ALAHAI SAHABAT DAN IKHWANUL MUSLIMIN:
BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM'
Alhamdulillah. Wassolati wassalamu 'ala Saiyyidina Muhammadin Syamsil Huda
wa 'ala alihi wa ashaabihi nujuumil ih tidaai.
Segala puji dan puja bagi Tuhan yang telah menciptakan manusia sebagai penyimpan
serta penggalas Amanat Ilahi dan penerima Firman-firman suciNya, yang rahmat
Kasih SayangNya telah memberi kekuatan kepada manusia untuk dapat menerima
Amanat Agung, sedang yang lain tersipu dan menolak memikulnya. Justru, dengan
kemampuan itu, manusia menjadi makhluk terpilih dan termulia, melebihi puncak kedudukan
dan darjatnya. Dengan demikian, mereka menjadi tempat khazanah ilmu dan rahsia
Ilahi. Maha Suci Allah SWT. yang telah menganugerahkan kemuliaan Agung ini!
Namun, mereka yang memelihara Amanat tersebut akan senantiasa tergolong dalam
pemeliharaanNya; tetapi mereka yang mensia-siakan Amanat tersebut pasti pula
akan disia-siakan! Q.S.33:72. Fahamkan benar-benar!
Amma ba':
MUKADDIMAH
Allah SWT.berfirman,Q.S.58:22, bermaksud:
'Ingatlah, sungguh partai/golongan Allah itu pasti beroleh kemenangan.'
Penulis merujuk kepada program terbitan TV ALHIJRAH, slot Isu Akidah,
bertajuk Adakah Akidah Kaum Sufi itu Sesat? Siapakah Tokoh-tokoh Sufi
sebenarnya? Program ini disiarkan pada hari Rabu, 18.12.2013.jam 9.00 malam.
Jutaan terima kasih kepada TV ALHIJRAH!
Sedar atau tidak sedar, Stesen TV ALHIJRAH telah dilimpahi Hidayah dan
Barokah teramat besar sekali oleh Allah SWT. dalam nenegakkan yang Hak dan
melenyapkan yang Batil, sehingga keakar-umbi. Ketetapan dibuat bahawa kaum Sufi
adalah penggiat dan pengamal Islam sebenarnya. Noktah! Syabas dan segunung penghargaan
kepada TV ALHIJRAH atas dukungan mantap itu!
Sila perhatikan Q.S.81:18, bermaksud:
' Dan demi Subuh, apabila fajarnya mulai menyingsing,' yakni, mulai
tertampakkan.
Sungguh, fajar menyingsing semula, dari ufuk kekeliruan dan kekalutan,
keufuk kecerahan dan kejernihan! Seperti pecah berderainya, bagai debu
kekufuran, 360 buah berhala Musyrikin Makkah yang mengelilingi Kaabah; dituruti
jatuh tersungkur, terbungkam, tersesat dan tertipu, Abu Lahab, Abu Jahal serta
konco-konco mereka ketika itu! Nah! Lagi terbungkam, tertipu dan tersipu malu
para golongan pemikul gagasan anti-Sufi dan anti-Tarekatusufiah zaman terakhir
kini; samaada diNegara ini, diNusantara dan Dunia amnya, terdiri dari saki-baki
Jahiliah Makkah, ulama pretenders, Ustaz-ustaz Abu Lahab dan Abu Jahal
wannabes, [lihat saja diinternet] yang dengan lantang dan angkuh menyanggah
kewujudan dan kebenaran akidah dan kelangsungan aliran Tarekatusufiah sebagai
suatu entiti integral Agama Islam! Nah! Jika kail panjang sejengkal, jangan
samudera hendak diduga! Agak-agaklah! Belajar biar tamat, berfikir biar berakal,
berujar biar penuh ajar, berceramah biar penuh hikmah, berdebat biar hebat dan bertindak
kawan biar cendekiauan!
Khalayak sebenarnya teramat maklum tentang tokoh-tokoh 'ulama' [ustaz] yang
anti-Tarekatusufiah ini, majoriti mereka memang tidak pernah menjadi ahli
sebarang Tarekat Muktabarah pun; semak dan menyemak, ikut orang lain dan main
hentam aja; dan harap-harap selepas pengumuman TV ALHIJRAH tersebut, menjadi
besarlah kemaluan mereka ini untuk berdepan dengan khalayak melalui media-media
umum dan terpaksalah memakai ‘topeng-topeng’ baru bagi menyembunyikan muka-muka
mereka yang ‘bopeng’ itu. Namun, kita tidak merasa hairan andai golongan ini sanggup
menelan segala kepahitan dan malu, hanya bagi kelangsungan sara dan cara hidup
mereka yang memiliki seribu satu wajah; seperti seruan Rasulullah suatu ketika
yang berbunyi, 'Wahai wajah-wajah yang jelek!'[sewaktu Perang Badar].
Hakikatnya, tidak semua orang mampu menerima kebenaran, menyata dan
mengatakan hal yang benar; atau mampu berbuat benar! Hakikatnya, memang sedikit
manusia yang benar-benar ingin dan berkehendakkan Allah dan kebenaran. Dan
hakikatnya juga, adalah lagi sedikit manusia-manusia yang benar-benar
dikehendakki Allah! Bila demikian terjadi, manusia itu akan mendapati dunianya
lebih tidak berharga dari bersinnya seekor kambing! Fahamkan benar-benar!
2. DEKRI TUNTAS ALLAH SWT.
Sila rujuk Q.S.4:147, bermaksud:
‘ Wahai manusia! Sesungguhnya telah sampai kepadamu bukti kebenaran dari
Tuhanmu, dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang
[Alquran].’
Ingatlah ketika awalannya dan dalam himpitan dilemma cemas permusuhan, Rasulullah
saw. bersumpah dihadapan AbuTalib:
‘ Wahai Bapa Saudaraku yang tercinta! Walaupun mereka meletakkan mentari
ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku agar aku meninggalkan seruan Agama
Islam ini, aku tidak akan melakukannya; aku akan terus menyebarkannya sehingga
Allah SWT. MEMENANGKAN Agama ini atau sehingga aku menghembuskan nafasku yang
terakhir.’ Lalu apa rentetan seterusnya?
