AWWALUDDIN MARIFATULLAH - AWAL AGAMA ITU MARIFAT [MENGENAL] AKAN ALLAH
BISMILLAAHIRRAHMAANIRRAHIIM
ADUHAI SAHABAT!
Hadits diatas mewarnai kaedah pendekatan dan penghayatan Agama Islam. Ia menjadi dasar, teras, pokok, Hakikat ibadah dan pengabdian. Hanya dengan Marifatullah sebagai natijah dan kemuncak, manusia itu berupaya mengenali sebenar dirinya, mengenali kewujudannya disamping kewujudan segala ciptaan Tuhan, sekaligus, mengenali Tuhannya! Marifah akan perbedaan antara Qadim dan Muhaddath itulah teras kewujudan dan kehidupan!
Atas jalan Syariat dan Tareqat manusia hanya bisa tahu bahawa Tuhan itu wujud [tahu bertuhan]. Namun, atas jalan Hakikat dan Marifat, manusia bisa dapat merasai kewujudan Tuhan [merasa berTuhan].
Maka berkata Arifbillah: 'Mal lam yazuq walam ya'rif.' Bermaksud:
' Barangsiapa tidak merasa maka tidak akan mengetahui.'
Justeru, barangsiapa yang tidak dapat merasa berTuhan, sebenarnya, TIDAK BERTUHAN!
Fahamkan benar-benar!
ANALOGI PERBANDINGAN
Ayam tidak akan masuk kedalam reban andai didalam reban ada musang; lembu dan kambing tidak akan masuk kedalam kandang, jika didalam kandang terdapat harimau.
Justeru, khusyuk berserta ingatan Zikir kepada Allah tidak akan menyapa dan bertandang, jauh sekali mendominasi Hati [Qalbi], jika terdapat serba ragam BERHALA sedia berpengkalan didalam hati dan disisi!
Allah berfirman Q.S.51/51: ' Wala taj'aluu ma'allahi ilaaha aakhar.' Bermaksud:
' Dan janganlah kamu mengadakan tuhan yang lain selain Allah.'
Dan lagi firman Allah, Q.S.18/110, berbunyi: ‘ La yusyrik bi’ibadati rabbihi ahada.’ Bermaksud:
‘ Jangan kamu mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhan.’
Dan lagi firman Allah, Q.S. 33/4, bermaksud:
' Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya.' Mana mungkin sekaligus, memiliki dua cinta dalam satu Hati!
Maka, pengEsaan dan Penunggalan Allah didalam diri itu menjuruskan manusia itu menjadi Muwahid sebenarnya. Namun kemampuan begini, pertama sekali, adalah berteraskan kepada Ilmu dan Amal; yakni, Ilmu Tauhid Marifatullah, bersertakan Kifiat dan kaedah-kaedah pengamalannya, yang bukan boleh sekadar menimbanya dari ceramah, tazkirah Ustaz-ustaz atau dari lambakan buku-buku teks ditoko-toko buku dan perpustakaan! Harus diingat bahawa, sebarang ilmu yang dimiliki, andai tidak menjadi amali, akan akhirnya menyingkir pergi! Ibarat, cakap tak serupa bikinlah!
Maka bangkitlah aduhai umat Muhammad bagi merialisasikan Aqidah Tauhid sebenarnya - bukan sekadar aqidah retorik seperti yang rancak dilaungkan sesetengah pihak, kononnya bimbang akan terpesongnya aqidah khalayak umumnya, malah aqidah mereka sendiri belum tentu dan pasti kebenarannya! Jangan menjadi Si-buta memimpin khalayak yang sama buta. Atau menjadi Si-buta yang ingin melihat gajah!
