Wednesday, December 12, 2012

AMANAT - PESANAN GETIR DAN AMAT KRITIS


AMANAT - PESANAN GETIR DAN AMAT KRITIS

BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM

Innaka Antallahu Laa ilaaha illa Anta

Alhamdulillah, Allahumma Solli'ala Muhammadin Abdika wa Rasulika wa ''ala alihi waazwajihi wa zurriyatihi.

Aduhai Sahabat!

MOGA-MOGA AL-HAQQ.

Moga-moga AL-HAQQ mengejutkan anda dari lena anda, dari kelalaian anda, dari kejahilan anda dan dari ketidak-pedulian anda!

Moga-moga AL-HAQQ menyedarkan anda akan tempat usul-asal anda. Kemana kita semua akan menuju dan tidak boleh tidak, kembali kepadaNya, akan berada dan abadi disana untuk selama-lamanya!

Moga-moga AL-RAQEEB, Yang Maha Pemerhati diatas segalanya, membuka MATA BATIN anda, membolehkan anda pertama kali melihat dan mengingat apa sahaja yang telah anda lakukan dan ucapkan, disepanjang jangka hayat anda didunia FANA ini, yang penuh goda dan pancaroba!

Dan nanti, anda akan ketahui dan senantiasa beringat bahawa anda akan dipertanggung-jawabkan diatas segala perilaku anda, kecil atau besar, zahir atau batin, nyata maupun tersembunyi, dahulu, sekarang maupun yang akan datang; bagi diadili pada HARI PENGADILAN!

Sila anda rujuk Q.S. al-Isra', ayat 36-37, bermaksud:
' Sesungguhnya, pendengaranmu, penglihatanmu, hati nuranimu, dan kesemua anggotamu akan dihadapkan dan diminta pertanggung-jawaban.

Dan janganlah kamu berjalan dimuka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya, kamu tidak akan dapat menembusi bumi, dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung.'

Dan lagi lihat Q.S. 28:77, bermaksud:

' Dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari [kenikmatan] ketika didunia'
Janganlah disalah-ertikan menurut fahaman kebanyakan manusia bahawa hidup hanya untuk mengejar harta; sebenarnya, anda jangan sampai tidak beramal ibadah didunia ini, kerana perilaku amalmu didunia ini sahajalah yang akan menentukan nasib baik-buruk anda diakhirat kelak. Yang terpenting, kesempatan anda untuk beramal hanya mampu anda perolehi ketika anda masih didunia ini.Anda tidak lagi dituntut mengerjakan rukun Islam sesudah mati, period! So seize the day, man!
  
Lihat Q.S.59:19, bermksud:

‘ Dan Janganlah keadaan kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah; lalu Allah membuatnya lupa kepada dirinya sendiri!’

Dan lagi Q.S.2:281, bermaksud:

‘ Takutlah pada hari [ketika] kamu semua dikembalikan kepada Allah; kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukannya. Dan mereka tidak dizalimi [dirugikan].
Diriwayatkan, seorang UlamaBillah telah menjiharkan suaranya ketika mengalunkan ayat, ini, lantas kedengaran suara dari langit menegurnya; kerana 4 Djinn/Malaikat telah mati apabila mendengar ayat ini!
Janganlah sampai anda menemui puncak penyesalan, seperti maksud Q.S.6:31:

' Mereka berkata: Alangkah besarnya penyesalan kami terhadap kelalaian kami itu'
Atau lebih parah lagi, sila lihat Q.S.25:27-29, bermaksud:

' Dan ingatlah pada hari [ketika] orang-orang zalim menggigit dua jarinya [menyesali perbuatannya] seraya berkata: 'Wahai sekiranya [dulu] aku mengambil jalan bersama Rasul. Wahai, celaka aku! Sekiranya[dulu] aku tidak menjadikan sifulan teman akrabku. Sungguh, dia telah menyesatkan aku dari peringatan [Alquran] ketika [Alquran] itu telah datang kepadaku. Dan syaitan memang pengkhianat/penyesat manusia!'
Janganlah anda biarkan atau tangguhkan kerja menghitung dan mengambil peduli akan amal-amal ibadah anda sehingga datangnya HARI HISAB!

Selagi masih didunia ini, disinilah tempat dan masanya anda berbuat demikian!

LIHATLAH KEDALAM DIRI ANDA; PERHITUNG DAN PERTANGGUNG SELURUH AMALAN ANDA. Tutuplah Buku Kira-Kira anda!

Satu-satunya jalan selamat hanyalah dengan mendatangi Akhirat secara suci/bersih dan bebas dari hutang-piutang.

Ambillah manfaat dari pesanan Rasulullah:

' HISAB DIRI ANDA SEBELUM ANDA DIHISAB. TIMBANGI DOSA ANDA SEBELUM DITIMBANGI UNTUK ANDA.'

2. MUHASABAH [KAJI] DIRI

 Muhasabah dan teliti perjalanan hidup anda;
Imbangi keterlanjuran anda disamping amal-amal baik[ Ihsan] anda;
Lakukan ini semua selagi anda ada upaya, sebelum anda dibiarkan terjeblos/terperosok keseorangan dilubang gelap bernama liang-lahat!!!

