'HARAM SAWAH DIBAJAK KALAU BATANG CANGKING BERBUNGA' - ANTARA MAKNA LOGHAT
DAN MAKNA ISTILAH, PENCETUS JURANG TIDAK SEFAHAMAN ATAU PERMUSUHAN ANTARA ULAMA
TAREKAT-TASAWWUF DAN ULAMA FIQH [FEKAH/FUQAHA/PENTADBIR]'
BISMILLAAHIR RAHMAANIRRAHIIM
Wabihi nastai’n, bismillaahi, wa billaahi, wa minallaahi, wa ilallaahi,
walhamdulillaahi, wa laa ilaaha illallaah, wallaahu akbar, wa laa hawla wa laa
quwwata illa billaah.
Alhamdulillaah wassolaatu wassalaamu ‘alaa Rasulillaah, wa ‘alaa aalihi wa
ashabihi wa baarik wasallim.
Aduhai Sahabat!
1. MUKADDIMAH
Barangkali, semua orang faham akan makna loghat tajuk diatas. Adapun makna
ayat tersebut pada istilah:
Haram sawah dibajak [si-isteri di pergauli], jika wanita itu sedang
kedatangan Haid. Warna darah Haid adalah merah seperti bunga batang cangking,
yang kebiasaannya, tumbuh di pematang sawah!
2. SUATU ANALOGI
Alkisah, sebuah riwayat, terdapat seorang pemuda melamar seorang anak
gadis, anak seorang Sufi. Ahli Sufi lantas bertanya: ' Apakah kamu ingin
menikahi anakku yang buta matanya; pekak telinganya; bisu lidahnya, dan lumpuh
kedua-dua belah tangan dan kakinya?'
Setelah mendengar persoalan tersebut, pemuda tersebut dengan perasaan hampa
dan kecewa terus beredar dari situ, dan lantas membatalkan keinginannya untuk
memiliki anak gadis si-Sufi itu.
Tidak lama kemudian, datang pula seorang pemuda lain, kebetulan, seorang
Ahli Sufi, melamar anak gadis tadi. Lantas, ayah si-gadis, dengan spontan, mengaju
persoalan yang serupa. Tetapi, Ahli Sufi yang melamar sememang arif dan telah
maklum akan maksud persoalan dan penjelasan ayah si-gadis, lalu tanpa
dolak-dalik terus menyetujui dan menerimanya!
Ahli Sufi yang melamar itu sedia maklum bahawa mata sigadis itu buta kerana
tidak pernah melihat perkara yang haram; telinganya pekak kerana tidak pernah
mendengar yang haram; lidahnya kelu/bisu kerana tidak pernah berkata yang
haram; dan begitu juga, tangan dan kakinya lumpuh kerana tidak pernah menyentuh
atau berjalan kepada yang haram! Demikian perbedaan antara makna loghat dan
makna istilah! Fahamkan benar-benar!
3. SUATU PERBEDAAN DAN KEKELIRUAN
Begitu pula, didalam bidang TarekatTasawwuf yang amat asing kepada khalayak
yang bukan ahli atau bukan penggiat, terdapat jurang perbezaan yang amat meluas,
dari segi penyampaian ilmunya melalui methodologi penggunaan tamsilan, nuansa
mutasyabihat, perbendaharaan kata, hikmah, bayan, mantiq atau teks , yang mengandungi
makna loghat atau makna istilah. Cukuplah kepada penggiat TarekatTasawwuf
sendiri dan ahlinya pun, sering terdapat kekeliruan, kekhilafan dan salah
faham; apatah lagi kepada khalayak awam, atau pengkaji yang cuba-cuba mendekati
bidang ini! Bukanlah kerana penggunaan pendekatan terhadap ilmu ini, dengan
format eksklusif [tak lazim], segala terma, penamaan, kifiat, isyarat, istilah,
taarif amal, hal, maqam, intipati dsbnya, didalam bidang ilmu TarekatTasawwuf,
dengan sebutan, bunyi dan pemakaian atau pengamalan yang amat asing; tidaklah,
sekali lagi, tidaklah membuatkan ilmu ini mustahil untuk diterokai, diceburi,
dipelajari, difahami dan dihayati; sebagaimana juga ilmu-ilmu lain yang berbentuk
ilmiah atau akademik! Malah, sebab terpenting sekali, adalah mempelajari serta
mengamali ilmu TarekatTasawwuf, WAJIB hukumnya, bagi manusia yang mengakui diri
mereka beragama Islam! Jangan harap penulis akan berhujjah dan berpolemik mengenainya
diruang ini. Sila rujuk sahaja diruang yang lain!
