Thursday, May 28, 2009

HUKUM BERTARIKAT

APAKAH HUKUM BERTARIKAT KE-ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA
BERSERTA DENGAN DALIL-DALIL DAN NAS-NAS SOHIH

BISMILLAAHIR ROHMAANIR ROHIM

Duhai Sahabat,

Telah sampai kepemerhatian kami persoalan-persoalan berkisar dan berhubung-kait dengan Tarikat-Sufiah dari berbagai-bagai pihak dan kelompok, dari dalam mahu pun dari luar Negara. Permasalahan diajukan berkisar pada hukum-hakam, asal-usul Tarikat-Sufiah, Silsilah, bentuk amalannya, kifiat zikir, upacara ritualnya, kesohihan amalannya, siapa perintis/Shaikh dan
pengamalnya, bila tersebar dan berkembangnya, pengaruhnya, apakah amalan ini dari Sunnah,
apakah ia masih relevan, apakah bahaya beramal dengannya atau tidak beramal dengannya dan sebagainya.
Terlebih penting, apakah amalan ini Islamik?

Soalan, soalan, soalan, yang menuntut jawaban!

1] ILMU FARDHU 'AIN WAJIB DITUNTUT

Jumhurul Ulama sepakat menetapkan bahawa seluruh umat Islam [mukallaf] yang akil baligh dan berakal adalah wajib menuntut 3 jenis ilmu semasa hayatnya, yaitu:

1] ILMU USULUDDIN/TAWHID
2] ILMU FIQH/FEKAH/SYARIAT
3] ILMU TASAWWUF

Dalam praktiknya, kesempurnaan Islam dalam diri seseorang adalah apabila ia merangkumkan
ketiga-tiga Ilmu seperti diatas, misalnya, dalam ilmu Tawhid ia mengetahui dan berpegang teguh
kepada I’tikad/Aqidah yang Hak/benar terhadap Allah dan Rasul; andainya tidak maka ia akan jatuh Syirik.

Dalam ilmu Fiqh/Fekah/Syariat pula, ia akan mengetahui segala Hukum-hakam , peraturan,
kaedah, syarat dan rukun setiap ibadah; andainya tidak maka, terbatallah ibadah tersebut.

Dan dalam Ilmu Tasawwuf pula, ia akan mempelajari ilmu tatacara pembersihan hati dari
penyakit-penyakit Mazmumah/Rohani/batin [misalnya riak], kerana penyakit batin yang
bersarang didalam hati sanubari seseorang itulah yang menyebabkan tidak diterima Allah
akan amal-amal ibadahnya lantaran amal tersebut bercampur baur dengan riak, megah,
takabbur, angkuh, hasad dan sebagainya, walau ia seorang ‘Abid atau tokoh Ilmuan
sekali pun.

Justeru, mana mungkin ketiga-tiga Ilmu tersebut, yang saling lengkap-melengkapi, dipisah-pisahkan menurut selera dan nafsu kita masing-masing!

Majoriti umat Islam hanya cenderong untuk belajar Ilmu Fiqh dan Tawhid sahaja kerana mudah
untuk dipelajari sendirian melalui buku/kitab dalam jurusan tersebut. Kerana telah terbiasa dengan amalan-amalan mudah dalam kedua bidang tersebut, masyarakat Melayu terus membudayakan pembelajaran ilmu-ilmu tersebut turun temurun, dari satu generasi ke satu generasi. Ditambah
pula oleh momokan ‘tokoh-tokoh Ilmuan Agama’ yang melarang masyarakat mendekati Ilmu
Tarikat/Tasawwuf dengan alasan-alasan yang tidak berasas!

Paling bahaya, mereka terus menyangka, menerima dan menetapkan bahawa hanya kedua-dua
Ilmu itu sahaja yang wajib dipelajari/dituntut dan mereka telah pun layak bergelar orang Islam sejati.

Sebenarnya, pendirian ini telah tersasar amat jauh sekali!

Kerana, hanya segelintir, umat Islam yang cenderong mempelajari dan beramal dengan Ilmu
Tasawwuf, walau pun Ilmu Tasawwuf ini adalah termasuk dalam kategori Ilmu Fardhu 'Ain
dalam Agama Islam.

Apakah sebabnya majoriti umat Islam sering merasa gusar, memandang sinis, membenci,
sekali-gus menjauhi Ilmu Tasawwuf?

2] DEFINISI ILMU TASAWWUF

Ilmu Tasawwuf mencakupi suatu bidang Ilmu yang amat luas berhubung dengan tatacara
mengendali diri manusia melalui penyucian diri dan penjernihan amalan-amalan serta ibadah,
sehingga menghasilkan keluhuran budi-pekerti dan akhlak terpuji dalam diri manusia, dan
mencapai kesucian hidup dalam konteks hubungan dengan manusia dan, paling utama ialah
interaksinya dan transaksinya dengan Penciptanya, yakni, ALLAH S.W.T.

Pada hakikatnya, Ilmu Tasawwuf itu amat mendokong dan menyempurnakan pengamalan
kedua-dua Ilmu Fiqh dan juga Ilmu Tawhid tersebut.

Barangkali khalayak juga kurang faham, kurang mengerti atau tidak mengetahui bahawa
Ilmu Tasawwuf adalah juga sinonim dengan apa yang dipanggil, Ilmu Tarikat-Sufiah,
Ilmu Hakikat, Ilmu Makrifat, Ilmu KeTuhanan dan sebagainya.

Sememang dizaman Rasulullah nama Tasawwuf belum pernah wujud, namun intipati ilmu
Tasawwuf telah pun diajar Rasulullah, bersumberkan al-Quran dan di amalkan oleh para
sahabat dan para SalafusSoleh, zaman berzaman sehingga kehari ini.

3] PERKATAAN TARIKAT DISEBUT DALAM AL- QURAN

Walau pun perkataan Tasawwuf belum wujud diawal penyebaran Agama Islam, namun
perkataanTARIKAT/TORIK ada disebut didalam al-Quran sebanyak 9 kali didalam
5 buah Surah, seperti berikut:

1] Surah an-Nisa – sebanyak 2 kali,
2] Surah Thoha – 3 kali,
3] Surah al-Qaf – 1 kali,
4] Surah al-Mukminun – 1 kali, dan
5] Surah al-Jinn – 2 kali.