3. AMANAH

Semasa anda hidup didunia, diri anda yang zahir adalah sebagai pemungut atau penerima faedah nikmat Allah Taala, yang datang kepada anda dari sumber pelbagai dan serba-ragam. Apa sahaja yang anda terima, pada hakikatnya, bukanlah hak-milik anda; kerana anda hanyalah berperanan sebagai ' cashier' yang bertugas mengagihkan apa yang anda terima disamping bertanggung-jawab sepenuhnya keatas kadar dan sukatan pengagihan tersebut.

4. QADHO', KETENTUAN DAN KEPASTIAN

Seandainya anda enggan menyahut seruan, saranan dan anjuran ini pada hari ini juga, pastikanlah, esok, pada HARI KEBANGKITAN, anda akan menjerit cemas meminta pertolongan. Nah, tidak akan pernah ada bantuan yang akan sampai kepada anda. Kerana, yang pasti sampai hanyalah SUARA KETUHANAN yang datang dari PERINTAH KETUHANAN, suara dari Yang MAHA PENGHUKUM, PENGHUKUM MUTLAQ, yang menghukum segala pesalah dan pendosa; menjatuhkan  mereka ketahap hina dina! Gema suara tersebut:

' IQRA' KITAABAKA KAFAA BINAFSIKA ALYAUMA 'ALAIKA HASIIBAA.'

Bermaksud: ' Bacalah kitab kamu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghisab terhadap dirimu.' [Bani Isra'il:14]

Apakah Tuhan tidak pernah mengutus para Nabi dan Rasul?

Apakah Tuhan tidak pernah mengutus para Pewaris Anbia' bergelar ULAMA?

Apakah Tuhan tidak menurunkan Alquran kepada Umat?

Apakah Tuhan tidak menunjuk kepada anda JALAN YANG BENAR?

Apakah Tuhan tidak memerintahkan anda bagi mengingati dan memujiNya, saban hari saban malam, malah disetiap helaan nafas dan denyutan nadi anda?

Apakah Tuhan tidak memberi anda cukup masa [24jam] dalam seharian dan semalaman untuk mentaati perintahNya?

Seandainya anda ingin menunggu sehingga kesaat akhir untuk bertindak, tidak akan ada manfaat yang akan anda perolehi dari penyesalan dan keinsafan anda kelak.

 Seandainya anda masih enggan dan menangguh untuk mengkaji dan muhasabah diri anda, ketahuilah, kelak semua pintu dan jendela akan ditutup rapat, sedangkan anda masih berada diluar!

Jikalau inilah yang berlaku, maka celakalah diri anda, kerana tiada lagi pintu atau tempat lain bagi anda untuk berlindung diri!

Tiada lagi tempat - bagi anda atau siapa sahaja - kecuali melalui pintu RAHMAT ALLAH! Pergilah anda melutut dipintu RAHMATNYA; banjirilah airmata keinsafan dan penyesalan; dan meratap merayulah untuk laluan! Cubalah dan lihatlah apakah yang menanti disebalik tabir pintu RAHMATNYA!    

5. BAHAYA BESAR

Ada 3 bahaya yang senantiasa menghindar dan menghambat anda dari muhasabah dan mengkaji diri anda, agar anda dapat menghisab diri dan bersyukur kepada Tuhan anda Yang Maha PEMURAH.

Pertama:  KETIDAK-SEDARAN DAN KETIDAK-PEDULIAN.

Kedua:    GELOMBANG HAWA NAFSU TAK BERTEPI ,KEINGINAN DAN SELERA YANG MENGGELORAKAN  EGO, DAN DIRI ANDA YANG RENDAH.

Ketiga:    AKHLAK BURUK [SU'UL KHULUQ]

Barangsiapa yang dapat menghindar dari 3 jenis bahaya tersebut, INSYAALLAH, akan beroleh keselamatan dan kesejahteraan diDunia dan diAkhirat.

6. GUNDAH ITU INDAH

Sila anda renungkan sebuah petikan dari Kitab Taurat , berserta pengamatan penulis seperti berikut:
‘ Allah, apabila mencintai seorang hambaNya, maka Allah mendirikan didalam hati hamba itu Ratapan dan Rintihan [GUNDAH]. Tetapi apabila Allah tidak senang kepada hambaNya, maka Allah mendirikan didalam hati hamba itu NYANYIAN YANG MEMPESONAKAN!’

Pengamatan/bermaksud:

Jika hati kita tidak pernah merasa gundah apabila meninggalkan taat dan ibadah, namun, merasa biasa-biasa sahaja, apa lagi langsung tidak menaruh sebarang atau sekelumit perhatian, seolah-olah tidak merasa bersalah dan berdosa, justeru, ini adalah petanda bahawa yang bersangkutan sudah mulai tidak dicintai oleh Allah [Baca: Dibenci Allah!].

