Wednesday, June 25, 2014

AL-HAQQ ITU KEBENARAN



ADUHAI SAHABAT!
BISMILLAAHIR-RAHMAANIR-RAHIIM.
ALHAMDULILLAH WASSOLATU WASSALAMU ‘ALA RASULILLAH.

Segala puji-puja terkhusus bagi Allah, Dzat dambaan setiap yang mengasihiNya! Dzat Yang senantiasa kasih dan ingat kepada insan yang senantiasa pula kasih dan mengingatiNya! Dia Al-Haqq, yang mengabuli doa hambaNya. Yang mengampuni setiap orang yang beristighfar kepadaNya. Yang menerima taubat hambaNya. Yang melimpahi anugerah dan barokah kepada hamba-hambaNya yang senantiasa mensyukuri segala nikmatNya!
‘Cukuplah bagiku Allah, Yang tiada Tuhan selain Dia. KepadaNya sahaja aku bertawakkal, dan Dia Tuhan Pemelihara Arasy, Yang Maha Agung! Cukuplah bagi kita Allah. Dan Dia sebaik-baik Pemelihara. Kepada Allah jualah kita bertawakkal!’   
Wa ba’du!
Berikut penulis nukilkan untaian bait-bait puisi romantika dan Mahabbah Tuhan sebagai nutrisi dan penyegar jiwa-jiwa Rabbani Tuhan. Puisi-puisi tersebut bertajuk: 

1. AL-HAQQ ITU KEBENARAN. 
2. TAHAJJUD CINTA. 
3. KERANA KAU. 
4. KAU-KAH ITU?

Sebelum itu, sila nikmati puisi lagenda karyawan Omar Khayyam, seorang tokoh Muslim silam:
‘The moving Fingers write, and, having writ Moves on: nor all thy Piety nor wit shall lure it back to cancel half a line. Nor all thy tears wash out a word of it.’ Penulis cuba menterjemahkan hikmahnya:
‘Jari-JemariNya menukil dan terus menukilkan: Betapa tawaddhu’ ketaatan dan kebestarianmu tidakkan pernah bisa menghentikannya, kendati memansuhi sebahagian untaian kalamNya. Tidak pernah juga gugusan airmatamu bisa membasuhi, waima sepatah KalamNya.’  

AL-HAQQ ITU KEBENARAN
Menjengah usia Muhammad diakhiran;
Terpanggil diri tuk berpesan mengingatkan.
Berfirman Tuhan tanpa syak dan ragu;
'Samakah orang berilmu dengan yang tidak berilmu?
Ayat dan bukti hujjah Tuhan;
Bagi khalaqNya bergelar Insan.
Jika anda bijak bistari;
Sibak kulit agar kelihatan isi.
Masygul masaalah Nafi dan Isbat;
Kelangsungan faham jangan terhambat.
Andai kau 'buta, bisu dan tuli';
Hidayah takkan menjengah sekali-kali!
Justru, jengahlah kedalam diri;
Agar terlerai permasalahan ini!
Bukan samudera mencerut atau melebar luas;
Walau pasang surut, datang pergi, tampak ganas.
Khalaq ciptaan persisnya ombak, tampak kekal;
Namun, selang sebentar menjurus ketempat asal.
Di-alam fana ini, Sang Arifbillah berhikmah;
Samudera membadai menghempas punah.
Sumber kuasa pencetus dalaman;
Al-Haqq dan kebenaran berintipati pengetahuan.
Para Falasafah tanpa alasan, pasti menemukan;
Alam Fana adalah sekelumit ide akal fikiran.
Meski sekelumit, mereka gagal memerhati;
Sang Maha Pencipta Sakti disebalik fenomena ini.
Ragam bentuk membungkus kewujudan kekal, hanya,
Sebentar cuma, meninggal pergi menyahut fitrahnya.
Takwilan maksud halus, dibuktikan Nas;
Anjakan perjalanan saban ketika tanpa batas.
Tuhan Maha Perkasa, Maha Pemurah, Maha Pengasih;
Rahman KasihNya, seluruh jagad-raya berpaut kasih!
Disetiap saat dunia dileburkan;
Selang seketika, silih ganti, diciptaNya yang lain sebagai gantian!
Segala anugerah kurnia kembali kepadaNya.
Namun, yang khusus dari yang khusus, menjurus jua.
Pada setiap helaan nafas, satu nama memusnah;
Sekaligus mencetus khalaq baru berasas berfitrah!
Maujuudat ibarat gelora gelombang;
Gelombang permukaan perhatian semua orang;
Kuasa nan ghaib tidak dipeduli;
Kendati menjadi hijab hakikat diri.