4] DALIL-DALIL DAN NAS-NAS SOHIH ILMU TARIKAT-SUFIAH

Firman Allah, Quran Surah al-Jinn, ayat 16, bermaksud:

‘ Dan bahawasanya jika mereka tetap/teguh berjalan lurus diatas TARIKAT itu,
benar-benar kami akan limpahkan kepada mereka air Rahmat yang
melimpah-ruah [rezeki yang banyak]’

Rasulullah pula bersabda, bermaksud:

‘ Syariat itu adalah kata-kata ku, Tarikat itu adalah kelakuan ku, Hakikat itu adalah
ehwal ku, dan Makrifat itu adalah kepala harta ku.’

Penjelasan kata-kata seperti Syariat, Tarikat, Hakikat dan Makrifat itu adalah berkait
antara satu dengan yang lain, beza pada lafaznya tetapi yang satu menyempurnakan
yang lain.
Misalnya, Syariat itu pohonnya dan Hakikat itu adalah buahnya. Pohon dengan buah
tidak dibezakan kerana tidak ada orang bercucuk tanam untuk mendapatkan pohonnya
sahaja melainkan menuju buahnya. Dan buahnya itu [Tasawwuf] tidak akan keluar
sebelum adanya Syariat.

Berkata Imam Ahmad Hambal:

‘ Barangsiapa yang mempelajari Syariat Islam tanpa melakukan Tasawwuf,
maka ia menjadi Fasiq, dan barangsiapa yang melakukan Tasawwuf sebelum
ia mengerti Syariat Islam dengan benar, maka ia menjadi zindik. Barangsiapa
yang menyatukan kedua-duanya, itulah Islam sebenarnya.’

Pada hakikatnya, seorang Sufi sebelum ia menjadi Sufi, ia telah menjadi Faqih
terlebih dahulu, bahkan telah menjadi Imam dalam pelbagai Ilmu Fiqh dan Ilmu
Kalam. Akan tetapi Ilmu Tasawwuflah yang telah membuahkan pengetahuan
yang lebih halus dan jernih, dan Zauq yang mendalam kedalam jiwa mereka.
Lebih dari itu, deria perasaan mereka menjadi lebih sempurna dan oleh itu
dapat memantapkan seluruh amalan dan ibadah mereka dengan ikhlas
lagi khusyuk.

Apabila seorang Faqih itu tidak mempunyai Ilmu mengenai hal ehwal kaum Sufi
dan istilah-istilah mereka, maka ia adalah seorang Faqih yang kering.
Seorang Faqih apabila Ilmunya tidak digilap dengan Ilmu Tasawwuf yang benar,
maka Imannya tidak dimantapkan dengan Taqwa yang sungguh-sungguh;
kemudian dilatih dan dihalusi oleh sifat-sifat Wara’, maka ia lebih mudah
diperkotak-katikkan oleh hawa nafsunya sendiri.

Maka, adakah menghairankan jika terdapat dalam masyarakat Melayu,
tokoh Agama atau orang dewasa bergelar Datuk, datuk atau Pak Haji
terbabit dan disabitkan dengan jenayah maksiat?!

Berkata Ibni Khaldun:

‘ Asal utama dari ajaran Tarikat/Tasawwuf itu adalah tekun beribadah dan
berhubung langsung kepada Allah ; menjauhkan diri dari kemewahan duniawi;
tidak suka kepada apa yang diburu oleh ramai manusia seperti cenderong/asyik
kepada kesukaan harta-benda dan kemegahan; malah lebih senang bersunyi-sunyi
diri dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.’

Penjelasan ini mencerminkan kesempurnaan dalam tatacara/kaedah perjalanan
serta amalan Ahli-ahli TarikatSufiah yang Hak. Tegasnya, Kaum Sufi ini hanyalah
mencontohi perjalanan Rasulullah serta para-para Sahabatnya; mereka bertaqwa,
beribadah dan berdoa semata-mata kerana Allah dan tidak sekali-kali meminta
sebarang ganjaran dan pembalasan.

Maka adalah suatu perkara yang amat menghairankan/aneh apabila Ahli-ahli
TarikatSufiah [SUFI] yang begitu patuh kepada Syariat dan Sunnah Rasulullah,
dan tidak pernah engkar mahu pun melanggar Hukum-hukum Syariat Allah,
telah dikecam hebat dan dituduh oleh Pihak Berwajib dan khalayak, sebagai
tidak berpegang kepada Syariat Islam.

5] IMAM-IMAM MAZHAB YANG EMPAT

FaktaSejarah menunjukkan bahawa keempat –empat Imam Mazhab Fiqh ada
belajar dan mengamalkan Ilmu TarikatTasawwuf dari tokoh-tokoh Sufi yang
tersohor dizaman itu, seperti berikut:

1] Imam Syafie’ dan Imam Ahmad Hambal berguru kepada Syaikh Maaruf Kharkhi;
2] Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru kepada Imam Jaafar Siddiq.

Maka kita dapat merumuskan bahawa Ilmu Fiqh/Syariat dengan Ilmu TarikatTasawwuf
amat berkait rapat, bak isi dengan kuku, bak aur dengan tebing dan saling memerlukan
dan melengkapkan.

Jika tokoh besar seperti Imam-imam Mazhab Fiqh yang empat, menjadi rujukan,
ikon/ikutan billion Umat Islam dahulu dan sekarang, dan tokoh Hujjatul Islam, Imam
Al-Ghazali, pun belajar dan mengamalkan Ilmu TarikatTasawwuf, kami tidak
nampak dimana logiknya Umat Islam sekarang menjauhi Ilmu tersebut,
seperti menjauhi wabak penyakit kusta, atau selsema babi!


6] TOKOH HUJJATUL ISLAM – IMAM AL-GHAZALI

Didalam kitab Bidayat al-Hidayah, Imam al-Ghazali berkata;

‘ Sepatutnya orang yang mengajar ilmu itu menegah murid-muridnya daripada
dilalaikan oleh pelajaran ilmu Fardhu Kifayah, sebelum mereka selesai mempelajari
Ilmu-ilmu Fardhu ‘Ain yang tiga perkara; yakni, Ilmu Tawhid [Usuluddin], Ilmu Syariat
[Fiqh], dan Ilmu Tasawwuf [Tarikat].’

