Friday, October 17, 2014
Monday, October 6, 2014
KEMELUT TARIKAT
KEMELUT ISU TARIKATUSUFIYYAH [TARIKAT/TASAWWUF] -TENTANGAN DAN HUJAHAN
BISMILLAA HIRRAHMAA NIRRAHIM.
ALAHAI SAHABAT!
Alhamdulillaah wassolatu wassalamu 'ala Saiyydina Muhammadin Syamsil Huda,
wa 'ala alihi wa ashabihi Nujuumil ihtidaa. Bermula segala puji bagi Allah
SWT., Rahmat sejahtera atas Muhammad, Matahari Petunjuk, dan atas Keluarga dan
para Sahabat, Bintang-Bintang Petunjuk!
Segala Keagungan, Kemuliaan dan Kesucian adalah milik Allah, Sang Maha
Pencipta, semata-mata. Justru, tiada henti-henti lisan para kekasihNya melafaz
syukur , membisik dan membingkis syahdu rindu, sambil merangkul kurnia
rahmatNya. Begitulah juga seluruh jagad raya, gunung-ganang, pepohon, dedaunan
dan ombak, seluruhnya menyata dan menyucikan indah NamaNya!
Betapa. Dialah pemilik segala! Utama, Dia Pemilik Cahaya yang memercikkan
cahaya Marifah kepada para kekasihNya. Dia, Penggenggam rahsia semesta raya,
Pembuka jalur hijab, Penabur benih rahsia didalam hati dan wadah mereka, yang
tiadakan pernah meluput NamaNya.
‘Allah itu Wali [Pelindung] bagi orang-orang beriman. Dia mengeluarkan
mereka dari kegelapan kepada cahaya [Iman].’QS. 2:257.
Melalui Cintakasih dan KedermawananNya, Tuhan mengurniakan IhsanNya kepada
insan, sebagai pemangku rahsia semesta dan penyimpan khazanah hikmah. Demikian,
KhalifahNya mampu menerima dan memahami kalam firmanNya yang suci, sebagai
penuntun sebaik-baik ciptaan. Dari lara dan bongkah tanah dan lumpur, manusia
pilihan mampu menggapai kembali kemuliaan yang semula adalah menjadi haknya.
Mereka-mereka
yang beruntung ini, sebagai gudang rahsia dan amanat Ilahi, demikian diutus
Tuhan, sehingga mata-mata yang buta, telinga-telinga yang tuli, hati-hati yang
mati dan tercela, tak mampu memandang dan tak kuasa memaham. Kendati, utusan
Tuhan ini adalah penyuluh, penyelamat dan penambat hati-hati luruh dan luluh
kepada Tuhan mereka, lewat jalur tata-cara yang tak mudah dilakar tinta!
‘Ana ‘indal munkasarati quluubuhum min ajali’ bermaksud:
‘Akulah pada orang-orang yang pecah-luluh hati mereka itu dari kerana Aku.’
Hadits Qudsi.
AMMA BA'DU
1. MUKADDIMAH
Dalam naskhah kali ini penulis, tanpa lelah, bosan dan jemu-jemu, tuntas mengupas
lagi, membuat analisis lagi, bagi merungkai kemelut dan berragam permasalahan,
termasuk pelbagai tuduhan dan tohmahan, masih berkeliaran dan membelenggu, yang
sengaja diada-adakan dan dilontarkan terhadap ajaran ilmu TarikatTasawwuf yang,
demi Allah, masih wujud subur, segar dan bugar, ditengah-tengah ummah manusia,
dahulu, kini dan selamanya; [walau karihal musyrikuuna wal kaafiruun!]; ibarat
sinar benderang cahaya Sang Mentari, yang tidak akan pernah ada biji mata manapun,
yang mampu menolak dan menafikan benderang kemilau cahayanya! Kerana cahayaNya
adalah Petunjuk, Rahmat, Cinta-Kasih dan kehidupan. Tanpanya, hanyalah suatu
kematian yang pasti! Subhaanallaah!
