BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Aduhai Sahabat!
1. PENGENALAN
Kita amat memahami tentang perspektif HABLUM MINANNAS dalam soal kemasyarakatan, sehingga keperingkat keNegaraan. Betapa ertinya perhubungan yang menuntut kepada pengenalan; yakni kenal-mengenali, penuh kesefahaman, antara satu dengan lain. Maka lahirlah slogan 1 MALAYSIA. RAKYAT DIDAHULUKAN. PENYAMPAIAN DIUTAMAKAN! Dalam skala lebih besar, tamaddun umat manusia bertunjang kepada keteguhan aspek pengenalan antara Negara seantero dunia, bagi menjamin kemaslahatan dan survival species yang bergelar MANUSIA!
Betapa pula perspektif HABLUM MINALLAH dalam soal pengertian ‘Ubudiah’ antara hamba dan Tuhan, yang terlebih-lebih lagi menuntut kepada peri pentingnya bertaut-teguhnya ‘Ma’arifah’ antara kedua-dua pihak ini! Cubalah fikir dan renungkan!
2. MUSTAHIL
ADALAH MUSTAHIL menuntut kepada Allah tanpa lebih dahulu mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL bermaksud kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL percaya kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL yakin kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL taqwa/takut kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL menyembah kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL menyerah kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL malu kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH MUSTAHIL kasih kepada Allah tanpa mengenaliNya!
ADALAH TIDAK MASUK AKAL Cinta kepada Allah tanpa terlebih dahulu mengenaliNya!
SEBAB: TAK KENAL MAKA TAK CINTA!
3. KENAL
Harus digaris-bawahi bahawa titik-tolak asal-usul penciptaan adalah diatas dasar Kenal dan Cinta/Kasih.
Allah berFirman didalam Hadith Qudsy, bermaksud:
‘Aku adalah perbendaharaan tersembunyi; dan Aku kasih untuk dikenal, maka Aku ciptakan MakhlukKu, agar mereka dapat mengenaliKu.’
Jika bukanlah kerana faktor diatas, yang bernama makhluk atau manusia ini tidak akan pernah tercipta! Renung dan fahamilah permasalahan ini benar-benar!
Sila perhatikan Q.S. 76:1, yang bermaksud:
‘Bukankah pernah datang kepada manusia suatu waktu dari masa, yang ketika itu ia belum merupakan sesuatu yang dapat disebut. Setelah itu Kami ciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur, yang kami hendak mengujinya.’
Lihat pula Q.S. 7:172, bermaksud:
‘ Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Maka menjawab segala arwah, ‘Bahkan, Engkaulah Tuhan kami, dan kami menyaksikan!’
Nah, apakah anda telah sedar sekarang tentang kedudukan/status anda, hanya sebagai hamba disisi Tuhan Allah!
Lantas Allah berFirman, Q.S. 51:56, bermaksud:
‘ Tidak Aku ciptakan Jinn dan manusia melainkan untuk menyembah Aku.’
Maka terjalinlah dan termaterilah suatu kontrak; yakni siapa Tuhan dan siapa hamba; siapa yang menyembah dan siapa yang disembah! Noktah!
Jika anda mengaku berTuhan kepada Allah, mengapa anda masih berTuhan kepada yang lain? [Baca: Taksub kepada sesembahan yang lain, i,e. 3 ta: harta, tahta, wanita, dll.]
Setelah anda bersyahadat kepada Allah, kenapa anda tidak berTawhid kepadaNya? Atau memurnikan Tawhid anda terhadapNya? Kenapa anda tidak menunggaliNya, mengungguliNya, memBesarkanNya dan mengAgungkanNya? Bilakah pendustaan ini bisa dihentikan?
Pastinya, memang teramat sukar mencari jawapannya; namun renung dan fikirkanlah!
