Saturday, August 31, 2013

QIRAATUL QURAN



TENTANG PENGERTIAN MEMBACA [QIRAAT] DAN RAHSIA MENTAFSIR AL-QURAN

BISMILLAAHIRRAHMAANIRRAHIIM

INNAKA ANTALLAHU LAAILAAHA ILLA ANTA

ALHAMDULILLAH, ALLAHUMMA SOLLI’ALA SAYYIDINA MUHAMMADIN ‘ABDIKA WA RASULIKA NABIYIL UMMIYYI WAAZWAJIHI WAZURRIYATIHI.

ADUHAI SAHABAT DAN IKHWAN, KETAHUILAH:

Alquran yang Mulia itu mengandungi gabungan kesemua isi kandungan 104 buah kitab yang pernah diturunkan Allah sejak zaman Nabi Adam a.s. Hatta, ini termasuklah juga kandungan dari 3 buah kitab besar, Zabur, Taurat dan Injil. Namun Alquranlah menjadi pelengkap keseluruhannya! Bererti, barangsiapa telah menghatam dan menghayati kandungan Alquran, juga telah meraih barokah dan rahmat dari 104 kitabullah! Masyaallaah!

Sila lihat Firman Allah, Q.S.56:77, bermaksud:

' dan inilah sesungguhnya Alquran yang sangat mulia, dalam kitab yang terpelihara [Loh Mahfudz]. Tidak ada yang menyentuhnya selain dari hamba-hamba yang disucikan. Diturunkan dari Tuhan semesta alam.'

Lihat Firman Allah, Q.S.85:21-22, bermaksud:

' Bahkan [yang didustakan itu] ialah Alquran yang mulia, yang [tersimpan] dalam [tempat] yang terjaga [Loh Mahfudz].'

2. KEHEBATAN DAN TUJUAN ALQURAN DITURUNKAN

Segala puji sanjung adalah bagi Allah yang telah menganugerah nikmat yang amat besar kepada manusia dengan mengutus Rasul s.a.w. dan menurunkan Kitab Suci Alquranul Karim, sebuah Kitab yang tidak didatangi yang batil dari arah manapun; turun dari yang Maha Bijaksana dan Maha Terpuji.

Alquran itu adalah merupakan perlembagaan Agama Islam; kanun kehidupan dan Syariat Islam, yang dengannya manusia mendapat serba-ragam ilmu dan petunjuk, penawar dan rahmat, hikmah dan barokah, hukum hakam pentadbiran, pengurusan dan muamalah kehidupan dunia dan akhirat. Dengan demikian, manusia mampu bangkit dan keluar dari kemelut kegelapan kejahilan [zulmat dan jahil akan Tuhannya] menuju kecemerlangan sinar ilmu ketamadunan berserta mema'rifahkan Tuhannya.

Sila lihat FirmanNya Q.S.2:2, bermaksud:

' Kitab Alquran ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.' 

Warta dan kisah tertera didalamnya membuka jalan bagi cendekiawan untuk ibrah, tamsil dan perbandingan. Hukum-hakam dibawanya membentangkan jalan luas dan lurus bagi ditempuh manusia untuk membezakan yang halal dari yang haram DAN YANG HAK DARI YANG BATIL.

Para penguasa dari suku bangsa yang angkuh dan kufur ditumpas tuntas oleh Allah Azzawajalla melalui AlquranNya; dan para cendekiawan yang mencari kebenaran diluar Alquran, pasti menemui kesesatan, dahulu, sekarang dan selamanya!

Kerana Alquran itu adalah cahaya sinar gemilang, menyuluh umat kejalan yang terang dan selamat. Ia adalah tali Allah yang Maha teguh, penyelamat umat serta penawar keraguan, keresahan dan kebimbangan yang merasuk dada!

Seperti FirmanNya, Q.S.17:82, bermaksud:

' Dan Kami turunkan dari Alquran [sesuatu] yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman. Sedangkan bagi orang yang zalim {Alquran itu] hanya menambah kerugian.'

Dan lagi Q.S. 38:29, bermaksud:

' Kitab Alquran yang Kami turunkan kepada kamu ini, penuh barokah agar mereka mentadabbur dan menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang berakal mendapat pelajaran.'

Dan lagi Q.S.31:5, bermaksud:

' Inilah ayat-ayat Alquran yang mengandungi hikmah, menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.'

Manusia yang beriman dengan Alquran telah mendapat pimpinan dan bimbingan; mereka yang melafazkannya, telah berkata benar; yang berpegang teguh dengan petunjuknya sebenarnya menempuh jalan selamat; dan bagi yang mentaati anjuran dan ajarannya telah menemui kebahagiaan.
Dan lagi Q.S. 5:48, bermaksud:

‘ Dan Kami telah menurunkan Kitab [Alquran] kepadamu dengan membawa kebenaran, yang membenarkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan menjaganya, maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau menuruti keinginan mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.
Untuk setiap umat diantara kamu, Kami berikan Syariat [perundangan/hukum-hakam] dan jalan yang terang.’

Alquran terus merentas zaman dengan memberi pimpinan bukan sahaja kepada manusia bahkan kepada makhluk Jinn.

Penuh misteri, magis dan keajaiban, Alquran selayaknya tidak akan pernah kunjung padam dan keluarbiasaannya tidak pula akan pernah kering dan hilang. Paling mengajaibkan, setiap mengulangi pembacaannya tidak akan pernah membosankan! La quwwata illa billah!

Nah! Betapa peranan Alquran itu jelas, sarat makna, inklusif dan komprehensif ruang-lingkup, ibarat samudera luas yang tidak bertepi. Segala rahsia mutiara hikmah tentang Ketuhanan dan kewujudan teranyam tersimpul didalamnya, yang hanya menantikan lidah seorang Rasul bagi menggali, membongkar, menyibak, merongkai dan mentakwil rahsia pengertian ayat-ayatnya, supaya terus beroleh fadilat dan Hikmatnya. Tanpa kehadiran seorang Rasul bernama Muhammad, mampukah umat memperoleh pengertian, memanfaatkan seruan dan saranan Allah S.W.T itu melalui AlquranNya!?

Tanpa kehadiran Rasulullah dalam lingkungan kita dizaman mutakhir ini, siapakah yang layak dijadikan otoritas bagi merujuk sebarang kekeliruan, kekhilafan, kebekuan, kejumudan dsbnya, untuk memperoleh kecerahan, kejernihan dan resolusi kesimpulan demi kemanfaatan umat? Tok Mufti,[bekas Mufti], Tok Imam, Kiyai, Pak Ustaz, para Qurra, para Hafiz dan Mufassirin? Fahamkan benar-benar!