Ketahuilah, jika anda tidak dan belum pernah melayari maqom Muraqabah, AhdiatuDzat, Dzatti syarfi walboht, Musyahadah, Fanafillah dan Baqabillah didalam bidang Tareqat Tasawwuf, maka anda tidak akan pernah memahami, malah mencium apa dan bagaimana hakikat sebenarnya mengEsa dan menTauhidkan Dzat Allah itu, melainkan anda akan terus berkokok dan berretorik dengan menanam tebu ditepi bibir. Kebanyakan adalah ibarat ayam berkokok setinggi langit, namun ekornya bergelimang tahi! Lihat sahaja, jaguh-jaguh seperti Ustaz-ustaz dan politikus, bertitle kehormat Datuk dan TanSri, konon, memperjuangkan Islam, wawasan dan nasib bangsa; akhirnya kecundang kerana terjerumus kedalam kancah kerakusan hawa nafsu haiwaniah sendiri, yang tidak mengenal hukum-Hakam, mentelah pula Tuhan! Hampeh!
Kerana, tidaklah cukup sekadar mengaku sudah Islam dan beriman. Itu permainan budak-budak! Tidak juga memadai dengan sekadar mengetahui penjenisan Tauhid seperti Rubbubiyah, Ulluhiyah, Asma wa-sifat dsbnya; malah ,jauh sekali dengan kaedah menghafal Sifat 20, mengaji Quran dan sebagainya! Ayuh! Jika berhajat, silakan mara kebarisan hadapan dan berjuang dimedan laga para-para Mujahid dan Mujaddid! Fahamkan benar permasalahan ini!
Carilah kesempatan belajar dan memahami Aqa’idul Iman sebenarnya dari seorang Guru yang mahir lagi berpengalaman dalam bidang TareqatTasawwuf; dan janganlah belajar dari ustaz-ustaz Fekah yang hanya akan menambahkan kekalutan permasalahan anda! Fahamkan firman Allah Q.S. 21:7i:
‘ Fas alu ahlazzikri in kuntum la ta’lamun.’ Bermaksud:
‘ Bertanyalah kepada Ahli Zikir [orang berilmu] andai kamu tidak mengetahui.’
Berkata tokoh tersohor, seorang Faqih bermazhab as-Syafi’e, al-Imam al-Ghazali Hujjatul-Islam, tentang pentingnya seorang salik [pencari] mengambil Ilmu dari seorang Syaikh:
‘ Dengan demikian itu murid berhajat kepada Syaikh dan Guru Mursyid yang menjadi ikutannya, tidak boleh tidak; untuk membimbingnya kejalan yang lurus, kerana jalan untuk Agama samar-samar, manakala, jalan untuk syaitan itu adalah banyak. Barangsiapa yang tidak mempunyai Syaikh bagi membimbingnya, maka syaitanlah yang akan membimbingnya.’
Andai anda mampu menyahut saranan dan seruan ini, hatta, mampu menjadi Ahli TareqatTasawwf, anda akan tergolong dalam golongan mereka yang beruntung, kerana anda telah akur dengan perintah Allah yang menggesa agar anda menjadi Ahli Rabbaniyyin; dan senantiasa bersama dengan para-para Sodiqqin, [orang-orang yang benar]!
Cabarlah dan dugalah diri anda sendiri dengan mencari kelainan dalam diri; yakni, tidak hanya sibuk dengan bidang Fekah atau Wahabbiyah. Bangkitlah, jangan menjadi manusia biasa, jadilah manusia luar biasa dan lampaui monotoni sehari-hari untuk menjadi seorang Pencari; ya, Pencari Tuhan! Anda tidak sekali-kali akan pernah menemui batu permata, kerana anda hanya sibuk mencari dan mengumpul batu-bata! Jangan merasa puas hati sekadar belajar bidang Syariat dan Hukum-hakam Tuhan. Cuba dapatkan Sang Pemilik Syariat dan hukum-hakam itu! Dapatkanlah jalan/Wasilah bagi sampai bertemu dan mendapat keredhaanNya, seperti firmanNya, bermaksud:
‘ Maka, barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka , hendaklah ia mengerjakan amal soleh; dan janganlah ia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya,’
Akhir kalam, sila perhatikan Q.S. 18/103 & 104, bermaksud:
‘ Katakanlah [Muhammad], ‘ Apakah perlu Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?’ ‘ Yaitulah, orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya.’ Fahamkan benar!
WABILLAHIT TAUFIQ WAL HIDAYAH.
WASALLAM.
MADRASATUL BAITUL ADAM, SHAH ALAM, MALAYSIA.18/02/2012.
No comments:
Post a Comment