Tema demikian walaupun telah sering penulis sentuh atau hujahkan dalam
naskhah-naskhah sebelum ini, namun ia kerap dan masih menuntut pencerahan dan
hujahan terusan dan berkekalan; kerana minda-massa, sifatnya, ragu, gelisah dan
memerlukan nutrisi penawar dan kepuasan berterusan! Semoga umat, dengan
demikian beroleh istiqamah!
Namun demikian, bagi pihak pendiri, penggiat dan pejuang gagasan
TarikatuSufiyyah, mereka tidak sekali-kali merasa berkecil hati, jauh sekali
terbungkam dan berputus asa dengan hentaman, desakan dan asakan pihak lawan,
yang memilih untuk tidak menerima TarikatTasawwuf sebagai bahagian integral
Agama Islam, demi alasan-alasan reka-cipta mereka sendiri; walaupun telah wujud
pembuktian ampuh berserta nas, dalil dan burhan. Kerana, hakikatnya,
persembahan ilmu TarikatTasawwuf itu bersusun, bersusur-galur, bernasab, bersanad,
bersilsilah dan bermuara keRasulullah saw., Jibril dan Allah Azza wajalla jua.
Sekali lagi dipihak penggiat, pembela dan pejuang barisan TarikatuSufiyyah,
diharapkan hendaklah terus bersabar, beristiqamah dan berlapang dada, diatas
premis: Ibarat padi yang sifatnya berkulit berantah, andai tidak bertubi-tubi
diasak, dibidas dan ditumbuk, masakan bisa beroleh beras yang putih, jernih,
wangi, bersih dan enak dimakan! Nah! Sayugia itulah natijah dan Hakikat Ilmu
TarikatTasawwuf! Fahamkan benar-benar!
2. ISU-ISU DAN FAKTOR-FAKTOR TENTANGAN
Kebanyakan isu-isu dan faktor sanggahan terhadap ilmu dan ajaran
TarikatTasawwuf tidak didukung dan disandarkan kepada nas sahih, melainkan bersifat
su’uzzhan, prasangka, prejudis, dan ‘malafide’; antaranya adalah seperti
berikut:
2.1 TIADA ILMU [KEPAKARAN] DAN KEAHLIAN
Lazimnya, bantahan dan tentangan terhadap ilmu TarikatTasawwuf ini terbit
dari kalangan mereka yang diluar lingkungan seperti, ahli Fekah [Fiqh, Faqih,
Fuqaha,’ustaz moden’], akademik, jahiliyah, dsbnya. Faktor dan titik kebersamaan
mereka ialah kejahilan dan tiada keahlian [Maaf: Fools seldom differ]. Adalah
sesuatu yang mustahil, bahkan bahlul bagi seseorang memberi komentar tentang
sesuatu yang bukan termasuk bidang keahliannya atau pun tidak memiliki ilmu
pengetahuan yang benar lagi sahih! Ibarat pesakit kronik [tenat], walaupun ia
sedar akan keperlukan rawatan dari seorang pakar perubatan [Doktor], namun,
memilih untuk terlebih dahulu, mempersoalkan kelayakan; kaedah, teknik rawatan
dan ubatan preskripsi yang akan diterimanya; sedangkan itulah satu-satunya, yang
bakal menjadi penyelamat nyawanya!