3. TUNTUTAN DAN KEUTAMAAN MEMBACA DAN MEMAHAMI ALQURAN

Rasulullah bersabda, maksudnya:

‘ Barangsiapa yang membaca Alquran lalu menganggap adanya kitab lain yang lebih utama dari apa yang diberikan kepadanya, sungguh dia telah memperkecilkan apa yang dibesarkan oleh Allah S.W.T.’

Dan lagi sabda Baginda bermaksud:

‘ Tiada sesuatu yang memberikan syafaat yang lebih utama pada sisi Allah selain Alquran; tidak para Nabi, tidak para Malaikat, dan tidak pula yang lain.’
Dan lagi diriwayat Bukhari dari Saidina Usman ibn Affan, bermaksud:

‘ Yang terbaik diantara kamu ialah orang-orang yang mempelajari Alquran dan yang mengajarkannya kepada orang lain.’

Dan lagi, bermaksud:
‘ Para Ahli-Quran adalah ‘keluarga’ Allah dan KesayanganNya.’

Dan lagi, bermaksud:
‘ Sekiranya Alquran berada pada ‘jawarih’ seseorang, dia tidak akan disentuh api neraka kelak.’

Dan lagi, bermaksud:
‘ Pada hari kiamat nanti ditemui 3 kelompok umat yang sedang berdiri diatas tumpukan kasturi hitam; mereka tidak disentuh oleh rasa takut dan terhindar dari berhisab. Mereka adalah; orang-orang yang gemar membaca Alquran; orang-orang yang bermujahadah menuntut ‘wajah’ Allah ‘Azzwajalla; dan lelaki-lelaki [Rijal] yang menjadi Imam bagi khalayak ramai, sedang khalayak suka/redha kepada mereka.’

Berkata pula Ibnu Mas’ud:

‘ Manakala kamu berkehendak kepada suatu ilmu, kembangkanlah Alquran kerana terdapatnya ilmu-ilmu manusia purba dan ilmu-ilmu mutakhir. Bacalah Alquran: kamu akan diberi ganjaran sepuluh kebaikan untuk setiap kalimat daripadanya.’  Ujarnya lagi: ‘ Yang akan ditanya kepadamu diakhirat nanti hanyalah hubunganmu dengan Alquran. Orang-orang yang menyintai dan menyenangi Alquran adalah bukti dia menyintai Allah ‘Azzawajalla dan RasulNya. Andai dia membenci Alquran, bererti dia membenci akan Allah S.W.T. dan RasulNya s.a.w.’
 
Berkata Abu Hurairah:

‘ Rumah yang didalamnya dibaca Alquran adalah rumah yang lapang jiwa penghuninya; rumah yang menghambur serba kebaikan daripadanya; rumah yang ditempati para malaikat dan dijauhi para syaitan. Sebaliknya, rumah yang sepi dari pembacaan Alquran adalah rumah yang sempit dan tersiksa batin rohani para penghuninya, hapus kebaikannya, dihindar para malaikat dan amat digemari para syaitan.’

Berkata Abu Umamah al-Bahili:

‘Bacalah Alquran. Jangan kamu terpedaya akan buku/kitab yang lain. Tuhan tidaklah akan mengazab hati yang menyimpan Alquran.’

Berkata Amru Ibnul ‘As:

Tiap-tiap ayat dari Alquran merupakan satu tingkat dari Syurga dan sebuah pelita dirumahmu. Orang-orang yang membaca Alquran sama dengan menyuntik unsur Kenabian kedalam tubuhnya; bezanya hanya kerana tidak adanya wahyu yang diturunkan kepadanya.’

Berkata pula Fudhail ibn “Iyadh:

‘ Selayaknya para pendukung Alquran tidak menggantungkan harap kepada sesiapa pun, tidak kepada Penguasa atau para Pembesar yang lain, kerana hajat makhluk pantas terhadap Alquran semata. Pendukung Alquran adalah pendukung panji-panji Islam. Tidak wajar mereka lalai dan lengah seperti orang-orang lain, dan tidak pantas mereka menggauli mereka; demi menghormati Alquran.’
Berkata pula Muhammad bin Kaab al-Kurazhy:

‘ Dihari Kiamat nanti pabila manusia mendengar bacaan Alquran dari Allah Azzawajalla, mereka merasakan seperti tidak pernah mendengarnya sebelum itu.’

4. CELAAN BAGI ORANG-ORANG MELALAIKAN AL-QURAN

Rasul bersabda:

‘ Kebanyakan orang-orang Munafiq dikalangan umatku adalah para ahli Qira’t, mereka yang pandai membaca Alquran.’

Dan lagi sabdanya;

‘ Bacalah Alquran selama ia dapat melarangmu. Jika ia tidak dapat lagi berbuat demikian, maka tak bergunalah lagi kamu membacanya.’

 Berkata Anas bin Malik:

‘ Ramai para Qurra membaca Alquran yang disumpahi oleh Quran itu sendiri.’

Maisara berkata:

‘ Orang yang tersia-sia ialah Quran yang tersimpan didalam rongga orang-orang derhaka.’
Berkata pula Abu Sulaiman Ad Darani:

‘ Malaikat Zabaniyah lebih bersegera mengazab pembaca Alquran yang berdosa kepada Allah S.W.T. daripada mengazab para penyembah berhala yang menderhakai Allah.’

Berkata para Ulama:

‘ Manakala seorang Bani Adam membaca Alquran lantas mengerjakan perkerjaan yang lain, lalu membaca Alquran kembali, maka kepadanya Tuhan seolah-olah berkata: ‘Engkau mempermain-mainkan kalimah-kalimah ucapanKu.’

Ibnu Rimah pula berkata:

‘ Aku menyesal menghafal Alquran setelah mendengar bahawa orang-orang yang hafal Alquran akan ditanyai diakhirat nanti seperti menanyai para Nabi.’