Maujuudat adalah Hakikat Dzat MahaKuasa; 
Segala Maujud wujud saling bersama.
Maka Kalimah berhikmah menyata;
Segala ghaib dan nyata, tersurat dan tersirat;
Adalah milikNya penuh Rahsia.
Berbicara mereka, ‘Ini luarbiasa sekali’!
Wajah indah tiada tara ini;
Dalam cermin hati bersemadi bersembunyi.
Ajaib kenyataan bukan hanya diwajah menjurus;
Namun, pada kedua wajah dan cermin sekaligus!
Pada setiap cerminan jagad-raya aku bersaksi;
Hanya Tajalli WajahMu, tiada lain disisi!
Kerana Rahmat RahimMu, sayugia ku dapati;
Hakikat Dzat Dirimu dan bukan refleksi!
Wujud dan Kuasa bukan milik si-hamba;
Termaktub diAzali wadah dan citra.
Namun, Tajalli MahaKuasa Mulia, berbentuk si-hamba;
Bersosok manusia pula!
Kuasa dan perilaku disisip bersama!
‘Diri-mu’ nihil wujudnya, duhai Si-cerdik-pandai!
Hatta, gerak-tingkah mu walau pelbagai.
Hakikat kebenaran ini usah memandai dinilai;
Sehingga segala urusan sudahlah usai!
Justru, kenapa harus mendabik dada;
Kenapa berurusan dalam perkara sia-sia!
Merasa serba cukup dan berdaya atas wujud diri;
Sedang kau semata menipu diri sendiri!
Hakikat kebenaran tak terbukti lewat alasan;
Tidak jua dalam hujjah agenda yang disembunyikan!
Syariat Tuhan bukan alasan kebodohan dan kejahilan;
Jatuh hukuman muktamadnya pembuktian!
Andai disetiap maqam, ‘perjalanan’ mu terhalang;
Matlamat Toriqmu tak kunjung menjelang;
Sehingga tabir-hijabmu disibak terang;
Tiadakan terbit mentari-marifatmu cemerlang!
Justru, berazam keras menakluk nafsi dan hijab-diri;
Awas, aduhai Si-pencari!
Buku dan kitab bukan jawapan dicari!
Marifat, Mahabbah Tuhan bukan mekar tumbuh di-manuskrip;
Melainkan mencari kaedah serba tertib dan dititip!
Tutuplah kitabmu, benteras angan-angan!
BERTAUBATlah kepada Tuhanmu tuntas kepasrahan!

14.03.2012.MADRASATUL BAITUL ADAM.

