BERSERAH/TAWAKKAL
Sahabat! Anda seharusnya BERSERAH kepada Tuhan Allah, kerana hanya Dia yang mencukupkan, mengayakan, dan Dia akan memberikan lebih perhatian kepada anda kerana berbuat demikian.
Pada hakikatnya, Dia adalah sumber segala sesuatu, asal-usul, tempat bergantung dan yang menguasai sepenuhnya keatas segala ciptaanNya!
Seperti FirmanNya, bermaksud:
' Sesungguhnya kita dari Allah dan kepadaNya kita kembali.'
' Sesungguhnya, Allah Maha berkuasa diatas segala sesuatu.'
Nah! Kalau begitu kenapa ada suara/pengakuan sumbang antara kita seperti berikut:
' Oh, kalau bukan aku yang mengajar dan membantu engkau, pastinya engkau tidak menjadi orang berjaya.'
' Nasib baiklah Doktor tu sempat bedah dia, kalau tidak pastinya pesakit tu dah mati!'
Misalan ungkapan-ungkapan diatas merujuk kepada adanya kuasa lain selain Allah yang boleh seseorang itu merujuk atau berserah bagi mengatasi sebarang permasalahan. Perspektif begini yang dianuti khalayak adalah amat menyimpang dari Tawhid sebenarnya, dan didalam Syariat Islam akan dihukum sebagai SYIRIK KHAFI. Kita juga maklum bahawa dosa syirik adalah sukar diampuni!
Anda mestilah berserah kepadaNya sahaja dan natijah dari penyerahan mutlak ini telah lumrah diketahui dan amat terkesan dihati kepada barangsiapa yang melakukannya.
Allah Maha Tinggi berFirman, Q.S. al-Muzzamil:9, bermaksud:
' Dialah Tuhan Masyrik dan Maghrib, tiada Tuhan melainkan Dia, maka ambillah Dia sebagai Pelindung.'
Perhatikan, dalam ayat diatas, Allah memulakan dengan menegaskan, mengisbatkan dan mengesahkan keTuhananNya, Tunggal, Eksklusif, dan Mutlak;
dan seterusnya memerintahkan kita [hamba-hambaNya] untuk Berserah dan berTawakkal kepadaNya sahaja [alangkah Maha Agung dan Maha Tinggi status/sifatNya],
sehinggakan tiada siapa pun yang dapat atau akan punyai alasan untuk menyangkal atau menentangNya!
Allah juga memerintahkan agar kita semua berserah kepadanya dan menggalakkan kita berbuat demikian seperti Firman-FirmanNya, yang bermaksud:
' Kerana itu hendaklah kepada Allah sahaja, orang-orang mukmin berserah/bertawakkal.' Surah Ali Imran, ayat 122.
' Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan [keperluannya].' Surah at-Thalaaq, ayat 3.
' Maka berserahlah kepada Allah, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berserah/bertawakkal kepadaNya.' Surah Ali Imran, ayat 159.
Dalam hubungan ini, Rasulullah juga telah bersabda, maksudnya:
' Seandainya anda berserah kepada Allah kerana selayaknya Dialah tempat anda berserah, Dia akan mencukupkan nikmat/rezekimu, sebagaimana Dia mencukupkan rezeki burung-burung yang keluar terbang kelaparan diwaktu pagi sehingga pulang kesarang kekenyangan dikala petang.'
TAKDIR
Ketahuilah bahawa asas penyerahan [tawakkal] kepada Allah ialah dengan hati yang mengetahui dan sentiasa menyedari bahawa setiap perkara adalah didalam tangan Allah, samaada perkara tersebut mendatangkan manfaat atau pun mudharat, disukai atau pun tidak. Malah, andainya seluruh makhluk bersatu tenaga menolong untuk mendatangkan kebaikan kepada seseorang, seseorang itu akan hanya mendapat apa yang telah diTakdirkan baginya.
Seandainya pula, seluruh makhluk tersebut bergabung untuk menganiaya seseorang itu, angkara ini hanya akan terlaksana jika memang sudah diTakdirkan baginya.
Perhatikan Firman Allah, Q.Surah at-Taubah:51, bermaksud:
‘ Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah diTakdirkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang beriman harus berTawakkal.’
SYARAT PENYERAHAN
Syarat utama bagi mencapai penyerahan yang tulus ialah anda tidak sekali-kali menyangkali Tuhan dan anda senantiasa menjauhi laranganNya dan senantiasa pula melakukan segala suruhanNya. Dalam ketaatan anda, anda senantiasa berserah kepadaNya, setelah beramal, berikhtiar dan berusaha sebaik mungkin, memohon pertolongan dariNya dan menaruh sepenuh keyakinan dalam segala urusan anda kepadaNya.
Menikmati keselesaan dan nikmat dunia sekadarnya, tidaklah membatalkan penyerahan anda kepada Tuhan selagimana penyerahan dan rasa terima kasih anda menjurus hanya kepada Sipemberi nikmat, dan bukannya semata-mata kepada nikmat yang anda perolehi.