4. BAGAIMANA MENGENALI ALLAH
Setelah Rasulullah dinobatkan Allah sebagai Nabi dan Rasul pilihan, baginda mengawali keRasulannya dengan menyatakan:
‘ Awaluddin ma’rifatullah’ yang bermaksud:
‘ Awal Agama itu adalah ma’rifatkan [mengenali] Allah’
Maksud dan pengertian dari hadith ini menyatakan secara tuntas bahawa setiap perlakuan berbentuk ibadah sewajarnya didasari oleh Ma’rifat kepada Allah bagi memperoleh sahnya ibadah tersebut untuk diterima oleh Allah!
Tegasnya, ‘Ma’rifat dahulu sebelum ibadah’; dan bukannya ibadah dahulu sebelum Ma’rifat! Fahamkan benar-benar hakikat ini!
Buktinya, Rasulullah menghabiskan tempoh lebih dari 10 tahun di Makkah, sebelum Hijrah, untuk mengajar dan mentarbiahkan kaum Muslimin ketika itu dengan apa yang dikenali sebagai Ilmu Tawhid Ma’rifatullah. Bermakna, setiap Muslim ketika itu, dipastikan oleh Rasulullah, telah benar-benar, terlebih dahulu, mahir dan tahkik dalam Ilmu Tawhid Ma’rifatullah, sebagai prasyarat dalam persediaan mujahadah, menerima, melaksana, menjalani dan menghayati ibadah-ibadah yang diperintah Allah, yang datang kemudiannya, yakni pasca hijrah, seperti, Ibadah Solat, Puasa, Zakat, Haji dan lain-lain.
Demikianlah sebenar-benar Sunnah Rasulullah; kaedah yang ditunjuki baginda cara bagaimana menjalani, menghayati dan menghidupkan Agama Islam, tersusun, teratur dan tertib dan tiada yang lain daripadanya! Noktah!
Apakah menghairankan, apabila Rasulullah menegaskan suatu hikmah bahawa umat baginda yang terbaik hanya menjangkau 300 tahun selepas pemergian baginda?
5. SISTEM PENDIDIKAN AGAMA DINEGARA-NEGARA ISLAM
Umumnya, sistem arus perdana dalam mendidik Agama kepada halayak umat diNegara Islam, sejak sekian lama, adalah songsang, dan tidak menuruti Sunnah Rasulullah yang telah baginda ajarkan; yakni, diNegara Islam amnya, kita semua diajar bersyariat terlebih dahulu, kemudian, harap-harap, suatu ketika, suatu hari, dapatlah mencapai M’arifah! Agak pelik, aneh dan mustahil, kerana majoriti halayak tidak akan pernah mencapai Ma’rifah jika mereka hanya bersyariat sahaja sepanjang hayat mereka!
Lantas Rasulullah bersabda: ‘Awaluddin Ma’rifatullah’ namun, Ulama-ulama diNegara Islam berbicara, dengan nuansa: ‘Awaluddin Syari’atullah!’ Catch my drift? Fahamkan benar-benar!
Sebagai contoh, kita dididik mendirikan Solat tanpa penghayatan intipati batin Solat. Akhirnya kebanyakan kita hanya tinggal berdiri berSolat, dan bukannya menDirikan Solat, sekali lagi, bukannya menDirikan Solat! Baru padan kerana Solat begini tidakkan pernah mencapai tahap ‘khusyuk’.Dan akan menjerumus keNeraka – rujuk Surah alMaun.
Kita juga diajar menunaikan Haji Ka’baitullah, tanpa diajar intipati dan rahsia-rahsia batin Haji; contoh, dalam soaljawab diTV, Ustaz-ustaz tidak mampu mengupas rahsia hakikat yang berselerak disebalik perlaksanaan rukun-rukun Haji, apabila ditanya para Jemaah. Sebaliknya, disarankan akur sahaja menurut Sunnah tanpa banyak Tanya [program Tanyalah Ustaz?] seperti, apakah hikmah disebalik Tawaf; kenapa 7 kali; rahsia hakikat Wuquf, bagaiman Rasul melakukannya; namun kita dianjur sentiasa berdoa dan mengharapkan Haji Mabrur! Mana mungkin? Sungguh lucu, sia-sia dan mengaibkan, bila kita melakukan ibadah tanpa kesempurnaan persyaratan zahir batinnya! Adalah terlebih mudah mendapat yang Mardud daripada yang Mabrur! Fahamkan betul-betul permasalahan ini!
