Ketahuilah bahawa dalam masa anda dikehendaki dan mesti bersyukur kepada Tuhan diatas anugerah nikmat sewajarnya keatas diri anda seperti ilmu pengetahuan dan kesejahteraan yang anda miliki, anda juga seharusnya bersyukur, atau berterima kasih kepada Tuhan diatas nikmat dan pemberianNya yang lebih bersifat umum, seperti, mengutus Nabi/Rasul kepada umat manusia, membekalkan kitabulllah sebagai penunjuk jalan umat; pembentangan luas langit dan bumi, hikmah-hikmah kejadian siang dan malam, air hujan yang diturunkan, tumbuh-tumbuhan yang menghijau, haiwan yang melata dimuka bumi dan sebagainya.
Perasaan dan pengucapan terima kasih dan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Tuhan adalah apabila anda dilahirkan dan menganuti Agama Islam; dan amat cenderung kepada Agama tersebut, dan suka/kuat beramal pula dengannya dalam keseluruhan hidup anda!
Rasa kesyukuran itu adalah berasaskan perasaan hati anda yang senantiasa menyedari akan nikmat-nikmat tersebut yang adalah terbit dari Tuhan semata-mata, yakni, dari Rahmat dan Kasih-SayangNya, dan BUKAN, sekali lagi BUKAN terbit dari kuasa atau kebolehan diri anda sendiri!
Batas kesyukuran ini adalah dalam menggunakan setiap nikmat yang anda perolehi dariNya, dalam ketaatan sepenuhnya kepadaNya. Andainya tidak demikian, anda sebenarnya belumlah lagi dianggap bersyukur, dan sebaliknya, jikalau anda menggunakan nikmat-nikmat yang anda perolehi tersebut dalam melakukan kemungkaran terhadapNya, maka segala pemberianNya yang sebelum ini berupa nikmat akan sekali-gus bertukar pula menjadi Fitnah/Laknat kepada anda!
Fikir dan renungkanlah sedalam-dalamnya!
Didalam kitab Taurat [Musa/Moses] telah tertulis sebagai berikut, bermaksud:
' Wahai anak Adam, aku jadikan engkau didalam perut ibumu, Aku tutup mukamu dengan tutupan, supaya engkau tidak takut didalam rahim ibumu. Aku jadikan mukamu berpaling kebelakang ibumu supaya engkau tidak mendapat gangguan dari bau makanan [yang masuk kedalam perut ibumu]. Aku jadikan disebelah kanan dan sebelah kirimu tempat-tempat selesa, hati disebelah kanan dan limpa disebelah kirimu. Aku ajarkan engkau berdiri dan duduk didalam perut ibumu. Maka, adakah seseorang selainKu yang kuasa atas demikian? Tatkala telah cukup masa kandungan, Aku wahyukan kepada Malaikat yang khusus ditugaskan untuk rahim-rahim, agar Malaikat itu akan mengeluarkan engkau [ dari perut ibumu]. Malaikat itu mengeluarkan engkau dengan bahagian-bahagian sayapnya. Tidak ada bagimu gigi yang menggigit, tangan yang berkuasa dan berusaha untuk itu. Aku terbitkan untukmu air dalam dua urat kecil pada dada ibumu, air itu mengalir menjadi susu yang bersih, panas diwaktu dingin, dingin diwaktu panas. Aku berikan rasa cinta kepadamu dalam hati dan ibumu. Kedua orang tuamu tidak akan kenyang makan sehingga engkau kenyang terlebih dahulu. Kedua orang tuamu tidak akan boleh tidur sehingga engkau tidur. Kemudian ketika telah kuat tulang belakangmu dan kuat pula kulitmu, engkau menentangKu dengan maksiat dan derhaka. Engkau berpegang atas makhluk-makhluk dan tidak berpegang atasKu. Engkau tutup dirimu dari orang-orang yang melihatmu, tetapi engkau menentangKu dengan maksiat dan derhaka dalam persembunyianmu. Engkau betul-betul tidak malu kepadaKu. Sungguh pun begitu, jika engkau memohon dan berdoa kepadaKu, doamu akan Ku perkenankan jua. Dan jika engkau meminta kepadaKu, permintaanmu akan Ku kabulkan dan jika engkau bertaubat dan kembali kepadaKu, nescaya taubatmu akan Ku terima jua.'
Meskipun demikian, manusia senantiasa diberi Allah ujian sewaktu hidupnya. Manusia dipakaikan dengan Hawa Nafsu yang sukar dibendung, dan lagi godaan /perdayaan Syaitan Iblis dan dunia yang tidak mudah dialahkan, kecuali dengan JihadunNafs dan Hidayah Allah!
Perhatikan Firman Allah bermaksud:
' Kami akan mempesona mereka tanpa mereka sedari.'
Lagi Firman Allah bermaksud;
' Sesungguhnya Kami beri tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambah dosa mereka.' Ali Imran 78.
Maksud al-Hadith:
' Tuhan akan memberi tangguh kepada pendosa, sehingga saat Tuhan mencabut nyawa mereka. Tuhan tidak akan hanya membiarkan mereka.'
KAEDAH BERSYUKUR
Sebahagian dari bersyukur adalah dalam memujiNya selalu, dan merasa gembira dan bahagia apabila memperoleh nikmat-nikmat tersebut kerana kaedah ini akan membawa/mencapai keakraban dengan Tuhan dan juga sebagai bukti Cinta, Kasih-Sayang dan Rahmat Tuhan terhadap hamba-hambaNya.
Anda juga adalah bersyukur apabila anda memandang dan menganggap segala nikmat pemberian Tuhan adalah besar ukurannya!
Tuhan berfirman kepada seorang RasulNya, bermaksud:
' Kepada barangsiapa yang telah Aku kurniakan walau sebiji gandum, ketahuilah, bahawa Aku telah mengingatiMu dengannya, oleh yang demikian, berterima kasihlah kepadaKu.'
Anda juga telah bersyukur apabila anda mengenang dan menyebut Kurniaan Allah tanpa mengaitkan dengan keangkuhan atau kemegahan diri anda dalam ehwal keduniaan mahupun keagamaan. Setiap amalan bergantung kepada niat anda disebaliknya!
Amalan yang baik adalah dalam mengikuti jejak langkah mereka-mereka terdahulu yang telah beroleh petunjuk dan kebenaran dari Tuhan, Tuhan Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui!