Thursday, June 11, 2015

PETANDA TUNTAS AKHIR ZAMAN [YAUMIL–QIYAMAH] DENGAN DOKONGAN DALIL-DALIL DAN AYAT-AYAT TUHAN – BAHAGIAN 1.



ADUHAI SAHABAT DAN IKHWAN!
BISMILLAAHIR RAHMAANIR RAHIIM

ALHAMDULILLAH. Wassolatu wassalamu 'ala Nabiyikal Karim, wa Rasulikal ‘azim, Saiyidina Muhammadin Mustafa, khataman nabiyina, wa’ala alihi wa ashabihi ajmain. Asyhadu al Laa ilaaha illallaah, wa asyhadu anna Muhammdan 'abduhu wa Rasuuluh.
' Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa Petunjuk dan Agama yang benar, untuk memenangkan [menakluk] atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membencinya.' QS. 61:9.
'Allah memilih orang-orang yang Dia kehendaki kepada Agama Tauhid dan memberi Petunjuk kepada [Agama] Nya, bagi orang-orang yang kembali [kepadaNya].'QS, 42:13.
Bermula segala puji dan puja hanyalah milik Allah, Pemilik semesta alam.
Maha Suci Allah, Dzat yang menyendiri, dengan sifat Keperkasaan dan Penguasaan, mendominasi segala penguasaan dan keabadian. Dia Tundukkan ciptaan dan seluruh makhlukNya, dengan kebinasaan yang telah tertulis atas diri mereka, kemudian menjadikan kematian [kiamat] sebagai pembebasan bagi orang-orang yang berTaqwa dan kesempatan memperoleh hak pertemuan denganNya.
Allah SWT. menjadikan kuburan sebagai penjara dan tempat tahanan yg sempit bagi orang-orang yang celaka, sehingga datang pengadilan dan penentuan dariNya. BagiNyalah penganugerahan nikmat dengan kenikmatan yang nyata, dan bagiNyalah juga pembalasan dendam yang keras lagi sengit!
Amma ba'du.

1.MUKADDIMAH
Yaumil Qiyaamah [Hari Kiamat] adalah suatu hari paling besar, paling kritis, paling bersejarah dan paling digeruni dalam kehidupan [kewujudan] dan sejarah kemanusiaan. Namun demikian, tidak pula dapat dinafikan bahawa kebanyakan manusia memikirkan bahawa soal kiamat adalah perkara mudah, terutama sekali tentang kiamat syugra [kiamat kecil/kematian diri sendiri]; seolah-olah perkara tersebut tidak relevan, dan harus diketepikan dahulu. Aneh sekali kebanyakan orang kita lebih berminat untuk mengetahui tanda-tanda bilakah akan munculnya Yaumil Akhir [Kiamat Kubra/besar], seolah-olah mereka akan bersedia menyambut dan mera'ikan kedatangannya!?
Rasulullah saw. pernah ditanya oleh seseorang: ‘Wahai Rasulullah, bilakah Hari Kiamat akan tiba? Dijawab Rasulullah: ‘Apakah kamu telah bersedia untuk hari itu?’
Pada hakikatnya, adalah terlebih penting bagi seseorang itu mempersiapkan dirinya bagi menghadapi hari kematian dirinya, yang mungkin lebih dahulu datangnya; dengan melakukan taubat dan beramal soleh, dari hanya disibukkan oleh dunia atau hanya menumpang dagu, menunggu bilakah datangnya Hari Kiamat sebenarnya!
Demikian, kerana proses dan ritual kematian dirinya sendiri [kiamat syugra/kecil] tidaklah kurang hebat dramanya berbanding Hari Kiamat sebenarnya nanti! Fahamkan benar-benar! Perhatikan firman Allah SWT. QS.50:19, bermaksud:
‘Dan datanglah Sakaratulmaut dengan sebenar-benarnya; itulah yang kamu selalu lari daripadanya.’