Maka, pastinya semakin meningkat penyerahan anda kepada Allah, semakin berkurangan pula keperluan anda kepada keselesaan dan nikmat dunia. Walhal, menafikan keseluruhan keselesaan dan nikmat dunia memanglah suatu sifat yang amat terpuji dan ciri-ciri ini hanya khusus bagi kekasih-kekasih Allah, yakni, yang hati dan jiwa mereka telah terlebih dahulu disucibersihkan!
HAKIKAT
Ketahuilah bahawa kegemaran merancang/menyimpan untuk hari-hari mendatang; dan tatacara atau ikhtiar merawat berbagai jenis penyakit tidaklah menghakis atau membatalkan intipati penyerahan anda kepada Allah, selagi anda mengetahui dan menyedari bahawa pada hakikatnya hanya Allah yang mengayakan/memberi rezeki, yang memberi manfaat, yang menyembuhkan, yang menghidupkan, yang mematikan, dan sebagainya!
Apabila ditanyakan kepada Baginda Rasulullah, siapakah gerangan 70,000 manusia yang masuk kesyurga nanti tanpa dihisab terlebih dahulu? Baginda menjawab,
' Mereka yang tidak terlibat dalam perbuatan dan amalan ilmu sihir, penganiayaan dan mereka yang Berserah kepada Allah.'
PETANDA
Orang-orang yang mencapai tahap ikhlas dan tulus dalam penyerahannya kepada Allah mempunyai ciri-ciri berikut:
1. Mereka tidak berharap atau pun takut/gentar terhadap sesuatu kecuali kepada Allah. Tandanya, mereka akan tetap menegakkan kebenaran walaupun berdepan dengan ancaman, keangkuhan atau kebatilan dari mana-mana pihak, hatta, pihak pemerintah sesebuah Negara sekalipun!
Sebuah Hadith Qudsy, bermaksud:
‘ Para WaliKu [kekasihKu] adalah mereka yang menangis seperti anak kecil kerana CintaKu; yang mengingatiKu seperti singa yang tak kenal takut ketika melihat perbuatan batil/dosa.’
2. Dukacita atau keresahan/kerusuhan tidak akan pernah terlintas dihati mereka, kerana keyakinan mereka diatas janji/jaminan Allah. Dengan demikian hati mereka senantiasa menjadi tenang dan tenteram atau lebih lagi, dalam apa jua keadaan.
Firman Allah Q.Surah Yunus:64, bermaksud:
‘ Bagi mereka berita gembira didalam kehidupan dunia dan akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat [ janji-janji Allah]. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.’
Firman Allah Q.Surah Asy-Syura:19, bermaksud:
‘ Allah Maha Lembut terhadap hamba-hamaNya; Dia memberi rezeki kepada siapa yang dikehendakiNya dan Dialah yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.’
3. Hati mereka tidak pernah terganggu, merasa gentar atau berdukacita didalam apa jua keadaan. Mereka amat menyedari bahawa sesuatu yang tidak ditakdirkan untuk mereka, tidaklah akan menimpa mereka, dan sebaliknya sesuatu yang telah ditakdirkan bagi mereka, tidaklah dapat mereka hindari.
Firman Allah, Q.Surah Yunus: 62, bermaksud:
‘ Ingatlah sesungguhnya Wali-wali [kekasih] Allah itu tidak ada takut [kekhawatiran] terhadap mereka dan tidak pula mereka berdukacita.’
PESANAN
Firman Allah, Q.Surah al-Fatir:15, bermaksud:
‘ Wahai manusia, kamulah yang berkehendakkan kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya
[tidak memerlukan sesuatu] lagi Maha Tinggi.’
Lagi Firman Allah Q.Surah Ali Imran:173, bermaksud:
‘ Cukuplah Allah sebagai Penolong kamu dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung’
Dan lagi Firman Allah Q.Surah Hud:6, bermaksud:
‘ Dan tidak ada haiwan melata [yang bernyawa] pun dimuka bumi, melainkan Allahlah yang memberi rezekinya dan Dia mengetahui tempat berdiam haiwan itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata [Loh Mahfuz].’
‘ Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.’ Surah al-Fatir:17.
Aduhai Sahabat! Awasilah budi bicara, tingkah dan tindak-tandukmu, kerana tiada yang menjauhkan manusia dari Allah, melainkan kebiadaban!
MUNAJAT
‘ Wahai ya Allah! Bagaimana Engkau menyerahkan daku kepada diriku pada hal Engkau menjamin
[ segala sesuatu] bagiku.’
‘ Bagaimana aku akan teraniaya dan terhina sedangkan Engkau yang membantuku, kerana Engkaulah yang Maha Adil dan Yang Maha Mulia.’
‘ Bagaimana aku akan merasa lemah sedangkan aku bersertaMu Yang Maha Perkasa.’
‘ Bagaimana aku akan merasa fakir sedangkan aku bersertaMu Yang Maha Kaya.’
‘ Lalu bagaimana aku akan tersia-sia sedangkan Engkaulah Yang Maha Memerhati dan mementingkan diriku?’
‘ Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku berTawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arash Yang Agung.’ Surah at-Taubah:129.
‘ ILAAHI! KAU YANG AKU MAKSUD DAN KEREDHOAN ENGKAU YANG AKU TUNTUT.’
Alhamdulillah!
Ameen Ya Rabbal ‘Alamin!