Tegasnya lagi:

‘ Bahawa kaum Sufi itulah [Ahli Tasawwuf] yang benar-benar telah menempuh jalan
yang telah dirintis oleh Nabi Besar Muhammad S.A.W. dan yang dikehendaki oleh
Allah S.W.T.’

Didalam kitab Ihya ‘ulum al-din, beliau menegaskan lagi:

‘ Barangsiapa yang tiada baginya bahagian untuk mengetahui Ilmu TarikatTasawwuf,
dikhawatiri ia akan menemui seburuk-buruk kematian, dan sekurang-kurang bahagian daripadanya ialah mengakui [membenarkan] dan bersangka baik dengan Ahli-ahlinya.’

Kenyataannya adalah, Ilmu TarikatTasawwuf itu dapat menghidupkan hati yang mati
dan mematikan Nafsu syahwat yang rendah [haiwaniah dan dikutuk Allah] dalam diri seseorang;
dapat memperlihatkan aib diri sendiri yang sering menghijab dan mendindingi seseorang dari
Allah, dan akan terus jauh dariNya. Ilmu, selain TarikatTasawwuf, sering mengakibatkan hati
menjadi keras dan sering pula menghiasi aib seseorang [sehingga dirasakan sebagai
kelebihan pula], dan menjadikan pengamalnya bersifat megah, sombong, bongkak dan
angkuh, yakni, ciri-ciri sifat Mazmumah yang amat disukai nafsu tetapi amat dibenci oleh Allah!

Didalam kitabnya berjodol ‘Al-Munqiz minad dholal’ [Pembebasan dari Kesesatan], Imam
Al-Ghazali membuat penjelasan panjang-lebar dan pengakuan seperti berikut:

‘ Aku amat tertarik kepada kehidupanTarikatSufiah [kesufian] atau jalan
Kerohanian/kebatinan. Nyata sekali jalan ini tidak dapat ditempuh, kecuali dengan ilmu
dan amal kedua-duanya. Menempuh Tarikat/Jalan ini bererti menghadapi pelbagai
tanjakan-tanjakan batin, dan menunjukkan amal itu lebih banyak kepada pembersihan diri.
Hal ini perlu untuk mengosongkan batin manusia, dan kemudian mengisinya dengan
ZIKIR kepada Allah Ta’ala. Bagiku, ilmu itu lebih mudah dari amal, maka, segeralah
aku mulai mempelajari ilmu Sufi serta membaca kitab-kitabnya, antara lain adalah
karya-karya Abu Thalib al-Makki, al-Haris al-Muhasibi, Al-Junaid, al-Syibli, dan Abu
Yazid al-Busthami. Dengan demikian, dapatlah aku memahami tujuan mereka.
Maka aku ketahuilah, yang lebih dalam lagi hanya dapat dicapai dengan deria
Perasaan, Zauq, pengalaman dan perkembangan kerohanian/kebatinan.
Amatlah jauh perbezaan antara mengetahui erti sihat atau kenyang dengan mengalami
Sendiri rasa sihat dan kenyang itu. Mengalami keadaan mabuk lebih jelas daripada
hanya mendengar keterangan tentang ertinya. Walhal, yang mengalaminya mungkin
belum mendengar sesuatu keterangan tentang perkara tersebut. Doktor yang sedang
sakit amat arif tentang erti kesihatan. Tetapi ia sendiri sedang tidak sihat. Mengetahui
ertinya dan syarat-syaratnya Zuhud tentu tidak sama dengan memiliki sifat Zuhud.
Yang penting bagi mereka adalah pengalaman, bukan perkataan [actions and not
mere words]. Maka, apa yang dapat dicapai dengan ilmu telah ku capai. Selanjutnya
haruslah dengan Zauq dan menjalani kaedah Suluk/Khalwat. Aku yakin benar-benar,
kaum TarikatSufiah itulah yang betul-betul menempuh jalan yang dikehendaki
oleh Allah Ta’ala. Merekalah golongan yang paling utama cara-cara hidupnya;
paling tepat tindak-lakunya dan paling tinggi budi pekertinya.
Bahkan, andaikata semua para ‘uqala, Hukama, para ahli Hukum dan Ilmu;
para Ulama yang tahu rahsia Syara’; semua itu dihimpunkan untuk mencipta
cara yang lebih utama daripada cara Sufi itu, tiadalah akan memberi hasil;
sebab, segala gerak-gerik mereka [kaum Sufiah], baik zahir mahu pun batin,
adalah diterangi Sinar dari Cahaya Kenabian.
Didunia ini tidak ada cahaya yang lebih terang daripadanya.’

Tegasnya, Ilmu TarikatTasawwuf adalah pusaka keagamaan dalam Islam dan menjadi
sebahagian dari Syariat Islam yang terpenting dan WAJIB dianuti dan dihayati oleh umat
yang mengaku berAgama Islam dan berTuhankan Allah S.W.T!


7] APAKAH BAHAYANYA JIKA KITA TIDAK MENEMPUH/BERTARIKAT KE-ALLAH?


Terdapat terlalu banyak bahaya dan risiko bagi seseorang yang tidak/belum menjalani
Tarikat ke-Allah S.W.T. Antara faktor-faktor yang amat kritis/trajis dan terpenting adalah
seperti berikut:

I] Tidak dapat mengenal sebenar DIRInya.
Ii] Tidak dapat mengenal Tuhan sebenarnya.
Iii] Tidak dapat mencapai khusyuk didalam Solat, sebab tidak kenal yang menyembah,
masakan boleh kenal yang disembah.
Iv] Berpenyakit Rohani [jiwa]; merasa resah gelisah, tidak keruan/tenteram,mudah
cemas,jiwa kosong, hidup tak bahagia,tiada ketenangan,walau kedudukan tinggi dan
harta bertimbun.
V] Amalan dan hidup tak mendapat Barokah Allah [berkat].
Vi] Dikhawatiri mati dalam ‘SU’UL KHATIMAH.’
VII] Tidak menurut SUNNAH dan jejak langkah Rasulullah S.A.W.
VIII] Dan lain-lain.