5. RAHSIA HAKIKAT ALQURAN

Ketahuilah bahawasanya, Alquran itu ibarat dzat, yang terkumpul didalamnya segala Sifat-sifat al-Haq, dan Sifat-sifat itu tertajallikan dengan nama ke-Esa-an, yang diturunkan [Nuzul] al-Haq kepada Rasul terkasihNya Muhammad Saw., untuk dijadikan media penyaksian ke-Esaan Nya disegenap penjuru semesta alam. Pengertian Nuzul Alquran ini adalah sebagai metafora, menyatakan bahawasanya wajah hakikat ke-Esa-an yang tinggi, tampak dengan segala kesempurnaan dalam jasad mulia Muhammad Saw. Alquran diturunkan dengan wajah-wajah kesempurnaan Nya, langsung kedada Muhammad saw., meskipun semua wajah hakikat ketuhanan telah ada didalam jasad mulia beliau. Kerananya, Rasul bersabda: ‘Alquran diturunkan kepada ku dengan satu penurunan.’ Hal demikian mengisyaratkan penurunan hakiki Alquran dengan segala hakikat ke-Esa-an yang universal dalam jisim [tubuh] Muhammad Saw. secara langsung!  

Yaasin wal-Qur’an al-Hakim [Dzat Yang Maha Bijaksana]. Hakikatnya adalah [Nuzul] turunnya hakikat-hakikat ketuhanan melalui titian ibadah [ritual Toriq/Suluk] seorang hamba dalam meniti dan mengharungi samudera hakikat. Warta-warta dan wacana ketuhanan itu akan turun kejisim seorang Saalik [peniti jalan Allah] secara perlahan-lahan, sejalan seiring dengan ketekunan dan intensiti si-Saalik dalam meniti samudera hakikat: semakin intensif seorang Saalik menjalani Suluknya, semakin terbuka pintu-pintu Hikmah ketuhanan dalam dirinya. Proses pengilhaman ilmu-ilmu Hikmah itu kepada diri seorang hamba [selain Nabi] tidak serentak [one shot], namun, al-Haq menurunkannya secara step-by-step; kerana adalah mustahil seorang hamba mampu menerima Hikmah hakikat ketuhanan ditubuhnya hanya dengan sekali penurunan. Fitrah seorang hamba itu hanya mampu menerima hikmah-hikmah Ilahiyah secara perlahan-lahan; dan seharusnya melalui pencapaian maqam-maqam spritual, dari proses paling dasar sehingga sampai kepuncak tertinggi maqam spiritual. Justeru, proses Kasyaf itu berlangsung sesuai dengan tertib Ilahiyah, dan yang demikian itu al-Haq menegaskan dalam firmanNya, Q.S.17:106, bermaksud:

‘ Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.’

Demikian proses penggapaian hikmah-hikmah ketuhanan itu, semakin tekun, istiqamah dan intens seorang hamba mengoptimalkan ritual amalnya dan Suluknya, semakin deras pintu-pintu hikmahNya disibak olehNya.

Ada pun yang dimaksudkan Rasul dengan satu penurunan itu ialah apabila hadirnya hakikat ketuhanan dalam diri seseorang seperti Rasul, yang berdimensikan hukum Insan Kaamil, dengan pentajallian Ketuhanan, melakari/meliputi diri Insan Kaamil tersebut secara utuh! Hal demikian ditegaskan Rasul lagi dalam Haditsnya:

‘Alquran diturunkan kelangit dunia secara serentak. Kemudian al-Haq menurunkan kepada ku ayat demi ayat.’

Penurunan Alquran kelangit dunia sekali-gus, mengisyaratkan akan hakikat DzatNya. Turunnya ayat secara perlahan-lahan pula mengisyaratkan penampakkan atsaar [bekas-bekas] Nama-nama dan Sifat-sifatNya, seiring dengan kemajuan pertumbuhan dan kemampuan seorang hamba dalam merengkuhi hikmah dan nilai-nilai hakiki dalam menyelami samudera hakikat ketuhanan! Fahamkan benar-benar permasalahan ini atau bertanya pada Ahlinya!

6. SIAPA PENGAJAR/PENTAKWIL QURAN SEBENAR

Alquran itu ternyata memakai bahasa yang sangat Agung, oleh kerana ke-Agungan Alquran itu sendiri. Pewartaannya, selain muhkamat, adalah melalui bahasa isyarat, kiasan, metaforis, majaz [permisalan] dan sebagainya.Akan timbul kesulitan bagi mentadabburkan pengertian seutuhnya. 

Justeru, Allah menuntaskan, Q.S. 3:7, bermaksud:

‘ Tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.’

Dalam banyak firmanNya, menyatakan, Allah itu Maha Dekat, malahan meliputi makhlukNya. Rujuk Q.S.11:61, 50:16, 2:186, 57:4, 4:126, 41:54, dan 17:60. Kehadiran al-Haq pada diri seorang hamba adalah melalui tujuh hakikat Sifat-sifat Nya. Dia juga berfirman, Q.S.55:1-2. Bermaksud:
‘ ar-Rahman [Tuhan yang Maha pemurah]. Yang telah mengajarkan Alquran.’

Mengisyaratkan bahawa seorang hamba yang apabila ar-Rahman bertajalli pada dirinya akan merasakan kenikmatan rahmatNya, kurniaan yang bukan sahaja nikmat kasih kePemurahanNya, namun dapat melahirkan makrifat DzatNya, malah sihamba dapat memahami hakikat Sifat-sifatNya.

Ketahuilah, tidak pernah akan ada pengajar Alquran selain Tuhan Yang Maha Pemurah. Insan yang belajar Alquran bukan kepada ar-Rahman, ia tiada akan pernah, Wisyal [sampai] ke sejatian makrifah akan DzatNya dan kalamNya. Demikian pula ar-Rahman tiada akan pernah bertajalli pada dirinya, sedangkan ar-Rahman itu hakikatnya himpunan Sifat-sifat dan Asma-asma-Nya. Dan al-Haq tidak dapat diketahui hakikat kesejatiannya, melainkan dengan memakrifahi Sifat-sifat dan Asma-asma-Nya. Fahamkan betul-betul permasalahan ini!

Kerana, permasalahan ini tidak akan dapat difahami melainkan orang-orang yang Gharib [asing]. Yaitu, orang-orang yang menjarakkan hatinya dari kemarukan duniawi, dan menjernihkan syakilah hatinya dari hambatan-hambatan keduniaan, serta hanya memfokuskan tumpuan dan perhatiannya [eksklusif] kepada al-Haq semata-mata. Tuntasnya, mereka-mereka itulah yang selayaknya menjadi fokus perhatian dan perhatian sentral al-Haq berbanding segenap para hamba-hamba-Nya yang lain, yang melata diatas bumi ini!

