PERIHAL MA’RIFAH DAN RUKUN SYAHADAH [ SUNGGUHKAH AKU TELAH ISLAM DAN
BERIMAN?]
Aduhai Sahabat!
BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM
WA'BUDULLAAHA WALA TUSYRIKUU BIHII SYAIAA
ALHAMDULILLAA HIL WAAHIDIL GHAFARI WASSOLATU WASSALAAMU 'ALAN NABIYYIL
MUKHTARI WA'ALAA AALIHII WASSOHBIHIL AKHYAR.
1. MUKADDIMAH
Apabila kita memperihalkan persoalan rukun, maka jelas terbayang pada benak
kita dan tersimpul fahaman dan hati kita
tentang betapa sesuatu yang disebut sebagai rukun itu sebenarnya mendasari,
menegakkan dan mengesahkan sesuatu pegangan ['iktikad], kepercayaan dan amalan.
Maka apabila terdapat sebarang kecacatan pada kelangsungan rukun tersebut, maka
goyah atau terbatallah pegangan atau amalan tersebut.
Didalam muamalah kehidupan, kita ditemukan dengan pelbagai amalan berbentuk
kemasyarakatan, kenegaraan, malah terlebih-lebih lagi disudut keAgamaan.
Misalan seperti, rukun negara, rukun tetangga, rukun ibadah antara lain,
seperti rukun sembahyang, rukun Haji, rukun Nikah dsbnya.
Malah, perkara yang paling kritis, jarang disebut dan dititip, disyarah
atau ditazkirah dimana-mana media sekalipun kepada khalayak umat Islam dewasa
ini, yang penulis akan bincang; penulis terpanggil kerana menganggap perkara
yang menjadi asas, pokok, tiang-seri, tunjang, teras dan tonggak kepada
kelangsungan hidup beragama, telah mengalami ketirisan dan penghakisan yang
maha getir dan hebat, dikalangan orang-orang Melayu, mengancam kepercayaan dan
pegangan akidah sehingga keakar umbi keimanan umat Melayu khususnya! Tragedi
ini, terutama sekali mengancam generasi muda belia kini dan masa depan, kerana
sentiasa digoda dan diasak oleh gelombang negatif dan destruktif dalam
kehidupan, samaada oleh faktor kelemahan sendiri atau faktor luaran yang sememang
dirancang oleh kaum kuffar atau Dajjal [musuh tegar Islam].
Isu tegar yang akan kita bincang adalah mengenai TAUHID atau AQIDAH; kaedah
mengetahui dan memahaminya, tidak lain melainkan melalui pengetahuan dalam
memahami lafaz DUA KALIMAH SYAHADAH dan segala tuntutan-tuntutan yang berkait
rapat [integral] dengan Kalimah tersebut. Umum sedia maklum bahawa Dua Kalimah
ini menjadi pra-syarat bagi memeluk Agama Islam, dan untuk menjadi seorang
Muslim, dan kekal sebagai Muslim! Justru, betapa ramai tokoh dan juga berapa
banyak pihak yang menyeru agar kembali kepada Islam sebenar; untuk mengukuh dan
mendalami Aqidah Tauhid dan memperkasa iman! Namun, belum ada dan tidak ada
seorang tokoh pun bergegas tampil kedepan hingga saat ini, bagi menunjuki dan
mengajari apa dan bagaimana!Justru, penulis mengambil inisiatif dan
tanggung-jawab untuk menangani permasalahan sekritis ini demi kepentingan umat
dan Agama.
Sila lihat Q.S.47:19, bermaksud:
‘ Maka ketahuilah Laa ilaaha illallaah.’
Penulis menggaris-bawahi disini tanpa sebarang kompromi bahawa andai kita
hanya lancar melafazkan dua Kalimah Syahadah, bukanlah bermakna segala tuntutan
Kalimah tersebut telah pun selesai! Fahami benar-benar persoalan ini!