8] PENDIRIAN ULAMA SUFI MUKTABAR

Perhatikan Firman Allah, Quran Surah al-Ahzab, ayat 72, bermaksud:

‘ Sesungguhnya Kami telah mengemukakan AMANAT kepada langit , bumi dan
gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul AMANAT itu, dan mereka
khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah AMANAT itu oleh manusia.
Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.’


Pada hakikatnya, AMANAT tersebut adalah RAHSIA besar yang dipertaruhkan oleh Allah
kedalam dada manusia, sehingga manusia yang berjaya memelihara, memahami dan
mencapai maksud sebenarnya, dinobatkan Allah kepersada Khalifah dan kewalian,
seperti Firman Allah Quran, Surah al-Baqarah, ayat 30, bermaksud:

‘ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah dimuka bumi.’

Hanya melalui pemahaman dan pengamalan Ilmu TarikatSufiah sahaja, rahsia dari segala
rahsia dapat dirongkai/leraikan, melalui fasa-fasa Mujahadah sehingga kematlamat akhirnya,
seperti diisyaratkan oleh Firman-firmanNya, antaranya, bermaksud:

‘ Ingatlah, bagi Allah adalah Dzat Yang Maha Mengetahui semua makhluk dan semua urusan
[memerintah]. Maha Suci Allah Tuhan semesta alam.’ Al-A’raf:54.

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhati
kan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok [akhirat] dan bertaqwalah kepada Allah,
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.’ Al- Hasyr:18.

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah Wasilah/Tarikat/Jalan
yang mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah pada Jalan/TarikatNya, supaya kamu
mendapat keberuntungan.’ Al-Maidah:35.

Dan FirmanNya lagi Quran, Surah Al-Ankabut, ayat 69, bermaksud:

‘ Barangsiapa yang berjuang dipihak Kami, pasti akan Kami pimpin ia keJALAN Kami.’

Dan lagi FirmanNya, bermaksud:

‘ Dan berjihadlah kamu pada Jalan/Tarikat Allah dengan Jihad yang sebenar-benarnya.’

Dan lagi FirmanNya, bermaksud:

‘ Tunjukilah aku keJalan yang lurus/benar.’

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Disisi Allah adalah tangga-tangga kenaikan [mi’raj].’

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Mengangkat Allah Ta’ala akan orang-orang beriman dan yang diberi ilmu akan beberapa
pangkat yang tinggi.’

Lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Kedudukan mereka itu bertingkat-tingkat disisi Allah.’

Dan lagi Firman Allah, bermaksud:

‘ Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara
main-main sahaja dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami.’

Penegasan dari Dalil-dalil diatas menjadi Hujjah dan paksi, kenapa berTarikat ke-Allah adalah
WAJIB hukumnya, dari kacamata dan pendirian Ulama TarikatTasawwuf muktabar, dari dahulu
sehingga kini dan selamanya!

Jika diperhalusi, jelas amalan-amalan ilmu TarikatTasawwuf terdapat pada asal Syara’, baik
dari yang terpancar dari sumber al-Quran, al-Hadith, al-atsar atau al-Ijma’.
Ianya jelas akan membawa umat kesuatu tujuan pengamalan Syariat Islam yang sebenarnya,
sesuai dengan yang dikehendaki Allah dan RasulNya!

Dalam erti-kata lain, Tasawwuf itu sah berasal dari ajaran Islam dan tidak diragukan
kebenarannya, dan selayaknya digiat terus pengamalan dan perkembangannya!

9] SERUAN DAN PESANAN

Duhai Sahabat!

Ketahuilah bahawa tujuan/matlamat akhir menguasai Ilmu Tarikat/Tasawwuf itu adalah
untuk kembali kehadrat Allah, bertemu dengan Allah, hingga mendapat redho Allah!

Perhatikan Firman Allah, bermaksud:

‘ Barangsiapa buta didunia akan buta juga diakhirat, bahkan lebih sesat lagi.’

Dari itu bukalah mata, minda dan hati anda bagi menyahut cabaran amat getir ini,
sebelum anda dipanggil pulang untuk bertemu denganNya tanpa persediaan
secukupnya! Berdoalah! Berserahlah!

Carilah seorang tokoh yang ahli dalam bidang itu, walau beliau tak dikenali ramai, namun
mempunyai kepakaran dan Silsilah penerimaan Ilmu, terus keRasulullah.

Jangan merujuk/belajar dari tokoh-tokoh Ilmuan yang glamor kerana yang akan anda
perolehi diakhir nanti hanyalah glamor juga! Kecuali itu yang anda cari!

Rumah siap pahat berbunyi,
Kail sejengkal lautan ingin diuji,
Rosak jam jangan dihantar ke tukang besi,
Rosak labu kerana tikus mudah dipercayai!

SELAMAT MENCARI DAN MEMPEROLEHI!
INSYAALLAH DIPERKENAN ILAHI!

NOTA: Akan menyusul nanti perbandingan kaedah dan nilai amal antara orang-orang yang
berTarikatTasawwuf dan yang tidak. Nantikan! InsyaAllah!

Sunday, May 3, 2009

MISI KAMI: MENYEDARKAN/MEMBAWA UMAT MANUSIA KEMBALI KEPADA ALLAH, MENEMUKAN ALLAH HINGGA MENDAPAT REDHA ALLAH.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

BETAPAKAH TENATNYA AGAMA ISLAM SERTA UMATNYA DEWASA INI?!

JIWA AGAMA DAN UMAT TENAT DAN LESU

SERUAN KEPADA SATU BILLION UMAT ISLAM SEDUNIA!


Aduhai Saudara,

1. Scenario Umum

Pemandangan dan lakaran umum tentang jiwa/roh umat Islam sedunia adalah amat tenat, menderita penyakit, merana, layu, dhoif dan lesu.

Apakah kita yang tidak memenuhi janji kepada Allah atau Allahkah yang telah melupakan janjiNya?

