BISMILLAA HIRRAHMAA NIRRAHIIM
ANTARA TAUBAT DAN ISTIGHFAR
DUHAI SAHABAT!
ALHAMDULILLAH!
Anda adalah tergolong daripada mereka-mereka yang telah mendapat Hidayah dari Allah dan beriman kepadaNya, andainya anda
telah bergerak dan menghayun langkah pertama menuju kehadrat Allah, setelah melaksanakan perentah TAUBAT seperti yang telah
kami sarankan diRisalah yang lalu!
Ya! BERTAUBAT adalah langkah pertama bagi seorang insan dewasa bagi menempuh jalan al-Haq [kebenaran], dengan berjalan diatas
jalan Syariat dan Hakikat, lantas terus menemukan Allah diakhir perjalanannya [Ma'rifatullah]. Seperti FirmanNya, bermaksud:
' Wallahu yahdi mayyasya' ila sirotimmustaqeem' , bermaksud:
' Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, kepada JALAN yang BENAR/LURUS.'
Ketahuilah, tanpa mendahulukan bertaubat maka segala amalan-amalan ibadah kita yang lain tidak akan mempunyai erti, percayalah!
Sebagai perbandingan, Majlis pengajian Agama diMadrasah atau Mesjid tidak akan membenarkan si-mumayyiz [belum berkhitan] mencapuri
perkumpulan tersebut kerana akan mencemari kesuciannya. Begitulah dengan alasan yang sama seseorang yang belum melaksanakan
taubat tidak seharusnya mencampuri Majlis Halaqah/Zikrullah! [Baca: Majlis Pencinta Allah; bukan majlis/pesta berjenaka untuk si-Badut].
Apakah ini suatu persoalan pelik? Sebenarnya, tidak! Jika kita menuruti logiknya sahaja, kita akan dapati bahawa setiap orang yang
belum/tidak bertaubat itu adalah senantiasa menggalas dan membawa dosa didalam dirinya. Maka apakah sesuatu ibadah yang suci, yang
dilakukan demi kesucian Allah itu boleh dilonggokkan/campur-adokkan didalam diri/jiwa yang tercemar/ternoda tanpa terlebih dahulu
mensuci-bersihkan dirinya. Sila lihat Firman Allah, bermaksud:
' Beruntunglah [bahagia] orang-orang yang mensucikan jiwanya; dan merugilah mereka yang mengotorinya.'
Sungguh suatu soal yang aneh, apabila seorang dapat mengerjakan taat, namun hatinya bersifat keras lagi busuk! Bagaimanakah seorang
yang zahirnya kelihatan baik, dapat menggauli masyarakat lalu berjemaah dan berkhidmat sedang diri sendiri terus-terusan dalam maksiat,
angkuh dan sombong; dan bagaimana akan dapat berhadap kepada Allah jika seseorang senantiasa berlumuran dengan kotoran dan najis!
Bagi mencetuskan kesedaran dan penyesalan kepada umat semua betapa rapuhnya usia manusia, lihatlah sahaja kepada insiden-insiden
kematian saban hari pemergian saudara-saudara kita tanpa kita duga yang membawa berbagai kesedihan, dukacita, penyesalan dsbnya.
Ragutan nyawa yang tidak mengenal usia, martabat dan pangkat yang amat memilukan jiwa.Samaada pemergian mereka-mereka ini telah
diawali dengan bertaubat, tidaklah kita ketahui; andainya sudah maka beruntunglah mereka; andainya tidak, ibarat pemergian mereka
tersebut adalah dengan membawa beban barang-barang bercukai, yang akan terlebih dahulu dihisab bagi menentukan pelepasannya!
Apakah anda tidak ingin meneruskan perjalanan anda, melalui lorong BEBAS-CUKAI?
2. SARANAN BERTAUBAT
Adalah kebanyakan kita walau serius dalam merintis kehidupan, mencari ilmu kehidupan, mencari pangkat dan menghimpun kekayaan untuk
kaum kerabat; namun tidak serius bila berdepan dengan kematian dan persoalan-persoalan yang menanti disebalik kematian itu. Kita lebih
bersikap tidak-apa dan sering menangguh persoalan tersebut kerana diatas keyakinan bahawa yang akan mati adalah orang lain; aku masih
punyai kesempatan dan masih terlalu awal untuk buat persediaan diri untuk menempuh apa yang dipanggil kehidupan diakhirat, [ Yaumul Akhirah
dan Yaumul Mahsyar] yang masih terlalu jaauuh! Sedangkan, sedarlah anda bahawa perkara yang paling hampir dengan kita adalah
KEMATIAN itu sendiri.Saatnya bila-bila sahaja, hanya kita malas, takut atau enggan memikirkannya! Sebabnya, masing-masing punyai alasan
tersendiri!