2.2 JUMUD MINDA, SEMPIT DADA, IRI HATI DAN PRASANGKA
Para pemerotes mendapati ajaran ilmu dan amalan TarikatTasawwuf itu terlalu
pelik dari segi pemahaman sempit dan jumudnya minda mereka untuk menerima
sebarang kelainan, diluar kotak pemikiran dan amalan. Bahkan semua bidang ilmu
pun, yang diluar batas pengetahuan dan penguasaan kita seperti kedoktoran, quantum
fisiks, kajian astronomi, bimasakti dan galaksi, roket sains, dsbnya,
sesungguhnya adalah wilayah kebodohan bagi yang bukan ahlinya! Ini suatu fakta
yang bisa diterima oleh semua orang. Namun, tidak sekali-kali dengan bidang ilmuTarikatTasawwuf;
tokoh-tokoh pes[t]simis dan hero Agama ini [baca: ‘ustaz-ustaz moden’], akan
terus-terusan berkokok, cuba mencungkil dan mencari-cari andai terdapat sebarang
keaiban atau kelemahan, lalu mencipta ragam fitnah, dan cuba membatalkan nya. Jika
kail panjang sejengkal, betapa lautan ingin diduga! Misalnya, dalam suatu
ceramah, seorang ustaz ‘tersohor’ telah ditanya samaada Tarikat wujud didalam
agama. Jika benar, bolehkah Tarikat Naqsyabandiyah diterima? Ujar ustaz
‘cerdik’ ini: ‘Kalau Tarikat-Tarikat dahulu yang diamal para Sufi dahulu memang
wujud, benar dan boleh diamalkan. Tetapi dizaman sekarang, tidak dengan Tarikat
Naqsyabandiyah. Ia diharamkan.’
Andai saja ustaz ‘cerdik’ ini melakukan sedikit penyelidikan dan pembetulan
fakta, bahawa Tarikat Naqsyabandiyah bukan lahir semalam! Ia adalah Tarikat
usul dan pertama-tama lahir dari Rasulullah saw. dan paling awal diamal oleh
empat Sahabat dan para Sufi; keasliannya tetap dipelihara; kemudian baru lah
lahir berragamTarikat-Tarikat yang lain! Dewasa ini, dari ijma’ para Syaikh
Tarikatusufiyyah, terdapat hanya 41 buah Tarikat muktabar , diseluruh dunia. Noktah.
Antara lain, terdapat juga perasaan iri hati, kerana didalam disiplin ilmu,
‘berBaiat’ dan bersanad, amalan dan ajaran TarikatTasawwuf, semua yang berada
didalam lingkungan, baik Guru Mursyid mahupun para pengikut dan ahlinya, sangat
menerapkan disiplin akhlak yang tinggi lagi mulia, menjulang amanah dan kemuliaan
serta jihad ilmu, mera'ikan keakraban ukhuwah Islamiyah dengan penuh kesetiaan
dan kasih sayang, memantapkan hormat dan khidmat lingkungan, dan amat jitu
semangat dan ketekunan penuntutan. Semua ciri-ciri tersebut berbunyi agak asing
bagi yang diluar lingkungan! Justru, hairankah jika ramai menolak dan
menganggap ajaran ilmu TarikatTasawwuf sebagai karut, mengada-ngada [bid’ah]
dan mustahil? Sila rujuk QS: 48:10. Dan fahamkan!
Seterusnya, pihak anti-TarkatuSufiyyah juga merasa iri hati, dan bimbang
kalau-kalau mereka tidak mendapat tempat didalam Syurga Allah kelak, kerana Syurga
hanya akan dipenuhi oleh para Sufi dan ahli-ahli TarikatTasawwuf sahaja. Mereka
menyangka bahawa Syurga Allah itu terlalu kecil untuk semua! Syurga yang
dicipta Allah itu tidaklah sempit, malah cukup untuk sekelian jemaah, Sufi
ataupun bukan! Jemaah Sufi tidak akan pernah bersikap iri hati, hasad dan
dengki terhadap khalayak Jemaah yang lain. Sebaliknya, mereka sering saja
bermunajat dan mendoakan kemaslahatan, agar mendapat redha dan ampunan Tuhan
bagi seluruh Ummah!