Ketahuilah duhai pembaca bahawa kita dilahirkan 14 abad lebih setelah pemergian Rasulullah, yakni, pada masa umat Agama Islam telah kehilangan arah dan Qiblat, bertuhankan hawa nafsu yang jahat lagi sesat!

Apakah dunia ini dan segala isinya akan terus kekal selepas 14 kurun berlalu atau pun tidak, hanya Allah sahaja yang tahu.
Apakah dunia ini akan dikiamatkan selepas 14 abad ini terserahlah kepada Allah. Allah yang Maha Mengetahui!

Sebuah hadith Rasulullah yang disampaikan kepada kami berbunyi:

'La yabqo ummati illa arba'a 'asyrata qurni'

Bermaksud: 'Tidak kekal umatku hanya 14 kurun'

Bayangan Hadith ini telah amat jelas kelihatan dimana-mana bahawa sebenar-benarnya umat Rasulullah/Islam telah hampir
pupus dari muka dunia ini.
Jika diumpamakan kita menjahit kain dan diumpamakan Rasulullah sebagai sebuah lampu besar, maka kita menjahit kain
semakin berjauhan dari cahaya lampu, dan besar kemunkinan kerja jahitan kita itu tidak akan selesai dan selamat.

2. 300 TAHUN CEMERLANG KEMUDIAN BERPENYAKIT

Satu mu'jizat Rasulullah menyatakan dihadapan kawan dan lawan, bermaksud:

' Sebaik-baik manusia adalah semasa 100 tahun pada masaku, kemudian zaman mereka yang mengiringi mereka; kemudian
bertebaranlah kedustaan. Maka janganlah kamu bersandar akan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka itu.'

Dari bayangan Hadith tersebut, hanya 300 tahun sepeninggalan Rasulullah, umat Islam telah mulai menderita penularan berbagai penyakit.
Jika kita tinjau keadaan kehidupan umat Islam dalam lapangan politik, ekonomi, mahu pun sosial dan kebudayaan dan jika kita
bandingkan dengan kehidupan bangsa-bangsa lain yang tidak menganut Agama Islam, kenyataannya, umat Islam masih jauh
ketinggalan dalam pelbagai bidang. Lebih kritis dan tragis adalah umat Islam sedang menderita sakit yang tidak mudah mengubati
nya.

Seorang yang sedang mengidap penyakit jiwa pastilah tidak patut diangkat/dinobat menjadi Khalifah dimuka bumi ini.
Pada hal Allah telah berfirman dalam Surah an-Nur, ayat 55, bermaksud:

'Allah sudah berjanji kepada orang-orang beriman dan mentadbir keamanan daripada kamu sekelian, akan diangkat menjadi
Khalifah diatas bumi ini, sebagaimana angkatan Khalifah kepada orang-orang sebelum mereka itu.'


3. PEMERINTAH ZALIM


Yang mula-mula menderita sakit jiwa adalah Raja-Raja Islam , pemimpin-pemimpinnya dan para-para Hakimnya. Manakala Raja-Raja,
pemimpin dan para Hakim telah jatuh sakit jiwa mereka, sudah pastilah segala rakyat dan Negaranya akan jatuh binasa.

Perhatikan sabda Rasulullah, bermaksud;

'Akan datang suatu masa pada umatku bahawa raja-raja mereka itu seperti singa, dan pemimpin/pembesar mereka itu sepert harimau,
dan Qodhi-qodhi [Hakim] mereka itu seperti anjing hutan, dan manusia umumnya adalah seperti kambing.'

Betapakah akan hidup kambing itu ditengah-tengah kelompok singa, harimau dan anjing hutan?
Tidak sahaja jiwa Raja-raja Islam, pemimpinnya dan para-para Hakimnya yang telah jatuh sakit, lesu dan layu, bahkan jiwa Ulama-ulama
Islam pun tidak sedikit pula yang dihinggapi penyakit berbahaya ini.

Perhatikan sabda Rasulullah, bermaksud:
Dari Saidina Ali menceritakan bahawa Rasulullah bersabda:

' Sesungguhnya akan datang suatu zaman atas manusia bahawa tidak akan tinggal Islam itu hanya namanya sahaja;
tidak akan tinggal al-Quran itu melainkan kulitnya sahaja. Masjid-masjid bertebaran tetapi tidak lagi menjadi tempat mencari petunjuk.
Ulama-ulamanya akan menjadi makhluk yang terburuk/terhina dibawah langit. Dari Ulama-ulamak mereka itu akan timbul pelbagai fitnah
dan kepada Ulama-ulamak itu akan kembali fitnah-fitnah tersebut.'


4. TERJERUMUS 6 GOLONGAN DAN AKHIR ZAMAN


Nanti dihari kiamat, Ulama-ulama itu akan dijerumuskan kedalam Neraka disebabkan sifat hasad yang bergelora didalam dada mereka.
Seperti sabda Rasulullah, rawahul Dilami dari Ibnu Omar, dari Anas r.a. bermaksud:

' Adalah 6 kaum yang akan dijerumuskan kedalam api neraka tanpa ditanya terlebih dahulu yaitu: Pertama, Raja/pemimpin-pemimpin
sebab aniayanya. Kedua, orang Arab disebabkan mempertahankan adat dan kebangsaannya. Ketiga, ketua-ketua/pembesar kaum kerana
sombongnya. Keempat, saudagar-saudagar kerana khianatnya. Kelima, orang-orang awam yang totok kerana jahilnya. Keenam, Alim Ulama
kerana hasadnya.'

Kalau demikianlah perilaku jahat keenam-enam golongan tersebut pastinya akan binasa seluruh dunia Islam dimuka bumi ini.

Perhatikan lagi sabda Rasulullah, bermaksud:

' Aku terlebih takut atas kamu daripada Dajjal akan seorang lain daripada Dajjal.' Maka sembah Sahabat,' siapa mereka itu ya Rasulullah?'
Mereka itulah Ulama yang jahat.'

Disebabkan Ulama-ulama itu telah begitu buruk/hina perilaku mereka, sudah pastilah dalam dunia Islam akan timbul kejahilan; seterusnya,
kebinasaan, seperti lagi sabda Rasulullah, bermaksud:

' Akan terjadi nanti diakhir zaman hamba-hamba Allah yang JAHIL dan PEMBACA-PEMBACA al-Quran yang FASIQ.'