7. RAHSIA KETUHANAN DAN BANDINGAN PARA RASUL

Berbanding dengan Nabi Isa a.s., yang membuat pewartaan rahsia ketuhanan, ketika semua itu ditampakkan olehnya, melalui seruan dan pelbagai mukjizatnya, ironinya, tidak membuat kaumnya menjadi beriman, malahan membuat mereka menjadi kafir! Pewartaan rahsia-rahsia ketuhanan tersebut menjadikan kaum N.Isa a.s. tenggelam kedasar kekufuran! Dalam hubungan ini sila fahamkan dakwaan Allah SWT. Q.S.5:116-117, bermaksud;

‘ Dan [ingatlah] ketika Allah berfirman, ‘Wahai Isa putra maryam! Engkaukah yang mengatakan kepada orang-orang, Jadikan aku dan ibuku sebagai dua tuhan selain Allah?’ [Isa] menjawab, ‘ Maha Suci Engkau, tidak patut bagiku mengatakan apa yang bukan hak-ku. Jika aku pernah mengatakannya tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada-Mu. Sungguh, Engkaulah Yang Mengetahui segala yang ghaib.’
‘ Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku [yaitu], ‘ ‘ Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu.’ Dan aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada ditengah-tengah mereka. Maka setelah Engkau mewafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkaulah Yang Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.’ Demikian pewajaran Isa a.s. kepada Allah SWT. diatas penyelewengan kaumnya terhadap erti kebenaran yang dibawanya, demi Tuhan Allah SWT..   

Nah! Betapa arif sang Muhammad saw.. meski agama yang dibawa Muhammad adalah agama Kaamil [sempurna], namun beliau tidak dengan serta merta menebar ilmu ketuhanan kepada ummatnya, terutamanya ilmu yang terkait dengan Dzat Allah SWT. Rasul Muhammad saw. membiarkan ilmu tersebut disamudera rahsia Alquran dan Al-Furqan. Muhammad saw. hanya mewartakan dengan ragam bahasa isyarat, kiasan, metaforis, majaz dan mutasyabihat! Namun terdapat banyak isyarat Qurani yang mewartakan essensi Dzat dan Sifat-sifat Allah; bahkan ada ayat Qurani yang menerangkan Dzat dan SifatNya dalam satu ayat:

‘Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar dan lagi Maha Maha Melihat.’Q.S. 42:11. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Allah SWT. secara Dzat! Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat segala sesuatu yang berkaitan dengan sifat-sifat.
Sebagai perbandingan, N.Musa a.s. juga tidak diperkenankan mewartakan rahsia hakikat ketuhanan kepada kaumnya, sebab jika Allah membenarkannya memberitakan ilmu rahsia ketuhananNya, kaumnya akan seperti kaum Isa a.s. yang tenggelam didasar kesesatan! Justeru, kerananya, Allah melarang Musa a.s. memberitakan ilmu rahsia ketuhananNya, seperti halnya, Dia memerintahkan Nabi Muhammad saw. menyembunyikan segala rahsia ketuhanan, sekaligus melarangnya memperbincangkannya dengan orang-orang yang tidak memiliki akal yang cerdik, bebal atau kontang kecerdasan hati dalam memahami hakikat rahsia ketuhanan!!!

Dalam sebuah Haditsnya Rasul Muhammad bersabda: ‘ Pada malam ketika aku diisra’kan, aku diberi tiga ilmu: Ilmu yang harus aku simpan. Ilmu yang wajib aku sampaikan. Ilmu yang aku diberi pilihan antara menyampaikan dan tidaknya.’ Ilmu yang wajib beliau sampaikan ialah ilmu Syariat. Ilmu yang beliau diberi kebebasan memilih antara menyampaikan dan tidaknya adalah ilmu hakikat, walhal ilmu yang wajib beliau simpan adalah ilmu rahsia ketuhanan. Walhal juga, ilmu rahsia ketuhanan tersebut berada didalam Alquran al Karim. Ilmu yang wajib disampaikan itu disebut juga sebagai ilmu zahir, sedang ilmu yang diberi pilihan untuk disampaikan dan tidaknya disebut ilmu batin, sejalan dengan firman Qurani, Q.S.41:53, bermaksud:

‘ Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda [kekuasaan] Kami, disegenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Alquran itu adalah benar.’

‘ Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan benar.’Q.S.15:85.

‘ Dan menundukkan untukmu apa yang ada dilangit dan apa yang ada dibumi semuanya sebagai rahmat daripada-Nya.’Q.S.45:13.

‘ Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadian dan telah meniupkan kedalamnya Roh-Ku.’ Q.S.15:29.

Kesemua ayat-ayat diatas mencakupi dimensi syariat dan juga dimensi hakikat. Barangsiapa yang mampu memahaminya dari sudut pandang Ilahiyah, akan sampai kepada makrifah [kefahaman] yang utuh, demikian sebaliknya, barangsiapa yang memahaminya dari kerangka yang lain akan menemui sesuatu yang kontradiktif dan membenih lahirkan pengingkaran dan kesesatan. Justeru, Rasul Muhammad saw. tidak menyampaikan semahunya akan hakikat rahsia ketuhanan itu, agar kaumnya tidak terperosok kedalam kubang kesesatan dan kesengsaraan tak bertepi!

Ilmu yang disimpan Rasul tersebut, bahkan terdapat didalam Alquran, halmana, ilmu tersebut menyimpan ragam [multi] takwil atau interpretasi, kerana penyimpanannya sarat hikmah dan penuh misteri. Ilmu hikmah ini hanya mampu diraih oleh ahli-ahli yang konsisten mendalami ilmunya melalui Kasyf-Ilahi [penyingkapan ketuhanan], kerana hakikat interpretasinya hanya dari Allah SWT semata, sebagai yang Dia firmankan dalam Q.S.3:7, seperti telah disebutkan. Fahami benar permasalahan ini agar anda tidak khilaf interpretasi!
         
8. QURAN SYARIAT VS QURAN HAKIKAT

Agama Islam yang dibawa Rasul Muhammad saw. adalah agama terbaik. Agama Muhammad saw. berpaksikan penambah-baikan atas agama-agama terdahulu, yang bersifat temporal dan dikhususkan untuk kaum/komuniti tertentu, berikutan dari penyempurnaan dan penambah-baikan atas agama-agama yang pernah ada. Agama Muhammad saw. adalah agama Kaamil [sempurna] yang bersifat universal dan releven untuk seluruh umat manusia disetiap tempat dan setiap zaman!
Allah berfirman,Q.S.5:3, bermaksud:

‘ Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku redhai Islam jadi agama bagimu.’

