1. TAUBAT
Anda seharusnya memohon ampun dan bertaubat dari setiap dosa yang anda lakukan, samaada dosa itu kecil, besar, zahir mahu pun yang batin. Ini adalah kerana bertaubat itu merupakan langkah pertama diJalan Allah yang wajib dilaksanakan oleh seorang hamba, yang juga merupakan asas bagi pencapaian maqam-maqam seterusnya yang lebih tinggi bagi diri anda.
Perhatikan Firman Allah, Surah 2, ayat 222, yang bermaksud:
'Allah Ta'ala amat mencintai orang-orang yang bertaubat dan yang bersih'
FirmanNya lagi dalam Surah 24, ayat 31, bermaksud:
'Wahai orang-orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah sekeliannya, agar kamu beroleh kemenangan.'
Rasulullah juga bersabda bermaksud:
'Barangsiapa bertaubat diatas dosanya seolah-olah ia tidak melakukan dosa'
2. SYARAT-SYARAT BERTAUBAT
Harus anda ketahui bahawa Taubat tersebut hanya menjadi sempurna jika memenuhi syarat-syarat berikut:
i] Meninggalkan perlakuan/dosa tersebut.
ii] Merasa kesal/sesal dan insaf diatas perlakuan tersebut.
iii]Berazam tidak akan mengulanginya sepanjang hayat.
Bagi orang-orang yang berTaubat akan kelihatan tanda-tanda, antaranya, hadir kelembutan hati, bercucuran airmata, lebih tunduk, patuh dan taat pada perintah Allah dan menyingkirkan rakan-rakan dan tempat-tempat maksiat.
Anda harus waspada terhadap sikap ketidakpedulian diri anda sendiri,yakni anda sewenangnya melakukan maksiat/dosa, namun tidak sedikit pun merasa bersalah/berdosa diatas perbuatan tersebut, lalu tidak terpanggil untuk memohon keampunan dan berTaubat kepada Allah dengan serta-merta. Ini adalah suatu bukti yang hati anda telah mati, dan tidak akan mendapat Hidayah dan Rahmat dari Allah Ta'ala.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap Mukmin untuk menjaga dan membebaskan dirinya dari sebarang dosa kecil atau besar sebagaimana ia akan menjaga dan mengelak dirinya dari ditimpa bencana kebakaran, kelemasan, keracunan dan sebagainya.
Anda tidak seharusnya melakukan atau berniat melakukan dosa, tidak harus bercakap sesuatu sebelum melakukannya, mahu pun merasa puas setelah melakukan dosa tersebut. Andainya anda terjebak dalam keadaan ini, anda seharusnya menyebunyikannya, merasa amat benci, lalu bergegas memohon ampun dengan segera kepada Allah Ta'ala.
3. BERKEKALAN TAUBAT
Anda seharusnya memperbaharui Taubat anda senantiasa, kerana dosa merupakan pelbagai dan kita tidak pernah sunyi dari sebarang kesilapan, kealpaan, aksi mungkar, dan dosa zahir mahupun yang tersembunyi,secara sedar mahu pun tidak disedari. Rasulullah yang maksum, terhindar dari perlakuan dosa, malah memohon keampunan dari Allah sebanyak 100 kali pada setiap hari.
Pohonlah keampunan sebanyak-banyaknya setiap hari, terutama pada akhir-akhir malam disetiap malam. Rasulullah telah bersabda bermaksud:
'Bagi orang-orang yang terus bertaubat, Allah akan menyediakan kemudahan dari yang membimbanginya, jalan keluar dari sebarang kesusahan, dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.'
Anda harus berdoa demikian:
'Rabbi'ghfir li wa-tub'alayya innaka anta'tawwab ar-rahim'
[Ya Allah beri ampunan kepadaku.Sesungguhnya Kau Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.]
Para Sahabat biasa mendengar Baginda Rasulullah memanjatkan doa/munajat diatas sebanyak 100 kali disetiap sessi jema'ah.
Atau pun berdoa seperti Nabi Allah Yunus:
Bermaksud;
"Tiada Tuhan melainkan Engkau.Maha Suci Engkau! Aku termasuk orang-orang yang zalim"
Telah dikhabarkan doa diatas mengandungi Nama Suci Allah, dan barangsiapa yang ditimpa bencana kesusahan lalu berdoa demikian, akan dikurniakan jalan kemudahan, seperti Firman Allah, Surah 21,ayat 88, bermaksud:
'Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan.Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.'
4. BAGAIMANA MEMBAKAR SEMANGAT
Sebagai manusia beragama Islam kita wajib melihat kedalam diri kita untuk tujuan menimbulkan kesedaran dan membakar semangat beragama yang kuat dan teguh dalam diri kita, serta menghidupkan syiar Rohani yang akan mengejut dan menyedarkan kita dari kelalaian/kealpaan.