2. TUNTUTAN DUA KALIMAH SYAHADAH
Perkara-perkara menjadi tuntutan wajib keatas umat Islam berkait dengan Dua
Kalimah Syahadah atau Kalimah Tauhid itu adalah seperti berikut:
i] Rukun Syahadah
ii] Fardhu Syahadah
iii] Kesempurnaan Syahadah
iv] Syarat Sah Syahadah
v] Yang Membinasakan Syahadah.
Tuntutan wajib yang lain, antaranya ialah mengetahui dan memahami 50
Aqaidul Iman yang terkandung didalam kalimah tersebut; memahami konsep Nafi dan
Isbat didalamnya dan terpenting, mengetahui dan memahami Rahsia jari telunjuk
tidak digenggam ketika bersyahadat, 9 kali sehari semalam!
3. RUKUN SYAHADAH
Dalam penulisan kali ini kita akan membincang perkara pertama dalam
tuntutan Dua Kalimah Syahadah, yakni, Rukun Syahadah. Berapa ramaikah yang
mengetahui dan menghafalnya sebanding dengan hafalan rukun Negara, dsbnya! Rukun
Syahadah adalah ibu segala Rukun. Mengetahuinya , seperti telah diFirmankan
Allah, adalah Wajib [Fardhu ‘Ain]. Barangsiapa
tidak mengetahui atau memahaminya, maka menjadi Batal Syahadahnya; Batal
Islamnya; malah menjadi Sah Kafirnya! Jangan lah pandang ringan, sampai
tergugat pegangan Akidah kita. Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
4. SOAL-JAWAB
Sayugia, penulis mengajukan perbincangan dalam bentuk soal-jawab, bagi
lebih memudah dan mendekatkan fahaman, seperti berikut:
1] S: Berapakah Rukun Syahadah?
J: Rukun Syahadah itu 4 perkara,
seperti berikut:
A] Mengisbatkan Dzat Allah Taala;
b] Mengisbatkan Sifat Allah Taala; c] Mengisbatkan Af’aal Allah Taala; d]
Mengisbatkan Kebenaran Rasulullah.
2] S: Apakah erti Rukun?
J: Rukun itu adalah dasar
kepercayaan; bererti, Rukun Syahadah adalah dasar kepercayaan atau pegangan
Akidah dalam Syahadah.
3] S: Apakah Rukun pertama dalam Syahadah?
J: Mengisbatkan Dzat Allah Taala.
4] S: Apakah erti isbat?
J: Ertinya ialah menetapkan.
Misalannya, mengisbatkan Si-Zaid berdiri dan menafikan beliau duduk.
5] S: Bagaimana Isbat kepada Dzat Allah Taala?
J: Bermula mengisbatkan Dzat Allah Taala,
yaitu membenar dan menetapkan Dzat itu dengan tidak adanya bandingan dan
sekutunya; berSifat Kesempurnaan, tidak terhingga, Maha Kaya dan Maha Suci dari
sebarang sifat kekurangan. Maha Esa dan Tunggalnya Dzat Allah itu sehingga
wujud selain dariNya adalah bersifat majazi sahaja! Allah berfirman didalam surah Al-Ikhlas,
bermaksud:
‘ Katakanlah [Muhammad],’Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta
segala sesuatu. [Allah] tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak
ada sesuatu yang seumpama/setara denganNya.’
Didalam Hadits Qudsy, Dia menyatakan, bermaksud:
‘ Tuhan ada dan tak ada apa-apa disampingNya.’
Telah tetap adanya Allah dan tidak ada sesuatu pun sertanya Allah. Dia
sekarang adalah pada apa-apa yang telah tetap adanya atasNya.
6] S: Adakah wajib Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu?
J: Ya wajib bagi setiap Muslim
Mukallaf, lelaki dan perempuan Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu.
7] S: Bolehkah mengisbatkan barang yang tiada dilihat itu?
J: Ya, boleh diisbatkan dengan
sekira-kira ‘iktikad keimanan dan keyakinan kita, bahkan dilihat dengan mata
hati. Sila bertanyakan kepada Ahli Muqiniin atau Ahli TarekatSufiyah [Ahli
hakikat].