Ayat ini jelas tidak diturunkan kepada Nabi selain Muhammad saw. Andai diturunkan kepada Nabi 
selain beliau, nescaya Nabi tersebutlah merupakan penghulu [penutup] para Nabi. Kerana itu Muhammad saw. adalah Khatamun-anbia, pemungkas [penghujung], penutup para Nabi, sehingga tugasan kenabian berupa ajaran dan seruan Allah SWT. disempurnakan dengan baik sekali, tidak ada satu pun amar perintah yang tidak beliau sampaikan kepada umatnya, seperti yang telah diwahyukan Allah SWT. Sehingga ajaran agamanya benar-bear Kaamil dan Syaamil [utuh]. Sebagai ‘penutup Para Nabi’, tidak akan pernah ada tugas kenabian sesudahnya, tidak ada agama baru setelah agama yang dibawanya. Dengan demikian risalah yang dibawanya adalah penyempurna, dan tidak akan pernah ada lagi Nabi selepas Muhammad saw. kerana beliau adalah muara kesempurnaan!

Dalam hubungan ini Saidina Ali karamallahu wajha menyatakan:

 ‘ Tidak ada sesuatupun yang dirahsiakan oleh Rasul saw. kepadaku apa yang disembunyikan beliau terhadap orang banyak kecuali faham dan pengertian yang diberikan oleh Allah SWT mengenai kandungan Kitab SuciNya. Dari itu carilah bersungguh-sungguh segala faham dan pengertian itu.’
Fiirman Allah Q.S.39:9, menyebut, bermaksud:

‘ Sesungguhnya yang akan beroleh peringatan/fahaman [dari Alquran] adalah para Ulul-albab [ahli fikir dan berakal].’

Media penyempurnaan yang dibawa Rasul Muhammad saw. tidak lain melainkan Kitab Alquran, sedangkan Alquran pula memiliki dua sisi atau dimensi, yakni Quran Syariat dan Quran Hakikat. Seandainya, yang dimaksud dengan pengertian Alquran itu hanya pengertian lahir/zahir [syariat]sahaja, pastilah ilmu dan pendapat manusia tidak akan berbeda, malahan menjadi jumud, tidak bercambah dan berkembang maju. Quran Hakikat adalah seperti difirmankan Allah SWT.,Q.S.85:21-22, bermaksud:

‘ Bahkan [yang didustakan itu] ialah Alquran al-Majid, yang mulia [tersimpan] dalam [tempat] yang terjaga [Loh Mahfudzh].’

Quran dimensi ini bersifat Qadim dan medianya adalah tanpa huruf tanpa suara, dan hakikat keAgungan, keMuliaan dan keMurniannya, seperti hakikat Dzat ketuhanan adalah penuh misteri. Apakah pula hikmah Alquran yang bersifat bisu itu diberi huruf, suara dan segala perbendaharaan kata agar mampu berinteraksi berbicara melalui lidah Rasul Muhammad saw? Demikian juga dengan Kitab-kitab Suci yang lain yang pernah diturunkan kepada para Rasul terpilih. Andai tidak menerusi media kata, para Malaikat, syaitan iblis tidak akan mencetuskan dialog dengan Maha Pencipta. Demikian juga Bumi dan langit tidak akan tahu dan akur akan perintah Tuhan. Dan juga dengan sekelian makhluk didalam jagad-raya tidak mampu mengalun tasbih mereka kepada Tuhan Maha Esa; dan para Rasul tidak akan dapat menyebarkan Risalah Tuhan mereka; Musa a.s. tidak akan disebut sebagai Kalamullah; dan sayang sekali, kita tidak akan dapat menikmati lontaran munajat puji sanjung, rintihan dan alunan intim Rasul Muhammad terhadap Sang Kekasih belahan jiwanya, Allah azza wajalla, antara lain, seperti:

‘ Wahai Allahku, aku berlindung kepada Kasih Maaf-Mu dari Hukuman siksa-Mu; aku berlindung kepada Keredhaan-Mu dari Kemurkaan-Mu; aku berlindung kepada Mu dengan lantunan puji sanjung yang tiada terbatas! Aku tak sanggup menghitung puji-pujian atas Mu kerana, Engkau adalah sebagaimana Engkau memuji Diri Mu Sendiri!   

Justeru, Alquran yang lazim diguna-pakai umat adalah yang berbentuk mushaf, diberi huruf, bahasa dan suara, sebagai maslahah dan manfaat umat manusia, magis keajaibannya terus diburu dan diraih oleh mereka sehingga akhir zaman. Dan sila rujuk Q.S.56:11, bermaksud:

‘ dan inilah sesungguhnya Alquran yang sangat mulia, dalam kitab yang terpelihara [Loh Mahfudzh], tidak ada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan. Diturunkan dari Tuhan semesta alam.’

Amat istimewa dan beruntung, barangsiapa yang dapat dan mampu menggapai rahsia dan hikmah hakikat Quran tersebut, bilangan mereka diakhir zaman ini hanyalah segelintir; berbanding mereka, mutakhir ini, yang tersohor, tokoh dan mendabik penuh bangga dalam pembacaan, hafalan dan pengalunan taranum ayat-ayatnya!

Saidina Ali ibn Talib r.a. menyelar: ‘ Tidak ada gunanya ibadat yang tidak difahami; tidak ada faedahnya bacaan Alquran yang tidak difikirkan isinya.’

Berkata Ibnu Mas’ud: ‘ Diturunkan Alquran adalah untuk kalian laksanakan isi kandungannya; lalu membacanya sahaja yang kalian jadikan amal. Diantara kalian ada yang membaca Alquran dari awal hingga akhirnya tanpa meninggalkan satu huruf pun; sedangkan isinya tidak kalian laksanakan sedikit jua pun!’

9. HAMBATAN DAN RINTANGAN

Yang dimaksudkan dengan hambatan dan rintangan memahami isi Alquran itu ialah kerana Tuhan telah mensyaratkan, perlunya terlebih dahulu BERINABAH [kembali bertaubat] bagi hamba-hambaNya, agar dapat memahami dan mendapat berkah Alquran, seperti firmanNya Q.S.50:8 dan 40:13, 39:9,bermaksud

‘ Alquran ini menjadi pemandangan dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang bertaubat’

‘ Tidak akan beroleh peringatan [dari Alquran] kecuali orang-orang yang bertaubat.’

‘ Sesungguhnya, yang akan beroleh peringatan [dari Alquran] adalah orang-orang yang berfikir [Ulul-albab].’