Namun, Allah sendiri yang memberi jawapannya didalam Surah al-Qiyaamah, bermaksud:
' Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu [hai manusia] mencintai kehidupan dunia.' Dan lagi;
' Apakah manusia mengira bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja [ tanpa pertanggung-jawapan.']
Seharusnya, semua permasalahan akan terjawab dan menjadi beres apabila kita memahami persoalan mengenai TAUBAT dan mengambil
keputusan dan melangkah terus melaksanakannya.
Sila lihat Firman Allah, Surah an-Nur, ayat 31, bermaksud:
' BerTAUBATlah kamu sekelian kepada Allah, hai orang-orang beriman, supaya kamu beruntung.'
Dan FirmanNya lagi, Surah at-Tahrim, ayat 8, bermaksud:
' Hai orang-orang beriman, berTAUBATlah kepada Allah dengan TAUBAT NASUHA [ Taubat setulus/semurni-murninya].
Sabda Rasulullah bermaksud:
' Orang yang berTAUBAT daripada dosa itu ialah seperti mereka yang tiada berdosa; dan orang yang meminta ampun dosa-dosanya,
walhal, ianya masih berkekal melakukan dosa-dosa ialah seperti orang yang berolok-olok dengan Tuhannya.'
Cara dan kaedah bertaubat pula haruslah dipelajari dari seseorang yang arif tentang kaedah tersebut yang mana ia sendiri telah pun
melaksanakannya, kerana taubat yang benar lagi sempurna hanyalah langkah pertama untuk menuju Allah. Faktor kritis yang menggerakkan
seseorang untuk bertaubat tidak lain adalah dari perasaan dan naluri takut dalam diri seseorang. Perasaan takut ini adalah kurniaan Allah
semata-mata.Seseorang yang menerima kurniaan ini sahaja yang mengetahui hakikat TAKUT itu, yakni, takut akan murkaNya, takut akan
kehilanganNya, takut akan kehilangan Rahmat dan kasih sayangNya, takut berjauhan, takut dan malu melakukan kemungkaran selagi dalam
pemerhatianNya dan takut akan hukuman yang dijatuhkan olehNya.
Sungguh taubat dapat menghasilkan taat kepada Allah , kerana dosa hanya menjadikan seorang itu berhalangan untuk mengerjakan taat
dan kebaikan dan menjadi hilangnya ketawhidan; belenggu dosa itu bukan sahaja penghalang malah membuat hati menjadi kesat, keras dan
hitam untuk berkhidmat kepada Allah; seterusnya berat dosa tersebut merintangi kemudahan dalam melakukan sebarang ketaatan dan terus
menjauhkan seorang hamba dari Tuhan.
Persoalan Taubat bagi Umat Muhammad amatlah mudah perlaksanaannya; hanya kita jangan sekali-kali mengambil mudah akan persoalan
tersebut. Ikuti mukaddimah atau pendahuluan dan persyaratan bagi mencetuskan keinginan serta rasa keperluan untuk melaksanakan taubat
a] Kita ingat dan sedar bahawa dosa itu adalah suatu yang amat buruk dan keji;
b] Sedar akan murka dan amat kerasnya hukuman Allah. Kita tidak akan termampu menghadapi itu semua kerana beratnya.
c] Sedar akan kelemahan diri kita sendiri bagi menahan dan menanggung hukuman Allah.
Sebagai perbandingan, al-Quran ada menyebut kaedah bertaubat bagi kaum Nabi Musa a.s., bermaksud:
' Hai kaumku, sesungguhnya kamu telah menganiaya dirimu sendiri kerana kamu telah menjadikan anak lembu [sembahanmu], maka
bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan BUNUHLAH DIRIMU. Hal itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang
menjadikan kamu; maka Allah akan menerima taubatmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.'
Walau pun Ulama tafsir menafsirkan ayat BUNUHLAH DIRIMU sebagai 'cabutlah nyawamu', namun Ulamak Tasawwuf mentakwilkannya
sebagai ' bunuhlah nafsu dalam dirimu yang jahat , seperti nafsu syaitan iblis, Kufur, Syirik, Fasiq, Munafiq dan sebagainya, dengan menggunakan
kaedah BERTAUBAT! Dan bukannya dengan maksud 'membunuh diri' yang lazim kita fahami, seperti yang digambarkan oleh Ulamak tafsir tersebut.