2.3 SIFAT TIADA DISIPLIN AMAL DAN MALAS BERAMAL
Kebanyakan manusia memilih untuk berada didalam zon selesa. Mereka mudah
berpuas hati dengan sistem kepercayaan yang mereka warisi tanpa ingin mencabar
kesahihan dan kedalaman ilmu dan kepercayaan mereka. Terutama dalam bidang
agama, adalah teramat perlu dan mustahak bagi setiap orang yang mengaku dan
berpegang kepada Kalimah Syahadah [Kalimatul Haq], untuk mendalami pemahaman
dan mengemaskini pengertian anutannya dengan tahkik dan jitu. Tidak ada opsyen
dan kompromi dalam hal ini. Fahamkan benar-benar!
Ujar mereka, ‘Islam itu mudah, Tuhan pula bersifat Pengasih dan Penyayang;
justru, kenapa perlu bersusah payah beramal dan berdzikir. Lupakan sahajalah
nak belajar TarikatTasawwuf. Itu sudah pergi jauh sangat. Cukuplah dengan solat
lima waktu dan dzikir lazim 33 kali; amalkan serba sedikit wirid/aurad
Mathurat, itu sudah layak nak masuk syurga!’ Betapa bebal dan dangkalnya
hujahan tersebut?! Disisi yang lain mereka amat kemarukkan serba-serbi dalam
bilangan yang banyak dalam hal memburu harta, tahta, wanita dll, namun, untuk ilmu
dan amal, memadailah dengan yang seminima mungkin! Aneh tetapi benar! Nah! Ketuklah
pintu hati anda, tanya dan buktikan bahawa anda bukan dari spesimen demikian!
Atau jadilah spesimen dinasaur yang telah lama pupus!
2.4 MATI HATI, MATI JIWA DAN TIADA PETUNJUK
Orang yang mati hati dan jiwa akan menjadi kufur; yang lalai dan alpa
menjadi musyrik; yang ragu menjadi munafiq. Yang bermaksiat menjadi fasiq. Yang
hidup hanyalah orang yang berMarifah [ahli Tarikatusufiyyah], kerana hidupnya
hati mereka melalui Marifahkan Tuhan Allah Azza wajalla; dan dengan matinya
kebodohan, yakni berpalingnya hati mereka dari selain Tuhan!
Melalui Taufiq dan Hidayah [petunjuk], Allah memilih sesiapa yang akan
bakal menerima kurnia dan anugerahNya.
‘Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu pada hal itu baik bagimu.’
QS.2:216.
‘Dan tiadalah kehendak kamu melainkan kehendak Allah jua.’ QS. 76:30.
2.5 BUTA MATA VS BUTA HATI
Sila perhatikan firman Allah, QS.17:72, bermaksud:
‘Barangsiapa yang buta didunia ini, ia akan lebih buta [pula] diakhirat,
bahkan lebih sesat lagi.’
Perhatikan pula QS. 22:46, bermaksud:
‘Kerana sesungguhnya, bukanlah mata itu yang buta tetapi yang buta ialah
hati yang didalam dada.’
Beruntunglah manusia yang memanfaatkan kurniaan indera yang lima, seoptimal
mungkin. Kurniaan penglihatan adalah bagi manusia agar tidak sekali-kali
berpaling; bahkan, melihat ayat-ayat, dan bukti-bukti wujudnya Tuhan, lalu mera’i
dan membesarkanNya, lantas bertabaruk, bertadharuk, bertawadhuk dan berubudiyah
kepadaNya!
‘Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya
penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam
keadaan buta.’ QS.20:124.
Alquran, secara jelas dan nyata, tanpa lelah, menyebut perkataan ‘Tarikat’
itu berulang kali didalamnya, kenapa ramai masih terkaburi? Lantas berulang
kali pula Allah SWT. menghamburkan pertanyaan demi pertanyaan, seperti: LAA
YA’QILUUN, LAA YATAFAQQARUUN, LAA YA’LAMUUN, LAA YUBSIRUUN, LAA YATADABBARUUN
dll! Laa, faham ataupun buat-buat tak faham!