Ulama Tasawwuf [Billah] mengertikan – Apabila Gundah itu tidak diperdapat didalam hati, bererti. Hati itu telah mati/hancur! Dan barangsiapa tidak merasakan rasa Gundah didalam hatinya, bermakna, ia belum pernah merasakan enak dan manisnya Ibadah.

Jika demikian, maka wajarlah Rasulullah tidak putus-putus dlanda gundah yang membangun, Gundah yang 
membawa kepada perubahan dan kebaikan; disamping Baginda sering berfikir kepada peningkatan yang lebih sempurna!

Jikalau kita merasa Gundah diatas kekurangan amal ibadah kita, tetapi hanya cukup sampai disitu sahaja, dan tidak membawa kepada apa-apa perubahan, penambahan dan peningkatan Iman dan pelaksanaan ajaran Agama seterusnya, maka, Gundah jenis ini tidaklah membawa sebarang erti atau disebut sebagai gundah bohong dan dusta! Andai sebaliknya, Gundah hati itu adalah timbul dari penyesalan yang luar biasa keadaannya, sehingga kita merasa insaf kerananya; kemudian, Iman kita bertambah, amal ibadah meningkat, maka pastilah, itu adalah Gundah yang terindah, yang baik dan yang benar! Gundah yang demikian mendatangkan kemenangan didunia dan diakhirat! Fahamkan betul-betul!

 7. TINDAKAN SUSULAN ANDA

Janganlah anda berpendirian bahawa hanya kerana status dan kehidupan anda sekeluarga merasa begitu selesa, ‘world class’, terjamin ekonomi dan darjat, walau sehingga 7 generasi/keturunan, aman dan damai, maka anda pun merasa begitu selamat!Na’uzubillah!

Kerana tidak akan pernah ada manusia yang terselamat, andainya manusia itu tidak mentaati Allah dan Rasul; sebaliknya hanya akan terjerembab kedalam kehinaan, kehancuran dan kebinasaan! Fahamkan benar-benar dan yakinlah! Nuktah! Seharusnya dan sewajarnya, anda menadahkan syukur dan berterima kasih diatas langkah positif susulan anda, MULAI SAAT INI DAN HARI INI! INSYAALLAH!!!

Lihat Q.S.22:54, bermaksud:

‘ Sungguh Allah Maha Pemberi Petunjuk bagi orang-orang beriman kepada Jalan yang benar/lurus!’
Lihat pula Q.S.39:22, bermaksud:

‘ Barangsiapa yang Allah kehendaki memberi petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatan baginya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki kelangit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman.’

Dan lagi Q.S.3:160, bermaksud:

‘ Jika Allah Menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkan kamu; tetapi jika Allah membiarkan kamu [tidak memberi pertolongan], maka, siapakah yang dapat menolong kamu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang Mukmin bertawakkal.’

Dan lagi Q.S.6:17, bermaksud:

‘ Dan jika Allah Menimpakan suatu bencana kepada kamu, tidak ada yang dapat menghilangkannya selain Dia; dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu maka Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.’

Dan lagi Q.S.10:107, bermaksud:

‘ Dan jika Allah Menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah Menghendaki kebaikan bagi kamu, maka, tidak ada yang dapat menolak kurniaNya. Dia Memberikan kebaikan kepada siapa sahaja yang Dia Kehendaki diantara hamba-hambaNya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.’

Kerana Allah itu adalah Dzat Mutlaq Yang Maha Pemberi Petunjuk, sekali-gus juga MahaPenolak, [menurut kehendakNya] maka siapakah yang sebenar-benar mendapat petunjuk???

Maka tadabburkanlah Q.S.16:37, bermaksud:

‘ Jika engkau [Muhammad] sangat mengharapkan agar mereka mendapat petunjuk, maka, sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang disesatkanNya, dan mereka tidak mempunyai penolong.’

Justeru, hanya Allah Memiliki Qudrah dan Iradah, dan keluasan IlmuNya mengenai sesuatu termasuk tadbir-urus hamba-hambaNya. Berilah asbab kepada Allah bagi anda mendapatkan Taufiq dan HidayahNya!
Rujuk Q.S.30:4, bermaksud:

‘ Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudahnya!’

Dan lagi Q.S. bermaksud:

‘ Ingatlah, Hak mencipta dan memerintah itu kepunyaan Allah, Maha Berkat Allah, Tuhan  Semesta Alam.’
Dan lagi Q.S.6:102, bermaksud:

‘ Itulah Allah, Tuhan kamu, tidak ada Tuhan selain DIA, Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah DIA; DIA lah Pemelihara sesuatu.’

‘Dan Allah Mengatakan yang sebenar-benarnya, dan DIA Menunjukkan Jalan yang Benar.’[33:4]

8.PENUTUP

Selawat dan Salam bagi Junjungan Nabi Muhammad, Saiyidil Mursalin, Keluarga dan Para Sahabat, Syaikhul Aulia’ wal Imam Muttaqim - AMIN!

ALHAMDULILLAH.
TABARAKALLAHU RABBAL 'ALAMIN!!!

TN MADRASATUL BAITUL ADAM, SHAH ALAM. 5/12/2012.