PENGERTIAN SOLAT WAKTU/ZAHIR [RITUAL] DAN SOLAT BATIN [WUSTHO]
BISMILLAAHIRRAHMAANIRRAHIIM
DUHAI SAHABAT!
KETAHUILAH, lima [5] kali sehari semalam, pada waktu-waktu yang telah
ditentukanNya! Itulah SOLAT 5 waktu yang telah diperintahkan Allah keatas
setiap mukallaf Islam, menunaikannya, dengan beberapa syarat dan rukunnya.
1. HAKIKAT SOLAT
Sila lihat Firman Allah Q.S. Al-Baqarah, ayat 238, bermaksud:
' Peliharalah semua Solat[mu] dan [peliharalah] Solat Wustho. Berdirilah
untuk Allah [dalam Solatmu] dengan khusyuk.'
Solat zahir [ritual] dan berwaktu adalah bercirikan syarat-syarat dan
rukun-rukunnya seperti berwuduk, berniat, bertakbir, berdiri betul, membaca
ayat-ayat Alquran, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, bertasyahud dan
mengulangi menjiharkan [menguatkan] pembacaan ayat-ayat Alquran dan doa, dalam
melaksanakannya.
Keseluruhan pergerakan dan aksi ini melibatkan jasmani/zahir [ 6 rukun
Fi'li]; dan pembacaan secara tartil melibatkan indera/senses [6 rukun Qauli],
adalah merupakan penyembahan [ibadah] dari diri materi [material self]. Oleh
kerana kesemua aksi-aksi diri materi ini berganda sifatnya, dan diulang-ulangi
didalam setiap solat 5 waktu sehari semalam, maka BAHAGIAN PERTAMA perintah Allah didalam Firman Allah diatas
adalah bersifat berganda pula.
BAHAGIAN KEDUA dari perintah Allah didalam Firman tersebut yang berhubung
dengan solat Wustho [solat pertengahan/solat utama/istimewa] adalah merujuk
kepada Solat Batin [jantung/hati/rohani], kerana kedudukan jantung/hati berada
ditengah-tengah diri jasmani; yakni disebut sebagai rukun Qalbi![1 rukun qalbi
+ 6 rukun Qauli + 6 rukun Fi'li = 13 Rukun Solat, yang umum telah mengetahui!]
BAHAGIAN KETIGA dari Firman tersebut menekankan tentang matlamat dan tujuan
betapa pentingnya rangkuman ciri-ciri dalam perlakuan Solat tersebut agar dapat
menghasilkan SOLAT KHUSYUK,yakni apa yang disebut sebagai HAKIKAT SOLAT!
BAHKAN, tujuan setiap pelaksanaan solat, tidak lain dan tidak bukan adalah bagi
mendapatkan KHUSYUK, yakni, ketenangan hati didalamnya!
2. PENJELASAN
Bukankah jantung hati terletak ditengah-tengah diri jasmani, yakni,
diantara kanan dan kiri, diantara depan dan belakang, diantara bahagian atas
dan bahagian bawah, dan terpenting, diantara kebenaran dan penentangan [Iman
atau Kufur].
Oleh kerana kedudukannya ditengah-tengah, maka Jantung /Hati adalah suatu
median atau titik perimbangan! Dalam hubungan ini, Rasulullah telah bersabda,
bermaksud:
' Jantung/Hati anak-anak Adam berada diantara dua jejari/jemari yang Maha
Pengasihani. Dia Membolak-balikkan menurut kemahuanNya.'
Kedua-dua jejari-jemari Allah itu adalah merujuk kepada Sifat Allah yang
Maha Penghukum dan juga Sifat Allah yang Maha Pemberi Rahmat!
3. SOLAT YANG BENAR [SOLAT HAKIKAT]
Solat yang benar adalah berpaksikan jantung/hati/rohani/nurani. Seandainya
tidak demikian, maka Solat ritual [5 waktu] yang dilaksanakan oleh diri materi
itu akan terjejas dan tidak akan mencapai matlamatnya, yakni tidak khusyuk!
Apabila demikian keadaannya, maka ketenangan diri jasmani yang diharapkan
terhasil dari pelaksanaan solat waktu [ritual] tersebut juga akan tergugat dan terjejas, yakni,tidak
mencapai asal tujuannya.
Justeru, Rasulullah telah bersabda, bermaksud;
' Solat waktu[ritual] hanya akan terlaksana ketika jantung/hati berada
dalam keadaan tenang.'