‘ Kenapa kamu tidak mentadabburi kandungan isi Alquran?’ Firman.

10. BAHAYA MEMBACA [QIRAAT] ALQURAN TANPA TADABBUR DAN MENGHAYATI ISINYA

Pernah kejadian ada orang yang jatuh pengsan dikala sedang membaca ayat-ayat berupa ancaman; bahkan pernah juga ada orang yang mati ketika membaca atau mendengar bacaan Alquran. Dalam peristiwa demikian, mereka sebenarnya tidak menganggap diri mereka berdepan dengan Alquran, malah berhadapan langsung dengan Allah SWT. Renungkan permisalan berikut:
Apabila membaca Surah al-An’am, ayat 15, bermaksud:

‘ Aku amat takut/gentar bila aku menderhakai Tuhanku, akan disiksaNya aku pada hari yang amat hebat nanti…’
dan pembaca tidak pula merasa gentar; dan kenyataannya, pembaca hanya sekadar membaca cerita sahaja.

Apabila sedang membaca Surah al-Mumtahanah, ayat 4, bermaksud:

‘ Wahai Tuhan kami!Kami berserah diri hanya kepada Mu dan kami bertaubat hanya kepada Mu; dan hanya kepada Engkaulah kami akan kembali.’
Dan pembaca bukanlah orang yang sedang bertaubat dan berserah diri, maka sekali lagi pembaca hanya membaca sebuah cerita![berolok-olok].

Baca pula Surah Ibrahim, ayat 12, berbunyi:

‘ kami akan sabar menderita siksaan yang di datangkan kepada kami…’
maka hendaklah kita benar-benar merasa sabar dan bertekad kuat untuk selalu bersabar, barulah hikmah dan keasyikan membaca Alquran diperolehi.

Andai pembacaan Alquran tidak dengan tingkah pekerti seperti diatas dan tidak menatijahkan bekas atau pengaruh kedalam lubuk jiwa; dan tidak lebih dari gerak bibir, lidah dan suara teranum semata-mata, aksi demikian hanya akan mengundang kemurkaan dan kutukan Allah jua! Renongkan antaranya firman Allah, bermaksud:

‘ Kemurkaan Allah yang besar akan menimpamu, bila kamu mengatakan sesuatu yang tidak sanggup kamu lakukan.’ Q.S.61:3.

‘ Ingatlah! Kutukan/laknat Allah akan menimpa orang-orang yang aniaya [zalim].’Q.S.11:18.    

‘ Mereka adalah orang yang berpaling [dari akhirat] dalam kelalaian mereka.’Q.S.21:1.

‘ Hai Muhammad! Berpalinglah kamu dari orang-orang yang berpaling dari mengingat Kami, dan mereka tidak menginginkan yang lain selain kehidupan dunia sahaja.Q.S. 53:29.

‘ Dan orang-orang yang tidak bertaubat, mereka adalah orang-orang aniaya [zalim].’ Q.S.49:11.

11. RAHSIA DAN HIKMAH

Kelebihan, ilmu rahsia dan hikmah hakikat Alquran ini diisyaratkan oleh firman Allah seperti berikut:

‘ Dan sekiranya ada suatu bacaan [Kitab suci] yang dengannya gunung-gunung dapat digoncangkan [berlari], atau bumi jadi terbelah, atau orang yang sudah mati dapat berbicara [hidup kembali], [itulah Alquran]. Q.S.13:31.

Namun, berpaksi dengan ayat diatas, suatu ironi, sungguh betapa ramai manusia membaca Alquran, sedangkan gunung-gunung tetap kokoh terpacak dibumi; bumi yang terbelah-punah pula adalah akibat petaka gempa; dan orang yang dalam sekarat tetap juga akan terus mati walau dibacakan Alquran ditelinganya [baca:surah Yaasin]!? Anda boleh mencubanya lagi, dipersilakan!   

‘ Sekiranya kami turunkan Alquran ini kepada sebuah gunung pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah.’ Q.S.59:21.

Tidakkah ayat diatas mengimbau anda kepada peristiwa bagaimana N.Musa a.s. memohon agar Allah SWT. memperlihatkan DiriNya, dan berakhir dengan hancur leburnya sebuah gunung menjadi debu atom dan jatuh terkesima dan pengsannya N.Musa atas penyaksian peristiwa itu!
 Sila rujuk Q.S.7:143, bagi menghayati rentetan kisah itu.

Sungguh pewartaan ayat-ayat diatas dari sisi hakikat dan hikmah amat menakjubkan, kerana sisipan dimensi ketuhanan yang Maha Tinggi, Maha Mulia ,Maha Agung dan Maha Perkasa, kerana ia berkait dengan ketauhidan pengEsaan, manifestasian, pentajallian, paduan, kesatuan, jalinan dan keintiman mahabballah hamba dengan Tuhan. Pencerahan pengertiannya tidak akan penulis lakukan, lantaran amat sulit untuk diterima, ditelan dan dihadham oleh logika minda arus perdana khalayak. Namun, memadailah fahamannya hanya menurut tafsiran harfiah yang terdapat dalam naskhah kitab tafsir Alquran yang umum diguna-pakai oleh khalayak!  

Dengan sedikit sibakan dan pewartaan rahsia hakikat Alquran didalam risalah ini, seharusnya meledakan anjakan paradigma pada para pembaca budiman, terutama pada sisi pendirian, tekad, hasrat, ambisi, anggapan, tanggapan dan persepsi keseluruhan dalam melihat dan menilai semula,[reappraisal] ‘harga’ senaskhah Alquran, [sebenarnya adalah suatu khazanah perbendaharaan kewujudan. Adakah kitab, manuskrip, atau dokumentari lain yang lebih unggul diatas bumi ini]!? [The way one looks at or perceives the Alquran will, from this very moment on, never ever be the same again, believe you me, insyaAllah!]

Pada hakikatnya, bahawa Alquran itu adalah Kalam Yang Maha Qadim, adalah ayat-ayat yang jelas terurai didalam dada, terucap berupa huruf didalam intuisi dada orang-orang Ulul-al-bab, Ulama Billah, Arifbillah atau orang-orang berilmu. Fahamkan benar-benar! Rujuk Q.S.2:269, bermaksud:
‘ Allah memberikan Hikmah [ilmu] kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang diberi ilmu  Hikmat kebijaksanaan, sungguh telah diberi kebaikan yang melimpah. Dan tidak ada yang dapat mengambil pengajaran kecuali orang-orang Ulul-albab [orang berakal].’ Ibnu Abbas menafsirkan kebaikan melimpah itu sebagai mengerti akan kandungan Alquran.

