Saturday, April 3, 2010

PERCATURAN POLITIK SYAITAN IBLIS MEMPERDAYAKAN UMAT MANUSIA DIPINTU GERBANG MAUT. MATI MENANG ATAU MATI KECUNDANG DAN BAGAIMANA MAHU MENDAPAT HUSNUL K

BISMILLAAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Aduhai Sahabat dan Ikhwan!

ALHAMDULILLAH!

Segala pujian hanyalah untuk ALLAH S.W.T. pemelihara seluruh alam!
Allah lah yang telah mencipta atau mengkhalakkan manusia sebagai makhluk atau khalakNya yang paling mulia.

1. Beruntunglah dan syabas kepada anda andainya pada saat ini dan setelah sekian lama kerana anda mendapat peluang membuat pemerhatian dan muhasabah kritis terhadap diri anda zahir dan batin!

Anda juga telah mengetahui dan faham tentang hubungan Hablum Minallah yang begitu penting, mengawali dan mendominasi hidup kita ketika didunia agar kita mendapat sejahtera, redha Allah sehingga menemui Allah diakhirat kelak; disamping tidak mengenepikan juga hubungan Hablum Minannas.

Seharusnya kita sentiasa beringat bahawa dunia ini adalah ladang akhirat [maksud sepotong Hadith],dan semaian usaha dan amal didunia inilah, ibarat pelaburan, yang menentukan hasil tuaian yang akan diperolehi diakhirat nanti. Hendaknya, kita jangan; sekali lagi jangan mengambil mudah dan mendustakan pesanan ini! Sediakan bekalan anda untuk Hari yang amat besar itu, seperti saranan FirmanNya yang bermaksud:

' Bertaqwalah kepada Allah dan biarlah setiap diri melihat apa persediaan bagi menghadapi hari mendatang.'

Sememang saatnya telah tiba bagi anda membuat keputusan 'hidup mati' untuk mengendali laluan hidup anda seterusnya.[' Whether you are worth your weight in gold; or that's the way the cookie crumbles!
If you catch my heavy drift, that is!]

Bukalah mindamu, tajamkan perasaanmu dan lapangkan dadamu. Pohonlah Inayah dan Hidayah Tuhan agar ia istiqamah dan menyapa jiwa sedarmu. Singkirkan ketidakpedulianmu!

Fahamkan, renungkan dan bayangkan senario yang dilakar Firman Allah berikut, bermaksud:

' Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. Ini adalah hari, yang mereka tidak dapat berbicara [pada hari itu], dan tidak diizinkan kepada mereka meminta uzur/alasan. Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. Ini adalah hari keputusan. Kami mengumpulkan kamu dan orang-orang yang terdahulu. Jika kamu mempunyai tipu daya, maka lakukanlah tipu dayamu terhadapKu.'

Ya, setelah kita menyedari dan memahami hakikat kehidupan, diri dan Tuhan, hanya kematian yang memisahkan. Untuk melayari laluan kematian [zon kritikal] bukanlah sesuatu yang begitu mudah, tanpa banyak persoalan; seperti juga peperangan menentang musuh untuk memperoleh kemenangan, ia memerlukan Ilmu, strategi dan perencanaan yang ampuh dan kalis penggodaan dan kelicikan musuh!
Kerana itu tidak semua manusia merasa selesa memikirkan atau membincang isu kematian, malah merasa amat gerun, mentelah pula ingin mendepani dan menanganinya;
kendati pun maut itu pasti juga akan mencengkam setiap yang bernyawa,
walau kita tidak pun ingin dan sudi mencari/menemuinya!

Aduhai Sahabat;

Janganlah kamu tangguhkan Taubat
kerana menyangka Maut itu lambat
Janganlah kamu tidak tahu
Maut itu paling hampir denganmu

Datangnya sekilas pandang
Hadirnya tanpa diundang!

Lihatlah Firman Allah
Yang punya penuh Hikmah:

' WAJAA AT SAKRATUL MAUTI BILHAQ
ZAALIKA MAA KUNTA MINHU TAHEED.'

' Dan datanglah Sakaratul Maut dengan sebenar-benarnya,
itulah yang kamu selalu lari daripadanya!'