8] S: Dengan sebab apakah didapati ‘iktikad yang demikian itu?
J: Adalah dengan jalan mengenal
segala Sifat-SifatNya dan menjalani Jalan orang-orang Sodiqin.
Sila lihat Q.S.9:119, bermaksud:
‘ Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah
kamu bersama dengan orang-orang yang benar [Para Sodiqin].
9. S: Apakah sebabnya dapat Mengisbatkan dengan mengenal Sifat?
J: Kerana dengan mengenal Sifat
Allah, dapatlah Mengisbatkan Dzat, oleh kerana Sifat itu berdiri kepada Mausuf.
10. S: Manakah yang dinamakan Jalan orang-orang yang Sodiqin?
J: Yaitulah Jalan orang-orang yang bersungguh-sungguh hati Rohani mereka, zahir dan batin menjalani dan beramal
dengan amalan TareqatSufiyah, sehingga mencapai Hakikat dan Ma’rifat, yang
dengannya dapatlah mereka Mengisbatkan Dzat Allah Taala dengan tahkik dan
setetap-tetapnya [istiqamah]. Seandainya belum lagi, hendaklah kita terus
mencari sehingga mendapatkan WASILAH dan JALAN menuju ke Allah, walhal kita
sering memohon 17 kali didalam Al-Fatihah, didalam Solat, sehari semalam, bahkan
sepanjang hayat kita, agar Allah menunjukkannya. Nah! Sudahkah Allah menunjukki
agar kita memperolehinya dan beramal dengannya?
Sila lihat Q.S.5:35 , bermaksud:
‘ Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah WASILAH
[JALAN] untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berJihadlah [berjuanglah di-JALANNya]
agar kamu beruntung.’
Dan lagi firmanNya Q.S.72:16, bermaksud:
‘ Dan sekiranya mereka tetap berjalan lurus diatas TAREQAH [ JALAN-NYA],
nescaya Kami mencurahkan air hikmah melimpah ruah.’
11. S: Bagaimanakah jika tiada kita Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu?
J: Maka adalah jatuh dalam keadaan
tiada sempurna ‘iktikadnya; kerana terdapat ragu-ragu, syak dzan dan waham.
Bahkan, ‘iktikad yang tidak sempurna juga bermakna Tauhidnya kepada Allah Swt.
tidak ikhlas, tidak murni dan tidak sempurna pula, dan pasti membawa kepada Syirik
dan kesesatan disepanjang hayat, terlebih-lebih lagi diakhirat kelak!
12. S: Manakah dalil menyuruh kita Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu?
J: Sila lihat Q.S. 112:1,
bermaksud: ‘Katakan oleh mu ya Muhammad bahawa Dzat Allah Taala itu Esa.’
Adalah Allah Swt. itu Esa pada Dzat; Esa pada Sifat; Esa pada Asma’ dan juga
Esa pada Af’aalNya. Malah, kita diperintahkan mengisbatkan dan menetapkan
setetap-tetapnya, seyakin-yakinnya didalam pandangan dan penglihatan mata hati
kita. Dalam hubungan ini Allah berfirman Q.S.51:21, bermaksud:
‘ Dan didalam diri mu sendiri apakah kamu tidak memperhatikan?’ Fahamkan
benar-benar!
13. S: Apakah Rukun Syahadah yang kedua?
J: Mengisbatkan Sifat Allah Taala.
14. S: Apakah yang dikatakan Sifat itu?
J: Yang dikatakan sifat itu ialah
suatu rupa, warna atau keadaan yang menggambar dan menentukan sesuatu perkara
atau benda. Misalnya, warna putih menunjukkan kepada zat kapur. Demikianlah
juga dengan Sifat Allah Taala: umpamanya, Sifat Qudrat, yaitu suatu Sifat yang
menunjukkan bahawa Dzat Allah Taala itu Kuasa dan lagi Maha Berkuasa.
15. S: Manakah yang dinamakan sebagai Sifat-Sifat Allah Swt. itu, silalah
senaraikan?