Solat adalah merupakan Munajat dari hamba kepada Sang Maha Pencipta.
Ia juga merupakan pertemuan diantara hamba
dan Tuhannya; dan tempat pertemuan itu berlaku didalam jantung/hati. Seandainya
jantung/hati itu berpenyakit atau terhijab, pekak, buta dan tuli atau kesat,
berkarat atau tidak ambil peduli,
ataupun mati, maka pertemuan [Solat] tersebut tidaklah bererti sama sekali!
Dalam hubungan ini, Rasulullah telah bersabda, bermaksud:
' Didalam jasad anak Adam terdapat seketul daging; apabila baik daging
tersebut, maka menjadi baiklah seluruh dirinya. Apabila rosak daging tersebut,
menjadi rosak pula seluruh dirinya; ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah
jantung/hati.'
4. SOLAT WAKTU [ZAHIR] DAN SOLAT BATIN [WUSTHO/DAIM]
Solat waktu sebagaimana diperintahkan Allah, wajib dilaksanakan menurut
masa dan ketika yang telah ditentukan, dan cara yang terbaik melaksanakannya
adalah secara berjema'ah didalam Masjid, menghadap Qiblat dan mengikut Imam;
ikhlas tanpa riak kerana ingin menunjuk-nunjuk atau atas sebab-sebab yang lain.
Manakala ibadah Solat Batin [Wustho/Daim] pula adalah bersifat berkekalan
dan berkepanjangan [timeless/endless], dan dilaksanakan dalam keseluruhan hidup
didunia ini maupun diakhirat kelak.
Masjid bagi melaksanakan Solat jenis ini adalah didalam jantung/hati.
Jema'ahnya adalah fakulti-fakulti [deria] dalaman yang senantiasa hadir,
mengingat dan menyebut Nama-nama, kesatuan/keEsaan Allah, dengan menggunakan
bahasa alam ghaib. Imamnya adalah keinginan/iltizam yang kuat, keras, dan
istiqamah. Qiblatnya pula mengarah kepada kesatuan/keEsaan Allah, yakni, tiada
bertempat [bukan 24 jam diatas sejadah sahaja] dan Sifat Keindahan dan
KeabadianNya.
Pada hakikatnya, jantung/hati yang benar dan ikhlaslah yang akan berjaya
melaksanakan Solat jenis ini. Jantung/hati yang sebegini tiada akan pernah
tidur atau mati; dan senantiasa berada dan kekal dalam ibadah berkepanjangan.
Maka barangsiapa yang memiliki jantung/hati yang sedemikian rupa adalah
senantiasa, berkekalan dan berkepanjangan dalam khidmat dan ibadah kepada Allah
[Daimun], hatta dalam keadaan tidur maupun jaga. Khidmat dan ibadah bersifat
kerohanian ini adalah keseluruhan hidupnya. Tiada lagi kedengaran bunyi
pembacaan; tiada juga dalam rukuk dan sujud. Pembimbingnya, dan yang mengimami
solat-solatnya ialah Baginda Rasulullah sendiri. Ia berbicara dengan Allah Maha
Tinggi dengan melafazkan:
' IYYA KANA' BUDU WA IYYA KANAS TA'IN'
'Hanya Engkaulah sahaja yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami
mohon pertolongan'
Kalam Tuhan diatas melambangkan keadaan 'Insanul Kamil' [Insan Sempurna];
yang bermula dari keadaan 'adam' [tiada], hilang tenggelam dalam alam
materi/kebendaan, akhir terjelma kedalam keadaan penyatuan dengan Tuhan.
Sesungguhnya, pemilik jantung/hati sempurna ini mendapat dan menerima Barokah
besar dari Tuhan, seperti disebut oleh Rasulullah didalam Haditsnya, bermaksud:
' Nabi/Rasul dan mereka-mereka kekasih Allah meneruskan khidmat/ibadah
mereka didalam kubur mereka, seperti juga didalam rumah-rumah mereka ketika
mereka masih hidup didunia ini.'
Dalam lain-lain perkataan, kehidupan abadi jantung/hati terus menerus
bermunajat kepada Allah Maha Tinggi. Fahamkan benar-benar semua permasalahan
ini!
5. KEMUNCAK
Apabila ibadah ritual diri materi bertemu dan bersatu dengan ibadah
dalaman/kerohanian, barulah sesuatu solat itu mencapai kemuncak kesempurnaan.