Sedangkan kita maklum membunuh diri itu adalah suatu perbuatan keji lagi sesat dan amat dilarang oleh Syariat Islam!
3. TAKUT ATAU ENGGAN BERTAUBAT
Apakah alasan yang dapat kita umat Islam kemukakan diatas keengganan untuk bertaubat?
Alasan-alasan antara lain adalah sebagai berikut:
a] Tidak rasa bersalah atau berdosa yang memungkinkan diri untuk bertaubat.
b] Suka menangguh atau menunda keperluan bertaubat kehari-hari kemudian tanpa merasakan keperluan keras untuk melakukannya
secepat mungkin.
c] Merasa masih terlalu muda usia atau terlalu awal kerana belum bersedia untuk menuntut ilmu Agama dan beramal.
d] Jahil akan Agamanya.
e] Hanyut oleh arus tipudaya dunia, seperti menganggap dunia ini kekal dengan serba kemewahan dan keseronokan yang dapat diperoleh
darinya.
f] Merasa cukup puas dengan keadaan keampuhan dirinya dan tidak memerlukan Tuhan dan AgamaNya.
g] Takut kehilangan peluang dan kesempatan untuk terus melakukan kemungkaran dan maksiat yang telah biasa dan berdarah-daging
dalam dirinya.
h] Takut dicemuh kerana kelihatan taksub, alim dan wara.
i] Takut kehilangan teman-teman dan rakankongsi seperjuangan dalam hal-hal kemungkaran [Partners in Crime].
j] Tuhan tidak menginginkan taubatnya dan ia dimasukkan didalam kategori orang-orang yang diberi tangguh.
k] Beranggapan Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dan bagaimana pun cara hidup dan prilakunya akan akhirnya memperoleh
pengampunan juga! Subhanallah!
4. BERISTIGHFAR [Memohon Ampun Dari Dosa]
Sifat orang-orang yang berTAQWA kepada Allah, adalah senantiasa menggunakan saban waktu memohon kepada Allah semoga dosa-dosa
mereka diampuni Allah. Beristighfar adalah termasuk dalam salah satu rangka dari rangkaian Iman dan Islam, yang wajib ditegakkan oleh
seluruh umat manusia Islam dimuka bumi ini.
Allah telah memerintahkan supaya para hambaNya BERISTIGHFAR.
Antaranya ayat-ayat bermaksud seperti berikut:
' Dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.' al-Muzammil:20. Dan lagi,
' Maka bertasbihlah kamu dengan memuji Tuhanmu serta memohon ampunlah kamu kepadaNya, sesungguhnya Dia Maha Menerima
Taubat.' an-Nashr: 3.
Ayat-ayat diatas menegaskan bahawa diantara tugas yang diperintahkan kepada umat manusia untuk dilaksanakan dengan sempurna
dan sebaik-baiknya ialah tugas BERISTIGHFAR [ memohon ampun kepada Allah dari segala dosa]. Setiap manusia dengan sendirinya
harus merasakan keperluan beristighfar, kerana setiap manusia itu pasti ada berbuat dosa! Kerana itu, berbahagialah orang-orang yang
dapat mempergunakan kesempatan ini sebaik-baiknya!
5. TA'RIF ISTIGHFAR [Definasi]
ISTIGHFAR - bererti - menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah seraya memohon ampun dari segala dosa. Dengan memahami
pengertian istighfar itu, nyatalah bagi kita bahawa hanya semata-mata menyebut-nyebut dengan cara lisan Kalimah-kalimah:
ASTAGHFIRULLAH, ASTAGHFIRULLAH, ASTAGHFIRULLAH...
tidaklah ada gunanya, jika tidak disertai oleh kehadiran, oleh hati, jiwa dan fikiran yang bulat/kuat berserta keinsafan, ingin/hendak
memperoleh keampunan Allah. Oleh yang demikian, seharusnya istighfar itu dilakukan bersama-sama oleh lisan yang mengucapkan
dan oleh jiwa yang benar-benar tunduk, tawadhuk dan mengharap akan beroleh ampunan dari Allah.