J: Yang dinamakan Sifat-Sifat
Allah Taala itu dan yang wajib diketahui berjumlah 20 Sifat, seperti berikut:
Wujud, Qidam, Baqa, Mukhalafatuhu Taala lil hawadis, Qiyamuhu Taala binafsih, Wahdaniyah,
Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayyat, Sama’, Basar, Kalam, Qadiran, Muridan, ‘Aliman,
Hayyan, Sami’an, Basiran dan Mutakalliman. Untuk perhatian, Sifat-Sifat Allah
yang Mustahil [20 Sifat] dan yang Harus [1 Sifat], tidaklah dibincang kali ini.
16. S: Bolehkah dikenali Dzat tanpa
mengisbatkan Sifat?
J: Tidak boleh, kerana Sifat itu
menunjukkan diri Mausuf [Dzat Allah Taala].
17. S: Bagaimanakah kaedah
mengisbatkan Sifat Allah Taala itu?
J: Bermula kaedah mengisbatkan
Sifat Allah Taala itu ialah ibarat salah satu daripada segala Sifat-Sifat yang
ada didalam alam ini. Umpama, tiada ada yang Kuasa hanya Allah; tiada yang
Berkehendak; tiada yang Tahu; tiada yang Hidup; tiada yang Mendengar; tiada
yang Melihat dan tiada yang Berkata-kata pada hakikatnya hanya Allah; dan sifat-sifat
yang ada pada kita hanya menzahirkan Sifat-Sifat Allah Taala jua adanya.
18. S: Bolehkah Mengisbatkan Dzat Allah Taala dengan tiada Mengisbatkan
SifatNya?
J: Tidak boleh, kerana dapat Mengisbatkan
Dzat Allah Taala itu hanya dengan perantaraan dapat Mengisbatkan SifatNya’
terkecuali atas jalan Majzub dan Wujdan. Orang seperti ini adalah ia mengenal
Dzat Allah Taala terlebih dahulu; kemudian Sifat, Asma’dan Af’aal; bersalahan
Salik dari Af’aal, kemudian Asma’, Sifat dan Dzat.
19. S: Manakah dalil kita diperintah/disuruh Mengisbatkan Sifat Allah
Taala?
J: Dalilnya, seperti firman Allah
Taala didalam Hadits Qudsy, bermaksud:
‘ Tidak menghampirkan diri kepada Aku akan hamba-hambaKu jika mengerjakan
yang Fardhu sahaja, terkecuali, mengerjakan mereka itu akan yang Sunnat
sehingga kasih Aku kepada mereka; jika Aku kasih Akulah Pendengarannya yang
mendengar; Akulah Penglihatannya yang melihat; dan Akulah Lidahnya yang
berkata-kata; hingga akhirnya.
20. S: Apakah Rukun Syahadah yang ketiga?
J: Bermula Rukun Syahadah yang ketiga
ialah Mengisbatkan Af’aal Allah Taala.
21. S: Apakah erti Af’aal?
J: Ada pun pengertian Af’aal itu
ibarat segala perbuatan/perlakuan yang berlaku didalam ‘Alam ini, samaada
terbitnya daripada diri kita atau lain dari diri kita, didunia maupun
diakhirat.
22. S. Bagaimanakah mengisbatkan Af’aal Allah Taala itu?
J. Bermula setiap perbuatan dan perlakuan,
gerak dan diam didalam alam ini, pada hakikatnya adalah dari Allah, seperti wujud
alam ini diwujudkan Allah; bergerak alam ini adalah digerakkan Allah; diam alam
ini adalah didiamkan Allah, dan seterusnya.
23. S. Sila berikan dalilnya hakikat ini?
J. Sila lihat Q.S.39:62,
bermaksud:
‘ Allah-lah pencipta segala sesuatu dan Dialah Memelihara segala sesuatu.’
Dan lagi firmannya, bermaksud:
‘ Allah Taala menjadikan kamu dan segala perbuatan kamu.’