Hanya kerana atas dasar kekeliruan, kejahilan, malah sifat iri dan kebencian
yang turut melebarkan lagi jurang perbezaan diantara pendirian dan fahaman ulama
Syariat berserta khalayak pengikutnya; dan para penggiat atau pengamal
TarekatTasawwuf. Bagi memburukkan lagi keadaan, pihak yang jahil dan keliru
tentang kebenaran dan ketulenan ilmu TarekatTasawwuf ini akan terus sahaja,
tanpa usul periksa, dan keinginan untuk memahaminya, menyerang, menyanggah,
membatal dan mengharamkan pengamalan ilmu ini!
Dewasa ini, sering juga terdapat laman-laman blog/sesawang, giat
mempengaruhi dan meracuni minda khalayak, turut berkomplot dengan
syaitan-syaitan kasar yang banyak berkeliaran, mencari mangsa agar beriring
bersama terjun keNeraka diakhirat nanti. Yakinlah, jika kail panjang sejengkal,
jangan lautan ingin diduga!
Gagasan komplot dan konspirasi para penentang TarekatTasawwuf ini adalah melakarkan
suatu wajah mala-petaka bagi umat Muhammad, terutama umat mutakhir kini, yang
kemaruk dunia, kufur, hamba nafsu, melampaui batas, cenderong melakukan maksiat
terhadap Tuhan, jahil-murakap terhadap ilmu akhirat, tidak cenderong kepada permohonan
taubat serta pengampunan Tuhan, dsbnya. Nah, bagi khalayak yang memilih untuk
menentang, menolak, membatal dan mengharamkan penyebaran dan kelangsungan ilmu
TarekatTasawwuf, janganlah kalian mendabik dada dan berbangga, kerana,
percayalah, Wallah, kalian akan menemui juga kebenarannya, waima, dihujung usia
kalian, ataupun , dihari Akhirat nanti! Bisa bersabar!
Senario begini hanya menjurus kepada suatu kemungkinan besar dan amat
serius kepada khalayak dan masyarakat madani kini, yakni, mereka akan terus
lalai dan melupakan Tuhan; malah akan lebih jauh dari Tuhan! Aneh sekali,
meskipun, ketika pihak berwajib sering melancarkan program serba-ragam yang
bersifat keagamaan kepada masyarakat, namun ianya tidak lebih dari bersifat
kosmetik, dan tidak meninggalkan impak atau kesan dan kesedaran hakiki kepada
anggota masyarakat amnya, terhadap hidup beragama sebenarnya. Apakah para
Pendakwah tidak mempamirkan ketokohan?!Hakikat kebenaran ini jelas
dimanifestasikan oleh sambutan, stail, cara dan gaya hidup anggota masyarakat
yang semakin tersasar, berterusan cenderong kepada berseronok tanpa batas, dan
terdedah kepada berfikiran bebas dengan mendakap ideologi liberalisme,
pluralisme dan berbagai lagi fahaman dan tindakan bobrok ala-Toghut! Sila lihat
Q.S.59:19, bermaksud:
‘ Dan janganlah keadaan kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu
Allah membuatnya lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang
yang fasiq.’
Apabila sekumpulan masyarakat itu bertindak bertentangan dengan Syariat
Allah, tunggulah; kerana sebenarnya, mereka melupakan Allah, yakni, kederhakaan
semata-mata! Dan masyarakat yang derhaka tidak sekali-kali akan meraih berkat,
rahmat, kasih sayang dan perlindungan dari Allah; malah akan mengundang laknat
serta kebinasaan dari Allah! Sehingga Allah menyatakan: ‘Inna ‘alaika la’nati
ila yaumiddiin!’ Dan lagi, ‘ Aulaa laka fa aulaa. Thumma aulaa laka fa
aulaa!’Q.S.75:34.