Suatu ketika penguasa Quraisy cuba memujuk Rasulullah agar membatalkan
hasrat baginda menyebarkan Agama Islam yang baru berputik:
‘ Bila tujuan penyebaran agama baru kamu ini untuk mengumpulkan kekayaan,
maka kami akan memberimu bertumpuk-tumpuk kekayaan, sehingga kamu akan menjadi
orang terkaya diantara kami. Bila tujuanmu untuk menempati darjat kedudukan
yang tertinggi, maka kami bersiap sedia menjadi anak buahmu. Bila kamu menjadi
raja maka kami siap mengangkatmu.’ Rasulullah berujar:
‘ Tujuanku menyeru manusia kepada Agama Islam bukanlah untuk mengumpul
kekayaan, menempati kedudukan, dan menjadi raja kalian semua. Aku menyebarkan
DAKWAH ini kerana Allah SWT. telah mengutusku kepadamu sebagai Rasul. Dia
[Allah SWT.] telah menurunkan kitab suci kepadaku. Allah SWT. menyuruhku
memperingatkan kalian akan seksaNya, dan menyampaikan khabar gembira yang
berupa SyurgaNya. Aku telah menyampaikan wahyu Allah kepada kalian semua.
Apabila kalian menerimanya, maka kalian akan beruntung didunia dan akhirat, dan
apabila kalian menolak, maka aku akan tetap bersabar sampai Allah SWT.
memberikan keputusanNya mengenai aku dan kamu.’
Lantas Allah SWT. menuntaskan dalam firmanNya, Q.S.61:9, bermaksud:
‘ Dialah yang mengutus Rasulnya dengan membawa petunjuk, dan Agama yang
BENAR, untuk MEMENANGKAN [MENAKLUK] atas segala agama, meskipun orang-orang
Musyrik membencinya.’
Betapa dan bagaiman pula seharusnya umat Muhammad menyambut dan bertindak
diatas gagasan hebat ini?
Andai dijadikan contoh dan wakil umat ini, perhatikan bagaimana seorang
tokoh dan sahabat besar junjungan terkasih, Saidina Ali bin Abi Talib
karamallahu wajha, menggemakan jajaran, sikap dan roh kekuatan gagasan
tersebut, apabila beliau berjihad menongkah arus terhadap penyangak dan
pendusta Agama, pedagang kekayaan, jabatan dan penjual Agama, pembabi buta
untuk kepentingan diri, penzalim dan penolak keadilan. Beliau merobohkan istana
mimpi, bangunan serta asas binaan para petualang Agama lalu bertekad:
‘ Kaum yang kuat diantara kalian sebenarnya adalah lemah, dan kaum yang
lemah diantara kalian sebenarnya adalah kaum yang kuat. Selagi bintang-bintang
terus mengitari langit, selama itu aku perjuangkan keadilan berAgama. Demi
Allah aku akan menegakkan keadilan selagi penindas dan penyangak Agama masih
tampak dipelupuk mataku. Aku akan menekan batang hidung para petualang Agama
ini, walau mereka amat tidak menyukainya. Aku bersumpah, demi Allah aku tidak
mengenal kebenaran sebelum aku menemui faktanya. Aku tidak peduli apakah aku
berjalan menuju kuburan atau kuburan yang mendatangiku!’
Nah! Betapa jelas, tuntas dan konklusif sekali! Seharusnya, kita tidak
wajar bersikap apologetik atau/dan takut terhadap kaum Kuffar, Musyrik,
Munafiq, Fasiq, Zindiq, petualang dan penentang Agama dan kebenaran ini [apa
bangsa sekalipun], dengan ideologi agama lain selain Islam, seperti antaranya, sekularisma,
pluralisma, liberalisma, LGBT, dsbnya, lantaran dekri dan hujah-hujah tuntas
seperti yang tertera diatas. Kerana Allah SWT. dan Rasulullah sendiri tidak akan
pernah berkompromi diatas pegangan akidah Tauhid, suci dan murni dalam Agama
kita ini! Noktah!
Hentikan sahaja serba ragam komentar, konferensi, sidang pertemuan dan
‘layanan’ dengan pihak-pihak berkenaan, melainkan bagi urusan pendakwahan dan
menyata dan menetapkan hakikat kebenaran [ISLAM]! Bukankah hanya ini agenda
sebenar yang dijihadkan Rasulullah, para Sahabat, para Salafus-soleh dan
Ulama-ulama Muktabar sekian lama? Apakah saranan dan seruan Allah seterusnya?
Lihat Q.S.29:17 dan 28:87, bermaksud:
‘ Sesungguhnya, apa yang kamu sembah selain Allah adalah berhala dan kamu
membuat dusta.’
‘Dan serulah [manusia] agar [berIman] kepada Tuhanmu, dan janganlah kamu
termasuk orang-orang Musyrik!’ Lihat lagi Q.S.28:88, 30:31, dan 7:206,
bermaksud:
‘ Segala sesuatu pasti binasa, kecuali Wajah Allah.’
‘ dengan kembali BERTAUBAT kepadaNya, dan BERTAQWAlah kepadaNya, serta
laksanakan Solat, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan
Allah.’
‘ Sesungguhnya orang-orang yang ada disisi Tuhanmu tidak merasa enggan
untuk menyembah Allah, dan mereka mensucikanNya dan hanya kepada Allah mereka
berSUJUD.’
‘ Berada disisi Allah adalah tempat kembali terbaik!.’Q.S.3:14.
APAKAH KITA SANGSI ATAU TIDAK MERASA YAKIN TENTANG JANJI-JANJI ALLAH SWT.?
‘ Allah telah menetapkan, ‘Aku dan Rasul-RasulKu pasti menang!.’Q.S.58:21.
‘ Ketahuilah, bahawa golongan Syaitan itulah golongan merugi.’
Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
3. UCAPAN SALAM
Justru, terhadap mereka yang luhur, ikhlas dan berlapang dada menerima,
mengimani dan mendakap Syariat Islam, zahir dan batin, penulis mengucapkan SALAM.
‘Salam’ adalah ucapan selamat yang diucap dengan iktikad kebaikan dalam jalinan
persaudaraan. Dalam kata ‘salam’ tersimpan jalinan kasih sayang, cinta dan
kedamaian. Dengan demikian Tuhan sendiri mengucapkan ‘salam’ kepada
mereka-mereka yang dicintaiNya! Lihat firmanNya,Q.S. Ya Sin 36:58, bermaksud:
‘ Salam, sebagai ucapan dari Tuhan Yang Maha Penyayang.’
Ucapan ‘salam’ berlaku didunia maupun diakhirat. Para pencinta Tuhan [ Ahli
marifat, ArifBillah, Insan Kamil] mendapatkan ‘salam’ cinta kasih dari Ilahi
sepanjang masa, disepanjang hayat mereka, didunia maupun diakhirat. Justru,
mereka menjadi manusia-manusia yang terpilih dan termuliakan. Sila lihat
Q.S.21:27-28, bermaksud:
‘ Mereka itu tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka mengerjakan
perintah-perintahNya. Allah mengetahui segala sesuatu dihadapan mereka dan yang
dibelakang mereka, dan mereka tiada memberi syafaat melainkan kepada orang yang
diredhai Allah, dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepadaNya.’