‘Bumi ini dipenuhi pertandaan bagi orang-orang yang yakin. Juga didalam
dirimu sendiri, kenapakah tiada kamu lihat/perhatikan?’ QS.20:21.
‘Sesungguhnya, orang-orang yang tidak mengharapkan [tidak percaya akan]
pertemuan denganKami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa
tenteram dengan [penghidupan] itu, dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat
[Kam], mereka itu tempatnya diNeraka kerana apa yang telah mereka
lakukan.’QS.10:7-8.
Sungguh, segala jawapan ada didalam lubuk hati dan nurani, yakni lubuk
Qudrah Iradah ilahi! Ubahlah paragdigma diri! Bermula dari saat ini!
3. PENCERAHAN LANJUT
Ulama Fekah [Fiqh,Syariat] sering lupa bahawa, pengamal atau ahli
TarikatTasawwuf bermula dari bawah, dengan ilmu Fekah dan Syariat, seperti
mereka juga. Hanya, apabila mereka telah mendalami dan menguasai ilmu
Fiqh/Syariat tersebut, dalam suatu jangka masa, baharulah mereka beranjak dan mendalami
pula ilmu Hakikat dalam bidang TarikatTasawwuf, kerana ilmu ini juga termasuk
dalam rangkaian 3 ilmu teras dan pokok, yakni [Usuluddin/Tauhid, Fekah dan
Tasawwuf/Ihsan] yang wajib bagi setiap orang Islam. Nah! Kok masih mahu
manyangkal? Dengan demikian, ahli TarikatTasawwf sebenarnya memiliki lebih ilmu
dari saudara-saudara mereka yang lain, yang hanya sibuk berfiqih bersyariat, sampai
tua, seumur hidup! Pohonlah Hidayah ayyuhal Muslimin!
Suatu perbandingan. Makhluk Allah seperti cacing dan ulat-ulat melata yang
hidup didalam tanah tidak dikurniakan dengan mata dan telinga seperti manusia
dan makhluk-makhluk lain. Begitu juga dengan makhluk seperti kelawar, keluang
dll, yang tidak dibekalkan penglihatan oleh Tuhan. Bukanlah Tuhan itu
kekurangan stok mata dan telinga atau Dia bersifat kikir! Tetapi, Maha cerdik
dan Berhikmahnya Allah, anggota-anggota tersebut tidak diperlukan didalam alam
kehidupan makhluk-makhluk tersebut!
Maka dalam pemaknaan yang serupa, Allah tidak pula mengurniakan indera
rohani, seperti anggota-anggota telinga rohani, mata hati dan nurani kepada spesimen
manusia [homo sapien[, yang rutin kehidupan mereka hanya bersifat duniawi
semata-mata! Kecuali, biiznillah, jika mereka berjaya meraih Hidayah Allah dan
ber-inabah kepada Allah. Fahamkan benar-benar!
4.KESIMPULAN
Penulis amat hairan sekali apabila para Qurra dan Hufaz, yang ghalib dan intim
dengan naskhah Alquran berbanding dengan orang-orang kebanyakan, tetapi tidak
memiliki pemahaman yang cukup ampuh tentang hikmah, maksud dan pengertian
sebenar, kandungan Alquran. Ya. Ramai yang amat mahir bertaranum, melagukan
bentuk Alquran dengan benar, mahrajal huruf dan tajwid yang tepat, tetapi tidak
atau kurang mahir tentang takwilan, mentadabburkan makna dan maksudnya. Seolah-olah
kemahiran qiraat membaca dan hafazan Alquran itu adalah jauh lebih penting dari
merasakan sentuhan lazat dari ‘ROH’ Alquran dalam pembacaan, memahamkan dan
mengaplikasikan ragam perintah dan anjurannya, bagi tujuan menyampaikan amanat
Tuhan serta mentarbiahkan umat amnya. Buktinya, antara lain, tokoh-tokoh
Hafiz/Hufaz inilah juga yang menafikan wujudnya saranan ajaran Ilmu Tarikat
didalam Alquranul Karim, sebagai sebahagian ilmu [integral] dalam Agama Islam.