4. RISIKO, BAHAYA DAN BAHANA KERANA TIDAK WUJUD PERSEFAHAMAN
Sejarah dunia Islam banyak melakar, merakam dan menyaksikan pertembungan
dua polar pemikiran atau fahaman diantara,apa yang dipanggil sebagai Islam tradisi/arusperdana
[mainstream Islam], yakni, Syariat Islam yang terpakai oleh umum, dalam hal
urustadbir muamalah, munakahat dsbnya; dan sisi atau suatu bentuk dimensi Islam
yang lebih bersifat kerohanian, dinamakan sebagai TarekatusSufiyyah [Tasawwuf/Islam
mistik]. Hakikatnya, perbedaan ini adalah seperti dua sisi dari sekeping wang
syiling! Fahamkan paradoks ini benar-benar! Apakah anda tidak melihat hubungan
simbiosis antara keduanya?
Oleh sebab terdapat kesamaran tentang kefahaman dan kedudukan kedua-dua
dimensi tersebut maka timbul atau wujudlah jurang berbezaan dan kekeliruan dalam
pemahaman, penerimaan, seterusnya, pendirian masing-masing antara kedua-dua
pihak tersebut. Sebagai bukti, telah banyak kejadian pertelingkahan dan
permusuhan berlaku diantara pendokong Syariat dan pendokong TarekatTasawuf yang
sering menyebabkan penganiayaan dan
kezaliman terhadap para penggiat/pengamal TarekatTasawwuf/mistik; hanya kerana satu
pihak tidak memahami maksud atau makna istilah, prinsip, sesuatu keadaan atau
takrif amal dan deretan terma-terma teknikal yang diguna-pakai dalam ilmu TarekatTasawwuf
ini. Bagi yang kurang cerdik dan kurang daya fikir keintektualan, ia merupakan
suatu cabaran getir!
Antara tokoh-tokoh Sufi yang masyur, yang telah menjadi mangsa kezaliman,
tipu muslihat dan ‘collateral damage’ dari jurang perbezaan, ketidak-fahaman
dan ketidak-adilan pemerentah dan pihak-pihak berkepentingan dalam kerajaan
Islam zaman dahulu adalah seperti berikut:
1.SYAIKH HUSAYN MANSUR AL-HALLAJ
Beliau telah dihukum bunuh oleh Kerajaan Abbasiah pada tahun 309/922,semasa
pemerintahan Khalifah al-Muqtadir. Walaupun hukuman keatas beliau lebih
merupakan natijah dari fitnah, pakatan dan komplot politik dan dendam
permusuhan, hasil dari konspirasi Hamid, Wazir Khalifah, dan Abu Umar, Qadi,
ketika itu, pertuduhan terhadap al-Hallaj adalah juga terbit dari beberapa ujaran/ucapan
‘syatahat’ [ekspresi mistik] dan keadaan dirinya, yang mencetuskan kontroversi,
pada khalayak dan pada para jurist yang membicarakan beliau. Hukuman yang
dijatuhkan tidak berdasarkan ijma’ para jurist atau ulama, tetapi dipengaruhi
oleh tipu muslihat dan konflik perebutan kuasa dimahkamah pengadilan!
2.AYN AL-QUDAT
Beliau yang hidup [525/1131]dua abad selepas Al-Hallaj, juga melalui dan
mengalami nasib yang serupa dengan Al-Hallaj. Beliau adalah murid kepada Syaikh
Ahmad al-Ghazali, saudara kepada Imam al-Ghazali, dan ketika hukuman mati
keatas beliau dijatuhkan, beliau baru berusia 33 tahun! Kepintaran dan
karya-karya penulisan beliau yang amat berpengaruh telah mengancam dirinya
sendiri kerana tercetusnya dendam permusuhan dalam kucar-kacir perebutan kuasa
dibawah pemerintahan Sultan Mahmud dari dinasti Saljuk. Kes dendam yang membawa
hukuman mati ini direka-cipta oleh seorang pegawai tinggi kerajaan yang gila
kuasa dan dahagakan darah siapa sahaja yang menhalang pencapaian cita-cita
besarnya, bernama Abu al-Qasim Darguzini, berketurunan kelas bawahan [‘peasant’].