‘Salam’ mengikat jalinan persaudaraan antara manusia dalam cinta dan
kebajikan. Namun, ‘salam’ tidak sekali-kali mengikat hubungan diantara mereka,
yakini, penentang perintah dan kebenaran; dan terbiasa bermaksiat dan melakukan
pelanggaran. Dengan yang demikian, perpisahan adalah terlebih baik dari jalinan
persaudaraan. Ini dituntaskan Allah dalam firmanNya, Q.S.36:59, bermaksud:
‘ Berpisahlah kamu [ dari orang-orang Mukmin] pada hari ini, wahai
orang-orang yang berdosa.’
4. TRINITY VS TRILOGY
Penulis tidaklah berhasrat membincang isu trinity, anutan kaum Nasara
tersebut, melainkan cuba melakarkan sebuah analogi dalam Agama Islam sendiri,
yang dalam bentuknya mampu memantapkan dan membulatkan fahaman tentang pegangan
akidah Islam yang sebenarnya!
Konsep trilogy Islam itu bukanlah konsep baru, cuma pendekatan pemahamannya
tidak diperkemaskan oleh ulama mutakhir!
Agama wahyu ini terdiri dari tiga [3] ciri-ciri fundamental. [Rujuk Hadits
sahih riwayat Umar ibn Khattab r.a.] Ketiga-tiga ciri-ciri tersebut harus
berdiri serentak dan bersama, tidak boleh dipisahkan dan tidak pula boleh
diapplikasi secara berasingan!
Ciri-ciri integrated itu ialah ISLAM, IMAN dan IHSAN.
Tidak dinamakan penganut Islam sebenar, jika tidak berIman dan berIhsan.
Orang yang berIman pastinya adalah orang Islam; dan orang yang berIhsan
pastinya adalah orang yang berIman dan beragama Islam!
Ketiga istilah tersebut mendasarkan kepada umat Islam [Sunni], tentang
rukun Islam yang lima; rukun Iman yang enam; dan ajaran tentang penghayatan
terhadap Allah Yang Maha Hadhir dalam hidup ini. Didalam pengamatan, pecahan
ketiga intipati istilah-istilah tersebut, terkesan adanya pengasingan antara
pengertian masing-masing istilah tersebut, seolah-olah pengertian masing-masing
istilah boleh berdiri dan difahami secara sendirian tanpa perlu dikait,
dihubung dan dihayati serentak dan bersama. Pastinya, pada hakikatnya tidaklah
demikian! Kerana, setiap penganut Islam harus mengetahui dengan pasti bahawa
Islam tidak sah tanpa Iman; dan Iman pula tidak sempurna tanpa Ihsan
[al-Ihsan]. Sebaliknya, Ihsan adalah mustahil tanpa Iman, dan Iman juga tidak
mungkin tanpa didahului dengan Islam! Didalam Islam terdapat Iman dan Ihsan;
didalam Iman terdapat Islam dan Ihsan; dan didalam Ihsan terdapat jua kedua-dua
Iman dan Islam. Justru, dari sisi pengertian inilah seharusnya kita semua
melihat, memahami dan menghayati Agama Islam sebenarnya, sebagai Trilogy Ilahi!
Maka, adalah diharapkan dengan analisis pemahaman pengertian ketiga-tiga
Istilah integral Agama Islam itu, justru, kemampuan, keluhuran dan kesucian
beragama dapat diterap dan diabadikan didalam setiap diri penganutnya. Noktah!
5. PENGERTIAN AL-ISLAM
Perkataan ‘al-Islam’ itu adalah menjadi nama sebuah agama yang dibawa Nabi
Muhammad saw., yakni Agama Islam. Namun secara generik, istilah ini bukanlah
suatu proper noun, sebagai pengertian istilah ini secara mendalam, seperti
kerap ditemui didalam Alquran. Istilah ini lebih merupakan kata benda aktif,
mengandungi pengertian sikap terhadap sesuatu, seumpama sikap pasrah atau
menyerah diri kepada Tuhan; dan sikap inilah disebut sebagai sikap keagamaan
yang sebenar, diterima dan diredhai Tuhan!
‘ Sesungguhnya agama bagi Allah ialah sikap pasrah kepadaNya [al-Islam],’
Q.S.3:19.
Maka secara umum, selain dari nama kepada sebuah Agama, istilah al-Islam
itu menurut makna generiknya bererti ‘ pasrah kepada Tuhan’, yakni, suatu ciri
atau karakteristik pokok semua agama yang benar, khusus, dibawa oleh para Rasul
dan Nabi silam. Justru, ini dapat disimpulkan dari Q.S. 29:46, bermaksud:
‘ Kami beriman kepada Kitab Suci yang diturunkan kepada kami dan kepada
yang diturunkan kepada kamu; Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah Yang Maha Esa,
dan kami semua pasrah kepadaNya [muslimun].’
Sama erti dengan perkataan ‘al-Islam’ diatas, perkataan ‘muslimun’ dalam
firman itu lebih tepat memakai makna generiknya, yakni, ‘ orang-orang yang
pasrah kepada Tuhan.’ Perkataan ‘muslimun’ justru, juga digunakan didalam
kitab-kitab suci Allah yang pernah diturunkan; seperti diisyaratkan Q.S. 3:83,
bermaksud:
‘ Maka mengapa mereka mencari agama yang lain selain agama Allah, padahal,
apa yang dilangit dan dibumi telah berserah diri pasrah [aslama- ‘ber-Islam’] kepadaNya,[baik]
dengan suka maupun terpaksa, dan hanya kepadaNya mereka dikembalikan.’ Lihat
lagi Q.S. 3:84, bermaksud:
‘ Katakanlah [ Muhammad], ‘ Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang
diturunkan kepada kami, dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Isyak,
Yakub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa, dan para Nabi
dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun diantara mereka, dan
hanya kepadaNya kami pasrah berserah diri [muslimun].’