6. KEUTAMAAN ISTIGHFAR
Keutamaan-keutamaan ISTIGHFAR banyak terdapat didalam al-Quran dan al-Hadith, dan antaranya:
a] ' Mohonlah olehmu kepada Tuhanmu ampunan dari segala dosa, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Dia akan memberikan kepadamu
kenikmatan-kenikmatan yang cukup baik dan memuaskan hingga batas waktu yang telah ditentukan, dan Dia akan memberikan kemuliaan
kepada setiap orang menurut kadar masing-masing.' Surah Hud:3.
b] ' Dan orang yang apabila terperosok mengerjakan kejahatan atau menganiaya diri mereka sendiri, nescaya mereka segera mengingati
Allah, lalu mereka memohon ampun kepadaNya dari segala dosa-dosa mereka.' Surah Ali Imran:135.
c] ' Dan barangsiapa mengerjakan sesuatu kejahatan atau menganiaya diri sendiri, kemudian ia memohon ampunan kepada Allah terhadap
dosanya, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.'
d] ' Barangsiapa memperbanyak istighfar, nescaya Allah melegakan tiap-tiap kegelisahan [gundah] mereka, melepaskan tiap-tiap kesempitan
mereka dan memberikan rezeki secara tidak terduga.' [Rawahul Abu Daud.]
e] ' Bahawasanya orang Mukmin apabila berbuat satu dosa, timbullah suatu titik hitam dihatinya. Jika ia bertaubat, menjauhkan diri dari dosa
itu seraya meminta ampun, maka licin/bersihlah hatinya kembali. Tetapi, jika ia menambah dosanya, hatinya akan bertambah hitam sehingga
seluruhnya menjadi gelap. Itulah yang menutupi hati, telah diterangkan Allah dalam kitabNya: Tidak, sekali lagi tidak, sebenarnya hati mereka
telah ditutupi oleh dosa-dosa yang mereka lakukan.' [Rawahul an-Nasai'.]
f] ' Apabila berdosa seseorang hamba lalu segera mengucapkan: Allahummaghfirli, wahai Allah, ampuni kiranya dosaku; berkatalah Allah:
Hambaku telah berdosa, tapi ia tahu bahawa Tuhannya akan menyiksanya lantaran dosanya dan memberi ampun terhadap dosanya itu.
Hambaku, berbuatlah engkau apa yang engkau kehendaki dari amalan-amalan yang baik. Aku telah mengampuni dosamu.' [ al-Bukhary Muslim].
7. TEMPATNYA ISTIGHFAR [Amat penting]
Sayugia diketahui bahawa perbuatan ISTIGHFAR itu seharusnya dilakukan sesudah perlaksanaan TAUBAT. Oleh itu seseorang yang hendak memohon
ampun akan dosanya, haruslah terlebih dahulu melaksanakan perkara-perkara berikut:
a] Meninggalkan semua jenis maksiat.
b] Menyesali segala perbuatan maksiat yang telah terlanjur dikerjakan.
c] Bercita-cita dan berazam tidak akan mengulangi perbuatan maksiat tersebut.
Setelah syarat-syarat diatas dilaksanakan sejujur/seikhlasnya, barulah ia mempergunakan kesempatan ISTIGHFAR tersebut.
Lihat Firman, Surah Thaha:82, bermaksud:
' Dan bahawasanya Aku sangat-sangat memberikan ampun kepada orang yang BERTAUBAT, beriman dan mengerjakan amal soleh, sesudah
itu ia terus-menerus tetap dalam jalan yang benar.'
8. FADHILAT ISTIGHFAR
Orang-orang yang beristighfar akan mendapat faedah-faedah berikut:
a] Memperoleh keutamaan dari Allah dan anugerahNya.
b] Meruntuhkan tipu-daya iblis dan menghancurkan kesesatan yang disarankannya.
c] Menegaskan bahawa tiap-tiap sesuatu itu hanya berhasil dengan iradah Allah jua.
d] Menawarkan hati yang rusuh, resah gelisah dan gundah kerana dosa.
e] Menghilangkan kesempitan, kesusahan, meluaskan rezeki dan memenuhi hajat.
f] Memperoleh bahagian yang tertentu dari Allah.
g] Mensucikan diri dari kesalahan.
h] Mencegah Malaikat mencatat kesalahan. Apabila seorang hamba membuat dosa, berhentilah Malaikat pencatat seketika dari menulis
kesalahan itu didalam buku catatan amalan orang itu.Ia menanti-nanti kalau orang itu segera beristighfar ketika itu juga. Maka jika
benar orang yang berdosa itu beristighfar, tiadalah jadi Malaikat itu menuliskan dosa tersebut.
i] Membersihkan hati dari lalai dan terhindar dari alpa dan lupa.
j] Menghampirkan diri kepada Allah.
k] Mewujudkan kemuliaan Allah dan menyeruNya dengan nama-namaNya yang Husna.
l] Mengkifarahkan sepuluh dosa.
m] Menjadi sebab diterima Taubat dan memperoleh 'Husnul Khatimah.
n] Memperoleh keselamatan dan kesejahteraan dunia akhirat.
o] Menjadi kekasih Allah.
p] dan lain-lain.