3.ABU AL-HUSAYN AL-NURI
Beliau, seorang Sufi Farsi, dizaman Khalifah al-Mu’tamid dan al-Mu’tadid,
adalah juga guru kepada al-Hallaj. Beliau adalah antara para Sufi termasyur
dizamannya diBaghdad [wafat 295/907], merupakan sahabat baik kepada Sari
al-Saqati, Junayd dan Kharraz. Beliau menghadapi pertuduhan sebagai seorang
Zindiq, dari seorang bernama Ghulam Khalil [275/888], telah dibicarakan; namun,
hukuman mati keatasnya telah dibatalkan pada saat-saat akhir perbicaraannya.
Disini, berbanding dengan kedua-dua kes diatas, ujaran, ucapan, kata-kata
hikmat dan perbuatannyanya telah menyelamatkan nyawanya, dan dua orang
sahabatnya yang dibicarakan bersamanya!
4.SYAIKH SIDI JENAR
Beliau adalah antara deretan Wali Songo, Ulama Nusantara termasyur.
Pendirian tegas dan ujaran-ujarannya yang mengancam dan tidak disenangi
pemerintah Majapahit, dan para anggota Wali Songo, telah mengundang hukuman
mati dikenakan keatas beliau. Seperti juga kes-kes sebelum ini, terdapat suatu
konflik dan pengkomplotan politik yang mendasari setiap hukuman!
5.HAMZAH FANSURI
Beliau, seorang tokoh Ulama Sufi tersohor, juga dari Nusantara, melalui
susur-galur kepayahan dalam membawa dan mengangkat Agama Islam kepersada
kemuliaan dan ketinggian melalui karya-karya penulisan bernasnya. Fitnah dan
konspirasi politik jugalah yang membawa kepada kematiannya!
Sebuah kes lain yang amat menarik perhatian ialah, suatu ketika, kerajaan
Islam Abbasiah, dibawah pemerintahan Khalifah al-Maa’mun, telah mendakap
ideologi Muktazilah sebagai fahaman nasional bagi negara dibawah jajahannya,
sedangkan ideologi Muktazilah jelas tidak sinonim dengan sistem dan fahaman Islam
sebenarnya, menurut mazhab al-Sunnah wal Jemaah. Kemelut kekeliruan ini terbit
dari kekhilafan dalam penafsiran dan pemahaman Alquran dizaman tersebut, yang dilaksanakan
secara loghat dan tidak menurut acuan hikmah dan makna istilah!
5. RESOLUSI PENYELESAIAN
Bagi mengelak dari kemurkaan Tuhan, masyarakat haruslah dididik semula dan
dibimbing dengan gaya dan cara hidup persis dizaman Rasulullah, para Sahabat
dan Salafus-Soleh, yakni, dengan kemurnian dan kesucian hidup
bertarekatTasawwuf. Ini boleh direalisasikan dengan membenteras jurang
perbezaan, kekusutan, segala kekeliruan dan ketidak-fahaman tentang gagasan
hidup bertasawwuf ini. Setiap perkara itu seharusnya dicermati dan diletakkan
ditempat yang sewajarnya! Apa yang seharusnya berlaku ialah, kejahilan perlu
dibenteras dengan ilmu. Suatu pihak yang tidak faham akan sesuatu bidang ilmu
haruslah menyerahkan dan merujuk kepada Ahlinya. Andai langkah bijak ini
dilaksanakan, tanpa syak wasangka, pastilah segala persoalan akan mencapai
penyelesaian jitu.
6. SUATU PERSOALAN
Besar kemungkinan juga, anda sendiri tidak atau belum terdedah kepada
istilah-istilah ‘asing’ dan fahaman yang terdapat didalam pengajian ilmu
TarekatTasawwuf. Namun, ini bukanlah bermakna anda memiliki sebab untuk tidak
menerimanya! Majoriti manusia boleh sahaja mengiktiraf atau menerima
serba-ragam ilmu, seperti quantum fiziks, roket sains dsbnya, begitu asing, yang
mereka tidak akan pernah berupaya memahaminya, walau melalui sepuluh kali lipat
kehidupan semula; meskipun, tetap boleh dan sanggup menerimanya! Justru, apa
ada pada ilmu TarekatTasawwuf yang boleh menghalang pemahaman dan penerimaan
umat?! Jawapannya amat mudah: Kebodohan/kejahilan, prejudis/prasangka dan tiada
hidayah Allah!Noktah!!!
