Saturday, January 10, 2009

Jauhi Neraka

HAKIKAT INSAN [DIRI]


BERANIKAH ANDA?

Perhatikan Firman Allah, Q.S. atTahrim, ayat 6, bermaksud:

' Hai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan.'

Saudara yang dikasihi, jika kita amati secara jujurnya akan maksud ayat diatas, pastinya, kita akan merasakan remang bulu roma, tusukan diulu hati dan perasaan gerun menjalar disekujur tubuh badan kita, dari ancaman Allah melalui ayat tersebut.Hendaknya, kita terusan merasa cemas, rusuh dan takut.

Sebagai perbandingan, rasanya kita akan lebih rela duduk didalam penjara dunia walau untuk beberapa lama, kerana kita masih boleh menikmati hidangan nasi berserta lauk pauk yang mengenyangkan dan minuman air yang masih boleh memuaskan dahaga.Tetapi tidak dengan Neraka Allah, walau barang sesaat, yang mana senarionya amat luarbiasa dan berbeda! Hidangan nasinya adalah dari api menyala dan airnya adalah jenis mendidih yang boleh menghancur dan membakar hangus apa sahaja yang bersentuhan dengannya! Andainya, terbolos percikan api Neraka Allah kedunia walau pun sebesar lubang jarum, pastinya dunia akan hancur lebur. Begitulah kesan dari kepanasan bahang api Neraka Jahannam! Na'uzubillah!

Dari itu, aduhai sahabat bukalah mindamu, tajamkan perasaanmu, buka luas dan lapangkan dadamu untuk menerima nasihat ini dan beringat selalu! Pohonkan Hidayah dari Tuhanmu agar ia bertapak dihatimu dan menyentuh jiwa sedarmu. Jangan biarkan ketidakpedulian yang bertahta dihatimu selama ini menguasai dirimu berterusan. Masanya telah pun tiba bagimu menguasai dan menakhodakan garis perjalanan hidupmu! Dengarkan dan fahamkan! Jangan terlambat, seperti Firman yang bermaksud:

‘Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. Ini adalah hari, yang mereka tidak dapat berbicara [pada hari itu], dan tidak diizinkan kepada mereka meminta uzur/alasan. Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.Ini adalah hari keputusan. Kami mengumpulkan kamu dan orang-orang yang terdahulu. Jika kamu mempunyai tipu daya, maka lakukanlah tipu dayamu terhadapKu.’

FirmanNya lagi, bermaksud:

‘Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada dalam naungan [yang teduh] dan disekitar mata-mata air.’


HAKIKAT DIRI

Tidak kira apa sahaja ‘ISM’ atau fahaman dan fikiran anutan kita dalam menerajui perjalanan kehidupan atau kewujudan diri kita, saya mengajak saudara agar yakin dan percaya bahawa pertalian hubungan kita dengan Tuhan adalah persis seperti hubungan tubuh dengan nyawa, yang satu memerlukan yang lain dan tidak akan terpisah pada hakikatnya.

Sebenarnya, seluruh manusia telah mengambil perjanjian atau mengikat kontrak dengan Tuhan, semasa dialam Roh terdahulu.




Perhatikan Firman bermaksud:

‘ Bukankah Aku ini Tuhanmu? Mereka menjawab: ‘Benar, [Engkau Tuhan kami], kami menjadi saksi.’[Kami lakukan yang demikian itu] agar dihari kiamat kamu tidak mengatakan: ‘Sesungguhnya kami [bani Adam] adalah orang-orang yang lalai terhadap ini [keesaan Tuhan].’

Jika didunia sahaja kita akan menghadapi dakwaan sekiranya engkar mematuhi kontrak perjanjian, inikan pula perjanjian dengan Tuhan!

Seterusnya susur-galur manusia dicipta menerusi Adam dan kedua ibu bapa, lalu Tuhan berfirman, bermaksud:

‘ Ku tiupkan kedalam jasadnya akan RohKu’ Perhatikan benar-benar akan hubungan ini!

Segala puji bagi Tuhan, pemelihara sekelian alam, yang telah mencipta manusia sebagai makhluk yang paling mulia. Dialah yang mengamanahkan manusia dengan satu tanggungjawab menanggung RAHSIA Tuhan, serta bertanggungjawab pula memakrifatkan kepadaNya. Sesungguhnya, penerimaan manusia akan AMANAH diri RAHSIA Tuhan dialam Roh dahulu, maka manusia diletakkan ketaraf darjat makhluk [khalak] yang paling mulia jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk yang lain.