9. TANDA TAUBAT DITERIMA
Antara isyarat-isyarat menandakan taubat diterima:
1. Hati menjadi lapang, lembut, lunak dan lebih khusyuk.
2. Perasaan menjadi halus, mudah tersentuh dan airmata mudah bergenang atau bercucuran.
3. Lebih cenderong dan suka kepada ketaatan dan melakukan kebajikan.
4. Membenci dan menyingkir dari teman-teman dan tempat-tempat maksiat.
5. Tidak lagi mengulangi perbuatan-perbuatan keji yang lepas.
6. Ingin memperdalami ilmu Agama.
7. Tidak jemu melaksanakan taubat dan istghfar setiap ketika dan kesempatan.
8. Sentiasa mengingati mati dan membuat perbekalan kearah itu, khususnya, Yaumul Akhirat.
9. Suka mendampingi Ahlil Agama; dan lain-lain.
10. SERUAN KAMI
DUHAI SAHABAT!
Panjatkanlah doa agar Allah membuka hati anda untuk menerima limpahan hidayah daripadaNya, antara lain, keinginan untuk
melaksanakan TAUBAT dan ISTIGHFAR dan menjadikannya sebagai amalan berterusan, yang seharusnya dimulai ketika ini
juga tanpa menangguhnya lagi kesuatu waktu yang lain, kerana kemungkinan anda tidak punyai kesempatan untuk berbuat
demikian!
Seperti maksud Firman Allah, surah al-Haj:54:
' Mereka beriman dan terbuka [tunduk] hati mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi petunjuk bagi orang-orang beriman
kepada jalan yang benar/lurus.'
Pada hakikatnya bertaubat itu bermaksud menyingkir segala-galanya, kecuali Dzat Allah, untuk kembali kepadaNya; untuk
kembali kehadrat pangkuanNya dan menatap-asyik Wajah keTuhananNya.
Ketahuilah bahawa segala-galanya akan kembali ketempat asal dan sumbernya. Hati rohani itu harus dikejutkan untuk diberi
nafas dan nyawa agar ia mampu menyorot, merentas kembali membumbung, mengangkasa menuju stratosfera hadrat Ketuhanan!
Seharusnya ia sering-sering mendengarkan panggilan kearah itu. Pastinya, kesempatan ini hanya akan terjelma melalui seseorang
yang dipanggil Muzakkir, pembimbing, Guru Rohani sebenarnya, yang menerusinyalah panggilan Ketuhanan itu akan disampai
dan didengarkan. Ini adalah menjadi suatu kewajipan keatas setiap Muslim, seperti maksud Hadith Rasulullah:
' Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan keatas setiap orang Islam.' Ilmu tersebut adalah peringkat mutakhir segala ilmu,
yakni, Ilmu Hikmah atau Ilmu Ketuhanan!
Dan lihat Firman Allah, Surah al-Baqarah, ayat 269, bermaksud:
' Allah menganugerah IlmuHikmah kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang dianugerah IlmuHikmah tersebut
sungguh telah diberi faedah/kebajikan yang melimpah. Dan tak ada yang dapat mengambil pelajaran ini kecuali orang-orang yang
berakal.'
Oleh yang demikian, terimalah pesanan/seruan ini khusus bagi kemaslahatan diri anda, didunia dan lebih-lebih lagi diakhirat.
