MUKADDIMAH
HABBLUM MINALLAH/HABBLUM MINANNAS/
Saya terpanggil untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan anda, walau bagaimana terhad, pastinya bermunafaat, kerana Allah telah berfirman, bermaksud:
'Hendaklah saling mengingat, kerana beringat itu berguna benar bagi orang-orang mukmin.'
Allah menjadikan manusia walau memiliki Fitrah yang asal yakni, perlu percaya dan bersandar kepada Tuhan, namun manusia bebas melakukan sebaliknya.Justeru, antara kita ramai yang memiliki 'ism' atau fahaman pelbagai, moden atau kuno, yang pasti tidak semestinya diterima dan diredhoi Allah!
RISALAH INI UNTUK SIAPA?
Peringatan ini amat berguna bagi kategori berikut:
1. ORANG-ORANG YANG TERLUPA TUHAN;
2. ORANG-ORANG YANG TERLUPA DIRI SENDIRI.
Firman al-Quran bermaksud:
'Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.'
Dan Firman al-Quran lagi, bermaksud:
' Barangsiapa yang didunia ini buta, maka diakhirat ia buta pula dan lebih sesat lagi.'
Justeru, anda telitilah pula maksud Firman berikut:
' Bertaqwalah kepada Allah dan biar setiap diri kamu melihat apa persediaan bagi menghadapi hari mendatang.'
Ketahuilah, bahawa Tuhan tidak pernah melarang hambanya mencari kekayaan, kemewahan dan kesenangan, hatta memiliki dunia ini sekali pun, hanya, manusia itu jangan terpesona dan membelakangi segala tanggungjawab dan perintah Allah dalam Syari'at Agamanya. Orang yang bijak ialah mereka yang menggunakan dunia sebagai jembatan keakhirat - maksud sebuah Hadith.
PESANAN
Aduhai Saudara-saudaraku yang lalai, lengah atau lena dari tidurmu yang terus diulit mimpi-mimpi indah! Sedar dan bangunlah!
Andainya anda mengetahui hikmah untuk apa anda diciptakan dan kemana hala-tuju seterusnya, anda akan meratap penuh kekesalan, kerana perjalanan keakhirat itu amatlah panjang, sedangkan perjalanan hidup dan urusan dunia ini amatlah pendek, menurut usia masing-masing. Hendaknya, anda jangan memandang ringan dan mengambil mudah tentang urusan keakhirat ini. Alangkah besar sekali bahayanya, sangat sulit urusannya, dan banyak sekali syarat-syarat keperluan untuk ditempuh oleh sihamba yang dhoif ilmu serta amal. Mengapa demikian sulitnya dan sukar sekali menghasilkan dan memperolehnya? Jawabnya, memang benar bahawa urusan ini demikian sulit lagi amat besar bahayanya, sebab Allah S.W.T. pun berfirman, bermaksud:
' Manusia itu dijadikan olehKu didalam kepayahan.'
Dan FirmanNya lagi, bermaksud;
' Aku menawarkan amanat kepada langit dan bumi dan gunung-gunung, mereka tidak sanggup membawa amanat tersebut, mereka semua merasa takut, tapi amanat itu ditanggung pula oleh manusia, dan manusia itu adalah penganiaya dirinya sendiri lagi bodoh.'
Demikian pula Sabda Rasulullah, bermaksud:
' Apabila kamu ketahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa.'
Pernah Saidina Abu Bakar berkata:
' Hmm, ingin kiranya aku ini menjadi rumput, dimakan kuda.' [kerana takut akan siksaan.]
Berkata pula Saidina Umar ibni Khattab, apabila mendengar ayat bermaksud;
' Sudah tiba pada seseorang manusia itu satu waktu dari zaman yang tidak disebut-sebut.' [sebab pada waktu itu manusia belum dicipta.]
' Hendaknya demikianlah selama-lamanya manusia itu jangan disebut-sebut.'
Fudail bin Iyadh juga berkata:
' Saya tidak akan iri hati dengan Malaikat dan tidak iri hati kepada nabi yang diutus, dan tidak iri hati oleh seorang hamba yang soleh, sebab semuanya, sekali pun soleh, sekali pun Nabi, tapi kelak dihari Qiamat akan ditanyai oleh Allah S.W.T., saya ini iri hati kepada yang tidak diciptakan Tuhan.'
Juteru, wahai saudara-saudara budiman, terbukti betapa amat sulit/hebatnya urusan akhirat ini, lebih amat sulit dan hebat dari yang kita sangka atau fikirkan.Walhal, perkara tersebut memang sudah ditakdirkan oleh Tuhan dan harus demikian; kerana demikian aturannya yang sudah ditentukan oleh Tuhan!
Pastinya, tidak ada jalan lain melainkan harus menempuh JALANNYA dalam istiqamah dan ubudiah kepada Allah S.W.T. dan berpegang teguh pada tali Allah dan selamanya menjerit-mohon kepadaNya, mudah-mudahan Allah S.W.T. merahmati kita semua supaya beroleh keselamatan dan kesejahteraan hasil dari Kurnia Nya. Ameen.
Nah! fikirkanlah olehmu dengan bersungguh-sungguh, terimalah ini semua dari Allah S.W.T. sebagai TaufiqNya!
Berikutnya akan menyusul Risalah-risalah pencetus penyesalan/keinsafan, saranan, perihal, hujjah-hujjah, dan tatacara menangani dan memenangi jalan keakhirat secara yang terbaik dan mencapai redho Allah S.W.T. InsyaAllah!!!
' Sekarang kami bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah dari tersasar dalam penulisan kami dengan ungkapan-ungkapan yang tidak seiring dengan amal kami.
Kami mohon keampunan Allah S.W.T. atas semua pengakuan kami dalam perkongsian ilmu kami, walhal, kami sangat lah lalai dalam beribadah.
Kami mohon ampunan Allah S.W.T. dari perasaan riak dan ujub dari penulisan risalah ini.
Dan kami memohon mudah-mudahan Allah S.W.T. menjadikan aku dan sekelian saudara-saudaraku yang budiman mengamalkan ilmu yang diajarkan Allah S.W.T. kepada kita, dan beramal dengan maksud hanya kepada Allah.
Semoga ilmu tersebut, mudah-mudahan memberi munfaat, dan ilmu dan amal kita itu diterima Allah dalam timbangan amal soleh kita, bilamana catatan amal kita dikembalikan, kerana Allah S.W.T. itu Maha Pemurah dan Maha Pengasih.
Ameen ya Rabbal 'Alameen.
maalhijrah 1430/29dis.2008.