FirmanNya lagi, bermaksud:

‘ Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baik rupa. Kemudian Kami kembalikan dia ketempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.’

Taraf kemuliaan manusia disisi Tuhan bergantung terus kepada berjaya atau gagalnya manusia memakrifatkan dirinya kepada Tuhan. Andainya berjaya melakukannya dengan beriman dan beramal soleh, maka tergolonglah manusia tersebut kedalam senarai makhluk yang paling baik yang disifatkan seperti Firman diatas. Seandainya manusia itu gagal, maka duduklah manusia itu ditempat yang paling rendah lagi hina.Dan mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.


KENAL DIRI ANDA

Jangan jadikan susur-galur keturunan kita sebagai alasan untuk tidak bertindak dan menyatakan ketidakpedulian kita.Walau kita berdarah bangsawan, berdarjat, berpangkat, malah hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, kita harus berusaha keras bagi merobah diri untuk memberi keadilan dan lebih makna kepada kewujudan dan penciptaan Tuhan. Ya, ILMUlah yang bisa merobah segalanya! Jika tidak demikian, justeru:

Sudah matilah sibodoh/ sijahil tersebut;
Walau maut belum menjemput;
Tubuhnya adalah kuburan;
Walau ia belum dikuburkan.

Seharusnya, kita juga hendaknya berkerja lebih gigih bagi mendapatkan Hidayah dan Redho Allah dalam usaha pencarian itu.Kerana setiap manusia yang bakal mendapat Hidayah dari Allah akan didahului oleh datangnya INAYAH dari Allah. Andainya manusia itu tidak dikehendaki Allah untuk menerima Hidayah dan KurniaNya, maka akan diserahkan perkara kepada manusia itu sendiri dan duduklah ia ditahap asal nya seberapa lama mungkin. Kelak akan bertanya sifulan:

‘ Kenapa Tuhan memberi Taufik dan Hidayah kepada siAnu sedangkan aku tidak mendapatnya, walhal kita adalah sama-sama hamba Allah?’

Nah, jika ada pertanyaan sedemikian, akan menuntut jawaban:

‘ Kamu fikir kamu siapa, kurang ajar kamu kerana ketiadaan adab.Jangan asal bertanya, kamu akan mendapat jawaban.Kamu tidak mengetahui rahsia KeTuhanan dan rahsia kehambaan. Justeru tidak boleh bertanya apa sebabnya Tuhan berbuat demikian. Manusia boleh ditanya demikian, namun terhadap Allah tidaklah diperbolehkan. Itulah Rahsia Takdir!

Pokok pangkalnya, yang harus dinantikan ialah Nur Hidayah dari langit, yakni Nur Penglihatan Tuhan menerobos terus kedalam hati sihambaNya. Apabila terjadi demikian, dengan sekali lirikan sahaja, sihamba akan berupaya melihat urusan dunia akhirat dengan sebenar dan sesungguhnya.

Nur Tuhan ini terkadang dicari hambaNya hingga seratus tahun tanpa memperolehinya, lantaran kurang adabnya, khilaf ijtihadnya dan salah jalannya.

Dan ada pula antara hamba-hambaNya yang memperoleh Nur tersebut setelah 50 tahun, yang lain 10 tahun, dan ada pula memperolehnya dalam sehari, sejam, malah ada yang hanya dalam sekelip mata!

Bagaimana pun keadaannya, hanya Tuhan Robbul Izzati yang berhak menentu dan mengurniakan hidayahNya kepada sesiapa pun; namun kita semua diperintahkanNya supaya harus berusaha keras melaksanakan segala perintahNya, tapi dalam setiap urusan tersebut, bagaimana bahagian-bahagiannya adalah tertakluk dibawah TakdirNya, Tuhanlah Hakim Maha Adil yang memutuskan segalanya sesuai dengan sifat KehendakNya!


USIA MANUSIA MENJANGKAU 40 TAHUN

Ketahuilah kita manusia diberi Allah umur yang mempunyai amat banyak hikmah.

Dalam 1 minit kita menarik nafas turun naik sebanyak 20 kali, sehari semalam berjumlah 28,000 nafas.
Dalam 1 minit jantung kita berdenyut/berdetik sebanyak 70 kali, sehari semalam berjumlah 100,000 denyutan.
Apakah rahsia keajaiban terkandung dalam semua kejadian ini?