Anda janganlah mengambil sikap tidak peduli, acuh tak acuh atau pun teragak-agak tentang Taubat diri anda, kerana anda akan merugi dan kesal tak sudah dikemudian hari nanti! Janganlah anda merasa ragu-ragu samaada Taubat anda diterima atau ditolak. Perhatikan Firma Allah, Surah Ali Imran, ayat 60, bermaksud:
'Janganlah kamu termasuk dalam golongan mereka yang ragu-ragu'
Adalah wajib dalam Syara' bahawa kita meyakini pengabulan Allah terhadap Taubat kita dengan syarat Taubat itu adalah Taubat Nasuha dengan syarat-syarat seperti yang telah disebutkan diawal risalah ini, kerana maksud taubat itu ialah untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t.
Sebuah Hadith Rasulullah, bermaksud:
'Pohonlah kepada Allah sedang kamu penuh yakin tentang pengabulanNya.'
Sebuah Hadith Qudsy bermaksud:
' Aku bersama-sama hamba-hambaKu yang menyangka baik terhadapKu.'
5. BERPUTUS ASA
Seorang Mu'min tidak harus berputus asa dari Rahmat Allah Ta'ala, sebagaimana disebut didalam al-Quran dan Hadith-Hadith Nabi, yang semuanya menunjukkan bahawa Allah s.w.t. itu sangat suka menerima Taubat seorang hamba yang datang membawa dosa, hatta, dosa seisi bumi!
Sesungguhnya, Taubat itu merupakan suatu kurnia yang penuh hikmah belas kasihan dari Allah s.w.t. yang tak dapat tidak akan menyedarkan kalbu seseorang hamba untuk terus bertaubat kepadaNya.
Sebab amalan mungkar dan maksiat itu akan mewariskan kekerasan dan kematian dalam hati. Orang-orang yang ditimpa penyakit ini tidak akan mengenal lagi rasa kemanisan taat atau kepahitan maksiat. Penyakit ini akan menular dan membarah berterusan didalam diri sehingga membawa kepada mati kafir, sedang ketika masih hidup mereka tidak akan terlepas dari perangkap syaitan iblis yang terus menerus menghasut mereka untuk melakukan maksiat dahulu dan menyuruh menangguh bertaubat dikemudian hari.
Begitulah caranya syaitan iblis menipu dan memperdaya manusia termasuk orang-orang soleh; digambarkan kepada mereka taubat sesudah maksiat itu dalam seindah-indah gambaran sehingga mereka terpedaya, dan mereka lalai tentang apa yang disebutkan bahawa hati itu sentiasa berjaga-jaga sebelum anggota melakukan maksiat, dan akan menjadi alpa dan lalai sesudahnya pula.
Ya, sebaik-baiknya hendaklah anda sentiasa mengingati bayang-bayang maksiat, dan bahawasanya maksiat itu akan menjerumuskan diri anda kedalam jurang kehinaan dan kehancuran; kalaulah bukan kerana hikmah belas kasihan Allah s.w.t. yang sentiasa mengingatkan dan mendorong anda untuk berTaubat. Dan hendaklah anda beringat bahawa perkara serupa itu tidak akan selalu berlaku sesudah melakukan sesuatu maksiat.
Justeru, anda harus sentiasa waspada dan berlindung diri dari tipudaya syaitan iblis, kerana sesungguhnya syaitan iblis itu adalah musuh yang terang lagi menyesatkan!
6. AMARAN
Waspadalah terhadap amaran Allah dalam al-Quran,Surah al-Furqan, ayat 27-29, bermaksud,
' Pada hari orang-orang yang bersalah itu menggigit tangan mereka, lalu berkata: Alangkah baik kiranya aku mengambil jalan bersama-sama dengan Rasul. Aduhai malangnya! Bukankah baik kalau aku tidak bertemu dengan si Anu. Sesungguhnya ia telah menyesatkan aku dari pengajaran itu sampai kepadaku. Adalah syaitan iblis itu tiada akan menolong manusia'
Dan FirmanNya lagi, Q.S. Hud, ayat 113, bermaksud:
' Dan janganlah kamu berpihak kepada orang-orang yang bersalah, supaya kamu tidak disentuh api neraka.'
Oleh yang demikian, berlumba-lumbalah anda memohon ampun dan berTaubat kepada Allah s.w.t. kerana Allah Ta'ala itu
amat merindui Taubat setiap hambaNya!
Hanya kepada Allah sahaja kita memohon Taufiq dan Hidayah! Dan keHadrat Allah jua sebaik-baik tempat kembali!