Friday, January 2, 2009

ASAS POKOK DAN INTISARI ISLAM .

ASAS POKOK DAN INTISARI ISLAM
YE KE, AKU SANGKA AKU DAH TAHU NI SEMUA!

PENGISYTIHARAN
Perhatikan Allah swt menegaskan [muktamad] dalam FirmanNya, Q.S. Thaaha, ayat 14, bermaksud;
‘ Sesungguhnya, Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku.’
Justeru, dua Kalimah Syahadat yang menyata dan membuktikan segalanya.[Baca: Kita sebenarnya orang Islam]
ASYHADU AL LAA ILAHA ILLALLAH WA ASYHADU ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH.
Dan lagi ikrar pemastian:

Bermaksud: ‘Aku redho Allah Tuhanku, Islam Agamaku dan Muhammad Nabiku.’

Tersasar
Pada hakikatnya, kita telah tersasar amat jauh jika kita perhatikan perlakuan, tingkah dan olah diri kita sendiri dalam menangani dan mengurus hidup, seperti berikut:

A] AKU REDHO ALLAH TUHANKU
Berapa ramai diantara kita yang mengangkat selain Allah, sebagai Tuhan? Berapa ramai dikalangan kita yang mengejar dunia, harta, wang ringgit dan kemewahan saban hari saban malam tanpa noktah sehingga ketitik akhir usia; berapa ramai pula yang tanpa puas memuja /menjamu hawa nafsu sendiri, demi kepuasan naluri, seksual, keseronokan, kemuliaan, kedudukan, kemewahan, kemegahan, keangkuhan,kekuasaan, keegoan dan sebagainya.Tidak kira samaada diatas nama menuntut ilmu, menjalankan ibadah, berpolitik memerintah, berkarya, bergiat, berintelektual, berkerjaya atau hanya atas nama menyara hidup, kita semua tidak dapat lepas dari tersasar dari tujuan FITRAH asal yang murni tersebut andaikata kita jahil atau lalai! Amat sedikit masa dan perhatian kita peruntukkan bagi mengingat dan menyanjung Tuhan Allah berbanding dengan yang kita peruntukkan bagi ‘Tuhan-tuhan palsu’ yang lain, yang kita anuti itu.


Lihat Firman Allah, Q.S.al-Furqaan, ayat 43, bermaksud:
‘Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?’
Lagi Firman Allah, Q.S.ar-Ruum,ayat 7, bermaksud:
‘Mereka hanya mengetahui yang lahir sahaja dari kehidupan dunia, sedang mereka tentang kehidupan akhirat adalah lalai.’
Adakah kita benar-benar meyakini dan meredhoi Allah sebagai Tuhan tanpa pembuktian hakiki selain hanya dari pernyataan dengan bicara lafaz atau lidah?
Lagi Firman Allah Q.S. al-A’raaf, ayat 205, bermaksud:
‘Dan sebutlah/ingatlah [nama] Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, diwaktu pagi dan petang dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.’
Apakah kita telah benar-benar mengenali Allah sebelum mengingat dan menyembahNya?
Hadith Rasulullah bermaksud:
‘Tidak sah suatu ibadah/solat tanpa terlebih dahulu mengenali yang disembah’

MENGENALI/MAKRIFATKAN ALLAH
Sejarah Islam menukilkan bahawa Rasulullah telah mengajar dan menerapkan ajaran Aqidah dan Tawhid Makrifatullah kepada ahli2 keluarga, para Tabiin dan segenap masyarakat kaum Quraisy selama 11 tahun. Hikmah dari tempoh masa begitu panjang yang diambil Rasulullah adalah bagi memperkokohkan fahaman, pengertian dan pegangan ilmu Tawhid, Aqidah dan Iman mereka terhadap Tuhan Allah. Apabila Iman mereka telah mantap, kukuh dan utuh, baharulah perintah mewajibkan Solat disampaikan kepada Rasulullah sewaktu beliau diIsra’Mikrajkan. Ini dapat dibuktikan dari tema Surah-surah Makiah yang diturunkan Allah dalam tempoh tersebut.
Hadith Rasulullah bermaksud:
‘ Awal Agama adalah mengenal/makrifat kepada Allah.’
Maksud hadith tersebut amatlah penting dan bertepatan dengan maksud bahawa tanpa ilmu Makrifatullah, yakni mengenali Allah secara Tahkik dan Mantap, maka kita belum boleh dikatakan telah beragama Islam!
Ternyata ilmu Tawhid Makrifatullah itu terlalu amat penting, sehingga tanpanya, boleh mengakibatkan seseorang jatuh Syirik dan/atau Munafiq kerana mempersekutukan Allah dengan yang lain! Hanya kerana tidak tahu membedakan diantara yang Qadim dan Muhaddath! Na’uzubillah!
Justeru, lihat Firman Allah, Q.S. al-Kahfi, ayat 110, bermaksud:
‘ Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesuatu dalam ibadatnya kepada Allah.’
Oleh itu hindarilah dari mempersekutukan Allah, secara sedar atau tidak sedar, lantas, Allah memberi amaran keras diatas perbuatan tersebut dalam FirmanNya, Q,S. an-Nisaa, ayat 116, bermaksud:
‘ Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan [sesuatu] dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan [sesuatu] dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.’

MENJADI MUNAFIQ
Hadith Rasulullah menggariskan 3 perkara petanda orang-orang munafiq, yakni:
1. Apabila bercakap ia berbohong
2. Apabila berjanji ia mungkiri
3. Apabila dipercayai ia khianat.
Al-Quran pula menambah ciri-ciri munafiq tersebut sebagai berikut:
1. Menipu
2. Malas bersolat
3. Bersifat riak kepada manusia
4. Cukup sedikit mengingati Allah
Lihat pula ancaman dalam Firman Allah Q.S. an-Nisaa, ayat 142 dan 145, bermaksud:
‘Sesungguhnya, orang-orang munafiq itu menipu Allah, dan Allah membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak [dengan solat] dihadapan manusia. Dan tidaklah mereka berzikir [mengingati] Allah kecuali sedikit sekali.’
‘ Sesungguhnya orang-orang munafiq itu [ditempatkan] pada tingkatan yang paling bawah dari neraka, dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.’
Kesimpulannya, jika seseorang itu mempamirkan ciri-ciri seperti tersebut, mentelahan pula dengan mengingati Allah cukup sedikit sekali, pastinya, Allah menghukumnya sebagai orang munafiq! Na’uzubillah!
Oleh yang demikian, bagi mengelak orang-orang beriman agar tidak terjerumus kedalam golongan kaum munafiq, Allah lantas membuat seruanNya melalui Firman, Q.S. al-Ahzab, ayat 41, bermaksud:
‘Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah [dengan menyebut nama] Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.’
Lantaran itu Allah memuji pula mereka yang mematuhi perintah tersebut dalam FirmanNya, Q.S. Ali-Imran, ayat 191, bermaksud:
‘Yakni, orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi.’
Dan kepada mereka-mereka yang enggan berbuat demikian, Allah lantas menyelar mereka dengan FirmanNya, Q.S. al-Hadid, ayat 16, bermaksud:
‘Belumkah sampai waktunya bagi orang-orang beriman, untuk tunduk hati mereka berzikir kepada Allah.’
Allah sekali lagi dengan jelas menggariskan siapakah orang-orang pilihan yang berhak mendapat kurniaan dariNya, melalui FirmanNya, Q.S. an-Nuur, ayat 37, bermaksud:
‘ Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli, dari mengingati Allah, dan dari mendirikan solat, dan dari membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang dihari itu hati dan penglihatan menjadi goncang.’

B] ISLAM AGAMAKU
Perhatikan ketegasan dalam Firman Allah bermaksud:
‘ Sesungguhnya, Agama yang diterima Allah hanyalah Islam’
Lagi Firman Allah, Q.S. al-Maidah, ayat 3, bermaksud:
‘ Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku redhoi ISLAM itu jadi agama bagimu.’
Lagi Firman Allah, Q.S. Ali-Imran, ayat 102, bermaksud:
‘ Hai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan berAgama ISLAM.’
Terbukti hanya ajaran Islam sahaja agama Fitrah dan yang sesuai dengan kejadian manusia yang berakal setelah ajaran nabi-nabi lain diubahsuai oleh manusia sehingga keesaan Allah disekutukan dengan yang lain. Walhal asas ajaran agama Islam dari langit itu adalah berpaksikan kepada mengesakan [mentawhidkan] Allah tanpa sekutu bagiNya! Hal ini ditegaskan dalam sebuah Hadith sohih.
Rasulullah bertanya kepada Abu Zar RA bermaksud: ‘Adakah kamu tahu hak Allah keatas hambaNya dan hak hamba keatas Tuhannya? Jawab Abu Zar, ‘ Allah dan RasulNya lebih mengetahui.’ Sabda Baginda, ‘Ada pun hak Allah keatas hambaNya itu ialah menyembahNya tanpa menyekutukanNya dengan yang lain sedikit pun, manakala hak hamba terhadapNya pula ialah tidak akan mengazabkannya selama-lama sedikit pun.’ Kesimpulannya, bila hamba dapat menunaikan hakNya itu, Allah akan menunaikan hak hambaNya pula, yakni, tidak akan menyeksa mana-mana hambaNya yang menyembahNya dengan ikhlas tanpa menyekutukanNya dengan yang lain!
Semuanya adalah begitu jelas, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya!
Bagi kebanyakan manusia, Islam itu hanyalah suatu kerangka yang dipasungkan keatas mereka oleh faktor keturunan, pusaka, budaya dan sebagainya, yang tidak memberi erti atau signifikan kepada diri mereka. Ini jelas dari cara, gaya, pemikiran dan ekspresi hidup mereka yang ingin keluar bebas dari kepompong yang ‘membelenggu’ mereka. Kerangka Syariat Islam benar-benar mengehad dan membataskan gerak diam mereka dalam memodenkan cara berfikir dan bergiat dalam kehidupan seharian mereka. Justeru, kebanyakan manusia lebih selesa menganuti fahaman ‘ism’ yang berbau kebebasan dan modernisma dan mempertkaikan pula Syariat Islam yang suci. Walau pun demikian, mereka akan tetap ‘menganggap’ Islam sebagai teras hidup, meski pun tidak mempraktikkannya, kerana tidak mahu kelihatan janggal , keliru atau sesat dikacamata masyarakat setempat atau arus perdana.
Bagi sesetengah manusia pula, tunduk kepada hukum-hakam Syariat Islam bererti mengekang hawa nafsu rendah mereka dari berbuat dosa dan maksiat kepada Allah. Berhenti dari melakukan dosa dan maksiat adalah suatu prospek yang amat menggerunkan bagi setengah pihak. Ini adalah kerana sifat terbiasa mereka bergelumang dalam noda, dosa dan tenggelam dalam pengaruh nafsu materi dunia yang serba indah pada penglihatan mereka. Keengkaran dan cenderong kepada berbuat maksiat itu adalah tabiat semulajadi manusia yang dicipta Allah, yang penuh dengan ‘hikmah.’Justeru, hanya yang mendapat Rahmat dan Hidayah akan terselamat.
Dalam sebuah Hadith Rasulullah, riwayat A.R. Tirmizi, Rasulullah menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan, dimana pagi petang, siang malam pakaian silih berganti. Hidangan makanan tiada putus-putus. Rumah-rumah mereka besar tersergam indah dan dihias pula dengan perhiasan berbagai ragam dan mahal. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan para Sahabat, dimana kalau semua serba mencukupi, maka senang dan selesalah kita hendak taat dan beribadat. Tetapi Rasulullah menegaskan, “ Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.
Sebenarnya, kemewahan hidup lebih banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadah kepada Allah, seperti yang berlaku dewasa ini. Segala yang kita miliki kalau pun tidak melebihi keperluan, namun sudah mencukupi. Tetapi jika dibandingkan dengan kehidupan para Sahabat, kita adalah jauh lebih mewah dari mereka, walhal, ibadat kita adalah sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang kita nikmati selalu menyibukkan kita dan menghalang kita dari berbuat ibadah. Kita terlalu sibuk menghimpun wang dan harta dan sibuk pula menjaganya dan serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Seperti sabda Rasulullah, ‘Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu lembah emas, dia berhasrat untuk mendapatkan lembah yang kedua pula, sehinggalah dia dimasukkan kedalam kubur nanti.’
Begitulah gambaran yang sebenar terhadap haloba manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka, ketika itu barulah ia sedar dirinya dengan seribu satu penyesalan, tapi apalah gunanya! Oleh yang demikian, janganlah kita hilang pertimbangan dan lupa daratan dalam mencari harta kekayaan, tidak kira halal atau haram, yang penting asal dapat kekayaan . Tidak kira waktu Solat, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari rezeki dunia pada batas-batas keperluan, jika berlebihan boleh diderma atau sedekahkan, sebagai simpanan amal untuk akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk hari akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik hasil tanamannya.
Lihat Firman Allah, Q.S. Maryam, ayat 75, bermaksud:
‘ Katakanlah: ‘Barangsiapa yang berada didalam kesesatan, maka biarlah Tuhan yang Maha Pemurah memperpanjangkan tempoh baginya, sehingga apabila mereka telah melihat apa yang diancamkan kepada mereka, baik seksa maupun kiamat, maka mereka akan mengetahui siapa yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penolong-penolongnya.’