Anugerah ilmu Hikmah ini adalah suatu kurniaan keberuntungan tiada tara [baca: malamQadar?], tiada ternilai dan sudah pasti pemilik anugerah ini adalah hamba-hamba Allah yang terpilih sahaja; yang dikehendaki-Nya. Justeru, adakah menghairankan bila Saidina Ali ibn Talib r.a. menegaskan:

‘ Jika aku mahu dan sempat, akan aku tuliskan tafsiran Surah al-Fatihah pada naskhah-naskhah yang dapat dibawa oleh 70 ekor unta!’ Apakah sebenarnya pengertian ujaran ini, walhal tafsiran biasa yang terbiasa dengan kita amat ringkas sahaja?

Rasul saw. pula bersabda: ‘ Sesungguhnya Alquran itu mempunyai wajah-wajah zahir dan batin, nyata dan berkias. Bacalah Alquran, cari dan selidikilah keanehan-keanehan yang terkandung didalamnya.’ Nah, amek kau!

Lihat pula Q.S.Anbia:79, bermaksud:

‘ Lalu Kami limpahkan pengertian mengenainya kepada Sulaiman. Dan kepada masing-masingnya, Kami limpahkan hukum dan ilmu pengetahuan.’

Berkata Saidina Ali ibn Talib r.a. bermaksud: ‘ Orang-orang yang pandai memahamkan kandungan Alquran akan berhasil menjelaskan pelbagai Ilmu pengetahuan dengan Alquran itu.’

Berkata Saidina Abu Bakar as-Siddiq, bermaksud: ‘ Bumi mana yang akan mendukungiku; langit mana yang akan menudungiku lagi, sekiranya aku menyatakan pendapat pribadiku sendiri tentang Alquran…’

Sebahagian Ulama pula menyatakan bahawa: ‘ Setiap ayat dari Alquran itu mempunyai 60,000 buah pengertian. Dan dibalik itu lebih banyak lagi.’

12. MULTI TAFSIR DAN TAKWIL

Mari kita renungi beberapa contoh tentang berbezaan di-antara hakikat pengertian dan tafsiran lahir dari Alquran sebagai berikut:

PERTAMA: Q.S. al-Anfal:17, bermaksud: ‘ Dan tidaklah engkau yang melontar apabila engkau melontar, tapi Allah-lah yang melontarkannya.’

Tafsir ayat ini lahirnya cukup terang dan jelas, namun, hakikatnya tetap tersembunyi. Ayat ini mempastikan suatu lontaran, tapi dalam masa yang sama membatalkannya pula. Zahirnya berlawanan, selama belum diketahui, bahawa dari suatu segi dia [Rasul] melontar, namun dari segi yang lain tidak!

KEDUA: Q.S. at-Taubah:14, bermaksud:

‘ Perangilah mereka! Allah akan menyeksa mereka dengan tangan kalian.’

Bilamana yang berperang itu ialah pihak orang-orang mukmin, bagaimana pula Allah dikatakan yang menyeksa? Sekiranya yang menyeksa adalah Allah SWT. apa pula ertinya perintah untuk menyuruh pergi berperang itu?

KETIGA: Q.S. Al-Fath:10, bermaksud: ‘ Tangan Allah diatas tangan mereka.’ Jangan anda terfikir Tuhan memiliki anggota seperti manusia!

KEEMPAT: Q.S.As-Sajdah:4, bermaksud: ‘ Dia bersemayam diatas Arsy.’ Wajib anda imani!

KELIMA: Al-Baqarah:54, bermaksud: ‘ ..kerana itu, bertaubatlah kalian kepada Pencipta kalian, dan bunuhlah diri-diri kalian.’ Tidakkah maksud ayat ini menyalahi maksud ayat lain, ‘dan janganlah kamu jatuhkan dirimu kedalam kebinasaan?’

KEENAM: Ar-Rahman:19-20, bermaksud:

‘ Dia membiarkan dua laut mengalir yang [kemudian] keduanya bertemu.’ ‘diantara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing.’ Silalah anda tafsirkan, walau dengan fakulti saintifik sekali pun! Lemah akal menggapai maksud. Namun, pencerahan terbaik bertanyalah kepada yang Ahli!

Para cendekiawan, ulama tafsir dan fiqh, lazim mencela golongan Ulama Tasawuf yang dakwa mereka, kurang hati-hati dalam menakwilkan beberapa ayat dari Alquran, penakwilan yang mereka dapati berbeda dengan apa yang dimaksud dan dijelaskan oleh Ibnu Abbas dan ‘mufassirin kontemporari’ lainnya. Sehingga mereka mendakwa cara penafsiran ulama Tasawuf membawa kepada kekafiran! Masyaallah!

Orang-orang yang berpendapat bahawa Alquran tidak mempunyai penafsiran lain selain dari tafsiran zahir sahaja [tafsir awam biasa], hanya membuka aib kejahilan dan kebodohannya sendiri, kerana menyamakan semua manusia seluruhnya sama dengan dirinya sendiri. Tiadalah pendapat yang lebih bebal dan bodoh dari ini! Kerana terdapat banyaknya Hadits-hadits Rasul dan atsar-atsar para Sahabat, membuktikan bahawa erti yang terkandung didalam kalimat-kalimat Alquran adalah lapangan yang teramat luas tanpa hadnya bagi Ahli-ahli Ulul-albab, kasyaf ilmu, para Hikmah dan sebagainya, bagi menggali mendapatkan mutiara hikmahnya [al-maknun].

Barangsiapa cenderong memberi tafsir lahiriah, akan tergolong dalam kaum ‘Muktazilah’. Fahaman kaum ini telah mendominasi pemerintahan Bani Abbasiyah dibawah Khalifah al-Makmun [198-218 H]. Fahaman ini mendapat tentangan hebat dari Imam Ahmad ibn Hambal, yang akhirnya dizalimi jua oleh pemerintah ketika itu! 

Andainya kita ingin menerokai serba-ragam bidang ilmu yang terdapat didalam Alquran, upaya penyelidikan demikian tidak akan berhasil dengan hanya memperhatikan tafsiran lahiriah semata-mata! Ini adalah kerana Kalimah-kalimah Allah didalam Alquran mengandungi serba-ragam butiran sarat hikmah dan makna, sesuai dengan ragam asma-asma, Sifat-sifat , dan Af’aal perbuatan Allah Maha Esa. Sila fahamkan benar-benar!