2. ISLAM - TAK BOLEH TIDAK

Perhatikan Quran Surah [Q.S.] al-Baqarah:217.

Bermaksud: ' Barangsiapa yang masih ragu-ragu [bimbang] diantara kamu daripada Agamanya,
maka mati ia sedang ia kafir, maka hapuslah segala amal mereka itu pada
dunia dan juga akhirat, dan mereka yang mati kafir itu,
kekal selama-lamanya didalam Neraka.'

Lagi Firman Allah dalam Q.S. Ali Imran:102.

Bermaksud: ' Janganlah kamu mati, melainkan jika kamu akan mati, matilah dalam Islam.'

Dengan ayat-ayat tersebut dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa Allah menghendaki agar kita mati dengan memeluk Agama Islam. Ini adalah kerana walaupun seseorang yang tetap dalam hidupnya memeluk Agama Islam, tetapi jika matinya kafir, maka akan lenyaplah segala pahala amal-amalnya, dan dia akan dimasukkan kedalam Neraka, serta kekal pula didalamnya.
Demikian pula seorang kafir yang hidup tetap dalam kekafirannya, tetapi apabila dia mati dalam Islam, maka Syurgalah tempatnya serta kekal lah dia didalamnya.

3. MATI BAIK [HUSNUL KHATIMAH] ATAU MATI JAHAT [SU'UL KHATIMAH/GELANDANGAN]

Ajaran Agama menetapkan bahawa jahat atau baik pada permulaan hidup kita tidaklah akan menentukan jahat atau baik pula pada akhir atau kesudahan hidup kita.

Sabda Rasulullah bermaksud:

' Seorang manusia berkelakuan baik yang menerbitkan harapan bahagia sebagai Ahli Syurga, lalu pada saat tidak berapa lama menjelang kematiannya, berbalik ia berkelakuan seperti Ahli Neraka, maka masuklah ia kedalam Neraka. Dan seorang manusia berkelakuan seperti ahli Neraka selama hidupnya, lalu apabila menjelang beberapa ketika sebelum kematiannya, berbalik ia berkelakuan bagai Ahli Syurga, maka masuklah ia kedalam Syurga.'


Lagi bersabda Rasulullah:

' Bahawasanya, amalan-amalan seseorang ditilik [dilihat] pada kesudahannya, tiada dihitung banyak sembahyang atau puasanya; malahan ditilik pada akhir amalnya [kesudahan hidupnya] atau akhir NAFASnya. Jika kafir diakhir nafasnya, maka hapuslah segala amalnya.'

Sila rujuk semula Q.S. al-Baqarah:217.

4. TAKUT MATI

Bukanlah Nabi Muhammad dan Nabi Yusuf sahaja yang takut kepada mati jahat [Su'ul Khatimah], bahkan Malaikat dan Nabi-nabi yang lain pun demikian juga; apatah lagi manusia biasa! Semakin mendalam ilmu, Tawhid/Taqwa manusia terhadap Allah, semakin takut pula akan mati
jahat/kecundang itu.

Ini adalah kerana manusia mengetahui bahawa Allah berbuat sekehendakNya. Apatah lagi Dia yang mempunyai sifat MUQALLIBAL QULUB, yakni membolak-balik segala Hati.

Rasulullah berdoa, bermaksud:

' Ya Tuhan yang membolak-balikkan segala hati, tetapkan hatiku diatas AgamaMu!'


5. BUKTI

Sebagai bukti betapa sukarnya menghadapi huru-hara dipintu gerbang maut, Nabi Besar Muhammad saw. berdoa:

' Ya Allah, mudahkan bagiku huru-hara maut.'

Nabi Yusuf pula berdoa, Q.S. Yusuf:101, bermaksud:

' Ya Tuhanku, sungguh Engkau telah menganugerahkan kerajaan kepadaku dan
ajarkan dari hal Ta'awil mimpi kepadaku. Engkau yang menjadikan langit dan bumi, Engkau yang menjadikan kepimpinanku didunia dan akhirat; matikan aku dalam
berAgama Islam, serta perhubungkanlah aku dengan orang-orang yang baik.'