Maka tidak hairan apabila Rasulullah saw. melabelkan kebanyakan para qurra
sebagai munafiq! Masyaallah!
5. ALQURAN UNIVERSAL –PERENTAS ZAMAN
Alquran adalah sebuah keajaiban yang menakjubkan. ‘Alif Lam Ra. Inilah
ayat-ayat Alquran yang mengandungi Hikmah. QS,100:1.
‘Inilah ayat-ayat Kitab yang mengandungi Hikmah, menjadi petunjuk dan
Rahmat bagi orang-orang berbuat kebaikan.’ QS 31:5.
Dan lagi, ‘Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka
menghayati ayat-ayatnya dan agar para Ulul-al-alBab mendapat pelajaran.’
QS38:29.
Hakikatnya, ia telah wujud dizaman Musa, Isa dan para Rasul yang lain. Ya.
Bicara Allah sudah wujud sekian lama; hanya tidak dalam bahasa Arab. Ia
berbicara kepada setiap telinga. Ajaibnya , tidak semestinya bicara Allah itu
melalui lidah atau lisan Jibril dan manusia sahaja. Kerana Tuhan bisa saja
berbicara dalam bentuk lain menerusi alam semesta, langit dan bumi, gunung ,
pokok, haiwan dll. Cuma perbezaannya samaada bicaraNya itu dari sisi ‘Makaanun
Qoriib’ atau ‘Makaanun Ba’iid.’ Yakni, panggilan dari tempat dekat atau jauh!
Rujuk QS.41:44.
‘Allah telah mengunci…’ Andainya ini yang terjadi, maka esensinya adalah
keterputusan dan terkikisnya Kedekatan dengan Allahul-Haq. Ini merupakan sebuah
kerugian yang teragung yang menimpa seorang hamba! Kerugian apakah lagi yang
lebih besar berbanding kerugian hilangnya kebahagiaan seorang hamba dari
memperoleh kedekatan dengan Allahul-Haq.
Nah! Penulis dengan sukacita ingin memaklumkan tempat-tempat didalam
Alquran, dimana perkataan Tarikat itu berulang kali disebutkan oleh Allah SWT.
Terdapat sembilan [9] ayat didalam lima [5] buah Surah yang menyebut demikian,
yakni, 2 ayat dari Surah An-Nisa; 3 ayat dari Surah At-Toha; 2 ayat dari Surah
Al-Jinn; 1 ayat dari Surah Al-Ahqaf; dan, 1 ayat lagi dari Surah Al-Mukminin.
Silalah rujuk!
6. RASULULLAH SAW., PARA SAHABAT, AULIA, ULAMA DAN PEWARIS
Kita semua maklum bahawa Rasulullah saw. tidak cuma-cuma diutuskan Allah SWT.
kealam maya ini, melainkan bagi menggalas ‘Amanat Tuhan,’ berserta Rahmat, sebagai
‘Insan Kamil’, yakni proksi dan penguasa Tuhan, Pemilik seluruh jagad raya ini.
Allah berfirman, QS 21:107, bermaksud:
‘Wama arsalnaaka illa rahmatan lil ‘alamin.’ QS. Bermaksud:
‘Tidak Aku utuskan engkau ya Muhammad, melainkan sebagai Rahmat bagi sekelian
alam.’
Apabila baginda wafat, seolah-olah Rahmat yang disandang Rasulullah saw.
sebagai pembawa Rahmat telah terputus pula, seiring dengan kewafatannya.