Rasulullah bersabda, maksudnya: ‘ Tidak bergerak suatu zarrah [atom]
melainkan dengan izinNya.’
Adalah wajib kita ber’iktikad, bahawa harus bagi Allah Jalla waAzza,
menjadikan sekelian alam, menjadikan kebaikan dan menjadikan kejahatan.
Persoalannya, bila dilihat pada satu sisi, tidakkah wajib bagi Allah memasukkan
orang-orang beriman yang taat, kedalam Surga Allah dan memasukkan pula
orang-orang Kafir kedalam NerakaNya?
Jawabnya, tidak wajib bagi Allah Taala memasukkan orang-orang beriman yang
taat, kedalam Syurga; hanya harus yaitu, semata-mata kurniaanNya sahaja; dan
tidak pula wajib Allah Taala memasukkan orang-orang Kafir kedalam Neraka; hanya
harus, yaitu semata-mata Keadilannya sahaja! Fahamkan benar-benar!
24. S. Apakah Rukun Syahadah yang keempat [terakhir] itu?
J. Mengisbatkan atau membenarkan dengan
sesungguhnya kebenaran Rasulullah.
25. S. Bagaimanakah kaedahnya?
J. Dengan mengetahui, memahami dan membenarkan keempat-empat sifat Rasul
tersebut, seperti, Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah.
26. S. Sila huraikan satu persatu.
J. Sifat pertama yang wajib bagi Rasul
ialah Siddiq. Siddiq bererti benar, yakni, benar segala Rasul yang pernah
diutus Allah Swt. kedunia ini. Andai Rasul tidak bersifat benar,maka mereka
pasti bersifat dusta, dan jika mereka dusta, dusta pulalah Allah kerana Allah
membenarkan Rasul-RasulNya dengan menzahirkan mukjizat keatas segala
Rasul-RsulNya; yaitu, suatu perbuatan yang menyalahi kebiasaan, dianugerahkan
kepada Rasul-Rasul sebagai hujah dan kebenaran ketika mereka didustakan sekelian
manusia. Umpama, turun bulan terbelah dua dihadapan Nabi Muhammad saw.kemudian
naik bertaut semula kelangit; dan terbit air dari jejari Rasulullah ketika
ketiadaan air bagi Sahabat-Sahabat berwudhuk.
Sifat kedua yang wajib bagi Rasul ialah Amanah, yakni, kepercayaan bagi
sekelian Rasul itu suci dari melakukan yang mungkar, haram dan makruh, zahir
dan batin. Andai Rasul bersifat khianat dengan melakukan yang mungkar, haram
dan makruh, boleh pula kita melakukan yang serupa, kerana kita diperintah Allah
mencontohi sekelian RasulNya.
Sifat ketiga yang wajib bagi Rasul ialah Tabligh yakni, menyampaikan segala
Rasul akan perkara-perkara yang diperintah Allah menyampaikan kepada segenap
makhluk didunia ini. Andai boleh bagi Rasul menyembunyikan akan apa yang
disuruh Allah menyampaikannya, tentu boleh pula kita menyembunyikan apa-apa
yang disuruh kita menyampaikan kepada segenap manusia, kerana kita disuruh Allah
mengikuti RasulNya. Walhal, kita tidak boleh menyembunyikan, apa lagi, Rasul
tidak pula boleh berbuat demikian.
Sifat keempat dan terakhir yang wajib bagi Rasul ialah Fatonah, yakni
cerdik, pintar dan bijaksana Rasul menetapkan setiap yang hak, dan menolak
setiap yang batil. Disamping itu Rasul amat bijaksana mengemukakan hujjah,
jawapan dan penyelesaian apabila berdepan dengan serangan, tentangan, bantahan
dan sanggahan dari kaum Kuffar dan Munafiq.
Demikianlah penggarapan tuntutan Rukun Syahadah yang wajib dituntut oleh
segenap umat yang mengaku memeluk Agama Islam!