Untuk lebih faham, ikuti riwayat berikut:
‘Suatu hari, Nabi Sulaiman a.s. sedang duduk mesra dan santai bersama seorang sahabat, lalu tidak sekali-kali mereka menduga kemunculan Sang Sakaratulmaut menuju kearah mereka. Nabi Sulaiman a.s., setelah mengenalinya, menyambut kehadiran Sang tetamu tersebut. Namun, sahabat yang duduk disebelah Nabi tadi merasa aneh, tidak selesa dan juga merasa gerun dari panahan pandangan mata tetamu baru itu, lalu mohon bergegas beredar dari situ.
Setelah menyatakan urusannya dinegeri jajahan Nabi Sulaiman a.s. pada hari itu, Sang Sakaratulmaut pun turut beredar dari situ.
Beberapa ketika, setelah melihat tetamu Nabi Sulaiman a.s. telah kepergian, sahabat tadi kembali semula menemui Nabi Sulaiman.a.s. lalu bertanyakan siapa gerangan tetamu tadi. Setelah diberi tahu, dan dengan nada cemas, beliau memohon mendapat perlindungan Nabi. Nabi Sulaiman a.s.bertanya: ‘Apa yang kamu inginkan?’ Jawab sahabat: ‘ Ya Rasulullah, terbangkanlah aku kemanapun jua atau keNegeri India sekalipun!’ Permohonan sahabat itu lalu diperkenankan serta merta.
Selang beberapa ketika , Sang Sakaratulmaut muncul semula disamping Nabi Sulaiman a.s., berdatang sembah, menyatakan urusannya telah pun selesai dinegeri itu. Sang Sakaratulmaut bertanya kepada Nabi Sulaiman a.s.: ‘Dimana sahabatmu tadi?’ ‘Oh, dia berada diNegeri India,’ jawab Nabi Sulaiman a.s. ‘Bukankah dia disampingmu sebentar tadi?’ Jawab Nabi Sulaiman a.s.: ‘Ya benar! Kemana pula geranganmu selepas ini?’ bertanya Nabi Sulaiman a.s.. ‘Memang, berbetulan tugas aku seterusnya diNegeri India; dan kini akan menuju kesana!’, tegas Sang Sakaratulmaut.’   
Nah! Rujuk pula firman Allah, bermaksud:
‘Katakanlah: Malaikat maut yang diserahi untuk [mencabut nyawa] mu, akan mematikan kamu. Kemudian kepada Tuhanmu, kamu akan dikembalikan.’QS.32:11. Dan lagi; 
‘Sungguh, engkau akan mati dan mereka akan mati pula.’ QS.39:30.
Seharusnya, bagi kita dan setiap manusia amnya, menjadikan kematiannya sebagai waktu ajalnya; tanah adalah tempat akhir pembaringannya; kesepian bukanlah isunya; kutu, ulat, cacing dan jengking adalah temannya; Mungkar dan Nakir adalah penunggu setianya; kuburan dan perut bumi adalah kediaman dan tempat bersemayamnya; Yaumil Qiyamah adalah momen dan saat penantiannya; Syurga atau Neraka adalah arah muaranya!

Justru, Rasul saw. bersabda: ‘Muutu qabla anta muutu,’ bermaksud: ‘Matikan diri kamu sebelum matinya kamu.’
Lantas, pemikiran, jiwa, perasaan dan kesedaran harus tertambat kepada soal kematian. Tidak mengingat melainkan mengenainya; tidak bersiap-siaga melainkan kerananya; tidak mengatur persiapan melainkan yang berkait dengannya; tidak meneliti melainkan berkenaan dengannya; tidak terkekang maupun terhambat melainkan menjurus kepadanya; tidak beranjak melainkan menujunya; tidak peduli melainkan tentangnya; tidak kuasa melainkan kerananya; dan tidak menanti, menyambut dan mera’i melainkan ketibaannya! Maka Allah SWT. berfirman dalam QS.59:18, bermaksud;
‘Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah; biar setiap diri melihat apa persediaan menghadapi hari mendatang [Hari Kiamat/Akhirat].’
Memang benar, terdapat banyak kebaikan jika kita mampu mengandaikan dan menghitung diri kita yang senantiasa dibayangi dan dalam ambang kematian; dan mengangap bahawa diri kita akan menjadi penghuni kuburan. Hanya persoalan bila-kah saat itu, belum diputuskan. Namun hendaknya, kita telah bersedia. Kerana sesungguhnya, sesuatu yang mendatangi kita itu adalah saban hari dan ketika, semakin mendekat, menghampir, sedar mahu pun tidak!