Benarkah demikian? Andai begitu, betapa, amat malang sekali bagi kita yakni,
umat yang datang setelah ketiadaannya; dan hidup tanpa RahmatNya!?
Justru, Rasulullah saw.bersabda, bermaksud:
‘Para Ulama adalah pewaris-pewarisku.’
Nah! Kehadhiran para pewaris Rasulullah dalam bentuk para Sahabah, Tabi’in,
Tabit-Tabi’in, para Aulia, para ulama Salafus-Soleh, sehingga para Shaykh
Mursyid mutakhir, mempastikan kelangsungan Rahmat yang awalnya digalas Rasulullah
saw. Justru, umat Muhammad mutakhir tidak perlu bimbang akan kurniaan Rahmat
dan perlindungan Allah SWT. diatas muka bumi ini, menerusi pribadi-pribadi
unggul yang Tuhan telah sediakan. Esensinya, risalah Ketuhanan yang dikhitabkan
akan terus dikhabar dan disebarkan, menjangkau dunia dan keseluruh alam;
sehingga kesuatu titik waktu yang ditentukan Tuhan! Rasulullah saw. bersabda:
‘Laa taquumu saa’ah hatta laa yuqal fil ardhi Laa ilaaha illallah, Allah,
ALLAH.’ Bermaksud:
‘Tidak berdiri Kiamat sehingga tiada disebut orang lagi pada bumi ini akan
Kalimah Laa ilaaha illallah, Allah, Allah.’
Betapa mulia dan pentingnya kesinambungan gagasan Tarikatusufiyyah mutakhir,
bilamana para Mujahid, Pejuang dan Pembelanya, istiqamah melindungi dan membela
amalannya dari diracuni, dilemahkan dan dibinasakan oleh dakyah para kuffar dan
munafiq, yang bertopengkan Islam! Betapakah pula besarnya Hikmah Kalimah yang
diperjuangkan tersebut?! Walau terdapat khalayak bodoh yang masih mempertikaikannya
[membaca tahlil] sebagai ‘bid’ah.’ Fahamkan benar-benar!
7. BERUBAH DITANGAN
Sememangnya sukar dan adakalanya mustahil bagi seluruh manusia memahami,
mengiktiraf, menghargai, apa lagi menjunjung tinggi akan peranan dan
tanggung-jawab yang dipikul oleh para Duta Tuhan dan para Pewaris-Pewaris Nabi
yang dimaksudkan. Mereka-mereka ini berjuang ditengah-tengah umat yang tidak
senang menerima kehadhiran mereka, berserta Risalah yang dibingkis dan
disampaikan; sehingga nyawa-nyawa mereka sebagai taruhan, turut terancam dan
menjadi korban! Inilah gelutan pahit getir laluan yang dilalui oleh para
pewaris ,pejuang dan kekasih Allah, kendati mereka dibekalkan perlindungan dan
keistimewaan oleh Tuhan Azza wajalla. Subhaanallah!
Bermula , diTangan Allah, yang tiada menjadi ada;
Ditangan Ibrahim, korban tragedi menjadi ra’i bulan Haji;
Ditangan Yusuf, amarah menjadi Rahmah;
Ditangan Daud, besi waja berubah bentuk dan rupa;
Ditangan Musa, tongkat berubah wajah;
Ditangan Isa, buta berubah celik mata;
Ditangan Muhammad, bencana umat bertukar Rahmat;
Ditangan Wali Syaikh Mursyid, batil bertukar Haq.
Bagi Sicelik dan cerdik, Isa adalah Tajalli Kekuasaan Tuhan; Bagi yang lain
Isa adalah putra Tuhan’
Bagi Sicelik dan cerdik, Muhammad adalah Tajalli Hakikat Nur Tuhan; Bagi
yang lain, Muhammad adalah ‘gilaan dan mainan.’