C] MUHAMMAD NABIKU
Firman Allah, Q.S. Saba’, ayat 28, bermaksud:
‘ Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.’
Lagi Firman Allah, Q.S. al-Ahzab, ayat 40, bermaksud:
‘ Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki diantara kamu, tetapi dia adalah RASULULLAH dan PENUTUP NABI-NABI. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.’
Lagi Firman Allah, Q.S. Ali Imran, ayat 31 dan 32, bermaksud:
‘ Katakanlah: ‘Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah maha Pengampun lagi maha Penyayang.’
‘ Katakanlah: ‘ Taatilah Allah dan RasulNya, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.’
Paparan diatas amat jelas sekali menjadi pembuktian muktamad keatas kerasulan Nabi Muhammad yang wajib di-Imani dan dituruti oleh segenap lapisan manusia sejagad.Kerana tanpa beliau dan seluruh Sunnahnya, manusia tidak akan dapat mengenali Tuhan Allah, tata-cara kehidupan dan seluruh jagadraya, ciptaanNya.

KESIMPULAN
Manusia sememang tidak akan sunyi dari berbuat kekhilafan dan dosa selagi masih hidup. Justeru, kita haruslah menerobos jauh kedasar lubuk rahsia nurani diri kita sendiri bagi merenung, mencari dan mendapatkan TaufikHidayah dari Allah.
Firman Allah, Q.S. adz-Zaarriyaat, ayat 21, Bermaksud:
‘ Dan didalam diri kamu kenapa tidak kamu perhatikan.’
Pastinya, jawapan paling rasional adalah merujuk/kembali kepada Allah.
Perhatikan Firman Allah, Q.S. ar-Ruum, ayat 31, bermaksud:
‘ Kembali bertaubatlah kepadaNya, bertaqwa kepadaNya, serta mendirikan solat.Jangan kamu termasuk orang-orang yang menyengutuiNya.’
Lagi Firman Allah, Q.S. al- Hadiid, ayat 21, bermaksud:
‘Berlumba-lumbalah kamu kepada mendapatkan ampunan dari Tuhanmu, dan Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya. Itulah kurnia Allah kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.’
Lagi Firman Allah,Q.S. an-Nuur, ayat 31, bermaksud;
‘Bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, hai orang-orang beriman, supaya kamu beruntung.’
Lagi Firman Allah, Q.S.asy-Syuura, ayat 25, bermaksud:
‘ Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.’

Belum duduk sudah berlunjur. Malu berdayung, hanyut serantau. Malu bertanya sesat jalan. Jika sesat dihujung jalan, kembalilahlah kepangkal jalan!
WABILLAHIT TAUFIK WAL HIDAYAH.
HANYA KEPADA ALLAH KITA MEMOHON TAUFIQ DAN HIDAYAH DAN ALLAHLAH SEBAIK-BAIK TEMPAT KEMBALI. AMEEN YA RABBAL ‘ALAMEEN!