6. BELAJAR MATI

Rasulullah telah menganjurkan agar manusia belajar selok belok dan tatacara menghadapi saat-saat
kematian terutama ketika manusia berada diambang pintu gerbang maut.Kerana saat itu adalah teramat
genting dan kritis; andainya manusia gagal menanganinya, maka akan tergadailah jiwa raga kelubang Neraka. Nauzubillah!

Sabda Rasulullah: ' Matikan diri kamu sebelum matinya kamu.'

Dan lagi Sabda Baginda bermaksud:

' Semua manusia sebenarnya adalah dalam keadaan tidur. Apabila mereka
mati barulah ia dinamakan bangun atau jaga.'

Untuk penjelasan lanjut anda dipersilakan bertanya kepada Ahlinya!

Firman Allah bermaksud: ' Bertanyalah kepada Ahli Zikir andainya kamu tidak mengetahui.'




7. KALIMAH TOYYIBAH / TAWHID

Perhatikan Sabda Rasulullah bermaksud:
' Barangsiapa yang pada akhir kalamnya [perkataannya] dapat mengingati Allah,
akan dimasukkan kedalam Syurga.'

Lagi Sabda Rasulullah, bermaksud:
' Barangsiapa membaca Kalimah LAA ILAHA ILLALLAH
sebanyak 70,000 kali akan dimerdekakan dari Api Neraka.'

Nah! Jelas sekali betapa besarnya hikmah Kalimah Toyyibah/Tawhid. Tidaklah mungkin penulis dapat menjelaskan untuk tatapan umum, akan Rahsia Besar yang terkandung didalam Kalimah tersebut kerana batasan penulisan boleh mencetus kekeliruan.Cukup jika dinyatakan Hikmah Kalimah tersebut mencakupi seribu satu macam; malah terlebih besar dan berat dari 7 Petala Langit dan 7 Petala Bumi!

Mentelah pula Kalimah itu adalah juga kita kenali sebagai Kalimah Syahadah, yang mana pengesahan, kemurnian dan kesempurnaan penghayatan, dari segi lafaz sebutan dan membenarkan dengan sepenuh keyakinan dalam hati/diri seseorang itu bergantung sama-sekali diatas keilmuan; yakni, faham akan Rukunnya, Fardhunya, Kesempurnaannya, Syarat Sahnya dan Perkara-perkara yang membatalkannya.
Diatas persyaratan diataslah berpaksinya kesahihan Syahadah seseorang Muslim/Mukmin.


8. AMALAN HIDUP / KEUTAMAAN ZIKIR

Ada manusia yang berpendapat dan cuba pula mempengaruhi manusia lain bahawa berzikir itu hukumnya harus, paling kuat pun hukumnya sunnat sahaja.Maka, tinggalkan perkara bida'ah tersebut, desak mereka; dan janganlah mengarut mengamalkan zikir 5,000 atau 11,000, atau 70,000 dan sebagainya! Manusia begini sebenarnya adalah budak/hamba nafsu dan sering membuat telahan dan omokan,
Sudahlah dangkal ilmu atau jahil murakab, ingin pula campur mulut dalam bidang ilmu yang ia sendiri tidak akan pernah mengerti atau mahu percaya atau menerima. Sebarang keputusan dalam hidupnya dibuat hanya dengan berpandukan kepada bujukan hawa nafsunya, untuk kepentingan nafsunya sahaja, yang tidak pernah mengenal batas dan puas! Apa sahaja yang mendatangkan kepuasan kepada nafsu dan syahwatnya akan dilayan sepenuhnya, tanpa batas.Misalnya, jika amar ma'aruf, cukuplah sedikit-sedikit, tetapi kalau yang kena dengan selera dan kehendak nafsunya semestinya ingin
mendapat lebih dari orang lain!

Ironinya, manusia seperti ini, terhadap dunia amat rakus dan serakah sekali! Contohnya, pangkat mahu yang tinggi, kuasa mesti besar, makan mesti sedap-sedap, isteri mesti ramai, wang dan harta mesti bertimbun, biar kelihatan ada kelas,dan sebagainya! [Greed is good!?] Andai boleh seluruh dunia ini ingin dimiliki! Dalam ia gilakan dan cintakan dunia ini, satu perkara yang paling digeruninya ialah
mati!