5. KEISLAMAN KITA
Sesungguhnya, setelah kita mengetahui dan memenuhi prasyarat bagi menganuti
Agama Islam sebenar-benarnya seperti menunaikan segala tuntutan wajib berkaitan
dengan Dua kalimah syahadah, diikuti pula dengan berterusan melaksanakan
kelima-lima Rukun Islam, khususnya mendirikan Solat 5 waktu. Kelebihan Solat
ialah kerana didalam Solat itu telah terkandung kelima-lima Rukun Islam, dan
pada hakikatnya orang yang mendirikan Solat telah sekali-gus menunaikan kesemua
Rukun Islam, dan sekali-gus menegakkan Agamanya. Perhatikan Hadits Rasulullah
bermaksud:
‘ Perbedaan antara orang-orang Islam dan orang-orang kafir ialah dengan
meninggalkan solat.’ Dan lagi:
‘ Barangsiapa yang meninggalkan Solat dengan sengaja adalah kafir.’
Samaada Solat kita dapat menepati syarat-syarat, kehendak dan objektif
bersolat harus dibincang dalam kesempatan yang lain. Namun, kita telah dapat
membuktikan andai kita melaksanakan semua tuntutan yang tersebut, sesungguhnya
kita adalah orang Islam sebenar!
6. KEIMANAN KITA
KeIslaman itu sifatnya hanya luaran. Justru kita dituntut oleh Allah Swt.
agar mengisi dan melengkapkannya dengan keimanan. Lihat firman Allah bermaksud:
‘ Katakanlah kamu memang telah Islam. Hanya Iman belum memasuki hati kamu.’
Islam tanpa dipupuk dengan Iman,
Tauhid, Taqwa, Ihsan dan Ma’rifah tidak membuahkan sebarang kelebihan, malah
suatu kesiasiaan, dan meletakkan penganutnya dalam kategori:
a] Islam warisan/keturunan; b] Islam taklid/ikutan; c] Munafiq d] Syirik e]
Fasiq dan Zindiq.
Jelaslah,bahawa keIslaman adalah lebih mudah dibuktikan kerana ia merupakan
paparan amalan bersifat zahir, sedangkan keImanan pula adalah bercirikan amalan
dalaman atau bersifat kebatinan, yang hampir mustahil dilihat atau diketahui,
melainkan oleh yang empunya diri! KeImanan adalah berlandaskan kepada pegangan,
kepercayaan dan keyakinan seseorang terhadap Agama Islam, yang seharusnya
dihayati dan dijiwai secara TAHKIK dengan berpaksikan kepada keenam-enam Rukun
Iman yang sedia dimaklumi. Walaupun demikian, terdapat banyak ciri-ciri atau
tanda-tanda pada diri seseorang yang benar-benar beriman, hanya jika kita lebih
prihatin menyedari dan memerhatikannya!
7. TAUHID [AQIDAH] KITA
Pengertian Tauhid ialah aqidah, pegangan, ‘iktikad, pengEsaan dan
penunggalan terhadap Dzat Wajibal Wujud yang bernama ALLAH itu. Lawannya pula
adalah Syirik. Sila lihat Q.S. Muhammad:19, bermaksud:
‘ Ketahui olehmu bahawa tiada Tuhan sebenarnya melainkan ALLAH.’
Inilah Kalimah yang tiada tara, tiada tolok bandingnya dengan
Kalimah-Kalimah Allah yang lainnya. Kalimah ini juga dinamai Kalimah Tauhid,
Kalimah Taqwa, Kalimah Ikhlas dan juga Kalimah Toyyibah. Atas Kalimah ini juga
berdirinya Hukum-Hakam Allah; berdiri yang Halal dari yang Haram; berdiri yang
Hak dari yang Batil, dan atas Kalimah ini juga berdirinya MA’RIFATULLAH! Sila
bertanya kepada Ahlinya!
Kalimah ini jugalah menjadi kunci pembuka Syurga dan penutup Neraka bagi
orang-orang beriman, seperti Hadits Rasulullah, bermaksud:
‘ Barangsiapa pada akhir kalam/hayatnya dapat menyebut/mengingat LAA ILAAHA
ILLALLAAH akan dimasukkan kedalam Syurga.’