Ya, bagaimana suasana diakhir zaman telah pun dibayangkan oleh Rasulullah dengan sabdanya, bermaksud:

' Peliharakanlah hidup engkau hai Ibnu Mas'ud sebab akan datang suatu zaman dimana, banyak pemidato tetapi sedikit manusia yang
berpengetahuan, banyak peminta-peminta tapi sedikit sekali yang suka memberi, bahawa NAFSU yang mengendalikan pertumbuhan
ilmu pengetahuan.' Lalu ditanya sahabat, ' Bila saatnya ya Rasulullah?' Menjawab Rasulullah, ' Bila ibadah solat tidak hidup dan berjiwa lagi,
wang sogok [rasuah] menjadi permintaan masyarakat. agama dinilai orang dengan harga yang sangat murah. Awas-awaslah, celaka engkau.!

Rasulullah menerangkan lagi keadaan umat diakhir zaman dengan sabdanya, bermaksud:

' Akan datang suatu masa dalam sejarah masyarakat umatku dimana Iman mereka hanya tinggal nama sahaja lagi, keIslaman hanya tinggal
pada tulisan sahaja, dan al-Quran hanyalah merupakan pelajaran yang tidak diendahkan/diamalkan pada zaman itu, perhatian manusia hanya
tertumpu kepada soal perut/nafsu semata-mata, dan isteri [perempuan] dijadikan berhala barang sembahan dan mata wang dijadikan Agama.
Manusia tidak merasa puas dengan yang banyak dan tidak pula sanggup memadakan yang sedikit, dan penzinaan dilakukan terang-terangan.'

Lagi sabda Rasulullah, bermaksud:

' Akan keluar pada akhir zaman beberapa kaum/Partai, muka mereka seperti muka manusia tetapi hati mereka itu seperti hati Syaitan.'

Kalau hati mereka seperti hati Syaitan pastilah pergerakan seluruh anggota mereka seperti perbuatan Syaitan.

Perhatikan lagi sabda Rasulullah, rawahul Muslim dan Nasai' dari Ali Abi Talib dalam Kitabul Maskat, bermaksud:

' Nanti bakal akan datang diakhir zaman atas umatku perempuan-perempuan menjadi qiblat mereka, dan mata wang bakal menjadi Agama
mereka itu; Ulama-ulama mereka itu JAHIL walhal perkataan-perkataan Ulama itu seperti perkataan Nabi-nabi, namun tingkah-laku mereka itu
adalah seperti FIR'AUN.'

Dari Hadith-hadith yang dipaparkan tadi betapa nyata dan tuntasnya kenyataan yang dapat dilihat; betapa bermahrajalelanya Raja-raja
Islam; bagaimana curangnya Pemimpin-pemimpin/Pembesar Negara dan Bangsa; betapa zalim/jahatnya Hakim-hakim Negara dan betapa
ganas dan busuknya para Ulamanya!

5. RUNTUH

Oleh kerana pemerintah telah begitu binasanya, maka manusia awam pula telah dirundung penyakit jahil dan lalai lagi Fasiq, maka runtuhlah
Negara Islam dan tergulinglah mahkota Khalifah Islam, maka binasalah urusan umat Islam yang 1 billion; kucar-kacirlah urusan politik dan ekonomi
Negara; hancurlah socio-budayanya. Dengan demikian akan menjadi mudahlah bangsa asing yang tidak beragama Islam berbuat sewenang-
wenang terhadap umat Islam yang mereka anggap seperti makanan yang akan dibagi-bagi antara mereka!

Seperti telah dibayangkan oleh sebuah lagi hadith Rasulullah, bermaksud:

' Akan datang suatu masa nanti bahawa umat Islam ini akan dibahagi-bahagi dan diperlakukan oleh umat yang lain seperti keadaan orang
bersama makan memperlakukan makanan mereka.'
Para Sahabat mendengar perkataan Rasulullah yang demikian itu lalu menjadi hairan dan memikirkan, mengapakah umat Islam yang seharusnya
ditakuti itu menjadi begitu keadaannya?
' Apakah umat Islam diwaktu itu amat sedikit bilangannya, ya Rasulullah?
Menjawab Rasulullah, ' Tidak! Kamu umat Islam ketika itu adalah banyak, tetapi keadaan kamu adalah seperti BUIH air yang tidak berharga.
Didalam hatimu terasa sifat rendah diri dan musuh-musuhmu tidak segan-segan lagi terhadapmu. Disebabkan kamu ketika itu telah
terjerumus dalam penyakit MENCINTAI KEMEWAHAN DUNIA sehingga kamu lebih suka bersenang/berpoya-poya daripada berjuang/berjihad
kerana kamu telah menjadi takut mati meninggalkan kemewahan itu.'

Inilah satu lagi mu'jizat Rasulullah yang telah disabdakannya.

6. BERPECAH DAN RISIKO

Sekarang, dalam tempoh seribu tahun yang akhir ini, kita dapat menyaksikan keadaan umat Islam diseluruh dunia yang sering hilang muafakat,
bertelagah, bermusuhan dan berpecah-belah kepada pelbagai puak, kelompok, golongan dan partai; membentuk fahaman/ideologi/politik
sendiri yang tidak menjadi pemangkin kepada kesatuan, persatuan dan perpaduan ummah sejagad!

Namun, dalam masa yang sama, ketika umat Islam bergelut dengan permasalahan perpecahan, orang-orang bukan Islam pula bersungguh-
sungguh membangunkan Negara mereka sehingga berjaya memperteguhkan kuasa dan pengaruh keseluruhan dunia.

Inilah realiti keadaan umat Islam yang amat trajis dan menyedihkan berdepan pula dengan umat bukan Islam yang teguh kuasa dan
pengaruhnya. Kekuatan pertahanan, socio-ekonomi, socio-politik dan kebudayaan negara-negara bukan Islam amatlah ketara dihadapan
mata kita. Betapakah rahsia dan agenda kuasa-kuasa besar terhadap negara-negara Islam itu, Allah telah pun menerangkan kepada umat
Islam dengan FirmanNya, Surah al-Baqarah, ayat 120, yang bermaksud:

' Tiada suka kepada engkau orang-orang Yahudi, begitu pun orang-orang Nasrani, sehingga engkau menurut Agamanya.'