Dalam Tafsir Ibn Katsir berkait dengan mereka yang pasrah menyerah
[muslimun], ia menyatakan bahawa ‘ mereka dari kalangan umat ini yang percaya
kepada semua Nabi/Rasul yang diutus, pada semua Kitab Suci yang diturunkan,
mereka tidak mengingkari sedikitpun, melainkan menerima kebenaran segala
sesuatu yang diturunkan dari sisi Tuhan dan dengan semua Nabi/Rasul yang
dibangkitkan oleh Tuhan.’ Ada juga Ulama mufassir yang mengertikan, ‘mereka
yang bertauhid dan mengikhlaskan diri kepadaNya; dan juga ‘al-Islam sebagai
sikap meMahaEsakan [bertauhid]; dan sikap pasrah diri kepada Tuhan.’ Kesimpulannya,
dituntaskan bahawa beragama tanpa dihadhiri sikap pasrah kepada Tuhan, betapa
pengakuan sebagai ‘Muslim’, atau penganut ‘Islam, adalah tidak benar/sah, dan
bakal tidak diterima dan diredhai Tuhan! Fahamkan benar-benar!
Contoh yang lain, seperti pesanan N.Ibrahim kepada anak-anaknya; demikian
juga N.Yakub, dalam Q.S. 2:132, bermaksud:
‘ Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilihkan agama untuk
kalian, maka janganlah sampai kalian mati, kecuali adalah sebagai orang-orang
yang pasrah [muslimun] kepadaNya.’ Dan lagi Q.S.6:161-163, bermaksud:
‘ Sesungguhnya, aku telah diberi petunjuk oleh Tuhanku kearah jalan yang
lurus, yakni, agama yang tegak, ajaran Ibrahim yang hanif, dan tidaklah dia
termasuk orang-orang musyrik.’
‘ Katakan juga hai Muhammad, ‘Sesungguhnya, sembahyangku, amalanku, hidupku
dan matiku adalah untuk Allah seru sekian alam, tiada sekutu bagiNya. Demikian
aku diperintahkan, dan aku adalah yang pertama dari kalangan orang-orang yang
pasrah.’ Lihat lagi Q.S.39:54, bermaksud:
‘ Dan kembalilah kamu semua kepada Tuhanmu, serta berserah dirilah kamu
semua [aslimu] kepadaNya, sebelum tiba kepadamu azab, lalu kamu tidak dapat
ditolong lagi.’
Demikanlah ditegaskan didalam Alquran bahawa semua Agama dibawa para
Nabi/Rasul adalah Agama Islam! Noktah! Hanya Agama Islam sahaja agama yang
mengajarkan sikap tunduk, patuh, merendah-diri, pasrah dan berserah diri secara
tulus ikhlas kepada Tuhan, sejajar dengan Qudrat dan IradatNya.
Maka inilah yang dimaksud dalam Q.S. 3:19:
‘ Sesungguhnya agama bagi Allah itu ialah al-Islam [yakni, sikap yang
pasrah tulus kepadaNya].’ Dan Q.S.3:85, bermaksud:
‘ Dan barangsiapa yang mencari agama lain selain Islam [sikap pasrah kepada
Allah] sebagai agama, dia tidak akan diterima, dan diakhirat dia termasuk orang
yang menyesal dan merugi.’
Kesimpulannya, Islam seperti pengertian yang dirinci diatas adalah mustahil
dihayati tanpa Iman, kerana Iman itu hasil natijah dari kepercayaan dan
keyakinan tulus dan penuh terhadap Allah SWT. Fahamkan benar-benar!
6.PENGERTIAN AL-IMAN
Kita sedia maklum tentang pengertian umum berkenaan Iman, yakni, melalui
Rukunnya yang enam perkara, seperti juga mengenali Islam melalui Rukunnya yang
lima. Rukun masing-masing memang dasar dan ciri-ciri fundamental bagi pegangan
kedua-dua Islam maupun Iman!
Jika Islam adalah aspek zahir atau luaran [externalisasi] yang mudah pula
dizahirkan dengan perlakuan zahir seperti solat, puasa, zakat dan haji, namun berlainan
dengan Iman kerana ia adalah bersifat dalaman dan kejiwaan [internalisasi].
Jika Islam adalah diibaratkan seperti kerangka atau pembungkus, maka
intipati atau perisian Islam itu tidak lain melainkan Iman dan Ihsan; seperti
mana juga Solat itu adalah kerangka luaran yang membungkus pertautan
kerohanian, kejiwaan dan ubudiyah dalam keintiman keakraban diantara seorang hamba
dan Tuhan!
Dari Abu Hurairah ra., Rasul bersabda, yang bermaksud:
‘ Tidaklah ada seorang Nabi melainkan ia telah diberi ayat-ayat
[tanda-tanda kekuasaan Allah] yang dengan itu manusia menjadi beriman, dan
sesungguhnya apa yang diberikan kepadaku adalah wahyu yang telah diwahyukan
Allah, dan aku berharap para pengikutku paling banyak diantara Nabi-Nabi yang
lain kelak, dihari kiamat.’
Secara etimologis, Iman bererti pembenaran [tasdiq]. Mengenai penerapan
prinsip-prinsipnya pada hukum keagamaan, terdapat perselisihan besar. Misalnya,
kaum Mu’tazilah berpandangan bahawa Iman melibatkan semua tindakan ibadah,
theori maupun praktik. Kaum Kharijiyah menghukum seseorang itu jatuh kafir
kerana berbuat dosa. Sebahagian, menyatakan bahawa Iman hanyalah pengakuan
lisan, sementara yang lain menyatakan hanyalah pengetahuan tentang Tuhan; dan
segolongan ahli teologi Sunni menyatakan bahawa Iman hanyalah pembenaran.
Penulis lebih cenderong menyatakan dan mengukuhkan ketetapan jalan
pertengahan, yang diyakini oleh golongan al-Sunnah wal Jamaah, juga didukung
oleh jemaah para Syaikh-Syaikh Sufi. Mereka seperti, Hassan al-Basri, Fudhail
Iyadh, Bisyir Hafi, Khair Al-Nassaj, Sumnun Al-Muhibb, Abu Hamzah Baghdadi,
Muhammad Jurayri, Ibrahim bin Adham, Dzun Nun Al-Mishri, Abu Yazid Al-Bisthami,
Abu Sulayman Darani, Harits Muhasibi, Junayd Baghdadi, Sahl bin Abdallah
Al-Tustari, Syaqiq Al-Balkhi, Hatim Asham, Muhammad bin Al-Fadhl Al-Balkhi, Al-Qadir
Jilani, Shah Naqsyabandi, dan sejumlah yang lain lagi. Tergolong juga Imam
Faqih yang empat. Semuanya sepakat mengenai pengakuan dengan lisan, pembenaran
[tasdiq] didalam hati, dan pelaksanaan perintah-perintah Tuhan. Jika
semata-mata pembenaran, tanpa melaksanakan perintah-perintah Ilahi [amal
ibadah], dan tanpa Tauhid dan Marifat, tidaklah memberikan keselamatan. Rasulullah bersabda, bermaksud:
‘ Tidak ada seorang pun diantaramu yang akan diselamatkan dengan
amal-amalnya.’
