi Ibrahim - namun, mana orang yang merasa aman, damai dan selamat selepas berbuat demikian?
Sila rujuk Q.S. 3/97, bermaksud:
‘ Didalam rumah [Ka’abah] itu terdapat maqom [spiritual] Ibrahim, dan orang yang memasukinya pasti aman.’
Ramai orang yang kemasjid bagi mendapat chop tanda 'hitam-lebam' didahi - namun, mana orang yang telah mendapat tanda NurHidayah dalam diri?
Ramai orang yang sekadar 'berdiri bersolat' - namun, mana orang yang benar-benar 'mendirikan solat?'
Ramai orang yang hanya sekadar membaca doa / munajat - namun, mana orang yang benar-benar berdoa dan bermunajat?
Ramai orang yang berjemaah dengan si-Abu, Si-Ali dan si-Qassim - namun, mana orang yang benar-benar berjemaah dengan Hakikat sekelian Maqom dan Jawarih sekujur tubuhnya? Malah dengan sekelian Musyaikh dan Rijal Ghaib? Bahkan!
Mana dia orang yang menTajallikan Tuhan Jagad Raya dalam setiap tindak-tanduk dan seluruh Keberadaannya! Justeru, bagi merobek dan merongkai kearah jalan itu, sila takwilkan nas-nas berikut:
Sila rujuk Q.S.5:35, bermaksud:
‘ Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah [JALAN] untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah [berjuanglah] dijalanNya, agar kamu beruntung.’
Sila rujuk Q.S. 29/69, bermaksud:
'Dan orang-orang yang berjihad untuk [mencari keredhaan] Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka JALAN Kami. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik [Ihsan].'
Dan lagi, sila rujuk Q.S. 47/7, bermaksud;
‘ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong [Agama] Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu.’
Dari Saidina Ali ibnu Talib, Karamallahu wajha, dalam sebuah hadits Rasulullah; bermaksud:
‘ Ya Rasulullah, apakah jalan sehampir-hampir untuk mencapai Allah S.W.T.? Bersabda Baginda: ‘Dawamu zikri /Tetap zikirullah kepada Allah.’
Perhatikan firman Allah, bermaksud:
‘ Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun berbaring.’ Yakni, orang-orang yang berzikir berkekalan dan berpanjangan, dalam apa jua keadaan.
Dan firmanNya lagi: Q.S. 29/45, bermaksud:
‘ Zikirullah itu adalah amalan teramat besar keutamaannya.’
Sila rujuk pula Q.S. 4/122: ‘ Waman asdaqu minallah qiila.’ Bermaksud:
‘ Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?’
2.RUMUSAN DAN KESIMPULAN
Berdasarkan penjelasan, huraian dan hujjah-hujjah diatas ,maka beberapa kesimpulan dapat dibuat seperti berikut:
1] Manusia wajib mengenali dan sekaligus mendekati Tuhan dengan mendalami Ilmu SyariatNya; pelaksanaan ilmu ini hanya dalam bentuk zahir atau jawarih [tubuh badannya].
2] Manusia wajib mencari dan menemui Hakikat [intipati] dari pelaksanaan dan penghayatan Ilmu Syariatnya; misalnya, mencapai tahap khusyuk dalam solatnya; jika tidak akan terjadilah keadaan ibadah asal buat sahaja; seperti tubuh tanpa nyawa, Islam tinggal nama, dan Agama tinggal kulit sahaja!
3] Wasilah atau Jalan yang memperhubungkan Syariat dengan Hakikat, itulah lazimnya yang disebut ilmu TareqatTasawwuf. Pelaksanaan Ilmu ini adalah dalam bentuk amalan Qalbi dan Rohani.
4] Walhasil dari integrasi dan penyatuan antara Ilmu Syariat, Ilmu TareqatTasawwuf dan Ilmu Hakikat, sewajarnya menatijahkan Ilmu Marifat; yakni Ilmu mengenal Allah secara Tahkik, tanpa syak, tanpa zan, tanpa waham. Inilah bentuk dan rupa Ilmu yang disandang para Rasul, Nabi dan Wali, seperti lumrah dihayati oleh para Sahabat Nabi, Tabi’in, Tabi’it Tabi’in dan para Salafussoleh sehingga 300 tahun setelah peninggalan Rasulullah S.A.W. Diperakui dan dijamin Rasulullah sendiri bahawa tempoh tersebut adalah tempoh umat unggul dan terbaik. Noktah!