Perhatikanlah blok-blok raksaksa yang hendak menelan dunia Islam bila-bila masa sahaja, walhal umat Islam masih mabuk kepayang
mengenang-ngenangkan sejarah kegemilangan ketamadunan zaman nenek moyang mereka yang telah lama pun ditelan zaman.

Satu kenyataan, memang benar, janji Allah telah ditepatiNya, yakni, selama 300 tahun Allah telah mengangkat manusia sebagai
Khalifah dimuka bumi, sehingga sinar kegemilangan Islam bercahaya menyinari keseluruh pelosok dunia. Namun, kemudian daripada itu,
kebanyakan umat Islam telah mula lupa kepada Allah dan Syariat Islam sebenarnya. Umat Islam tidak lagi menghayati Agama Islam
sebenarnya, malah menganggap Agama Islam sebagai asing. Mereka lebih selesa dan spontan mendakap kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan
yang bukan Islamik.

Justeru, Allah terus mencabut segala nikmat kebesaran dan kuasa umat Islam lalu menjadi lumpuh, lesu, hening dan sepilah dunia Islam
tiada bermaya, seperti Firman Allah, Surah al-An'am, ayat 44, bermaksud:

' Manakala mereka lupa kepada peringatan yang Allah berikan kepada mereka, maka Allah membukakan untuk mereka itu segala
pintu nikmat dan kesenangan, sehingga apabila mereka bersuka ria dan berpoya-poya dengan kesenangan itu, maka dengan tiba-tiba
Allah mendatangkan siksa kepada mereka sehingga mereka berputus asa.'

7. SATU PERSAMAAN DAN PERLU BERSATU

Apakah keadaan umat Islam sekarang dalam menderita siksa atau tidak, hanya pembaca-pembaca budimanlah yang dapat
mengadilinya!

Jika kita selidiki dengan agak mendalam akan susunan Agama Islam itu, ternyatalah umat Islam diseluruh dunia, pada hakikatnya,
mereka itu hanya satu, Allah satu, Rasul satu, Quran satu, Qiblat satu dan mereka semua tunduk kepada hukum Syariat Agama
yang satu. Kemudian, Allah dan RasulNya mendatangkan Perundangan hidup supaya umat Islam itu bersatu-padu dalam segala
hal, seperti FirmanNya, bermaksud:

' Berpegang teguhlah kamu dengan agama Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.'

Lagi FirmanNya, bermaksud:

' Bahawa orang-orang mukmin seluruhnya adalah bersaudara.'

Lagi sabda Rasulullah, bermaksud:

' Bahawa orang mukmin sesamanya hendaknya seumpama rumah yang berdiri diantara asas/alat-alatnya, kukuh mengukuhkan.'

Demikianlah anjuran Allah dan Rasulnya supaya mereka bersatu-padu.

Walau pun pelbagai persidangan dunia Islam diadakan dan untuk sekian kalinya, disamping pelbagai usaha menyatukan didunia Islam
dengan ribuan kalinya, namun sudahkah umat Islam itu bersatu? Sudah berjayakah OIC, satu-satunya pertubuhan Islam dalam perencanaannya?

Kesannya masih mendukacitakan!

8. RAWAT DAN URUS DIRI

Hanya satu sahaja pilihan umat Islam untuk menjayakan agenda-agendanya yakni, dengan mendahulukan susunan batin, persatuan jiwa
dan Rohaniah yaitulah BERKEKALAN MENGINGATI ALLAH.
Jika ini dapat dilaksanakan, pasti dalam masa jangka pendek sahaja persatuan umat Islam sedunia akan dapat diciptakan; dan pastinya,
pangkat Khalifah dimuka bumi ini tidak akan terlepas dari tangan umat Islam!

Persepsi realiti kehancuran umat Islam senantiasa terbayang, bahkan bangsa asing melihat umat Islam dengan pandangan sinis
dan penuh kebencian. Hanya diplomasi kepura-puraan sahaja yang menyelamatkan keadaan dari menjadi lebih buruk.

Betapakah keadaan umat Islam sekarang kian buruk dan tidak bererti lagi? Kenyataannya bahawa jiwa umat Islam sedang menderita sakit
tenat, merana, layu dan lesu telah dijelaskan didalam al-Quran, bermaksud:

' Pada hati mereka itu berpenyakit.'

Lagi Firman, bermaksud:

' Jangan menyangkal tapi telah penuh karat-karat [sifat kejahatan] dalam hati mereka.'

Perhatikan pula sabda Rasulullah, bermaksud:

' Zikrullah itu menyembuhkan [membaikkan] hati.'

9. HATI ITU RAJA

Dan lagi sabda Rasulullah, bermaksud;

' Bagi tiap-tiap sesuatu itu ada alat mencucikannya, dan bahawasanya alat bagi mencucikan hati adalah ZIKRULLAH.'

Andainya hati manusia disusun dengan zikrullah, maka persatuan zahir tentu akan mudah dilaksanakan, walhal, anggota zahir
itu adalah rakyat dari Hati[Raja], kerana hati adalah Raja.

Cubalah kita renung bahawa kurnian Allah Ta'ala yang dilimpahkanNya keatas umat Islam terdahulu, ketika umat Islam bermusuh-musuhan,
maka Allah mempersatukan hati mereka umat Islam, seperti FirmanNya, bermaksud:

' DipersatukanNya hatimu memeluk Agama Islam, maka jadi bersaudaralah kamu dengan nikmat yang diberikanNya.'

Justeru, lihatlah betapa kejayaan, kemajuan, kukuh dan kuatnya persatuan umat Islam dimasa hidupnya Rasulullah, dan 300 tahun
sepeninggalan Baginda Rasulullah. Disebabkan umat Islam diwaktu itu mendahulukan persatuan batin/ persatuan Rohani, sehingga
kedudukan umat Islam dimasa itu amat disegani oleh kawan dan lawan!