TAHAJJUD CINTA
Hidupku Kau nyala dengan panas api cinta;
Panas cinta pertama.
CintaMu teguh selalu membujuk rayu, membakar rindu.
Cinta yang menyerlah kuntum-kuntum mawar.
Demikian, Kau adalah semerbak haruman seribu mawar;
Menghiasi, menyeri, melingkari taman hati.
Menyulam kasih, sambilku dendang nyanyi ria, merdu syair cinta;
Ditaman asyik asmara.
WujudMu dimataku selalu;
Juga didadaku.
Adakah bulan secantik diribaan?
Adakah bintang seasyik diperaduan?
Aku pergi mencari jalan pulang nan panjang;
Namun Kau datang membingkis Amanat semalam;
Datang tuk hidup lahir, dan hayat batin;
Menyimpul hayat kasih, Nur Kebenaran!
Berikan daku kasih, bergenang airmata Tahajjud Cinta;
Ulitkan daku berkah haruman, untaian tasbih kasihMu dimuka!
Duhai Ikhwanku!
Jangan kita lupa pesan awal itu;
Jangan kita alpa akan negeri asal itu!
Kerana imbasan zahir pesona dunia menggoda;
Kan mendampar kita penuh luka dan nista;
Ditembuk alpa!
Menjanji nikmat bahagia, hakikat tiada!
Kendati, istiqomah menanti kan bakal menjelang;
Abadi yang datang;
Abadi yang pulang!
21.03.2014.

KERANA KAU
Demi Tuhan, tiada pernah terbit
Mahupun terbenam sang mentari;
Kendati, Kaulah poros pujaan dan impian ini.
Dan tiadakan berdesir bayu didaunan
Tanpa NamaMu menyulam.
Dan tiadakan berlagu beburung
Tanpa Kaulah bait-bait nyanyian.
Dan tiadakan beralun ombak dilautan
Tanpa Kau kumandang dendangan.
Dan tiadakan tampak diriak danau ketenangan
Melainkan Kaulah pelakar keheningan.
Dan tiadakan muncul kelopak sang mawar
Tanpa Kau sirami semerbak wangian.
Dan tiadakan menitis lembut setitis embun
Tanpa Kau sisip kesegaran dan kehidupan.
Dan tiadakan tersimbah salju kedinginan
Tanpa Kau basahi qalbu kekeringan.
Dan tiadakan pernah aku berbicara
Tanpa Kau teras perbicaraannya!
Dan tiadakan pernah NamaMu jadi sebutan
Melainkan mencintaiMu disetiap helaan
Sedan-sendu nafasku berpanjangan!
Dan tiadakan pernah ku cicip minuman dalam dahagaku
Melainkan tajalli WajahMu disitu.
Ajaibnya, kini menggebu ghairah cinta kasihku, membakar diriku,
Menghijab seluruh deriaku dari mentawajjuh hanya lewat DiriMu
Kendati silih menjauh maupun mendekat
Namun, Kau tuntas berdiri di seluruh nikmat rasa nan erat!

Andai setiap anggota jawaruhku bisa berbicara,
Dengan memuji-memujaMu begitu Pengasih Pemurahnya;
Lewat Anugerah dan KurniaMu kusisipkan sya’ir puji-pujaan,
Namun, seluruh puji-sanjung bagiMu tidak pernahkan tersya’irkan!
  
Dan andai Kau kepingin aku menyatu bersamaMu,
Dalam berahi kasih ini,
Kan bergegas susul daku Menyonsong diriMu
Sehingga aku mengerti ke-aku-an diriku
Lewat ke-Aku-an DiriMu!
Justru, walau mengensot, menjalar, berguling, bergolek,
Walau berjalan diatas kepalaku!
Kerana sanubariku Kau pukul pilu syahdu dan rindu,
Kerana Kau adalah intipati puncak tujuan,
Kemuncak berahi keinginan,
Kerana Kau adalah CintaKasihku, ya ‘Izzati, Rabbi Tuhan!

13.03.2012.

KAU-KAH ITU
Pabila teringat aku padaMu
Sekonyong nafasku terhenti sendu
Walau degup jantungku terus berlari
Dan airmata kian membanjiri
Persendianku luluh
Jatidiriku luruh
Inderaku terpukau, sirna seluruh alam
Wujud diriku tenggelam padam.

Amat hampirnya Engkau dengan ku
Meskipun aku menjauh dariMu
Tidak mampu menelusuri TahtaMu
Tidak mampu jua lisan mengungkap NamaMu
Seratus ribu tabir cahaya dan gelapan menyelimutiMu.

Dalam segala dunia tiada yang mampu menggugat Tahta KerajaanMu
Kau MahaRaja berdaulat, diliputi Kesempurnaan dalam KeagunganMu.

Meski dalam persemayamanMu
Meskipun dari SinggahsanaMu
Tiada pernyataan penuh dariMu
Kearah itu tiada ilmu atau kebestarian mampu mencakup DiriMu.

ToriqMu sukar ditempuh, harapan kian menjauh
Dan tiada yang miliki cukup istiqamah mencapainya
Meskipun jutaan makhluk meniti kehidupan penuh dendam kerinduan, keranaMu semata.

Rohul Qudus tidak mampu memperihal tentangMu
Dan sebab-musabbab tidak menambah fahaman tentang DiriMu.
Kedua mata pupus daya berdepanMu
Yang bestari tak lebih arif tentang KesempurnaanMu, dan
Yang bijak tidak mampu menggarap seluruh Jamal-keindahanMu.

Seluruh makhlukMu, meski dalam khayal mereka itu
Ingin meneguk khalwa Keindahan dan kesempurnaanMu!

Betapa dan bagaimana meniti perjalanan ini
Sekadar berkhayal, berfantasi-ilusi?

Jangan, jangan perjalanan difikir mudah
Perjalanan disepanjang gurun payah
Merentasi gelora samudera nafsu serakah, sukar di-alah
Rintang pemisah bisakah dibenteras punah?
Nah! Adakah hairan ribuan telah gugur rebah?
Bisakah mendaki segunung ujian?
Bisakah menyeberangi selembah keraguan dan kesukaran?
Andai semangat seekor singa jadi bekalan
Musuh diri mampu jua ditawan!

Aku tahu hakikat demikian!
Kerana disepanjang perjalanan
Sering aku dilanda serba hairan dan kebingungan
Terkadang airmata bergenangan
Terkadang bibir menguntum senyuman!

NAMUN,
Dalam ketidak-mampuan dan luar-sedarku
Aku temui Kau disitu
Tercetus api Marifah dalam SyahadahKu.
Membuat aku sekaligus mendambakanMu
Tetapi pabila aku berdepan denganMu
Aku terpaku
Qudratku kaku
Aku jadi bisu
Lidahku kelu
Dan mataku layu
Terasa lumat dan larut zarrah kewujudanku.
Meruntun ku pulang keasal-usulku
Kezaman azali terdahulu.
 
Disaat lain silih penyaksian berulang
Tiada melampaui pandangan, tiada menyimpang!
BisikNya tegas tuntas;
Fahamanku cerdas tangkas!

Lantas ungkapan Muhammad terdesir kedengaran
‘Bilamana aku berdepan denganMu Tuhan
Sirna upayaku mengungkap pujian!’
Lalu tuntas Rabbi menyaran berfirman;
‘Andai engkau tidak pantas bicara memujiKu
Semesta-raya pastiKu perintah mewakili dirimu
Sehingga setiap atom seluruhnya terus memujiKu
Atas namamu!’

Lantas sedetik tidak bercerai
Sejengkal tidak berenggang
Jauh tidak berperantara
Dekat tidak berdinding!
Terlepas burung dari sangkarnya
Kembali Hak kepada yang empunya!

Justru,
Setiap insan harus kembali, menyerah jiwa
Agar menjurus keribaan Sang-MahaRaja
Cucibersih kendalian tanganmu dari dunia
Demi nilai Diri Sang Kekasih pasti membela!
25.02.09.
Penulis mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa Ramadan alMubarak 1435 Hijri, semoga Allah SWT melimpahi Kemenangan, Barokah, Nur Hidayah dan Taqwa kepada para pembaca budiman! Amin! 

WABILLAHIT TAUFIQ
TABARAKALLAH WALHAMDULILLAHI RABBIL ‘ALAMIN!