Setiap kita tidak boleh tidak, melalui garis tertulis atas takdir hidup kita. Menjelang garis penamat usia kita. Setelah agihan rezeki telah usai seluruhnya. Dan amal baik maupun buruk menjadi penentuannya. Siapa pun yang ditakdirkan ajalnya disuatu negeri, tidak akan mati dinegeri selainnya! 
Kelangsungan kehidupan manusia yang silih berganti, pasti terhenti pada suatu hari. Menjelang berakhir kehidupan manusia, dituruti hancurnya alam maya ini seluruhnya. Bayu berhenti meniup. Bintang malam terus meredup. Gelombang samudera terhenti. Tanaman tandus kering, mata air surut, tidak mengalir lagi!
Namun, kebinasaan ini bukanlah noktah dan pengakhir segala. Akan datang suatu hari tahapan permulaan kehidupan manusia dinegeri Akhirat Abadi; penuh ngeri ataupun ranggi! 

2. REALITI HARI KIAMAT DAN TANDA-TANDA HARI KIAMAT MENURUT ALQURAN DAN HADITS
Kendati pun, penulis terlebih dahulu ingin menarik perhatian pembaca kepada realiti hara-birunya keadaan disaat-saat kejadian Hari Kiamat seperti diperihal Allah SWT. didalam Alquran, dan kemudiannya, akan mengemukakan beberapa tanda-tanda dan isyarat-isyarat ampuh, berdasarkan nas-nas sohih akan saat hampirnya kemunculan berlakunya Hari Kiamat tersebut. Pembaca hanya perlu memerhatikan samaada tanda-tanda dan isyarat-isyarat tersebut telah pun mulai muncul dan kelihatan melingkari kehidupan kita dimasa dan waktu mutakhir kini!
Terdapat lumrah sekali keadaan dan peristiwa Hari Kiamat ini disentuh dan dirinci oleh Alquranul Karim sebagai mesej kritis Allah kepada umat manusia, agar bersiap-siaga menghadapi ketibaannya. Antaranya, sila rujuk QS.22:1-2, bermaksud:

‘Hai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu , sesungguhnya, kegoncangan Hari Kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat [dahsyat]. [Ingatlah] pada hari [ketika] kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya, dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal, sebenarya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya, yang menghilangkan akal mereka itu.’
‘Apabila bumi digoncang dengan goncangan yang dahsyat, dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat [yang dikandungnya]; dan manusia bertanya, ‘Apakah yang terjadi pada bumi ini?’ Pada hari itu bumi menyampaikan beritanya, kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan [yang sedemikian itu] padanya. Pada hari itu, manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok, untuk diperlihatkan kepada mereka [balasan] semua amal perbuatannya. Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat [balasan]nya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat [balasan]nya. QS.99:1-8.
Dan lagi, antara lakaran-lakaran Allah SWT. tentang Yaumil Qiyamah, lihat QS. al-Qiyamah:6-15, bermaksud:
‘Ia bertanya [secara mengejek]: Bilakah Hari Kiamat itu? Maka [jawabnya Hari Kiamat itu] apabila mata terbelalak [kerana ketakutan]. Dan bulan hilang cahayanya. Dan matahari dan bulan dihimpunkan bersama. [Maka] berkatalah manusia pada hari itu. Dimanakah tempat hendak melarikan diri? Tak usahlah bertanya demikian, tidak ada lagi tempat perlindungan. Pada hari itu, hanya kepada Tuhanmu sahajalah terserah ketetapan segala perkara [tempat kembali]. Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang yang telah mereka lakukan dan apa yang mereka telah tinggalkan [dan lalaikan]. Bahkan manusia itu, anggota mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri. Walaupun mereka memberikan alasan-alasan [untuk membela diri].’
Hal yang menarik dari keterangan diatas ialah Allah SWT. telah menjawab semua pertanyaan manusia yang bersifat ragu-ragu dan tidak percaya akan datangnya sebenar-benar Hari Kiamat itu! Dan tidak ada tempat berlindung diri bagi orang-orang yang telah engkar semasa hidup didunia.
