Sila perhatikan Firman Allah, Surah Adz Dzaariyaat, Ayat 21,
Maksudnya,
' Dan didalam diri kamu kenapa tidak kamu perhatikan."
Jika kita laksanakan saranan ayat Allah tersebut, kita pasti akan menemui tanda-tanda dan persoalan mengenai diri kita sendiri yang pastinya menuntut kepastian dan penyelesaian berkaitan dengan permasalahan sepenting ini. Dapatkah kita mempastikan status kita berhubung dengan:
1] KeIslaman kita,
2] Keimanan kita,
3] Tawhid kita,
4] Makrifat kita.
1] KEISLAMAN KITA.
Umum mengetahui, bahawa prasyarat bagi menganuti agama Islam ialah dengan melafadzkan dua kalimah Syahadah berserta dengan menunaikan segala tuntutan yang dikehendaki oleh kalimah tersebut.
Ini diikuti dengan kewajipan asas ,yakni, perlaksanaan kelima-lima rukun Islam, menurut kadar, masa dan kemampuan penganutnya.
Antara yang terlebih penting didalam kelima-lima rukun tersebut ialah mendirikan Solat, kerana Solat adalah tiang agama.Bererti, barangsiapa yang telah cukup syarat-syarat, dengan sengaja tidak mendirikan Solat bererti telah meruntuhkan agamanya?
Bukti kelebihan Solat ialah kerana didalam solat itu telah terkandung kelima-lima rukun Islam dan pada hakikatnya barangsiapa yang mendirikan Solat telah menunaikan kesemua rukun Islam, dan sekaligus menegakkan agamanya. Perhatikan Hadith Rasulullah yang bermaksud:
"Perbedaan antara orang Islam dan orang kafir ialah dengan meninggalkan Solat" dan ,
"Barangsiapa yang meninggalkan Solat dengan sengaja adalah kafir"
Samaada Solat kita dapat menepati syarat-syarat dan kehendak-kehendak tujuan bersolat tidaklah dibincang disini. Walau bagaimana pun, dalam ruang lingkup yang terbatas ini, kita telah dapat membuktikan bahawa jika kita melaksanakan segala tuntutan-tuntutan seperti yang tersebut, sesungguhnya kita benar-benar orang Islam.
2] KEIMANAN KITA.
Perhatikan pula Firman Allah yang bermaksud,
"Katakanlah kamu memang telah Islam, Hanya kamu masih belum berIman"
Ketahuilah bahawa, keIslaman yang sebenar dituntut oleh Allah ialah keIslaman yang diisi dan dipenuhi dengan keImanan. Islam sahaja, tanpa dipupuk dengan Iman hanya akan menjerumuskan kita kesalah satu daripada keadaan yang amat dimurkai Allah, seperti berikut:
a] Islam warisan/keturunan,
b] Islam taklid/ ikutan,
c] Munafiq,
d] Fasik,
e] Zindik,
f] Syirik.
Jelas disini bahawa keIslaman adalalah lebih mudah dibuktikan kerana ia merupakan amalan-amalan zahir, walhal keImanan pula adalah bercirikan amalan dalaman atau kebatinan yang sukar dilihat atau diketahui melainkan oleh yang empunya diri.KeImanan adalah berlandaskan kepada pegangan, kepercayaan dan keyakinan seseorang terhadap agama Islam yang seharusnya dihayati dan dijiwai secara 'tahkik' dengan berpaksikan kepada keenam-enam rukun Iman yang dimaklumi.
Perincian rukun-rukun tersebut juga tidak akan dibuat dalam ruang yang terbatas ini.
Walau bagaimana pun ada juga tanda-tanda yang terdapat/kelihatan atau dirasakan pada ciri-ciri keImanan didalam diri seseorang itu antaranya ,seperti berikut:
1] Gementar hati dan tubuh badannya apabila dibacakan ayat-ayat Allah, dan bertambahlah Iman, seperti Firman Allah,Q/S Al-'Anfaal, ayat 2.
Maksudnya,
' Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka, dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.'
2] Sentiasa mendirikan Solat dan berzakat.
3] Khusyuk dalam mendirikan Solat.
4] Amat mencintai Allah.
5] Bergerak-gerak hatinya membaca kalimah Allah.
6] Tersimpul lidahnya dan malas ia berkata-kata yang tidak bermanfaat.
7] Bercucuran air matanya disebabkan oleh rasa insaf diatas dosa-dosa dan kelalaiannya selama ini.
Dan banyak lagi yang tidak mudah diungkapkan disini.
3] TAWHID KITA.