Perhatikan Dalil-dalil berikut yang amat bertentangan dengan kepercayaan/pegangan manusia-bernafsu buas seperti diatas.

Firman Q.S.al-Ahzab:41-42.

Bermaksud: ' Wahai umat yang beriman! Zikirlah [ingatlah] kepada
Allah SEBANYAK-BANYAKNYA! Dan bertasbihlah kepadanya diwaktu pagi
dan petang.'

Lagi Firman Q.S.al-Juma'ah:10.

Bermaksud: ' Berzikirlah BANYAK kepada Allah agar kamu beruntung.'



Lagi Firman Q.S.al-Ahzab:35.

Bermaksud: ' Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim;
laki-laki dan perempuan yang mukmin;
laki-laki dan perempuan yang taat;
laki-laki dan perempuan yang benar;
laki-laki dan perempuan yang sabar;
laki-laki dan perempuan yang merendahkan diri;
laki-laki dan perempuan yang berderma;
laki-laki dan perempuan yang berpuasa;
laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatan mereka;
laki-laki dan perempuan yang BANYAK BERZIKIR kepada Allah;
Allah telah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.'

Lagi Firman Allah dalam Hadith Qudsi, bermaksud:

' Aku[Allah] menuruti sangka hambaKu terhadapKu.
Aku sentiasa bersamanya ketika dia[hamba] mengingatiKu.
Bila dia mengingatiKu dalam dirinya,
Aku mengingatinya dalam diriKu.
Jika dia mengingatiKu ditengah-tengah suatu jemaah,
maka Aku mengingatinya ditengah-tengah jemaah yang lebih baik
dari mereka.'
[ Riwayat Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah]

Sebuah Hadith dari Abdullah bin Busr r.a. Seorang pemuda bertanya kepada Rasulullah:

' Ya Rasulullah! Telah banyak Syariat Islam yang saya pelajari.
Maka sekarang tolong ajarkan kepada saya, amal apakah yangsenantiasa
harus saya laksanakan setiap waktu? Jawab Rasulullah:
' Hendaklah lidahmu senantiasa basah kerana menyebut [zikir] nama Allah!'

Perhatikan Firman Allah,Q.S.al-A'raf:205.

Bermaksud: ' Sebutlah [zikir] nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri
dan merasa takut, dan tanpa mengeraskan suara, diwaktu pagi dan petang
dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.'

Lagi Firman Allah Q.S.ad-Dahr:25-26.

Bermaksud: ' Ingatlah / sebutlah nama Tuhan [Allah] engkau pada pagi-pagi dan petang.
Pada malam hari hendaklah engkau sujud kepadaNya dan tasbihlah pada
malam yang panjang.'

Sabda Rasulullah, Riwayat Muslim: bermaksud:

' Bila suatu jemaah duduk bersama-sama berzikir kepada Allah, para Malaikat
akan datang mengelilingi mereka melimpahkan Rahmat, menurunkan ketenangan
dihati mereka, dan Allah menyebut mereka [dengan bangga] kepada mereka yang
disisiNya.'



Sebuah hadith lagi, Riwayat Saidina Ali, bermaksud:

' Ya Rasulullah! Apakah jalan sehampir-hampir untuk mencapai Allah?
Bersabda Rasulullah: ' Berzikirlah kepada Allah.'

Perhatikan Firman Allah, Q.S. 29/45:

Bermaksud: 'ZIKRULLAH itu adalah amalan yang teramat besar.'

Ketahuilah bahawa kemuliaan dan kelebihan ZIKRULLAH mengatasi segala ibadah-ibadah yang lain!
Cubalah renungkan wahai Sahabat!

9. AMALAN UMUM / TAHLIL DAN ZIKIR

Adalah sudah menjadi budaya orang-orang Melayu diNegara ini mengadakan majlis-majlis kenduri untuk membaca Yasin, Tahlil arwah, doa selamat dan sebagainya, dimana amalan membaca Tahlil dan doa dilaksanakan oleh para jemaah dan khalayak. Malang sekali bacaan Tahlil yang dibuat jarang sekali melebihi 100 kali bacaan; namun khalayak sudah pun merasa amat bangga dan puas!
Kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa secara umumnya, amalan membaca Tahlil dan berzikir secara bersendirian adalah amat terlebih jarang dilakukan.

Lantas bagaimanakah cara kita dapat memenuhi kehendak atau saranan Firman Allah Q.S. al-Ahzab:
41-42 dan Q.S.al-Jumaah:10, diatas yang bermaksud memerintah kita umat yang beriman agar berZikir sebanyak-banyaknya, siang dan malam! Masakan cukup dengan bertahlil 100 kali bila diundang kemajlis kenduri sahaja!

Kepada akal yang sihat, bagi menepati saranan Allah supaya manusia berzikir sebanyak-banyaknya apakah angka 100 zikir/Tahlil itu boleh dianggap sudah banyak?
Bagaimana dengan angka 500 zikir/Tahlil dilakukan pada 5 waktu Solat? [amalan biasa].

Bagaimana pula angka 5,000 atau 11,000 zikir dilakukan sehari semalam?

Bagaimana pula angka 70,000 atau 100,000 sebanyak bilangan nafas atau denyutan/degupan nadi manusia, sehari semalam? Adakah ini keterlaluan atau luarbiasa?

Bagaimana pula dengan Muraqabah, Musyahadah dan seterusnya!?

Cubalah fikir dan nilaikan!

Pastinya, setiap mereka yang berilmu itu maka ada lagi mereka yang lebih berilmu.Yang demikian, jangan sekali-kali kita mengukur tingkat ilmu dan amalan orang lain itu dengan pencapaian diri kita sahaja, lalu meremehkan pencapaian orang lain!

Perhatikan Firman Allah,Q.S. al-Mujadalah:11.

Bermaksud: ‘ Mengangkat Allah Taala akan orang beriman dan yang diberi ilmu [Ilmu Mistiq]
akan beberapa pangkat yang tinggi.’- Tafsir Abdullah Yusuf Ali.
Dan lagi:

Bermaksud: ‘Kedudukan mereka itu bertingkat-tingkat disisi Allah.’

Dan lagi bermaksud: ‘ Terlebih hampir manusia dari pangkat Nubuwah [Nabi], iaitu Ahli Ilmu.’

Dan lagi bermaksud: ‘ Katakanlah adakah sama orang-orang yang berilmu dan yang tidak berilmu?’

Perhatikan Firman Allah,Q.S.Ali Imran:191.

Bermaksud: ' Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk,mahu pun berbaring.'

Ternyata, Firman diatas menyarankan kita agar mengamalkan Zikir berkekalan/ berkepanjangan
didalam apa jua keadaan!

PERSOALANNYA IALAH APAKAH ADA JENIS ZIKIR LAIN, DILUAR PENGETAHUAN ORANG-ORANG MELAYU, YANG MAMPU/MUDAH DILAKSANAKAN PADA SETIAP SAAT,
KETIKA DAN MASA?
DAN SEKALIGUS MENEPATI DAN MEMENUHI PERINTAH ALLAH AGAR MANUSIA KEKAL BERZIKIR!

Pada hakikatnya, kebanyakan orang-orang Melayu tidak celik ilmu, [maknanya, buta ilmu laa], terutamanya yang menyangkut dengan ilmu Ketuhanan.Umum menyangka bahawa apa sahaja sedikit sebanyak ilmu yang diwarisi sudah cukup menjamin kesejahteraan dan keselamatan dunia akhirat.
Kita amat mudah dan cepat merasa puas dan terus lalai-lena dalam zon selesa. Inilah tragedi umat Melayu! Tetapi jika ilmu keduniaan, sanggup pula mendapat Sarjana berjela-jela!



10. BERZIKIR ITU BERMAKSUD MEMBACA ALQURAN?

Terdapat sesetengah ulama yang beranggapan bahawa erti berzikir itu adalah membaca al-Quran.
Sebenarnya, apa jua amalan yang menjuruskan kepada mengenang dan mengingati akan kebesaran
dan kemulian Allah boleh dianggap zikir. Namun, Allah menyatakan melalui al-Quran dan Hadith
terdapatnya zikir khusus atau Istilah, yang hanya dicakupi dan wujud didalam ilmu
TarikatTasawwuf sahaja! Yakni, dengan tatacara dan kifiat yang lebih terperinci dan menurut amalan
Ulama-ulama Muktabar dan, pastinya, dari Sunnah Rasulullah. Silalah tanyakan kepada Ahlinya!