Akhirnya, apa yang kita saksikan adalah betapa ramainya manusia berbondong bersolat, merasa puas hati, bermegah dan merasa selamat dengan solatnya. Begitu pula dengan mereka yang mampu, berbondong dan bersaing antara mereka, pergi menunaikan Umrah dan Haji, nun, jauh disana; dan berbangga dengan ukuran keacapkalian[kekerapan] mereka melakukan ibadah-ibadah tersebut! Lantas mereka berprasangka, merasakan betapa selamat, betapa lebih Islamik, betapa tinggi dan mulianya mereka disisi Tuhan, hasil dari kerja-kerja ibadah yang telah mereka lakukan! Dimanatah penghujungnya prasangka dan perbuatan sia-sia ini?
Kerana buktinya kita sentiasa disajikan dengan kejadian kecerobohan, keruntuhan nilai moral /akhlak dan perbuatan maksiat yang kerap berlaku dikalangan mereka, tokoh-tokoh ‘wara’ dan ‘berilmu’ dan juga yang bergelar ‘Tuan Haji’!
Kenapakah ilmu dan ibadat-ibadat mereka tidak menjamin kekebalan mereka dari terjerumus kelembah kemaksiatan?
6. AGAMA HANYA SEBAGAI LAMBANG
Kebanyakan manusia tidak mengambil berat tentang soal Agama, terutama apabila mereka beranggapan bahawa Agama itu lebih bersifat sebagai penghalang kepada kebebasan dan kemajuan dalam menjalani kehidupan mereka. Ini adalah suatu fakta yang tidak boleh dinafikan. Cubalah renungkan, berapa ramai manusia yang sedia mengaku adanya Tuhan; namun, berapa ramaikah pula yang dapat sebenarnya merasakan berTuhan? Dan terusan awas mengawasi diri. Anda boleh memberi jawapan sendiri. [Because there’s no prize or trophy for the right answers!]
Justeru, adakah menghairankan jika pejabat-pejabat kita, rumah-rumah kita, didendang lagu-lagu nasyid dan ayat suci 24/7/365, samaada kita dirumah atau bercuti luar negeri; malah dalam kenderaan kita, kita hiasi dengan lambing-lambang Agama seperti ayat-ayat suci dan kalimah-kalimah hikmat [seperti: ‘Allah melihat apa yang anda lakukan.’] yang kononnya, sebagai pelindung atau cerminan ketinggian pribadi kita, namun tidak mempan menangkis godaan-godaan hawa nafsu, syahwat, syaitan iblis dan terakhir ini, nafsu serakah dan haloba memecah amanah dan rasuah, terutama dikalangan penjawat-penjawat awam tertinggi! OMG! These mindsets simply suck!!!
Apakah dan siapakah yang dapat melindungi dan menyelamatkan kita dari gejala-gejala tersebut?!
7. KAEDAH METODOLOGI MENGENAL ALLAH DENGAN TAHKIK
Apabila kita berhadapan dengan manusia yang mempamirkan salah-laku, ‘anti-establishment,’ berkecenderongan melakukan segala macam jenayah, tidak patuh dan tunduk kepada segala macam perundangan; hakikatnya, manusia jenis ini adalah manusia yang ‘berpenyakit’; tidak lain dan tidak bukan; yakni, penyakit ‘ROHANI’ atau ‘sakit jiwa’! Pada hakikatnya, salah-laku dan penyakit jiwa ini hanyalah isyarat, tanda dan ‘symptom’ kepada permasalahan yang lebih besar, yang menjadi sebab-musabab atau penyebab tercetusnya sumbang tabiat/perilaku manusia tersebut. Oleh yang demikian, cara/kaedah sebenar merawat atau mengatasi keadaan kemelut ini, bukanlah, sekali lagi, bukanlah dengan menyerang dan membasmi ‘symtom’ tersebut, tetapi dengan mengenal-pasti dan merawat penyebab sebenar yang menjadi pencetusnya.
