Thursday, March 5, 2009

SETIAP MANUSIA PASTI AKAN MATI

TAHUKAH ANDA?

JASAD DAN ROH

Diri manusia itu adalah tersusun dari tubuh yang kasar [jasmani/jasad] dan tubuh yang halus [rohani/roh]. Jika roh itu menerangi jasmani pada zahir dan batin, bernamalah orang itu hidup.Jika roh itu menerangi pada batin sahaja, dinamakan orang itu tidur. Dan jika roh itu tidak menerangi zahir dan batin, bernamalah orang itu mati.

PASTI MATI

Setiap manusia, tidak dapat tidak, pasti akan merasai mati, walau manusia itu bermertabat/berdarjat, kaya, hina, fakir, miskin, kecil-besar, tua-muda, lelaki, perempuan dan sebagainya, semuanya pasti akan merasai mati!

Maut itu akan datang kepada yang muda remaja dan kepada yang tua. Maut akan datang kepada manusia yang bosan hidup mahu pun kepada manusia yang mempunyai cita-cita bergelora. Maut akan datang kepada manusia yang bergembira asyikkan dunia; maut juga datang kepada simalang yang hidup sebatang kara, yang adanya tidak dirasai/sedari dan hilangnya pula tidak dicari. Maut itu juga akan datang kepada kekasih yang dicintai, gunung payung harapan keluarga dan bangsa, tempat bergantung seisi keluarga dan anak-isteri yang dicintai; perginya mencetuskan dukalara dan kesedihan sengsara bagi sekelian kaum kerabatnya!

Tegasnya, maut pasti akan datang kepada setiap manusia tanpa ada kecualinya!

Perhatikan Firman Allah Q.S.al-An’am:2, bermaksud:

‘ Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, sesudah itu ditentukannya ajal atau kematianmu, dan lagi suatu ajal yang ditentukan [untuk berbangkit] yang ada pada sisiNya [yang Dia sendirilah mengetahuinya].’

Dan lagi FirmanNya Q.S.an-Nahl:61, bermaksud:

‘ Maka apabila sudah tiba ajal seseorang tidak akan dapat diundurkan atau dimajukan walaupun hanya sesaat.’

PINTU

Dunia yang kita diami sekarang mempunyai dua pintu.

1] Pintu masuk kedalam dunia, melalui rahim ibu;

2] Pintu keluar dari dunia ini, dinamakan liang lahad/kubur.

Kita bernama manusia ini tinggal didunia adalah ibarat dagang merantau dan lambat laun pastinya kembali juga kenegeri asal, yakni, liang lahad / akhirat!

REZEKI

Soal kenapa kita masih belum mati adalah disebabkan rezeki kita yang belum habis, seumpama lampu sebelum kehabisan minyak, belum akan padam, begitulah! Seandainya masih ada agak segenggam rezeki kita masih tersimpan oleh Malaikat Mikail, nescaya, kita belum lagi akan dimatikan!

Rezeki itu pada kebiasaannya kitalah yang mencari dia, dan terkadang-kadang rezeki pula yang mencari kita. Samaada diusahakan atau pun tidak, rezeki pasti akan kita terima sebelum Malaikat-Maut datang menjemput/mengambil nyawa kita. Kerana rezeki itu telah disediakan oleh Allah sebelum kita sampai kedunia ini, yakni, ketika kita masih didalam rahim ibu. Bukankah ketika didalam kandungan lagi, susu ibu kita telah pun membesar penuh berisi!

MENUMPANG

Didunia ini manusia seolah-olah menumpang sebuah kapal yang sedang berlabuh sebentar waktu sahaja. Telah berpesan Nakhoda kapal bahawa kapal hanya berhenti untuk sebentar waktu sahaja. Sewaktu kapal berlabuh semua penumpang boleh keluar berbuat apa sahaja, boleh mencari barangan, makanan/minuman disukai dan bersuka-ria seasyiknya, tetapi INGATLAH, jika isyarat telah dibunyikan, hendaklah semua penumpang secepatnya kembali kedalam kapal untuk perjalanan seterusnya, atau pun tertinggal perjalanan dan menyesal seumur hidup!

Adalah hidup didunia ini seperti kita bermimpi. Apabila kita terjaga dari tidur hilanglah dia; yakni, manakala kita telah mati,maka akan tinggallah dunia fana ini!

Seperti Firman Allah bermaksud:

' Tiadalah kehidupan didunia ini melainkan keseronokan yang memperdaya.'

TAKUT MATI ATAU BERANI MATI

Jika kita berbicara tentang orang yang takut kepada kematian dan orang yang senang menghadapi kematian, maka akan kita dapati orang yang takut kepada kematian itu disebabkan dua kemungkinan.

1. Merasa berat untuk meninggalkan anak isteri/keluarga, kemewahan harta benda,kedudukan, pangkat dan segala kesenangan dan kecintaan yang dikecapi didunia ini.
2. Merasa gerun menempuh sakaratul-maut yang dibayangkan sebagai amat menyakitkan kerana merasakan bekal amalan dan persiapan belum cukup memuaskan bagi menghadapi hari akhirat nanti.

Demikian pula orang yang senang menghadapi kematian itu adalah kerana sebab-sebab berikut:

1. Mempunyai Iman yang teguh dan penuh pasrah kepada Takdir Allah Ta’ala S.W.T.
2. Mempunyai kesedaran dan kerinduan yang mendalam sebagai seorang mukmin dan amat mencintai bertemu dengan Allah Ta’ala S.W.T.

Perhatikan sebuah Hadith Rasulullah bermaksud;

‘ Barangsiapa yang mencintai hendak bertemu dengan Allah maka Allah juga mencintai akan bertemu dengannya, sedangkan barangsiapa yang membenci bertemu dengan Allah, maka Allah juga tidak senang bertemu dengannya.’

MANUSI DIMATIKAN ANTARA DUA JALAN

Dimatikan manusia diantara dua jalan, yakni, ada mati baik dan ada mati jahat. Mati baik akan keSyurga dan mati jahat pula akan keNeraka, seperti sabda Rasulullah S.A.W., bermaksud:

' Ya Allah, sudahilah olehMu akan kesudahan mati kami dengan sebaik-baik kesudahan; dan janganlah Engkau sudahi kami dengan sejahat-jahat kesudahan,'

Yang dinamakan mati baik adalah seperti dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W. ketika ditanyai Jibril kepada Baginda:

' Bertanya Jibril: Apakah itu Ihsan? Maka dijawab Baginda: Bermula Ihsan itu bahawa engkau berbuat ibadah kepada Tuhanmu seolah-olah engkau melihat akan Dia, maka jika engkau tidak melihat akan Dia, maka bahawasanya Allah melihat akan engkau.'

Justeru, dikatakan mati baik itu adalah apabila terbukanya dinding tirai dengan Allah diwaktu penghelaan nafas kita yang paling akhir!

Dan bukanlah Rasulullah S.A.W. sahaja yang meminta dimatikan dengan mati baik, malahan Nabi Yusuf pun meminta pula agar dimatikan baik atau mati Islam, seperti maksud Firman Allah, Surah Yusuf, 101:

' Matikan aku didalam Islam.'

Dan Allah juga menghendaki supaya kita juga mati, tidak boleh tidak, dan semestinya dalam Islam, seperti maksud FirmanNya, Ali Imran, 102:

' Janganlah kamu mati melainkan atas Agama ISLAM.'

Memandangkan betapa berat dan kritisnya persoalan mati ini bagi setiap diri kita yang bernama manusia, disamping kita dianjurkan sentiasa berdoa memohon perlindungan Allah, Rasulullah S.A.W. juga telah berpesan didalam Hadith Baginda, bermaksud:

‘ Berlajar matilah kamu sebelum kamu dimatikan.’

Janganlah anda memandang remeh tentang perkara ini.[Never take for granted] Sebenarnya, keputusan anda untuk mempelajarinya adalah keputusan yang terbaik yang pernah anda ambil dalam keseluruhan dan sepanjang hidup anda! Percayalah, dan anda akan lebih bersyukur dan berbanyak terima kasih!

Silalah anda bertanyakan kepada yang Ahli tentang bagaimana hendak menempuh/berdepan dengan huru-hara Sakaratul-maut dan terselamat darinya! InsyaAllah!

Akan menyusul nanti wacana Huru-hara Mati dan Tanda/Isyarat Manusia telah hampir ajal. Nantikan!

Kepada Allah sahaja kita mohon Hidayah, dan Dialah sahaja sebaik-baik tempat kembali. Ameen!