Bagi Sicelik dan cerdik, Wali Syaikh Mursyid adalah Al-Mahdi zaman; Bagi
yang lain, Wali Syaikh Mursyid adalah omong-omongan!
8. WAJAH RASUL DAN SAHABAH
Dua pribadi besar dizaman jahiliah dalam bentuk Saidina Umar ibni Khataab
dan Abu Jahal, telah melihat wajah Rasulullah pada sisi yang amat berbeza;
terlebih-lebih lagi sisi Rasulullah yang didakap oleh Saidina Abu Bakar
As-Siddiq! Begitu, tidak kurang juga dengan Saidina Usman ibni Affan dan Saidina
Ali bin Abi Talib. Maka, bahkan siapa sahaja yang menatap wajah mulia
Rasulullah saw. pasti diresapi rasukan, cinta-kasih atau sebaliknya, bergantung
kepada keadaan hati dan persepsi Si-penatap! Ajaibnya, Rasulullah juga
mewariskan aura persepsi dan persona kepada Sahabat dan Ulama pewaris baginda.
Rasulullah saw. bersabda, bermaksud:
‘Sahabat-Sahabatku umpama bintang-bintang, kemana dan dimana engkau temui,
pasti dituntun dan dibimbing kejalan yang benar.’
Nah! Jika bintang dan bulan bisa menuntun, membimbing dan memberi petunjuk
– tanpa bicara apapun - maka melihat dan menatap wajah-wajah Wali-wali Syaikh
Mursyid [Ulama Pewaris] – tanpa bicara apapun – pastinya memberi natijah yang
serupa, yakni merubah pribadi, hala-tuju dan arah Si-murid, insyaalah! Fahamkan
benar-benar!
Nah! Betapa dapat dibayangkan perbandingan diantara keadaan pandangan serta
tatapan para penuntun terhadap usataz-ustaz penceramah [‘freelancer’] yang
menakluki ruang-ruang mesjid, madrasah dan pelbagai media sosial masa kini,
dengan suatu kerelaan pandangan dan tatapan jiwa, penuh kasih dan khidmat
seorang murid terhadap Guru Syaikh Mursyidnya, saban waktu! Maaf, juga tiada
hadiah bagi jawapan yang betul!
9. PENUTUP
Akhir kalam, betapa kitaran dan edaran kurniaan Rahmat dan Nikmat Tuhan,
serta keDermawanan dan Kemurahan Tuhan sentiasa mendekati dan meliputi diri
kita.
Kahadhiran kurniaan ini menusuki disetiap sendi kehidupan kita, andai saja
kita mampu merasakannya!
Aliran kasih sayang Tuhan melalui pernafasan keluar masuk saja sukar
dinilai manusia. Apakah mampu seseorang menghitung dan mengawal pernafasannya?
Walhal, disetiap tarikan nafas keluar masuk tersemat Rahsia agung, dalam
simbiosis diri dan Tuhan! Tanyakan kepada Ahlinya!
Namun, Nikmat yang lebih Agung adalah keberadaan Rahmat semesta, sandangan
kekasihNya yang mulia, Rasulullah saw. Keagungan baginda membikin selingan hari
dan malam menjadi mulia dan indah disepanjang wujud zaman!
Wujud dan keberadaan baginda, walau hanya dibibir yang berselawat saja,
sudah mampu mengusir kelam kedukaan dan gelita kegelisahan dijiwa. Betapa keluh
jiwa amat merindu, kepada Sang Kekasih, ciptaan termulia yang pernah ada.
Selawat dan salam menjurus kepadanya, keluarga, serta para Pewaris-Pewarisnya
hingga zaman berakhir!
ALHAMDULILLAH.
WABILLAHIT TAUFIQ TABARAKALLAHU RABBUL ‘ALAMIN.
BLOG TN[BTN]. MADRASATUL BAITUL ADAM[MBA]. MALAYSIA. SEPTEMBER,2014.
Subscribe to:
Posts (Atom)