Ia menjadi ibadah yang sempurna dan akan menerima ganjaran yang amat besar
sekali. Ibadah tersebut dapat memertabatkan darjat kerohanian seseorang ketahap
dimensi keakraban dengan Allah ['Ariffin/Muqarrabin'] dan natijah ini dapat
mengangkat zahiriahnya pula ketahap sebaik mungkin.
Dalam dunia serba rupa, seseorang
boleh menjadi hamba yang amat taat/patuh kepada Allah. Dalam dunia serba ghaib
pula seseorang itu boleh menjadi seorang 'Ariffin' yang telah mencapai
Ma'arifah kepada Allah S.W.T.
Seandainya, ibadah ritual tidak
mampu bertemu/bersatu dengan ibadah kerohanian, maka ibadah itu adalah dianggap
tidak mencapai sasarannya. Justeru, ibadah tersebut tidak akan dapat membawa
pemiliknya mendekati mertabat/persada KeTuhanan!
6. HAKIKAT SOLAT
Ketahuilah, Hakikat solat sebenar adalah dari Allah, dengan Allah, dan bagi
Allah. Sipelaku solat hanyalah beraksi, menterjemah, menyata, dan menyaksi
antara AF'AAL, SIFAT, dan DZAT ALLAH menerusi diri pelaku solat tersebut. [Sila
bertanya kepada Ahlinya!].
7. HAKIKAT DIRI YANG ZAHIR DAN DIRI YANG BATIN
Anda seharusnya memperbaiki diri anda yang batin agar ia menjadi lebih baik
dari diri anda yang zahir. Ini adalah kerana hakikat diri batin anda adalah
tempat letaknya fokus pemerhatian Tuhan, walhal, diri zahir anda hanyalah
tempat jatuhnya pemerhatian makhluk [manusia] ciptaan Tuhan!
Dalam kaitan ini, Rasulullah telah bersabda/berdoa, bermaksud:
' Ya Allah, jadikanlah diri batinku lebih baik dari diriku yang zahir, dan
jadikan diri zahirku suci.'
Apabila diri yang batin menjadi baik, diri yang zahir akan menjadi baik
pula, kerana diri yang zahir itu senantiasa menuruti kaedah diri yang batin,
samaada kearah kebaikan atau kejahatan, Islam atau kafir/munafiq, Iman atau
kufur, Tauhid atau syirik, tunduk patuh atau fasiq; seperti mafhum Hadits yang
telah disebut diawal risalah ini.
Ketahuilah bahawa barangsiapa yang mendakwa diri batinnya telah mencapai kesempurnaan,
tetapi diri zahirnya masih tercemar kerana meninggalkan taat dan berbuat
kebajikan, dia adalah sebenarnya seorang pembohong paling besar atau Munafiq!
Seseorang yang bersungguh-sungguh menampilkan dirinya dalam segala aspek
zahirnya, yakni, amat mengambil berat keatas pergaulannya, akhlaknya, cara
pemakaiannya, cara keterampilannya, cara dia bertutur, bergerak, duduk
bangunnya, cara berjalannya, makan minumnya, bahkan 'lifestyle' nya, namun,
membiarkan diri batinnya dicemari oleh sifat-sifat mazmumah; dia adalah
sebenarnya tergolong dalam kumpulan Munafiq, yang suka mempamir dan bermegah
diri dan telah menyimpang jauh dari Tuhannya! Fahamkan benar-benar!
8. PERHATIAN
Awasilah diri anda dari melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan malu
kepada diri anda sendiri, dikemudian hari. Seorang Arif Billah pernah
menyatakan:
' Anda bukanlah seorang Sufi, jika seluruh diri anda didedahkan, anda
mendapat malu dari pendedahan tersebut.'
Andai kata, anda tidak dapat merobah diri batin anda agar menjadi lebih
baik dari diri zahir anda, sekurang-kurangnya, anda dapatlah beroleh
keseimbangan; bertindaklah seimbang samaada ketika anda berseorangan diri
maupun dikhalayak ramai; dalam mentaati segala perintah dan menjauhi segala
larangan Allah dan terus menerus mencari dan mendapatkan kerehaanNya:
'IHDINASSIROTAL MUSTAQEEM'
Yang demikian adalah SABIL, SIROT, JALAN, TAREQAH menuju keHaderat Tuhan
Allah Yang Maha Tinggi!
AMIN TABARAKALLAH!
WABILLAHIT TAUFIQ WAL HIDAYAH
WALHAMDULILLAHI RABBIL 'ALAMIN!
24.07.2012.Madrasatul Baitul Adam,Shah Alam,MALAYSIA.