Maka dalam saat umat Islam sedang menderita tenat sakit jiwa, merana, layu dan lesu ini, dan dalam hati kita itu berjangkit/menular
penyakit sifat-sifat Mazmumah, keruntuhan budi dan akhlak telah bermahrajalela, perhubungan batin dengan Allah telah terputus,
sehingga Negara dan masyarakat menjadi kacau-bilau, BAIKLAH KITA KEMBALI KEPADA ALLAH; yakni untuk memperbaharui
hati yang telah diliputi oleh bermacam-macam penyakit itu.

Penjelasan lanjut, perhatikan sabda Rasulullah, bermaksud:

' Bahawasanya, dalam tubuh manusia ada segumpal daging, apabila baik ia baiklah tubuh sekeliannya, dan apabila binasa ia,
binasa pula sekelian tubuhnya, ketahuilah, sesungguhnya daging itu adalah HATI.'

Andainya dalam hati telah berdiri zikrullah dikatakanlah hati itu baik, maka baiklah segala perbuatannya. Bererti, baiklah seluruh dunia
dan segala isinya.

Kalau dalam hati itu telah berdiri sifat kejahatan, yakni, lupa lalai kepada Allah, maka dikatakanlah hati itu binasa dan binasa pulalah
seluruh anggotanya, bahkan binasalah dunia seluruhnya!

Jelasnya, lupa dan lalai kepada Allah adalah pokok segala kebinasaan dan kecelakaan dunia akhirat; dan ingat kepada
Allah adalah pokok kebahagiaan dunia akhirat!

Mari kita perhatikan lagi Firman Allah, Surah ar-Ra'ad, ayat 28, bermaksud:

' Bermula segala mereka yang percaya akan Allah Ta'ala dan tetap hati mereka itu dengan zikrullah Ta'ala, ketahui olehmu bahawa
dengan zikrullah itulah tetap segala Hati.'

Didalam ayat tersebut Allah menerangkan bahawa setiap orang yang beriman dan mengingati Allah, itulah orang-orang yang beroleh
hati yang tetap dan jiwa yang tenang/tenteram.


10. CIRI-CIRI IMAN SERTA ZIKIR


Seseorang yang dikatakan beriman adalah orang yang percaya dan yakin akan kebesaran, keadilan dan kebijaksanaan Allah
yang Maha Esa, dan kuat berpegang kepada Syariat agamanya.

Orang yang beriman apabila ditimpa bahaya, dilanda dukacita dan gelisah resah dalam kesempitan hidup, dia akan segera
mengerjakan zikrullah dan dengan segera segala kedukacitaan itu akan hilang. Andai tidak dirawat dengan zikrullah, kesusahan
yang datang bertubi-tubi itu berkemungkinan membawa kepada putus asa dan membunuh diri!

Iman dan zikrullah bukan sahaja berupaya menangkis serangan yang mendatang bahkan, Iman dan zikrullah itu adalah menjadi
sumber kekuatan yang sangat perkasa,sebagaimana kita telah melihat rentetan sejarah perjuangan umat Islam terutama dizaman
300 tahun sesudah pemergian Rasulullah.

Fahamkanlah Firman diatas tadi, bahawa orang yang beriman itulah yang tetap/tenang hati mereka mengerjakan zikrullah.
Kemudian itu, ditegaskan, dikuatkan dan ditahkikkan lagi dengan memahami maksud Firman Allah tersebut yang berbunyi:
' Ketahuilah bahawa dengan zikrullah akan tetap/tenanglah hati manusia.'
Jika dikatakan SiAli tetap hatinya dirumah SiFatimah, ertinya hati SiAli senang dalam rumah SiFatimah.

Apabila kita telah beriman dan berjiwa tenteram, maka Allah akan menyeru kepada orang itu agar kembali kepadaNya dengan
FirmanNya, bermaksud:

' Wahai jiwa/hati/nafsu yang tenang tenteram, kembalilah kepada Tuhanmu, sambil bersuka dan disukai Allah, justeru, masuklah
kedalam golongan hambaKu yang soleh, dan masuklah kedalam SyurgaKu.'

Perlu ditegaskan bahawa dalam tempoh 300 tahun setelah pemergian Rasulullah, umat Islam telah menjadi Khalifah dimuka bumi ini.
Anehnya, setelah tempoh tersebut, umat Islam sendirilah yang menjatuhkan pribadinya yakni, dengan menghidupkan sifat-sifat
Mazmumah didalam hati mereka yang berkesudahan dengan keruntuhan dunia Islam itu, sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu.

11. BINA UMMAH

Oleh yang demikian, marilah kita bina dan bangunkan pribadi unggul umat Islam dengan pembinaan yang sebaik-baiknya, yakni,
dengan menyingkirkan segala sifat-sifat Mazmumah dalam diri kita, dan menghidupkan pula sifat-sifat Mahmudah dalam hati kita
masing-masing.

Dengan lain perkataan, bukanlah Allah yang tidak adil, malahan umat Islam sendiri yang bersifat tidak adil dan tidak jujur terhadap
dirinya sendiri.

Perhatikan FirmanAllah, bermaksud:

' Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum, melainkan mereka sendiri merubah keadaan diri mereka sendiri.'


12. SARANAN ZIKRULLAH DAN MUTAKHIR


Justeru, marilah terlebih dahulu, semua umat Islam merubah keadaan dan pribadi kita yang telah rosak binasa, dengan
MENETAPKAN ZIKRULLAH didalam hati kita.

Zikrullah itu adalah satu-satunya penawar bagi mengubati/merawat hati yang sakit/tenat.

Hanya dengan zikrullah, dapatlah kita pulihkan moral/maruah/semangat.
Hanya dengan zikrullah, dapatlah kita bendung keruntuhan akhlak dan korapsi.
Hanya dengan zikrullah, terurus dan tersusunlahlah hati umat Islam.

Jika hati seluruh umat Islam terrawat, terurus dan tersusun dengan NUR ZIKRULLAH, insyaAllah terlaksanalah persatuan
yang zahir untuk menegakkan Syiar Agama, bangsa, ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan Negara serta umatnya,
dan didokong padu pula oleh kekuatan ROH ISLAM yang dihayati bersama!

TABARAKALLAHU RABBUL 'ALAMEEN!