Ketahuilah bahawa permasalahan besar sebagai faktor pencetus ini adalah ‘TIDAK KENAL ALLAH!’
Tegasnya, hanya dengan kenal Allah [Ma’rifat Allah], manusia itu mampu patuh dan tunduk tawaddhuk kepada segala perintah dan hukum-hakam Allah, setelah itu tunduk dan patuh pula kepada segala hukum perundangan sesebuah Negara!
Perhatikan Hadith Rasulullah, bermaksud:
‘ Dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging. Apabila ia baik, sejahteralah seluruh jasadnya; dan apabila ia rosak, binasalah jasadnya. Ketahuilah seketul daging itu bernama ‘Hati.’
Lihat pula Firman Allah, Q.S.51:21, bermaksud:
‘Juga dalam diri mu sendiri kenapa tidak kamu perhatikan?’
Lagi Firman Allah, Q.S.17:14, bermaksud:
‘ Bacalah kitab kamu; cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghitung atas dirimu!’
Kenyataan pendedahan perlakuan tidak bermoral dikalangan umat Islam membuktikan wujudnya kekontangan Iman dan taqwa dalam diri umat Islam sendiri yang tidak dapat mengupayakan kawalan dan kendalian diri pabila berdepan dengan godaan serba-ragam!
Tiada siapa yang terkecuali dari keadaan ini, melainkan manusia-manusia yang dipelihara Allah! Kerana mereka-mereka ArifBillah ini telah mengenali Tuhan Allah dengan tahkik dan sebenar!
Bagaimana kaedah atau teknik bagi mengenal Allah itu? Pastinya, ia tidaklah seperti apa yang dilakukan dan digembar-gembur oleh ‘Ulama-Ulama’ mutakhir! Sehingga umat menjadi lebih keliru, tenggelam punca, terumbang-ambing, malah, sesat pedoman!
Mengenal Allah itu tidak seperti mengenal sesuatu objek atau manusia!
Mengenal Allah itu bukanlah dengan serba ragam hafalan, seperti menghafal al-Quran atau Sifat Dua Puluh,dsb.
8. BACAAN DAN HAFALAN AL-QURAN
Al-Quran adalah Kalam Allah. Ia merupakan suatu mukjizat terbesar yang tidak pernah dimiliki oleh sesiapa pun sebelumnya. Namun, ia telah dianugerah-miliki oleh Sang Kekasih, Penghulu umat, Muhammad Rasulullah! Betapa mulia dan bertuahnya umat Muhammad mutakhir ini!
Namun, al-Quran yang sarat dengan inti-pati, seribu makna dan HIKMAH itu tidak akan mampu diterjemah, ditafsir, terlebih lagi diTakwil sebenarnya! Tidak akan pernah ada MUFASSIRIN yang boleh dan sanggup berlaku adil terhadap pengertian al-Quran sebenarnya!
Kerana itu janganlah kita telah merasa puas dan selamat apabila telah mampu sekadar membaca, mengalun merdu lagu/tajwidnya, malah menghafal seluruh ayat dan surahnya!
Perbuatan seperti ini boleh memperdaya, dan tidak mampu membawa kita lebih hampir kepada Allah; mentelah pula untuk kenal kepadaNya!
Kerana, yang amat dituntut ialah memahami isi intipati, Hakikat, Hikmah dan maksud al-Quran, agar dapat dijadikan petunjuk dan pedoman hidup dunia akhirat!
Kerana itu, Allah telah berFirman, Q.S. 3:7, bermaksud:
‘ Tidak ada yang mengetahui TAKWILnya melainkan Allah.’