‘Kecelakaan besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan [apa yang dijanjikan Rasul-Rasul Nya].’QS. 77:15.
Bagi pencerahan lebih rinci, sila rujuk QS. alWaqiah: 1-12, sekaligus menetapkan status manusia didepan Allah SWT.
‘Apabila berlaku Hari Kiamat. Tiada siapa dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian Hari Kiamat itu merendahkan [golongan yang engkar –Kuffar]] dan meninggikan [golongan yang taat - MUKMIN]. Apabila bumi digoncangkan dengan sedahsyat-dahsyatnya. Dan gunung-gunung dihancur-leburkan sehancur-hancurnya. Lalu jadilah ia debu berterbangan. Dan kamu pula menjadi tiga golongan [berlainan keadaan]. Yaitu: golongan Kanan. Alangkah mulianya golongan Kanan. Dan golongan Kiri. Alangkah siksanya golongan Kiri itu. Dan [golongan Ketiga] orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu [masuk kesyurga]. Mereka itulah orang-orang yang didekatkan [kepada Allah]. Berada didalam Syurga kenikmatan.’
Maka pohonkanlah Rahmat, Hidayah, serta perlindungan dari Allah SWT. Barakallah!
Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan Hadits daripada Ibnu Mas’ud r.a., beliau berkata, bermaksud:
‘Seorang pendita mendatangi Rasulullah saw. dan berkata: ‘Wahai Muhammad, kami mendapati bahawa Allah menciptakan langit dengan jejariNya, dan menciptakan bumi dengan jejariNya, menciptakan pokok dengan jejariNya, menciptakan air dan embun dengan jejariNya, dan menciptakan seluruh makhluk dengan jejariNya. Kemudian Allah berkata: ‘Aku adalah Raja.’ Rasulullah saw. tertawa sehingga kelihatan deretan gigi serinya, dimana membenarkan perkataan pendita tersebut. Kemudian Rasulullah saw. membaca ayat-ayat berikut:
‘Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada Hari Kiamat; dan langit digulung dengan tangan kananNya. Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.’QS.39:67.
Hakikatnya, alam semesta yang maha luas ini, pada Hari Kiamat kelak ternyata hanyalah merupakan suatu benda kecil dalam jari-jemari Allah SWT. Yang Maha Kuat dan Maha Perkasa.
Imam Muslim pula meriwayatkan Hadits dari Ibnu Umar r.a., beliau berkata, bermaksud: ‘Suatu ketika Rasulullah saw. berkhutbah diatas mimbar dan berkata: ‘Allah mengambil seluruh langit dan seluruh bumi dengan tanganNya, dan berkata: ‘Aku adalah Allah.’ Rasulullah saw. bercerita sambil menggenggam jari-jarinya dan membukanya sambil berkata: ‘Aku adalah Raja.’ [Rasulullah saw. mengucapkan kata-kata tersebut dengan bergetar tubuh badannya] sehingga aku [perawi ibnu Umar], melihat mimbar tersebut bergetar sampai kebawah hingga aku khuatir dan berkata; ‘Apakah mimbar itu akan roboh bersama Rasulullah saw.’
‘Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah sesiapa yang dilangit dan dibumi, kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi, maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu [keputusannya masing-masing].
Dan terang benderanglah bumi [padang mahsyar] dengan cahaya [keadilan] TuhanNya, dan diberikanlah buku [perhitungan masing-masing] dan didatangkanlah para Nabi dan saksi-saksi dan diberi keputusan diantara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dirugikan.
Dan disempurnakan bagi tiap-tiap jiwa [balasan] apa yang telah dikerjakan dan Dia lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan.’ QS. 39:67-72. Dengan demikian Allah SWT. mengingatkan dalam QS.2:281, bermaksud:
‘Dan takutlah pada hari [ketika] kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna, sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya – dan mereka tidak dizalimi [dirugikan].’
Dikhabarkan: Seorang Syaikh menyatakan, suatu waktu dia membaca ayat diatas, lalu kedengaran suara dari langit berseru: – ‘Janganlah membaca ayat tersebut dengan keras, kerana empat makhluk djin dan malaikat telah mati kerana merasa terlalu gerun dan ngeri akan kesannya.’     

3.REALITI STATUS UMAT MANUSIA [ISLAM]
Hadits Rasulullah menyebutkan: ‘Sebaik-baik manusia adalah 100 tahun pada masaku; kemudian, zaman mereka yang mengiringi mereka. Kemudian, bertebaran pendustaan. Maka janganlah kamu bersandar akan perkataan dan perbuatan mereka itu.’
Dari bayangan Hadits tersebut, dapat disimpulkan bahawa umat Islam hanya dapat bertahan selama 300 tahun selepas peninggalan Rasulullah saw. setelah kewafatannya, dimana umat Islam telah mulai menderita atas penularan kronik serba-ragam penyakit seperti penindasan, kezaliman, kedurjanaan, kekufuran, dsbnya.
Lagi Hadits Rasulullah menyebut, ‘Akan datang suatu masa pada umatku, bahawa Raja-Raja mereka adalah seperti singa, dan pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar mereka itu adalah seperti harimau, dan Qadhi-Qadhi [Hakim] mereka pula adalah seperti anjing-anjing hutan; sedangkan manusia hanyalah seperti kambing.’
Betapakah akan hidup kambing-kambing itu ditengah-tengah kelompok singa, harimau dan anjing-anjing hutan?
Tidak sahaja jiwa-jiwa Raja Islam, Penguasa, pemimpin dan para Hakimnya yang telah jatuh sakit, lesu dan layu, bahkan, jiwa-jiwa para Ulama Islam tidak terkecuali dan terhindari dari penularan penyakit-penyakit yang amat berbahaya ini!’
Saidina Ali Abu Talib kw. menceritakan sabda Rasulullah saw, bermaksud:
‘Sesungguhnya, akan datang suatu zaman atas manusia bahawa tidak akan tinggal Islam itu hanya namanya sahaja; tidak akan tinggal Alquran itu melainkan kulitnya sahaja. Masjid-masjid bertebaran tetapi tidaklah menjadi tempat pencarian ilmu dan Petunjuk. Para Ulamanya akan menjadi makhluk yang terburuk lagi terhina dibawah langit ini. Dari para Ulama mereka itu akan timbul pelbagai fitnah, dan kepada para ulama itu jua akan kembali fitnah-fitnah tersebut.’
Lagi Rasulullah saw. bersabda, bermaksud:
‘Akan keluar pada akhir zaman beberapa kaum/partai; muka mereka seperti muka manusia, tetapi hati mereka itu seperti hati Syaitan.’
‘Aku terlebih takut atas kamu daripada Dajjal akan seorang lain daripada Dajjal.’ Maka sembah para Sahabat: ‘Siapa mereka itu ya Rasulullah?’ ‘Mereka itulah Ulama yang jahat.’
‘Akan terjadi diakhir zaman hamba-hamba Allah yang jahil dan para Qari/Qurra [pembaca Quran] yang Fasiq.’
‘Nanti bakal akan datang diakhir zaman atas umatku perempuan-perempuan menjadi Qiblat mereka dan mata wang bakal menjadi Agama mereka itu. Para Ulama mereka itu jahil, walhal, perkataan-perkataan Ulama itu seperti perkataan Nabi-Nabi, namun, tingkah-laku mereka itu adalah sepert Firaun.’
Anda hanya perlu perhatikan gelagat dan gara-gara kehidupan manusia di-abad ini. Apakah kecenderongan dan kegemaran yang mendominasi waktu-waktu dan usia mereka? Keagamaan, intelektual atau kecendekiawan, kemanusiaan? Tidak sekali-kali! Manusia menjadikan kebebasan pemikiran dan hawa nafsu menunggangi syahsiah dan pribadi diri. Mereka membiarkan nilai kemodenan dan kebaratan meracuni akhlak mereka. Terlebih buruk, mereka mendakap amalan Toghut hasil globalisasi dan teknologi moden dengan segala applikasinya, cecara membabi-buta, tidak arif lagi tidak berhemah! Bergelimang dengan sosio-budaya internet setiap saat dan ketika, tidak akan membuka ruang untuk jendela kearifan keilmuan, keagamaan dan keTuhanan. Ucapkanlah selamat tinggal kepada semua ini, dan tunggu sahaja saat kebinasaan yang pasti menjelang!
Disudut pentadbiran pendaulatan Agama pula, kita dapat perhatikan ketirisan perlakuan, seperti, ketidak-acuhan, kelemahan, kedayusan dan kelayuan. Penjawat yang diamanahkan menegakkan hukum-hakam dan keadilan tidak punyai keberanian, keyakinan diri, serta rasa bertanggungjawab terhadap tugasan dan perintah Allah SWT. Walaupun penjawat dan penguasa Agama memiliki kuasa tetapi tidak kuasa dan tidak memiliki semangat juang, menjulang dan memposisikan kedudukan Agama dipersada lebih tinggi dan yang sepatutnya. Misalnya, enakmen-enakmen Syariat Islam sahaja masih banyak yang tidak digubal dan dikuatkuasakan oleh Pemerintah-Pemerintah dinegara ini! Ilmu dan Amalan Tauhid dan Tasawwuf sebenar tidak diterapkan kerana bimbangkan risiko penolakan dan penentangan! Sedangkan intipati ilmu Tahid dan Tasawwuf adalah benteng dan penawar bagi membenteras dan menakluki serba-ragam gejala negatif yang kian menular liar, dan pada akhirnya membinasakan umat. Inilah sebenar-benarnya resapan dari suntikan racun dan pengaruh ‘Dajjal’ yang dibimbangi dan telah diramalkan oleh Rasulullah saw. terjadi dizaman mutakhir kini. Dan kita masih boleh mendakwa, malah mendabik dada, bahawa negara ini sebenarnya telah menuruti, mengamalkan dan menepati amalan Ahl-Sunnah wal-Jumaah seperti dipelopori Rasulullah saw.!
Disisi usaha dan kerja-kerja pendakwahan pula oleh beberapa pertubuhan, badan dakwah, masjid/madrasah, media-cetak/elektronik dan juga lambakan ustaz-ustaz dan Habib-Habib pula, telah terlalu lumrah diperkatakan dan dibeberkan. Masjid-masjid, yang merupakan pusat pemangkin dakwah seperti Masjid Madinatul- Munawarah misalnya, mentah-mentah menolak sebarang pengaliran ilmu yang tidak cocok dengan jiwa-jiwa AJK. mereka. Mereka adalah ibarat ‘zombies’ yang hanya berurus seperti diperintahkan majikan. Kelompok-kelompok ini harus lebih objektif, fokus, berani, jujur, berfikir luar-kotak dan relevan dalam pentarbiahan mereka kepada masyarakat. Seharusnya penguasa, pejuang dan pendakwah agama tidak, sekali lagi tidak, menjadikan kemasyhuran [status selebriti], imbuhan dan ganjaran sebagai misi, maksud dan tujuan! Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
Dapatkah anda bayangkan bagaimana dilemma Rasulullah saw., dihari pertama dinobatkan sebagai Nabi dan Rasul; seorang Muslim pertama, keseorangan membawa Risalah dan Watikah Agama Islam, mendepani kaum Kuffar dan Musyrikin Makkah; malah menggauli lingkungan keluarga, kaum kerabat dan taulan baginda sendiri? Namun, ceritera perjuangan dan kemenangan Rasulullah saw. terlakar  dan tersulam dengan tinta dan benang emas; yang tidak mampu diduplikatkan oleh pewaris-pewaris dan penguasa-penguasa Agama terkemudian kini. Ia sekedar menjadi bahan sejarah dan lagenda alam semesta. Justeru, akan teruskah berleluasa pen’dajjal’an, pengkhianatan, kezaliman dan sebagainya, yang terus-terusan mengancam umat!? 