Sebagai contoh, saya, disebut dan digelar orang sebagai DR.[Doktor
Rohani].Saya percaya bahawa anda pasti telah mengetahui makna loghat perkataan
Doktor. Namun, barangkali anda tidak mengetahui makna istilah gelaran DR.[Doktor
Rohani], [Tabib][Kehormatan], yang dianugerahkan kepada saya oleh Guru Mursyid
saya, dan lazimnya diterima-pakai didalam fraterniti dan khalayak pengamal
TarekatTasawwuf. Andainya, anda kurang arif tentang makna istilah[takrif]
perkataan Doktor Rohani [DR] tersebut; anda dipersilakan merujuk kepada sebuah
kitab bertajuk ‘Al Ta’rifaat.’ Kitab ini memberikan takrif Doktor Rohani, [DR]
[tabib] yaitu, ‘Guru atau Syaikh Mursyid yang mengenali dan mengetahui
kesempurnaan hati, jiwa dan sifat batin manusia, serta segala penyakit hati dan
bahayanya kepada manusia; walhal, Syaikh tersebut berkeupayaan pula menunjuki,
merawat dan mengubati hati dan jiwa yang berpenyakit!’ Fahamkan! Sila teliti
Q.S.2:10, bermaksud:
‘ Didalam hati manusia ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya dan
bagi mereka siksaan [azab] yang pedih, disebabkan mereka berdusta.’
Para ArifBillah dan Ulama yang mendapat petunjuk, sudah pasti bersifat berbaik-sangka,
malah, bersetuju dengan saya disebabkan fakta-fakta kebenaran berada dipihak
saya!
Jika anda ingin mencuba membunuh mati gerakan dan gagasan TarekatTasawwuf
dan para Ahlinya,[Ahli Sufi], anda dipersilakan menyeru dan memanggil
konco-konco anda yang berpengaruh lagi mulia, terdiri dari
pertubuhan-pertubuhan besar dan kuat, bagi mendapatkan dokongan dan sokongan
untuk kerja-kerja pembenterasan ini. Sila anjurkan majlis pembentangan atau
kongress atau mengarang kertas-kerja, buku/rencana penyanggahan dan pembatalan
Gagasan TarekatTasawwuf ini.
Sehingga kini, belum lagi saya temui suatu penulisan penentangan, yang
cukup ampuh, tuntas dan benar dalam hujjahan-hujjahannya bagi membatalkan
gagasan TarekatTasawwuf. Sehingga kini pun belum lagi saya menemui, walaupun,
sekadar takrifan maksud, makna istilah dan segala persoalan-persoalan berkaitan,
yang menyelubungi ilmu TarekatTasawwuf, yang tepat lagi benar, selain hujjahan
picisan, fitnah, pembohongan dan pendustaan semata-mata! Benarlah, Allah
berfirman, bermaksud:
‘ Wahai manusia! Telah datang kebenaran [Al-Haq] dari Tuhanmu.’ Dan lagi,
bermaksud:
‘ Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu.’
Lihat lagi firman Allah, Q.S.3:60 , bermaksud:
‘ Kebenaran itu datang dari Tuhanmu, maka janganlah kamu termasuk
orang-orang yang ragu-ragu.’
‘ Dan katakanlah: ‘ Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu, maka, barangsiapa
yang ingin beriman hendaklah ia beriman; dan barangsiapa yang ingin kafir,
biarlah ia kafir.’ Q.S.18:28.
‘ Sesungguhnya, inilah keyakinan yang sebenar.’Q.S.56:95.
Dari kelemahan dan kegagalan pihak penentang ini, tidak lain melainkan
memberi erti bahawa, pihak penentang sering mendakwa dan berkata sesuatu tanpa
berpaksikan kepada ilmu. Dengan lain-lain perkataan mereka ini memiliki lidah
gatal dan mulut celupar, ingin memperkatakan sesuatu tanpa ilmu; malah ingin
berhujjah atas kejahilan diri! Sebaliknya, amat berlainan dengan Ahli Sufi;
andai mereka menemui kebuntuan dan tidak ketahuan akan sesuatu perkara atau
bidang ilmu, mereka akan hanya bertawaqquf [ berdiam diri], lantas menantikan
sahaja pertolongan Allah!