Ibn Mas’ud, r.a telah meriwayat dan menerangkan keistimewaan para sahabat seperti berikut:
‘ Barangsiapa yang ingin mengikuti contoh teladan, maka dia hendaklah mencontohi para Sahabat. Sesungguhnya, mereka adalah orang-orang yang paling bersih hati, paling dalam ilmu, paling tidak mementingkan diri, paling betul perjalanan, dan paling mulia akhlak [tingkah laku]. Mereka adalah gulungan yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi sahabat=sahabat RasulNya, dan menegakkan AgamaNya. Kamu perlu tahu bahawa mereka adalah sebaik-baik umat, dan ikutilah jejak mereka. Sesungguhnya, mereka berada diatas petunjuk yang lurus!’ Rujuk:Maalim al-Intilaaqah al-Kubra.
Maka apakah kita merasa hairan apabila telah pupus tokoh-tokoh insan seperti itu, apabila zaman kegemilangan Islam itu telah lama berlalu, dan kini hanya menjadi kesan sejarah! Kini, umat hanya mengenang-ngenang kembali sambil menggigit jari, tercari-cari formula yang disangkakan telah lama hilang sambil mempersoalkan dimanakah khilafnya! Meskipun demikian, yang pasti, gemilang dan cemerlangnya umat terdahulu bukanlah disebabkan oleh betapa dalamnya penguasaan ilmu Fekah [Fiqh] mereka; bukan, bukan ,bukan dan sekali lagi bukan; seperti lambakan pakar-pakar ilmuan [ baca: ustaz-ustaz], dalam bidang Fekah; yang memenuhi setiap ruang masjid, madrasah, saluran media letronik dan cetak, dewasa ini, yang terusan menambah jumudkan lagi minda khalayak dengan dendangan taranum dan nasyid mereka [show-off]; dengan selingan jualan produk, lawak jenaka, persaingan keahlian facebook teramai, ‘ilmu’ kitaran semula, tentang bab-bab Muamalah zahir, fardhu kifayah dan isu-isu terlalu remeh dan elementary; yang sebenarnya layak dititipkan kepada kanak-kanak hingusan diperingkat sekolah rendah sahaja!
Sungguh memang telah terlalu sarat bidang fekah diterokai diNegara ini, apa lagi dengan puluhan ribu pelajar dihantar keluar negara saban tahun, dan sekembalinya mereka, kebanyakannya, sebagai ustaz-ustaz Fekah; bertanggungjawab mendidik umat bagaimana cara hidup berAgama sebenarnya?! Namun, sudahkah kita melihat pembuktian modal insan yang kita bina itu adakah menurut acuan yang dirintis Rasulullah, dan menghasilkan umat tinggi Ilmu dan berakhlak mulia, sebaik dan setanding umat dizaman Rasulullah dan 300 tahun selepas pemergian baginda? Tidak ada hadiah bagi jawapan yang betul!
Masihkah anda ingin mencari formula [Permata] yang disangkakan telah hilang itu?
Sila rujuk sebuah Hadits Rasulullah, bermaksud:
‘ Pada malam aku diisra’kan, aku diberi 3 jenis Ilmu – Ilmu yang harus aku sampaikan; Ilmu yang wajib aku sampaikan; dan Ilmu yang aku diberi pilihan antara menyampaikan dan tidaknya.’ Dan lagi:
‘ Ada dua jenis ilmu, yakni, Ilmu al-Qalb [ilmu Qalbu] dan Ilmu al-Lisani[ Ilmu lisan/lahir]. Ilmu Qalbu merupakan Ilmu yang manfaat, sedangkan Ilmu lisan merupakan hujjah Allah yang diberikan kepada manusia. [Rawahul Khatib, Abd Bara dan Dailami.] Dan sila rujuk lagi:
‘ Sungguh diantara ilmu itu ada yang seperti MUTIARA terpendam, tiada seorang pun yang mengetahuinya, kecuali Ulama Allah [ArifBillah]. Apabila mereka mengucapkan tentang Ilmu tersebut, maka tiada yang mengingkarinya, kecuali orang-orang yang lalai terhadap Allah; dan Ilmu Hidhir yang ditampakkan kepada Musa adalah merupakan jenis Ilmu tersebut.’
‘ Mereka [para Sahabat, Tabi’in, Tabi’it Tabi’in] sama mengambil Ilmu dari Rasulullah yang bagaikan menghirup air laut serta meneguk Ilmu beliau itu yang laksana hujan.’ Dari Imam Busyairi.
Pentakwilan keatas mafhum/maksud hadits-hadits diatas mampu menjuruskan kepada perongkaian keatas permasalahan yang telah melanda umat mutakhir ini! Kemudian mencari pula kaedah mengatasinya!
Nah! Kembalikanlah PERMATA/MUTIARA yang disangkakan telah hilang itu!
Fahamkan benar-benar persoalan ini!
TABAROKALLAHU RABBIL ‘ALAMIN.
WABILLAHI TAUFIQ WAL HIDAYAH
MADRASATUL BAITUL ADAM, SHAH ALAM, 26.02.2012.
No comments:
Post a Comment