Jika kita mengandaikan bahawa berzikir itu adalah dengan membaca al-Quran,pastinya ia dilakukan
hanya ketika kita dalam keadaan sihat. Andainya kita dalam keadaan sakit tenat, uzur atau sedang
bergelut menghadapi saat-saat kematian, dimana nyawa [Roh] telah sampai kekerongkongan dan
Qudrat telah hampir dilucutkan; bagaimana mungkin seseorang itu boleh atau dapat membaca al-Quran!
Hendak mengambil wudhuk dan mendirikan solat jauh lebih mustahil!
Walhal, ketika sakarat itulah yang amat genting dan penting bagi seseorang berzikir[mengingati]
Allah, bagi mendapat mati baik [Husnul Khatimah]! Andai kata kita tidak tahu kerana tidak pernah
belajar berzikir secara khusus, apalagi yang harus dilakukan? Ketika diambang sakaratul-maut,
kita tidak di perintahkan menunaikan rukun Islam; kita hanya disuruh mengingati Allah!

Rasulullah bersabda, bermaksud: ' Barangsiapa pada [sakarat] akhir kalamnya dapat mengingat
Allah, akan dimasukkan keSyurga.'

SOALNYA,APAKAH DAYA DAN SIAPAKAH YANG DAPAT MEMBANTU KITA MELAYARI
SAAT-SAAT GENTING KETIKA KITA BERADA DIAMBANG PINTU GERBANG MAUT?

11. UJIAN DAN CUBAAN

Seketika akan menghembuskan nafas yang terakhir itu, banyak pula cubaan,godaan dan kesusahan
yang mendatang bertubu-tubi, seperti yang belum pernah dirasakan sepanjang hayatnya.

Antaranya:

i] Merasa haus dan lapar, panas dan dingin, yang berlebihan.

ii] Tubuh badan semakin lemah, mata telah kabur, telinga pekak, rupa pucat, hati cemas berdebar
debar, kerana tiada tahu pula kemana arah tujuan Roh setelah bercerai dari badan nanti.

iii] Merasai kesakitan teramat sangat yang belum pernah dirasakan selama hidupnya.
Pada saat itulah Syaitan/Iblis mendapat suatu kesempatan yang istimewa untuk memperdaya
kan orang yang hampir mati ini, dengan segala kepandaian/kepakarannya.
Kadang-kadang dengan bertubuh kasar dan terkadang dengan bertubuh halusnya.
TETAPI, yang terlebih bahaya ialah apabila Syaitan/Iblis bertubuh halus itu dapat membisikkan
kedalam hati orang yang akan mati ini dengan sesuatu yang menimbulkan dan menjadikan
keraguan kedalam hatinya, khusus tentang kesucian Allah dan RasulNya, mahupun tentang
kesucian Agama Islam itu sendiri!

iv] Dan lain-lain.

Oleh kerana kepandaian dan kelicikan tipudaya percaturan Syaitan/Iblis memperdayakan umat
manusia ketika sedang menghadapi Sakaratul-Maut, maka Rasulullah berdoa.

Bermaksud: ' Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan
Syaitan/Iblis, kepadaku, ketika aku dalam Sakaratul-Maut.'



Dengan sebuah Hadith diatas, sudah cukup kiranya bukti dan penjelasan bahawa Syaitan/Iblis itu
senantiasa menggoda Bani Adam / umat manusia, sejak baru dilahirkan dari rahim ibunya, sehingga
sampai kenafasnya yang terakhir / penghabisan.

Perkara ini wajar/wajib menjadi perhatian kita semua; akan betapa kesudahan hidup dan mati kita
nanti - samada kekal dalam Islam atau akan menjadi Kafir!

Disaat itulah segala amal kebajikan kita akan hilang lenyap, bila kita tidak selamat, dan bakal akan
menjadi ahli Neraka, buat selama-lamanya!