Kerana itu, pada hakikatnya, Iman, dan Tauhid adalah Marifat dan pengakuan
serta diterimaNya amal-ibadah.
Pada prinsipnya, Iman adalah landasan akidah dan syarat mutlak sebagai
bekal seorang hamba untuk menemui Tuhannya. Iman juga adalah dasar kepercayaan,
keyakinan dan pembenaran [tasdiq] didalam hati seorang yang mengakui menganut
agama Islam, tidak boleh tidak!
Iman itu adalah juga Tauhid. Jika dengan Haqqul Yaqin, kita menyatakan dan
menetapkan bahawa Tuhan Allah itu Maha Esa, Maha Tunggal dan satu-satunya
Tuhan, maka kita hunjam dan pancangkan kedalam hati agar tidak lagi pernah berpaling
kearah yang lain! Iman sebegini bermaksud ketetapan hati secara istiqamah
terhadap Allah SWT. sebagai Tauhid dan Marifah yang suci murni! Kuasa Iman,
Tauhid dan Marifat menundukkan sifat-sifat keraguan/agnotisme, dan dimana
prinsip-prinsip ini berada, agnotisme tersingkir, dan dikatakan: ‘Sebuah pelita
tidak berguna lagi ketika fajar menyinsing.’
Apabila ditanyakan kepada Abu Yazid al-Bistami tentang makna Marifah,
beliau menjelaskan melalui ayat Q.S.an-Naml:34, bermaksud:
‘ Sesungguhnya, Raja-Raja apabila memasuki suatu negeri nescaya mereka
membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia menjadi hina.’
Menurutnya, orang arifbillah tidak lagi mempunyai keadaan/kondisi, kerana
tanda-tandanya telah terhapus; identiti dirinya telah dihapuskan oleh identiti
yang lainNya.’
7. PENZAHIRAN IMAN
Walaupun Iman dan Tauhid lebih bersifat dalaman dan internalisasi, namun
pegangan dan penghayatannya bisa juga dizahirkan melalui tindakan-tindakan,
seperti pengertian kita pada sabda Rasulullah bahawa Iman memiliki 70 tingkat,
yang paling tinggi adalah ucapan Laa ilaaha illallaah, dan yang paling rendah
ialah menyingkir hadangan dijalanan.
Dalam suatu pengertian dari riwayat Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah
bersabda, bermaksud
‘ Barangsiapa melihat orang-orang melakukan dosa, maka ia harus
menghentikan perbuatan tersebut dengan kedua tangannya; bila ia tidak mampu menghentikan
dengan kedua tangannya, maka ia harus menghentikan dengan lidahnya. Andai ini pun
ia tidak mampu, maka ia harus mengutuk perbuatan tersebut dengan hatinya; dan
ini adalah selemah-lemahnya Iman.’[Futuhat az-Zanabiya]
Dalam pengertian yang lain Rasulullah juga bersabda,
‘ Dia tidak beriman! Demi Allah dia tidak beriman!’ Lalu orang bertanya,
‘Siapa, wahai Rasulullah? Beliau menjawab, ‘Orang yang tetangganya tidak merasa
aman dari kelakuan buruknya.’ Lalu ditanya lagi, ‘Tingkah laku buruk yang
bagaimana?’ Beliau menjawab, ‘Kejahatan dan sikapnya yang menyakitkan.’
Dan sabdanya lagi, bermaksud: ‘Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehingga
ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.’
Pada sisi lain, Rasulullah juga bersabda, ‘Demi Allah yang jiwaku ada
diTanganNya, kamu tidak akan masuk Syurga sebelum kamu beriman; dan kamu tidak
beriman sebelum kamu saling mencintai. Belumkah aku beri petunjuk kepada kamu
tentang sesuatu yang jika kamu lakukan, kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah
perdamaian diantara sesama kamu!.’
Dan lagi: ‘Umpama orang Mu’min terhadap Mu’min yang lainnya, adalah
bagaikan sebuah bangunan; sebahagian daripadanya mengukuhkan bahagian yang
lain.’ Dan lagi; ‘Dua orang mengikat tali persaudaraan adalah laksana dua belah
tangan; satu diantaranya menyuci yang lain.’
Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah menyentuh keterpaduan antara Iman dan
akhlak, dan perilaku yang baik; betapa orang yang berzina, tidaklah beriman
ketika ia berzina; orang yang minum arak, dan yang mencuri tidaklah beriman
ketika melakukan perbuatan-perbuatan tersebut; dan seseorang tidaklah berteriak
menakutkan khalayak ramai, andai memang ia beriman!.’ Tiadanya iman itu
dikeranakan tercabut dan terangkatnya dari jiwanya!
Sabdanya lagi: ‘Orang Mu’min yang paling sempurna Imannya ialah mereka yang
paling baik akhlaknya.’
Dan lagi: ‘Dan merendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.’
Kesimpulannya, sungguh pengertian Iman itu, lebih luas dan mendalam, adalah
sejajar dengan akhlak, budi pekerti luhur dan perbuatan/amalan yang baik.
Sering pengertian Iman yang disebut didalam Alquran dan Sunnah Rasulullah itu adalah
juga dalam hubung-kait dengan amalan kebajikan[al-birr], taqwa, dan kepatuhan
[al-din] dan kepada Tuhan!
Sehingga Allah SWT. sendiri mengungkapkan pujianNya dalam Q.S.68:4:
bermaksud: ‘Dan sesunguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung [luhur,
tinggi dan mulia].’ Fahamkan benar-benar!
8. AL-IHSAN
Secara harfiah, perkataan Ihsan bererti ‘berbuat baik.’ Seorang berihsan
disebut Muhsin; seorang beriman disebut Mu’min; dan yang ber-Islam disebut
sebagai Muslim.
Dalam sebuah Hadits riwayat Saidina Omar ibn Khattab, Jibril bertanya
kepada Rasulullah tentang makna Ihsan, lalu ujar beliau, bermaksud:
‘ Ihsan adalah engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihatNya, dan
andai engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.’
Justru, Ihsan adalah suatu ajaran tentang penghayatan konsentrasi akan
kehadhiran dan keberadaan Tuhan dalam hidup, khusus melalui penghayatan diri
sebagai sedang berhadap dan berada dihadapan hadhratNya, terutamanya ketika
mendirikan solat. Cuba kita bayangkan realiti keadaan in dalam hidupi.
Ihsan adalah merupakan suatu amalan puncak dan tertinggi didalam Agama
Islam; ia lebih meliputi daripada Iman; justru pelakunya adalah lebih istimewa,
khusus [khawwas] daripada pelaku Iman; sebagaimana Iman lebih meliputi dari
Islam, sehingga pelaku Iman lebih khusus darpada pelaku Islam. Kendati pun
didalam Ihsan sudah terkandung kedua-dua perkara Iman dan Islam, sebagaimana didalam
Iman telah terkandung Islam!
9. PENGERTIAN ISTILAH IHSAN DALAM ILMU TASAWUF [TARIKATUSUFIAH]
Pergertian Ihsan adalah sinonim dengan pengertian Tasawuf. Maka itulah
sebabnya trilogi Islam, Iman dan Ihsan adalah juga sinonim dengan ilmu Fiqh, ilmu
Tauhid dan ilmu Tasawuf; dan dalam penghayatan agama Islam sebenarnya,
ketiga-tiga ilmu tersebut adalah berjalin dan berkelindan, bak aur dengan
tebing, bak isi dengan kuku dan bak lagu dan irama. Andai kurang satu pun, akan
cacatlah penghayatan agama! Fahamkan benar-benar!
Mari kita selidiki kenapa Ilmu Tasawuf [Tarikatusufiah] itu diakui sebagai
ilmu tertinggi, malah menyempurnakan lagi penghayatan Syariat Islam [baca: ilmu
Fiqh dan Tauhid], kerana ia adalah ilmu batin [intipati] Syariat Islam itu
sendiri.
Disisi ilmuTasawuf, pengertian bahagian pertama istilah Ihsan tersebut,
yakni, ‘Hendaklah engkau beribadah seolah-olah engkau melihat Allah’ adalah
bermaksud amalan ‘Musyahadah’; dan pengertian bahagian kedua, yakni ‘jika
engkau tidak dapat melihat Allah, sesungguhnya, Dia melihat engkau,’ adalah
bermaksud amalan ‘Muraqabah.’
Istilah Musyahadah berasal dari kata [syahada, yusyahidu, musyahadatan]
yang ertinya ‘menyaksikan langsung’ atau ‘melihat [secara batin]’ dengan jelas
sekali. Ini berdasarkan firman Allah Q.S.50:37, bermaksud:
‘ Sungguh pada yang demikian terdapat peringatan bagi orang-orang yang
mempunyai hati atau yang menggunakan pendengaran, sedang dia ‘menyaksikan.’
Namun, hanya jika seseorang telah menggapai maqam atau darjat Marifatullah
[mengenal Allah SWT.], maka seakan-akan dia dapat melihat Sifat-Sifat Kesempurnaan
Allah SWT. dan KeagunganNya, sehingga Rohnya merasakan kedekatan yang khusus.
Ini tentu berbeda dengan kedekatan yang sifatnya indrawi; sehingga seakan-akan
dia mampu menyaksikan tersingkapnya hijab antara Roh dan hatinya dengan
Tuhannya. Hijab dimaksud adalah hawa dan nafsunya, yang disingkap oleh Allah
SWT. dengan QudrahNya. Dengan demikian, seorang itu dapat menyembahNya seakan
dia melihatNya!
Penyingkapan ini juga disebut sebagai ‘Mukasyafah’, yakni, penyingkapan
terhadap sesuatu yang tersembunyi dan rahsia dari hijab [penghalang-nafsu];
yang datangnya dari Allah SWT. bagi seorang hamba yang dikehendakiNya, sehingga
menjadi terbuka dan jelas baginya, namun tidak jelas bagi orang lain. Ini
benar-benar ilmu yang disusupkan Allah SWT. kedalam hati hambaNya; yang
mengharuskan adanya hati yang taubat, sehat, bersih suci serta tanpa hijab; dan
menampakkan kepadanya apa yang tidak dilihat dan diketahui orang lain.
Pastinya, Mukasyafah mendahului Musyahadah [menyaksikan].
‘Muraqabah’ pula bermaksud kedekatan kepada Allah, seperti firmanNya,Q.S.50:16,
bermaksud:
‘ Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan Kami mengetahui apa-apa yang
dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya
sendiri.’
‘Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada didekatnya Malaikat
Raqib dan Atid [pengawas yang sentiasa hadhir.] Q.S.50:18.
‘ Dan diletakkanlah kitab lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah
ketakutan terhadap apa yang [tertulis] didalamnya, dan mereka berkata, ‘Aduhai
celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula
yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah
mereka kerjakan ada [tertulis]. Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.’
Q.S.18:49.
Secara istilah menurut Imam al-Ghazali, Muraqabah bererti ‘Suatu sikap hati
merasa terus menerus diawasi oleh Allah Yang Maha Mengawasi, dan segala
perhatian tercurahkan sepenuhnya kepada Sang Maha Pengawas itu. Ada yang lain
mengungkapkan sebagai menjaga ‘sirr’[rahsia antara Allah SWT. dan hambaNya],
dengan merasakan adanya hal-hal ghaib, ditiap detik dan ditiap ucapan.’
Rasulullah bersabda dalam sebuah Hadits: ‘Akan digelar untuk diminta
pertanggungjawaban setiap gerak dan perbuatan seorang hamba diPadang Mahsyar
kelak, sekecil manapun dengan tiga bentuk pertanyaan, ‘Mengapa?,’ Bagaimana?’
dan ‘Untuk Siapa.’
Al-Ghazali menjelaskan mengenai Hadits ini; Pertanyaan ‘Li ma’ [mengapa/untuk
apa], bermaksud, niat didalam hati ketika melakukan sesuatu adakah didorong
dengan ikhlas hati murni demi Allah semata atau demi memenuhi syahwat belaka.
Dilanjutkan dengan soalan kedua ‘Kaifa,’ bagaimana anda melakukanya,
sejajar dengan kehendak Syarak atau tidak. Dan yang ketiga, yakni,’li
man’[untuk siapa anda melakukannya].Apakah untuk Allah atau tidak?’Jika
untukKu, pahala akan dapatkan dariKu, meski pun tanpa dipohon.Jika untuk
maslahat dunia, akan Ku berikan juga, tapi tiada bahagian diakhirat kelak. Jika
perbuatan itu untuk selainKu, maka kamu akan mendapat hukuman dan siksaKu.’
Andai ketika melakukan sesuatu itu, kita terlebih dahulu mengawasi dan
memerhatikan tatacara atau pelaksanaan perbuatan yang sedang dilakukan, yakni
dengan memenuhi hak-hak Allah SWT. didalamnya; memperbaguskan niat dan
bentuknya, sesempurna mungkin. Hal demikian harus berjalan dalam setiap dan
semua keadaan, baik dalam gerak atau diamnya, serta menjaga segala
peradabannya!
Al-Hasan r.a. berkata, ‘Allah SWT. menyayangi seorang hamba yang merenung
sejenak berMuraqabah ketika ia hendak melakukan sesuatu. Jika kerana Allah SWT.
maka ia teruskan. Jika berniat selain itu,riak atau maksiat, maka
dibatalkannya.’
Ibnu Athaillah r.a. berkata, ‘Ketaatan yang paling utama ialah Muraqabah
[kesadaran merasa diawasi oleh] al-Haq [Tuhan Yang MahaBenar] dalam segala
keadaan dan waktu.’
Abu Hafsh berkata, ‘Apabila kamu duduk bersama manusia maka jadilah
penasihat bagi dirimu dan hatimu, dan janganlah engkau tertipu oleh berkumpul
dengan mereka; kerana mereka memperhatikan keadaan zahirmu, sedangkan Allah
SWT. memperhatikan keadaan batinmu.’
10.KESIMPULAN IHSAN
Apakah kata kunci bagi mendapat atau mencapai hakikat maqam ihsan? Apakah
kita sudah meraihnya? Sungguh, setiap kita mampu mengujinya disaat kita
mendirikan sembahyang. Apakah kita beroleh khusyuk atau tidak. Awas, khusyuk
adalah penanda-aras [benchmark], samaada ibadah itu diterima Allah SWT., atau
sebaliknya!
Andai kita tidak pernah mampu mencapai tahap khusyuk dalam solat kita,
phenomena ini tidak lain, melainkan kita belum pernah melaksanakan amalan
BERTAUBAT. Kerana bertaubat adalah anak tangga atau langkah pertama menuju
kepada Allah SWT.!
Lihatlah bagaimana N.Adam berlaku khilaf kerana melanggar perintah Allah
[walau sekecil manapun], tidak pula diselangi dengan TAUBAT, maka telah diusir
dari Syuga Allah! Sementelahan pula manusia-manusia kerdil! Kerana Syurga
adalah wilayah suci, maka tiada seorang yang jika, masih terpalit dosa, layak
menghuninya, kecuali setelah disucikan dengan taubat. Nah, dimanakah
manusia-manusia yang dirasuk khayal dan diulit mimpi, mempamirkan keislaman
hanya didepan khalayak, mengukir keinginan serta kerinduan memasuki Jannatun
Firdausi, sedangkan, maqam taubat belum pernah disinggahi, walau sekali! Seandainya,
seorang itu mati, dengan membawa amal soleh, namun tidak pernah bertaubat, maka
matinya dihukum sebagai mati Fasiq; maka ia layaklah keneraka terlebih dahulu!
Wana’uzubillah!
Maka bersegeralah! Jika anda bertekad , bersegera bertaubat lalu terusan
beristiqamah dengannya, anda pasti akan mencapai maqam Ihsan, dengan izin Allah
SWT.
Hanyalah orang-orang yang bermaqam Ihsan dapat dan mampu melihat Allah dan
dilihat Allah didalam solat mereka; dan keutamaan bagi orang-orang yang
bertaubat pula adalah kerana mereka mengambil peduli akan penglihatan dan
pengawasan Allah SWT. terhadap diri mereka, yakni, mereka merasa takut dan malu
terhadap Allah diatas segala ulah dan tingkah-laku mereka. Walhal, orang-orang
yang tidak bertaubat sebenarnya, bererti, mereka tidak mempedulikan bahawa,
hakikatnya, Allah SWT. melihat mereka yang senantiasa bergelimang dalam maksiat
dan dosa! Fahamkan benar-benar!
‘Apakah tidak cukup bagi kamu bahawa Tuhanmu Maha Menyaksikan atas segala
sesuatu?’ Q.S.41:53.
11.MENJADI MANUSIA SEMPURNA [INSANUL KAMIL]
Gagasan bagi mencapai darjat manusia sempurna atau Insan Kamil adalah
menjadi bunga-bibir setiap ahli TarikatTasawuf atau ahli Sufi! Kerana mereka
sedar akan doktrin dan filasafah prihal, asal muasil manusia itu diciptakan Allah SWT. Manusia
adalah Khalifah, Wakil dan Duta Allah SWT. dimuka bumi ini, bagi melaksanakan
‘blueprint’Nya, membangunkan bayangan Syurga dimuka bumi, yakni, dengan
memakmurkannya!
Sebagai Duta/pengganti Tuhan manusia dikurniakan ilmu pengetahuan,
kebijaksanaan dan kemuliaan, sehingga Malaikat diperintah oleh Allah SWT. sujud
kepada Adam [manusia]!
Umumnya, para Sufi sepakat berhakikat bahawa manusia adalah microcosmos
yang memiliki sifat-sifat mirip Ketuhanan dan dengan demikian paling berpotensi
bagi marifat,mengenali dan mendekati Tuhan.
‘ Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda [kebesaran] Kami
disegenap penjuru, ufuk cakrawala langit dan bumi dan didalam diri mereka
sendiri.’Q.S.41:53.
‘ Dan apabila Aku telah menyempurnakan [kejadian]nya, dan Aku telah
meniupkan RuhKu kedalamnya [manusia].’ Q.S.15:29.
Dari ayat diatas, Allah SWT. dengan tuntas menyatakan bahawa didalam diri
manusia memang terdapat unsur Ilahi, yang diistilahkan sebagai ‘min Ruhi.’ Ternyata,
hakikat manusia memiliki jenjang dan mata rantai mengarah kepadaNya,
memungkinkan sesiapa diantara para pencari Tuhan [dari hamba2nya] yang ingin mendekati
dan menggapaiNya.
Maka tujuan utama pengajaran ilmu Tasawuf adalah bagi menyediakan jalan
[suluk], bagi para Salikin, membimbing mereka dijalan kerohanian; mengembalikan
kefitrah kejernihan dan kesucian dalam jiwa mereka sebagai piawaian dan
prasyarat wisyal dengan Tuhan.
Hakikatnya, pada nurani manusia yang menetap dalam cahaya yang suci, senantiasa
ingin menatap Yang Maha Cahaya [Tuhan]. Kerana dalam titik kedekatan ini
diantara nurani dan Tuhan itulah bermuncul keselamatan, kedamaian dan
kebahagiaan yang berkemuncak. Didalam tatapan dan keyakinan para Sufi, cinta,
dahaga dan kerinduan mendekati Tuhan itu adalah suatu primer, yang pertumbuhan
atau kemunculannya dalam jiwa seseorang itu, sering terhambat dan terhalangi
oleh syahwat, hawa nafsu yang bersifat haiwani dan duniawi.
Maka saripati ajaran Tasawuf itu benar-benar menitip seseorang akan tatacara
memelihara dan meningkatkan kesucian jiwanya sehingga begitu tenang, hening dan
damai pulang ketempat asalnya dengan keadaan damai pula.Q.S.89:27, bermaksud: ‘Wahai
jiwa yang tenang.’
12. TAHAPAN PENINGKATAN DALAM ILMU TASAWUF
Secara umumnya proses atau tahapan mendasari ilmu Tasawuf itu ada tiga
jenis; ringkas disebut sebagai proses TAKHALLI, TAHALLI DAN TAJJALLI. Atau
lebih ringkas, seperti disebut oleh Almarhum Guru Murshid penulis, sebagai
Tanggal, Tinggal dan Tunggal!
Bagi lebih mendekatkan faham, seorang Mu’min itu mampu mengendalikan
jiwanya ketahap ketinggian dengan 3 kaedah-kaedah berikut:
- Taa’luq atau dzikir kepada Tuhan; yakni berusaha keras mengingat dan mengikat kesadaran hati dan fikiran kepada Allah tanpa terlepas dari keadaan ini, dimana jua pun ia berada.Q.S.3:191, bermaksud;’ [yaitu, orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring.’
- Takhalluq, yakni, secara sadar meniru atau menterjemahkan sifat-sifat Tuhan kedalam dirinya. Seakan-akan, ia memiliki sifat-sifat mulia sebagaimana Sifat-Sifat Tuhan. Kaedah internalisasi Sifat-Sifat Tuhan kedalam diri ini adalah seperti disebut didalam sebuah Hadits, yang berbunyi: ‘Takhallaqu bi akhlaq-i Allah.’
- Tahaqquq, yakni, kemampuan seorang merealisasikan dan memanifestasikan kesadaran dan kemampuan diri yang telah didominasi oleh Sifat-Sifat Ketuhanan sehingga menatijahkan atau mencerminkan hanya kemuliaan dan kesucian dalam berakhlak; sebagai hamba Tuhan!
Bilamana upaya dan kaedah penyucian jiwa menjadi teras dan intipati ajaran
Tasawuf, dalam usaha marifah, mengenali, mencintai dan mendekati Tuhan; apakah
dasar dan gagasan ini tidak boleh disebut sebagai inti dan saripati keagamaan?
[ baca: Bersyariat dan berhakikat dalam Trilogy Islam menerusi Fiqh, Tauhid dan
Tasawuf]; dan dengan demikian, maka setiap Muslim sudah semestinya beraspirasi
dan berusaha menjadi Sufi! [kesahihannya seperti digariskan/’endorse’TV
ALHIJRAH dan JAKIM].
Pada titik akhirnya, apabila seseorang sudah mencapai status ‘Insan
Sempurna,’ apakah akan menjadi sesuatu keanehan, atau luar biasa, apabila
seorang Sufi kontemporari memiliki bisnes konglomerat, memiliki tahta, harta
dan kuasa melimpah ruah, seakan dunia ditapak tangannya! Namun, ia adalah
tergulung dalam kaum yang tidak pernah asing dari berIhsan, berfikir,
berdzikir, bertafakkur, bermuraqabah dan bermusyahadah tentang Tuhan!
Sebaliknya, apabila ditanya, apakah perkara suci yang mampu diperoleh
manusia, Saidaina Ali memberi jawaban. ‘Ini adalah yang berada didalam Qalbu
yang diperkaya oleh Tuhan [ghana al-qalb billah]. Qalbu yang begitu diperkaya
tidak akan menjadi miskin kerana tidak memiliki harta duniawi, juga tidak
merasa gembira kerana memilikinya.’ Kerana Qalbu ini hanya tertuju kepada Sang
Pemilik Segala!
Fahamkan benar-benar!
13. PENUTUP
ILMU TASAWUF ILMU CINTA SAKTI
Ilmu Tasawuf ilmu Ketuhanan; Alamul-Ghaibi – tiada upaya memandang.
Tingginya menjurus cakrawala Malakut, Jabarut dan Lahut. Menerobos dari Alam
Insan keAlam Ahadiah Tuhan. Bak Tuhan, luasnya infiniti!
Manfaat Tasawuf tidak terperi. Bagi anda, yang khusus tuk diketahui,
melalui Tasawuf, Tuhan mengajar kami. Tentang kulit dan isi. Tentang nafsu dan
nafsi. Mengenal alam mengenal diri. Mencetus pengenalan dengan Sirri.
Dikhabarkan tentang diriku dan DiriNya. Serba ta’ajub cengang kehairanan.
Menjangkau titik kebingungan. Keindahan Jamal, Kamal dan JalalNya!
Seorang pencari meminta petunjuk jalan. Kepadanya kami seru kan. ‘Apabila
kamu tak pernah menginjak jalan cinta. Pergilah tuk jatuh cinta! Minumlah dari cangkir
anggur penampilan. Agar, merasa kehausan minuman.Kemudian, kepada kamilah anda adukan!’
Pabila seorang pemikir bertanya kami. ‘Bagaimana keadaanNya silalah
nyatakan?’
Tiadalah upaya kami menyiarkan. Kan rosak maknanya andai dikhabarkan.
Sedangkan tidak mudah untuk mengungkap bicara. Walau isyarat sebagai tanda.
Mistik dimensiNya memukau benak, sukma dan rasa!
Kerana yang Haq dibungkus misteri. Kedangkalan aqal takkan bisa memahami.
Justru, selamilah kedasar samudera Tasauf ini. Simpulan rahsia dan kebenaran
hakiki, kelak terjelma pasti!
P.S. Seorang Sufi adalah pribadi Muslim yang lengkap, mantap dan sempurna
dalam Agama kerana mengamalkan keseluruhan Trilogy Islam, yakni, Islam, Iman
dan Ihsan, atau pun kokoh dan tokoh dalam bidang Fiqh, Tauhid dan Tasawuf.
Noktah.
ALLAH ADALAH SEBAIK-BAIK TEMPAT KEMBALI!
AMEEN YA RABBUL IZZATI.
WABILLAHIT TAUFIQ
TABARAKALLAH RABBIL ALAMIN.