Anda amat memerlukan bimbingan jika merasa terbungkam oleh senarai berikut:
1. Tidak tahu cara sebenar bertaubat.
2. Tidak merasa bersalah/menyesal bila melakukan kemungkaran.
3. Sering mengulangi kemungkaran.
4. Tidak merasa bersalah bila meninggalkan Solat.
5. Bila bersolat tidak pernah mendapat khusyuk.
6. Tidak cenderong melakukan kebajikan.
7. Tidak tahu bagaimana hendak berzikir atau mengingati Allah.
8. Tidak tahu hakikat Syahadat.
9. Tidak kenal hakikat diri sebenarnya.
10. Tidak kenal siapa Allah dan siapa Tuhan.
11. Amat takut kepada kematian.
12. Tidak mengetahui rahsia pembuka pintu Syurga.
13. Tidak mengetahui rahsia penutup pintu Neraka.
Justeru, dengan rendah hati kami menyarankan agar anda mencari seseorang yang boleh/mampu memberi penawar kepada persoalan
persoalan kritis seperti yang tertera diatas!
Atau pun anda cubalah hubungi kami. Kami sedia memberi bantuan, insyaallah!
Kami akan tetap menjadikan urusan nasihat-menasihati, pemangkin kesedaran terhadap Umat, pencetus semangat dan
kecintaan kepada Allah dan Agama, pembela Agama dan Penegak Kebenaran, sebagai urusan kami;
walaupun kami sedar akan maksud sepotong ayat Allah:
' Dan sebahagian besar manusia tidak beriman - walaupun kamu sangat menginginkannya.'
11. DOA PERINTIS
' Ya Allah ya Tuhanku, hambaMu yang fakir dan hina, kembali kepada pintu RahmatMu;
hambaMu yang maksiat kembali kepada kebenaran;
hambamu yang berdosa datang dengan memohon maaf;
ampunilah aku dengan KemurahanMu, dan terimalah aku dengan KurniaMu,
dan pandanglah aku dengan pandangan Rahmatmu.
Dosa-dosa telah meliputi diriku, dan hanya Engkaulah yang aku harapkan untuk mengampuninya;
Ya Tuhan, yang kami harapkan untuk meringan segala kepayahan,
aku bersedia kepada Dikau pada saat ini, terimalah taubatku,
kerana Engkau Penerima taubat lagi Maha Pengasih.
Ya Allah, ampuni dosa-dosaku yang telah lalu dan peliharalah sisa-sisa hidupku.
Sesungguhnya kebaikan itu semua ada padaMu,
dan Engkaulah yang paling menyayangi dan mengasihi kami.
Ya Tuhan, yang menzahirkan segala urusan yang besar-besar;
Ya Tuhan, yang muktamad dituju oleh orang-orang yang bingung;
Ya Tuhan, yang sangat berkuasa, apabila menghendaki sesuatu maka cukup dengan berFirman 'Jadilah kamu', maka jadilah ia!
Ya Tuhan, yang tidak dapat dibimbangkan dengan urusan-urusan yang banyak, dan dengan pendengaran yang banyak;
Ya Tuhan, yang tidak keliru dengan banyaknya orang-orang yang meminta;
Ya Tuhan, yang tidak bosan menerima permohonan yang terus-menerus, merengek-rengek; berilah aku merasakan ketenteraman
ampunanMu dan manisnya Maghfirahmu, dengan RahmatMu;
Ya Tuhan, yang kasih-mengasihi hamba-hambaNya, walau segala makhluk merasa hairan;
Ya Tuhan,yang lebih mengasihi dari semua yang mengasihi;
Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu!'
Setelah itu, bacalah Selawat atas Nabi s.a.w. dan kepada keluarga/sahabatnya, lantas memohon ampun untuk semua Mukmin dan
selanjutnya kembalilah taat terus-menerus kepada Allah S.W.T.
Andainya anda telah mulai melaksanakan perkara-perkara tersebut itu, maka anda telah terhitung seorang yang benar-benar bertaubat.
Lalu bersihlah anda dari dosa seperti keadaan seorang bayi yang baru dilahirkan. Allah akan cinta kepada anda dan anda akan mendapat
pahala dan ganjaran, keberkahan dan Rahmat yang sukar digambarkan oleh sesiapa pun kerana limpahannya; dan tercipta keamanan
bagi anda dari apa yang menakutkan anda; bebas anda dari kepayahan; dan terlepas pula anda dari kemurkaanNya; selamat sejahtera
anda dari kepahitan maksiat dan dari beban siksaNya didunia dan diakhirat.
Setelah anda lalui pesanan/saranan ini dan dengan izin Allah S.W.T. dan Allah jualah PEMBERI HIDAYAH dengan belas kasih dan
fadhilahNya! Semoga kita mendapat ampunan dariNya!
INSYAALLAH, ALHAMDULILLAH, LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.
WASALLAM.
nuzulquranulkarim 1430.sept09.
Sunday, September 6, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)