Berkata IMAM AL-GHAZALI didalam kitabnya IHYA ULUMUDDIN:

' Apabila khuatir [kata-kata hati] senantiasa bergelombang bagaikan ombak dilautan,
maka amat sukarlah bagi seseorang yang menghadapi kematiannya untuk
memperoleh HUSNUL KHATIMAH [Baik Kesudahan].
Kerana yang sangat di khuatirkan ketika itu, ialah apabila
timbulnya khuatir-khuatir yang jahat, didalam hati!'

12. PESANAN TERAKHIR / MENGAPA WAJIB BERTARIKAT/TASAWWUF

Apakah matlamat, maksud dan tujuan mempelajari / beramal ILMU TASAWWUF?

Tidak boleh disangkal lagi bahawa Tasawwuf adalah ilmu dan amalan para Nabi-Nabi, para Wali
dan para Solihin. Kerana dengan berTarikatTasawwuf sahaja seseorang itu dapat mengenal Tuhan
dengan Tahkik, bukan sekadar mengetahui bahawa Tuhan itu wujud, malah dapat merasakan benar
benar akan kewujudanNya!

Bagi kemaslahatan duniawi, Tasawwuf adalah merupakan dasar pokok kekuatan batin [rohani],
pemupok Iman, pembersih jiwa, penjernih dan penyubur amal soleh, hanya semata-mata menuntut
keredhaan Allah; memperkasa jihad dan daya juang yang tinggi dalam mujahadah jiwa raga,
dan sebagai kunci bagi mengenal Tuhan.

Apabila pembinaan pribadi dan Modal Insan dengan tatacara hidup berpaksikan kepada dasar-dasar tersebut, Agama Islam kita pastinya berupaya membangunkan kerajaan dan kemajuan Negara, bahkan dunia, untuk kesejahteraan dan kemakmuran Umat Manusia didunia dan akhirat.

Bagi kemaslahatan ukhrawi, Tasawwuf menegaskan hubungan seorang hamba dengan Tuhan;
mendidik/menyediakan bekalan menuju akhirat,khusus melalui fasa-fasa zikrullah; yang terpenting,
melalui melatih diri, belajar mati, membuang segala macam kekhuatiran yang senantiasa melintasi
hati; membiasakan menyatukan fikiran, perasaan dan tenaga zahir batin, dihadapkan kehadhrat
Allah, dengan harapan semoga kelak bila telah tiba saat panggilan dan janji Allah, terhindar kiranya
kita dari segala tipu-daya Syaitan/Iblis; serta senantiasa kita mengingati Allah dengan hati, sehingga
tidak akan ada lagi tempat didalam HATI untuk mengingati lainNya!!!

ITULAH DIA HUSNUL KHATIMAH!

Aduhai Sahabat,

Jelas sudah bahawa mengerjakan Zikrullah itulah alat untuk mencapai kemenangan akhir, diwaktu
kita akan dimatikan, setelah sewaktu sakaratul-maut ,seluruh qudrat diri kita zahir batin dicabut Allah;
dan hanya mengingati Allah sahaja yang dapat kita laksanakan [andai telah menjadi amalan].
Andainya kita mati dalam ingat kepada Allah, maka mati baiklah namanya,dan keSyurgalah tempatnya.
Sebaliknya, jika mati dalam keadaan lalai/lupa kepada Allah, itulah yang dikatakan mati FASIQ atau
KAFIR, maka, keNerakalah tempatnya.


13. MUNAJAT

' Ya Allah, kami berlindung denganMu dari taraf orang-orang yang dusta, dan dari kelengahan
orang-orang yang lalai dan lupa.

Wahai ya Allah! KepadaMu lah tunduk hati orang-orang Arif; dan kepadaMu lah merendahkan
diri semua orang-orang yang amat merinduimu.

O Tuhan! Limpahkan lah apalah kiranya KurniaMu kepada kami.
Muliakan lah kami dengan lindunganMu dan maafkanlah serta ampunilah kealpaan kami
dengan KemurahanMu!

Ya Allah! Peliharalah kami dari huru-hara Sakaratul-maut; sebelum, ketika dan sesudahnya!

ILAHI ANTA MAKSUDI WARIDHAKA MATLUBI.
AMEEN YA ROBBAL 'ALAMEEN!'