Friday, January 2, 2009

PESANAN IKHWANUL MUSLIMIN

Aduhai Ikhwan budiman! HATImu adalah ibarat cermin bersih berkilat. Seharusnya, kamu menjaga , menggilap dan menyuci-bersihkan nya dari tempelan habuk kotoran yang menyelubunginya, kerana HATI itu telah ditakdirkan untuk memancarkan Nur Rahsia KeTuhanan yang Maha Tinggi.

Apabila Allah, Pencipta cahaya langit dan bumi melimpahi cahayaNya [Nur Ilahi] kedalam HATImu, pelita HATImu akan menyala. Pelita HATImu berada didalam sebuah kaca, seakan-akan sebuah bintang bersinar gemilang dan bergemerlapan. Kemudian, dari dalam HATImu, kilat penemuan Rahsia KeTuhanan kilas menyambar. Kilat ini terpancar dari awan gemawan penuh makna dan rahsia, bukan dari ufuk Timur mahu pun dari ufuk Barat, dinyalakan dari pepohon zaitun yang penuh berkat…..meliputi cahaya keatas pohon penemuan, sungguh amat suci, telus, menyinari cahaya. Namun, api tiada menyentuhinya. Sejurus, pelita hikmah menyala sendirinya. Bagaimana ia tidak mungkin menyala, sedangkan Nurullah penuh Rahsia memancar dan melimpahi sinarNya?

Andainya cahaya Rahsia KeTuhanan menyinari HATImu, langit malam penuh rahsia akan diterangi seribu bintang…..dengannya kamu menemui arah jalan sebenarnya. Bukanlah bintang-bintang memandu arahmu, melainkan Nur Cahaya KeTuhanan. Kerana Allah telah mengatur lelangit dengan keindahan cemerlang bintang gemintang.
Andainya, pelita Rahsia KeTuhanan dapat dinyalakan didalam dirimu, pasti segalanya akan berhasil, secara keseluruhan atau pun sedikit demi sedikit. Sebahagiannya telah pun kamu ketahui dan sebahagian lainnya akan kami jelaskan disini.
Baca, dengarkan dan fahamkan.

Awan gemawan hitam kesedaranmu akan dinyalakan oleh kehadiran KeTuhanan dan oleh kedamaian dan keindahan bulan mengambang penuh, dari ufuk langit, melimpahkan cahaya atas cahaya, kian terbit dilangit, menelusuri Maqam-maqam yang telah ditakdirkanNya, sehingga ia bersinar penuh gemilang dan cemerlang ditengah lelangit, memecah dan menyelerakkan kehitaman ketidak-pedulian.

[Aku bersumpah] demi malam apabila ia telah sunyi sepi….. Demi cahaya fajar pagi penuh gemilang….. malam ketidak-sedaranmu akan menyaksikan kegemilangan siang hari. Sejurusnya, kamu akan menghidu semerbak wangian pabila mengingatiNya lalu bertaubat menginsafi diri diawal pagi ketidak-sedaran diri, sambil menyesali usia dan masamu dimamah dan diuliti tidur dan mimpi. Kerana kamu akan mendengarkan nyanyian beburung diawal pagi, mendendangkan…..

‘Mereka memang apabila tidur , tetapi hanya sedikit, dimalam hari; dan dikala menjelang fajar subuh, mereka memohon keampunan’
‘Allah menganugerahi cahaya HidayahNya kepada siapa yang dikehendakiNya.’
Seterusnya, kamu akan menyaksikan dari ufuk alasan KeTuhanan akan terbitnya mentari Ilmu Kerohanian. Ia adalah mentari pribadi, kerana kamu adalah antara yang ditunjuki Allah dan berada diatas jalan kebenaran; dan bukan antara yang Allah tinggalkan didalam kesesatan.

Dan kamu akan memahami Rahsia berikut:
‘ Tidaklah mungkin sang mentari menyaingi rang bulan; atau pun malam mendahului siang. Masing-masing menjurusi orbit yang telah ditetapkan.’
Pada akhirnya, segala kebuntuan akan terlerai menurut ibarat yang disediakan bagi manusia, kerana Allah adalah yang Maha Mengetahui; dinding hijab akan diangkat, kerangka akan dipecah berderai, mendedahkan yang jernih, suci-bersih dari yang kasar; dan kebenaran akan menyerlah kepermukaan.
Kerana ini akan hanya bermula apabila cermin HATImu digilap bersih. Cahaya dari Rahsia KeTuhanan akan menyelinap kedalamnya, andainya kamu mahu mencariNya, bagiNya, dariNya dan denganNya!

WABILLAHI TAUFIQ WAL HIDAYAH.

Dari Kitabullah.