Lalu bagaimana keadaan nasib dan kehidupan rakyat jelata bila dihimpit derita siksa dari rencam kezaliman pembesar-pembesar, penguasa-penguasa negara yang zalim lagi durjana, dan terlebih buruk lagi adalah perlakuan penguasa-penguasa Agama yang gila kuasa, egois, berlagak dan mengkesampingkan kesejahteraan umat, sedangkan Islam itu sendirinya bererti dan mendefinasi kesejahteraan, namun umat sengaja dinafikan?

4.ISYARAT KETIBAAN YAUMIL QIYAMAH DARI HADITS DAN PENAFSIRANNYA ATAS KEMATIAN DIRI
Ketahuilah bahawasanya, kedua-dua kategori Kiamat, Kiamat Kubra [Makro] dan Kiamat Syugra [Mikro], yaitu, [Kiamat Besar dan Kiamat Kecil] memiliki dan menzahirkan tanda-tanda yang bersamaan, yang satu bersifat universal [kulli] dan lainnya bersifat batin atau khusus, yang pasti kenyataannya akan dilalui oleh setiap individu anak Adam diakhir hayatnya. Namun, isyarat-isyarat tersebut lebih merupakan metafora, seperti diwartakan oleh Alquran dan Sunnah Rasulullah saw. Antara penzahiran tanda-tanda atau isyarat-isyarat tersebut adalah sepert berikut:
  1. Para budak wanita melahirkan anak majikan mereka. Anda akan melihat ramai orang bertelanjang kaki [berkaki ayam] mempertahankan apa yang mereka kehendaki. Terdapat ramai orang berlumba-lumba membangunkan gedung-gedung mewah.
  2. Munculnya Ya’juj dan Ma’juj dimuka bumi ini, dan menjadi penguasanya. Para pengikutnya memakan segala hasil bumi, meminum air samudera. Kemudian Tuhan al-Haq mengirimkan badai amat dahsyat dalam satu malam, lalu semuanya tewas. Setelah itu, bumi menjadi subur dan dipenuhi tanaman yang menghasilkan buah-buahan sangat lebat dan baik. Justeru, semua manusia melafazkan banyak pujian dan kesyukuran terhadap Tuhan al-Jabbar.
  3. Munculnya binatang-binatang melata dari perut bumi. Allah berfirman, QS.27:82, bermaksud: ‘Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahawa, sesungguhnya, manusia dahulu tidak yakin kepada Ayat-Ayat Kami.’
  4. Munculnya Dajjal. Ia memiliki syurga disebelah kirinya dan neraka disebelah kanannya. Tertulis diantara kedua matanya Kafir dan Allah. Ia berkuasa melapar dan menghauskan manusia, hatta, manusia tidak mampu mendapatkan makanan dan minuman kecuali mendapatkannya daripada Dajjal tersebut. Setiap yang percaya dan tunduk kepadanya akan diberikan makanan dan minuman. Dajjal akan memasukkan orang-orang yang tidak percaya dan tunduk kepadanya kedalam neraka [dunia]nya. Disaat muncul Dajjal, kebanyakan manusia hanya memakan rerumputan dan dedaunan sehingga datangnya pertolongan Tuhan. Sementara itu, Dajjal terus melebarkan wilayah penguasaannya kepenjuru belahan bumi, kecuali wilayah Makkah dan Madinah. Kedua-dua wilayah ini yang merupakan taman hijau, tidaklah mampu ditembusi oleh Dajjal. Kemudian, Dajjal terus menuju kearah Baitul Maqdis [Palestina], dan terhenti diRamallah. Sehingga, Tuhan al-Haq menurunkan Nabi Isa a.s. disalah satu kubah diwilayah tersebut. Apabila Nabi Isa a.s. melihat Dajjal, ia terus mengejarnya lalu membunuhnya, dengan sebilah kapak yang dibawanya bersama.
  5. Muculnya Imam Mahdi a.s. Usianya sekitar empat puluhan. Hari-hari dilalui manusia bersamanya adalah penuh panorama kehijauan; malam-malamnya dipenuhi cahaya gemilang dan keindahan; buminya pula dipenuhi tanaman yang subur, berbuah lebat, penuh berkat. Manusia disaat itu hidup aman sejahtera, damai sentosa dan amat gigih dan giat beribadah kepada Tuhan ar-Rahmaan.