Walaupun memahami atau menghafal tafsiran Alquran yang lahir [zahir] menjadi prasyarat bagi menafsir dengan tepat, dan adalah perkara mustahil seseorang dapat mengertikan tafsiran batin sebelum mendalami tafsiran lahiriah ini, kecuali seperti ujaran Saidina Ali: ‘…..kecuali bila Allah memberi seorang hambaNya FAHAM mengenai isi kandungan Alquran.’ Tafsir lahiriah ini bertindak sebagai suatu pembelajaran bahasa, yang amat diperlukan bagi menyelami seluruh bahasa tersebut. Justeru, adalah dilarang menafsir Alquran secara melulu, tergesa-gesa dan sembrono, tanpa penguasaan bahasa, keahlian dan ‘petunjuk’.

Walau mendasarkan tafsiran menurut susunan bahasa dan hukum lahiriahnya sahaja tanpa merujuk atau menyelidik ayat-ayat lain, Hadits Rasul saw., atsar para Sahabat, dsbnya, terutama mengenai kalimat-kalimat yang tidak lazim [ganjil/gharib], kalimat-kalimat kurang jelas [mubham], kalimat-kalimat yang berganti [mubdalah], kalimat-kalimat yang dihilangkan [hadzf], kalimat-kalimat yang tersembunyi, susunan dan ringkasan [iktisar], susunan yang didahulukan atau yang dikemudiankan [taqdim dan ta’khir]; maka barangsiapa semata-mata mentafsir berdasarkan susunan tatabahasa Arab , terburu nafsu dan kecenderongan pendapat sendiri, kerap menemui kesalahan, malah kesesatan! Fahamkan benar-benar!

Itulah Alquran! Yang banyak mengandungi susunan seperti tersebut, dari awal hingga akhirnya, tidak termasuk kata-kata sulit [gharaib] yang lumrah dalam kandungannya. Namun, susunan demikian rupa dimaksudkan untuk meyakinkan dan mempamirkan ketinggian serta keindahan susunan Alquran terhadap ahli bahasa dan pramasastra bahasa Arab, bagi mempesona dan menarik umat Muhammad saw. agar mengiktiraf keunggulan kandungannya, melalui ketinggian dan keindahan susunan bahasanya!

Bagi para penekun Alquran yang bistari, mereka bukan sahaja membaca malah mentadabburi hikmat intipati kandungannya![Lihatlah gelombang kebangkitan belajar qiraatulQuran dikalangan khalayak diNegara ini, dipelopori ustaz sana, ustaz sini; mengambil upah sana, upah sini [Sunnah Nabi-ke?] Sudah sampai ketikanya,kita mengharapkan tsunami mentadabbur Quran pula, dengan ilmu hikmah dan fatonah kebijaksanaan, bagi natijah lebih berkesan dan ‘lumayan.’

Dalam menekuni ayat-ayat Alquran, keadaan jiwa pembaca akan tersentuh dan bertaut dengan susunan kalimat-kalimat, unsur, sifat dan nada sikap yang terdapat didalam ayat-ayat yang dibaca. Jiwa yang kasyaf akan selamanya istiqamah dan seirama dengan isi kandungan ayat-ayat itu. Pembaca yang menekuni akan berdepan dengan anika ragam unsur yang menggoda fahamannya. Akan ditemui nada berbicara ceria riang gembira; hentaman herdikan dan cerca-murka; irama suara lembut santun dan sutera, nikmat didengar digendang telinga; tamparan sindiran tajam berisi ancaman siksa; Perintah keras tuntas yang tiada dolak-dalik dan tangguhannya; serta alunan suara sarat belaian kasih sayang dan cita mesra menjanjikan harapan teguh dijana dan dijelma!
Rahsia hakikat ayat-ayat mutasyabbihat didalam Alquran dapat diteroka dan ditimba dari ‘samudera’ yang maha luas, yakni, dari ilmu yang bernama Ilmu Mukasyafah, yakni milik Arifbillah; tidak mungkin dapat ditinjau dari tafsir lahiriah semata!

Andai kata seluruh usia digunakan bagi menyingkap tabir rahsia yang terkandung didalam Alquran, pastilah akan usai usia terlebih dahulu, sebelum sempat terurai segenap yang akan menyusul itu. 

Tidak ada satu kalimat pun didalam Alquran yang tidak mengungkap dan tidak mempesona pemerhatian dan pemahaman pembacanya!

13. PENUTUP

Namun apapun, Allah SWT. berfirman,Q.S.38:29, bermaksud:

‘ Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan barokah supaya mereka mentadabbur [memperhati/mendalami] pengertian ayat-ayatnya.’

Hanya jangan sampai Rasul melontarkan doanya: ‘ Ya Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Alquran ini diabaikan!’

Hanya terserah kepada Ahli dan para cendekiawan Ulul-albab, yang terbuka kasyaf ilmu dan rahsia itu, masing-masing menurut keluasan dan upaya ilmunya, kebersihan jiwanya, bijaksana pemikirannya bagi mendorong bertajarud untuk terus mencari dan menyelidik akan ketinggian hakikat ilmu–ilmu ketuhanan sebagai intipati Alquran itu. Ini adalah kerana:

‘ Kitab Alquran membimbing kepada Kebenaran dan kepada TORIQ yang lurus’ Q.S. 46:30.
Andai lautan dijadikan tinta dan kayu-kayuan menjadi kalam [pena], untuk menulis, namun, hikmat dan rahsia-rahsia yang terkandung didalam kalimat-kalimat Allah SWT. tidak akan ada habisnya dan noktahnya. Lautan menjadi kering sebelum kalimat-kalimat Allah SWT. selesai dituliskan! 

Tabarakallah!     

Akhir kalam, ‘ Bahawa Alquran itu adalah kalam yang Maha Qadim, adalah ayat-ayat yang jelas terurai didalam dada, terucap berupa huruf didalam intuisi dada orang-orang Ulul-albab, orang-orang berilmu dan Alim Billah. Q.S.29:49. 

Fahamkan benar-benar!     

‘Dan Allah mangatakan yang sebenar-benarnya dan Dia menunjukkan jalan yang benar.’ 

ALHAMDULILLAH.
WABILLAHIT TAWFIQ TABARAKALLAHI RABBIL ‘ALAMIIN. WASSALAM.   


AL-MADRASATUL BAITUL ADAM SHAH ALAM, MALAYSIA.06.08.13. 27 RAMADAN 1434 HIJRI.

No comments:

Post a Comment