Jika anda fikir jalan [spiritual] Kerohanian
Yang menuju kealam keTuhanan
Diri dinobat Khalifah Tuhan
Matlamat meraih serba kerihatan dan kelazatan
Alkisah berikut cubalah renungkan!
Lihat tragedi Adam seorang Rasul
Berapa tahunkah meratap-merintih dan masyghul
Dilontar jauh kehilangan teman
Angkara hanya atas sedikit kekhilafan.
Renung pula nasib Nuh yang mulia
Ditangan kaumnya dicaci-maki penuh sengsara.
Banjir menenggelami ketidak-pedulian
Anak dan isteri turut dikorban.
Kisah Lut mendepani kaum songsang
Urusan kenabian kian terhalang
Pesanan jangan pandang belakang
Meski isteri jadi petualang.
Bagaimana Ibrahim berdilema mencari Tuhan
Akhirnya berjaya menggarab keakraban
Namun diratah derita seksaan
Dinyala api ia dihumban.
Peristiwa Ismail pula meraih kasih Tuhan
Kendati ia diTakdir menjadi korban.
Kisah menyayat Ya'kub kehilangan puteranya
Meratap sedih membanjiri air-mata
Sehingga kedua mata menjadi buta.
Perhatikan Yusuf amat mempersona
Kedalam telaga dihumban saudara durjana
Merengkok dipenjara angkara syahwat wanita
Namun mulia bila berkuasa mahupun sebagai hamba.
Ingatkah anda akan Ayub penuh kesedihan
Menjadi umpanan serigala dan ulat penuh kepayahan
Alkisah Yunus tenggelam punca akan kaumnya
Kaum ditinggal menyingkir dirinya
Murka Tuhan hukuman dijatuhkan
Kedalam perut ikan Takdir memenjarakan.
Ikuti kisah Musa dilahirkan
Didalam bakul serasa buaian
Terumbang-hanyut namun diselamatkan
Untuk membenteras Fir'aun yang luar-batasan.
Merujuk Harun saudara Musa
Bersama menentang Fir’aun gila kuasa
Sekutu sesat habis dibinasa
Tenggelam bersama ideologi gila.
Fikirkan kisah Daud tak terperi
Nangani dilemma miliki 99 orang isteri
Melentur besi mengguna jejari
Dengusan nafas mencair keluli.
Kuasa Sulaiman tiada terbilang
Meneraju kerajaan tanpa terhalang
Alam Jinn dan haiwan bisa ditawan
Kendati tawadhuk kepada Tuhan.
Zakaria berkasih dengan Tuhan
Rela dibunuh tanpa belas kasihan
Yahya dihina tidak keruan
Kepala dipenggal jadi taruhan
Persona Isa penuh sakti
Miliki keramat kurniaan Ilahi
Ditonton dicemat disalib tinggi
Diselamat Takdir dari kejam Yahudi.
Akhir kalam khatamun Nabi
Muhammad Rasulullah nama disanjungi
Mulia Baginda namun dicaci
Walhal Penghulu segala Nabi
Kasihnya Allah tanpa batasan
Kepada Baginda semua dicurahkan
Kasihnya Allah sepanjang zaman
Kerana Baginda pencetus ciptaan!
Dari kisah pelbagai tragedi
Disulam misteri rencana Ilahi
Rahsia besar cubalah rongkaikan
Jadi pengajaran seluruh kemanusiaan
Bagi siapa yang punyai kesedaran
Kendalilah diri cari pedoman
Terhindar hidup tidak keruan
Redha Tuhan tepat tujuan!