Ini adalah kerana dihari Kiamat kita semua akan ditanyai Allah bagaimana dan kemana usia kita dihabiskan! Pada setiap nafas turun naik, dan pada setiap detik dan denyutan jantung, akan dipertanggungjawabkan dihadapan kadhi Rabbul Jalil, seperti FirmanNya bermaksud:

‘ Kamu pasti akan ditanyai Allah akan nikmat-nikmat yang kamu perolehi.’

Maka alangkah ruginya manusia yang umurnya dipergunakan untuk memburu kemewahan dunia, kemasyhuran, kemegahan, kemuliaan dan keseronokan yang bersifat sementara cuma dalam kealpaan.
Paling merugi adalah mereka yang mempergunakan umurnya untuk mencari aib dan kesalahan orang lain, mencaci-maki, menganiaya, menghina, memfitnah, bergunjing, menipu, membohong, memutar-belit dan sebagainya. INILAH DOSA YANG TIDAK PUTUS-PUTUSNYA!

Perhatikan Firman Allah, bermaksud:

‘ Dan didalam diri kamu kenapa tidak kamu perhatikan!’

Berkata Imam al-Ghazali:

‘ Barangsiapa yang telah mencapai umur 40 tahun, tetapi masih lagi bergelumang didalam lautan dosa, wajarlah ia bersedia untuk dilontar keNeraka. Kerana pada umur 40 tahun, Allah telah menetapkan kebaikan atau kejahatan kepada seseorang itu.’

Inilah hikmahnya Nabi/Rasul diutus Allah ketika berumur 40 tahun.

Nasib yang paling celaka ialah manusia-manusia yang telah pun berumur melebihi 40 tahun, tetapi tiada mempunyai kesedaran diri untuk bertaubat, malah berlagak seperti orang muda atau seperti mereka yang memiliki dunia ini, atau dengan gelagat penuh dengan ketidakpedulian terhadap hukum-hakam Syariat Agama yang mereka anuti.

Andainya, seseorang itu masih terperosok mengerjakan dosa dan kejahatan, hendaklah ia dengan segera mempelajari Ilmu Tauhid Makrifatullah, kerana dalam amalan ini terdapat amalan-amalan menebus diri dengan cara/kaedah tertentu.

Rasulullah bersabda, bermaksud:

‘ Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya, dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi amat buruk amalannya.’

PESANAN

Ketahuilah wahai saudara bahawa keutamaan disisi Allah adalah suatu hal, dan kemasyhuran dimata manusia adalah pula suatu hal yang lain sama sekali. Misalnya, kemasyhuran Saidina Abu Bakar adalah kerana beliau menjadi Khalifah, sedangkan keutamaannya ialah oleh hal Rahsia yang bersemi didalam dadanya, menurut pengakuan Rasulullah sendiri!

Oleh yang demikian, hendaklah anda berusaha keras mencari Rahsia yang terpendam itu. Itulah intan permata dan mutiara terpendam yang amat tinggi nilainya! Lepaskanlah cengkaman hatimu dari perkara-perkara yang sepakat kebanyakan manusia mengagungkan dan menganggapnya mulia.

Jalan mendekatkan diri kepada Allah adalah seperti berikut:

1] Dengan ilmu semata;
2] Dengan amal dan kebajikan semata-mata;
3] Dengan kedua-duanya yaitu, dengan Ilmu/amal Jalan Keakhirat.

Sekarang cuba anda tinjau dan renungi diri anda:
Adakah diri anda dihari kiamat akan tergolong dalam kumpulan orang-orang berilmu kerana Allah dan orang-orang yang beramal kerana Allah, seterusnya mendapat Redho Allah?

MUNAJAT

Kami berlindung dengan Allah dari taraf orang-orang yang dusta, dan dari kelengahan orang-orang yang lalai.

Wahai ya Allah! KepadaMu lah tunduk hati orang-orang Arif, dan kepadaMu lah merendahkan diri semua orang-orang yang merinduiMu.

O Tuhan Limpahkanlah apalah kiranya KurniaMu kepada kami.
Muliakanlah kami dengan lindunganMu dan maafkanlah serta ampunilah kealpaan kami dengan Kemurahanmu!
AMEEN YA ROBBAL ‘ALAMEEN!