Kenyataannya, [bersumber Loh-Mahfudz], al-Quran itu bisu, tidak berhuruf dan tidak bersuara! Kerana itu, Allah SWT. menobatkan Muhammad Rasulullah, yang mana menerusi lidah dan kedua bibir mulia baginda, al-Quran bisa berbicara sepenuhnya dan sebenarnya!
Firman Allah,Q.S.21:107, bermaksud:
‘ Tidak Aku utuskan engkau [Muhammad] melainkan sebagai Rahmat bagi seluruh alam.’
Kenyataannya, Muhammad Rasulullah telah lebih seribu tahun wafat, dan seolah-olah tanpa kehadirannya, telah terhenti pula pengurniaan Rahmat bagi seluruh alam ini! ?
Justeru, sebagai kesimpulan, dan pada hakikatnya, umat amat memerlukan ‘Muhammad’ bagi setiap zaman agar, al-Quran boleh terus berbicara dan Roh Islam tetap dan terus terpelihara! Agar Umat kembali celik dari mem’buta’!
Fahami benar-benar maksud dan permasalahan ini!
9. SIFAT DUA PULUH
Kita semua telah diajar untuk mengetahui Sifat 20 dimiliki Allah SWT. Apakah Allah hanya memiliki dua puluh sifat sahaja, dan terlebih penting menekankan Sifat Ma’aniNya; dan kaedah ajarannya hanyalah melalui cara hafalan sahaja?
Dengan kaedah ini, apakah kita telah benar-benar dapat kenal kepada Allah SWT. dan lantas menjadi ArifBillah?
Anda boleh mencari jawapan sendiri!
Setelah benar-benar memahami dan menghayati kesemua Sifat-Sifat Allah, barulah kita akan faham bahawa sebenarnya tidak ada Duality, Trinity, Multiplicity dan sebagainya, kerana itu adalah suatu perdayaan dan ciptaan manusia sahaja!
Semak Q.S. 112:1-4, bermaksud;
‘ Katakanlah [Muhammad], ‘Dia-lah Allah Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia.’
Justeru, bingkas dan bangunlah bagi mendapatkan kaedah sebenarnya untuk mengenali Allah S.W.T. secara tahkik dan Haqqul Yaqin!
Jangan hanya bingkas dan bergegas untuk menghadiri MLM dan ingin menjadi OKB!
Ketahui dan sedarlah, dunia ini hanya khayalan dan bersifat binasa sedangkan akhirat itu pasti dan kekal abadi! [Only you can make a difference!]
10. MA’RIFATULLLAH
Bagaimanakah methodology mengenal Tuhan?
Andai kita menyebut duit,duit,duit, bolehkah kita menjadi kaya?
Andai kita menyebut nasi.nasi,nasi, bolehkah kita menjadi kenyang?
Justeru, andai kita menyebut-nyebut nama Tuhan, bolehkah kita dikatakan telah mengenalNya, dengan sebenar-benarnya?
Kaedah sebenar bagi mengenal Allah S.W.T. hanyalah dengan Ilmu Tawhid Ma’rifatullah, menerusi pendekatan jalan TarekatTasawwuf.
Demi Allah, jiwaku didalam gengamanNya, tiada yang lain! Noktah!
Rujuk Firman Allah, Q.S. 72:16, bermaksud:
‘ Jika mereka tetap diatas jalan Tarekat, Kami akan kurniakan air hikmah yang melimpah ruah.’
Berkata pula ArifBillah, maksudnya:
‘ Barangsiapa ma’rifat akan dirinya, ma’rifat pula ia kepada Tuhannya.’
Kenyataannya, mengenali Allah harus melalui proses TAKHALLI, TAHALLI dan penTAJALLIan, penuh sarat ,melalui NamaNya, Afa’alNya, SifatNya dan DzatNya!
Sila bertanya kepada Ahlinya!
11. PENUTUP
Setelah manusia mengenal Allah S.W.T. dengan tahkik, mantap dan sewajarnya, pastinya, ini adalah menurut acuan fitrahnya manusia diciptakan Allah; yakni, sebagai Khalifah Allah dimuka bumi, sekali lagi, hanya selepas manusia kenal [Ma’rifat] kepada Allah S.W.T.
Seperti FirmanNya Q.S. 2:30, bermaksud:
‘ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah dimuka bumi.’
Dengan proses transformasi diri berstatus Khalifah Allah [Aulia Allah], ArifBillah [Insan Kamil] dan Kekasih Allah, barulah manusia itu mencapai segala sifat-sifat kesempurnaan diri, dan mencapai kemuncak penciptaan! Barulah manusia itu sebenar-benarnya mampu menyembah kepada Allah; menyerah kepada Allah; takut/Taqwa kepada Allah, malu kepada Allah; dan Cintakasih kepada Allah S.W.T.;seperti mana telah kita bincang diawal risalah ini.
Pastinya manusia jenis ini telah teguh diri, kalis godaan dan kebal dari sebarang perdayaan dunia, seperti Firman Allah, Q.S.10:62-64, bermaksud:
‘ Ketahuilah, sesungguhnya Aulia-Aulia Allah itu tidak ada ketakutan atas mereka, dan mereka tidak pernah berdukacita; [yaitu] orang-orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa. Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan didunia dan diakhirat. Tidak ada perubahan bagi janji-janji Allah. Demikian itulah kemenangan yang agung.’
Seandainya golongan manusia jenis ini berjaya dicerna dan dihasilkan, cubalah bayangkan betapa mandiri dan waja-nya, bukan hanya sebagai ‘modal insan’ Negara ini khususnya; malah betapa dengan kewibawaan, kekentalan dan kesemestaan umat Muhammad sejagad, amnya!
PERINGATAN: Janganlah biarkan diri kita terjebak dalam keadaan, Hati mati; Jiwa kering; Roh gelandangan; Nyawa nak padam; dan diri Muflis didepan Tuhan!
Dan Allah telah mengatakan yang sebenar-benarnya; dan Dia menunjukkan jalan yang benar!’
WABILLA HITTAUFIQ WAL HIDAYAH
TABARAKALLAHI RABBUL ‘ALAMIN!
Faqir ilallah alhady TN. 17.04.11.
Rujukan al-Quranul Majid.
Nota kaki:
Dizaman Rasulullah tidak pernah wujud Badan Kerajaan, Badan Bukan-Kerajaan i.e. Institut Kefahaman [IKIM], Institut Integriti [IIM], dsb. berfungsi untuk mendidik, menghindar, menyekat, merawat dan membasmi salah-laku dan jenayah seperti yang kian menular ditengah masyarakat kini, hingga menjadi suatu wabak, berleluasa, yang tiada kunjung reda. Jawapannya hanyalah, suntikan ‘Ain Hikmah Ilmu Tawhid Ma’rifatullah, dimana setiap individu itu harus di’Quarantin dan diI.C.U’.kan untuk mencapai darjat kepulihan muktamad! Sehingga spesis yang bergelar Manusia [‘Insan Kamil’] ini tidak terus dilanda dan diancam dengan ke pupusan dari muka bumi Allah ini! INSYAALAH!
‘ Allah menganugerahkan al-Hikmah [Ilmu kefahaman al_Quran dan Sunnah] kepada siapa yang dikehendakiNya; Dan sesiapa yang dianugerahi al-Hikmah itu, benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak.’ Q.S.2:269.
‘ Dan [juga kerana] Allah telah menurunkan Kitab dan Hikmah kepadamu, dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui. Dan adalah kurnia Allah itu sangat besar atasmu.’ Q.S.4:113.
‘ Dan sesungguhnya, kepada Tuhanmulah kesudahan segala sesuatu.’ Q.S. 53:25.