Perlu ditekankan disini bahawa majoriti umat Melayu Islam diNegara ini amat
terkeliru atau memandang sepi dan mudah tentang keutamaan, kelebihan,
kepentingan peranan dan implikasi kejahilan dalam memahami Dua Kalimah Syahadah
ini! Kalimah Tauhid ini, walaupun begitu mudah disebut, namun, ketidak fahaman
dan tanpa ilmu, akan mengundang bahaya kekhilafan dan kegelinciran keatas
aqidah sebenar seseorang.
Penulis mengulangi sekali lagi! Pada Kalimah Tauhid ini antara lain, tersimpulnya
sekurang-kurangnya 50 Aqaidul Iman. Tanpa Aqaidul Iman akan terbatallah
Syahadah itu! Perlu mengetahui Fardhu Syahadah; Kesempurnaan Syahadah; Syarat
Sah Syahadah; dan perkara yang membinasakan Syahadah. Syahadah juga mengandungi
Kalimah Nafi dan Isbat, yang mana fahaman yang sempurna amatlah dituntut diatas
kesempurnaan dan sah pelaksanaan Syahadah tersebut. Dan mutakhir sekali adalah mengetahui dan
memahami Rahsia jari telunjuk tidak digenggam ketika mengangkat Syahadah!
Implikasi dari kesemua ini akan menjadi jelas dan amat serius bagi mereka yang
boleh berfikir, punyai firasat dan mata hati! Apakah memerlukan tindakan
susulan? Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
8. MA’RIFAH KITA
Sila perhatikan sebuah Hadits Rasulullah, bermaksud:
‘ Awal Agama adalah mengenal Allah.’
Bererti, andai kita tidak mengenal Allah, maka kita tidak berAgama!
Ma’rifah, bermakna mengenal, yakni, kita dikehendaki mengenal Allah yang
disembah, terlebih dahulu, kemudian baharulah kita dikehendaki menyembahNya.
Kedapatannya, lumrah dan lazim menyembahNya tanpa terlebih dahulu mengenali
objek yang disembah! Justru, mana mungkin kita berupaya mencapai ‘Khusyuk’
dalam Solat, tanpa kaedah yang betul!
Juga pengertiannya, dengan Ma’rifah baharulah beramal, dan bukannya dengan
beramal baharulah berMa’rifah! Oleh yang demikian, Rasulullah berJihad/berjuang
selama 13 tahun untuk menegakkan Kalimah Tauhid dan menyemarakkannya,
khususnya, dikalangan Keluarga, para Sahabat, dan sekelian umat Islam dizaman
itu, bagi penyempurnaan Iman, Tauhid dan Ma’rifah mereka. Kemudian dari itu
baharulah Rasulullah diIsra’Mi’rajkan untuk menerimah watikah dan perintah
mewajibkan Solat 5 waktu keatas umat Islam seluruhnya, dari Allah Jalla waAzza.
Sayugia ditekan dan diperingatkan bahawa Kalimah LAA ILAAHA ILLALLAAH juga
adalah Kalimah Ma’rifah. Dengannya sahaja kita, umat Islam dapat mengenali
Tuhan kita, ALLAH, secara ‘TAHKIK’ disamping dapat mengenali diri kita yang
sebenar-benar ‘diri’, seperti kata Ulama TareqatusSufiyyah, bermaksud:
‘ Barangsiapa mengenal dirinya, mengenal ia akan Tuhannya.’ Bagaimana –
sila tanyakan kpd Ahlinya!
9. KEUTAMAAN DZIKIR LAA ILAAHA ILLALLAAH
Berkata Abu Said r.a. bahawa Rasulullah bersabda, bermaksud:
‘ Allah Swt. telah berfirman: ‘ Berkata Nabi Musa a.s.: Ya Tuhanku! Ajarilah
aku sesuatu yang dapat aku menyebut NamaMu dan berdoa kepadaMu! Menjawab Allah
swt.:Wahai Musa! Katakanlah Laa ilaaha illallaah! Berkata lagi N.Musa: Ya
Tuhanku! Semua hamba-hambaMu mengucapkan demikian! Lalu Berfirman Tuhan:
Katakanlah: Laa ilaaha illla Anta Rabbi [Tiada Tuhan melainkan Engkau ya
Tuhanku!]. N.Musa berkata: Sesungguhnya, aku ingin mengucapkan sesuatu yang
khusus baguku sahaja! Berfirman Allah Swt.:
Wahai Musa! Andai diletakkan seluruh 7 petala langit dan isi-isinya dan
seluruh 7 petala bumi dan isi-isinya, selain Aku, disatu sisi neraca timbangan
dan Kalimah Laa ilaaha illallaah di satu sisi yang lain pula; lalu ditimbang
kedua-duanya, nescaya lebih beratlah lagi neraca Kalimah Laa ilaaha illallaah
itu!
Hadits diatas tuntas menjelaskan betapa paling utama dan betapa beratnya
pahala orang-orang yang beramal atau berdzikir dengan kalimah tersebut!
Malaikat Djibril a.s. mengakui dan menyatakan bahawa beliau tidak pernah
membawa sesuatu bingkisan atau amalan yang lebih hebat, sarat dan terlebih
afdhal dari Kalimah Laa ilaaha illallaah!
Maka Rasulullah bersabda, bermaksud:
‘ Seafdhal-afdhal dzikir ialah membaca/menyebut Kalimah Laa ilaaha
illallaah.’
‘ Barangsiapa yang membaca Kalimah Laa ilaaha illallaah sebanyak 70,000
kali,[ yakni sekhatam Tahlil], maka dimerdekakan ia dari api Neraka.’
Beramallah dengan yang lebih utama atau bertanyalah kepada Ahlinya! Fahamkan
benar-benar!
10. KESIMPULAN DAN PENUTUP
Jelas dari sintisis dan huraian dalam risalah ini, dapatlah kita memahami
bahawa Agama Islam itu adalah himpunan dari Ilmu dan kefahaman [Baca: Bukan
bertaklid buta/ikut-ikutan], amalan dan penghayatan ciri-ciri integral dan
penting yang telah dipaparkan, yang amat menuntut kefahaman mantap dan
kesempurnaan dalam pelaksanaan elemen dan ciri-ciri tersebut; disamping
menegakkan suruhan dan tegahan Allah Swt. Kendati, ini sekaligus membolehkan
kita menentukan ‘STATUS’ diri kita sendiri didepan dan dipenglihatan Allah
Taala! Dengan kaedah ini dan kesedaran
baru yang bertamu dan bertemu dalam diri kita, baharulah kita akan dapat
merasakan diri kita sebenar-benarnya berAgama, berTuhan, berIman, berTauhid dan
berMa’rifah, sebagaimana dituntut oleh Allah Taala, bertepatan dengan
firmannya, bermaksud:
‘ Tidak Aku ciptakan Djinn dan manusia melainkan bagi mengabdikan diri
mereka kepadaKu.’
‘ Sembahlah Tuhanmu hatta, sehingga datang keyakinan [ajal].’
‘ Sesungguhnya kita dari Allah dan kepadaNya kita dikembalikan.’
INSYAALLAH!
Diharapkan Anda berpuas hati kerana dapat menggarap mesej dan intipati dari penjernihan isu pokok
dalam risalah ini; sebagai suatu usaha berfadhilat dan bermanfaat maksimal . Dikesempatan
lain, pena ini akan terus menyambung penulisannya demi peningkatan ilmu,
kemaslahatan ummah sejagad, dan kelangsungan semarak Agama Islam yang kita
cintai.
Allah adalah sebaik-baik tempat kembali!
Amin – Ya Robbul ‘Izzati! Wabillahit Taufiq!
TABARAKALLAHU ROBBIL ‘ALAMIN.
29.01.2013. BLOG TN.MADRASATUL BAITUL ADAM, SHAH ALAM, MALAYSIA.