Apakah pihak penentang ini berkulit tebal kerana tidak tersinggung oleh
kecaman Allah menerusi Q.S.17:26, bermaksud;
‘ Janganlah kamu turut [campur tangan/campur mulut] tentang apa-apa
[perkara] yang tidak kamu ketahui.’
Perhatikan lagi Q.S.61:2-3, bermaksud:
‘ Hai orang-orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa-apa [sesuatu] yang
tiada kamu kerjakan [perbuat]? Sungguh dibenci [dikutuk] Allah, bahawa kamu
memperkatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan [perbuat]!’
7. PENUTUP
Andainya benar anda/kalian telah tersinggung oleh ayat-ayat tersebut;
semoga Allah akan mengampuni dosa anda/kalian. Sesungguhnya, Syurga yang
diciptakan Allah itu tidaklah sempit; bahkan, cukup bagi para jemaah Sufi, apatah
lagi bagi anda dan jemaah anda; dan cukup juga untuk ribuan, malah, jutaan umat
manusia yang lain!
Saya, serta jemaah TarekatusSufiyyah, tidak akan pernah bersikap iri hati,
hasad dan dengki terhadap anda dan khalayak jemaah anda. Malahan, Jemaah
TarekatusSufiyyah sering sahaja dan senantiasa mendoa, bermunajat, memohonkam
ampun kepada Allah atas dosa-dosa anda sekelian, itu pun seandainya Anda
mempunyai dosa!
Antara doa/munajat tersebut berbunyi seperti berikut:
‘ Allahum maghfirli ummati Muhammad, Allahum marham ummati Muhammad,
Allahumma ajbur ummati Muhammad, Allahumma ansur ummati Muhammad, Allahumma
aslih ummati Muhammad, Sallallahu ‘alahi wasallam!
Demikian, keprihatinan jemaah TarekatusSufiyyah, yang senantiasa berdoa, bersikap
Husnuz-dzan, menumpah, melebarkan dan mempererat silaturRahim kasih sayang,
dalam bermuamalah sesama insan, dahulu, kini dan sehingga akhir nanti! InsyaAllah!
Pesan Rasulullah dalam sabdanya: ‘ Addinuu husnul khuluq,’ bermaksud:
‘ Agama Islam itu adalah budi pekerti yang baik.’ Dan lagi:
‘ Akmalul mu’miniina imaana ahsanuhum akhlaqa.’Bermaksud:
‘ Orang mukmin yang paling sempurna imannya itu ialah yang paling baik budi
pekertinya [akhlaknya].
Dan lagi, bermaksud: ‘ Tidak suatupun yang berat timbangannya daripada budi
pekerti yang baik.’
Marilah kita contohi budi pekerti Rasulullah, kerana bagindalah yang
memiliki budi pekerti yang terbaik sekali!
Seperti sabdanya, bermaksud:
‘ Aku diutus Allah untuk menyempurnakan budi pekerti yang utama.’ Dan
firman Allah,Q.S.68:4, bermaksud:
‘ Sesungguhnya, engkau, ya Muhammad! Aku jadikan mempunyai sebaik-baik budi
pekerti [akhlak].’
Apapun yang terjadi, pada hakikatnya, setiap sangkaan baik, setiap usaha baik
kearah perongkaian permasalahan dan penghapusan kekeliruan dalam mendekati dan
mengenal-pasti isu-isu kritikal sebenarnya, dan yang menyelubungi wilayah
TarekatTasawwuf, adalah selangkah kearah menemukan noktah penyelesaian
mutakhir, terhadap kemelut perbezaan antara dua jurusan tradisi Islam ini!
Semoga Allah Swt. merahmati dan meredhai! INSYAALLAH!
ALHAMDULILLAH
WA BILAHIT TAUFIQ
TABARAKALLAHI RABBUL ALAMIN.
29.03.2013. BLOG TN. MADRASATUL BAITUL ADAM, SHAH ALAM, SEANGOR, MALAYSIA.