  6. Terbitnya sang Mentari dari tempat terbenamnya yakni, diarah Barat. Ibarat kembali Roh keMarkas pertamanya dan isyarat kembalinya urusan dunia keakhirat. Dengan ini juga bererti tertutupnya pintu taubat serapat-rapatnya, dan segala permohonan ampunan dan maaf manusia kepada Tuhan, disaat itu, tertolak dan tidak lagi dikabulkan Tuhan al-Ghafuur.   
Demikianlah diantara petanda-petanda tuntas yang dizahirkan oleh Allah SWT. mengisyaratkan saat-saat pengakhiran dunia, bahkan segala isi dan makhluk yang mendiami dan menghayatinya. Kendati, pertanda-pertanda tersebut berupa nuansa dan metafora, penulis berjanji akan, dengan segala daya dan upaya, dengan Qudrah dan Iradah Allah, membuat pencerahan keatas kejadian-kejadian tersebut, dalam risalah yang sama BHG.11. akan menyusul dibulan Ramadan Mubarak akan datang. Insya Allah Taala. Penulis juga akan mengajak para pembaca membuat tinjauan dan imbauan kealam kubur[barzakh].
5.PENUTUP
Segenap puji dan puja hanya bagi Allah, Dzat Maha Perkasa, yang dengan ‘decree’ kematian [kiamat], mengazab dan mematahkan leher-leher Firaun, Kisra, Kaisar silam, kaum Kuffar/Musyrikin, para bangsawan dan penguasa khianat dan durjana, mencantas helah atas nafsu dan hawa mereka, menghancur-leburkan angan dan cita, dan meranapkan lakuan kezaliman mereka, bahkan siapa sahaja, ketika ‘bertahta’! Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
Kecelakaanlah bagi hati yang lalai alpa, yang tidak pernah mengingat dan menjangka, kematian akan menerpa tiba. Keinginan mereka untuk hidup seribu tahun lama, dan disaat kematian memohon agar dikembalikan hidup semula didunia. Betapa tidaknya! Mereka dipindahkan dari keempukan peraduan  dan hamparan kemewahan ‘hidup istana’, ke-kengerian dan kesepian alam kuburan melata. Berpindah dari terang benderang dan keriangan ‘istana’ ke-kegelapan lahad penuh nista. Berpindah dari senda-gurau isteri-isteri, dayang-dayang dan anak-anak ke-keganasan jengking, ulat, kutu dan cacing. Dari keriuhan keakraban kerabat ke-kesunyian dan kesendirian. Dari rencam pemuas nafsu/selera ke-kegelimangan najis dan tanah kuburan; dan dari peristirehatan nyaman ke-pembaringan yang jengkil dan mengerikan!
Bagi Allah-lah segala kepujian dilangit maupun dibumi. BagiNya jua segala pujian diawal dan akhir!       
Semoga kesejahteraan, selawat dan salam khusus tercurah keatas RasulNya, pemegang kesucian dan kemurnian AgamaNya, pemilik mukjizat nyata, penakluk setiap penentang dan pemusnah segala penghalang. Selawat serta salam juga agar terlimpah keatas keluarga Ahlil Bait dan keatas para Sahabah unggul - bagi Rasul terunggul!

ALHAMDULILLAH. WABILLAHIT TAUFIQ
TABARAKALLAH RABBIL ALAMIN.
BLOG TN [BTN], MADRASATUL BAITUL ADAM [MBA], JUN, 2015.

Saturday, June 6, 2015

FRONTVIEW MADRASAH BAITUL ADAM SERTA BANNER TERDAHSYAT KAMI! MASYAALLAH!


Slm Duhai sahabat yg saya amat kasihi sekalian, beginilah rupa madrasa kami beserta banner kami yang bertempat di Bandar Tasek Puteri. InsyaAllah disertakan lokasi tepat kami berdasarkan koordinat google maps. Barangsiapa yg berhajat ataupun ada tambahan ingin rasai KeIlmuan BerSanad! Diraikan kalian Duhai Sahabat2! Jemput dtg semua !  
 Sila jenguk juga Buletin blog kami yg mempunyai beberapa aktiviti2 berbentuk foto buat tatapan semua! Wslm!