Erti Tawhid ialah pegangan, iktikad dan pengesaan terhadap ZAT yang bernama Allah itu, manakala lawannya adalah syirik. Seperti FirmanNya Q.S. Muhammad, ayat 19, yang berbunyi:
Maksudnya,
"Ketahui olehmu bahawa tiada Tuhan sebenarnya melainkan ALLAH"
Inilah Kalimah yang tiada tara, tiada tolok bandingnya dengan kalimah-kalimah Allah yang lainnya.Kalimah ini juga dinamai kalimah Toyyibah dan juga kalimah Tawhid. Atas kalimah ini juga berdirinya hukum-hakam Allah, berdiri yang halal dari yang haram, berdiri yang Hak dari yang batil dan atas kalimah ini juga berdirinya MAKRIFATULLAH.
Kalimah ini juga menjadi kunci pembuka Syurga bagi orang-orang beriman, seperti hadith Rasulullah yang bermaksud:
" Barangsiapa pada akhir kalam/hayatnya dapat menyebut LAA ILAAHA ILLALLAH akan dimasukkan kedalam Syurga."
Kalimah Tawhid ini walau pun begitu mudah disebut, namun kaedah pemahamannya ternyata diambil mudah oleh banyak pihak, justru mengundang bahaya yang besar, kerana implikasi kesilapan ini adalah amat luas sekali.
Misalnya, pada kalimah Tawhid ini tersimpulnya Aqa'idul Iman yang 50 perkara yang tidak lumrah diketahui umum.Walhal, pada hakikatnya, tanpa Aqa'idul Iman akan menjadi batallah Syahadat itu.Dalam hubungan yang sama, Syahadat mengandungi kalimah NAFI dan ISBAT, yang mana kefahaman yang sempurna amatlah dituntut sebagai prasyarat kepada kesempurnaan dan sah perlaksanaan Syahadat tersebut. Tidak kurang pentingnya ialah mengetahui dan memahami rahsia kenapa, tatkala mengangkat Syahadat, kesemua jari tangan kanan harus digenggam, kecuali jari telunjuk. Implikasi dari semua ini akan menjadi begitu jelas, dan amat serius bagi mereka yang boleh berfikir dan yang mempunyai mata hati!
4] MAKRIFAT KITA.
Perhatikan Hadith Rasulullah yang berbunyi,
Maksudnya,
" Awal agama adalah mengenal Allah"
Bererti, jika kita tidak mengenal Allah, maka kita tidak beragama. Makrifat bermakna mengenal, yakni, kita dikehendaki mengenal Allah yang disembah terlebih dahulu, kemudian baharulah kita dikehendaki menyembahNya, walau pun lumrah yang menyembahNya tanpa terlebih dahulu mengenal objek yang disembah!
Juga bermakna, dengan Makrifah baharulah beramal; dan bukannya dengan beramal baharulah berMakrifah!
Kerana itulah, Rasulullah telah berjuang/berjihad melebihi 10 tahun untuk menegakkan Kalimah Tawhid/Makrifah dikalangan keluarga, para sahabat dan sekelian umat Islam ketika itu bagi penyempurnaan Iman, Tauhid/Makrifah mereka, kemudian dari itu baharulah Rasulullah di Isra' Mi'rajkan untuk menerima perentah mendirikan Solat 5 waktu dari Allah SubhanahuwaTa'ala.
Kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH juga adalah kalimah makrifah, yang mana dengannya kita dapat mengenali ALLAH secara 'tahkik' dan juga mengenali diri kita yang sebenar-benar diri, seperti kata Ulamak Tasauf, bermaksud,
" Barangsiapa mengenal dirinya, mengenal ia akan Tuhannya."
Bagaimana - tanyakanlah kepada ahlinya!
KESIMPULAN.
Dari huraian diatas, dapatlah kita memahami bahawa Agama Islam itu adalah himpunan dari keempat-empat ciri-ciri penting, yang menuntut kefahaman mantap dan kesempurnaan dalam perlaksanaan ciri-ciri tersebut, sekaligus membolehkan kita menentukan status diri kita, menurut saranan Firman Allah pada awal-awal risalah ini. Dengan kaedah ini dan kesedaran baru yang boleh bertamu/bertemu dalam diri kita, barulah kita akan dapat merasakan sebenar-benarnya berAgama, berTuhan, berIman, berTauhid dan berMakrifat sebagaimana dituntut oleh Allah, sebagaimana maksud FirmanNya yang berbunyi,
' Tidak Aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan bagi mengabdikan diri kepadaKu.'
'Sesungguhnya kita dari Allah dan kepadaNyalah kita kembali.'
INSYAALLAH!
Friday, January 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment